Home Novel Seram/Misteri NOVELIS
NOVELIS
Ebriza Aminnudin
18/3/2020 11:42:10
13,024
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Beli Sekarang
Senarai Bab
Bab 1
“ASSALAMUALAIKUM dan selamat datang ke Pulau Chenta Aroma. Saya Ismanudin, bersama isteri saya Shahaneem. Kami adalah pemilik pulau dan resort di sini. Sebelum meneruskan acara, biar saya ceritakan serba sedikit tentang pulau ini. Pulau Chenta Aroma adalah sebuah pulau terbiar. Kami berdua telah membeli tanah di sini dan mula membina resort serta mencipta beberapa kelainan yang tidak terdapat di pulau lain. Anda semua terkejut setelah menerokai pulau ini. Di sini, terdapat beberapa buah resort dan jugak sebuah banglo untuk penginapan bagi ahli yang ramai. Anda semua akan kami tempatkan di dalam banglo. Dewan ni pulak kami bina untuk menjalankan sebarang aktiviti,” ujar Ismanudin panjang lebar. 


Masing-masing mengangguk faham. Namun, dalam hati mereka terdetik pertanyaan. Apakah yang telah diciptakan di dalam pulau ini sehingga ia menjadi lain daripada pulau-pulau yang lain? Tetapi, tiada seorang pun yang bersuara. Mungkin kerana keletihan, mereka hanya terus mendengar.

“Untuk pengetahuan semua jugak, pulau ni baru sahaja dirasmikan oleh menteri besar di sini. Pulau ni belum beroperasi sepenuhnya. Masih belum ada pengunjung yang datang ke sini. Anda semua adalah yang pertama menjalankan aktiviti di atas pulau ini. Uniknya apabila anda tiba di sini, anda harus memasuki pulau ini melalui pintu yang dikelilingi oleh hutan. Sengaja ia dicipta begitu agar menampakkan anda berada di dalam hutan dan bukan di dalam sebuah pulau. Anda bertuah kerana menjadi pengunjung yang pertama menjejakkan kaki di sini,” sambung Shahaneem dalam ucapan aluannya. Masing-masing mula berasa teruja. 

Pulau yang masih belum dikunjungi orang ramai ini menjadi pilihan penganjur untuk menjalankan program yang sangat berprestij ini. Mereka berasa bangga kerana menjadi yang pertama dan berharap program ini berjalan lancar tanpa sebarang cacat-cela. 

“Sepanjang berada di sini, anda semua di bawah tanggungjawab kami berdua. Seandainya ada apa-apa, jangan segan-segan atau malu-malu untuk bertanya pada kami. Kami berdua sentiasa ada berdekatan dengan anda. Baiklah, itu saja intro daripada saya. Sekarang, saya serahkan semula majlis ini kepada Encik Mohd Ali. Silakan, Encik Ali,” ujar Ismanudin, menyerahkan kembali majlis kepada pihak penganjur. Encik Ali mengambil alih tugasan yang tergalas di bahunya. 

“Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Terima kasih kepada peminat team Seramlicious kerana sudi menyertai program Santai Bersama Novelis yang julung-julung kali diadakan oleh pihak Buku Prima. Terima kasih juga buat novelis-novelis yang sudi hadir.

Tanpa anda semua, program ini tidak akan berjalan lancar. Sebelum memulakan aktiviti, boleh tak semua peminat memperkenalkan diri masing-masing dan nyatakan, kenapa anda memilih novelis itu untuk program kita kali ini. Kita mulakan dengan peminat lelaki terlebih dahulu. Silakan,” ujar Encik Ali, menjemput peminat lelaki yang sanggup datang dari Singapura semata-mata untuk bersama novelis yang diminatinya.

 “Bismillahirrahmanirrahim... nama saya Andi. Saya rasa, dalam kalangan novelis dah pun mengenali saya. Saya merupakan salah seorang peminat novel team Seramlicious kerana mereka telah menghasilkan karya yang terbaik. Kali ini, saya memilih untuk bersama Bro Eqbal Mohaydeen untuk mengetahui perkembangan terbaharunya dan jugak mengenalinya secara lebih dekat. Saya jugak ingin tahu bagaimana dia mendapat idea-idea yang menarik untuk menghasilkan sesebuah novel. Sekian,” ujar Andi sambil menyalami Eqbal dan duduk di sebelah idolanya. 

“Kita teruskan dengan peminat wanita pulak memandangkan peminat lelaki hanya seorang. Silakan,” jemput Encik Ali.

 “Assalamualaikum... nama saya Paulina atau lebih dikenali dengan ringkasan nama Lina Daud. Kenapa saya memilih novelis A. Darwisy dalam program Santai Bersama Novelis kerana penulis ini sudah banyak menghasilkan karya yang memberi manfaat kepada para pembaca. Di dalam novel Jangan Biar Dia Masuk 1 dan 2 serta novel Amukan Jembalang Tanah contohnya, idea beliau memberi impak yang luar biasa, seolah-olah wujud di alam realiti. Saya jugak sama seperti Andi, ingin mengenali novelis kesayangan saya ini secara lebih dekat. Terima kasih,” ucap Paulina, terus turun dari pentas dan menyertai Anuar. Selesai sesi memperkenalkan diri, para peminat akan duduk di sebelah novelis kesayangan mereka. 

“Saya Ashikin Fuzi atau dikenali sebagai Kay Black di media sosial. Saya memilih Saidee Nor Azam kerana beliau sememangnya novelis yang mampu menghadirkan aura seram dan thriller terbaik buat diri saya. Setiap plot yang digambarkan oleh novelis Saidee penuh dengan saspens dan tak dijangka. Saya menggemari cerita yang membuatkan saya berfikir dan tertanya-tanya. Beliau sering menghasilkan karya yang berkualiti dan ikhlas dari hati. Cara penulisan beliau jugak mampu meresap ke dalam jiwa saya. Beliau jugak adalah seorang novelis yang berkarisma dan sentiasa menghasilkan karya yang bagus dan mendapat tempat di hati saya,” ujar Ashikin, kemudian melangkah turun dari pentas menuju ke arah Saidee. 

“Assalamualaikum. Saya Nur Fatehah Abdul Rani. Boleh pangil saya Fatehah. Saya memilih novelis Zaifuzaman Ahmad kerana saya amat menyukai gaya penulisan beliau. Beliau jugak seorang novelis yang berbakat dan kreatif. Paling penting, saya merupakan peminat setia novelis ini,” ujar Fatehah, mengukir senyuman sebelum turun dan duduk di sisi novelis yang menjadi pilihannya. 

“Saya Roszita Fathrul Jaman. Boleh panggil saya Ita. Saya memilih novelis Ebriza Aminnudin kerana penulisan beliau menarik minat saya di dalam genre seram dan thriller. Bermula dengan gaya penulisan beliaulah membuatkan saya tertarik dan suka dengan genre seram. Bermula dengan novel pertama yang saya beli, iaitu Kubur Bernyawa sehingga novel beliau yang terkini telah menjadikan kesemua naskhah itu sebahagian daripada koleksi kesayangan saya. Menariknya, beliau sendiri sangat ramah dan senang dijadikan sahabat. Tambahan pula, kami mempunyai banyak persamaan terutamanya dalam berdiet dan jugak travel. Saya menyertai program ini untuk lebih dekat dengan novelis kesayangan saya ini,” ujar Roszita terus mendapatkan Ebriza, lalu memeluknya. Ebriza dengan senang hati membalas pelukan peminatnya. Pelukan yang diberikan sebagai tanda penghargaan kerana telah menyokong kariernya selama ini. “

Assalamualaikum semua. Saya Rohayah Mat Ali. Boleh panggil saya Aya. Tahukah anda, serancak jarijemari beliau mengetuk huruf-huruf di atas papan kekunci, serancak itulah debar di dada setiap kali membaca karya-karya beliau. Selembut bicara beliau di ruang-ruang diskusi, kelembutan itu jugak yang menghiasi bait-bait karya beliau. Seram, tragis, menangis, ketawa seakan-akan lumat dan sebati dalam setiap karyanya. The one and only, dialah Maria Kajiwa. Dah lama saya menyimpan hasrat untuk mengenali beliau dengan lebih dekat dan hari ini doa saya dimakbulkan ALLAH. Alhamdulillah,” ucap Rohayah, terus turun dari pentas dan mengambil tempat di sebelah Kak Maria. 

Seterusnya, seorang lagi peminat novel seram naik ke pentas untuk memperkenalkan diri. Masing-masing bertepuk tangan apabila peminat itu sudah berada di atas pentas. 

“Hai, semua! Saya Masriaty tapi lebih dikenali sebagai Atie Attyra di media sosial. Boleh panggil Atie aje. Baiklah, saya pulak memilih novelis Syasya Bellyna dalam program ini kerana saya ingin mengenali beliau dengan lebih dekat. Keramahan beliau dengan peminat dunia buku membuatkan saya tertarik untuk berkenalan dengannya. Walaupun naskhah yang telah dihasilkan beliau tidak banyak tapi bagi saya, Syasya mempunyai gaya tersendiri. Saya nampak dia boleh pergi jauh dalam bidang penulisan. Sekian,” ucap Atie, terus melabuhkan punggung di sebelah Syasya. Mereka berdua saling berbalas senyuman kegirangan. 

“Saya Roziyanti Matt Din. Boleh panggil saya Yanti. Saya meminati gaya penulisan Zyra Safiya kerana jalan cerita yang santai tapi ada seram dalam tak sedar. Apabila membaca karya Zyra, permulaannya biasa-biasa aje tapi semakin lama seram mula terasa dari bab ke bab. Lagi-lagi bila membaca di waktu malam. Boleh dikatakan karya Zyra serasi dengan jiwa saya.” Roziyanti menamatkan bicara sebelum mengambil tempat di sebelah Zyra. 

“Hai, assalamualaikum. Saya Busyra atau lebih dikenali sebagai Yra Radzi. Boleh panggil saya Yra. Saya memilih novelis Sufi Abqari kerana ingin mengenali beliau dengan lebih dekat melalui gaya penulisannya di dalam genre seram dan jugak thriller. Saya yakin Sufi boleh menjadi seorang novelis terkenal kelak. InsyaALLAH,” ujar Busyra sebelum mengambil tempat di sisi Sufi sambil mengukir senyuman manis.

 “Saya pulak, Nur Jama Atun. Panggil saya Jama. Saya berminat menyertai aktiviti beramah mesra dengan novelis Julie Jasmin kerana saya ingin mendengar pengalaman-pengalaman misteri, seram dan pengalaman-pengalaman menarik yang dialami sendiri oleh Kak Julie semasa menghasilkan karya seram. Saya akan rasa puas apabila Kak Julie bercerita sambil bertentangan mata dengannya,” ujar Nur Jama sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Julie. Salamnya disambut mesra.

 “Hai, saya Nurul Syakilla Zariman. Panggil Killa aje, manja sikit. Killa minat dengan novelis Helmi Effendy sebab dia salah seorang novelis yang memperjuangkan sejarah Melayu di dalam setiap novel yang ditulis. Helmi jugak pandai bermain emosi di dalam setiap bab. Killa suka dengan idea imaginasi yang ada di dalam novel Helmi, seterusnya membuatkan kita terikut-ikut dalam imaginasi penulis. Killa harap, Helmi akan meneruskan perjuangan dengan memasukkan elemenelemen sejarah Melayu di dalam setiap novelnya,” ujar Nurul Syakilla sebelum mengambil tempat di sebelah Helmi. 

“Assalamualaikum. Saya Balqis Alieya. Boleh panggil saya Balqis atau Mama Qis. Saya teringin mengenali penulis-penulis novel yang saya kagumi. Karya-karya yang telah dihasilkan oleh novelis-novelis Buku Prima amat mencengkam jiwa ketika saya membacanya. Saya suka gaya bahasa yang Ninie Othman gunakan. Ia mudah difahami dan mudah menyelami apa yang hendak disampaikan. Apabila Ninie menghasilkan cerita seram, ia bagaikan kita sendiri yang mengalami situasi itu. Sebab tulah saya memilih Ninie Othman untuk lebih mengenali dirinya secara peribadi,” ujar Balqis, terus memeluk Ninie selepas turun dari pentas.

Pelukannya berbalas. Ninie berasa bahagia apabila ada peminat yang menghargai hasil usahanya selama ini. “Saya Nurul Ain. Panggil Ain aje. Saya pulak memilih Hasrudi Jawawi kerana saya amat meminati karya-karya yang dihasilkan beliau. Ada kalanya, saya merasakan karya-karya beliau seakan-akan karya sebuah filem yang sedang ditayangkan. Rudi sangat berbakat dan ia meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri saya setelah tamat pembacaan. Selama ni, saya hanya mengenalinya melalui hasil karya dan media sosial tapi kali ni saya ingin mengenali novelis Hasrudi Jawawi secara berdepan. Alhamdulillah, program seperti ini amat bermakna buat kami sebagai peminat karya seram kerana kami boleh mengenali penulis kesayangan kami secara lebih dekat. Sekian,” ujar Nurul Ain, menamatkan sesi perkenalan pada hari itu.

 “Alhamdulillah... selesai sesi perkenalan peminat kepada novelis-novelis kesayangan masing-masing. Baiklah, sebelum beredar dan mengisi perut, ada satu tugasan yang harus diselesaikan oleh semua peminat dan novelis. Sesi seterusnya akan bermula pada malam ini. Dan anda semua bolehlah berehat sekejap sebelum kita meneruskan sesi yang telah diaturkan. Apa yang saya mahu adalah, anda harus memikirkan satu persembahan antara peminat dan novelis. Maksudnya, novelis menghiburkan peminat dan peminat jugak menghiburkan novelis kesayangan mereka. Jumpa lagi nanti. Assalamualaikum,” ucap Encik Ali, membubarkan majlis pada petang itu.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.