BAB 8 : CINTAKU BERSEMI DI TAMAN HATI
Pagi Sabtu pun menjelang tiba. Aku bangun awal kerana hari
ini Tengku Aidil akan menjemput aku dan Linda untuk ke syurga keriangan dunia :
TAMAN TEMA GENTING HIGHLANDS. Hatiku bukan kepalang gembiranya pagi ini kerana
akhirnya dapat juga aku menjejakkan kaki ke sana. Sudah lama sebenarnya aku
teringin hendak ke sana namun apakan daya, ibu tidak berkemampuan membawa aku
ke tempat-tempat sebegini. Cukup sekadar t-shirt, seluar jeans dan cardigan
labuh menjadi penghias tubuhku di pagi ini. Kelengkapan untuk majlis makan malam
sudah ku persiapkan di dalam sebuah beg galas yang sudah siap tersangkut di
bahu ini. Aku berayun-ayun di atas
buaian yang menghiasi halaman rumah sementara menantikan Linda yang sedang
sibuk mempersiapkan diri. Pagi yang dingin itu menyebabkan aku tenggelam dalam
lamunanku sendiri hinggakan aku tidak sedar yang kereta mewah Tengku Aidil
sudah menjalar di hadapan rumah. Dia membunyikan hon keretanya sekuat hati
sekaligus mematikan segala lamunanku.
“PONNNN!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!”
Oh mak kau! Serta-merta aku melompat turun dari buaian itu
sambil mengurut-urut dada. Terkejut aku dibuatnya. Suka benar mamat ni cari
pasal dengan aku!
Aku menggerutu. “Nasib baik saya tak ada penyakit jantung,
kalau tidak jawapannya terus almarhum.” Tengku Aidil tersengih-sengih. Geram
pula aku melihatnya. Nasib baiklah rupamu kacak kalau tidak dah lama aku hentak!
Linda yang terkocoh-kocoh keluar dari rumah hanya terpinga-pinga melihat kami
berdua.
“Tengku rupanya! Saya ingatkan siapa tadi.” Linda tersenyum
manis. Perhatianku pula sudah beralih arah. Bonet kereta Tengku Aidil yang
ternganga luas menyemarakkan naluri kegiranganku. Tanpa dipelawa aku mula
mengheret beg aku dan Linda menghala ke kereta mewah Tengku Aidil. Dengan mengerah
segenap kudrat wanita terus sahaja ku angkut beg kami berdua ke dalam perut
bonet tersebut.
Tengku Aidil hanya merenung gelagatku dengan penuh minat. “Kuat
juga buah hati I ni ya, tak padan dengan badan kecil, tapi tenaga mengalahkan
orang lelaki.”
Aku menyerigai. “Hah kalau nak tahu, inilah dinamakan
kecil-kecil cili padi, urat besi tulang dawai tau, jangan main-main.”
“Ira..Ira..Ada-ada saja kamu ni. Tengku, saya rasa baik kita
bertolak sekarang,nanti terlepas pula upacara pembukaan nanti.” Akulah yang
paling teruja sekali apabila mendengar kata-kata Linda. Kaki ini sudah tidak
sabar-sabar rasanya untuk menjejakkan kaki ke GENTING HIGHLANDS. Sebaik sahaja
enjin kereta dihidupkan maka secara rasminya bermulalah misi aku sebagai
kekasih hati Tengku Aidil dan peranan ini akan cuba ku tangani dengan sebaik
mungkin. Di sepanjang perjalanan kami bertiga hanya mendiamkan diri, hanya
alunan radio yang memecah keheningan pagi itu. Belum sampai separuh perjalanan,
Linda sudah melelapkan matanya. Aku pula hanya melemparkan pandanganku ke luar
tingkap sambil fikiranku menerawang jauh entah ke mana. Tiba-tiba berkumandang
alunan lagu yang sudah sebati di halwa telingku.
“Aku lihat dia di sana…Aku ingin mendekatinya…
Aku cuba
menghampirinya…Lalu aku menyapa dia..
Dia pun membuka
bicara….Dan aku mulai mengenalnya..
Kita mulai bermain
mata…Mula timbul rasa bahagia…
Bila dia mendekati
diriku…Hatiku rasa sesuatu…
Bila dia senyum pada
diriku…Hatiku rasa tak menentu….”
“Lagu ni macam dah jadi lagu tema kita berdua pula. Rasanya
ini kali kedua lagu ini berkumandang bila kita berdua bersama.” Luahan spontan
dari Tengku Aidil itu menyentakkan aku seketika. Dah macam drama bersiri pula,
siap ada lagu tema lagi. Kelas gitu!
“Tapi I suka lagu ini. Melodinya sedap di dengar dan liriknya
mudah di fahami, kan?” Biar betul mamat ni? Memang aku sendiri pun amat menggemari melodi
dan lirik lagu ini cuma tidak pula aku menyangka yang Tengku Aidil juga turut
menggemari lagu ini. Sehati dan sejiwa, bagaikan merpati dua sejoli pula
ibaratnya cinta kami berdua ini. Senyuman di bibirku ini semakin melebar. Hai
nampaknya tahap jiwang karatku sudah melarat ke paras bahaya!
“Amboi..senyum sampai ke telinga nampak. Jangan fikir nak
berseronok saja. Ingat, kita ada misi penting yang perlu dilunaskan. Pastikan
lakonan you sebagai kekasih I boleh menyakinkan mereka semua. Walaupun ini
semua hanya lakonan semata-mata namun itu tak bermakna you boleh buat sambil
lewa sahaja.” Nah! Terkena lagi aku sebiji. Sedikit demi sedikit karekter Tengku
Aidil mula terserlah. Serasanya aku mula memahami dia. Tengku Aidil adalah
seorang yang tegas dan serius orangnya apabila melaksanakan sesuatu perancangan
dan aku amat menghormati pendiriannya. Sebuah lakonan yang paling mantap dan
berkesan akan ku persembahkan hanya untukmu seorang wahai Tengku Aidil!
Aku tabik kepadanya. “Baik bos!” Lucu sungguh hati ini
apabila melihat Tengku Aidil sedaya-upaya memekung perasaan geram yang
berselirat di dalam dirinya apabila menyaksikan telatahku.
Kereta terus melunjur laju menuju ke destinasinya. Mataku
pula semakin lama semakin memberat dan akhirnya aku gagal mengawal diri dari
melelapkan mata. Laluan yang berliku-liku melalui cerun bukit yang semakin
meninggi tidak sesekali mengurangkan kelajuan kereta yang di pandu oleh Tengku
Aidil. Kesudahannya kepalaku ini terlentuk baik di pesisiran bahu Tengku Aidil.
Hatinya terus berdegup kencang sepantas mesin pemutar kek! Namun tidak sesekali
dia menjongket bahunya malah dia mengandarkan bahunya lebih rapat denganku. Kesejukan
yang menerobos masuk menerpa ke pipi gebu ini membuatkan kelopak mataku mulai
terbuka dengan perlahan-lahan. Astagfirullahalazim!! Sudah berapa lama agaknya
kepala ini sudah terlentuk manja di bahunya? Dalam perkiraanku pasti sudah lama
aku berada di dalam posisi yang memalukan sebegitu. Mengapa dia sedikit pun
tidak mengejutkan aku dari tidur? Sahlah yang Tengku Aidil sengaja nak
bermanja-manja denganku! Aku bingkas
bangun. Dengan segera aku membetulkan tudungku yang sudah senget-benget. Dia
mengerlingku sambil tersenyum lebar. Bila ku toleh ke belakang, Linda sudah
tiada di tempat duduknya!
Aku kaget. “Eh,mana Linda? Tengku, kita kat di mana ni? Dah
sampai ke Genting Highlands ke?” Soalku bertubi-tubi.
“Cuba bawa bertenang,
Ira. Kita dah sampai di Genting Highlands. Linda pergi tandas sekejap. Tadi I
tengok you baik punya tidur atas bahu I, tak sampai hati pula I nak kejutkan
you.” Ciss! Tak sampai hati konon! Alasanmu itu sungguh dangkal sekali
kedengarannya wahai Tengku Aidil!
“Oh, yeke? Sorilah, tak pasal-pasal bahu Tengku jadi bantal
persinggahan sementara saya. Jangan marah ya.” Kata-kataku itu mengundang
sekuntum senyuman indah di bibir indahnya.
“Tak marah Cik Safira. Lain kali buat lagi tau, lagi lama
lagi bagus. I suka sangat.” Amboi! Boleh tahan juga miangnya mamat ni. Bulat
bola mataku tersembul. Buat kesekian kalinya hidung mancungku menjadi mangsa
cuitan jari jemarinya. Memang dia gemar sekali memperlakukan sebegitu kepadaku.
Namun setiap kali dia berbuat demikian hatiku di jentik nada riang. Rupa-rupanya
aksi manja-manja kucing kami itu sedang diperhatikan oleh Linda! Malunya aku! Aku
melangkah keluar dari kereta dengan wajah selamba.
“Amboi, pagi-pagi lagi dah bergurau senda, ya? Bahagianya
pasangan merpati dua sejoli ni.” Tanganku pantas mencuit pinggang gadis manis
itu.
“Oh mak kau! Ira! Nak kena awak ni!” Pantas tanganku menepis
tangan Linda yang cuba menggeletek pinggangku pula namun ternyata dia tidak
berputus asa. Makin galak pula tangannya mencuit pinggangku.
Aku menyerah kalah akhirnya. “Ok..Ok..ampun Cik Linda. Patik
janji patik tidak akan menggeletek pinggang tuan hamba lagi.” Linda tersenyum
lebar kerana akhirnya kemenangan berpihak kepadanya.
Tengku Aidil mendengus. “Macam budak-budak kalian berdua ni! Linda,
you pergi uruskan pendaftaran staf di kaunter. Bas yang membawa rombongan
staf-staf akan tiba bila-bila masa sahaja dari sekarang. I tak mahu dengar
nanti ada staf yang tak dapat bilik!” Terkedu seketika kami berdua. Ya, masa
bergurau sudah tamat! Kelam kabut aku dan Linda berlari-lari anak menuju ke
kaunter pendaftaran yang telah disediakan oleh pihak Hotel First World ini. Tepat
sekali tebakan Tengku Aidil! Sejurus selepas itu bas yang membawa rombongan
staf Teguh Bina Sdn. Bhd. pun tiba di perkarangan hotel. Tanpa membuang masa Linda
menguruskan pendaftaran staf. Kasihan pula aku melihat Linda terkial-kial
seorang diri. Maka dengan selambanya aku mengambil alih tanggungjawab mengedarkan
beg cenderamata kepada staf yang sudah siap mendaftar. Wajah-wajah pelik mula
terukir di kalangan staf sekalian apabila menerima beg cenderamata tersebut
dariku. Mereka semua berbisik-bisik sesama sendiri dengan wajah yang curiga. Tiba-tiba
bahuku di sentuh dengan lembut oleh seseorang. Tengku Aidil rupanya!
“You tak payah nak tunjuk rajin sangat. Jangan lupa
pula kedatangan you ke sini adalah sebagai girlfriend I. Sekarang ni you ikut
I, kita sama-sama meneroka kota keriangan dunia.” Desiran lembut yang berhembus
keluar dari bibir Tengku Aidil itu mendesup masuk ke telingaku. Aku segera
berpaling ke arahnya. Opps! Hampir-hampir sahaja wajahku berlaga dengan wajah
Tengku Aidil. Staf-staf yang berada di situ perasan dengan kejadian tersebut. Lontaran dan jelingan tajam dari mereka terus
membuatkan wajahku yang pucat bahana cuaca sejuk di sini serta-merta bertukar
menjadi kemerah-merahan. Tanpa mempedulikan mata-mata yang memandang Tengku
Aidil terus menarik lenganku. Kaki ini terpaksa ku gagahi agar mengikuti jejak
langkahnya. Melampau betul mamat ni! Sesedap rasa sahaja dia memperlakukan diri
ini. Geramnya aku bukan kepalang!
Kami berdua
melalui tempat permainan video game dan gerai-gerai permainan yang amat meriah
dan tak putus-putus dengan para pengunjung. Seterusnya kami menuruni eskalator yang
bertingkat-tingkat sehingga kami tiba di bahagian bawah sekali. Deretan
kedai-kedai makanan segera dan pelbagai jenis permainan untuk kanak-kanak
segera terhidang di hadapan mata. Terkesima seketika diri ini apabila melihat
harga makanannya. Biar betul! Goreng pisang sahaja berharga RM 1 sekeping. Buat
pertama kalinya baru aku sedar betapa comelnya isipadu poketku ini. Sememangnya
tempatku bukannya di sini!
“Ira, apa yang you termenung ni? Jom cepat.” Tengku
Aidil sudah berada di sampingku. Dua keping tiket masuk ke Taman Tema Genting
Highlands sudah terselit kemas di jemarinya. Dia menggamitku agar mengikutinya
ke kaunter pemakaian gelang tangan. Sebaik sahaja gelang sudah tersarung ke
pergelangan tangan masing-masing, kami berdua melangkah masuk ke dalam taman
tema itu. Wow! Semuanya kelihatan mengagumkan! Bunga-bungaan yang
berwarna-warni berguguran jatuh menghiasi lantai taman, pelbagai permainan yang
beraneka jenis dan bentuk seolah-olah berada di alam fantasi! Paling menarik
perhatian adalah replika bas berwarna merah yang saling tak tumpah bagaikan bas
yang hanya terdapat di Kota London. Terus aku berlari-lari anak mendapatkan bas
itu. Satu-persatu anak tangganya ku daki. Kelihatan sepasang kekasih dua sejoli
sedang bergambar sakan di dalam bas itu dan apabila terlihat sahaja akan
kehadiran aku di situ, dengan serta-merta mereka ‘melantik’ aku sebagai
jurugambar tidak bertauliah. Dengan senang hati aku memikul tanggungjawab yang
di amanahkan kepadaku dan sebagai timbal balasnya, mereka juga terpaksa bertindak
sebagai jurugambar buatku. Dalam keterujaan berposing kemunculan Tengku Aidil di
situ tidak disedari olehku sama sekali. Belum sempat gambarku yang berikutnya
di potretkan dia sudah berdiri di sebelahku tanpa sebarang perasaan bersalah. Dengan
bersahaja Tengku Aidil mengarahkan pasangan kekasih tadi untuk mengambil gambar
kami berdua. Seperti mahu berhenti berdegup sahaja jantungku ini apabila Tengku
Aidil menghamparkan tangannya ke atas bahuku! Spontan aku berpaling ke arahnya
dan di saat itulah potret kami berdua terakam indah di lensa kamera telefon
bimbitku. Buat kesekian kalinya wajahku memerah lagi. Sebaik sahaja selesai
sessi bergambar yang tidak disengajakan itu tangannya yang masih menjalar di
atas bahu ini segera ku tepis. Wajah bersahaja yang terpamer di wajah Tengku
Aidil semakin menambahkan lagi kehangatan di dalam dadaku ini. Bersabarlah
wahai hati, sesungguhnya sabar itu kan separuh dari iman…
Langkah kaki diteruskan. Kali ini kami singgah di
gerai permainan yang menawarkan hadiah patung teddy bear yang comel-comel
belaka. Aku mencuba nasib dalam permainan memancing anak itik. Tiga percubaan
diberikan tapi malang sungguh nasibku kerana semua percubaanku gagal. Tengku
Aidil pula mencuba permainan melontar dart. Sungguh tak di sangka, ketiga-tiga
lontarannya tepat mengenai sasaran! Sebagai habuan, dia berjaya memenangi
sebuah patung teddy bear berwarna kuning yang paling besar.
“Ini khas untukmu sayang,” Tengku Aidil menghulurkan
patung teddy bear itu kepadaku. Cair aku seketika dengan perlakuan romantiknya.
Mujurlah aku tidak putus-putus mengingatkan hati ini agar jangan terperangkap
di dalam permainan ini kerana sesungguhnya aku hanyalah sang penyamar hati
sahaja!
“You ni kuat berangan betullah, Ira. Ingatkan putera
raja mana pula ni? Yang dah ada di hadapan mata ini tak cukup-cukup lagi ke?” Aduh! Pedih cuping telinga ini rasanya. Wajahku
serta-merta memerah. Kata-kata Tengku Aidil yang sinis itu umpama bom atom yang
jatuh tepat menimpa ke batang hidungku.
“Maafkan patik wahai kekandaku pengarang jantung
hatiku sayang. Dinda janji dinda tak akan mengulangi kesilapan itu lagi.”
Sekali lagi resepiku menjadi. Aku berjaya mengukirkan sekuntum senyuman manis
di bibirnya.
“Buah hati I ni memang pandai ambil hati I. Ni yang
rasa nak masuk meminang hari ini juga.” Entah mengapa aku amat berharap usikan
Tengku Aidil itu adalah benar semata-mata walaupun ku tahu kata-katanya itu hanya
sekadar bercakna di bibirnya sahaja. Dengan lirikan nakal aku pula sengaja
menduga kolam hatinya.
“Masuklah
meminang kalau berani.”
“Apa yang you cakap? Silap besarlah kalau you ingat
I tak berani nak buat macam tu. Kalau nak menikah hari ini pun I sangguplah!” Ternganga
mulutku seketika. Benarkah apa yang ku dengari ini? Nampaknya sekali lagi
Tengku Aidil sengaja ingin menguji hati ini!
Aku tersenyum mengejek. “Siapa nak kahwin dengan
dia? Tak sangka ada juga orang yang perasan pagi-pagi buta macam ini.” Berubah
seketika riak wajahnya. Dengan wajah masam mencuka Tengku Aidil berlalu pergi
dari situ tanpa mengendahkanku. Alamak! Aku tersalah cakap lagilah ini.
Habislah aku! Kelam-kabut ku menuruti langkah kaki Tengku Aidil. Akhirnya dia
berhenti di salah satu permainan yang terdapat di situ. Dengan wajah selamba
aku terus menempel di sebelahnya tanpa mempedulikan jelingan mautnya
terhadapku. Tidak sabar-sabar rasanya mencuba segala macam permainan yang
terdapat di sini. Namun deretan manusia yang beratur menunggu giliran
masing-masing melunturkan semangatku. Pelik pula rasanya apabila melihat Tengku
Aidil tenang sahaja. Dia menggamitku agar mengikutinya menuju ke laluan Express
Lane. Rupa-rupanya Tengku Aidil telah membeli pas Express Lane. Pas ini membolehkan
kami menaiki semua permainan di sini tanpa perlu beratur panjang sebaliknya
kami hanya perlu pergi ke laluan Express Lane yang di sediakan. Seronoknya! Hampir
semua permainan ku takluki berulang-ulang kali kecuali satu permainan yang tak
mungkin akan ku jejaki. Kecut perut aku melihatnya. Bisa goyah jiwa kentalku
ini!
“Ira, jom teman I naik roller coaster, nak?”
“Roller coaster? Tak naklah. Boringlah naik benda
ni, tak seronok langsung.” Aku cuba berdalih. Hai…dalam banyak-banyak permainan
kenapalah mamat ini boleh terlintas nak naik permainan ini pula?
“Eleh, takutlah tu. Tak sangka perempuan gangster
macam you ni pun penakut juga rupa-rupanya.” Apa? Dia cakap aku penakut? Tak
boleh jadi ni!
“Tolong sikit! Siapa cakap saya takut? Jomlah kita
naik sekarang.” Laju sahaja langkah kaki ini melangkah menuju ke roller
coaster. Demi membuktikan betapa beraninya diri ini, aku telah memilih tempat
duduk di hadapan sekali. Pada perkiraanku pasti ianya tidak begitu menakutkan
berbanding dengan tempat duduk di belakang tapi kali ini percaturanku silap!
Sebaik sahaja roller coaster itu mula bergerak, ia sudah mula menunjukkan
taringnya. Serasanya bagaikan mahu terkeluar segala isi perut ini. Aku menjerit
dengan sekuat hati. Lengan Tengku Aidil ku peluk erat-erat namun dia hanya
membiarkan sahaja. Aku hanya menyedari permainan ini sudah selesai apabila sebuah
bisikan halus menerjah masuk ke gegendang telingaku.
“Sayang juga you dengan I sampaikan tangan I pun you
tak mahu lepaskan.” Serta-merta mataku terbuka. Malunya aku! Dengan segera ku rungkaikan
pegangan tanganku.
“Sori, saya tak sengaja. Ingatkan kita tak sampai lagi
tadi.”
Tengku Aidil tersenyum nakal. “Mengaku jelah yang
tadi you sengaja ambil kesempatan ke atas I kan.”
Aku mencebik. “Eh, tolong sikit ya. Jangan nak
perasan wahai Tengku Aidil yang teramat mulia. Bahawasanya walaupun memang tuan
hamba jejaka idaman Malaya yang kacak lagi bergaya namun patik tidak teringin
langsung nak mengambil kesempatan ke atas diri tuan hamba.”
“Lah, baru perasan ke yang I ni memang kacak
bergaya? Itulah sebabnya tadi you ambil kesempatan ke atas diri I, kan?” Terkena
lagi! Tengku Aidil tetap tidak mahu mengaku kalah. Kalau terus-terusan di layan
mahu juga sampai esok pagi tak selesai. Dengan wajah selamba aku melangkah
pergi dari situ.
“Ira, nak pergi mana tu? Tunggulah I!” Semakin laju
langkah kaki ini melangkah. Aku membiarkan sahaja dia terkejar-kejar di
belakangku. Sepasang mata tajam asyik merenung gelagat kami berdua sejak dari
tadi. Telefon bimbitnya dikeluarkan. Kelihatannya dia cuba untuk menghubungi
seseorang.
“Hello Tengku
Natalia. Saya ada kat Genting Highlands ni. Tengku Aidil ada di sini
bersama-sama dengan seorang perempuan.”
Menyirap darah Netty. “Apa?? Berani Tengku Aidil
berpoya-poya dengan perempuan lain? Siapa perempuan tu? Cantik tak dia? Dia
lebih seksi dari I ke?”
Seba-salah Radzi dibuatnya. “Saya tak pastilah
Tengku. Wajahnya tidak pernah saya lihat sebelum ini. Rasanya dia bukan staf
Tengku Aidil. Pada pandangan mata saya memang cantik dan comel orangnya cuma
dia bertudung. Kalau bergandingan dengan Tengku Aidil memang sama cantik sama
padan.”
“Enough!! You jangan nak naikkan darah I pula, Radzi! Aidil ni dah buang tabiat agaknya sampaikan
dia sanggup berpoya-poya dengan perempuan yang bertudung. So kampung! Nampaknya
macam ada sesuatu yang tak kena. Sekarang
ni you terus awasi mereka berdua. Petang nanti I akan tiba di sana.”
“Baik Tengku.”
Tidak senang duduk Netty di buatnya. Sama sekali dia
tidak menyangka yang Tengku Aidil sanggup berbuat begini kepadanya. Patutlah
selama ini Tengku Aidil bersikap dingin terhadapnya, rupa-rupanya dia sudah ada
buah hati yang lain. Yang tambah mencalarkan hatinya adalah Tengku Aidil
memilih perempuan yang langsung tidak setanding dengan dirinya. Mindanya segera
membayangkan akan kelibat seorang gadis kampung berwajah polos dan bertudung
ala-ala makcik.
Netty memekik. “TIDAK!!!”
Terkocoh-kocoh Tengku Maria mendapatkan anaknya. “Kenapa
ni sayang? Kenapa terjerit-jerit ni?”
“Bonda, Aidil buat perangai dah. Bonda bayangkan,
sanggup dia bawa seorang perempuan
kampung kolot yang bertudung bagai untuk menemani dia di sana! Apa teruk
sangat ke anakanda ni, bonda? Sakit betul hati anakanda ni.” Tengku Maria
terdiam. Tidak disangkanya anak saudaranya itu mempunyai citarasa yang sungguh
jelek.
“Anakanda, takkanlah anakanda nak mengaku kalah
macam tu je? Anak bonda ni kan gadis yang paling menawan di dalam KL ni. Bonda
percaya perempuan itu takkan dapat menandingi anakanda. Best woman wins!”
Kata-kata Tengku Maria itu meniupkan kembali semangat Netty yang hampir layu
tadi.
“Betul ke ni bonda?”
“Betul sayang. Bonda tak cakap bohong. Sekarang ni bonda
nak anakanda pergi bersiap. Buktikan pada Aidil yang anakandalah yg terbaik dan
rugilah kalau dia tak terima anakanda dalam hidupnya.” Perasaan Netty yang
berkecamuk terasa bagai dipupuk semula serinya. Memang benar kata-kata
bondanya. Dia takkan sesekali mengalah dengan perempuan kolot itu!
“Terima kasih bonda. I’m really appreciate it. Anakanda
akan ikut segala nasihat bonda. Sekarang ni anakanda nak pergi ke salon
sekejap, nak set rambut. Anakanda akan pastikan yang anakanda akan jadi gadis
yang paling vogue malam ini.”
“Bagus. That’s the spirit. Macam inilah baru anak
bonda.” Netty berlalu pergi dengan senyuman manis yang terukir di bibir
mungilnya. Dia akan mempersiapkan diri dengan pakaian dan dandanan yang luar
biasa hari ini. Tengku Aidil pasti akan
terperanjat dan terpesona dengan keanggunannya malam ini. Tengku Amir yang
kebetulan lalu di situ kehairanan melihat telatah adiknya.
“Bonda, kenapa dengan adinda tu? Tersengih macam
orang sewel saja?”
“Dia ada misi penting malam ni.”
Berkerut seketika dahi Tengku Amir. “Misi penting?
Apa yang penting sangat tu?”
“Malam ni
bertemulah buku dengan ruas. Tengku Aidil akan termalu nanti kerana membawa
gadis lain bersamanya. Malam ni baru dia akan sedar Netty jauh lebih cantik dan
anggun dari perempuan kolot tu.” Tengku Amir terkedu. Sepupunya bermain cinta
dengan perempuan lain? Setahunya Tengku Aidil bukanlah jenis lelaki yang suka
berpoya-poya. Takkan sepupunya itu memadu kasih dengan gadis comel tempohari. Biar
betul!