Bab 1
“INGAT semua pesan ibu. Jaga diri Thia tu, jangan lupa diri, jangan lupa ibu,
solat jangan tinggal, ya? Ibu jauh dah lepas ni. Tak dapat nak tengok-tengok Thia
selalu. Ibu harap Thia tak lupa semua pesan ibu. Ibu sayang Thia, ibu tak nak
anak ibu ni tersasar dan terpesong. Pasang niat nak belajar saja datang sini. Ada
faham?” Puan Seha berpesan kepada anaknya. Begitu panjang nasihat ibunya sehingga
boleh buat novel bersiri.
“Yes, mother. I know
how to take care of myself. You just need to care about your welfare, okay?
Ibu tu dahlah sakit. Thia datang sini semata-mata nak belajar aje. Bukan nak
pergi berfoya-foya. Ibu tenang aje. Anak ibu ni kuat iman. Takkan tersasar
punya. Trust me, mother. Pray a lot for me,” jawab Thia dengan nada
bergurau. Ibunya hanya mampu menganggukkan kepala. Dia cuba menahan sebak yang
menghentam dadanya.
“Thia
mesti rindu ibu nanti, kan? Tapi ibu janganlah risau. Kalau Thia ada cuti
nanti, Thia balik rumah kita,” jelas Thia lagi sambil mengusap lembut bahu
ibunya yang tercinta. Hari ini, hari pertama dia berjauhan dengan ibunya dalam
tempoh masa yang agak lama kerana melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan.
Thia
adalah anak tunggal Puan Seha dan Tuan Adam malah satu-satunya anak emas bagi
pasangan itu. Tuan Adam telah meninggal dunia sejak Thia berusia sepuluh tahun
lagi akibat sakit jantung. Puan Seha yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah
firma guaman di Shah Alam masih mampu
untuk menyara hidup mereka berdua walaupun pendapatannya tidaklah setinggi mana
namun ia mencukupi menampung segala perbelanjaan.
“Yalah, Thia. Tapi kalau Thia sibuk tak usahlah balik selalu. Ibu
bukan tak suka anak ibu balik. Cuma ibu nak Thia fokus pada study. Lagi
satu, ibu tak nak Thia keluar malam. Kalau kawan ajak pun ibu tak benarkan. Ada
faham, Rana Fathiah?” Puan Seha bersungguh-sungguh menasihati anaknya.
“Apa ibu ni?
Macamlah ibu tak kenal Thia. Dekat rumah pun Thia tak pernah keluar malam. Thia
ni walaupun nakal, brutal, suka merempit dan selalu buat darah tinggi ibu naik,
but sometimes I’m a good daughter, right? Thia satu-satunya anak
ibu yang manis, lawa, soft, dengar kata, bijak, solehah,...”
“Tak payahlah nak buat sinetron kat
sini. Daripada dengar Thia merepek, baik ibu dengar Ustaz Azhar Idrus ceramah. Dapat
faedahnya. Ibu nak balik dah ni. Kesian Pak Lang tunggu lama-lama. Ibu dah
pesan pada Pak Lang tadi ibu nak hantar Thia aje. Thia ingat pesan-pesan ibu.
Kalau senang nanti, ibu call. Thia pun rajin-rajinlah callibu.
Jangan reti call boyfriendaje,” ujar Puan Seha separuh menyindir.
Thia tercengang. Terdengar
keluhan berat dilepaskan. “Boyfriend? Oh my goodness! It
sounds like disaster to me, mother! Anyway, ibu jaga diri tau. Makan
ubat ikut masa. Thia sayang ibu,” ucap Thia sambil memeluk erat ibunya.
Ah!
Belum pun berpisah, dia sudah terasa rindu. Namun, apa dayanya lagi? Dia kini perlu
meneruskan pengajiannya ke peringkat diploma dalam bidang sains aktuari. Meski
berat hati untuk meninggalkan ibunya, dia harus cekal menghadapi semua ini.
“Ibu
pun sayang Thia. Ibu balik dulu. Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam,” balas Thia sambil
menghulur tangan kepada ibunya. Setelah itu, ibunya pun berlalu pergi.
Tangannya melambai ibunya yang kian jauh dari pandangan mata. Sayu rasa
hatinya. Setelah itu, dia pun menuju ke pintu masuk asrama. Berat sungguh dia
melangkah jalan. Terasa macam ada Batu Caves dekat celah kakinya itu.
THIAyang mengheret dua bagasi besar secara tidak sengaja telah terlanggar
seorang wanita ketika menuju ke lif. Bahu mereka berlaga. Ah! Dia hampir
terpijak sesuatu.
“Hei!
Buta ke?” tengking wanita itu dengan wajah menyinga. Cermin mata hitam yang dipakai
oleh wanita itu terjatuh lantaran dilanggar oleh Thia.
Cemas.
Thia segera menunduk untuk mengambil cermin mata yang terjatuh di kakinya lalu
diserahkan kepada wanita yang berani mengherdik dia tadi. Perlu ke nak menengking
sedangkan dia tidak sengaja?
“Sorry,cik. Sorrysangat-sangat.
Saya tak sengaja tadi.” Thia memanggung kepala dan menoleh tepat ke arah wanita
itu yang memandang tajam ke arahnya. Dia yang berwajah serius terus tergelak
kecil apabila melihat wanita yang baru saja dia langgar tadi begitu menawan
tetapi bermata juling.
Wanita
itu pada pandangannya sungguh cantik, tinggi, putih gebu, dan potongan badannya
pula, persis kerengga. Ini, mak kerengga pun kalah. Namun yang menghalang
kesempurnaan wanita itu ialah bermata juling.
‘Astaghfirullahalazim.
Ya ALLAH… Ya Tuhanku, hina sungguh aku mempertikaikan kejadian-Mu sedangkan
dia juga adalah makhluk ciptaan-Mu,’ sempat Thia beristighfar di dalam hati.
“Kurang
ajar! Kau dah langgar aku lepas tu kau gelakkan aku pulak? Apa yang kau
gelakkan tadi?” terjah wanita itu lagi sambil mencekak baju Thia pula. Mukanya
sudah mengalahkan harimau jadian.
Thia yang terkejut dengan
tindakan drastik wanita itu terus saja mengecutkan diri. Ditelan air liurnya rakus.
Sejurus kemudian, dengan perlahan dia menolak tubuh wanita itu jauh-jauh agar
tidak terus mencekak leher bajunya. Maaf. Tidak semudah itu dia membenarkan
dirinya dibuli.
“Err…
cik,kan saya dah minta maaf tadi. Apa masalah cik lagi ni? Saya gelak
sebab tadi saya terkejut sangat. Terkejut dan saya pun tergelaklah. Laughing
is free, right? Untuk pengetahuan
cik, itu adalah salah satu cara bagi saya nak mengatasi rasa terkejut. Maaf jika
ia buat cik tersinggung pula,” Thia cuba berlembut.
“Oh,
macam tu ke? Memang patutlah. Muka kau tu dah menggambarkan betapa ceteknya
akal kau. Anyway,malas aku nak layan orang terencat akal macam kau ni,”
tempelak wanita itu lantas berlalu pergi meninggalkan Thia. Sedikit saja lagi,
Perang Dunia Ketiga bakal tercetus sekiranya dia tidak beransur pergi.
Hati Thia menggeletik panas mendengar bahasa
kasar daripada wanita itu. “Apa
hal dia nak tengking-tengking sesuka hati aje? Ada masalah dengan sugar daddy
kau pun, tak payahlah nak lepas kat aku! Gilalah dia ni,” bentak Thia. Kakinya
seperti mahu mengejar gadis bongkak itu namun muka ibunya seakan terpampang di
hadapan mata. Menghalang.
“Oh,
God! I need a shower here… like seriously!” rengusnya. Bibir
dijuihkan tanda meluat. Dengan hati yang masih lagi belum turun suhu panasnya,
dia pun masuk ke dalam lif.
Sebaik menembusi perut lif, butang ke tingkat
sepuluh segera ditekan. Apabila kakinya menapak tiba di tingkat sepuluh,
matanya terpesona dengan kebersihan dan kemudahan yang tersedia.
Jelas, Thia berasa sangat
beruntung kerana asramanya boleh dikatakan mewah dengan tersedianya telefon
awam,lif, laundry, bilik televisyen dan setiap aras mempunyai
empat buah rumah.
Dengan adanya lif, tidaklah dia bersusah payah untuk naik dan
turun tangga jika ingin ke kelas. Boleh dikatakan asrama itu seperti
pangsapuri. Asrama yang menempatkan pelajar-pelajar Universiti Teknologi Mara
itu mempunyai dua blok bangunan iaitu Blok A dan Blok B.
Mujurlah dia
mendapat Blok B kerana dengar-dengarnya Blok A menempatkan pelajar perempuan
dan juga pelajar lelaki. Walaupun setiap lima aras ada RS(resident staff)
yang menjaga dan memantau, namun ia tetap membimbangkan apabila pelajar lelaki
dan pelajar perempuan tinggal di bawah satu bangunan.
‘Harap-harap, tiadalah
perkara sumbang yang bakal berlaku,’ doa hati kecilnya.
“ASSALAMUALAIKUM,” sapa Thia. Dia membuka
pintu rumah kediamannya yang bakal
dihuni selama tiga tahun. Saat dia bergerak masuk ke dalam rumah itu,
matanya menjamah wajah-wajah penghuni yang bakal menjadi teman rapatnya
sepanjang dia berada di situ.
“Waalaikumussalam,”
jawab teman-teman serumahnya. Tanpa membuang masa Thia pun menonong sahaja
berlalu ke biliknya. Bukan ingin menyombong tetapi dia berasa kekok dan segan
apabila banyak mata yang memandangnya dengan pandangan yang sukar dimengerti.
‘Kenapa
dia orang pandang aku macam aku tak pakai seluar? Baju aku buruk sangat ke? Em…
elok aje baju kurung aku ni. Atau muka aku memang macam orang gila selama ni?
Ke… dia orang jealous sebab aku cantik?’ soal hatinya bertubi-tubi.
Bingung seketika. Serta-merta dia membetulkan rambut dan pakaiannya.
Ada yang
menatap bagai nak juling biji mata, ada yang memandang dengan sinis dan ada
yang memandang sambil tersenyum manis. ‘Yang senyum tu mesti nak berkawan
dengan aku,’ bisiknya nakal. Dia tergelak kecil.
Setelah kakinya mencecah di
depan pintu bilik, lantas dia menguak pintu tersebut. Kelihatan dua buah katil double
decker dan sebuah bilik air yang terletak di corner bilik itu.
Thia mengambil masa untuk
mengemas barang-barangnya sebelum dia keluar untuk meneruskan sesi perkenalan
antara dia dan teman-temannya yang tergendala sebentar tadi. Dia berkenalan
dengan teman sebiliknya yang bernama Fitri, Lisa dan Yani.
Ketika
dia berkenalan dengan Lisa, hatinya berasa sedikit gelabah kerana perwatakan
dan cara temannya itu berpakaian agak kelakian. Dengan memakai baju-Thitam
berkolar di mana bahagian dada bajunya tertera dengan tulisan ‘my girl
my passion,’sudah cukup membuat lutut Thia bergoyang-goyang seperti
menari mengikut tarian Super Kampung Styledi mana mukanya bereaksi pelik
dan matanya melekat ke muka Lisa seakan temannya itu buat aksi tak senonoh.
“Hai! Aku Lisa. Kau mesti tak
selesa tengok aku, kan? Relakslah. Tak payahlah nak buat muka macam aku ni
makhluk asing yang mendatangkan bahaya kepada orang ramai. Aku ni, perempuan
sejati. Cuma aku tak reti nak berpakaian macam perempuan-perempuan lain. Sorry
kalau aku buat kau tak selesa,” ujar Lisa berterus-terang sambil tersengih
macam kerang busuk.
Thia
berasa malu apabila ditegur sebegitu. Pasti ketara sangat air mukanya yang
sedang enak mengutuk Lisa. Akhirnya dia malu sendiri.
“Tak
adalah. By the way, kau tinggal di mana?” Thia menguntum senyum. Cuba mengurung
rasa malu.
“Aku tinggal di
Rawang, Selangor. Kau pulak?”
“Aku tinggal di
Puncak Alam. Fitri pula tinggal di mana?” soal Thia kepada seorang lagi teman
sebiliknya. Cuba meringankan mulut dan memaniskan muka. Nampak sangat dia cuba
berlakon jadi budak baik. Skema sungguh caranya bertanya.
Yani pula semasa itu
seperti halimunan saja baginya.
“Aku
orang negeri. Kampung aku dekat Jelebu tapi aku baru duduk sana dua tahun,” jawab
Fitri ringkas tanpa menyoal kembali. Suasana berubah hening seketika.
Masing-masing membisu.
Yani
yang mendiamkan diri terasa dirinya terpinggir. ‘Dia orang tak nak tanya aku
ke?’ detik hatinya. Namun dia pasrah saja memberitahu biarpun tidak ditanya.
Dari
pandangan mata kasar Thia, teman sebiliknya baik-baik saja. Namun dia tidak
boleh menilai benda baru dengan cepat. Kadang-kadang apa yang kita lihat lain
daripada apa yang sebenarnya. Ibunya sering berpesan, kita mesti pandai memilih
kawan. Jika kawan baik yang kita pilih kita juga menjadi manusia yang baik.
Sebaliknya jika kita bergaul dengan orang yang kurang baik sikapnya,
lama-kelamaan kita juga akan terpengaruh sama.
Thia
benar-benar berharap semoga teman-temannya itu ikhlas hendak berkawan
dengannya.