Home Novel Seram/Misteri PENUNGGU GUA
PENUNGGU GUA
SITI ROZILAH
1/6/2015 01:43:32
19,753
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
Bab 1

1

Di sebuah kampung terpencil pada tahun 1941

“KENAPA lu tak gunting rambut tu lagi? Lu mau askar Jepun jatuh hati sama lu?” sembur Ah Tek ke arah anak gadisnya yang baru berusia 16 tahun itu.

Mei Ling adalah anak kebanggaannya. Juga kesayangannya. Apa tidaknya, setelah hampir-hampir berputus asa untuk menimang cahaya mata dan ketika dia sudah berura-ura hendak menceraikan isterinya yang dituduh mandul kerana gagal menjalankan tugasnya sebagai kilang beranak, tiba-tiba benihnya bercambah di rahim isterinya itu.

Seperti juga keluarga lain, Ah Tek amat berharap agar anak sulungnya itu adalah seorang bayi lelaki bagi meneruskan legasinya. Tetapi dia tidak akan menolak rezeki jika yang dianugerahkan kepadanya adalah seorang bayi perempuan. Yang penting anaknya kelak tidak kiralah apapun jantinanya akan dididik sebagai seorang manusia yang cekal.

Dia melihat Mei Ling yang comel dan keletah itu membesar sebagai seorang anak gadis yang cantik. Pipinya sentiasa kemerah-merahan. Matanya besar dan bulat, tidak sepet seperti isterinya yang dibeli untuk dijadikan sebagai teman dan juga kilang beranak. Mereka berkahwin pun atas aturan keluarga. Di hatinya langsung tidak wujud rasa cinta terhadap isterinya walaupun sudah hampir 26 tahun mereka hidup sebumbung.

Mei Ling baginya seindah dan sesegar kuntuman ros merah yang sedang mekar di laman rumahnya. Ah Tek sudah bercadang hendak menjodohkan Mei Ling dengan anak kawannya, seorang peniaga di Kuala Lumpur.

Tetapi dalam dia sedang merancang masa depan yang gemilang untuk anak gadisnya itu, seluruh Tanah Melayu dikejutkan oleh berita pendaratan askar-askar Jepun di Kota Bharu pada 8 Disember 1941. Askar-askar itu bergerak pantas dengan menakluki negeri-negeri di bahagian Selatan Semenanjung. Gerombolan askar ini bergerak dengan berjalan kaki, berbasikal serta diiringi oleh unit berkereta kebal.

Askar Jepun menyerang tanpa belas kasihan. Bandar-bandar besar seperti George Town, Pulau Pinang telah dihujani bom tanpa henti oleh kapal terbang pengebom Jepun menyaksikan mayat-mayat bergelimpangan di atas raya. Orang putih yang menjajah Tanah Melayu ketika itu tidak mampu berbuat apa-apa. Mereka hanya mampu memandang kemaraan askar Jepun dengan kepala lutut menggeletar. Rasa ego yang meraja di hati mereka dahulu sudah lenyap entah ke mana. Gentar. Takut! Itulah yang menyelubungi diri mereka sekarang.

Mereka segera mengemaskan kain baju dan barang-barang berharga serta menghantar anak isteri mereka pulang ke tanah air. Orang-orang tempatan ditinggalkan begitu sahaja tanpa apa-apa perlindungan. Askar-askar orang putih yang masih bertahan pula telah berundur ke Singapura dan berkubu di sana sementara menanti bantuan ketenteraan tiba.

Mujurlah Ah Tek sekeluarga tinggal di sebuah kampung terpencil berhampiran hutan jadi kesan peperangan tidaklah terlalu dirasai. Mereka tinggal berjiran dengan beberapa keluarga Melayu. Namun begitu, mana mungkin mereka dapat hidup tenang kalau bernafas di atas bumi yang sedang bergolak dengan peperangan?

Bukan Ah Tek tidak tahu kekejaman askar-askar general Yamashita terhadap orang-orang Cina di Tanah Besar sana! Orang-orang awam dibunuh tanpa belas kasihan. Kaum wanita diperkosa atau dijadikan hamba seks sebelum dibunuh.

Apabila memikirkan tentang segala kemungkinan yang buruk-buruk itu, Ah Tek jadi ngeri. Tidak! Dia tidak akan membiarkan anak gadisnya dipengapakan tentera Jepun.

“Tempat kita ni aman, papa. Jepun takkan kacau kita di sini. Askar Jepun berkeliaran di pekan-pekan aje.” Mei Ling pantas menyambut kata-kata bapanya. Dia berkata begitu kerana sehingga kini dia belum melihat walau seorang pun askar Jepun melintas di hadapannya. Dia yakin akan selamat berada di kampungnya yang terpencil itu.

“Kenapa lu ni degil, hah? Cubalah sesekali dengar cakap papa. Ini untuk keselamatan lu jugak,” tegur Ah Tek sambil meninggalkan bilik anak gadisnya.

Mei Ling renung cermin di depannya. Matanya menjilati pipinya yang gebu kemerah-merahan. Kemudian pandangannya beralih pula ke arah sepasang mata yang bulat dan besar miliknya. Selepas itu barulah pandangannya hinggap ke arah rambutnya yang lebat dan hitam berkilat itu.

Bapanya sudah beberapa kali memberi arahan supaya dia segera cantas rambutnya yang sudah melepasi bahu itu. Dia amat sayangkan mahkota kebanggaannya itu. Sayang sekali kalau rambutnya itu terpaksa dipotong.

Mei Ling renung gunting yang tergeletak di atas meja solek itu dengan hati yang berbalau. Nak gunting ke tak... nak gunting ke tak?

“Rambut kau cantik, Mei.” Tiba-tiba suara garau itu menerbak semula ke ruang ingatannya.

“Rambut aje ke yang cantik?” Dia membalas sambil melirikkan pandangannya ke arah temannya yang berkulit sawo matang itu.

Walaupun dia selalu diarahkan bapanya supaya jangan bercampur sangat dengan anak-anak muda Melayu di kampung itu tetapi Mei Ling selalu engkar. Lagipun dengan siapa lagi dia hendak berkawan kerana rumahnya dikelilingi oleh jiran-jiran berbangsa Melayu?

Temannya itu hanya ketawa. Mungkin malu hendak menjawab membuatkan Mei Ling mengulangi soalannya.

“Semua yang lu miliki sangat cantik, Mei. Sebab tulah ramai pemuda di kampung ni menaruh hati sama lu.”

Mei Ling ketawa. Rasa bangga dan gembira bercampur-baur di hatinya tatkala mendengar kata-kata bernada pujian itu. Berbekalkan kulit yang lebih cerah berbanding anak-anak gadis di kampung itu, dia muncul sebagai seorang gadis tercantik.

Dalam diam, ramai pemuda menggilainya. Dalam diam juga, ramai yang mencemburuinya.

Renungan Mei Ling hinggap lagi ke arah gunting di atas meja soleknya. Gunting itu seolah-olah sedang menanti, menunggu apa juga keputusannya. Akhirnya dia mencapai gunting itu lalu menghalakan ke rambutnya. Airmata Mei Ling berlinangan tatkala melihat rambutnya yang telah dijaga sejak bertahun-tahun itu dicantas sependek mungkin.

MEI LING melangkah keluar dari biliknya setengah jam kemudian dan mendapati ibu dan bapanya sedang bertekak.

“Pindah? Tapi ke mana?” soal ibunya dengan wajah yang sarat.

“Ke pinggir hutan. Kedai kita inilah tempat pertama yang akan dicari Jepun nanti.”

“Tapi gua tak pernah nak seorang pun tentera Jepun sekitar kampung ini? Kalau kita pindah, bagaimana dengan kedai kita? Nanti dimasuki pencuri.” Ibunya bersuara, protes.

“Yang mana lebih penting pada lu... keselamatan nyawa kita anak-beranak ataupun harta semua ni? Lu tak terfikir apa yang akan dilakukan tentera Jepun kalau mereka nampak Mei?”

Ibunya bungkam. Akhirnya, dia mengangguk tanda bersetuju dengan saranan suaminya supaya mereka bersembunyi di pinggir hutan pada waktu siang dan kembali semula ke kedai itu pada waktu malam jika keadaan mengizinkan. Ramai orang kampung yang sudah mendahului mereka dengan berpindah ke pinggir hutan untuk mengelakkan diri daripada bertembung dengan tentera Jepun.

Beberapa ketika kemudian barulah mereka menyedari yang perbualan mereka telah didengari oleh anak perempuan mereka.

“Jangan risau, nanti rambut lu akan tumbuh balik.” Bapanya bersuara untuk menyejukkan hati Mei Ling.

“Ya, betul kata papa lu tu, Mei. Eh... lu mahu ke mana tu?” Ibunya pula menyampuk.

“Gua nak keluar jumpa kawan kejap.” Mei Ling bersuara lalu terus melangkah keluar sebelum sesiapa berjaya menghalangnya.

Previous: PROLOG
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.