"Bila awak akan kahwin dengan Najmi?" Ilham masih
mengganggu. Sukar sekali untuk lelaki itu mengerti. Atau memang sudah sifat
Ilham untuk tidak mudah menyerah. Kerana sikap inilah, Ilham tidak mahu
melepaskan Aqilah walau dia sedar hati Aqilah sudah lama berubah. Ilham terluka
dengan pengkhianatan Aqilah. Terluka dengan penolakan Suraya. Dia buntu mengapa
dia tidak mampu untuk mencapai bahagia. Apakah silapnya?
"Kami belum tentukan tarikh. Najmi masih belum tamat
pengajian," itu sajalah alasan yang dapat Suraya berikan. Namun, Ilham
masih tidak mengalah. Selagi belum termeterai ikatan sah antara Suraya dan
Najmi, dia masih punya peluang. Hati Suraya masih boleh direbut.
"Saya tak akan berhenti Suraya. Selagi awak belum
benar-benar sah milik orang lain. Saya yakin, saya masih berpeluang untuk
memiliki hati awak," bicara Ilham itu menggetarkan hati Suraya. Ya, dia
bimbang hatinya berubah. Ilham. Lelaki itu pernah menghuni hatinya. Tidak
mustahil untuk dia kembali mengisinya.
Suraya tidak mahu banyak bicara. Bimbang hatinya terus
dilanda badai. Berolak-olak mencari kepastian. Kadang-kala menjelma diingatan
akan cadangan Aida. Ingin rasanya meminta bantuan Najmi. Namun, dia bimbang,
jika Najmi menolak dan menjejaskan hubungan baik yang telah sedia terbina
antara Suraya dan Najmi.
Namun, gangguan dari Ilham tidak surut juga. Adakah dia
mampu bertahan dalam masa 2 tahun lagi pengajian sebelum Ilham tamat pengajian
peringkat sarjananya. Jika Ilham menyambung lagi pengajian, adakah dia perlu
terus bertahan? Suraya semakin resah. Mimpi lama terus menghantui ingatan.
Najmi. Kadang-kala nama itu sering menjelma dalam ingatan. Seakan hanya Najmi
yang dapat menyelesaikan kesulitan yang sedang dia hadapi.
Sejak peristiwa Ilham menumbuk Najmi, Suraya sudah tidak
lagi menghubungi Najmi. Najmi juga senyap. Dalam hati, Suraya masih malu dengan
Najmi kerana melibatkan dia dalam masalah Ilham. Namun, bila Najmi turut tidak
menghubunginya, Suraya mulai membuat andaian bahawa Najmi sebenarnya marahkan
dia. Cuma lelaki itu tidak mahu melukakan hatinya. Siapa saja yang tidak marah
bila ditumbuk sebegitu tanpa sebarang kesalahan. Suraya masih diserbu rasa
bersalah. Malah dia masih mahu melibatkan Najmi dalam menyelesaikan masalahnya.
Suraya merasa malu sendiri. Dia seakan mengambil kesempatan terhadap kebaikan
Najmi.
Najmi pula rindukan Suraya. Namun, dia tidak sanggup lagi
berhubung mesra seperti dulu. Mengerti letaknya Ilham di hati Suraya,
mengetahui bahawa dia tidak mungkin menghuni hati itu, cukup membuatkan Najmi
nekad untuk cuba melupakan Suraya. Mungkin Suraya benar, cinta pertama sangat
bermakna bagi seorang lelaki, namun, berapa ramai lelaki berjaya memiliki cinta
pertamanya? Cinta cuma sebahagian perasaan dan dia perlu belajar untuk menerima
ketentuan takdir cintanya.
Panggilan telefon yang tiba-tiba hadir setelah beberapa
minggu menyepi membuang lamunan Najmi. Suraya. Tanpa berfikir panjang panggilan
itu dijawab. Terbang segala nekad dan tekad. Dia rindukan gadis itu.
"Najmi masih marahkan akak?" Najmi diam. Sungguh,
dia marah. Marah kerana hatinya masih terisi nama Suraya. Marah kerana hati
Suraya tidak akan pernah terisi namanya.
"Pipi Najmi dah okey?" Suraya bertanya lagi bila
Najmi masih membisu di hujung panggilan. Najmi meraba pipi kirinya. Cedera
fizikal cepat saja sembuhnya. Perlahan tangannya menjalar ke dada. Namun,
cedera di hati masih terus terasa pedihnya.
"Hmm... dah baik lama dah. Setakat kena tumbuk sikit je
kak," Najmi membalas sambil tertawa riang. Cuba menyembunyikan kepedihan
di dalam hati. Suraya turut tersenyum. Najmi terlalu baik. Dan dia tidak mahu
kehilangan adik sebaik Najmi.
"Patut Najmi tumbuk Ilham juga. Dia masih tak berhenti
ganggu akak," Suraya seakan mengadu. Entah mengapa ringan sahaja mulutnya
meluah bicara saat menghubungi Najmi. Najmi diam. Nama Ilham juga yang disebut
Suraya.
"Akak nak saya bantu ke? Mungkin saya kena tumbuk abang
Ilham supaya jangan ganggu bakal tunang saya," Najmi sengaja membalas
dengan gurauan. Namun, hatinya masih berharap. Suraya tersenyum. Gurauan.
Gurauan Najmi seakan menceriakan hatinya?
"Tunang? Akak tak nampak pula ada cincin tunang dekat
jari akak ni?" Suraya meneruskan gurauan itu. Sambil pandangannya jatuh
pada jari-jemarinya yang masih kosong tidak tersarung sebarang cincin. Najmi
diam. Gurauan Suraya yang diharapkan adalah satu kebenaran. Adakah dia patut
luahkan saja perasaannya?
"Najmi... Apa kata kalau kita bertunang?" terluah
juga bicara Suraya. Ya, bertunang. Mungkin Ilham akan lebih mengerti. Najmi
mungkin juga tidak begitu terbeban. Khabarkan saja pada Ilham mereka bertunang
sehingga Najmi tamat pengajian sebelum melangsungkan pernikahan. Ketika itu
juga mungkin antara Suraya dan Najmi boleh mencuba untuk memikirkan ke arah
mana perhubungan itu. Pertanyaan Suraya seakan mengosongkan segala yang ada
dalam fikiran Najmi. Bertunang? Suraya masih berguraukah?
"Maaf, kalau Najmi tak setuju. Cuma Ilham terus ganggu
akak dan bertanya tentang tarikh perkahwinan. Dia kata yang dia tak akan berhenti
selagi tidak pasti kesahihan hubungan akak dan Najmi. Maaf, akak rasa agak
melampau pula mempergunakan Najmi. Lupakan saja pasal pertunangan itu,"
Suraya segera menjelaskan bila Najmi masih membisu. Najmi mengerut dahi. Suraya
serius? Bertunang? Lupakan? Tidak! Dia mesti bertunang dengan Suraya!
"Akak, kita bertunang!," Najmi memutuskan. Suraya
tergamam. Najmi setujukah?
"Akak? Akak serius kan? Kita bertunang. Saya akan
maklumkan keluarga saya, akak juga maklumkan keluarga akak. Saya akan kirimkan akak
cincin. Mungkin kita tidak sempat untuk pulang ke Malaysia untuk buat sebarang
majlis. Tapi, kita akan minta restu keluarga. Dan saya akan kirimkan pada akak
cincin sebagai tanda pertunangan. Boleh?" lancar Najmi berbicara. Sudah
lama dia merancang dan memikirkan. Cuma tidak menyangka dia akan menuturkannya
kepada Suraya. Suraya diam. Najmi benar-benar setuju. Siap minta dapatkan restu
keluarga. Juga akan kirimkan cincin pertunangan. Suraya terdiam. Apa yang perlu
dibalasnya?
"Akak? Akak serius kan?" Najmi tiba-tiba dilanda
ragu bila Suraya hanya mendiamkan diri. Suraya hanya bergurau kah?
"Erm, ya. Akak serius. Tapi Najmi setuju ke?"
Suraya masih meminta kepastian. Masih terpegun dengan mudahnya Najmi menyetujui
cadangannya. Najmi setuju. Tentu sahaja dia setuju. Biarlah hati Suraya mungkin
masih terisi Ilham, jika masih ada ruang untuk dia, Najmi fikir dia akan
merebutinya. Merebut setiap peluang yang ada untuk memiliki hati Suraya.
"Sekarang biar saya yang tanya akak, Suraya binti
Ahmad, sudikah awak menjadi tunangan kepada Saif Najmi bin Saifullah?"
Najmi bertanya tenang. Suraya terdiam. Terasa degupan jantungnya berdetak tidak
menentu.
"Err.. ya, saya setuju," Suraya menjawab perlahan.
Najmi tersenyum puas.