Home Novel Cinta Hello Mr Freeze
Hello Mr Freeze
awa
18/6/2024 08:23:01
14,959
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

Lima minit lima puluh saat masa yang diambil oleh Raid menyudahkan kerja-kerja menukar tayar keretaku. Sepanjang itu juga, mata tidak lepas dari melihat betapa tangkasnya dia melakukan kerja tanpa kekok. Terselit rasa kagum.


Polis kan? Sememangnya terlatih dalam apa jua keadaan. Bantuan dihulur tanpa mengira masa dan siapa. Semua golongan wajib dibantu.


“I’m done.”


“Err…”


Gugup apabila tertangkap dek ralit merenung anak teruna orang. Demi menutup rasa malu, lekas-lekas aku masuk dalam kereta. Kurang dari seminit aku keluar berjumpa dengan Raid semula.


“Nah.” Sekeping not lima puluh ringgit aku hulurkan pada dia. Namun huluran aku dipandang sepi. Tiada tanda-tanda pemberianku diterima.


“Ambillah…Baju tuan pun dah kotor gara-gara tolong saya. Belum kira tenaga tuan yang saya dah kerah. Tiada apa mampu saya balas melainkan dengan ringgit." Mata turun pada kesan hitam yang melekat pada dada Raid. Belum tengok lagi peluh Raid yang berjurai dekat dahi.


“Perkhidmatan saya percuma…Lebih-lebih lagi untuk kaum lemah. Percuma seumur hidup. Tiada bayaran dikenakan.”


Oh, ya? Kenapa aku tak rasa terharu langsung? Kenapa mesti aku rasa terpukul dengan ayat dia berbaur sindiran itu. Rasa macam sedang ditampar berkali-kali.


Raid sedang mengemas semua peralatan dan disimpan dalam ruangan boot kereta. Sempat hujung jari dia menyeka dahi.


Melihat betapa penatnya Raid, aku ambil pendekatan menjatuhkan sauh. Berhenti berbalah. Anggap saja bukan rezeki dia hari ini.


“Pasal Sya…”


“Saya minta maaf…Tapi, demi Allah. Saya tak pernah hasut dia.” Sungguh-sungguh aku katakan. Mohon Raid mengerti bahawa aku dalam keadaan tersepit.


Raid peluk tubuh memandang aku tanpa suara. Wajahnya juga serius tanpa senyuman.


"Tuan...Sa…"


“Lupakan…Tak ada apa yang nak dibahaskan lagi. Kes dah tutup. Dan dengan jayanya, saya gagal dalam tugas.” Potong dia.


Jatuh sepasang bahuku. Semakin teruk aku diserang rasa serba salah. Nampak gayanya, sampai bila-bila pun Raid akan salah faham. Gara-gara salah faham itulah menyebabkan tidurku tidak lena. Makanku juga tidak berselera.


“Tuan!” Seruku bila Raid ingin beredar. Lama Raid menatap aku. Menanti aku mengarang ayat seterusnya.


“Terima kasih.” Kesudahannya, hanya itu mampu aku katakan. Tiada lagi pembelaan dari pihakku. Tiada lagi ayat-ayat melibatkan kes tempoh hari. Cerita tamat.


“You are welcome.”


Sepasang iris menghantar pemergian Raid sebelum susuk tubuh hilang dari pandangan. Meninggalkan aku sendirian memikirkan dari mana datangnya makhluk seumpama Raid. Manusia yang sulit diajak berbincang. Manusia yang pandai menamatkan segala perbualan jika dia tidak berminat sesuatu perkara diketengahkan. Handal sekali manusia bernama Raid.


Sedikit sebanyak, keegoan Raid melonjakkan secara perlahan-lahan rasa tercabarku. Hampir saja tembok kesabaran aku roboh. Lelaki seperti Raid perlu diberi sedikit pengajaran. Tak banyak mana pun. Memadai jika Raid pandai berbahasa dan tidak menuduh secara membuta-tuli. Dan paling penting, graf keegoan dia juga perlu berada pada paras lelaki normal.


Bibir tersungging senyuman penuh makna. Ada rencana yang sudah tersusun di dalam kepala. Dan perkara tersebut bakal disampaikan kepada rakan seperjuanganku. Dia pasti gembira mendengarnya nanti.


Sebelum memulakan pemanduan, sempat aku mendail nombor teledon Raisha. Rakan komplot jahat aku. Belum pun mula sesi perbentangan mengenai kejahatan bakal aku lakukan, suara esakkan Raisha terlebih dahulu memberi salam.


"Hei, Rai! Kau okey? Kenapa ni?" Soal aku prihatin. Cemas pun ya. Raisha tidak akan menangis seteruk ini jika tiada masalah besar terjadi.


"Kau ada masalah dengan boyfriend kau?" Aku mula menjadi pakar kaunseling tidak berbayar. Poster duduk dibetulkan. Sedia mendengar masalah Raisha.


Esakkan Raisha semakin menjadi-jadi bikin aku cemas. Dia tidak pernah begini. Pernah pun ketika dia dibuli sangat teruk oleh pelajar senior semasa di universiti.


"Rai...Rai...nafas Rai, ingat Tuhan." Daripada pakar kaunseling, aku beralih menjadi ustazah tidak bertauliah. Semuanya sangat drastik. Tidak tahu bagaimana hendak menghentikan tangisannya.


"Kau...kau kena tolong aku, Heera." Ujar Raisha dengan sisa tangisan. Suaranya serak.


"Macam mana aku nak tolong kalau kau tak cerita." Sedikit kesal nadaku. Sejak dari tadi Raisha hanya tahu menangis sampai lupa bagaimana mahu bercerita.


"Tadi...tadi..." sangkut-sangkut suara Raisha. Diselang seli dengan sedu.


Aduh. Teruk benar masalah Raisha. Esakkan dia mengalahkan anak kecil. Sesekali terdengar dia menghembuskan hingus.


"Aku jumpa Serina."


Aku dengar dengan penuh sabar dan ketekunan jitu. Nama Serina itu umpama penyakit merbahaya. Dengar saja nama itu, sesiapa yang sihat pun boleh sakit. Ubatnya hanya sabar. Jika tidak sabar, boleh maut kena serangan jantung.


"Dia nak apa?" Aku mencelah.


"Dia...Dia cakap jangan masuk campur hal dia...Atau..."


Naik sebelah kening aku dengar ayat Raisha putus sekerat jalan.


"Atau apa Rai?" Tanyaku bila Raisha tiba-tiba diam. Lama sebelum dia kembali bersuara perlahan.


"Atau dia bunuh abang aku."


Aku ketawa geli hati. Serina itu sejak dari dulu suka berangan menjadi gangster. Aku juga pernah menerima ancaman sedemikian. Dan ancaman tersebut sekadar ugutan semata-mata. Buktinya, aku masih mampu bernafas sehingga sekarang. Bernafas menggunakan hidung, bukan insang.


"Jangan percaya Rai...Dia takkan berani." Aku cuba memujuk, supaya dapat meredakan kebimbangan Raisha.


"Dia berani, Heera. Aku kenal dia."


Panjang helaan nafas aku. Raisha dah termakan umpan Serina. Pada pandangan aku, Serina itu hanya mahu menakut-nakutkan Raisha supaya hasratnya menjadi isteri Raid tercapai tanpa sebarang halangan.


"Jangan fikir bukan-bukan...InsyaAllah, abang kau selamat. Dia polis. Dia tahu macam mana berdepan dengan bahaya." Aku yakin keselamatan Raid tidak akan terjejas dengan ancaman dari gangster ala-ala tahi kucing Serina.


"Dia tak akan tahu, Heera. Dia dah buta dengan cinta Serina. Kita kena tolong abang aku!" Naik satu graf suara Raisha.


Panjang keluhan aku. Tubuh bersandar pada kerusi. Hujung jari mengurut pelipis. Sakit kepala memikirkan masalah terbaru. Masalah yang pastinya berkisarkan tentang Raid. Atau lelaki itu sebenarnya pencetus masalah?


"Jadi, apa kau nak aku buat?" Akhirnya aku mengalah.


"Kau nak tolong aku, Heera?" Soal Raisha. Suara dia berubah ceria.


Berat hati mahu menjawab soalan maut dia. Soalannya umpama jerangkap samar. Boleh kehilangan nyawa sekiranya salah jawab.


"Kau tahu kan aku sayang abang aku? Aku tak nak apa-apa jadi pada dia."


Ya. Sayang Raisha itu pada Raid setinggi langit ke tujuh. Memang tidak dinafikan. Saban hari, hanya nama Raid meniti di bibir mungil Raisha. Betapa beruntungnya Raid memiliki adik penyayang seperti itu.


"Kita kena putuskan juga pertunangan mereka berdua. Tak kira apa cara sekalipun."


Itulah niat aku lima belas minit yang lalu. Demi melunaskan dendam terhadap Raid gara-gara ego lelaki itu. Dan niat tersebut didengari Allah. Dikirimnya melalui Raisha demi melaksanakan dendam tersebut.


Timbul rasa menyesal kerana menyimpan niat jahat. Sepatutnya aku mendoakan yang baik-baik saja. Dendam tidak bagus untuk hati. Boleh hitam dan gelap masa depan kelak. Tetapi sudah terlambat. Tiada gunanya menyesal lagi.


"Aku dah mula nampak abang aku berubah, Heera. Aku bukan suka-suka nak dia orang putus tunang."


Naik tinggi sebelah kening. Raid berubah? Dari aspek apa yang dia berubah? Apa dia sudah menjadi kaki clubbing? Wajarlah, Serina itu pengunjung tetap kelab malam. Tak hairan jika abang Raisha juga sudah mendaffar sebagai tetamu VVIP sepanjang hayat.


"Jangan diam Heera. Tolong respon." Suara keras Raisha menyedarkan aku ke alam nyata. Dua kali aku berdehem.


“Aku akan tolong kau.” Aku mengalah. Demi persahabatan yang sudah bertahun terjalin.


Suara Raisha terjerit di hujung talian. Persetujuan aku berjaya mematikan terus paip air mata Raisha. Bahkan, Raisha layak menyandang gelaran ‘Queen Of Drama’.


“Aku cuba sehabis baik kembalikan abang kau ke pangkal jalan.” Aku mula menabur janji.


Apalagi, Raisha melancarkan ayat-ayat manisnya. Bahawasanya, akulah sahabat dunia akhirat. Jasaku akan dikenang hingga hujung nyawa. Aku adalah hero kerana menyelamatkan abangnya jatuh ke pangkuan Serina. Itu adalah antara puji-pujian dilemparkan oleh Raisha.


Tetapi maaf! Aku tidak termakan dengan segala ayat berbaur manisan. Bimbang kemanisan tersebut menjadi pembunuh senyap. Boleh bikin semua sistem badan lumpuh dek terlampau riak.  


“Kerja aku hanya pandu arah abang kau ke jalan yang benar. Selesai saja kerja, aku angkat kaki. Sebarang kerja-kerja melibatkan hati dan perasaan, tidak akan dilayan. Faham?”


“Faham!”


Bagus pemahaman Raisha. Jawapan diberikan sangat pantas. Kurang sesaat.


"Apabila kerja selesai, maka hutang pun langsai. Tiada sebarang tuntutan selepas itu." Aku kemukakan syarat kedua.


"Aku setuju."


Bagus 2.0. Semangatnya luar biasa sekali.


"Jangan libatkan orang tua kedua-dua belah pihak. Jangan sesekali!" Ini juga penting. Campur tangan mereka hanya merumitkan keadaan yang sedia rumit. Segala rancangan tersusun rapi boleh lari dari landasan.


"Ermmm...aku cuba." Raisha sedikit teragak.


Ini tidak bagus.


"Tak boleh cuba-cuba. Kalau boleh, jangan bagi tahu mereka langsung." Tegasku.


"Baik!" Sahut Raisha.


Bagus! Senang urusan. Perjanjian telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.


"Kalau aku terjatuh cinta dengan abang kau, tolong sedarkan aku. Tolong campakkan tali kalau aku lemas dalam lautan cinta abang kau." Perkara ini perlu diketengahkan. Dalam melaksanakan misi, perkara melibatkan hati dan perasaan berada diluar kawalan.


"Itu aku tak janji."


Baiklah. Aku siap siaga bubarkan perjanjian jika Raisha tidak hulurkan bantuan jika perlu.


"Tali bila-bila boleh putus. Sebelum aku ikut lemas, ada baiknya aku biarkan saja kau orang mati bersama-sama." Cukup bersahaja kata-kata Raisha.


Bibir mengetap kuat. Mati bersama-sama Raid tidak tersenarai dalam rancangan.


"Kau kawan tak guna Rai!" Jeritan aku memenuhi ruangan kereta.


Balasannya, Raisha ketawa mengekek. Hilang kesedihannya. Dengar suara Raisha kembali sedia kala, membuatkan aku tumpang gembira. Demi Raisha, aku sanggup lakukan apa saja. Raisha itu sahabat aku dunia dan akhirat.


Menandatangani perjanjian secara lisan, maka secara rasminya aku menempah slot ke neraka. Gara-gara mahu memisahkan pasangan kekasih yang ingin membina masjid. Perlahan-lahan senyuman bertukar hambar. Suara Raisha sibuk berceloten tidak lagi sampai ke pendengaranku.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.