Home Novel Cinta Leraikan Mimpi
Leraikan Mimpi
Lynn Suraya
3/1/2015 14:07:01
58,925
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 18

"Bila awak akan kahwin dengan Najmi?" Ilham masih mengganggu. Sukar sekali untuk lelaki itu mengerti. Atau memang sudah sifat Ilham untuk tidak mudah menyerah. Kerana sikap inilah, Ilham tidak mahu melepaskan Aqilah walau dia sedar hati Aqilah sudah lama berubah. Ilham terluka dengan pengkhianatan Aqilah. Terluka dengan penolakan Suraya. Dia buntu mengapa dia tidak mampu untuk mencapai bahagia. Apakah silapnya?

"Kami belum tentukan tarikh. Najmi masih belum tamat pengajian," itu sajalah alasan yang dapat Suraya berikan. Namun, Ilham masih tidak mengalah. Selagi belum termeterai ikatan sah antara Suraya dan Najmi, dia masih punya peluang. Hati Suraya masih boleh direbut.

"Saya tak akan berhenti Suraya. Selagi awak belum benar-benar sah milik orang lain. Saya yakin, saya masih berpeluang untuk memiliki hati awak," bicara Ilham itu menggetarkan hati Suraya. Ya, dia bimbang hatinya berubah. Ilham. Lelaki itu pernah menghuni hatinya. Tidak mustahil untuk dia kembali mengisinya.

Suraya tidak mahu banyak bicara. Bimbang hatinya terus dilanda badai. Berolak-olak mencari kepastian. Kadang-kala menjelma diingatan akan cadangan Aida. Ingin rasanya meminta bantuan Najmi. Namun, dia bimbang, jika Najmi menolak dan menjejaskan hubungan baik yang telah sedia terbina antara Suraya dan Najmi.

Namun, gangguan dari Ilham tidak surut juga. Adakah dia mampu bertahan dalam masa 2 tahun lagi pengajian sebelum Ilham tamat pengajian peringkat sarjananya. Jika Ilham menyambung lagi pengajian, adakah dia perlu terus bertahan? Suraya semakin resah. Mimpi lama terus menghantui ingatan. Najmi. Kadang-kala nama itu sering menjelma dalam ingatan. Seakan hanya Najmi yang dapat menyelesaikan kesulitan yang sedang dia hadapi.

Sejak peristiwa Ilham menumbuk Najmi, Suraya sudah tidak lagi menghubungi Najmi. Najmi juga senyap. Dalam hati, Suraya masih malu dengan Najmi kerana melibatkan dia dalam masalah Ilham. Namun, bila Najmi turut tidak menghubunginya, Suraya mulai membuat andaian bahawa Najmi sebenarnya marahkan dia. Cuma lelaki itu tidak mahu melukakan hatinya. Siapa saja yang tidak marah bila ditumbuk sebegitu tanpa sebarang kesalahan. Suraya masih diserbu rasa bersalah. Malah dia masih mahu melibatkan Najmi dalam menyelesaikan masalahnya. Suraya merasa malu sendiri. Dia seakan mengambil kesempatan terhadap kebaikan Najmi.

Najmi pula rindukan Suraya. Namun, dia tidak sanggup lagi berhubung mesra seperti dulu. Mengerti letaknya Ilham di hati Suraya, mengetahui bahawa dia tidak mungkin menghuni hati itu, cukup membuatkan Najmi nekad untuk cuba melupakan Suraya. Mungkin Suraya benar, cinta pertama sangat bermakna bagi seorang lelaki, namun, berapa ramai lelaki berjaya memiliki cinta pertamanya? Cinta cuma sebahagian perasaan dan dia perlu belajar untuk menerima ketentuan takdir cintanya.

Panggilan telefon yang tiba-tiba hadir setelah beberapa minggu menyepi membuang lamunan Najmi. Suraya. Tanpa berfikir panjang panggilan itu dijawab. Terbang segala nekad dan tekad. Dia rindukan gadis itu.

"Najmi masih marahkan akak?" Najmi diam. Sungguh, dia marah. Marah kerana hatinya masih terisi nama Suraya. Marah kerana hati Suraya tidak akan pernah terisi namanya.

"Pipi Najmi dah okey?" Suraya bertanya lagi bila Najmi masih membisu di hujung panggilan. Najmi meraba pipi kirinya. Cedera fizikal cepat saja sembuhnya. Perlahan tangannya menjalar ke dada. Namun, cedera di hati masih terus terasa pedihnya.

"Hmm... dah baik lama dah. Setakat kena tumbuk sikit je kak," Najmi membalas sambil tertawa riang. Cuba menyembunyikan kepedihan di dalam hati. Suraya turut tersenyum. Najmi terlalu baik. Dan dia tidak mahu kehilangan adik sebaik Najmi.

"Patut Najmi tumbuk Ilham juga. Dia masih tak berhenti ganggu akak," Suraya seakan mengadu. Entah mengapa ringan sahaja mulutnya meluah bicara saat menghubungi Najmi. Najmi diam. Nama Ilham juga yang disebut Suraya.

"Akak nak saya bantu ke? Mungkin saya kena tumbuk abang Ilham supaya jangan ganggu bakal tunang saya," Najmi sengaja membalas dengan gurauan. Namun, hatinya masih berharap. Suraya tersenyum. Gurauan. Gurauan Najmi seakan menceriakan hatinya?

"Tunang? Akak tak nampak pula ada cincin tunang dekat jari akak ni?" Suraya meneruskan gurauan itu. Sambil pandangannya jatuh pada jari-jemarinya yang masih kosong tidak tersarung sebarang cincin. Najmi diam. Gurauan Suraya yang diharapkan adalah satu kebenaran. Adakah dia patut luahkan saja perasaannya?

"Najmi... Apa kata kalau kita bertunang?" terluah juga bicara Suraya. Ya, bertunang. Mungkin Ilham akan lebih mengerti. Najmi mungkin juga tidak begitu terbeban. Khabarkan saja pada Ilham mereka bertunang sehingga Najmi tamat pengajian sebelum melangsungkan pernikahan. Ketika itu juga mungkin antara Suraya dan Najmi boleh mencuba untuk memikirkan ke arah mana perhubungan itu. Pertanyaan Suraya seakan mengosongkan segala yang ada dalam fikiran Najmi. Bertunang? Suraya masih berguraukah?

"Maaf, kalau Najmi tak setuju. Cuma Ilham terus ganggu akak dan bertanya tentang tarikh perkahwinan. Dia kata yang dia tak akan berhenti selagi tidak pasti kesahihan hubungan akak dan Najmi. Maaf, akak rasa agak melampau pula mempergunakan Najmi. Lupakan saja pasal pertunangan itu," Suraya segera menjelaskan bila Najmi masih membisu. Najmi mengerut dahi. Suraya serius? Bertunang? Lupakan? Tidak! Dia mesti bertunang dengan Suraya!

"Akak, kita bertunang!," Najmi memutuskan. Suraya tergamam. Najmi setujukah?

"Akak? Akak serius kan? Kita bertunang. Saya akan maklumkan keluarga saya, akak juga maklumkan keluarga akak. Saya akan kirimkan akak cincin. Mungkin kita tidak sempat untuk pulang ke Malaysia untuk buat sebarang majlis. Tapi, kita akan minta restu keluarga. Dan saya akan kirimkan pada akak cincin sebagai tanda pertunangan. Boleh?" lancar Najmi berbicara. Sudah lama dia merancang dan memikirkan. Cuma tidak menyangka dia akan menuturkannya kepada Suraya. Suraya diam. Najmi benar-benar setuju. Siap minta dapatkan restu keluarga. Juga akan kirimkan cincin pertunangan. Suraya terdiam. Apa yang perlu dibalasnya?

"Akak? Akak serius kan?" Najmi tiba-tiba dilanda ragu bila Suraya hanya mendiamkan diri. Suraya hanya bergurau kah?

"Erm, ya. Akak serius. Tapi Najmi setuju ke?" Suraya masih meminta kepastian. Masih terpegun dengan mudahnya Najmi menyetujui cadangannya. Najmi setuju. Tentu sahaja dia setuju. Biarlah hati Suraya mungkin masih terisi Ilham, jika masih ada ruang untuk dia, Najmi fikir dia akan merebutinya. Merebut setiap peluang yang ada untuk memiliki hati Suraya.

"Sekarang biar saya yang tanya akak, Suraya binti Ahmad, sudikah awak menjadi tunangan kepada Saif Najmi bin Saifullah?" Najmi bertanya tenang. Suraya terdiam. Terasa degupan jantungnya berdetak tidak menentu.

"Err.. ya, saya setuju," Suraya menjawab perlahan. Najmi tersenyum puas.

Previous: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.