Home Novel Thriller/Aksi PEMBUNUH DALAM DIAM
PEMBUNUH DALAM DIAM
AD Rahman Ahmad
20/6/2015 14:37:17
21,874
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Bab 14

“Oiiii cik kak.” tegur Zita sambil memukul manja bahu Qaseh. “Kau lagi berangan. Lupalah Qaseh... kumbang yang dah dijerat tuuu,” pujuk Zita tanpa usul periksa.

“Oiii cik adik. Bercakap jangan ikut sedap mulut ya,” tegur Qaseh. “Zita, kenapa Linda jumpa kau?”

Tanpa membuang masa, Qaseh terus menyoal Zita yang baru hendak duduk. Tergoyang-goyang tubuhnya mengimbangi badan di atas buaian yang masih lagi terbuai-buai.

“Agak-agaklah kau ni, bagi aku duduk dulu boleh. Bagi aku pejam mata sesaat dua. Biar angin yang meniup lembut ini bermanja-manja dengan aku, boleh...” usik Zita sambil menutup mata.

Bagaikan mengerti kehendak hati, angin yang berhembus begitu membuai rasa. Malam mereka yang dihiasi sinaran rambulan dan dipagari kerdipan bintang begitu mendamaikan jiwa. Senyap, hanya dada yang berombak mengikut helaan nafas yang turun naik.

“Zita, cepatlah. Ni dah pukul berapa. Esok nak kerja tau, bukannya cuti.” Ujar Qaseh.

“Qaseh, sebelum tu aku nak tanya kau. Betul ke kau berpisah dengan suami kau kerana kau ...”

“Bermain cinta dengan orang lain. Begitu maksud kau?” pontong Qaseh tanpa sempat Zita menghabiskan kata-katanya. “Dari mulut siapa kau dengar. Dari mulut Linda... atau daripada si murai yang gemok gedempol tu?” tanya Qaseh lagi.

Terkulat-kulat Zita mendengar jawapan Qaseh. Berdiam tanpa memberi sebarang tindak balas. Hanya renungan tajam Qaseh bagaikan sebilah pisau menghunus ke dada hingga ke dasar hatinya. Mati akal, lemah bicara untuk menyoal semula. Wajah Qaseh terus diramas lewat pandangannya.

“Minta maaflah Qaseh, bukan aku yang kata. Rakan-rakan pejabat yang sibuk mengata.”

“Biarlah mereka. Selagi tak kiamat dunia ni, selagi itulah mereka mengutip dosa. Jangan pulak kita ni… ikut serta.”

“Ngeee...” sahut Zita dengan kedua-dua tangannya dikibar-kibarkan. “Tak maulah macam tu…” sambungnya lagi.

“Ingat Zita, biarkanlah kat mereka. Kita ni… kita, jadikanlah sebahagiaan orang-orang yang mengutip pahala sebagai bekalan di sana nanti,” lembut tutur kata Qaseh menitip pesanan buat Zita.

Terangguk-angguk Zita mendengar titipan Qaseh itu, yang baginya tidak ubah seperti seorang ustazah memberi nasihat buat anak muridnya.

“Dah tu… yang dia sibuk sangat, kenapa?” tanya Qaseh dengan setepek tamparan manja di peha Zita. Tahu dia, yang Zita seolah-olah tengah mengata dirinya.

Menyerigai Zita menahan pedih sebelum menjawab pertanyaan Qaseh.

“Gini, dia tanya aku... kau keluar dengan Adif aje ke. Aku cakaplah, keluar dengan aku sekali. Aku cakap lagi, Abang Razak pun ikut sekali.”

“Habis tu... dia percaya?”

“Entahlah Qaseh. Tapi aku tau, dia macam syak lah. Lebih-lebih lagi dengan laki dia, tu.”

“Syak apa Zita. Syak apa?” lantang suara Qaseh tika itu. Mengeleng beberapa kali sebelum menyambung kembali kata-katanya. “Zita, aku rapat dengan Adif hanya sebagai kawan. Kawan sepejabat. Kau faham kan. K A W A N!” tegas Qaseh lagi.

“Qaseh, bibir boleh cakap apa aja, tau. Tapi… hati. Hati kau tu. Hati!” pekik Zita. “Tanya hati kau, Qaseh,” pinta Zita lagi dan segera jari telunjuk kirinya mencucuk-cucuk dada Qaseh. “Dan… sejarah lama korang berdua. Itulah punca semua cerita,” tambah Zita lagi.

Hanya hati… kebenaran tetap berpihak pada DIA.

Menjunam tajam anak mata Qaseh merenung Zita. Berserabut urat akalnya mengumpul kata. Ungkapan Zita bagaikan tamparan hebat buat dirinya. Biarpun pahit tetap ditelan. Biarlah pedih itu membuih dalam diri. Biarlah segalanya menjadi rahsia peribadi.

Apakah dia harus menjarakkan dirinya dan dalam waktu yang sama dia harus memaniskan wajah tatkala suara itu menegurnya saban hari. Begitu juga dalam masa yang sealiran dengannya, apakah mampu untuk dia menelan rasa dan memalingkan muka serta menutup telinga hanya kerana khabaran angin itu, yang sudah semakin berat untuk ditanggung olehnya. Bagaimana harus dia laluinya, lagi?

Qaseh kembali mendongak, merenung dada langit yang kelam. Angin yang berhembus disertai dengan gerimis. Gerimis yang semakin merintih. Angin semakin galak bertiupan. Malah kerdipan bintang tidak lagi kelihatan.

“Zita, tu semua kisah lama. Aku pun dah cerita apa kat kau. Apalagi yang mereka kecohkan. Cuma, aku hairanlah. Yang asyik mereka cerita ni kaum perempuan. Aku tengok kaum lelaki diam aje. Macam tak ambik pot pun. Betul tak, Zita,” ungkap Qaseh seraya memandang wajah temannya.

“Entahlah Qaseh, itu kata kau. Sebab kita tak pernah nampak atau dengar daripada mulut mereka,” balas Zita, tenang.

Qaseh termenung seketika. Rambutnya yang mengerbang disisir rapi sebelum mengikatnya dengan getah rambut yang melingkar pergelangan tangannya.

Deruan angin menyisir membelah dedaunan. Tertanya-tanya dia dalam hati, mana perginya cahaya tadi yang menerangi alam. Apakah rembulan seakan merajuk pada hukum alam. Apakah air mata langit bakal membanjiri malam?

Qaseh memalingkan muka dan kembali bersuara. “Dahlah Zita. Malaslah nak fikirkan semua ni. Lagi fikir buat sakit hati. Dah, esok… aku pergi sendiri. Lepas kerja aku terus nak balik kampung. Hari Isnin aku cuti,” beritahu Qaseh.

“Cuti! Tak tahu pun kau ambik cuti,” rungut Zita.

“Ya, cuti. Aikkk… tak kan nak cuti pun nak cakap ngan kau. Kau siapa. Bukan bos aku pun,” seloroh Qaseh lantas berdiri. Terbuai-buai buaian mereka.

“Ye aku tau tu… . Tapi kereta kau tu, dah pergi bawa servis?” soal Zita penuh semangat.

“Belum pun. Ala… sempat esok. Bukannya jauh pun bengkel kereta. Dua tiga belah dari pejabat kita je. Nanti aku minta tolong ngan Adif,” terang Qaseh.

Melopong mulut Zita kala mendengar nama yang disebut Qaseh.

“Ahhhh… Adif lagi?” nyaring suara Zita menyebut nama lelaki itu. Dia yang mahu berdiri kembali duduk saat melihat Qaseh juga turut terhenti langkahnya.

Qaseh, langkah kaki kirinya yang sudah menapak di tanah dan sebelah lagi memijak tapak buaian segera berpaling menatap wajah Zita. Tangannya memaut besi buaian. 

“Zita! Sekali lagi aku pesan kat kau… aku ngan Adif tak punya hubungan. Hanya rakan sekerja. Kau cayalah cakap aku ni… kawan kau, sepinggan dan sebantal dengan kau. Itupun jika makanan aku beli satu dan dan kau takut tidur sorang-sorang sebab takutkan hantu,” ungkap Qaseh. jari telunjuk kanannya bergoyang-goyang di hadapan mata Zita. Tegang wajah Qaseh tika itu.

“Betul?” soal Zita. Jari Qaseh yang masih terlayang-layang di hadapan matanya ditepis dan perlahan-lahan dia bangun. Berdiri di sisi Qaseh sebentar sementara menanti jawapan darinya.

Angguk tidak, menggelengpun bukan. Hanya tautan mata seakan memberi jawapan.

“Betul ke Qaseh?” sekali lagi Zita mengusik Qaseh sambil tersengih.

“Asal pandang aku, sengih-sengih pulak ni. Apa yang betul, tak betul ni…” balas Qaseh dengan kening yang terjongket-jongket.

Zita menekup mulut menahan ketawa. Seraya menggeleng beberapa kali sebelum mengekori belakang Qaseh.

Entah mengapa, jantungnya terus mengepam laju. Senak dadanya tidak menentu. Dingin yang menerobos ke segenap ruang dirinya tidak sedikitpun membantu mindanya untuk menjawab pertanyaan Zita. Malah rinai-rinai kecil mulai membasahi dahi. Tidak dihiraukan pertanyaan itu, tidak dipedulikan gerak senyum di bibir kawannya. Yang dipedulikan saat itu, apakah esok dia harus menunaikan permintaan Adif Haikal?

Perlukah?


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.