Kampung Busut Tunggal...
PAK YA meminta diri untuk pulang ke rumahnya seusai
mengerjakan solat Maghrib berjemaah dengan Jumali dan tiga orang adiknya yang
masih kecil.
“Tak tunggu makan dulu, Pak Ya?” soal Jamaatun, isteri
Jumat, yang menghantarnya sehingga ke muka pintu.
“Tak payahlah, Tun. Mak Nah kamu tinggal seorang diri aje
kat rumah tu. Lain kalilah ya.” Pak Ya menolak pelawaan itu dengan baik.
“Tun ingat nak buat kenduri doa selamat selepas ayah si
Jumali keluar dari hospital nanti. Pak Ya datang ya nanti.” Kata Jamaatun.
“Kalau Jumat ajak, insya-ALLAH aku datang, Tun. Eh, aku
gerak dululah Tun. Pesan pada Jumali, sebelum tidur nanti jangan lupa baca 3
kul dan ayat Kursi sebagai pendinding diri daripada sebarang bala bencana serta
gangguan makhluk yang tak dapat dilihat dengan mata kasar manusia.” Pak Ya sempat
berpesan sebelum meneruskan langkah menuruni tangga.
“Insya-ALLAH, Pak Ya. Jangan lupa sampaikan salam Tun
pada Mak Nah.” Jaamatun menyahut.
Pak Ya menuju ke arah motosikalnya yang diparkir di bawah
pokok rambutan. Ketika itu suasana kampung sudah mula diselubungi kegelapan.
Namun begitu, Pak Ya tidak perlu khuatir kerana kemudahan bekalan elektrik
telahpun sampai di kampung itu walaupun ia terletak jauh di pedalaman. Inilah
berkat pembangunan namanya. Jalan utama juga diterangi lampu elektrik.
Jarak di antara rumah Pak Ya dengan Jumat tidaklah jauh
sangat, lebih kurang dua kilometer sahaja. Pada mulanya tiada apa-apa yang
ganjil berlaku. Pak Ya menunggang motosikalnya seperti biasa. Tetapi saat
motosikal Pak Ya melewati kawasan perkuburan lama kampung itu tiba-tiba sahaja
Pak Ya rasa motosikalnya menjadi berat, seolah-olah ada satu bebanan besar
sedang membonceng di belakangnya.
Kemudian disusuli pula dengan kehadiran bau yang kurang menyenangkan
seolah-olah bau daging reput. Menurut orang tua-tua dahulu kalau terbau daging
reput atau bau busuk bangkai, itu tandanya ada harimau sedang berkeliaran. Bau
busuk itu datangnya daripada mulut harimau.
Pak Ya mula rasa kurang selesa.
Mustahil bau busuk itu yang sedang aku hidu ni datang
daripada mulut harimau, bisik hati Pak Ya. Lagipun bau busuk ini terlalu
hampir, seolah-olah di belakang aku aje.
Isy, bala apa pulak yang mengekor aku malam-malam gini!
Pak Ya merungut-rungut dalam hati.
“Pak Yaaaa...” Tiba-tiba Pak Ya terdengar suara di
belakangnya. Alahai, dia dah bercakap pulak dah!
Bukan main terkejut lagi orang tua itu. Mujurlah dia
berjaya mengawal motosikalnya daripada tersasar ke tepi jalan. Walaupun sedar
dirinya sedang diganggu namun Pak Ya enggan berhenti di tepi jalan untuk
berdepan dengan ‘makhluk’ itu seorang diri. Dia meneruskan tunggangannya.
“Apa kau mahu? Aku tak kacau kau. Aku harap kau jugak
jangan kacau aku. Nyah kau dari sini!” Pak Ya seperti orang gila yang sedang
bercakap-cakap dengan satu entiti yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar
manusia.
“Pak Yaaa... tolong guaaa... Pak Yaaa...” Makhluk itu
berbisik lagi ke telinganya.
“Nyah kau dari sini! Jangan ganggu aku!!!” Pak Ya
bertempik.
Serentak itu mulut Pak Ya terkumat-kamit membaca dua
potong ayat yang terkandung di dalam surat al-Mukminun yang juga boleh
dijadikan doa pendinding diri daripada entiti yang tidak mampu dilihat mata
kasar manusia. Ayat itu bermaksud:
“Dan katakanlah: ‘Wahai TUHANku, aku berlindung kepadaMU
daripada hasutan syaitan-syaitan’. ‘Dan aku berlindung kepadaMU, wahai TUHANku,
supaya syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku’. – Surah al-Mukminun: 97-98
Seusai membaca doa itu, dia terdengar mahkluk di
belakangnya meraung dan melayang pergi. Selepas itu barulah Pak Ya rasa
motosikalnya berfungsi seperti biasa dan bau busuk yang tadi dihidunya terus
hilang lenyap dibawa hembusan angin malam.
WALAUPUN doktor yang merawatnya berkata Jumat boleh
keluar dari hospital itu pagi esok tetapi dia tetap tidak gembira. Dia bernasib
baik sebenarnya kerana telah terlepas daripada maut akibat sengatan lebah
tualang tempoh hari. Sengatan lebah tualang yang berbisa itu boleh membawa maut
kalau mangsanya lambat dibawa ke hospital. Pucuk-pucuk kayu lembut yang
dikunyah dan digesekkan ke tempat sengatan adalah penawar awal kepada sengatan
yang berbisa itu.
Selain daripada bisa yang masih berdenyut-denyut di tubuhnya,
dia turut bimbangkan keselamatan anaknya, Jumali yang berada di rumah. Dia
berharap agar Jumali dapat tidur dengan lena dan tidak diekori oleh ‘penghuni’
hutan Busut Tunggal.
Jarum jam sudah menuding ke angka 12 tengah malam tetapi
Jumat masih terkebil-kebil di atas katilnya. Dia cuba mengingat-ingat semula
bagaimana mulanya lebah tualang itu mengamuk dan mengejarnya. Ketika itu, dia
baru sahaja memanjat sigai untuk mengambil lebah asli dari sarang lebah tualang
itu. Belumpun sempat dia sampai ke atas tiba-tiba muncul seekor gagak mengacau
sarang lebah tualang menyebabkan ribuan ekor lebah itu mengamuk.
Seumur hidupnya dia tidak pernah berhadapan dengan
situasi sebegitu. Kemunculan burung gagak yang misteri benar-benar menghantui
fikiran Jumat.
“LEPAS ni tak
payahlah kau ikut ayah kau ke hutan lagi, Mal. Nasib baiklah kau tak sesat
terus dalam hutan tu. Kalau sesat terus, rugi tau! Kau tu belum kahwin lagi,
tak dapatlah kau rasa nikmatnya orang yang dah berumah tangga.” Aiman, teman
sekelasnya mula mengusik.
Dua orang lagi teman sekelasnya yang bernama Firdaus dan
Syaheed tergelak lantang. Riuh suara gelak ketawa mereka memenuhi serambi rumah
papan itu.
“Betul cakap Aiman tu, Mal. Kesian aku tengok makwe kau,
si Suriati tu. Sejak kau hilang dalam hutan tu, dia yang paling risau di antara
kita orang semua ni.” Syaheed bersuara.
“Sejak bila pulak Ati tu jadi makwe aku? Ada-ada ajelah
kau ni, Syaheed!” Jumali pura-pura marah. Matanya sudah mula layu tetapi dia
tidak tergamak hendak menghalau pulang rakan-rakannya itu.
“Esok kau sekolah tak?” soal Firdaus pula.
“Pagi esok aku kena jemput ayah aku balik dari hospital,”
jawab Jumali.
Ketiga-tiga orang kawannya itu mengangguk. Beberapa minit
kemudian mereka meminta diri untuk pulang ke rumah masing-masing. Setelah
teman-temannya pulang, Jumali mengunci pintu depan lalu masuk ke bilik
tidurnya.
Kalau di serambi tadi matanya terasa layu sahaja tetapi
sebaik dia rebahkan kepalanya ke bantal, rasa kantuknya terus hilang. Di dalam
kesamaran malam itu dia terkebil-kebil sendirian.
Dia memasang telinga. Suasana sekitar sudah mula sunyi
sepi. Sendirian begitu, dia tidak dapat menghalang fikirannya daripada
mengembara mengingati semula pengalaman pertamanya tersesat di hutan. Dia akui,
dia tidak seberani ayahnya. Hutan Busut Tunggal itu bagaikan tempat permainan
ayahnya tetapi bukan bagi dirinya.
Selain daripada menoreh getah tua mereka, punca
pendapatan mereka sekeluarga adalah daripada hasil hutan. Ayahnya selalu
bercerita yang dia telah dibawa masuk ke hutan oleh arwah atuk sejak berusia 7
tahun lagi. Berbeza dengan dirinya yang hanya mengikut ayahnya masuk ke hutan
setelah masuk ke sekolah menengah. Sewaktu di sekolah rendah dahulu ibunya
sering membantah niat ayahnya yang ingin membawa dia meneroka ke hutan Busut
Tunggal dengan alasan Jumali masih kecil dan perlu menumpukan perhatian kepada
pelajarannya.
Walaupun dia rajin menolong ayahnya mengambil upah
menebas atau memanjat pokok kelapa serta mencari rotan, madu lebah dan petai di
hutan tetapi Jumali rasa dunianya bukanlah di situ. Selepas menamatkan
peperiksaan SPMnya nanti, Jumali ingin menyambung pelajarannya ke kolej
komuniti. Kalau tidakpun dia mahu masuk ke Tingkatan Enam di sebuah sekolah
yang terletak di pekan sana. Dia seperti anak-anak muda lainnya mahu menyertai
bidang industri dan enggan terperuk di kampung yang terpencil itu
selama-lamanya.
Jumali akui, dia sangat takut ketika tersesat jauh ke
dalam Hutan Busut Tunggal. Yang paling menyeramkannya ialah ketika mereka cuba
mencari jalan keluar tetapi akhirnya sampai semula di bawah pokok saka yang
menjulang tinggi itu.
Sebagai seorang anak yang hidup dan membesar di zaman
siber, walaupun di rumahnya sendiri tidak ada komputer mahupun internet, Jumali
sukar hendak mempercayai kewujudan dunia bunian. Betulkah ada bunian yang cuba
menyembunyikan manusia yang tersesat di hutan sehingga mereka gagal menemui
jalan pulang? Tetapi setelah beberapa cubaan mereka untuk mencari jalan keluar
gagal, Jumali mula mengandaikan yang dia dan ayahnya kini mungkin tersesat di
dunia bunian. Pun begitu, dia tidak berani hendak memaklumkan kepada ayahnya
tentang kerisauannya.
Kemudian, malampun tiba...
Jumali semakin resah apabila cahaya matahari tidak lagi
sampai ke lantai hutan itu. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana keadaannya
terpaksa bermalam di dalam hutan tebal itu. Dia menurut sahaja perintah ayahnya
supaya memanjat pokok saka yang menjulang tinggi. Kata ayahnya, itu adalah
untuk keselamatan mereka berdua juga kerana mereka tidak tahu haiwan apakah
yang akan keluar dan merayau-rayau di lantai hutan itu pada waktu malam nanti.
Mungkin harimau. Mungkin gajah. Mungkin seladang atau
babi hutan. Mungkin juga ular sawa. Segala-galanya mungkin!
Jumali tidak menghadapi masalah untuk memanjat pokok saka
itu. Dia akui dirinya rasa lega kerana dia sesat bersama-sama dengan ayahnya.
Ayahnya telah berjanji yang esok pasti mereka akan menemui jalan keluar dari
rimba banat itu.
Mereka mengambil keputusan untuk berehat di dahan yang
terletak di tengah-tengah pokok saka yang menjulang tinggi. Dahan yang mereka
pilih itu agak besar dan teguh dengan dua dahan lebih kecil yang menegak ke
atas yang boleh dijadikan tempat untuk bersandar.
“Jangan lupa baca 3 kul kalau nak tidur,” pesan ayahnya.
Disebabkan letih yang amat sangat, Jumali hanya sempat
menghabiskan surah al-ikhlas sahaja sebelum matanya mula layu. Akhirnya, dia
terlelap.
Jumali tidak sedar berapa lamakah dia terlelap. Dia
tersedar daripada tidurnya tatkala diganggu oleh bunyi nyamuk yang
berdengung-dengung di tepi telinganya. Bunyi nyamuk yang mengganggu lena itu
betul-betul menjengkelkan.
Dalam keadaan terpisat-pisat, dia menoleh ke arah
ayahnya. Namun, dia tidak nampak sama ada ayahnya sudah tidur ataupun belum dek
kegelapan malam. Tiba-tiba matanya terlihat satu cahaya berwarna kekuningan
mencorong keluar dari kejauhan. Cahaya itu menegak dalam formasi lurus serta
berbentuk bulat torak, seolah-olah cahaya lampu yang disuluh melalui silinder.
Cahaya apa pulak tu, bisik hati Jumali yang mula
mengagumi kemunculan cahaya asing di tengah-tengah hutan itu.
Mungkin cahaya tu datangnya daripada lampu suruh
orang-orang kampung yang sedang mencari kami agaknya. Jumali bermonolog. Dia
memakukan matanya ke arah cahaya itu.
Tiba-tiba cahaya kuning yang tadinya bulat torak mula
mengubah bentuknya kepada bentuk tengkorak dengan sepasang mata merah menyala
mencerlang terus ke arah Jumali. Terkejut, Jumali memekup mukanya dengan
tangan. Tidak cukup dengan itu, Jumali terdengar seolah-olah bunyi hembusan
nafas di telinga kanannya disusuli oleh bau daging reput. Busuk! Kemudian, dia
terdengar satu suara memanggil namanya.
“Jumaliii... tolong guaaa, Jumaliii...”
Jumali menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia cuba membuka
mulut untuk meminta pertolongan ayahnya namun suaranya bagaikan tersekat di
kerongkong. Dia terkencing-kencing di dalam seluarnya ketika merasa seolah-olah
ada tangan dengan kuku-kukunya yang panjang
merayap-rayap di tubuhnya, naik ke muka dan bermain-main seketika di
situ.
Kalau tidak teringat keadaannya yang sedang bertenggek di
atas dahan pokok, sudah tentu Jumali akan terjun dan melarikan dirinya dari
situ. Ketakutannya ketika itu berada di tahap maksimum.
“Jumaliii... guaaa... tungguuu... luuu... sampaiii!”
bisik suara itu, garau.
Ketika Jumali hampir-hampir hilang akal akibat dirodok
ketakutan yang amat sangat, akhirnya dia teringat untuk membaca ayat Kursi.
Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat itu. Perlahan-lahan gangguan serta bau
busuk yang berlegar-legar tadi hilang lenyap dengan sendirinya.
Dia tidak dapat lelap lagi selepas itu. Mulutnya
terkumat-kamit membaca segala ayat-ayat lazim yang diketahuinya sehinggalah
fajar mula menyinsing di ufuk Timur.
Pengalaman itu memang menakutkan. Taubat, selepas ini dia
enggan mengikut ayahnya masuk ke hutan lagi walaupun dipaksa. Oleh kerana rasa
egonya yang tinggi, dia tidak menceritakan kepada sesiapapun akan pengalamannya
itu. Dia takut kalau-kalau dia akan menjadi bahan ketawa orang-orang kampung
sahaja nanti. Biarlah pengalamannya dihantui penunggu hutan Busut Tunggal itu
disimpan dalam ingatannya sahaja.
Hmm... kenapa tak boleh lelap lagi ni? Hatinya mula
merungut-rungut. Puas menelentang, dia mengiring dengan memeluk bantal guling.
Namun matanya masih juga enggan lelap.
Tiba-tiba, telinga Jumali menangkap bunyi ‘sesuatu’
sedang mencakar-cakar di dinding, seolah-olah sedang cuba masuk ke bilik
tidurnya.
“Jumaliii...”
Suara itu muncul dan menghantuinya lagi. Jumali
ketakutan. Spontan dia menarik selimutnya lalu berselubung. Bunyi cakaran di
dinding pula semakin kuat dan menakutkan.
“Jumaliii...” Bunyi suara itu semakin dekat.
Serentak itu, Jumali terasa ‘sesuatu’ sedang merangkak-rangkak
di atas badannya yang berselubung. Dihantui ketakutan yang amat sangat, dia
langsung tidak mampu mengingati apa-apa lagi hatta sepotong ayat al-Quran pun
dia lupa.
“Jumaliii...”
Jumali tidak tertahan lagi. Dia mencampakkan selimutnya
lalu menghambur keluar dari bilik tidur, lari ke pintu depan dan terus memecut
laju meninggalkan rumahnya dalam kepekatan malam.
Jumali hilang. Dan, Kampung Busut Tunggal gempar lagi!