Home Novel Cinta Jane & Cassandra (Sudah Terbit)
Jane & Cassandra (Sudah Terbit)
Meja Editor
10/1/2025 09:17:59
2,555
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

LEILA menganjur tubuhnya ke depan untuk melihat lebih jelas acara yang sedang berlaku di tingkat bawah bangunan Pasar Seni itu. Dari kedudukannya di tingkat atas, dia dapat melihatbeberapa buah reruai penerbitan yang menjual pelbagai jenis buku. Setiap satunya ada tarikan tersendiri. Ada yang menggunakan maskot. Ada yang menggunakan promoter kacak. Malah, ada yang memanggil selebriti untuk membantu memasarkan buku mereka.


Tadi, dia sempat pergi ke reruai yang menjual sebuah biografi selebriti dan tokoh terkemuka yang ditulis oleh Jannah sebagai penulis siluman. Sempat dia mengambil gambar untuk dihantar kepada si kakak melalui WhatsApp. 

Buku Dato' Sri dah keluar. Bila angah nak dapat copy? – Leila, 2.00PM

Aku nak lupakan aje. Trauma. – Jannah, 2.01PM

Leila tergelak besar. Inilah akibatnya bila bekerjasama dengan orang kenamaan. Boleh dikatakan dalam sepuluh orang VIP, hanya tiga yang akan beri kerjasama yang baik dan tidak berkira. Selebihnya banyak lemak. Tulis buku sendiri tidak pandai, kisah hidup tidak begitu menarik hati, tetapi ada hati mahu minta itu dan ini.

Gila. Sampai mati pun dia takkan jadi ghost writer!

"Nah."

Ada tangan yang muncul di depan wajahnya, menghulur cawan plastik berisi air tembikai.

"Thanks," ucap Leila sambil menyambut huluran itu.

Nik terus bersandar di gelangsar yang sama. 

"Aku tak tahulah kenapa aku layankan aje permintaan kau yang nak air tembikai ni. Padahal aku ni bos kau." Nik mengeluh. Berpeluh-peluh badannya dek beratur panjang di gerai minuman yang terletak di luar bangunan Pasar Seni.

"Sebab kau sayang aku."

"Ya. Tapi kau tak sayangkan aku. Sebab tu kau tak nak terima lamaran aku."

Leila tergelak lagi.

"Ini kali ke berapa dah?" soal Nik yang turut tergelak.

"Enam."

Nik terangguk-angguk. Ia sudah menjadi gurauan peribadi di antara mereka berdua. Hakikatnya, Leila tidak ubah seperti adik kandungnya. Nik rasa seperti dia perlu melindungi gadis itu selepas dapat tahu tentang peristiwa silam yang Leila pernah alami ketika masih kecil. Walaupun Leila hanya mahu menjadi gadis biasa, hakikatnya masa lalu menjadikan gadis itu berbeza daripada orang lain yang pernah ditemuinya.

Lamaran Nik juga tidak pernah serius dan mereka sama-sama tahu hakikat itu. Dalam banyak-banyak lamarannya, sekali sahaja dia mengucapkannya dengan serius. Ia berlaku dua jam selepas perceraiannya dengan Diana disahkan oleh pihak mahkamah. 

Nik benar-benar rasa kosong ketika itu. Walaupun sudah berbulan dia dan Diana tidak sebumbung sebelum perceraian itu dinoktahkan, pengesahan pihak mahkamah membuatkan semuanya terasa lebih nyata. Dia sudah kembali sendiri. Tiada sesiapa di sisinya ketika itu. Malah, keluarganya juga tidak muncul untuk memberi sokongan. Rata-rata mengatakan dia bodoh kerana bercerai denganDiana tanpa mengetahui hal sebenar di sebalik perceraian itu.

Hanya Leila yang menghubunginya selepas kes di mahkamah selesai. Leila yang datang bersama burger dan air kotak untuk mengisi perutnya yang kelaparan. Dia tidak berselera mahu makan tatkala muncul di mahkamah pagi itu. Kelaparan itu bertambah hebat sebaik sahaja dia keluar dari bilik mahkamah sebagai seorang duda anak dua.

Leila yang menemaninya sewaktu dia mengalirkan air mata sambil mengunyah burger di dalam kereta. Leila yang menghulur air kotak berserta tisu tatkala dia hampir tercekik akibat menelan sambil teresak-esak. Leila tidak cakap apa-apa. Hanya setia berada di situ menjadi penemannya. Selepas perutnya diisi dan emosinya kembali stabil, barulah Leila bersuara.

"Orang kata duda anak dua ni lebih seksi bunyinya." Nik tergelak besar sambil mengesat pipi basahnya.

"Dalam banyak-banyak benda yang kau boleh cakap, itu benda pertama yang keluar dari mulut kau, Lei?" 

"Kalau kau tu Mahima atau Ramie, mungkinlah aku akan suruh kau bersabar atau cakap semua perkara ada hikmahnya. Tapi kau tu Nik. Seorang Nik tak suka orang suruh dia bersabar. Inilah kata-kata yang seorang Nik suka dengar. Stupid compliments," ujar Leila selamba.

Nik ketawa lagi. "Memang betul pun. Pandailah kau ni. Kau ajelah yang memahami aku."

"Mestilah."

Nik tersenyum sendiri. Matanya dilayangkan ke luar tingkap. Dia sendiri tidak tahu mereka berada di mana usai meninggalkan mahkamah tadi. Ada beberapa rumah banglo di seberang jalan. Di hadapan mereka pula ada kawasan berhutan yang ditutup dengan kain rentang bertulis, "Amaran: Kawasan ini di bawah pemerhatian".

"Apa kata kau aje yang kahwin dengan aku, Lei?" soal Nik. Tiba-tiba sahaja idea itu terasa sangat bernas dalam fikirannya.

"Hah?" Dahi Leila berkerut sebelum dia tergelak. 

"Kau dah kenapa? Baru berapa jam kau single."

"Tak. Aku serius ni. Apa kata kau aje yang kahwin dengan aku? Kau yang paling memahami aku." Wajah Nik berubah serius. Ekspresi pada wajah Leila turut berubah serius apabila melihat tiada tanda-tanda lelaki itu bergurau.

"Aku tak nak kahwin, Nik."

"Okey, tak apa. Aku faham. Aku baru bercerai. Tak sopan kalau ...."

"Tak. Bukan sebab tu. And also not because of you, Nik. Kau lelaki yang baik, penyabar dan bapa yang penyayang. You're the best guy yang aku pernah jumpa." 

"Dah tu?"

"Aku tak boleh kahwin dengan kau, sebab aku memang tak nak berkahwin."

"Hoi! Fikir apa?" Leila melambai tangannya di depan wajah lelaki itu.

Teguran itu mematikan lamunan Nik. "Tak ada apa." 

Dia segera bangkit daripada sandarnya lalu mengubah kedudukan badan agar dia juga dapat melihat pemandangan di tingkat bawah bangunan Pasar Seni itu. Mereka sebenarnya sedang bekerja. Cuma bezanya, Leila sedang membuat liputan Pesta Buku Alternatif yang diadakan di situ. Manakala Nik pula baru selesai menghadiri sidang media yang diadakan di hotel berdekatan. Mereka berjanji untuk bertemu di bangunan Pasar Seni itu agar dapat makan tengah hari bersama sebelum pulang ke pejabat. 

"Kau nak makan kat mana?" soal Nik. 

"Mana-mana pun okey."

"Nak makan nasi Arab?"

Nik sudah ketawa dulu sebelum sempat Leila memberi reaksi. Dia tahu benar betapa Leila tidak suka makanan Timur Tengah atau Asia Selatan. Sebutlah nasi Arab mandy atau pakora mahupun hidangan yang biasa seperti nasi beriani, mahu gadis itu terjeluak. Kari pun Leila tidak mahu. Semuanya disebabkan oleh masa lalunya.

"Okeylah. Kita cari nasi berlauk," putus Nik. 

"Yang ada kerabu mangga, please."

"Okey. Jom."

"Sekejap, Nik." 

Penutup plastik cawan minumannya dibuka lalu Leila meneguk saki-baki air tembikainya. Sebelah tangannya ditadah di bawah dagu agar tiada sisa air yang meleleh ke bawah.

"Haih ... budak selekeh ni," omel Nik. 

Selepas menghabiskan secawan minuman itu dan dicampak ke dalam tong sampah berdekatan, Leila tersengih.

"Dah. Jom."

Leila baru hendak melangkah pergi apabila telefon pintarnya bergetar tanda ada panggilan masuk. Dia mengisyaratkan dengan jari-jemarinya agar Nik tidak ke mana-mana sementara dia menjawab panggilan itu. Nombor yang tertera tidak dikenalinya. Namun, aplikasi Truecaller yang digunakannya menamakan pemanggil sebagai Sameera Daddy's.

Siapa Sameera? Dan kenapa pula bapak Sameera menelefonnya?

"Assalamualaikum." Suara seorang wanita muncul di talian.

"Waalaikumussalam."

"Ini Leila, kan? Saya Sameera. Kita ada jumpa a few weeks ago. Depan rumah Che Non. Ingat  tak?"

Wajah wanita hamil itu mula terbayang dalam fikirannya.

"Oh. Ya, ingat. Yang rumah maknya banyak pokok bunga tu, kan?"

Sameera di hujung talian tergelak.

"Ya. Sameera dari hutan bunga ros tu. Nak tanya ni. Saya ada kawan yang perlukan khidmat awak. Dia ada situasi yang hampir sama dengan Che Non. Itu yang saya teringatkan awak ni. Jadi ... macam mana, ya? Nak kena jumpa ke?"

Biasanya Leila akan menjelaskan tentang khidmat cuciannya dalam panggilan telefon yang pertama. Namun disebabkan suasana yang agak riuh-rendah di dalam bangunan ini, Leila memilih untuk berjumpa. 

"Jumpalah jom. Bila free?"

"Malam ni, okey tak? Nanti saya WhatsApp location, boleh?"

"Okey. Boleh. Kalau boleh nanti sediakan sekali gambar-gambar keadaan rumah yang nak dibersihkan tu, ya? Jadi, saya boleh tengok sama ada okey atau tak atau macam mana."

"Baik. Nanti saya minta kawan saya tu bawa. See you tonight. Assalamualaikum."

Panggilan dimatikan setelah menjawab salam. Leila menoleh ke arah Nik yang hanya memandangnya dengan kening terangkat.

"Jumpalah jom? Ada date ke?" 

"Nope. Even better. Cleaning job."

LOKASI yang dikongsikan oleh Sameera di WhatsApp merupakan sebuah kafe yang terletak di Subang Jaya yang diberi nama Sam & Jam. Kafe yang menghidangkan pelbagai jenis hidangan tapas dan makanan fusion itu menarik perhatian ramai dengan bahagian luarnya yang dihiasi dengan tanaman bunga baby's breath.

Sementara bahagian dalamnya pula bertemakan konsep desa gabungan Melayu dan Barat. Beberapa jenis tanaman lain juga digabungkan di beberapa bahagian kafe. Ada pokok lemon di suatu sudut, pokok puding di tepi kaunter dan pelbagai tanaman herba berbeza dalam pasu di setiap meja.

Meja yang dipilih oleh Leila sendiri menempatkan pasu berisi tanaman ulam raja, manakala meja di sebelahnya pula menempatkan pasu berisi tanaman ketumbar. 

"Let me guess. Awak suka makan nasi dengan lauk ayam goreng dan sambal belacan," teka Sameera ketika dia menyertai Leila di mejanya. 

Anak lelakinya yang diperkenalkan sebagai Affan turut mengekori dari belakang, tetapi segera mengambil tempat di meja sebelah dan mula mengeluarkan buku mewarna berserta krayonnya untuk dijadikan aktiviti menghabiskan masa.

"Betul. Tapi mesti ada bergedel. Mana awak tahu?" soal Leila.

Sameera memuncungkan bibirnya ke arah pasu kecil berisi ulam raja itu.

"Biasanya bila orang tak ramai, saya suka tengok pelanggan pilih which herb they like. Kadang-kadang, mereka akan tukar pasu di meja yang mereka nak duduk tu dengan pasu yang mereka nak. Orang yang suka Thai food selalunya akan pilih meja yang ada pokok ketumbar atau tukar pasu meja mereka dengan pokok ketumbar. Western food lover akan pilih meja yang ada rosemary atau dill. Peminat masakan Melayu akan terpanggil untuk duduk di meja yang ada ulam raja atau selom."

Sameera menuding pada sebuah lagi meja makan yang terletak berdekatan dengan kaunter.

"Oh, faham. Saya lagi suka daun selom sebenarnya. Tapi saya tak nak duduk dekat dengan kaunter. Ini kafe awaklah, maksudnya?" soal Leila.

Sameera tersenyum.

"Suami saya, Jamie yang uruskan. Saya sleeping partner aje. Both di sini dan di rumah," balas Sameera seraya tergelak.

"Tapi dia sibuk kat dapur sekarang. Jadi, ini pertemuan kita berdua ajelah nampaknya buat masa ni." 

"Tak apa." Leila tersenyum sebelum menuding pada perut besar Sameera.

"Berapa bulan?"

Sameera mengangkat jari-jemari di kedua-dua belah tangan untuk menunjukkan nombor enam.

"Tapi nampak macam dah tujuh atau lapan bulan, kan?

Inilah akibat kahwin dengan lelaki yang tinggi lampai. Jangan kahwin dengan lelaki tinggi, tau. Senak nak bawa anak dia orang. Kalau nak cari suami, pilih yang kurang daripada enam kaki."

"Noted." 

Leila ikut tergelak mendengar gurauan wanita itu. Dia tidak perlu ambil pun nasihat itu kerana dia tidak merancang untuk mempunyai kehidupan yang sama. Pelayan akhirnya datang membawa hidangan yang dipesan oleh Leila sebaik sahaja dia tiba tadi. Hanya segelas teh ais madu bersama snek jejari popia udang. 

"So, how do we do this?" soal Sameera.

"Saya nak kena tengok dulu keadaan rumahnya. Kawan awak yang perlukan service ni tak datang ke? Awak ingatkan dia tak untuk bawa gambar?" 

Sameera menggeleng. "Sepatutnya dia datang. Tapi dia baru telefon saya tadi. Katanya ada hal emergency. Saya nak batalkan meeting kita ni pun, awak dah sampai. Jadi, kita teruskan ajelah. Dia pun kata dia trust dengan judgement saya, jadi kita boleh bincang berdua dululah. Dia pun ada hantar gambar-gambar tu pada saya. Kalau semuanya okey, we will meet him. Boleh?"

Pantas Leila bersetuju. Tiada hal besar pun.

Sameera terus mengeluarkan telefon pintarnya. Dia menatal skrin sebelum menghulur telefonnya kepada Leila. Ada 18 keping gambar semuanya. Setiap satu menunjukkan pelbagai ruangan berbeza dari pelbagai sudut.

Sebaik sahaja Leila melihat gambar-gambar itu, dia sedar yang dia tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menolak kerja ini. Dia segera menolak dengan lembut.

"Kenapa tak boleh?"

"Sebab ini ...." Leila berkira-kira sama ada dia patut menerangkannya atau tidak. Namun jika dia perlu menolak kerja itu, dia harus berterus terang.

"Ini ... tahap empat."

"Maksudnya?" soal Sameera kurang mengerti. 

"Masalah hoarding ini secara asasnya ada lima tahap. The first two stages masih boleh dibersihkan oleh seorang tukang cuci biasa. Untuk dua tahap tu, biasanya tak ada laluan yang terhalang dan you can still see the layout of the area. Kalau tahap tiga, rumah tu dah mula berbau dan banyak infestation berlaku. Lebih dinasihatkan untuk panggil professional cleaner. Tapi rumah yang awak tunjuk ni, sekali pandang pun dah nampak macam tahap empat. Nampak ni? Ada structural damages yang nampaknya macam dah berbulan berlaku."

Leila menolak sedikit telefon Sameera ke arah wanita itu untuk menunjukkan kesan rekahan di dinding dan kesan lopak air di siling salah sebuah bilik. 

"Bilik ini dengan bilik yang ini mungkin dah tak boleh digunakan lagi."

Leila tunjuk pula gambar dua ruangan yang dipenuhi timbunan sampah dan barang lama sehingga hampir mencapai siling. Ia terlalu bersepah sehingga dia tidak dapat mengenal pasti ruang untuk apa, sama ada bilik tidur atau ruang tamu. 

"Ruangan ini juga penuh dengan najis. Sekali pandang, saya rasa najis lama. Mungkin kucing ataupun binatang liar yang bersembunyi dalam bilik ni. It's a hazard. Saya tak tahu apa yang ada di balik semua rak dan perabot ni. Boleh jadi sarang lebah ataupun ular. Anything is possible. Saya kena panggil bomba, majlis daerah atau majlis perbandaran. Saya kena coordinate dengan banyak pihak. Ini bukan kerja untuk seorang cleaner sahaja."

"Memang tak bolehlah maksudnya?"

"Sorry ...." Leila memberi senyuman penuh simpati.

"Kenapa kawan awak ni tak beritahu majlis perbandaran aje?"

Sameera tersenyum. Namun ada sesuatu yang tersembunyi dalam senyumannya.

"Bukan hak saya nak cerita sebabnya. Dia aje yang boleh beritahu. Itu pun kalau dia nak sampaikan." 

Leila terangguk-angguk sendiri. Dia masih menatal gambar-gambar itu, tetapi pergerakannya terhenti apabila salah satu gambar menarik perhatiannya. Gambar bahagian luar rumah itu.

"Eh?"

"Kenapa? Ada apa?" soal Sameera yang melihat ekspresi terkejut Leila.

"Bahagian luar elok aje? Kenapa kat dalam ...." Ayatnya tergantung.

Rumah itu merupakan sebuah banglo setingkat yang terletak di atas bukit. Tidak seperti bahagian dalamnya, kawasan luar rumah itu terjaga dengan cukup baik. Rumput di halaman dipangkas dengan kemas dan menghijau. Terdapat susunan pasu berisi bunga kertas yang mengelilingi halaman. Ia dikelilingi pagar tembok yang amat tinggi. Cat tembok itu nampak masih baru seolah-olah baharu sahaja dicat semula. 

Sekali pandang, tiada siapa yang akan tahu isi dalamnya yang bagaikan mimpi ngeri. 

"Oh. Pelik, kan? That's the situation." Senyuman Sameera masih tidak lekang dari bibirnya.

"Tapi, tak apalah. Nanti saya beritahu kawan saya tu yang awak tak dapat buat sebab ... sebab apa tadi? Tahap empat?"

Leila mengangguk yakin. "Ya. Tahap empat. Maaf. Saya ingatkan bila awak kata macam Che Non, maksudnya hoarding level dia orang sama. Saya pun tak jelaskan betul-betul ...."

"Eh, tak apa. Tak ada masalah. Saya pun macam assume aje rumah hoarder semua sama. Tak tahu pula ada tahap-tahap semua ni. Apa-apa pun, terima kasih sebab sudi datang. Maaflah sebab membazir masa awak datang ke sini."

"Eh, tak apa. Saya pun nak minta maaf sebab tak beritahu dulu pasal tahap semua ni."

Mereka terdiam seketika sebelum sama-sama ketawa. 

"Kenapa kita berdua ni suka minta maaf dan saling salahkan diri sendiri?" soal Sameera.

"Itulah." Leila tergeleng-geleng. 

"Orang Melayu memang macam ni." 

"But anyway, it was nice to meet you, Leila. Next time, kalau lalu sini atau ada meeting apa-apa, datanglah makan di sini. Kita ada rendang crepe, bulgogi roll, which is Korean-style beef yang kita balut dalam Vietnamese rice paper, Spanish tapas dan macam-macam lagi. Take your pick."

Leila mengangguk pula. Mungkin dia boleh usulkan kepada Nik untuk membuat ulasan tentang kafe itu. 

"It was nice meeting you too, Samee."

Sebelum Leila pulang, Sameera memperkenalkannya dengan suami wanita itu, Jamie yang muncul dari dapur dengan sebungkus bulgogi gulung untuk Leila bawa pulang. 

Ketika Leila melangkah pergi meninggalkan kafe itu, apa yang difikirkan hanyalah mahu pulang ke rumah dan beri Jannah snek pemberian pasangan itu. Kemudian mandi, solat isyak dan terus masuk tidur. Esok, kehidupannya akan kembali normal. Seperti biasa. Itu rancangannya.

Tanpa dia sedar, pertemuannya dengan Sameera dan Jamie akan mengubah semua perancangan dalam hidupnya.

*******

INFO: Ini adalah bab terakhir yang disiarkan di platform ini. Untuk bacaan lanjut, dapatkan novel Jane & Cassandra di mana-mana platform Karangkraf Mall (Shopee, TikTok atau laman web) atau terus dapatkan salinan fizikal anda di reruai Karangkraf di PBAKL 2025.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.