Jam
sudah mencecah ke angka satu pagi, namun lima anak muda itu masih segar
matanya. Mereka masih lagi asyik bersantai-santai di ruangan rehat The Melody.
Mak Awa dan Pak Ako sudah lama lena dibuai mimpi malam.
Iyelah!
Setelah seharian berpenatan menguruskan The Melody dan lima anak muda yang
menghuni kediaman itu, kudrat mereka perlu diberikan rehat yang secukupnya. Dan
seperti selalunya, usai melakukan kerja-kerja mereka, pasti pasangan suami
isteri itu akan terus berlalu menuju ke kamar mereka yang berada di aras bawah
The Melody.
“Termenung
ingat apa tu?” bisik Aliana betul-betul di telinga Ezzyra.
Berderau
darah Ezzyra apabila disapa sebegitu. Terkelip-kelip matanya memandang wajah Aliana
yang sudah tersengih-sengih memandangnya. Hanya seketika, barulah gadis itu
tersedar dari kejutan. Sepantas kilat dia mengangkat tangan lalu menyuakan
segenggam penumbuk ke arah Aliana.
Gadis
Sarawak tersebut sekadar mengekek ketawa. Suka benar hatinya dapat menyakat Ezzyra
yang sememangnya kurang beremosi. Terasa geli betul hatinya melihatkan telatah Ezzyra
yang akan terkaku apabila mendapat kejutan walau dengan apa jua cara sekalipun.
“Sukanya,”
bisik Eddry pula tepat di telinga Aliana. Semerta dia melompat dari tempat dia
berdiri. Sekejapan, Aliana sudah berada di belakang Ezzyra. Pecah tawa Eddry, Reezal
dan Shazreen melihatkan ulah Aliana tersebut. Ezzyra pula sekadar tersenyum
perli. ‘Rasakan!’ bisik hati kecilnya.
“Mok kenak kah?! (Nak kena ke hah?!)” bentak
Aliana garang. Naik memerah wajahnya menahan rasa kerana diusik sebegitu.
“Kenak apa? (Kena apa?)” soal Eddry.
Bibirnya masih lagi meleret senyuman mengusik. Langsung tidak gerun dia melihatkan
Aliana yang kecil molek itu sudah naik hantu.
“Ada diat tok?! (Ni nampak?!)” bentak Aliana
lagi. Ditayang-tayang sebiji penumbuk kecilnya itu. Eddie masih lagi tersenyum.
Comel! bisik hati kecilnya.
Ezzyra,
Shazreen dan Reezal sekadar menjadi pemerhati melihatkan perbalahan kecil
antara dua sahabat mereka itu. Sudah biasa. Malas mahu menjadi pemerhati tidak
bergaji, Ezzyra mengatur langkah perlahan menuju ke ruangan dapur. Hanya
seketika, berlenggang gadis berambut panjang mencecah pinggang dan sedikit
berombak itu kembali ke ruangan rehat The Melody. Di tangan kirinya pula
tergenggam kemas segelas jus oren twister.
Belum
pun sempat dia melabuhkan punggungnya, jus oren di tangan dirampas Reezal. Laju
sahaja pemuda itu meneguk jus oren itu hingga tinggal setengah. Lalu dengan
bersahaja pemuda kurus tinggi itu meletakkan gelas tersebut di atas meja bulat
bersebelahan tempat mereka duduk bersantai.
Ezzyra
merenung tajam. Mulutnya langsung tidak bersuara namun telinganya sudah
memerah. Begitu juga dengan pipi dan mukanya menandakan amarah sudah mulai ada.
Reezal langsung tidak mengendahkan. Dia sekadar membuang pandang melihatkan
Eddry dan Aliana yang masih lagi bertelagah di dalam loghat Sarawak.
BUK!!!
Sebiji
kusyen kecil berwarna biru baldu melayang dan hinggap betul-betul di kepala Reezal.
Pantas jejaka itu menoleh, mempamerkan wajah tanda tanya. ‘Dah kenapa?’ soalnya
di dalam hati. Berkerut-kerut keningnya memerhatikan Ezzyra yang hanya menoleh
ke arah lain. Muka gadis itu masih memerah. Tak puas hati!.
Reezal
membuang pandang ke arah Shazreen yang sedari tadi memerhatikan tingkah mereka
berdua. Dijungkitkan keningnya seakan bertanya. Gadis itu hanya tersengih lebar
sambil jari telunjuknya menunding ke arah gelas kaca yang berisi separuh air
twister.
Terangguk-angguk
Reezal yang turut melihat ke arah gelas yang sama. Dia juga menyengih lebar.
Tahulah dia punca sebenar Ezzyra naik darah tiba-tiba.
DING
DONG!
Terdiam
sejenak lima sahabat itu sebaik terdengarkan dentingan loceng The Melody.
Mereka berpandangan sesama sendiri sambil mempamerkan wajah tanda tanya.
Semerta segala perlakuan mereka sebentar tadi terhenti. Sedetik. Dua detik
berlalu, namun tiada siapa yang mahu bangkit membukakan pintu. Mereka kelihatan
teragak-agak. Pencuri ke? Kalau pencuri, takkan tekan loceng?
Setelah
berkali-kali The Melody bising dek dentingan loceng, akhirnya Eddry mengalah.
Perlahan dia bangkit dari duduknya lalu juga dengan langkah perlahan dia
mendapatkan pintu utama The Melody. Tombol dipulas lalu dia sekadar menguak sedikit
sahaja daun pintu itu jauh dari rangkanya. Dia menjenguk, melihat siapakah yang
mengunjungi The Melody pagi-pagi buta tersebut.
Sebaik
sepasang matanya menatap sesusuk tubuh seseorang di luar The Melody, semerta
menderu angin menerjah yang entah dari mana datangnya. Meremang roma di tengkuk
dan lengan Eddry. Pemuda itu sekadar mengusap-usap lengannya sahaja. Dia
beristighfar di dalam hati. Tersisip sedikit doa agar jauh dari segala
kejahatan tidak kira datangnya dari makhluk yang terlihat atau yang terlindungi
alam ghaib.
Terlihat
seorang perempuan, berambut lurus panjang melepasi pinggang, bertubuh kurus dan
tinggi, berbaju kurung lusuh, menjinjing sebuah beg besar terpacak di luar
pintu. Lama Eddry merenungnya, berkerut-kerut kening memerhati. Gadis itu pula
sekadar diam tidak berkutik. Langsung mulutnya terkunci untuk bersuara apabila
melihatkan penerimaan Eddry tatkala itu. Pemuda itu masih merenung agak tajam,
sebelum membuka mulut, mengukir kata.
“Cari
siapa?” soal Eddry agak tegas. Berbeza sekali dengan perwatakan asalnya.
“Ini..
The Melody ke?” perlahan sahaja dia bertanya. Tertunduk-tunduk wajahnya.
Suaranya juga kedengaran agak ketakutan.
Bertambah-tambah
kerutan di kening Eddry apabila mendengarkan pertanyaan gadis tersebut. ‘Ada
apa pula ni?’ bisik hati kecilnya. Tanpa sedar, dia dirapati Aliana.
Terjengket-jengket gadis pendek itu untuk melihat gerangan siapakah yang
berbual dengan Eddry. Lelaki atau perempuan? Ezzyra, Shazreen dan Reezal juga
turut merapat sama. Namun mereka bertiga sekadar berdiri terpacak, tidak
seperti Aliana yang terjengah-jengah.
“Sapa? (Siapa?)” soal Aliana. Dia masih
lagi terjengah-jengah.
“Sik tauk (Tak tau)” balas Eddry
perlahan. Dianjakkan sedikit tubuhnya agar memberi ruang kepada gadis itu untuk
berdiri di hadapannya.
“Cari
siapa?” soal Aliana pula. Bulat matanya memandang wajah gadis di hadapannya
itu.
“Saya
cari The Melody. Ada yang beritahu, sinilah The Melody,” ujar gadis itu. Nada
suaranya masih lagi seperti tadi. Perlahan dan kedengarannya agak ketakutan.
Terjungkit
kening Ezzyra mendengarkan bicara gadis tersebut. Walau perlahan, namun masih
cukup mampu didengar mereka berlima yang berada di situ. Ezzyra perlahan
menoleh sekilas, memerhatikan jam yang gah tergantung di dinding. 2.30 pagi.
Ada
ke HQ hantar budak pagi-pagi buta macam ni? Dia berteka-teki sendiri. Semerta
hatinya merasa teringin melihat siapakah yang berada di luar sana. Namun,
pandangannya terlindung dek tubuh Eddry, Reezal dan Shazreen yang meninggi itu.
Jadinya, dia sekadar berdiri kaku di situ sahaja.
“Masuklah...”
Aliana
pantas melangkah, perlahan-lahan menoleh ke belakang lalu dengan lembut menolak
dada Eddie agar memberi laluan buat si gadis itu untuk masuk. Eddry, Reezal dan
Shazreen yang melihat turut beranjak sedikit.
Perlahan
gadis itu melangkah melepasi empat sahabat itu namun langkahnya terhenti dek
tubuh Ezzyra yang menghalang. Atas bawah sahaja Ezzyra memandang gadis berbaju
lusuh itu.
Tajam!
Langsung tiada sebarang kata yang keluar dari mulutnya, namun hatinya merasakan
ada yang tidak kena. Entah mengapa, pelbagai persoalan kini berlegar-legar di
ruangan mindanya. Perlahan gadis itu mengangkat mukanya, memandang wajah Ezzyra
yang membulat mata memandang. Terkebil-kebil.
Reezal
yang melihat, segera bertindak. Pantas dia mendapatkan Ezzyra lalu menarik
lengan gadis itu agar memberi sedikit ruang. Gadis berambut lurus melepasi
pinggang itu segera melangkah perlahan. Sebaik dirinya melintasi Ezzyra,
semerbak mengharum bauan bunga menghiasi ruangan tersebut. Berderau darah Ezzyra
melihatkan lenggang gadis itu. Mesti ada yang tak kena.. bisik hati kecilnya.
“Kau
siapa?”
Akhirnya
Ezzyra tidak mampu menahan rasa. Dia harus bersuara. Bulat matanya memandang
tajam ke arah gadis berkurung lusuh itu.
“Mona
Sufiya.. pengurus baru untuk The Melody..” ujar si gadis memperkenalkan diri.
Agak teragak-agak dia mengatur kata. Terlihat riak tidak selesa di sebalik
wajahnya yang putih memucat itu.
“Oh..
pengurus baru.. jadinya Ummi dan Babah dah tak perlu jadi pengurus kami laa?”, Aliana
tersengih. Semerta, sikap ramahnya terkeluar. Berbanding dengan empat yang
lainnya, gadis yang berambut separas bahu itu lebih senang bergaul dengan
sesiapa sahaja.
“Bukan..
err.. saya.. saya cuma menguruskan kamu berlima je..” balas Mona Sufiya. Serba
salah sahaja riak mukanya waktu itu.
“So, everything
still under Ummi and Babah?” soal Shazreen pula. Sengaja inginkan
kepastian.
Gadis
pucat itu hanya mengangguk. Tidak tahu untuk membalas kata. Namun, dia
kelihatannya amat tidak selesa dengan pandangan mata Ezzyra yang sedari tadi
menatapnya. Tajam. Cukup tajam pandangan mata itu. Ada yang lainnya di sebalik
pandangan gadis kacukan Melayu-Siam yang menghalangnya laluannya sebentar tadi
tersebut. Cumanya, Mona Sufiya tidak tahu apakah maksud di sebalik pandangan
mata tersebut. Marah atau dendam?.
“By the way, Im Aliana.. this is Eddry, Shazreen,
Reezal and yang pendek tu Ezzyra..”
Aliana
menambah kata apabila tiada siapa mahu membuka bicara. Tersengih dia memandanga
wajah Mona Sufiya yang jelas masih tidak selesa. Gadis itu sekadar mengangguk
kecil.
“Awak
dengan Ezz, awak lagi pendek, Lily..” ujar Eddry perlahan. Dia turut tersenyum
penuh makna.
“Whatever!” bidas Aliana. Semerta
wajahnya bertukar rupa. Cemberut.
Usai
perkenalkan diri, mereka berenam sekadar membuat hal sendiri. Mona Sufiya
awal-awal lagi sudah memanjat anak tangga menuju ke ruangan atas. Mungkin
sekali mencari biliknya. Mereka yang lain tidak risau jika Mona Sufiya tersalah
bilik kerana di kamar-kamar yang dihuni mereka sudah punya tanda nama di setiap
pintu. Hanya bilik yang tidak berpenghuni sahaja yang tiada tanda nama. Tanpa
mereka sedar, nun di anak tangga, meleret senyuman Mona Sufiya. Senyuman
tersendiri yang punya makna. Senyuman yang punya makna yang berbeza.