Home Novel Seram/Misteri The Melody
The Melody
Akma Saidon
21/8/2014 21:28:37
18,927
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Bab 4

Alunan lembut petikan keyboard yang dimainkan Ezzyra seakan memukau empat anak muda yang mendengarnya. Petikan melodi tersebut seakan menyerap lalu sebati ke dalam jiwa sesiapa sahaja yang mendengarnya. Melodinya tersusun rapi. Alunannya melekakan sukma.

Mak Awa yang sedang menumis di bahagian dapur The Melody turut terbuai sama. Tersenyum-senyum dia menikmati alunan petikan keyboard yang pertama kali didengarinya itu. Senang sungguh dia dengan melodi membuai jiwa sebegitu. Sebuah melodi yang seakan membawa jauh dirinya terbang ke udara.

“Jadi? Macam mana?” soal Ezzyra. Bulat matanya memandang wajah sahabat-sahabatnya itu. Terkebil-kebil dia menunggu maklum balas.

Not bad! Nora bagi empat bintang! Hahaha,” ujar Aliana lantang. Pecah tawa mereka mendengarkan kata gadis Sarawak tersebut.

“Nanti kita gubah lirik.. jadi, kita boleh perform masa MCC’s Night,” ujar Eddry pula memberi cadangan. Mereka yang lainnya sekadar mengangguk.

Sempatkah sik? Kita ada masa sebulan jak mok prepare everything (Sempat ke? Kita ada masa sebulan je nak prepare everything)” ujar Aliana di dalam loghat Sarawaknya.

“Hah?!”

Ezzyra, Shazreen dan Reezal tercengang-cengang. Walau mereka sudah bersahabat lebih dari setahun lamanya, namun mereka berdua yang berasal dari semenanjung itu masih sukar untuk memahami loghat Sarawak yang seringkali ditutur Eddry dan Aliana.

“Sempat Insha-Allah.. Sebulan tu lama, Lily..” balas Eddry tenang. Tersengih-sengih dia melihat wajah ‘pending’ tiga rakannya itu.

Reezal mengerling ke arah Ezzyra yang kebetulannya turut memandang ke arahnya. Dia mengangkat sedikit kening. Ezzyra hanya menjungkit bahu tanda tidak tahu. Sudahnya, mereka berdua sekadar membiarkan sahaja benda itu berlalu. Pada mereka, hal tersebut tidak terlalu penting untuk difikirkan. Jika penting, pasti dua lagi sahabatnya itu akan berkongsi kata.

“Makanan dah siap.. jom makan,” ujar Mak Awa tiba-tiba. Mereka yang mendengar, sekadar mengangguk. Bangkit perlahan lalu menapak menuju ke ruangan dapur.

“Ummi masak apa?” soal Aliana. Segera dia merapati wanita itu lalu merangkul lengan wanita tersebut. Mak Awa sekadar tersenyum melihatkan kerenah gadis Sarawak tersebut yang sememangnya manja dan kebudak-budakkan.

“Ada laa..” balas Mak Awa. Senang betul hatinya dengan kerenah-kerenah empat anak muda di bawah jagaan dia dan suaminya, Pak Ako itu.

“Ezz! Menung apa lagi tu? Jom makan!” jerit Pak Ako tiba-tiba.

“Aaa Iye! Ye.. nak makan laa ni,” balas Ezzyra agak kalut. Terkocoh-kocoh dia pergi mendapatkan mereka yang sudah pun masuk ke ruangan dapur.

Tergeleng-geleng Pak Ako melihatkan tingkah Ezzyra yang serba kelam-kabut. Termenung saje kerja budak ni.. bisik hati kecilnya. Ditunggu juga gadis itu di bingkai dinding yang menjadi laluan untuk mereka masuk ke ruangan dapur. Sebaik tiba, Ezzyra sekadar tersenyum selamba melihatkan Pak Ako yang menunggunya di situ. Segera dia menarik lengan lelaki yang sudah dianggap seperti bapanya sendiri itu lalu keduanya terkedek-kedek mendapatkan tempat duduk masing-masing.

“Reez.. Mona mana?”

Sempat Ezzyra membisik ke telinga Reezal yang duduk bersebelahan dengan dirinya. Reezal hanya menggeleng kecil. Dia sendiri tidak tahu ke mana menghilangnya Mona Sufiya. Hanya seketika, meja makan yang mempunyai lapan kerusi itu sudah dipenuhi mereka bertujuh. Hanya sebuah kerusi di hujung meja sana sahaja yang kosong tidak berpenghuni.

Kecur liur mereka sebaik terpandangkan juadah makan malam yang disediakan Mak Awa. Perut yang sememangnya lapar, semakin galak berkeroncong. Usai bacaan doa makan, mereka langsung sahaja mengisi perut yang sudah tidak sabar-sabar mahu dipenuhi. Dan tika itu, suasana menjadi sunyi sepi. Yang kedengaran hanyalah putaran kipas syiling yang gagah bekerja untuk menyejukkan mereka sahaja.

“As.. kum.. kummm.”

Sedang mereka asyik menikmati hidangan makan malam, kedengaran salam diberi oleh seseorang di luar The Melody. Pak Ako mengerling Mak Awa yang duduk berdekatan dengan dirinya. Mak Awa turut memandang sama ke arah wajah suaminya. Pandangan mata mereka seakan memperkatakan sesuatu namun tidak langsung disuarakan. Lima anak muda itu pula sekadar terpandang-pandang sesama mereka.

“As.. kum.. kumm.”

Sekali lagi salam yang sayup-sayup kedengaran dan terputus-putus itu kedengaran. Eddie segera bangkit, mahu melihat siapa yang berada di luar The Melody.

“Nak ke mana, Edd?” soal Pak Ako. Semerta terbantut tingkah Eddry sebaik mendengarkan pertanyaan Pak Ako tersebut.

“Ada orang beri salam, kan tu?” soal Eddry kembali. Sengaja inginkan kepastian. ‘Rasanya macam tak salah dengar,’ desis hati kecilnya.

“Takder siapa pun tu.. dah, makan,” ujar Pak Ako agak tegas.

“Tapi...”

“Makan laa Edd..” sampuk Mak Awa pula. Wanita itu tersenyum kecil melihatkan ulah Eddry yang teragak-agak. Akhirnya, anak muda tersebut mengalah. Eddry kembali mengambil tempat lalu meneruskan suapannya yang tergendala sebentar tadi. Namun di hati, masih tertanya-tanya perihal pemberi salam tersebut.

EDDRYtermenung panjang di kerusi berdekatan tingkap di dalam biliknya. Pelbagai perkara bermukim di tengkorakan kepala yang memaksa dia untuk terus berfikir. Dari satu ke satu bermain di mindanya. Perihal pemberi salam semasa mereka menjamu selera juga tidak ketinggalan.

Reezal masih berjaga walau jam sudah mencecah ke angka tiga pagi. Entah mengapa, malam itu matanya sukar dilelapkan. Fikirannya tertumpu kepada pemberi salam misteri yang menganggu waktu makan malam mereka. Mengapa Pak Ako menegah Eddry dari terus membuka pintu sedangkan mereka sendiri mendengarkan salam yang diberi. Salam itu juga kedengaran aneh. Seakan pendek dan terputus-putus.

Eddry masih bermenung. Pandangan matanya dialihkan ke arah bulan yang mengambang penuh. Bila dicongak-congak, sudah lima belas hari bulan Islam rupanya. Patutlah bulan begitu gah memancarkan cahayanya yang pucat. Bulan mengambang begitu indah di penglihatan Eddry. Ciptaan Tuhan, masakan tidak indah.

Reezal puas bergolek ke kanan dan ke kiri. Cuba dipaksa matanya agar lena. Namun, malam itu mata seakan sukar memberi kerjasama. Lena amat liat untuk digamit. Sudahnya dia bangkit dari pembaringan. Matanya memerhatikan pintu pemisah antara dua bilik. Dia berkira-kira sendiri samada mahu menjengah Eddry di sebelah, atau duduk bersendirian melayan mata di biliknya. Akhirnya diatur juga langkah merapati pintu itu. Tombol dipulas, pintu dikuak. Dia menjengahkan kepalanya.

Eddry tersentak. Pantas dia menoleh, memandang ke arah pintu pemisah antara biliknya dengan bilik Reezal. Hatinya semerta kelegaan sebaik ternampak kepala Reezal yang mencari-cari dirinya. Sebaik sahabatnya itu ternampak dia sedang duduk di kerusi kayu berdekatan tingkap, santai sahabatnya itu melangkah mendapatkan. Birai katil dituju lalu Reezal duduk berjuntaian kaki di situ.

“Tak boleh tidur jugak ke?” soal Eddry memulakan bicara. Reezal tersenyum kecil lantas mengangguk, mengiyakan.

“Samalah. Macam-macam yang difikirkan, sambil-sambil tengok bulan..” ujar Eddry lagi. Reezal masih seperti tadi, hanya tersenyum kecil.

Eddie kehilangan kata-kata. Payah bercakap dengan orang pendiam ni, fikirnya. Kata-kata bagi Reezal terlalu mahal. Dia hanya mengatakan sesuatu yang hak, tidak memanjang-manjangkan cerita, tidak menokok tambah, tidak menyedapkan. Jika putih maka putihlah dikata dan jika hitam, maka hitamlah yang dilafaz.

“Fikirkan apa?” sepatah Reezal bertanya.

Eddry tidak terus menjawab. Dikerling sekilas wajah temannya itu. Dia berfikir-fikir, patutkan diberitahu sahaja kepada Reezal, atau dia perlu memusing cerita agar temannya itu tidak berfikir yang bukan-bukan? Eddry masih berkira-kira sendiri. Dia masih terkial-kial memberikan jawapan terbaik buat pertanyaan si sahabat.

“Fikirkan pasal, pemberi salam malam tadi ke?” teka Reezal. Suaranya bernada perlahan tetapi cukup jelas di pendengaran Eddry.

“Kau pun fikir pasal tu jugak?” Eddry menujah. Soalan dibalas soalan. Keduanya berdiam diri seketika, sengaja memandang bulan yang indah purnamanya. Tidak lama, hanya seketika sebelum Reezal menoktah kata.

“Ye.”

Sepatah jawapan dari Reezal membuatkan Eddry kelu. Dia tiba-tiba buntu untuk meneruskan perbualan. Cukup sukar untuk bermain kata dengan Reezal. Kata-katanya ibarat emas, terlalu mahal harganya. Selalunya, Reezal hanya tersenyum kecil, menyengih lebar, mengangguk atau menggeleng. Kalau dengar dia bersuara, beruntung sangatlah.

“Apa yang kau fikirkan pasal tu, Reez?” Eddry terus-terusan memancing sahabatnya itu untuk terus bersuara.

Reezal diam. Otaknya ligat mencari jawapan terbaik buat soalan Eddry. Dia takut tersalah jawab. Risau kalau-kalau jawapannya nanti bakal menyinggung hati temannya itu. Hati orang, bukan boleh ditebak rasanya. Rambut sama hitam, hati lain-lain.

“Aku cuma terfikir, pemberi salam tu siapa. Manusia atau bukan,” ujar Reezal perlahan.

Jawapan itu menarik perhatian Eddry. Semerta reromanya merinding. Angin dingin yang entah datang dari mana semerta menyapa tubuhnya. Eddry pantas mengusap-usap kedua lengannya. Tengkuknya juga turut diurut lembut. Matanya tepat memandang wajah Reezal yang masih kekal seperti tadi.

“Aku pun fikir macam yang kau fikir. Tambah pelik bila Pak Ako macam sengaja tak bagi aku buka pintu,” balas Eddry memberi pendapat.

Reezal memasang telinga. Dia tidak terus membalas kata-kata Eddry. Ditelan dan dihadamnya dahulu setiap kata lelaki itu sebelum dicerna di kepala. Agak lama, baru dia membuka mulut, membalas kata-kata sang sahabat.

“Mungkin, ada sebabnya kenapa Babah buat macam tu.”

“Maksud kau?” Eddry kehairanan. Berkerut keningnya memandang wajah tenang Reezal.

“Setiap apa yang berlaku, pasti ada sebabnya. Mungkin Babah tahu apa yang kita tak tahu. Mungkin..” balas Reezal. Sedikit senyuman kecil diberikan buat Eddry.

“Agaknya macam tulah. Lagi pun, Babah tu selalunya tak bagitau kita apa yang dia fikirkan, apa yang dia rasa. Dia selalunya diamkan je semua benda pun. Kau rasa macam mana, Reez?” ujar Eddry.

“Rasa apa?” soal Reezal kembali.

“Riaksi Babah..” balas Eddry ringkas.

“Macam aku cakap tadilah. Adalah tu sebabnya Babah cakap macam tu. Mungkin dia sengaja sorokkan dari kita, atau dia ada sebab tersendiri nak sorokkan dari kita. Who knows, right?

Eddry sekadar mengangguk. Menerima sebulat-bulatnya apa yang dikatakan Reezal. Dia langsung tidak menolak apatah lagi membantah. Mungkin benar apa yang diperkatakan sahabatnya itu. Pak Ako lebih tahu apa yang terjadi berbanding mereka.

“Aku tidur dulu, kau pun tidurlah jugak. Tak elok pandang bulan lama-lama. Nanti ada yang membalas sama. Assalamualaikum,” ujar Reezal. Semerta dia bangkit dari duduknya lalu berjalan perlahan mendapatkan pintu pemisah dua bilik. Bilir tidur serba biru itu ditinggalkan lalu kakinya mendapatkan bilik tidurnya sendiri. Bilik serba hijau muda yang mendamaikan mata.

SEPENINGGALANReezal, Eddry masih tetap menahan mata. Bukanlah dia tidak mahu melelapkan diri, namun rasa mengantuk belum pun ada walau sekelumit cuma.

Dia masih ralit memerhatikan bulan purnama yang galak menebarkan cahaya pucatnya. Sinar rembulan yang memberikan sedikit cahaya tampak begitu sempurna. Dada langit yang ditaburi bintang-bintang yang hanya kecil dipandangan mata menambahkan seri sang rembulan.

Mata Eddry beralih pula pada pepohonan yang mengelilingi kawasan luar pagar The Melody. Dari satu pohon ke satu pohon diperhatikan. Sebatang pohon yang agak besar dan rendang menarik perhatiannya. Terlihat pohon itu bergoyang-goyang. Bukan seperti ditiup angin, tetapi seperti ada sesuatu di atas pohon itu. Eddry menajamkan pandangan matanya. Direnung pohon itu.

Pohon besar itu semakin galak digoyang sesuatu.

Eddry masih mencari-cari benda semacam apakah yang mampu menggoyangkan pohon sebesar itu. Meliar matanya meneliti dari jauh. Pandangannya agak terganggu dek gelap malam yang pekat.

Dari balik jendela, sepasang mata Eddry ternampak satu makhluk yang sedang duduk pegun di dahan paling besar. Elok duduk berjuntaian kaki. Matanya menatap tajam pandangan Eddry dengan muka yang berkedut-kedut dan terbakar.

Lelaki itu tersentak. Semerta darahnya berderau. Dadanya berombak dan jantungnya berdegup laju. Peluh mula merenek di dahi. Matanya membulat untuk terus memerhati. Dia seakan terpana. Langsung tidak dialihkan pandangan matanya. Walau reroma di lengan sudah merinding, dia masih terus memandang ke satu arah. Arah di mana adanya makhluk yang berbalas pandangan.

“Apa tu?” ujar Eddry perlahan.

Makluk itu terus-terusan memerhati dengan mata merah menyala. Di balik cahaya rembulan yang kepucatan, terlihat dia menyeringai seram. Sekejapan makhluk itu melayang lalu menghilang di balik kepekatan malam.

Eddry cepat-cepat berpaling.

Lampu dipadam lalu dia membaringkan tubuhnya di tilam empuk. Fikirannya masih teringat-ingat apa yang telah dilihatnya. Perlahan dia beristighfar, memohon ketenangan hati. Tiga kul dibaca disusuli ayatul kursi. Setelah dirasakan sedikit tenang, Eddry memejamkan mata.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.