"JANNAH, tengok adik ni.”Si kecil menjengketkan kakinya, cuba meninjau wajah mungil di sebalik selimut merah jambu yang dipeluk oleh si ibu. Si ayah tertawa melihat betapa si anak bersusah payah hendak mengintai si adik, lantas dia merangkul pinggang si kecil.
Si kecil terasa dirinya melayang di udara buat seketika sebelum lututnya mencecah katil. Si ibu tersenyum lalu mengunjuk bayi yang dirapatkan ke dadanya.
“Comel, kan?” soal si ibu.
Si kecil mengangguk, hilang kata-kata. Bibir si adik yang baru dilahirkan sehari yang lalu terkumat-kamit meminta susu. Si kecil tersenyum melihatnya. Dia mengalihkan pandangan ke arah si ibu dan kemudian si ayah pula, yang tersengih sambil kening terangkat.
“Nama dia siapa?” tanya si anak.
“Nama dia Layla,” balas si ibu.
“Nyanyatul Yaya ke? Macam Nyanyah?”
Si ayah tertawa. “Bukan.” Dia mengerling si ibu. “Dia ingat sama macam nama dia.”
“Bukan, sayang. Nama dia Layla Qistina. Ini Jannatul Maawa ....” Tangan si ibu menyentuh dada si kakak,
kemudian ke dada si adik. “Ini ... Layla Qistina.”
“Yeya Kisnina ....” Si kecil tersengih suka.
Si ayah tertawa lagi.
“Yalah. Bolehlah tu. Lepas ni, kamu tu bukan baby lagi dah. Kamu dah jadi angah. Kamu kena jaga baby kalau umi dengan abi tak ada.”
Si kecil mengangguk laju. Wajahnya serius. Berkerut-kerut dahinya memandang adik Layla yang baru 28 jam mengenal dunia.
“Okey, sudahlah tu.” Si bapa merangkulnya sekali lagi lantas dilayang ke udara sebelum kakinya mencecah lantai.
“Pergi main dengan along.”
Dia mengangguk lagi. Perlahan-lahan, dia mendekati si abang yang sedang sibuk mencantum bata plastik di atas lantai. Mahu membina kereta kebal katanya. Dia menoleh seketika ke arah umi di atas katil. Umi dan abi berbual dengan suara yang perlahan, tetapi senyuman yang menguntum di bibir kedua-duanya begitu mudah untuk akal kecilnya mentafsirkan sebagai kegembiraan. Dia sudah ada adik. Dia sudah menjadi seorang angah.
“Nyanyah kena jaga adik,” beritahunya perlahan kepada si abang, Marwan.
“Hmm,” balas abangnya, malas mahu layan.
Si abang fokus mahu menyiapkan kereta kebalnya, walaupun tidak nampak langsung macam ada rupa kereta, apatah lagi kebal. Abangnya tidak begitu berminat dengan adik Layla. Katanya, dia mahukan adik lelaki. Tetapi hasratnya tidak tercapai. Ketika abi beri pesanan yang sama agar si abang menjaga adiknya, si abang hanya mencebik.
Tidak mengapa kalau along tidak mahu menjaga adik. Jannah ada. Jannah akan mengambil serius tanggungjawab itu.