Home Novel Seram/Misteri PENUNGGU GUA
PENUNGGU GUA
SITI ROZILAH
1/6/2015 01:43:32
19,784
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 2

2

Di sebuah salun rambut pada tahun 2015

MEILINA BINTI SYAUKI melihat rambutnya yang dipelihara sejak bertahun-tahun tahun itu dicantas pendek hingga ke pangkal tengkuk tanpa berasa apa-apa. Rimas, lemas... itulah yang sering menghantuinya semasa menyimpan rambut panjang dahulu. Sudah lama dia kepingin hendak menggunting pendek rambutnya itu tetapi niatnya sering dihalang-halang oleh ibunya.

“Kalau rambut Mei tu panjang senanglah mak andam nak buat sanggul tinggi bila Mei jadi pengantin nanti.” Itu sahajalah alasan yang diberikan ibunya setiap kali Meilina bising-bising hendak gunting rambut.

“Mak ni, macamlah Mei nak kahwin esok. Lambat lagilah anak mak ni nak kahwin!” Dia memberontak. Tetapi demi menjaga hati ibunya dan malas hendak bertelagah anak-beranak, rambut itu dibiarkan sahaja mengurai panjang.

Tetapi apa yang dilihatnya awal petang tadi di Taman Suria KLCC itulah yang mendorong Meilina membuat keputusan drastik tersebut. Punah sudah segala apa yang dipertahankan selama ini. Cinta dan kepercayaannya terhadap Dazrin hancur lebur. Kalau selama ini dia enggan mempercayai desas-desus yang berlegar-legar di sekelilingnya menuduh bahawa Dazrin itu Don Juan seMalaya, kini setelah dia nampak dengan mata kepalanya sendiri barulah dia percaya.

Dia mual dan jijik dengan Dazrin! Setelah banyak masanya dibazirkan demi merealisasikan impian mereka berdua, tiba-tiba dia ditayangkan dengan drama sebabak yang menyakitkan jiwa.

Yang paling Meilina tidak dapat terima ialah dia ditakdirkan melihat kecurangan Dazrin itu setelah mereka ditunangkan. Kenapa tidak dahulu lagi dia melihat kesemua itu? Kenapa semua tembelang Dazrin pecah setelah mereka bertunang?

Kenapa? Kenapa??? Dia ingin menjerit dan meraung. Tetapi semua jeritan dan raungannya hanya bersipongang dalam dadanya, tidak mampu diluahkan.

“Mei, kau patut bersyukur kerana tembelang Daz terdedah sebelum kau jadi isterinya. Aku tak dapat bayangkan kalau kau hanya menyedari yang Daz bukanlah lelaki yang kau idam-idamkan setelah kau orang berdua tinggal sebumbung.” Begitulah nasihat yang terlontar dari mulut Junita ketika Meilina menelefonnya untuk mengadu hal, sejurus sebelum dia melangkah masuk ke salun rambut itu tadi.

Mengenangkan betapa betulnya lontaran kata teman baik merangkap teman serumahnya itu, Meilina menarik nafas panjang. Aku harus bersyukur kerana tembelang Daz terdedah sebelum kami diijabkabulkan. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Selepas ini aku akan lebih berhati-hati dengan permainan lelaki. Cukuplah sekali itu hatiku dicacai oleh Daz. Aku tidak akan sekali-kali membiarkan hatiku diperlakukan sebegitu lagi. Dia bermonolog untuk memujuk hatinya sendiri.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.