Dailla berlari cemas mendapatkan Daniel dan Danish
yang sedang bermuram durja. Nafasnya termengah-mengah, dadanya dirasakan sempit
kekurangan udara. Lama dia berdiam, mengambil masa menenangkan diri sebelum
ditujahkan kata buat dua adik lelakinya.
“Mana
Dana?” soal Dailla sebaik aturan nafasnya mereda.
Daniel
dan Danish saling berpandangan seketika sebelum keduanya menggeleng kecil.
Perlahan keluhan hampa dilepaskan mereka, agak serentak. Wajah keduanya kekal
resah dan bermuram durja.
“Takkan
tak jumpa? Mustahil! Dia mesti ada dekat-dekat sini jugak!” ujar Dailla sedikit
keras dengan mata yang melilau ke sana dan ke sini.
“Puas
dah Niel cari dia, Kak Della. Tak jumpa,” balas Daniel perlahan.
Dailla
yang mendengar sudah menggeleng-gelengkan kepala. Tidak lama, diatur langkah
menjelajah setiap ruang di dalam rumah pusaka milik mereka. Satu demi satu
daun-daun pintu yang bertutup rapat ditolak kasar sebelum matanya meliar
memerhatikan setiap sudut. Kosong. Dailla dihimpit kehampaan.
“Kak
Della…”
Mendesir
satu suara dari arah sebuah bilik yang sememangnya berkunci rapat dan tidak
pernah dimasuki mereka berempat sepanjang mereka menghuni rumah itu. Sudah
hampir empat bulan lamanya mereka berpindah ke situ. Itu pun diatas amanat
arwah bapa mereka, Tuan Damien.
“Kak
Della…”
Suara
itu mendesir lagi. Suara mirip Dayana kembali menjengah kolong telinga Dailla
membuatkan dia tidak teragak-agak untuk merapati bilik itu. Menggeletar
tangannya menggapai tombol pintu. Berkali-kali liur yang tersekat dilaluan
tekak ditelan. Pahit dan kelat dapat dirasa.
“Kak Della
nak buat apa tu?” soal Danish dengan muka yang berkerut. Disisinya terlihat
Daniel yang turut memandang dengan riak wajah yang serupa.
“Dana…Dana
ada dalam ni,” ujar Dailla terketar-ketar.
Daniel
dan Danish yang mendengar pantas merapat. Tidak menunggu lama, Daniel segera
menggapai tombol yang masih dipegang Dailla lalu memulasnya agak kasar. Pintu
dikuak lebar lalu mereka bertiga melangkah masuk ke dalam bilik itu.
Menderu
angin kencang menghempas batang tubuh mereka sebaik ketiganya berdiri terpacak
di dalam bilik itu. Daun-daun tingkap terbuai-buai dihentak angin yang menggila
hingga menghasilkan bunyi bingit yang agak ketara. Tidak semena-mena berdentum
guruh membakar dada langit.
Daniel,
Danish dan Dailla saling berpandangan seketika. Tidak lama, rongga pernafasan
mereka diterjah satu bau. Hamis dan meloyakan. Dailla pantas menekup hidung.
Kembang ditekak melayur rasa membuatkan isi perutnya seakan mahu melompat
keluar.
“Kak
Della…Abang Niel…Abang Nash…tolong…”
Suara
Dayana kembali menghentam gegendang telinga membuatkan tiga beradik itu pantas
berpaling ke satu arah. Sebaik deria penglihatan mampu menghadam sepenuhnya,
mereka ternganga besar.
Sekonyong-konyong
muncul Dayana di balik kegelapan bilik itu. Dengan mulut yang bersimbah darah,
dia berjalan tertatih-tatih mendapatkan Daniel, Danish dan Dailla. Tangannya
menggapai-gapai ke udara, seolah sedang melambai ke arah adik-beradiknya.
“Da…Dana…Dana…”
Tergagap-gagap
Dailla beradu kata. Daniel dan Danish hanya diam, kelu untuk berbicara. Ketiganya
beku di tempat mereka berdiri. Tidak mampu untuk mengatur langkah mendapatkan
Dayana.
“Tolong…”
Suara
rintihan Dayana kembali menghentam kolong telinga sebelum batang tubuhnya itu
rebah menghempas lantai. Darah kembali membuak keluar dari rongga mulutnya yang
ternganga. Nafas Dayana mengeruh bagai lembu disembelih. Kasar dan keras
bunyinya. Dia menggelitik ibarat ikan kehilangan air.
“Dana!”
raung Dailla tidak berdaya.
Dia
ingin merapat namun sepasang kakinya bagaikan terpasung kuat di lantai rumah. Daniel
dan Danish juga begitu. Sudahnya mereka hanya mampu memerhati Dayana dengan
pandangan mata penuh sayu.
He
he he.
Satu
tawa halus berdesis di kolong telinga. Sayup dan sinis bunyinya namun cukup
untuk meremangkan reroma. Daniel, Danish dan Dailla berpaling, mencari-cari
dari mana datangnya hilaian tawa itu.
Semakin
lama suara tawa yang halus semakin rancak menyapa gegendang telinga hingga
menghasilkan dengung yang cukup membingitkan sesiapa yang mendengarnya. Suara
itu kuat, nyaring dan saling bertimpa-timpa.
Daniel,
Danish dan Dailla menekup kedua lubang telinga dengan muka yang berkerut-kerut.
Namun, suara yang bingit dan nyaring itu tetap mampu didengar mereka. Malah,
suara itu semakin bergema di dalam gegendang telinga. Tidak semena-mena kepala
dirasakan berdengung. Sakitnya lain macam.
Tidak
lama, Daniel, Danish dan Dailla jatuh terduduk lalu terlentang di lantai bilik.
Telinga ketiganya mula dibasahi darah yang keluar membuak. Peritnya bukan
kepalang. Mereka menggelitik kesakitan sebelum senyap sepenuhnya. Dayana juga
begitu, sudah diam tidak berkutik.
Sekonyong-konyong
muncul satu susuk tubuh dengan senyuman yang meleret melihatkan empat beradik
itu yang terbaring di lantai bilik. Senyuman yang berakhir dengan kekehan tawa
yang cukup sinis.
“Sudah
aku bilang, tempat kalian bukan di sini…”
***
DAILLA
membuka mata dengan dada yang berombak kencang. Berkali-kali
diraup muka yang sudah lencun dibasahi peluh jantan yang menjejeh hingga ke
leher. Mulutnya pula tidak henti-henti beristighfar. Mencari ketenangan hati di
balik ayat-ayat suci memuji Sang Pencipta.
“Allah…Allah…”
gumam Dailla berkali-kali.
BAM! Sepasang telinganya disapa
bunyi hempasan pintu membuatkan Dailla segera bangkit dari pembaringan. Sempat
dikerling jam yang terletak elok di atas meja bersebelahan katil. 3 petang.
Entah waktu bila dia terlelap dia sendiri tidak pasti.
“Kan
Dana dah pesan, jangan masuk bilik Dana!”
Suara
jerkahan Dayana membuatkan Dailla tidak menunggu lama. Laju dia bangkit lalu
mengatur langkah pantas meninggalkan biliknya. Dari jauh lagi sepasang matanya
dapat menangkap tubuh Dayana yang sedang bertikam lidah dengan dua abangnya,
Daniel dan Danish. Situasi tegang dapat dirasa sebaik Dailla merapati mereka.
“Kenapa
ni?” soal Dailla sedikit cemas.
“Kak
Della pun sama! Menyebok!” bentak Dayana lalu mula mengatur langkah mendapatkan
biliknya dan menghilang di sebalik pintu.
Pintu
sekali lagi dihempas kasar hingga bergegar bingkainyanya menghasilkan bunyi
dentuman yang memeranjatkan seisi rumah. Dailla tersentak kuat mula
mengurut-urut dadanya yang tiba-tiba berdebar. Sempat dikerling wajah Daniel
dan Danish yang masam mencuka.
“Sejak
bila jadi kurang ajar sampai macam tu sekali tu, Kak Della?” soal Daniel
sedikit keras.
“Sejak
dia pindah masuk bilik tu. Kak Della tak tahulah, Niel. Perangai Dana makin
hari makin pelik. Sebelum dia duduk di bilik tu, elok aje,” luah Dailla lemah.
“Ada
apa-apa ke dalam bilik tu sampaikan tak beri orang masuk langsung?” soal Danish
pula lalu mula mengatur langkah mendapatkan ruang rehat. Tingkahnya itu
dituruti Daniel dan Dailla.
“Kak Della
tak tahu. Yang Kak Della tahu, Dana pasti mengamuk kalau ada sesiapa masuk ke
biliknya. Yang bertambah peliknya, macam mana dia tahu ada orang lain masuk ke
biliknya,” balas Dailla meluah rasa.
Berkerut
kening Daniel dan Danish mendengarkan jawapan balas Dailla sebelum keduanya saling
berpandangan sesama mereka. Dailla hanya memerhati tingkah kedua adik lelakinya
itu sebelum perlahan keluhan nipis dilepaskan.
Sekejapan kata-kata terakhir dari
arwah bapanya kembali berlegar-legar di kotak minda. Walau sejujurnya mereka
berempat seakan berat hati untuk melaksanakannya, wasiat tetap wasiat dan wajib
untuk ditunaikan.
“Rumah pusaka tu harus diduduki
kamu berempat. Abah tak mahu rumah pusaka tu jatuh ke tangan saudara yang
lain.”
Terngiang-ngiang pesanan yang acap
kali diungkapkan Tuan Damien di kolong telinga Dailla hinggalah arwah abahnya
itu pergi meninggalkan mereka buat selama-lamanya akibat serangan jantung.
“Hmm...”
Tanpa sedar, Dailla menghempaskan
keluhan berat. Dia yang sememangnya tidak punya hati untuk menetap di situ
semakin terbeban dek sikap Dayana. Amarahnya semakin lama semakin menjadi-jadi.
Jikalau ditegur, pasti Dayana akan mengamuk tidak tentu hala.
“Tak elok Kak Della mengeluh macam
tu,” tegur Danish lalu senyuman nipis diberikan, hambar.
“Kak Della tak sukalah duduk di
sini, Nash,” adu Dailla separuh merungut.
“Kalau tak suka, keluar! Berambos
dari sini! Berambos! Kalian berempat boleh berambos!”
Lantang suara Dayana memecah
gegendang telinga membidas kata Dailla. Dia yang tiba-tiba muncul entah dari
mana mencerlung garang memerhatikan Dailla yang terkulat-kulat sendiri.
Tidak lama, dia berpaling pergi
lalu menghilang entah ke mana. Tanpa sedar, ada seseorang yang memerhatikan
tingkah empat beradik itu dengan senyuman sinis tidak lekang di balik bibirnya.
Agak lama diperhatikan Daniel, Danish dan Dailla yang merusuh melihatkan
kelakuan Dayana sebelum perlahan-lahan menjauh dari rumah pusaka tersebut.
Berjalan pergi dengan lirikan mata penuh makna.
“Tempat kalian bukannya di sini,”
desisnya perlahan.
***
Katherine
berjalan melenggang merapati rumah pusaka. Salam bertalu diberikan sebelum
pintu utama rumah pusaka itu terkuak dari dalam. Dailla menjengah sebelum
segaris senyuman mesra diberikan.
“Mak
Usu! Masuklah!” pelawa Dailla.
Katherine
yang merupakan satu-satunya adik Tuan Damien membalas senyuman Dailla seadanya.
Dia kembali melenggang menuju ke dalam rumah dengan tangan kanannya
mengipas-ngipas muka. Bahang mentari masih dapat dirasa walaupun dia sudah
berada di dalam rumah pusaka itu.
“Macam
mana duduk di sini? Elok semuanya?” soal Katherine, sekadar berbasa-basi.
“Elok
semuanya Mak Usu. Tak susah mana pun. Lagi pun, rumah Mak Usu kan cuma di
sebelah je. Kalau ada apa-apa senang kami nak mintak tolong,” balas Dailla
ramah.
Laju
tangannya membancuh secawan teh buat Mak Usunya itu. Katherine hanya memandang.
Sesekali diliarkan pandangan matanya memerhatikan segenap ruang di dalam rumah
pusaka yang lumayan besar itu.
“Bilik
di hujung sana tu siapa yang duduk? Niel ke?” soal Katherine dengan senyuman
meleret di tubir bibir.
“Bilik
hujung sana tu ke? Dana yang duduk di situ, Mak Usu,” balas Dailla seraya
menghulurkan secawan teh buat Katherine.
“Aku
fikir si Niel yang duduk,” balas Katherine sebelum dicicip sedikit teh yang
masih berasap.
Dailla
tersenyum nipis. Serta-merta fikirannya terkenang kelakuan si adik yang berubah
total sebaik bertukar bilik. Dayana yang lemah lembut bertukar kasar dan
pemarah. Dan marahnya itu semakin menjadi-jadi menjelang masuknya Asar hingga
berakhirnya Maghrib.
“Dana
tu asyik marah-marah je sejak bertukar ke bilik tu, Mak Usu.”
Tanpa
sedar Dailla meluah rasa. Terjungkit kening Katherine mendengarkan kata-kata
anak saudaranya itu sebelum sebuah senyuman penuh makna meleret di balik
bibirnya. Namun semua itu tidak dapat ditangkap sepasang mata Dailla.
“Dia
tak suka duduk di sini agaknya,” balas Katherine bersahaja.
“Agaknya…”
Dailla turut menggumam kata dengan pandangan mata sayu.
Semakin
lebar senyuman Katherine melihatkan Dailla yang menunduk sedang bermenung jauh.
Tidak lama, dia bangkit dari duduknya. Dibetul-betulkan kurungan kebaya yang
melekat di tubuh sebelum dipandang Dailla yang turut memerhati dirinya.
“Aku
balik dululah. Banyak kerja di rumah nak dibuat. Kamu tak payahlah risau
sangat. Nanti eloklah si Dana tu,” ujar Katherina sebelum melenggang pergi.
Dailla
hanya menghantar ibu saudaranya itu hingga ke muka pintu sahaja. Sebaik batang
tubuh Katherine hilang dari pandangan, segera dia berpaling ke belakang. Namun,
baru beberapa langkah menapak langkah kakinya terhenti. Laju Dailla berpaling
semula.
Terbeliak
mata Dailla sebaik berpaling. Terlihat satu susuk tubuh perempuan sedang
mencerlung garang menatap wajahnya. Mata perempuan itu bersinar merah menyala.
Mukanya penuh kedutan dan berkopeng. Rambutnya panjang mencecah pinggang dan
mengerbang. Raut wajahnya saling tak tumpah seperti Dayana!
“Pergi!
Tempat kalian bukan di sini!” bentak perempuan itu dengan suara yang kasar.
“Ka…kau…kau
sii..siapa?” ujar Dailla tergagap-gagap.
“Tidak
perlu kau tahu! Pergi! Atau segalanya akan terlambat!” ujar perempuan itu
garang.
“Ter…lambat?
Ap...Apa…Apa maksudnya?” soal Dailla lagi walau di hati masih diserang rasa
takut.
Dailla
tetap merenung wajah perempuan itu walau dia dihimpit ketakutan. Semakin
ditenung, wajah itu semakin menyinga. Sinar matanya yang merah menyaka seakan
berkilau dipandangan mata Dailla membuatkan dia gerun untuk beradu mata.
“Kak
Della cakap dengan siapa tu?”
Teguran
Danish mematikan tingkah Dailla. Segera dia berpaling, memandang ke arah Danish
yang melangkah merapati dirinya sebelum kembali dipandang ke hadapan. Perempuan
seiras Dayana itu telah tiada. Hilang lesap entah ke mana!
“Kak
Della nampak…ada perempuan…dia…dia…” Dailla tergagap-gagap mahu menyusun kata
membuatkan Danish menjungkitkan keningnya.
“Apa
Kak Della merepek ni? Nash tak nampak sesiapa pun,” ujar Danish seraya
menjengah ke luar rumah. Sepi. Tiada sesiapa di luar sana.
“Betul
Nash! Akak tak tipu! Muka dia…muka dia…macam Dana!” bidas Dailla sedikit tegas.
“Dana?
Bukan Dana ada latihan netball ke,
kak? Ke dia ada dalam biliknya? Kejap Nash tengok,” balas Danish, langsung tidak
mengambil serius dengan apa yang dikatakan Dailla.
“Jangan!”
keras Dailla menegah.
Danish
yang baru sahaja mahu mengatur langkah langsung terbantut niatnya. Dipandang
wajah Dailla dengan kerutan jelas di mukanya. Terkebil-kebil dia memerhatikan
wajah Dailla yang resah.
“Nanti…nanti
dia mengamuk lagi,” ujar Dailla menerangkan.
“Nash
nak tengok dia ada ke tidak dalam biliknya. Kalau tak ada, Nash nak tengok apa
yang dia sorokkan sampaikan tak beri orang masuk ke biliknya tu,” balas Danish
lalu mula mengatur langkah mendapatkan bilik Dayana.
***
Dayana melangkah perlahan merapati rumah pusaka senja
itu dengan perasaan berbelah bahagi. Dia tidak tahu mengapa tiap kali dia
keluar dari rumah pusaka itu, hatinya serta merta merasa lapang. Namun, tatkala
dia ingin melangkah masuk ke rumah itu semula, hatinya memberat tiba-tiba.
“Hmm…”
Dayana melepas keluhan berat sebelum diatur juga langkah kakinya mendapatkan
pintu utama yang bertutup rapat.
Mahu
tidak mahu terpaksa juga dia melangkah ke dalam kerana dia sendiri tidak ada
tempat lain yang mahu dituju. Begitulah rutinnya setiap hari. Pagi, dia akan
pergi ke sekolah. Petangnya pula, dia ada latihan bola jaring. Kerana itulah
dia kerap tiada di rumah pusaka pada siang hari.
“Dana
dah balik!” ujar Dayana lantang.
“Dah
tak pandai nak beri salam ke, Dana?” soal Danish sambil mencerlung garang ke
wajah adiknya.
Dayana
tidak membalas teguran abangnya itu. Laju langkah kaki diatur mendapatkan bilik
yang daun pintunya bertutup rapat. Sebaik tiba di hadapan biliknya itu, Dayana
tidak langsung menerjah ke dalam. Malah, dia hanya berdiri terpacak sambil
merenung tajam ke arah tombol pintu.
“Ada
yang masuk ke bilik kau…”
Berdesir
satu suara menghinggap kolong telinga Dayana. Sekonyong-konyong muncul satu
susuk di balik batang tubuh Dayana. Susuk tubuh itu sama tinggi dengan Dayana,
dan wajahnya turut sama seperti Dayana.
Dia
meliang-lintukkan badannya ke kiri dan ke kanan dengan senyuman meleret tidak
lekang di balik bibirnya. Renungan matanya menafsir satu rasa. Sinis dan cukup
memberi makna.
“Ada
yang masuk ke bilik kau…” dia mendesir kata lagi.
Entah
mengapa, perasaan marah perlahan-lahan meresap ke dalam jiwa Dayana sebaik
kata-kata itu menjengah kolong telinga. Hatinya bagai disimbah bara api yang
membahang. Amarahnya meluap-luap tanpa punca dengan sendirinya. Tanpa dia
sedar, dia menggumam bahasa tidak difahami.
“Yang
dok renung tombol pintu tu macam nak makan kenapa, Dana?” soal Daniel yang
kebetulannya melintasi batang tubuh adiknya itu.
Dayana
masih merenung tajam ke arah tombol pintu sambil merengus-rengus bersendirian.
Teguran si abang langsung tidak dipedulikan. Dia yang dihambat rasa bahangnya
kemarahan mengetap-ngetap giginya. Dadanya serta-merta berombak kencang. Bebola
mata putihnya tidak semena-mena berurat kemerahan.
“Kenapa
Dana, Niel?” tegur Dailla pula dengan wajah yang terpinga-pinga.
Sebaik
suara Dailla menerjah kolong telinga, perlahan-lahan Dayana berpaling. Direnung
wajah akaknya itu dengan pandangan mata yang berbisa. Giginya masih
diketap-ketap dan sesekali dia merengus kasar.
“Dana?”
tegur Dailla lagi.
“Siapa
yang masuk bilik Dana?” ujar Dayana kasar membuatkan Dailla dan Daniel
tersentak.
“Mana
ada orang masuk bilik Dana,” balas Daniel laju lalu mengerling ke wajah Dailla.
Diperhatikan wajah Dailla yang sudah mula berurat resah.
“Siapa
yang masuk bilik Dana!” bentak Dayana keras seraya mengetap-ngetapkan giginya.
Matanya
mencerlung garang menatap wajah Dailla dan Daniel silih berganti. Dadanya yang
berombak semakin disimbah bahang kemarahan. Dia tidak peduli dengan siapa dia
bertutur kata. Apa yang dia tahu, dia cukup pantang biliknya dimasuki tanpa
keizinannya.
“Abang
yang masuk. Kenapa? Tak boleh ke?”
Suara
Danish melantun jawapan menerjah kolong telinga. Serta-merta Dayana berpaling
menghadap wajah Danish yang sedang mengatur langkah tenang mendapatkan mereka.
“Jangan
sesuka hati buat apa yang abang rasa nak buat. Buruk padahnya nanti!” ujar Dayana
keras.
Pantas
dia berpaling lalu melangkah merapati pintu biliknya. Tombol dipulas kasar.
Sekejapan cuma batang tubuh Dayana hilang di balik daun pintu sebelum satu
dentuman kuat kedengaran sebaik daun pintu itu dihempas kasar.
“Macam
mana dia tahu ada orang masuk biliknya tadi sedangkan dia tidak ada di rumah?”
soal Dailla dengan kening yang bertaut rapat.
***
Daniel santai beristirehat di hadapan kaca televisyen
yang terpasang. Batang tubuhnya yang sememangnya letih dek kekangan kerja
perlahan-lahan melega sebaik dia berbaring selesa walau hanya bertilamkan
lantai dan berbantalkan lengannya sahaja.
Tidak
lama, batang tubuhnya dirasakan memberat dengan sendirinya. Semakin lama,
semakin memberat hinggakan dadanya sukar untuk mengatur nafas. Naik sesak
dibuatnya. Daniel cuba untuk berkalih, namun pergerakkan badannya bagaikan
dikunci.
“Allah!
Kenapa pulak ni,” gumamnya di dalam hati.
Sekonyong-konyong,
pandangan matanya ditutup sesuatu yang perlahan-lahan menindih badannya yang
terbaring kaku. Pusat tumpuannya ditajamkan memerhatikan benda semacam apa yang
sedang menindihnya saat itu.
Satu
susuk tubuh dengan rambut yang mengerbang asyik menekan batang tubuh Daniel
membuatkan dia tidak mampu bergerak. Sorotan mata lembaga itu yang merah
menyala menggamit rasa seriau dengan sendirinya. Tanpa sengaja, berdiri reroma
di kedua belah lengan. Batang tengkuknya juga turut dirasakan kembang!
“Pergi!
Tempat kalian bukan di sini!”
Perlahan
susuk tubuh itu mendesis kata menikam kolong telinga. Daniel hanya mampu
mendengar tanpa dapat berbuat apa-apa. Pergerakkan tubuhnya masih dikunci satu
tenaga yang pastinya datang dari susuk tubuh yang menganggunya saat itu.
“Kaulah
puncanya! Kau! Sepatutnya ianya adalah kau, bukan dia!”
Kasar
bentakan yang diungkapkan susuk tubuh tersebut. Daniel sedaya upaya mahu
berbalas kata namun segalanya ternyata sukar. Sekuat mana dia berusaha, yang
keluar dari mulutnya hanyalah deruan angin yang memeritkan anak tekak.
Tidak
lama, perlahan-lahan batang tubuh yang dirasakan memberat kembali ringan.
Bingkas Daniel bangkit dari pembaringan. Melingas matanya memerhati sekeliling
sebelum tertumpu pada pintu bilik Dayana.
Dari
tempatnya berdiri, dapat dilihat susuk tubuh yang menindihnya tadi berjalan
terhuyung-hayang merapati pintu itu. Sebaik dia tiba di hadapan pintu tersebut,
susuk tubuh itu berpaling memandang ke arah Daniel. Satu senyuman sinis penuh
makna sempat diberikan sebelum dia menghilang dengan sendirinya.
“Allah!”
laung Daniel kuat sebelum dia jatuh terduduk.
Dadanya
semerta berombak kencang. Entah mengapa, buat kesekian kalinya dirasakan ruang
dalam dadanya membahang bagai disiram lautan api. Bahang panas kuat menjalar
membaluti tubuh.
“Allah!
Panas! Panas!” raung Daniel kuat membuatkan Dailla dan Danish yang mendengar
tersentak.
Laju
keduanya berlari mendapatkan Daniel yang sedang meronta keseorangan di ruang
tamu mereka. Sebaik tiba, Daniel sedang menggelupur bagaikan ikan kekurangan
air di lantai rumah.
“Niel!
Niel! Kenapa ni, Niel?” kalut Dailla menerpa ke arah Daniel yang masih
menggelupur kepanasan.
“Pa…nas…pa…nas…”
Dalam
payah, diungkapkan juga kata walau dalam nada yang tersekat-sekat. Daniel masih
meronta, cuba berlawan dengan bahang kepanasan yang menjalar membaluti batang
tubuhnya.
Krekkk…berkeriut
daun pintu dibuka seseorang membuatkan Danish berpaling. Sekonyong-konyong,
muncul Dayana di balik daun pintu dengan senyuman penuh makna terukir di
bibirnya. Santai dia mengatur langkah mendapatkan mereka bertiga.
“Panas
Abang Niel?” soal Dayana sinis sebelum dia terkekeh-kekeh ketawa.
“Apa
yang Dana buat ni?” soal Danish sedikit membentak.
Laju
langkah diatur mendapatkan Dayana. Namun, sebaik tangan kanannya memegang bahu
kiri adiknya itu, tubuhnya terpelanting ke belakang bagaikan ditolak seseorang.
Naik sesak jadinya apabila belakang badannya menghempas dinding rumah.
“Dana!
Nash!” laung Dailla yang masih kalut melihatkan keadaan Daniel yang sedang
menggelupur kepanasan. Kini, Danish pula terlihat hampir putus nafas akibat
hentakan kuat yang dialami.
“Aku
benci kalian! Aku benci!” jerkah Dayana lantang dengan matanya yang membuntang
besar.
“Na…Nash…a…zan…”
dalam payah Daniel menutur kata sambil memandang lirih ke arah Danish yang
lembik di dinding rumah.
Danish
cuba bangkit walau sakit di belakangnya semakin berbisa. Dengan bersusah payah,
dapat juga dia berdiri walau dalam keadaan yang tempang. Dia berdecit kesakitan
sebelum memejamkan matanya.
Nafas
ditarik dalam sebelum dilepaskan perlahan-lahan. Walau masih terasa bisanya di
belakang badan, Danish tetap melagukan azan seperti mana yang diminta Daniel.
Sesekali nadanya terdengar tersekat-sekat, namun tetap diteruskan juga.
“Diam!
Diam! Diam!” jerkah Dayana garang.
Membuntang
matanya menikam ke arah Danish yang sedang melagukan azan sebelum ditatap Daniel
yang mula tenang. Giginya diketap kuat. Dia merengus-rengus kegeraman
memerhatikan kedua abangnya itu silih berganti.
Tidak
semena-mena bergegar tingkap kaca seusai Danish mengalunankan azan di dalam
rumah mereka. Daun pintu utama rumah mereka terbuka dengan sendirinya lalu
terbuai-buai ditiup angin senja yang tiba-tiba menggila. Peti televisyen turut
tertutup dan terbuka dengan sendirinya berkali-kali.
“Kalian
sengaja mencari geruh denganku!” kasar suara Dayana membuah kata dengan
pandangan mata yang mencerlung garang.
Daniel
segera bangkit dengan dibantu Dailla sebaik suara Dayana menerpa kolong
telinga. Mulutnya pula tidak henti-henti membaca beberapa potong ayat suci buat
perlindungan diri. Dia tahu, jiwa adiknya itu sedang dikuasai sesuatu yang
bukan sealam dengan mereka.
“Nash…azan,”
ujar Daniel lagi.
Danish
yang mendengar hanya mengangguk kecil sebelum tanpa paksa melagukan alunan azan
buat kali kedua. Kali ini nadanya lebih tenang dan tidak tersekat-sekat seperti
sebelumnya. Perit di belakang badan turut berkurangan dengan sendirinya.
Sebaik
Danish usai mengalunkan azan, Daniel segera membaca Ayatul Kursi dengan nada
yang lantang. Diulang ayat itu sebanyak tujuh kali di mana ayat terakhir turut
diulang sebanyak tujuh kali lalu dihembus ke arah Dayana.
Dayana
mula gelisah apabila Daniel terus-terusan membaca ayatul kursi dan dihembuskan
ke arahnya. Dadanya sesak tiba-tiba. Batang tubuhnya membahang tanpa punca.
Sebaik selesai tujuh kali ayatul kursi dibaca, badannya lembik jatuh menghempas
lantai. Pandangannya menjadi kelam sebelum perlahan-lahan gelap. Dia tidak
sedarkan diri!
***