Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
14,953
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

Aku bingung atau ada cerita yang terlepas pandang? Cerita mereka semuanya versi yang berbeza-beza. Sehingga sukar untuk aku percaya mana satu. 


Jika tidak berjumpa dengan Serina tempoh hari, tentu saja aku akan percaya pada Raisha. Tetapi setelah satu jam lamanya mendengar segala penceritaan di pihak Serina pula, aku mula bolak balik. Hanya seseorang saja yang perlu aku cari untuk tahu sejauh mana kesahihan cerita tersebut.


Namun panggilan telefon aku tidak bersambut sejak dari tadi. Pesanan aku juga hanya dibalas dengan dua garisan kelabu. Gara-gara perkara tersebutlah, seharian aku resah gelisah. Hampir setiap minit telefon di tangan aku kerling.

Niat nak duduk terus batal sejurus terdengar bunyi telefon. Lekas telefon aku bawa melekap ke telinga.


“Mana awak Raid?” Tanpa salam aku terus bertanya. Tak sesuai nak bercerita di dalam telefon. Ada baiknya berjumpa empat mata. Biar aku dapat baca apa reaksi lelaki itu.


“Tunggu saya, lima belas minit saya sampai.” Arahku.


Segera aku berlari ke dalam bilik, beg silang diraih. Kunci tergantung berhampiran pintu keluar aku capai. Kaki menyarung sandal tergesa-gesa lalu bergegas menghampiri kereta. 


Seperti yang dijanjikan, aku sampai dalam masa tiga belas minit. Mujur saja Raid ada berhampiran dengan rumah. Tak perlu aku bersusah payah memandu jauh-jauh ke pejabat lelaki itu.


Dari jauh aku nampak Raid sedang bergelak ketawa sambil membersihkan baju dan kepala. Langkah yang laju sebentar tadi kian perlahan. Tanpa sedar mulut aku mengomel sesuatu. 


“Macam budak-budak!” Itu komen aku bila ternampak mereka semua sedang melumurkan tepung ke muka dan kepala Raid.


“Kalaulah budak-budak ni tahu si Raid tu sebenarnya bapak budak, jangan haraplah Raid dapat merasa majlis perpisahan ni.” Omelan kedua aku menyusul. 


“Awak jangan lupakan kita tau.”


Terhenti langkah aku dengar suara manja milik Alia, salah seorang murid sekelas dengan Raid.


“Ada apa, boleh call.” Satu keping kertas dihulur pada lelaki itu.


Kalau sudah namanya lelaki, perempuan bagi apa pun diambil juga. Sempat lagi Raid tersengih disebalik muka yang mengalahkan maskot mcd sambil capai kertas tersebut.


“Raid!” Panggil aku. Tak tahan melihat lelaki itu dikerumuni pelajar perempuan.


Tak sangka, dalam diam ramai juga minat dengan Raid. Padahal, semasa dalam kelas, tak ada seorang pun berani mendekat. Apatah lagi berbual dengan lelaki itu.


“Cikgu!” cepat-cepat mereka semua bubar.

Sempat mereka tunduk ketika berpapasan dengan aku. Ada yang mencicit lari tanpa menoleh. Ada yang tersengih-sengih. Tahu-tahu sahaja, tinggal Raid yang berdiri tegak dengan keadaan sangat tidak terurus.


“Nak join?” tanya dia.


“Awak tak ubah seperti anak kecil, Raid.” Getus aku sambil pandang keliling. Bersepah. 


“Dia orang yang plan. Saya sendiri pun tak tahu menahu tentang majlis perpisahan ni.” Bela Raid, tangan sibuk mengibas rambut yang putih.

“Habis, siapa nak kemas ni?” Muncung terhala pada bekas makanan ada tidak jauh dari sini.


“Tolonglah, Raid…” faham sangat dengan renungan Raid itu. 


“Saya datang nak bincang, bukan mengemas.” Kata aku lagi.


“Dia orang pun anak murid awak. Tak salah kalau awak tolong bagi pihak mereka.”


Mengecil mata aku. Sejak bila Raid sudah berpihak pada mereka? Dan sejak bila Raid pandai mengarahkan aku pula?


“Lepas kemas kita bincang.” Pujuk Raid.


“Kalau saya tak nak?” Boleh saja nak tolong Raid. Tapi perbincangan antara kami berdua jauh lebih penting.


“Raid!” Mata spontan terpejam rapat bila ada habuk putih menyapa. Bila yakin tiada lagi debu bertebaran, barulah aku celik mata semula.


“Tak nak…Kita boleh sambut berdua.” 


Kali ini, Raid lebih agresif. Kedua-dua belah tangan menggenggam tepung. Sepasang kening terangkat tinggi. Ah! Senyuman Raid itu nampak macam samseng.


“Cukup Raid…Saya datang bersih, balik pun saya nak bersih. Tanpa sebarang kotoran.” Aku mundur beberapa langkah.


“Saya akan tolong kemas mana patut.” Semoga bantuan aku dapat batalkan niat Raid nak mandikan aku dengan tepung.


“Dah terlambat.”


Aku buka langkah. Tapi jauh mana aku dapat lari kalau Raid itu pernah raja pecut. Raja menyakat juga. 


Awal-awalnya, mulut aku riuh menyuruh Raid menghentikan serangan. Lama-lama, aku terima saja apa jua serangan. Sesekali terbatuk kecil gara-gara ada tepung masuk ke dalam mulut.

Lima belas minit berperang, Raid berhenti bila aku mula menunjukkan simptom-simptom mahu mengamuk besar. Elok Raid capai tuala kecil entah dari mana, mula mengibas kepala dan badan aku perlahan.


“Saya boleh buat sendiri.” Aku bersuara setelah merasa segan. Tangan laju mengambil alih kerja Raid.


“Awak akan rindukan momen ni, Heera.”

Aku hampir gelak. Lucu bila Raid sibuk cipta kenangan yang indah-indah. Kononnya buat tatapan anak dan cucuku.


“Saya? Tak mungkin…” kataku. Tangan lincah mengutip segala sampah sarap di atas meja.


“Mana saya nak campak Hilman? Dia tu dah lah kuat cemburu.” Sengaja aku heret nama Hilman demi mengesan bibit-bibit cemburu di wajah Raid.

Dua minit menjadi alat pengesan, aku mengalihkan pandangan mata. Sahlah aku masih gagal menghuni hati Raid. Serina masih mengungguli carta hati dia.


“Jangan ingat saya buat kerja amal. Pastikan kerja-kerja saya ni berbayar. Setimpal dengan penat-lelah saya hari ni.” Aku pesongkan cerita demi mengelak suasana canggung.


“Saya sedang duakan Serina.”


Sebaris ayat tersebut buatkan aku terhenti mengemas. Mata merenung dia tak berkedip. Dalam hati sempat tertanya-tanya. Raid bercinta dengan siapa lagi? Bila? Kenapa aku tak tahu menahu hal yang sangat penting ini?


“Saya sedang bercinta lagi, Heera.”


Raid dengan Hilman sama saja. Dua-dua buaya! Dua-dua kaki perempuan.


“Habis, Serina tahu?” Aku mula siasat.


Raid geleng kepala. Respon itu aku masih mampu terima. Yang aku tidak boleh terima, Raid boleh tersenyum-senyum macam orang tengah angau bercinta.


“Saya ingat awak lain..." nada suara aku sedikit kecewa. Sebelum kekecewaan tersebut terpancar di wajah, aku perlu angkat kaki. Kerja-kerja pembersihan pun perlu selesai dengan segera.


“Mana tahu awak sama saja lelaki lain. Pantang nampak yang dahi licin.” Sembur aku tanpa sempat mengawal perasaan.


“Saya pun manusia biasa.”


“Itu sebabnya lelaki dikurniakan lebih banyak akal berbanding perempuan.” Bidas aku.


“Awak cemburu?” Tebak dia.


“Saya? Awak sedang bergurau?” Aku ketawa buat-buat. Menutup segala rasa yang tidak baik untuk tatapan Raid.


“Saya cuma tambah satu kuota. Bukan empat sekali gus.” 


Nampak gayanya, Raid sengaja nak petik suis kemarahan aku. Baru beberapa hari tidak bertemu, separuh akal Raid sudah hilang agaknya. Ini bukan Raid yang aku kenal.


“Awak tetap curang Raid.” 


“Saya sunyi, hanya dia mampu isi kesunyian saya. Serina pun tak semampu dia."


Hairan. Apa dalam diam Hilman mengadakan sesi pengambilan pelajar baharu jurusan lelaki buaya darat? Boleh jadi Raid antara pelajar yang ditawarkan jurusan tersebut. Dan tahniah. Hilman berjaya rekrut pelajar baharu.


“Saya selesa dengan dia. Dia lebih selesa jika dengan saya.”


Aku harap, Raid berhenti memuji. Takut ada yang makan piring terbang. Setakat piring kertas, tak sakit mana pun.


“Salah ke saya jatuh cinta lagi? Tak salah kan? Serina jatuh cinta banyak kali. Saya baru nak masuk yang kedua.”


Tanpa sedar, aku hempas bungkusan plastik kasar. Mujur saja isinya tidak bertaburan. Semua gara-gara kekasih baru Raid yang berjaya rosakkan hubungan aku dengan Raid yang baru terjalin sebagai sahabat.


“Jadi…Pergi pada dia. Tak ada keperluan lagi kita berjumpa.” 


“Kenapa?” Tagih Raid.


“Sebab saya tak suka berkawan dengan lelaki yang terlalu banyak hati. Spesis ni bahaya, sekali curang…Berkali-kali dia nak curang. Dan saya tak nak terlibat dalam cinta bersegi awak.” Sampah tadi aku tolak ke dada Raid. 


“Saya nak balik.” Aku lupa hal penting yang ingin dibincangkan.


“Saya yang bercinta atau awak?”


Mujur kesabaran aku masih tersisa dengar soalan Raid. 


“Awak yang bercinta Raid…Saya ni cuma penasihat tak berbayar.” 


Senyuman Raid terlebih dahulu menyapa.


“Awak penasihat yang sangat dedikasi. Saya suka ada penasihat macam awak.” Puji Raid.


Maaflah. Sejak dengar Raid bercinta lagi, pujian Raid itu umpama penghinaan. Telinga aku sudah tidak mampu nak dengar suara dia.


“Saya berhenti jadi penasihat awak lima minit yang lepas...Jangan cari saya lagi.”


Tak ada keperluan lagi berjumpa. Semuanya tamat. Aku kecewa sangat-sangat dengar Raid ada orang lain selain Serina. Malu pun ya. 


“Heera, nanti!” Raid mengejar langkah aku dari belakang.


“Heera…” panggil Raid lagi bila aku sengaja besarkan langkah. Sengaja pekakkan telinga.


“Tunggu.” Sempat lengan aku disambar sebelum tubuh aku berpusing menghadap dia.


“Apa lagi Raid?”


“Saya nak beritahu siapa perempuan bertuah tu.”


“Saya tak nak tahu!”


“Awak kenapa? Bukan ke ini yang awak nak? Awak nak sangat saya berpisah dengan Serina, kan?”

Bibir aku bergerak-gerak mahu katakan sesuatu, namun tidak terluah.


“Lupakan hal cinta saya…” suara Raid mula mengendur. Dia tersenyum janggal juga.


“Ada apa awak ke sini? Saya sedia dengar.” Raid terus ke perbincangan yang tertangguh sejak dari awal.


Selepas semua pengakuan Raid, apa dia fikir aku ada hati nak bercerita? Mana mungkin.


“Sorry.” Pinta Raid.


Gara-gara perutusan maaf itulah, mulut aku belot. Mulut aku ringan mengajak Raid berbincang hal tertunggak tadi.


“Siapa Rai?”


Raid ketawa. Cepat benar emosi lelaki ini berubah. Dari serius, kemudiannya sedih, sekarang gembira yang jelas nampak dibuat-buat.


“Dia adik saya Heera.”


“Pembetulan…” Potong aku laju.


“Raisha sebenarnya adik tiri awak.” Kata aku setelah itu.


Perlahan-lahan senyuman Raid menghilang. Raut wajahnya serius. Dingin. 


“Siapa beritahu awak?” 


Raid mara beberapa langkah. Biarpun gugup, aku masih kekal di situ. Sedikit pun tidak berganjak. Hanya menanti Raid menghamburkan marahnya.


“Siapa?”


Anak mata aku bergerak-gerak. Liur ditelan sekali. Terasa payau. Titisan peluh mula tumbuh di sekitar dahi.


“Saya tanya, tolong jawab.” Tekan Raid. Keras. 


“Betul atau tak Raisha adik tiri awak?” Tanya aku berani. Entah dari mana aku kutip keberanian untuk bertanya pada dia.


Bukan jawapan, sebaliknya renungan Raid kian tajam.

Previous: Bab 17
Next: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.