Home Novel Seram/Misteri HIJAB
HIJAB
Aida Adia
20/7/2016 00:07:49
15,355
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
BAB 5

JAMsudah menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Sebentar tadi, Zahari baru sahaja pulang kerana gilirannya bertugas telahpun berakhir. Kini, giliran Ahmad Hassan pula masuk shift di pondok pengawal Taman Sri Kasih, sebuah taman perumahan elit yang hanya mempunyai sepuluh buah banglo sahaja di situ.

Banglo-banglo di situ kebanyakannya kepunyaan VVIP dan hanya menjadi rumah persinggahan mereka di hari minggu. Sebuah kawasan yang sangat eksklusif dan agak terpencil daripada laluan jalan besar. Sangat digemari oleh golongan sebegini kerana ianya terletak betul-betul di kawasan pantai Port Dickson yang terkenal.

Ahmad Hassan memulakan rutin tugasan hariannya dengan membuat rondaan di dalam kawasan Taman Sri Kasih itu. Rondaan mengambil masa lebih kurang lima belas minit dan setelah memastikan di setiap penjuru kawasan tiada sebarang tanda-tanda yang meragukan seperti pencerobohan, kebakaran ataupun kecurian, Ahmad Hassan kembali semula ke pondok pengawal.

Tengah malam itu cuacanya terasa berlainan benar sejuknya. Menderu-deru bunyi angin laut yang bertiup kencang. Sesekali terdengar bunyi hempasan ombak yang menghempas pantai yang berdekatan. Ahmad Hassan mendongak ke langit. Tiada sebutir bintang pun di langit.

“Macam nak hujan ni,” kata Ahmad Hassan sendirian.

Sebaik sahaja Ahmad Hassan berkata begitu, petir dan kilat saling sabung-menyabung. Bunyi guruh juga berdentam-dentum di atas sana menandakan bila-bila masa sahaja hujan akan turun.

Ahmad Hassan menyarungkan jaketnya. Terasa sejuk benar sehingga ke tulang sum-sumnya. Seketika kemudian, hujan lebat turun mencurah-curah. Ahmad Hassan menutup tingkap pondok pengawal itu kerana tempias hujan di luar.

Namun, ketika dia menutup tingkap itu tiba-tiba sahaja terpacul seorang gadis yang entah dari mana datangnya, menjengah mukanya di tepi tingkap. Dek terperanjat melihat gadis itu, Ahmad Hassan terlompat lalu jatuh terduduk

“Allahhu Akbar!” jerit Ahmad Hassan sambil mengurut dadanya.

“Encik..Encik.. boleh saya masuk?” suara gadis itu timbul tenggelam bersulam dengan bunyi hujan lebat di luar.

Gadis itu mengetuk-ngetuk tingkap. Tubuhnya menggigil kesejukan kerana basah kuyup. Ahmad Hassan yang ragu-ragu pada mulanya terhadap gadis itu, berasa kasihan pula melihat keadaan gadis itu. Akhirnya, dia membuka pintu bilik kecil itu.

“Terima kasih Encik,” kata gadis itu sambil masuk ke dalam.

Tanpa disuruh, gadis itu terus duduk di kerusi. Ahmad Hassan hanya memerhatikan sahaja. Masih belum mampu untuk bersuara kerana pada ketika itu, dia terhidukan sesuatu yang berbau busuk seperti bangkai. Ahmad Hassan berasa tidak sedap hati.

“Cik ni dari mana ni dalam hujan lebat macam ni?” tanya Ahmad Hassan.

Dia masih berdiri di pintu sambil memerhatikan gadis itu. Dari pandangannya, gadis itu mungkin sebaya anak sulungnya, Annisa Faiha.

“Saya..saya..dianiaya Encik. Saya..saya dirogol..! Tolong saya Encik,” jawab gadis itu sambil menangis. Dia memandang Ahmad Hassan dengan pandangan sayu dan meminta simpati.

“Dirogol? Di mana? Kamu kenal ke orangnya? Macamana boleh jadi begitu? Nak saya tolong kamu buat laporan polis ke?” tanya Ahmad Hassan tidak ubah seperti seorang polis menyoal siasat pesalah.

Gadis itu tidak menjawab tetapi terus menangis sayu.

“Haduhh..parah macam ni!” kata Ahmad Hassan di dalam hati. Dia membiarkan sahaja gadis itu menangis sepuas-puasnya.

“Encik..saya dianiaya Encik. Teman lelaki saya dah janji nak bertunang dengan saya bulan depan. Kami ke pantai haritu untuk berbincang tapi..tak sangka, dia tipu saya. Dia..dia..rogol saya Encik. Tapi.. bukan dia seorang sahaja.. Dia bawak lima orang lagi kawan-kawannya. Saya..saya dirogol bergilir-gilir!” cerita gadis itu sambil menangis teresak-esak.

“Masya-Allah..! Kamu siapa nama? Tinggal mana ni? Siapa teman lelaki kamu tu? Kamu kenal kawan-kawan dia?” tanya Ahmad Hassan. Dia pula hilang sabar mendengar cerita gadis itu.

“Saya..Mazni. Dari..Kampung Tengah. Bapa saya dah meninggal dunia dua tahun lepas. Saya tinggal dengan mak dan seorang adik. Saya..kerja kilang kat Nilai. Teman lelaki saya, Hisham ialah penyelia saya di kilang yang sama,” jawab gadis yang bernama Mazni itu.

“Lelaki-lelaki yang merogol kamu bergilir-gilir tu, kamu kenal ke?” tanya Ahmad Hassan.

Mazni mengangguk.

“Siapa?” tanya Ahmad Hassan lagi.

“Kawan-kawan Hisham di kilang itu juga,” jawab Mazni.

“Di mana tempat kejadian tu?” tanya Ahmad Hassan.

“Di Pantai Batu 11. Tidak jauh dari sini. Di situ, ada sebuah Villa kosong..,” kata Mazni dalam nada sebak.

“Tak boleh biarkan perkara ini. Kamu kena buat report! Kamu teraniaya ni!” kata Ahmad Hassan.

“Tak boleh Encik! Tak boleh..!” jawab Mazni sambil kembali menangis teresak-esak.

“Kenapa pula? Kamu nak biarkan sahaja?” tanya Ahmad Hassan hairan.

Mazni hanya menggelengkan kepalanya beberapa kali.

“Encik, saya sayangkan Mak saya. Mesti hancur luluh hatinya bila dia tahu saya macam ni..,” jawab Mazni.

“Tapi, bukankah kamu telah dianiaya.?” Balas Ahmad Hassan.

Tiba-tiba lampu suluh yang dipegang Ahmad Hassan terjatuh. Betul-betul di hujung kaki Mazni. Ahmad Hassan membongkokkan badannya untuk mengambil lampu suluh yang terjatuh itu.

Namun, bagai ingin gugur jantungnya dek terkejut apabila terpandangkan air yang menitik di hujung kaki seluar Mazni yang basah itu berwarna merah darah. Ahmad Hassan mendongak mukanya untuk memandang Mazni namun sekali lagi dia terkejut bila melihat keadaan rupa Mazni yang mengerikan.

Kelihatan wajah Mazni hitam seperti terbakar dan berdarah-darah. Kedua-dua biji matanya seperti dicungkil. Yang keluar hanya darah pekat di bahagian matanya yang berlubang. Kedua-dua belah pipinya bagaikan ditoreh dengan sesuatu benda yang tajam.

Dada Mazni juga penuh dengan darah. Serentak itu, bau hanyir dan busuk seperti bangkai binatang memenuhi ruang bilik pengawal. Namun, di pendengaran Ahmad Hassan terdengar lagi suara Mazni menangis teresak-esak.

“Tolong saya Encik! Tolong saya..!” sayu suara Mazni memohon simpati.

“AllahhuAkbar! Astagfirullahhalazim! Masya-Allah!”

Serentak itu, Ahmad Hassan melaungkan azan dan kemudiannya membaca ayat-ayat Al-Quran. Di waktu itu juga, tubuh Mazni hilang begitu sahaja di hadapan Ahmad Hassan. Tiada bau busuk yang memenuhi ruang bilik pengawal itu. Begitu juga, tiada kesan darah yang ditinggalkan oleh Mazni di lantai itu.

Ahmad Hassan tersandar di kerusi. Dia beristigfar banyak kali. Dilihat jam di tangannya. Jam sudah menunjukkan pukul 3.30 pagi!

“Ya Allah..! Apa yang mahu Kau tunjukkan padaku, ya Allah?” tanya Ahmad Hassan sendirian sambil meraup mukanya perlahan.

Hujan lebat sudah lama berhenti. Ahmad Hassan sendiri tidak sedar bilakah angin kencang, petir dan kilat serta guruh tadi berhenti. Dia menarik nafas panjang. Akhirnya, dia bangun dan terus menuju ke tandas kecil yang terletak di belakang bilik pengawal.

Mengambil wudhuk lantas terus membentangkan tikar sejadah di ruangan yang agak terhad bersebelahan meja di dalam bilik pengawal itu. Ahmad Hassan terus menunaikan solat sunat Istikharah memohon petunjuk daripada Allah atas apa yang berlaku tadi.

Ahmad Hassan percaya, Allah ingin ‘menyampaikan’ sesuatu melalui kejadian tadi. Dia memohon kepada Allah agar mempermudahkan segala urusannya.

**********************************

Pagi itu, selepas membuat rondaan yang terakhir sebelum mengakhiri giliran shiftnya, Ahmad Hassan menulis sesuatu di buku laporan harian pengawal keselamatan sebagai salah satu antara rutin tugasnya di situ.

“Assalammualaikum Pak Hassan!” suara Sufian memberi salam.

“Waalaikummussalam..,” jawab Ahmad Hassan.

“Ha..apahal muka macam tak cukup tidur ni?” tegur Ahmad Hassan apabila dilihatnya wajah Sufian sembab semacam bagaikan orang tidak cukup tidur. Sufian menguap beberapa kali.

“Haah Pak Hassan. Awal pagi tadi, saya temankan kakak saya ke balai polis. Buat report,” jawab Sufian. Dia sudah meletakkan helmet di bawah meja.

“Buat report? Kenapa?” tanya Ahmad Hassan ingin tahu. Dia juga sudah bersiap-siap ingin pulang ke rumah.

Sufian duduk di kerusi. Matanya merah kesan daripada kurang tidur.

“Kakak saya ngadu yang anak sulung dia dah dua hari tak balik rumah. Dia dah call kilang tempat kerja anak buah saya tu tapi mereka cakap anak buah saya bercuti. Itu yang kakak saya pelik tu, kalau anak buah saya bercuti kenapa dia tak diberitahu. Kawan-kawannya yang rapat pun cakap yang mereka dah lama tak nampak anak buah saya tu..,” cerita Sufian.

“Err..siapa nama anak buah kau tu Pian?” tanya Ahmad Hassan.

“Mazni namanya. Kenapa Pak Hassan?” tanya Sufian, berasa pelik.

“Err.. dia..dia kerja kilang kat Nilai kan? Dia tinggal kat Kampung Tengah kan, bersama emak dan adiknya. Betul tak?” tanya Ahmad Hassan.

“Iya Pak Hassan. Macamana Pak Hassan tahu ni? Pak Hassan kenal ke anak buah saya tu?” tanya Sufian hairan.

“Subahanallah!” ucap Ahmad Hassan sambil meraup wajahnya. Dia sudah termenung di situ.

Sufian memandang hairan sambil terpinga-pinga kebingungan.

“Kenapa pulak ni Pak Hassan? Apa yang berlaku ni? Pak Hassan tahu kemana anak buah saya Mazni tu? Ceritalah Pak Hassan..!” tanya Sufian.

Dia yang merasa letih dan mengantuk yang amat sangat ketika sampai tadi, mula bersemangat. Pasti Pak Hassan tahu kemana anak buahnya itu. Fikir Sufian. Sufian kasihan melihat kakaknya itu, seorang ibu tunggal yang hanya bergantung harap kepada anak sulungnya itu. Sufian juga turut merasa risau akan kehilangan Mazni.

Ahmad Hassan mengeluh. Dia kembali duduk di kerusi berhadapan dengan Sufian. Bingung dan tidak tahu, di manakah dia patut memulakan ceritanya. Dia memandang wajah Sufian yang sedang menunggu jawapannya.

“Pian, kalau Pak Hassan ceritakan sesuatu, kau nak percaya tak?” tanya Ahmad Hassan.

“Cerita apa Pak Hassan? Cerita sajalah. Yang penting, saya nak tahu apa yang terjadi kat Mazni. Saya kesiankan kakak saya tu Pak Hassan,” kata Sufian dengann nada keluhan.

Akhirnya dengan lafaz Bismillah, Ahmad Hassan menceritakan segala-galanya apa yang berlaku malam semalam kepada Sufian. Terbeliak mata Sufian mendengar cerita Ahmad Hassan.

Mulanya Sufian agak sangsi dengan apa yang diceritakan oleh Ahmad Hassan. Namun, apabila mengenangkan Ahmad Hassan memang terkenal dengan waraknya, tidak mustahil dia mempunyai sesuatu kelebihan yang tidak ada pada orang lain.

Berdasarkan cerita daripada Ahmad Hassan, Sufian nekad membuat laporan dengan bantuan Ahmad Hassan sendiri. Tidak kiralah polis mahu menerima laporannya ataupun merasa ragu dengan kesahihan ceritanya, yang penting Sufian mahu polis segera membuat siasatan ke Villa tinggal di tepi pantai di Batu 11 itu.

Akhirnya sepasukan polis telah diarahkan untuk membuat siasatan ke atas villa tinggal itu. Memang benar seperti yang dilaporkan, pihak polis telah menemui rangka manusia yang telah ditanam di belakang villa tinggal itu. Namun, tidak dapat dipastikan siapakah pemilik rangka itu sehingga hasil bedah siasat daripada pihak forensik dikeluarkan.

Setelah tiga hari, pihak forensik telah mengesahkan bahawa rangka manusia itu adalah kepunyaan Mazni. Berdasarkan maklumat yang diberi, akhirnya Hisham dan rakan-rakan telah ditahan reman untuk membantu siasatan ke atas kes bunuh dan rogol Mazni.

Malam itu, seperti kebiasaannya, setelah Ahmad Hassan selesai membuat rondaan, dia kembali duduk di bilik pengawal. Sambil duduk, dia membuka Al-Quran kecilnya lantas menyambung pembacaannya.

Tiba-tiba, Ahmad Hassan terhidukan bau yang wangi. Dia mencari-cari bau wangi itu di sekeliling bilik pengawal itu. Ketika dia menoleh ke arah palang besi yang menghalang laluan masuk ke Taman Sri Kasih itu, Ahmad Hassan terpandangkan lembaga wanita yang memakai telekung putih sedang berdiri di situ.

Lembaga wanita itu sedang memandang dan tersenyum kepada Ahmad Hassan. Ahmad Hassan beristigfar banyak kali. Dia tahu, lembaga wanita itu tidak berniat jahat kepadanya.

Bila ditenung lama-lama kepada lembaga wanita itu, barulah Ahmad Hassan perasan bahawa lembaga wanita itu adalah Mazni. Ahmad Hassan percaya itu adalah roh Mazni.

“Terima kasih Encik..” kata roh Mazni itu sebelum ianya terus hilang di pandangan mata Ahmad Hassan.

“Alhamdulillah. Innalillahiwainnailahirojiun..! Semoga rohmu dicucuri rahmat, nak!” ucap Ahmad Hassan sambil menarik nafas lega.


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.