Rana Fathiah…
DIAterbaring
lesu di atas katilnya. Wajahnya mendung bagai awan hitam yang membawa hujan. Apa
yang berlaku bagaikan mimpi ngeri buat dirinya. Yang mana satu ingin dia
percaya? Antara realiti atau fantasi? Bahagia atau derita?
Berkali-kali dia
cuba mengingatkan dirinya bahawa dia sedang bermimpi dan apabila dia bangun
esok pagi, segala mimpi ngeri itu akan hilang, lenyap dimamah cahaya mentari
yang bakal menyinar cahayanya lantas mengejutkan dia daripada mimpi itu.
Namun,
benarkah semuanya sekadar mimpi ngeri ataupun realiti kehidupan yang terpaksa
dihadapi oleh dirinya? Begini sekalikah aturan takdirnya yang ditetapkan oleh ALLAH
SWT? Apakah kesalahan yang pernah dilakukan sehingga nasib yang menimpa dirinya
begitu hebat sehingga dia terkulai layu di sini?
Biarpun
sudah seminggu peristiwa itu berlaku, namun Thia masih dalam ketakutan dan
trauma. Raungan dirinya di dalam hati tidak siapa yang tahu. Berhari-hari dia
berkeadaan sebegitu. Dia berubah menjadi seorang yang pendiam. Sekejap badannya
menggeletar dan sekejap badannya lemah tidak bermaya untuk melakukan apa-apa
hanya kerana seorang lelaki durjana yang mahu merosakkan hidupnya.
Dunia
seakan-akan sedang mentertawakannya lantaran peristiwa hitam yang menghempap
dirinya itu. Dia telah mengambil cuti selama dua minggu dengan alasan, dia
masih trauma dengan apa yang baru terjadi. Alhamdulillah, dengan pertolongan Rizqi
semuanya telah dapat diselesaikan dan pihak universiti membenarkan. Thia masih ingat betapa sakitnya dia
dibelasah oleh Hafiz yang cuba memperkosanya.
Segala pelindung diri langsung
tidak memberi apa-apa bantuan apabila Hafiz sendiri sudah dirasuk oleh syaitan
yang sememangnya bekerja keras untuk menyesatkan anak-anak Adam. Walaupun Hafiz
belum sempat menodainya, namun dia tetap berasa jijik apabila hampir seluruh
wajah dan separuh daripada bahagian tubuhnya diratah oleh lelaki itu seenak-enaknya
tanpa ada rasa secebis palitan dosa.
Ah! Manusia jenis apakah lelaki itu? Tubuhnya lebam-lebam,
hatinya tidak lagi tenteram dan jiwanya seakan meroyan bahana perbuatan keji
seorang insan bernama lelaki. Air matanya begitu murah kini. Bila bersendirian,
peristiwa hitam itu tidak pernah jemu bertandang di mindanya.
Muhammad Akif Raihan…
DI ATAS sofa, Raihan tersenyum membayangkan tingkah laku Thia yang kelam kabut
tadi. Saat Thia berada dekat dengan dirinya cukup membuatkan jantungnya
berdebar-debar. Berpeluh juga dahinya apabila melihat keadaan Thia di kamar
beradu mereka tadi. Seurat benang pun tidak menutupi tubuh isterinya itu.
Pertama kali dia melihat keadaan Thia begitu, membuat hatinya rasa teruja dan
mengagumi Thia dalam diam walaupun secara tidak sengaja adegan ‘dewasa’ itu
terpampang di depan matanya. Kalau
diikutkan rasa hati, mahu dia hambat Thia ke atas katil bagi melampiaskan
segala dendam yang telah lama berbuku.
Namun dia masih menghormati maruah Thia.
Dia tidak mahu menambahkan rasa kebencian Thia terhadap dirinya. Cukuplah
dengan apa yang sudah terjadi kini.
Thia
adalah isteri yang dinikahi dengan kerelaan hati. Benar. Namun, sebelum
menikahi Thia, tidak terlintas langsung di fikirannya bahawa suatu hari nanti Thia
akan menjadi suri hidupnya. Apatah lagi dulu dia menganggap Thia sebagai calon
teman wanita sahabatnya.
Dia bukanlah
seorang lelaki yang gila bercinta bahkan sekali pun dia tidak pernah masuk ke
alam percintaan. Dia tidak mengambil pusing pun hal-hal seperti itu.
Baginya,
cinta akan datang dengan sendirinya tanpa perlu dikejar. Tidak perlu dia
mendekati mana-mana wanita untuk diangkat sebagai kekasih sekiranya tiada niat
untuk dijadikan isteri.
“Rana
Fathiah,” seru Raihan, gemersik. Orangnya bersahaja, cantik, secantik namanya
juga namun sombong dan kasar. Selalu saja menyakiti hatinya. Dia cuba turutkan
segala permintaan Thia untuk tidak mengganggu privasi hidupnya. Malah jika Thia
tidak sudi memberi, dia pun tidak menginginkannya.
Namun adakah ia suatu situasi yang berbeza bilamana
dia sudah pun bergelar seorang suami dan Thia sekarang adalah tanggungjawabnya.
Baginya, manusia boleh berubah sekiranya pemimpinnya bijak memainkan peranan
kerana pemimpinlah yang mengetuai segala-galanya.
Dari situ, Raihan sedar bahawa dialah pemimpin Thia dan dia juga
mampu mengubah kedinginan Thia terhadap dirinya walaupun di hati sendiri masih
lagi goyah dan kaku melampiaskan rasa sayang pada si isteri. Dia masih belum
terbuka hati untuk Thia.
Bukan dia sengaja menutup pintu hatinya untuk menolak
kehadiran Thia dalam hidupnya tetapi, ada sesuatu yang menghalang. ‘Sesuatu’
yang berharga yang dia tidak peroleh daripada Thia. Dia kesal mengenangkannya.
Meski sejuta kali dia kesal
dengan ‘sesuatu’ yang telah hilang itu, namun dia tidak kesal memilih Thia
sebagai isterinya kerana wanita itu dipilih dengan kerelaan hati. Dia sedar
jodoh adalah ketentuan ALLAH walaupun Thia dahulunya merupakan wanita idaman buat
sahabatnya.
Sahabat yang sekelip mata telah bertukar menjadi binatang!
Mengingatkan sahabatnya itu membuatkan tangkai hatinya ibarat dicucuk belati
yang amat tajam. Tidak sangka sahabatnya itu berkelakuan seperti syaitan!
Tiba-tiba
peristiwa tujuh bulan yanglaluterimbau dalam
fikirannya. Ia seumpama pita rakaman yang tidak jemu berlayar di mana saat dia
dan Thia berkenalan. Bukan berkenalan sangat pun tetapi lebih kepada pergaduhan
dan permusuhan…