Home Novel Seram/Misteri NOVELIS
NOVELIS
Ebriza Aminnudin
18/3/2020 11:42:10
13,024
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Senarai Bab
Prolog
“BERAPA orang novelis yang terlibat dalam program Santai Bersama Novelis ni?” soal Encik Ali, memulakan mesyuarat pada hari itu. 


“Kami memilih novelis-novelis terawal yang menerajui team Seramlicious. Sebanyak 14 orang novelis yang terlibat termasuk kesemua novelis prolifik. Ini senarainya,” ujar Shahida, membentangkan kertas kerja di dalam bilik mesyuarat. 

Program ini sudah lama dirancang oleh team Seramlicious dan baru kini pihak Buku Prima dapat merealisasikannya. Program ini bukan calang-calang. Jika sambutannya menggalakkan, mungkin akan diusahakan program-program lain untuk mendekatkan para peminat dengan novelis kesayangan mereka. 

“Editor pun terlibat jugak, kan?” soal Encik Ali sambil memandang tepat wajah Shahida. 

“Ya, sebahagian editor akan terlibat secara langsung di dalam program ni,” jawab Shahida sambil menunjukkan senarai editor yang terlibat di dalam program yang julung-julung kali diadakan ini.

“Dah sediakan surat untuk novelis dan peminat yang terlibat?” soal Encik Ali lagi. 

“Ya, semua dah sedia dan sebahagiannya dah pun dihantar. Harap-harap kesemua mereka dapat menyertai program ni,” jawab Shahida yang akan mengetuai program ini. Dia amat teruja dengan apa yang telah mereka rancangkan.

 “Bagus! Hanya tunggu masa kita semua berkumpul. Sediakan juru foto untuk ambil seberapa banyak gambar dan ia akan dimuatkan dalam buku ‘Novelis’. Kita akan usahakan sebuah buku yang menceritakan kejayaan para novelis dan bagaimana permulaan mereka menceburkan diri dalam bidang penulisan. Semua gambar kenangan akan dimuatkan di dalam buku tu nanti. Jika sambutan menggalakkan, kita akan usahakan program yang sama untuk penulis lain pulak di dalam team Seramlicious,” ujar Encik Ali sebelum menamatkan mesyuarat. Shahida dan editor-editor lain mengangguk faham tanda bersetuju dengan apa yang telah dibincangkan. Masing-masing bersurai selepas tamat mesyuarat. 

“YEAY, bot dah sampai! Tak sabar nak jayakan program ni. Tak sabar jugak nak bersama-sama dengan novelis tersayang sepanjang berada kat sana nanti!” sorak Paulina a.k.a. Lina Daud dengan girang. Kegembiraan di hatinya tidak dapat digambarkan apabila dirinya terpilih bergandingan dengan Anuar a.k.a A. Darwisy, novelis yang sangat digilainya kini. Anuar menghantar jelingan tidak senang. Tidak tahulah kenapa dia digandingkan dengan peminat wanita. Dia lebih selesa jika digandingkan dengan peminat lelaki tetapi dia tidak boleh berbuat apa-apa jika pihak pengurusan yang menentukan dengan siapa dia akan digandingkan. 

Manakala Saidee, Abang ZZ, Eqbal, Hasrudi, Helmi dan Naim hanya tersengih melihat gelagat Paulina. Masing-masing mengangkat bahu sambil melemparkan pandangan ke arah Anuar. 

“Masaklah Nuar nanti dengan si Lina,” ujar Anuar, tidak tahu bagaimana hendak melayan kerenah Paulina apabila tiba di sana nanti. Mereka yang mendengar luahan Anuar, terlepas ketawa masing-masing.

 “Aduh!” jerit Naim, tiba-tiba memegang pinggang. 

“Kenapa, Naim?” soal Ebriza dan Norlela serentak. Masing-masing terkejut kesakitan Naim. mendengar erangan 

“Pinggang saya ni sakit sangat. Tak tahan dah ni. Nampaknya, saya tak dapat nak sertai program ni. Saya kena cepat ke hospital. Sepatutnya, saya memang ada temujanji dengan doktor hari ni. Saya ingat nak tukar tarikh lain sebab nak sertai program ni. Tapi nampaknya kesihatan saya tak mengizinkan,” ujar Naim sambil menahan kesakitan yang sangat berbisa. 

Tiba-tiba sahaja sakitnya datang kembali. Jika dia tetap mengikuti program itu, pasti akan mengganggu kelancaran program yang sudah dirancang rapi. 

“Kalau macam tu, biar saya bawa Naim ke hospital. Saya rasa, saya pun tak dapat join program ni. Tapi macam mana pulak dengan Norlela? Kesian pulak dia tak ada partner nanti,” ujar Mazuen, editor Buku Prima yang amat bersimpati dengan keadaan Naim. Dengan ketiadaan Naim di dalam program ini, secara automatik nama penulis muda itu terpaksa digugurkan daripada program termasuklah nama peminatnya. 

“Tak apalah, kesihatan Naim lebih penting. Nanti kalau ada rezeki, saya boleh sertai lagi program ni lain kali,” ujar Norlela. Dia cuba menutup kehampaannya dengan senyuman. 

“Biar saya teman Naim ke hospital dulu sebelum balik ke rumah. Have fun semua. Jangan lupa update aktiviti kat Pulau Chenta Aroma nanti,” pesan Norlela sambil melambai-lambaikan tangan apabila kereta yang dihubungi oleh Mazuen sudah pun tiba untuk membawa Naim ke hospital. 

“Bye, Lela!” Semua yang berada di situ melambai-lambai ke arah Norlela, Naim dan Mazuen. 

Kemudian, seorang demi seorang melangkah masuk ke dalam bot yang agak besar dan memuatkan kesemua novelis. Sebuah bot lagi memuatkan kesemua peminat dan bot yang ketiga memuatkan editor-editor yang terlibat. Pada saat akhir, juru foto tidak dapat menghadirkan diri. Maka, para editor sendiri yang akan merakamkan gambar-gambar para novelis bersama peminat masing-masing.

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.