Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
14,959
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 12

Genap lapan jam aku pengsan. 


Sejurus melihat dunia, aku mengimbas seluruh tubuh setelah bersusah payah bangkit dari perbaringan. Tiada kecederaan yang serius. Setakat dahi berbalut dan pipi calar-balar sedikit bukan masalah besar. Kaki pun masih mampu bergerak-gerak, kira bersyukur sangat-sangat. Masih mampu bergerak ke sana dan sini tanpa memerlukan sebarang bantuan.


Luka yang nampak menyakitkan mata adalah tangan kanan yang berbalut hingga ke paras siku dan tergantung dengan tali yang diikat pada leher. Kurang pasti sama ada terseliuh atau ada mana-mana tulang yang patah. Tunggu nanti kemunculan doktor, baru aku bertanyakan dengan lebih lanjut.


Aku pandang sekeliling. Bangunnya aku, tiada sesiapa di dalam bilik. Sedang aku menganalisa keadaan, baru sedar akan Hilman. Bagaimana keadaan lelaki itu? Apa Hilman masih hidup? Apa kecederaan Hilman itu lebih parah dari aku?


Tergesa-gesa aku ingin turun dari katil. Diabaikan segala rasa yang menyengat. Setidaknya, aku perlu tahu keadaan Hilman. Belum sempat kaki jejak lantai, bunyi pintu ditolak dari luar menggamit. Lantas aku angkat muka. Tersentak dengan kemunculannya.


“Awak dah sedar?” Sapa Raid.


Langkah Raid sangat tenang menghampiri. Di tangan lelaki itu ada beberapa bungkusan plastik lalu diletakkan atas meja berhampiran. Barulah dia memberi seluruh tumpuan pada aku.


“Nak pergi mana?”


Terkebil-kebil aku diajukan soalan. Lupa niat asal yang mahu mencari tahu keberadaan Hilman.


“Saya...” Aku mati ayat. Mati akal juga.


“Duduk dan rehat. Nanti saya akan panggil doktor untuk periksa awak.”


Maaf. Ada pembetulan di sini. Yang berhak mengatur dan buat keputusan bagi pihak adalah ahli keluarga aku. Bukannya Raid. Makanya, jangan pandai-pandai panggil doktor.


“Atas arahan Tuan Azman. Bukan dari pihak saya.”

Raid bijak membaca apa yang dalam fikiranku. Penerangan dia lebih pantas daripada niat aku yang baru ingin bertanya lebih lanjut.


“Makan dulu, cas semula tenaga awak yang dah hilang. Sementara tunggu Tuan Azman dan Mus balik solat.”


Dan aku faham cerita selepas itu. Tugas Raid adalah pantau keadaan aku semasa ketiadaan mereka berdua. Tak perlu lagi lelaki itu bercerita.


“Tuan...” Aku teragak bertanyakan perihal Hilman.


“Otak tak mengalami sebarang gegaran. Andomena dalaman juga sihat walafiat. Memori, masih sama. Masih mampu ingat saya. Apa yang mampu saya rumuskan, tiada yang serius. Hanya tangan terseliuh dan mungkin awak akan rasa bisa-bisa badan kesan daripada hentaman yang kuat.” Berjela penjelasan dari doktor tidak bertauliah.


“Oh...Okey.” Hanya itu mampu aku sebut. Memori aku gagal menyusun kosa kata.


Keadaan menjadi canggung. Ekor mata aku hanya mampu memerhati segala tindak-tanduk Raid. Sesekali aku memikirkan cara bagaimana mahu bertanya kepada Raid perihal Hilman.


“Mama awak?” Lain pula yang terluah dari mulutku. 


“Mama dah balik dengan Rai.”


“Oh...” Sekali lagi aku memberi reaksi yang sama. Canggung.


“Tapi Rai akan datang sini semula.”


Terima kasih di atas perkembangan semasa ke semasa yang disampaikan. Sayangnya, penyampaian tersebut belum memenuhi tuntutan soalan aku. Ada nama yang belum disenaraikan oleh Raid. Nama Hilman.


“Makanlah.”


Cekap Raid buat kerja tanpa aku sedari. Tahu-tahu saja, pinggan terisi dengan nasi dan sedikit lauk kari ayam terhidang depan mata bersama segelas air milo panas.


“Saya belum lapar tuan.” Selera aku putus selagi hal Hilman belum terjawab.


“Jangan dusta Heera, berapa kali saya tangkap perut awak bernyanyi.”


Niat mahu bangkang tergendala bila perut aku berbunyi di waktu yang salah. Sebelah kening Raid sudah naik tinggi.


“Ya, saya akan makan...Tapi sikit.” Demi memuaskan hati Raid, aku akan paksa diri biarpun beberapa suap.


Raid berjalan dan duduk di penjuru sambil belek telefon bimbit. Mukanya serius. Sesekali telefon dibawa melekap ke telinga.


Enggan ambil pusing, aku capai sudu. Sedia mendiamkan perut yang sejak dari tadi berkeroncong hebat.


Percubaan pertama menghasilkan bunyi dentingan halus. Bunyi sudu berlaga dengan pinggan kaca. Percubaan kedua, mengucap panjang aku bila ayam tadi, merata berlari di dalam pinggan. Puas aku hentikan dengan sudu, namun gagal. 


Percubaan ke lima aku hampir berjaya mencarik isi ayam setelah puas berperang. Di hujung-hujung percubaan kelima, ambang kemenangan hampir berpihak pada aku. Sayangnya, isi ayam memilih untuk terbang ke lantai. Tepat di hujung kasut seseorang.


“Maaf...Saya belum biasa guna tangan kiri.” Besar harapan aku bahawa Raid nampak kejadiaan memalukan sebentar tadi. Sebagai bahan bukti aku tidak berbohong.


“Just stay...Saya akan bersihkan.” Tegah Raid bila aku mahu turun dari katil. Sepantas kilat isi ayam tadi selamat kuburkan diri dalam tong sampah.


“Terima kasih.” Sejak akhir-akhir ini, bibir aku sangat pemurah menyebut perkataan tersebut.


“Tuan duduk sana...Saya tahu tuan sibuk. Jadi abaikan saja saya.” Usir aku bila Raid berdiri tegak.

Sudu aku capai kembali.


“Saya perlu lebihkan latihan, lama-lama nanti saya akan terbiasa.” Aku cuba yakinkan dia, aku baik-baik.


Sekali cuba, aku berjaya benamkan sudu dalam isi ayam hasil dari latihan berkali-kali. Hanya perlu carikkan sedikit untuk kecilkan portion supaya mudah aku suap ke dalam mulut. Disebabkan lebihan tekanan, maka sejarah kembali berulang. Bezanya, kali ini terbang elok ke dada Raid dan jatuh menyembah lantai.


“Tu...an...” Tak tahu berapa gugupnya aku. Yang aku tahu, aksi terbang itu tidak disengajakan.


“Calm, Heera.”


Mana mungkin aku mampu bertenang. Baju Raid ternoda gara-gara kecuaian aku sendiri.


“Baju saya boleh dicuci.” Raid bersihkan segala sisa kotoran di lantai. Sempat dia ke bilik air membasuh tangan dan muncul bersama senyuman tipis.


“Saya tak sengaja tuan.”


“Saya tahu.”


Tenangnya Raid membuatkan aku mati ayat lagi.


“Sini...” Raid hulurkan bantuan. Elok sudu terisi dengan nasi disuakan pada aku.


“Let me help you.”


Ah! Raid bikin aku terharu dengan gaya budimannya.


“Tuan...” Aku sedang menyusun ayat.


“Izinkan saya berdikari.” Pinta aku.


Naik tinggi sebelah kening Raid. Sebelah tangan masih gagah menyuakan suapan.


“Tak manis kalau ada yang nampak aksi budiman tuan. Takut ada yang patah hati. Saya tak ada masalah, dah terbiasa kecewa.” Perkara mendatangkan fitnah perlu dielakkan. Cukup sekali kejadian aku diserang Serina. 


“Dan untuk pengetahuan tuan, saya akan terima kalau yang suap itu suami saya.”


Kerlingan aku singgah pada dia. Aksi di luar jangkaan, Raid tersenyum. Suapan pertama yang sepatutnya menjadi milik aku, telah Raid kebas. Bukan main kembung ke dua belah pipi dia.


“Sedap.” Komen Raid. Suapan ke dua menyusul. Tetap juga milik Raid.


Aku telan liur.


“Sorry.”


“Untuk apa?” Mulut dia sibuk mengunyah tanpa sebarang reaksi.


“Tadi.” Mana mungkin aku nak ulang kembali ayat yang boleh mencalarkan ego lelakinya. Terang-terang aku menolak kebaikkan dia.


“Serina pun tak pernah dapat suapan dari saya.”


Serius? Aku melongo sejenak. Bermakna Raid sejenis yang sangat menjaga iktilatnya! Mampu menahan diri dari tergoda dengan Serina. Hebatnya! 


“Apa saya perlu raikan kerana menjadi yang pertama terima tawaran dari tuan?”


“Good idea.” Turun naik kepala Raid menerima cadangan aku.


Dengar ya Raisha. Misi kau akan tercapai tidak lama lagi tanpa perlu aku berusaha keras. Aku hanya perlu menjadi pemandu arah dia ke jalan yang benar. Apabila misi selesai, aku bakal cadangkan Raisya tumbang lembu seekor dan adakan kenduri doa selamat.


Suapan ketiga menyusul, dan tahniah. Ketiga-tiganya juga tetap untuk Raid. Sungguh berselera sekali lelaki ini menikmati juadah tanpa ada sedikit pun rasa bersalah. Tinggal aku yang baru sedar erti kelaparan yanh sebenar.


“Mari...Kita raikan.” Raid berusaha keras menghabiskan sisa makanan dalam mulut.


Jangan cakap Raid nak berkongsi sudu dengan aku. Perkara itu tidak terjangkau dek akal. Jika lelaki ini berkeras mahu berkongsi, jangan hairan jika sudu tersebut aku cuci dengan hand sanitizer!


Sangkaan aku jauh meleset. Sebaliknya Raid tercari-cari sesuatu di dalam plastik berwarna merah. Dan pencarian dia berjaya. Langkah diatur menghampiri aku yang pandang dia dengan penuh tanda tanya.


“Memandangkan awak ahli sementara kelab insan yang lemah, benda ni akan membantu. Sistem pencernaan awak juga akan selamat...Dijamin tak akan tersumbat.”


Mata mencerun pada satu batang plastik panjang berwarna merah jambu. Darah terus menyerbu naik ke muka. Kurang ajar punya Raid!


“Tuan!” Straw aku rampas lalu campak pada Raid.

Terhambur ketawa Raid bila straw tadi terbang entah mana-mana. Langsung tidak mengena dia.


Tergamaknya dia suruh aku makan pakai straw. Dan tak kelakar langsung! Campak sepuluh ribu pun, belum tentu aku turuti.


“Okey...Okey, I’m sorry...Sini saya tolong awak.”


Hairannya, marah aku bak hujan lalu. Tak sampai lima minit, pelangi menyusul. Aku mampu bergelak-ketawa. Raid yang serius pandai berjenaka rupanya.


“Tuan pandai melawak...” Kataku sambil menghabiskan suapan terakhir.


“Seharian menghadap kerja, ragam manusia, tekanan dari setiap sudut...Saya penat, Heera."


"Pergi bercuti tuan...pergi healing-healing. Tenangkan fikiran." 


"Saya akan pertimbangkan." 


Perkembangan yang baik. Raid sudah mampu menerima baik cadangan aku. 


Radi bangun, gelas berisi milo yang belum terusik aku sua pada dia. Tiada penolakkan. Dia terima lalu pinggir gelap di bawa rapat ke bibir. Baru suku dihirup, dia berhenti. Lama dia merenung ke dalam gelas tersebut.


"Ada apa tuan?" Hairan bila jari Raid mula menguis permukaan air.


"Ada semut...Saya rasa, saya dah tertelan tiga ekor." Dia sibuk buang beberapa lagi ekor semut yang timbul.


"Nampak gayanya, penyakit lupa saya tak akan baik." Kata Raid lagi. Entah dia bergurau atau serius.


"Saya cadangkan, tuan minum je. Telan semua semut-semut tu. Daripada pelupa, tuan boleh dapat amnesia. Boleh lupa semua kisah-kisah silam tuan sekali."


Cadangan aku ditentang keras. Tiada senyuman Raid. Dia merenung aku dengan sepasang mata mengecil. 


"Jangan ajar saya ajaran sesat Heera." 


Aku tahan gelak bila nampak telinga Raid merah-merah. Marah mungkin. 


"Tuan!" Panggil aku bila Raid mengorak langkah ke luar bersama gelas di tangan.


"Tolong sekali." Pinggan kosong aku hulur pada dia untik dicuci. Biarpun dijeling, pinggan tetap bersambut.


Melebar senyuman aku kerana berjaya membuatkan Raid menurut perintah walaupun memberontak.


Senyuman aku mati bila dengar suara-suara orang saling bertingkah di luar. Suara tersebut semakin lama semakin kuat dan disusuli dengan bunyi sesuatu yang jatuh. Tak lama kemudian daun pintu ditolak dengan cara paling kasar sehingga berdentum melanggar dinding.


"Hilman?" Seru aku perlahan. Sangat perlahan.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.