Alunan
lembut petikan keyboard yang dimainkan Ezzyra seakan memukau empat anak muda
yang mendengarnya. Petikan melodi tersebut seakan menyerap lalu sebati ke dalam
jiwa sesiapa sahaja yang mendengarnya. Melodinya tersusun rapi. Alunannya
melekakan sukma.
Mak
Awa yang sedang menumis di bahagian dapur The Melody turut terbuai sama.
Tersenyum-senyum dia menikmati alunan petikan keyboard yang pertama kali
didengarinya itu. Senang sungguh dia dengan melodi membuai jiwa sebegitu.
Sebuah melodi yang seakan membawa jauh dirinya terbang ke udara.
“Jadi? Macam mana?” soal Ezzyra. Bulat matanya
memandang wajah sahabat-sahabatnya itu. Terkebil-kebil dia menunggu maklum
balas.
“Not bad! Nora bagi empat bintang!
Hahaha,” ujar Aliana lantang. Pecah tawa mereka mendengarkan kata gadis Sarawak
tersebut.
“Nanti
kita gubah lirik.. jadi, kita boleh perform
masa MCC’s Night,” ujar Eddry pula memberi cadangan. Mereka yang lainnya
sekadar mengangguk.
“Sempatkah sik? Kita ada masa sebulan jak mok
prepare everything (Sempat ke? Kita ada masa sebulan je nak prepare everything)” ujar Aliana di dalam loghat Sarawaknya.
“Hah?!”
Ezzyra,
Shazreen dan Reezal tercengang-cengang. Walau mereka sudah bersahabat lebih
dari setahun lamanya, namun mereka berdua yang berasal dari semenanjung itu
masih sukar untuk memahami loghat Sarawak yang seringkali ditutur Eddry dan Aliana.
“Sempat
Insha-Allah.. Sebulan tu lama, Lily..” balas Eddry tenang. Tersengih-sengih dia
melihat wajah ‘pending’ tiga rakannya
itu.
Reezal
mengerling ke arah Ezzyra yang kebetulannya turut memandang ke arahnya. Dia
mengangkat sedikit kening. Ezzyra hanya menjungkit bahu tanda tidak tahu.
Sudahnya, mereka berdua sekadar membiarkan sahaja benda itu berlalu. Pada
mereka, hal tersebut tidak terlalu penting untuk difikirkan. Jika penting,
pasti dua lagi sahabatnya itu akan berkongsi kata.
“Makanan
dah siap.. jom makan,” ujar Mak Awa tiba-tiba. Mereka yang mendengar, sekadar
mengangguk. Bangkit perlahan lalu menapak menuju ke ruangan dapur.
“Ummi
masak apa?” soal Aliana. Segera dia merapati wanita itu lalu merangkul lengan
wanita tersebut. Mak Awa sekadar tersenyum melihatkan kerenah gadis Sarawak
tersebut yang sememangnya manja dan kebudak-budakkan.
“Ada
laa..” balas Mak Awa. Senang betul hatinya dengan kerenah-kerenah empat anak
muda di bawah jagaan dia dan suaminya, Pak Ako itu.
“Ezz!
Menung apa lagi tu? Jom makan!” jerit Pak Ako tiba-tiba.
“Aaa
Iye! Ye.. nak makan laa ni,” balas Ezzyra agak kalut. Terkocoh-kocoh dia pergi
mendapatkan mereka yang sudah pun masuk ke ruangan dapur.
Tergeleng-geleng
Pak Ako melihatkan tingkah Ezzyra yang serba kelam-kabut. Termenung saje kerja
budak ni.. bisik hati kecilnya. Ditunggu juga gadis itu di bingkai dinding yang
menjadi laluan untuk mereka masuk ke ruangan dapur. Sebaik tiba, Ezzyra sekadar
tersenyum selamba melihatkan Pak Ako yang menunggunya di situ. Segera dia
menarik lengan lelaki yang sudah dianggap seperti bapanya sendiri itu lalu
keduanya terkedek-kedek mendapatkan tempat duduk masing-masing.
“Reez..
Mona mana?”
Sempat
Ezzyra membisik ke telinga Reezal yang duduk bersebelahan dengan dirinya.
Reezal hanya menggeleng kecil. Dia sendiri tidak tahu ke mana menghilangnya
Mona Sufiya. Hanya seketika, meja makan yang mempunyai lapan kerusi itu sudah
dipenuhi mereka bertujuh. Hanya sebuah kerusi di hujung meja sana sahaja yang
kosong tidak berpenghuni.
Kecur
liur mereka sebaik terpandangkan juadah makan malam yang disediakan Mak Awa.
Perut yang sememangnya lapar, semakin galak berkeroncong. Usai bacaan doa
makan, mereka langsung sahaja mengisi perut yang sudah tidak sabar-sabar mahu
dipenuhi. Dan tika itu, suasana menjadi sunyi sepi. Yang kedengaran hanyalah
putaran kipas syiling yang gagah bekerja untuk menyejukkan mereka sahaja.
“As..
kum.. kummm.”
Sedang
mereka asyik menikmati hidangan makan malam, kedengaran salam diberi oleh
seseorang di luar The Melody. Pak Ako mengerling Mak Awa yang duduk berdekatan
dengan dirinya. Mak Awa turut memandang sama ke arah wajah suaminya. Pandangan
mata mereka seakan memperkatakan sesuatu namun tidak langsung disuarakan. Lima
anak muda itu pula sekadar terpandang-pandang sesama mereka.
“As..
kum.. kumm.”
Sekali
lagi salam yang sayup-sayup kedengaran dan terputus-putus itu kedengaran. Eddie
segera bangkit, mahu melihat siapa yang berada di luar The Melody.
“Nak
ke mana, Edd?” soal Pak Ako. Semerta terbantut tingkah Eddry sebaik
mendengarkan pertanyaan Pak Ako tersebut.
“Ada
orang beri salam, kan tu?” soal Eddry kembali. Sengaja inginkan kepastian. ‘Rasanya
macam tak salah dengar,’ desis hati kecilnya.
“Takder
siapa pun tu.. dah, makan,” ujar Pak Ako agak tegas.
“Tapi...”
“Makan
laa Edd..” sampuk Mak Awa pula. Wanita itu tersenyum kecil melihatkan ulah Eddry
yang teragak-agak. Akhirnya, anak muda tersebut mengalah. Eddry kembali
mengambil tempat lalu meneruskan suapannya yang tergendala sebentar tadi. Namun
di hati, masih tertanya-tanya perihal pemberi salam tersebut.
EDDRYtermenung
panjang di kerusi berdekatan tingkap di dalam biliknya. Pelbagai perkara
bermukim di tengkorakan kepala yang memaksa dia untuk terus berfikir. Dari satu
ke satu bermain di mindanya. Perihal pemberi salam semasa mereka menjamu selera
juga tidak ketinggalan.
Reezal
masih berjaga walau jam sudah mencecah ke angka tiga pagi. Entah mengapa, malam
itu matanya sukar dilelapkan. Fikirannya tertumpu kepada pemberi salam misteri
yang menganggu waktu makan malam mereka. Mengapa Pak Ako menegah Eddry dari
terus membuka pintu sedangkan mereka sendiri mendengarkan salam yang diberi.
Salam itu juga kedengaran aneh. Seakan pendek dan terputus-putus.
Eddry
masih bermenung. Pandangan matanya dialihkan ke arah bulan yang mengambang
penuh. Bila dicongak-congak, sudah lima belas hari bulan Islam rupanya.
Patutlah bulan begitu gah memancarkan cahayanya yang pucat. Bulan mengambang
begitu indah di penglihatan Eddry. Ciptaan Tuhan, masakan tidak indah.
Reezal
puas bergolek ke kanan dan ke kiri. Cuba dipaksa matanya agar lena. Namun,
malam itu mata seakan sukar memberi kerjasama. Lena amat liat untuk digamit.
Sudahnya dia bangkit dari pembaringan. Matanya memerhatikan pintu pemisah
antara dua bilik. Dia berkira-kira sendiri samada mahu menjengah Eddry di
sebelah, atau duduk bersendirian melayan mata di biliknya. Akhirnya diatur juga
langkah merapati pintu itu. Tombol dipulas, pintu dikuak. Dia menjengahkan
kepalanya.
Eddry
tersentak. Pantas dia menoleh, memandang ke arah pintu pemisah antara biliknya
dengan bilik Reezal. Hatinya semerta kelegaan sebaik ternampak kepala Reezal
yang mencari-cari dirinya. Sebaik sahabatnya itu ternampak dia sedang duduk di
kerusi kayu berdekatan tingkap, santai sahabatnya itu melangkah mendapatkan.
Birai katil dituju lalu Reezal duduk berjuntaian kaki di situ.
“Tak
boleh tidur jugak ke?” soal Eddry memulakan bicara. Reezal tersenyum kecil
lantas mengangguk, mengiyakan.
“Samalah.
Macam-macam yang difikirkan, sambil-sambil tengok bulan..” ujar Eddry lagi. Reezal
masih seperti tadi, hanya tersenyum kecil.
Eddie
kehilangan kata-kata. Payah bercakap dengan orang pendiam ni, fikirnya.
Kata-kata bagi Reezal terlalu mahal. Dia hanya mengatakan sesuatu yang hak,
tidak memanjang-manjangkan cerita, tidak menokok tambah, tidak menyedapkan.
Jika putih maka putihlah dikata dan jika hitam, maka hitamlah yang dilafaz.
“Fikirkan
apa?” sepatah Reezal bertanya.
Eddry
tidak terus menjawab. Dikerling sekilas wajah temannya itu. Dia berfikir-fikir,
patutkan diberitahu sahaja kepada Reezal, atau dia perlu memusing cerita agar temannya
itu tidak berfikir yang bukan-bukan? Eddry masih berkira-kira sendiri. Dia
masih terkial-kial memberikan jawapan terbaik buat pertanyaan si sahabat.
“Fikirkan
pasal, pemberi salam malam tadi ke?” teka Reezal. Suaranya bernada perlahan
tetapi cukup jelas di pendengaran Eddry.
“Kau
pun fikir pasal tu jugak?” Eddry menujah. Soalan dibalas soalan. Keduanya
berdiam diri seketika, sengaja memandang bulan yang indah purnamanya. Tidak
lama, hanya seketika sebelum Reezal menoktah kata.
“Ye.”
Sepatah
jawapan dari Reezal membuatkan Eddry kelu. Dia tiba-tiba buntu untuk meneruskan
perbualan. Cukup sukar untuk bermain kata dengan Reezal. Kata-katanya ibarat
emas, terlalu mahal harganya. Selalunya, Reezal hanya tersenyum kecil,
menyengih lebar, mengangguk atau menggeleng. Kalau dengar dia bersuara,
beruntung sangatlah.
“Apa
yang kau fikirkan pasal tu, Reez?” Eddry terus-terusan memancing sahabatnya itu
untuk terus bersuara.
Reezal
diam. Otaknya ligat mencari jawapan terbaik buat soalan Eddry. Dia takut
tersalah jawab. Risau kalau-kalau jawapannya nanti bakal menyinggung hati
temannya itu. Hati orang, bukan boleh ditebak rasanya. Rambut sama hitam, hati
lain-lain.
“Aku
cuma terfikir, pemberi salam tu siapa. Manusia atau bukan,” ujar Reezal
perlahan.
Jawapan
itu menarik perhatian Eddry. Semerta reromanya merinding. Angin dingin yang
entah datang dari mana semerta menyapa tubuhnya. Eddry pantas mengusap-usap
kedua lengannya. Tengkuknya juga turut diurut lembut. Matanya tepat memandang
wajah Reezal yang masih kekal seperti tadi.
“Aku
pun fikir macam yang kau fikir. Tambah pelik bila Pak Ako macam sengaja tak
bagi aku buka pintu,” balas Eddry memberi pendapat.
Reezal
memasang telinga. Dia tidak terus membalas kata-kata Eddry. Ditelan dan
dihadamnya dahulu setiap kata lelaki itu sebelum dicerna di kepala. Agak lama,
baru dia membuka mulut, membalas kata-kata sang sahabat.
“Mungkin,
ada sebabnya kenapa Babah buat macam tu.”
“Maksud
kau?” Eddry kehairanan. Berkerut keningnya memandang wajah tenang Reezal.
“Setiap
apa yang berlaku, pasti ada sebabnya. Mungkin Babah tahu apa yang kita tak
tahu. Mungkin..” balas Reezal. Sedikit senyuman kecil diberikan buat Eddry.
“Agaknya
macam tulah. Lagi pun, Babah tu selalunya tak bagitau kita apa yang dia
fikirkan, apa yang dia rasa. Dia selalunya diamkan je semua benda pun. Kau rasa
macam mana, Reez?” ujar Eddry.
“Rasa
apa?” soal Reezal kembali.
“Riaksi
Babah..” balas Eddry ringkas.
“Macam
aku cakap tadilah. Adalah tu sebabnya Babah cakap macam tu. Mungkin dia sengaja
sorokkan dari kita, atau dia ada sebab tersendiri nak sorokkan dari kita. Who knows, right?”
Eddry
sekadar mengangguk. Menerima sebulat-bulatnya apa yang dikatakan Reezal. Dia
langsung tidak menolak apatah lagi membantah. Mungkin benar apa yang
diperkatakan sahabatnya itu. Pak Ako lebih tahu apa yang terjadi berbanding
mereka.
“Aku
tidur dulu, kau pun tidurlah jugak. Tak elok pandang bulan lama-lama. Nanti ada
yang membalas sama. Assalamualaikum,” ujar Reezal. Semerta dia bangkit dari
duduknya lalu berjalan perlahan mendapatkan pintu pemisah dua bilik. Bilir
tidur serba biru itu ditinggalkan lalu kakinya mendapatkan bilik tidurnya
sendiri. Bilik serba hijau muda yang mendamaikan mata.
SEPENINGGALANReezal,
Eddry masih tetap menahan mata. Bukanlah dia tidak mahu melelapkan diri, namun
rasa mengantuk belum pun ada walau sekelumit cuma.
Dia
masih ralit memerhatikan bulan purnama yang galak menebarkan cahaya pucatnya.
Sinar rembulan yang memberikan sedikit cahaya tampak begitu sempurna. Dada
langit yang ditaburi bintang-bintang yang hanya kecil dipandangan mata
menambahkan seri sang rembulan.
Mata
Eddry beralih pula pada pepohonan yang mengelilingi kawasan luar pagar The
Melody. Dari satu pohon ke satu pohon diperhatikan. Sebatang pohon yang agak
besar dan rendang menarik perhatiannya. Terlihat pohon itu bergoyang-goyang.
Bukan seperti ditiup angin, tetapi seperti ada sesuatu di atas pohon itu. Eddry
menajamkan pandangan matanya. Direnung pohon itu.
Pohon
besar itu semakin galak digoyang sesuatu.
Eddry
masih mencari-cari benda semacam apakah yang mampu menggoyangkan pohon sebesar
itu. Meliar matanya meneliti dari jauh. Pandangannya agak terganggu dek gelap
malam yang pekat.
Dari
balik jendela, sepasang mata Eddry ternampak satu makhluk yang sedang duduk
pegun di dahan paling besar. Elok duduk berjuntaian kaki. Matanya menatap tajam
pandangan Eddry dengan muka yang berkedut-kedut dan terbakar.
Lelaki
itu tersentak. Semerta darahnya berderau. Dadanya berombak dan jantungnya
berdegup laju. Peluh mula merenek di dahi. Matanya membulat untuk terus
memerhati. Dia seakan terpana. Langsung tidak dialihkan pandangan matanya.
Walau reroma di lengan sudah merinding, dia masih terus memandang ke satu arah.
Arah di mana adanya makhluk yang berbalas pandangan.
“Apa
tu?” ujar Eddry perlahan.
Makluk
itu terus-terusan memerhati dengan mata merah menyala. Di balik cahaya rembulan
yang kepucatan, terlihat dia menyeringai seram. Sekejapan makhluk itu melayang
lalu menghilang di balik kepekatan malam.
Eddry
cepat-cepat berpaling.
Lampu
dipadam lalu dia membaringkan tubuhnya di tilam empuk. Fikirannya masih
teringat-ingat apa yang telah dilihatnya. Perlahan dia beristighfar, memohon
ketenangan hati. Tiga kul dibaca disusuli ayatul kursi. Setelah dirasakan
sedikit tenang, Eddry memejamkan mata.