Home Novel Cinta Ops! Dialah Buah Hati Aku
Ops! Dialah Buah Hati Aku
Hanani Bahadin
10/12/2012 12:55:11
7,846
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 2

Bab 2

SUARAyang riuh-rendah menggamatkan suasana di dalam kelas. Thiabersama Lisa dan Fitri menghadiri kuliah mereka yang pertama. 

Sambil menongkat dagu di atas meja, Thia mula membayangkan hari-harinya sepanjang dia berada di situ. Tanpa ibu yang boleh memantau segala pergerakannya, mampukah dia menahan diri daripada segala godaan yang mendatang? Spontan, Thia mengeluh berat. 

Tiba-tiba dia berasa amat rindu pada ibunya di rumah. Masakan tidak? Inilah pertama kali dia berpisah lama dengan ibunya. Lebih daripada itu, dia bimbang dengan keadaan ibunya yang bersendirian di rumah. 

Dunia sekarang ini bukan seperti dunia yang hidup tiga puluh tahun yang lalu. Pantang jika warga tua seorang diri di rumah, ada saja yang jahat ingin mengacau, merompak dan membuat dajal. Nak merompak, merompak sajalah, janganlah sampai nak membunuh. Harta dunia boleh dicari di mana-mana tetapi nyawa yang melayang, bolehkah ia diganti? 

“Thia, cuba kau tengok mamat yang duduk kat meja sebelah kau tu. Handsome!” Tiba-tiba Lisa berbisik kepada Thia namun Thia yang sedang leka mengelamun terasa bengang. 

“Kau tau tak kau mengganggu aku? Handsomehandsome. Aku tadi, baru aje nak berangan main laga-laga pipi dengan Aaron Aziz, masa tulah kau nak menyibuk kacau aku!” Thia bersuara sedikit lantang. 

Seimbas, dia mengerling Lisa dan meneruskan kembali agendanya tadi. Dia berasa bosan menunggu pensyarahnya yang tidak kunjung tiba. Sudah setengah jam dia menunggu pensyarahnya masuk ke dalam kelas namun tidak juga muncul membuatkan dia rasa mengantuk dan mula mengelamun. 

“Thia, suara kau tak boleh kuat lagi ke?” tegur Fitri yang duduk di belakang Thia. Malu apabila setiap patah kata daripada Thia tadi didengar olehnya. 

Biasalah budak perempuan, macam tiada topik lain hendak dibincangkan. Aaron Aziz yang tak semena-mena sudah berkahwin dan beranak tiga itu juga yang mahu dijadikan topik untuk bergosip. Menangis kalau isteri Aaron Aziz terdengar apa yang Thia katakan tadi. 

“Lisa... dia suruh aku tengok mamat kat sebelah ni. Tak kuasa aku nak buat kerja gila macam tu. Oh, please not a word about the boys to me!” Sengaja Thia menguatkan lagi volumesuaranya untuk mengusik Lisa. 

Gelagat Lisa kadangkala mencuit hatinya. Tidak padan dengan perwatakannya yang agak kejantanan itu. Ada hati juga hendak mengurat si uda. Sepantas mulut Thia bersuara, sepantas itu juga tangan Lisa mencubit pahanya. 

“Auw! Sakitlah,” Thia mengadu kesakitan. 

“Memang aku cubit nak bagi kau sakit. Aku suruh kau tengok aje. Bukan suruh buat pengumuman satu kelas ni. Kau ingat aku ni ada masalah pendengaran macam kau ke?” Lisa berhenti berkata-kata kerana ketawanya tidak dapat ditahan. Kemudian dia sambung dengan tawa yang masih bersisa. 

“Tapi kan, muka dia macam Asyraf Muslim. Tapi dia ni lagi tegap. Kau rasa dia ada awektak?” soal Lisa sambil menyiku lengan Thia di sebelahnya. 

Thia tak hairan pun dengan lelaki yang menjadi perhatian Lisa itu. Dengan kening terangkat sebelah, dia menoleh Lisa tanpa secebis senyuman di bibir. 

“Memang aku ni adik dia nak tahu dia ada awek ke tak, kan? Malas aku nak buat prediction gila macam tu. Dosa! Tuhan marah. Baik kau bukak buku… pergi belajar,” arah Thia yang masih tersimpan rasa bengang. Jarinya menuding ke muka Lisa. 

Padahal kuliah baru bermula, mana ada buku yang nak dibaca! Itu memang sudah menjadi prinsip hidupnya yang tidak sesekali berkawan dengan lelaki. Baginya, lelaki pada zaman era globalisasi kini hanya mahu mempermainkan wanita sahaja. Tidak ikhlas dan hanya pandai bermain kata. 

Sudah muak dia membaca akhbar tentang kes pembuangan bayi, kes rogol dan bermacam-macam berita yang tidak enak didengar. Oleh yang sedemikian, dia mengambil tindakan yang bijak dengan menjauhkan diri daripada mana-mana lelaki yang cuba berkawan rapat dengan dirinya. 

Bukan tiada lelaki yang cuba untuk mengetuk pintu hatinya dahulu. Razlan, Syafiq, Haqim, dan Faiz adalah antara lelaki yang kena reject oleh Thia. Bukan mereka tak kacak pun, cuma Thia merasakan masanya belum tiba untuk dia berpasangan dengan mana-mana lelaki. 

Dia masih belum percaya wujudnya lelaki yang ikhlas menerima wanita. Gusar seandainya lelaki yang ingin berkenalan dengannya hanya berlandaskan nafsu semata-mata. 

“Aku tanya aje. Yang kau nak sembur-sembur aku ni, kenapa? Apa kau ingat muka aku ni baldi?” protes Lisa namun Thia sekadar mencemikkan mukanya. Tambah sakit jiwa apabila Lisa melihat wajahnya yang tak cantik itu. Buruk! Usahlah diamalkan buat mimik muka seperti itu. Ini, kalau ada lelaki yang ingin memikatnya, terus lari sebatu agaknya. 

Walaupun Lisa baru saja mengenali Thia, dia tahu Thia bukan seorang yang cepat naik angin. Tidak pernah lagi dia melihat Thia bermasam muka dengannya.Dia juga maklum bahawa Thia seorang yang anti lelaki. Pelik benar dia dengan perangai Thia yang satu itu. Hilang nafsu agaknya? 

Sejurus tiga puluh lima minit, muncul seorang wanita muda berjalan masuk ke dalam bilik kuliah dan memperkenalkan diri sebagai pensyarah yang mengajar subjek Matematik.Beliau juga tidak lupa memohon maaf atas kelewatannya pada pagi itu. 

Now, I nak you all pula yang perkenalkan diri,” kata pensyarah mereka yang bernama Cik Farah setelah beliau memperkenalkan diri kepada pelajar-pelajarnya. 

Dalam kesibukan Thia berbual dengan Lisa, tiba-tiba ada seorang pelajar perempuan berdiri lalu ke hadapan untuk memperkenalkan diri. Wah! Sungguh berkeyakinan sekali dia berjalan. Gaya tak nak kalah! 

“Hai! My name is Tengku Dayana binti Tengku Razif. Just call me, Yaya. I’m from Kuala Lumpur and I’m so glad to befriend with anybody here.” Oh! Lemak berkrim suaranya macam tengah buat konsert pula. 

Thia dapat rasakan lehernya seperti dicekik oleh seseorang. Apatah lagi setelah dia melihat raut wajah pelajar perempuan itu, kini dia betul-betul terasa nak hantukkan diri sendiri ke bucu meja. 

‘Aku kenal perempuan ni! Dia yang sesuka jiwa tengking aku kat depan lif minggu lepas. Agak-agak kalau aku tengking dia balik sekarang, dia bunuh aku tak?’ bisik hati Thia menyoal dirinya. 

Lisa yang duduk di sebelah Thia sudah tersenyum jahat melihat pelajar perempuan yang bernama Yaya itu. Melihat Lisa yang tersenyum menahan ketawa, Thia secara tidak sengaja melepaskan ketawanya namun pantas dia mengunci mulutnya kembali. Kejamnya Thia gelak! 

Spontan, mata Yaya terarah kepada Thia dan Thia juga dapat merasakan lelaki di sebelahnya turut merenung tepat ke arahnya. Serentak itu semua mata memandangnya. Tentunya terkejut. Lalu dia menundukkan sedikit wajahnya. 

Oh, mama! She’s going to kill me. Siaplah aku dekat parking lot nanti,’ omel Thia, cuak! 

Sesi perkenalkan diri masih diteruskan sehingga tiba pada giliran Thia pula. Sedang dia berjalan ke hadapan, tiba-tiba Thia tersadung lantaran kakinya dibentes oleh Yaya yang duduk di kerusi hadapannya. 

“ALLAHUAKBAR!” Thia menyeringai kesakitan. Serentak rasa sakit dan malu bercampur baur. Dia meniarap di atas lantai dengan mulut ternganga. Aduh! Kesiannya… 

‘Biawak karung betul Si Yajul(Yaya Juling) ni! Berani dia bentes kaki aku. Ha… keluar dah bahasa keji-kejian aku,’ maki Thia pada Yaya dalam hati. Bibir digigit tanda geram. Rasa nak dicekik-cekik leher jinjang Yaya sekarang. Berdosakah dia sekiranya dia pergi membunuh Yaya? 

Apabila Thia ingin mengangkat wajahnya, dia melihat ada sepasang mata sedang merenungnya dengan penuh minat. Ah! Pemuda kacak yang duduk di sebelahnya tadi sedang leka menatapnya? 

‘Alamak… aku malu! Dia tengah syok pandang aku. Macam mana aku nak bangun ni? Boleh tak aku buat-buat pengsan kat sini? Tak berdosa, kan?’ Tercetus idea kurang cerdik itu di akalnya. Lalu direbahkan kembali kepalanya di lantai tanpa berfikir panjang. Ha… ha… ha… 

Ketika dalam keadaan ‘pengsan,’ Thia terdengar bunyi kicauan suara yang riuh-rendah dan sumbang yang mungkin terkejut dengan insiden yang sedang berlaku ketika ini. Walaupun pura-pura pengsan saja tetapi dia masih mampu mendengar dengan teliti. 

“Macam mana Thia boleh terjatuh?” soal Fitri kepada Lisa seraya tangan menggoncangkan kerusi Lisa. Sungguh dia terkejut melihat Thia jatuh tersungkur. Kalau tiada aral, macam mana Thia boleh terjatuh? Fikirnya kalut. Kasihan tetapi tak ditolong pun kawannya itu. 

Lisa hanya mengangkat bahu. Dia ingin menolong Thia tetapi kakinya seakan beku di tempat duduknya. Dirasakan Thia tak apa-apa walaupun dia tengok Thia macam dah nazak sangat. 

Setelah beberapa minit, Thia terasa tubuh badannya dipusingkan ke hadapan dan pipinya ditepuk perlahan oleh seseorang. Dia gementar dan tertanya-tanya. Siapakah yang membantunya ketika ini? 

Sejenak, dia mencelikkan sedikit mata dan dia melihat wajah pemuda kacak tadi berada di hadapannya. Seperti terkena kejutan elektrik, Thia terus membeliakkan mata dan bangkit dari ‘pengsan’. Dia tidak suka disentuh oleh lelaki asing waima sekacak mana pun lelaki itu. 

“Err… saya dekat mana ni?” Thia menyoal dirinya persis orang yang mengalami kecelaruan identiti. Berdrama. Cik Farah pantas sahaja mendapatkan Thia dan memeluk bahunya. Ternyata pensyarah muda itu risau dan cemas melihat keadaannya. 

You tadi terjatuh and then pengsan tiba-tiba. Are you okay, my dear?” tanya Cik Farah cemas. Mungkin percaya dengan lakonannya sebentar tadi. Syabas, Rana Fathiah! Syabas! 

Pemuda kacak tadi hanya tersenyum melihat Thia. Barangkali tidak percaya yang Thia benar-benar pengsan. Mungkin sengaja mahu menutup malu kerana tersungkur di khalayak ramai. Yaya yang berdiri di sebelah Cik Farah hanya mencebik. Dia tahu Thia tadi berpura-pura saja. Tak logik gadis itu terus pengsan. 

Bukan teruk pun gaya gadis itu terjatuh. Rasa-rasanya masih boleh selamat. Setiap sudut ruang menjadi sepi menanti drama yang seterusnya. 

“Saya okey, miss. Don’t worry. Maybe kepala saya terhantuk dekat lantai tadi. Miss, boleh tak saya minta diri dulu? Kepala saya macam sakit pulak.” Thia memberi alasan pula. 

Dia mencengkam kepalanya seolah-olah ada himpitan kuat yang memukul laju tempurung kepalanya seperti memainkan muzik Hindi. Sebuah lakonan yang berkesan. 

Kalaulah pengarah filem berkesempatan menonton dramanya tadi, pasti ditawar menjadi pelakon utama filem Tamil. 

“Yalah, miss. Muka dia nampak pucat sangat. Teruk sangat kut dia jatuh tadi sampai pengsan,” sindir Yaya. Mulutnya menyenget macam pesakit strok kerana berasa puas hati dapat mengenakan Thia. 

Berbahang. Thia mengetap bibir rapat-rapat. Terasa seperti ringan sungguh tangannya nak menumbuk muka perempuan perasaan bagus itu. Biar sopak mukanya. Namun dia tidak mahu melakukan kekecohan di situ apatah lagi hari ini adalah kuliahnya yang pertama. 

Dia tidak sanggup menempah populariti lantas memberi ‘kebanggaan’ kepada ibunya dengan taktik kotor seperti itu. Terlalu murah! 

“Kalau macam tu you boleh balik but make sure if you feel something wrong with your head, you must see a doctor immediately.” Cik Farah memberi izin kepada Thia untuk pulang. Kasihan pula dia melihat wajah Thia yang pucat. Ah! Buat-buat pucat sebenarnya. 

Thank you, miss,”balas Thia. Dia pun segera mengambil begnya dan ingin berlalu keluar dari ruang kelas itu. Masing-masing ada yang berbisik sesama sendiri. Mungkin sedang mengumpat. Ah! Ada mak kisah? 

“Kau nak aku teman tak?” tanya Lisa. 

“Kau okey,Thia?” soal Fitri pula. Jelas mereka berdua khuatir dengan keadaan Thia yang parah tadi. 

“Aku okey.Tak payahlah kau orang teman. Nanti kita jumpa di bilik, ya?” bisik Thia perlahan. Sempat dia menjeling tajam ke arah Yaya yang sedang tersenyum sinis kepadanya. Kaki pun rasa-rasanya sudah menggeletik nak terajang muka Yaya yang asyik tersengih-sengih. Sakit hatinya dengan sakit di lutut sama seiringan. 

Dengan pantas dia terus beredar dari situ. Bimbang jika tahap kesabarannya sudah sampai di penghujung. Tanpa Thia sedari, ada sepasang mata lagi sedang memandangnya dalam diam.


SEPANJANG perjalanan pulang ke biliknya, mulut Thia tak henti-henti memaki-hamun Yaya. Tak pasal-pasal hari ini dia mendapat musuh pula. Dia tahu tak sepatutnya dia mentertawakan Yaya tetapi memang sejak azali sifatnya yang mudah ketawa. 

Teringat zamannya semasa kecil, dia ‘disekolahkan’ oleh ibunya gara-gara mengejek seorang budak sumbing kerana budak itu sering mengejeknya ‘maggi kering’ disebabkan rambutnya yang agak kerinting. 

Mereka seperti anjing dan kucing kerana pantang bersemuka, pasti bergaduh. Sejak dimarahi ibunya, dia mula mengubah sikapnya menjadi yang lebih baik walaupun tidak seratus peratus. Thia yang ingin meredakan perasaan marahnya, mengambil keputusan untuk berehat di sebuah taman berdekatan dengan blok akademik. 

Dia melabuhkan punggungnya di atas bangku sambil mengeluarkan telefon bimbit. Tangannya segera mencari nama ibunya di dalam senarai kenalannya. ‘Rindunya Thia pada ibu,’ hatinya berdetik perlahan. 

Sudah empat hari dia tidak mendengar suara lunak ibunya. Sibuk menguruskan hal di kampus menjadikan dia terleka seketika. 

“Hai!” Tiba-tiba ada suara yang menegurnya. Tangannya pantas menekan butangcancel’ pada telefon bimbit. Mati terus niatnya untuk menelefon ibu di rumah. Sekilas, dia memandang wajah yang sedang duduk di sisinya itu. Boleh tahan, tetapi… 

“Buat apa dekat sini? Bukan ke dekat kelas tadi awak kata awak nak balik ke asrama?” Lelaki tersebut menyuakan soalan kepada Thia namun Thia hanya memalingkan muka dari pandangan lelaki kacak itu. Malas nak melayan sebab lelaki itu merenungnya seperti sepanjang hayat tak pernah tengok perempuan. 

‘Err… awak, tolong jauh seribu batu dari saya sebab saya tak nak bagi awak cedera,’ namun Thia tak sampai hati nak bercakap macam itu. Bimbang dia pula yang tercedera mengenangkan badan lelaki itu lebih ‘semenggah’ berbanding dirinya. 

Melihat Thia seakan tidak mahu melayan, lelaki itu menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan si gadis. Bijak dia meraih perhatian Thia namun, berjayakah? 

“Nama saya Hafiz Fikri. Tadi semasa di kelas awak tak sempat nak kenal dengan saya, kan? Nama awak siapa?” soal Hafiz lagi. Cuba ingin berkenalan dan bermesra. Sejenak, Thia menoleh Hafiz. Kemudian dia memandang huluran tangan jejaka itu. Lama. 

“Rana Fathiah,” jawab Thia ringkas. Huluran tangan dibiarkan sepi. Dialihkan pandangannya ke sudut lain semula. Tidak selesa dengan pandangan Hafiz yang rakus menjamah wajahnya. 

“Rana Fathiah… panggil Thia, boleh? Sebab tadi saya ada dengar kawan awak panggil awak, Thia. Cantik nama awak. Macam orangnya juga. Tapi kalau awak senyum, kan lebih cantik dan manis. Sebenarnya saya sengaja keluar kelas awal tadi untuk jumpa awak. Takut jugak kalau awak tiba-tiba pengsan lagi,” ujar Hafiz mesra. Ingin membangkitkan suasana yang romantis. 

Meremang bulu roma Thia mendengarnya. Tegak berdiri seumpama menyanyikan lagu Negaraku. Rasa ingin ghaib saja. Menyampah betul dia tengok muka Hafiz ketika itu! Hafiz pula terpegun melihat kecantikan Thia. 

Pertama kali melihat wajah Thia sewaktu Thia ‘pengsan’ di kelas tadi membuatkan dirinya meronta-ronta ingin mendekati gadis comel itu. Apatah lagi saat dia menyentuh pipi gebu gadis itu, rasa indah terus menjalar di segenap ruang hatinya. 

Thia sungguh cantik di matanya. Rambutnya ikal, punya potongan badan yang agak menarik iaitu tidak terlalu kurus dan tidak terlalu berisi. Thia juga tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah, berkulit kuning langsat, alis matanya yang lentik dan berlesung pipit menambahkan kemanisan pada wajah gadis itu. 

“Maaflah Encik Haf…” Thia tidak sempat menghabiskan kata-katanya. 

“Eh, tak payahlah berencik-encik dengan saya. Panggil aje Hafiz. Bukan ke lebih mesra,” pantas Hafiz memotong. Dia tersenyum lagi dan Thia tambah meluat lagi. 

“Em… maaflah, Hafiz. I just thought you should know that I’m not too good into boys. Dan saya tak suka berbual dengan orang yang tak dikenali. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.” Thia berubah jadi perempuan alim pula. Dia mengangkat kaki dari situ namun sepantas kilat tangan Hafiz memaut lengannya dan Thia laju saja berpaling memandang lengannya, tajam. 

“Apa pegang-pegang ni, bro? Tak cantiklah orang tengok kita macam ni. Hormat sikit saya ni,” Thia bersuara tegas. Lelaki itu berdehem lalu pautan dilepaskan. Hening seketika. Hafiz menyusun ayat lalu dengan berhati-hati dia berkata. 

Sorry but can I have your phone number, please? Actually, saya nak sangat berkenalan dengan Thia. Bukan apa, kalau saya ada nombor telefon Thia senanglah saya nak contact Thia nanti, kan? Ajak keluar makan ke, study sama-sama ke…” terang Hafiz cuba meyakini Thia. Berharap sangat Thia sudi memberi nombor telefonnya. 

Thia sekadar menganggukkan kepala tanda faham. 

So?” soal Hafiz apabila melihat Thia hanya menganggukkan kepala sahaja. Sebenarnya Thia sudah lali dengan taktik busuk seperti itu. Konon saja pada mulanya hendak belajar bersama-sama. Selepas itu, entah ayat pengasih apa yang dicurahkan! 

“Hmm… kita baru kenal, kan? So, saya tak boleh percaya pada sembarangan orang. Apatah lagi ini pertemuan kita yang pertama. Takkanlah awak tak ada kawan lain nak ajak study atau keluar makan bersama. Sorry, Hafiz but I can’t give you my phone number. I just don’t like it. Maybe you should ask another girl. Sorry once again but I’m not interested. Hope you understand. Bye. Take care,ulas Thia bersahaja seraya menunjukkan baris giginya yang tersusun lalu meninggalkan Hafiz terpinga-pinga. 

“Kau ingat kau handsome, kau boleh jual muka kau tu pada aku? Belum lagi jadi kawan dah berani nak pegang-pegang anak dara orang. Kalau dah kawan lagi mengenyam agaknya. Entah apa lagi yang dia nak pegang.” Thia mengutuk lagi. 

Laju kakinya mengorak langkah tanpa menunggu sebarang komen daripada Hafiz. Takut sekiranya Hafiz sedang mengejarnya dari belakang sambil memegang kapak. Manalah tahu Hafiz bengang lalu mengambil keputusan untuk membunuhnya. Bukankah lelaki zaman sekarang semakin mengganas? Pantang ditolak, pasti ingin membalas dendam. 

Hafiz pula benar-benar tidak sangka dengan jawapan yang keluar dari mulut Thia. Matanya masih lagi terkebil-kebil memandang lenggok Thia yang menonong ke hadapan. Telinganya juga menelan apa yang Thia mengomel tadi. 

“Berlagak punya perempuan. Kau ingat kau cantik, kau nak berlagaklah dengan aku? Kau tengoklah nanti. Mampus kau aku kerjakan. Kau tuduh aku gatal, kan?” Hafiz berang dengan Thia yang jual mahal dengannya. 

Langkah Thia yang semakin menjauh hanya diikuti dengan jelingan matanya. Kembang kuncup hidungnya menahan api kemarahan. Mukanya seperti dilumur dengan serbuk cili! 

‘Lelaki kacak macam aku pun kau tak nak layan? Tengoklah nanti apa aku nak buat,’ hatinya mendongkol geram. Memang itu sikap Hafiz yang pantang menyerah kalah dengan perempuan. Ini adalah pertama kali dia ditolak oleh seorang perempuan walaupun sekadar untuk berkenalan. 

Dia terasa seperti maruahnya dipijak-pijak lumat dan disepak jauh oleh Thia. Biarpun dia baru saja mengenali Thia tetapi dia tekad dengan keputusannya untuk membuat Thia jatuh dalam tangannya. Memerah anak matanya memikirkan Thia yang menolak bulat-bulat niatnya untuk berkenalan. 

‘Apa nak jadi, jadilah!’ bisik hatinya keras. Dendamnya sungguh berkobar-kobar.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Hanani Bahadin