Kampong
Bentara Jingga – 1917
“Hong
ui la heng. Niat ingsun matek ajiku. Aji petingo engan. Soko aji soko yen sopo
ketiban. Jin setan peri prayangan podo. Mati ojo maneh rebaking. Janho manungso
ora mati. Amblek sar turune koyo mati. Ora pisan pisantangi yen aku. Duri hong
uilameng.”
Suara
Mbah Piah berlagu mantera. Dengan mata yang terpejam, dia asyik berkumat-kamit
sendirian. Sesekali, jari-jemarinya mencubit cebisan halus kemenyan lalu
ditabur ke dalam bara api. Serentak itu juga asap putih berkepul-kepul memenuhi
ruang udara lalu menghasilkan bauan yang menyengat rongga hidung.
Sayup-sayup
terdengar lolongan suara pekikan. Semakin lama suara itu semakin mendekat.
Tumpuan Mbah Piah terganggu. Dicelikkan matanya sambil mempamerkan wajah
meluat. Hatinya mendengus marah. Suara pekikan di luar rumahnya semakin
merimaskan. Mahu atau tidak, Mbah Piah terpaksa juga mengatur langkah
mendapatkan bingkai pintu yang sudah lusuh benar keadaannya.
Berkeriut
bunyi apabila pintu rumah tua itu di kuak dari dalam. Tersembul muka Mbah Piah
dengan wajah masam mencuka. Tak berkenan sungguh dia dengan kedatangan orang
kampong ke rumahnya malam-malam buta seperti itu.
“Mahu
apa datang ke rumahku malam-malam begini?” soal Mbah Piah keras. Tajam
pandangan matanya menikam satu-persatu wajah-wajah di hadapannya.
“Kami
ke mari bukan berniat jahat, Mbah! Kami cuma mahu Mbah keluar dari kampong ni.
Itu saja,” ujar Seman. Antara pemuda-pemuda kampong yang ikut serta menyerbu
rumah Mbah Piah malam itu.
“Kamu
mahu menghalau aku dari sini dan itu yang kamu katakan bukan berniat jahat? Apa
kamu mahu serahkan nyawamu padaku?” tujah Mbah Piah. Terselit senyuman sinis di
balik bibir hitamnya.
“Sudah-sudahlah
Piah. Kita dah sama-sama tua. Sampai bila kamu mahu lakukan perbuatan khurafat
tu? Sampai bila kamu nak tagih nyawa manusia? Mengambil nyawa manusia itu kerja
Allah, bukan kau! Bertaubatlah Piah,” bidas Imam Malik tiba-tiba. Entah dari
manalah dia muncul, tiada siapa yang tahu.
Meleret
senyuman Mbah Piah. Sinis dan menakutkan. Mulutnya pula terkumat-kamit
membacakan serapah mentera. Rambutnya yang panjang mengurai semerta mengerbang.
Dia menyeringai garang. Dadanya turut berombak menahan sejuta rasa yang
bermukim di jiwa.
Tidak
semena-mena angin bertiup kencang. Guruh berdentam-dentum di dada langit. Kilat
turut tidak kalah sabung-menyabung. Imam Malik meliarkan matanya memerhatikan
perubahan alam yang tiba-tiba. Laju mulutnya membacakan beberapa potong
ayat-ayat suci pelindung diri.
“Macam
mana ni? Apa kita nak buat?!” soal Lebai Salleh separuh menjerit. Hampir
tertutup matanya menerima pukulan angin yang menggila.
“Kita bakar rumahnya! Kita bakar!!!” laung
Penghulu Ripin. Sengaja dikuatkan suaranya agar pemuda-pemuda kampong yang seramai
lapan orang itu mampu mendengar suaranya dengan jelas.
“Bakar!!
Bakar!!”
Pemuda-pemuda
kampong turut membalas laungan Penghulu Ripin. Segera dirapati rumah papan Mbah
Piah yang sudah usang benar keadaannya. Disuakan nyalaan jamung di bucu rumah
papan Mbah Piah. Beberapa orang pemuda kampong pula dengan sengaja membaling
jamung-jamung ke bahagian dalam rumah Mbah Piah. Sekejapan cuma, rumah Mbah
Piah sudah mulai dijilat api yang menggila.
“Kurang
ajar, kalian! Biadab! Aku bersumpah barangsiapa yang membina walau apa juga
bentuk teratak di tapak rumah ini, akan aku ganggu! Tidak akan ada sesiapa yang
mampu lari dari sumpahanku! Akan aku binasakan walau siapa sahaja yang bermukim
di tanah ini!”
Bergegar
tanah di kawasan itu. Keadaan menjadi bertambah haru-biru. Pemuda kampong
seramai lapan orang yang menyaksikan kejadian itu tergamam. Hanya Imam Malik,
Lebai Salleh dan Penghulu Ripin yang terlihat masih bertenang. Pengalaman hidup
seakan mematangkan tiga orang tua tersebut.
Mbah
Piah menyeringai kepuasan. Dia yakin sumpahannya waktu itu menjadi. Dia sudah
tidak kira antara halal dan haram. Dia sudah tidak peduli dengan dosa dan
pahala. Segala hukum Allah sudah lama dilanggarinya. Apa yang penting, hatinya
merasa puas.
Sebaik
selesai melafazkan kata, tubuh Mbah Piah disambar api yang menyala.
Terpekik-pekik orang tua itu keperitan. Orang-orang kampong yang menyaksikan,
langsung tiada rasa mahu membantu. Mereka sekadar memandang tubuh tua Mbah Piah
hangus dijilat api.