Home Novel Cinta Dear First Love
Dear First Love
Suhailah Selamat
7/2/2020 23:36:57
30,401
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 3

Tepat jam 6.00 pagi, Myria bangun dari tidur dan terus bersiap-siap untuk ke sekolah. Hari ini dia benar-benar teruja kerana ada beberapa buah buku baru yang akan diletakkkan di rak perpustakaan. Sudah semestinya Myria akan memastikan dia orang pertama yang akan meminjam buku-buku tersebut. Itupun kalau abang Alex tak sibuk-sibuk nak pinjam juga… Huhuhu… 

Perlahan-lahan Myria menapak keluar dari bilik lalu menuju ke arah tangga rumah. Belum sempat kakinya mencecah ke anak tangga pertama. Matanya terus tertancap pada satu susuk tubuh yang sedang elok bersandar di tepi dinding berhadapan dengan pintu bilik orang tuanya.

“Mama!” ujar Myria separuh menjerit. Beg sekolahnya diletakkan ke bawah lalu dia terus bergegas mendapatkan Puan Marwah. 

Semakin dekat kedudukannya dengan Puan Marwah. Semakin jelas lebam-lebam dan luka kecil yang kelihatan di sebalik baju yang dipakai wanita itu. Belakang baju Puan Marwah yang terkoyak sedikit turut mendedahkan kulit tubuh wanita itu yang penuh dengan kesan calar-balar.

“Mama…” Myria duduk melutut di sebelah Puan Marwah. Rambut panjangnya yang menutupi sebahagian wajah wanita itu diselak ke tepi. Kemudian pipinya yang bengkak diusap penuh berhati-hati.

“Ma, ayah ke yang buat semua ni pada mama? Tapi kenapa…” Bawah bibirnya digigit, bagi menghilangkan rasa sakit di hatinya.

Puan Marwah menggeleng perlahan.

“Bukan. Mama terjatuh dekat bilik air malam tadi,” nafi Puan Mawarh bersama renungan yang tajam. 

“Tapi ma…”

“Pergi…,” ucap wanita itu sepatah sebelum memalingkan mukanya ke tempat lain.

“Ma…”

“Kalau aku suruh pergi, kau pergi ajelah!” tengking Puan Marwah. Turun naik dada Puan Marwah menahan amarah. Mukanya turut berubah bengis. 

Myria yang masih dalam keadaan terkejut terus berlari masuk ke dalam biliknya. Punat pada tombol pintu dikunci lalu dia berlari ke balkoni bilik. 

Air mata yang mengalir di pipi diseka dengan ibu jari.

Sedaya-upaya Myria menahan diri dari menangis. Dia tidak mahu matanya kelihatan merah dan bengkak gara-gara terlalu ikutkan perasaan sedihnya.

Terasa seperti dirinya diperhatikan dari sebelah sana. Myria cepat-cepat mendongakkan kepalanya ke atas. Lalu bertentang mata dengan lelaki itu!

“Errr… Abang Nas.” Myria memaksa dirinya untuk mengukir senyum. Dia tidak mahu Nas mengesyaki apa-apa dan bertanya yang bukan-bukan ketika di sekolah nanti.

Dalam keadaan yang teragak-agak, dia mengangkat tangan lalu melambai-lambai ke arah lelaki itu dengan wajah yang sengaja diceriakan. 

Reaksi yang ditunjukkan Nas masih tetap sama. Sedikit pun tidak berubah. Pandangan matanya masih nampak tajam dan berbisa.

“Selamat pagi!” ujar Myria yang hanya dituturkan melalui gerakan mulut tanpa suara.

Nas sekadar menganggukkan kepala sebelum berlalu masuk ke dalam biliknya. 

Myria terus mencebik. Lenguh tangannya melambai, si cik abang di sebelah sana sekadar buat muka derk aje. 

“Lebih baik aku buat bodoh je tadi. Buat-buat tak nampak terus. Konon-kononnya abang Nas tu manusia halimunan!” gumam Myria tak puas hati. Sambil berlalu ke arah pintu, mulutnya tidak henti-henti membebel marahkan lelaki itu! 

“Eeei! Sakitnya hati kita!”

Sebaik sahaja Nas meletakkan beg sekolahnya di kerusi meja makan, dia terus berlalu ke dapur tanpa menyapa Puan Rona seperti selalu.

Dia kembali semula ke meja makan sambil membawa plastik kosong di tangan.

“Kamu nak buat apa dengan plastik tu, Nas?” Berkerut-kerut dahi Puan Rona melihat tingkah laku Nas yang nampak ‘luar biasa’ pagi itu.

“Kamu nak bawa bekal ke sekolah ke? Hmmm… Jarang kamu nak bawa bekal sendiri ke sekolah. Nak makan waktu rehat ke? Kenapa tak suruh aje Mak Echal sediakan bekal untuk kamu?” Berdas-das pertanyaan yang keluar dari mulut wanita itu. Tengah mengunyah mi goreng pun masih sibuk nak bercakap juga. 

Nas menggeleng perlahan. 

“Bukan untuk Nas lah, mama. Tapi untuk… Errr… Myria.” Tiga keping roti yang bersalut coklat nutella di dalamnya kemudian dimasukkan ke dalam plastik putih. Disumbat-sumbat aje roti tersebut ke dalam plastik walaupun sudah tidak ada ruang lagi untuk diletakkan di dalam.

Puan Rona menggeleng perlahan melihat perangai anaknya yang pemalas tahap petala langit ke tujuh. Dah tahu tak muat. Ambillah plastik yang baru. Atau guna aje tuppaware yang berlambak dia simpan dekat kabinet dapur. Dia beli bukan untuk dibuat perhiasan. Tapi digunakan! Kalau bab Myria, Puan Rona memang tak berkira sangat… 

“Nak mama tolong ambilkan tuppaware dekat dapur ke?” Kedua-dua keningnya sibuk digerakkan ke atas dan ke bawah. Saja dia hendak mengusik Nas yang nampak kurang selesa dengan pertanyaannya itu.

“Tak payah. Myria tu bukannya orang lain. Kawan anak mama juga. Macamlah kawan anak mama tu tak biasa dengan perangai Nas.” Nas mengenyit mata pada Datin Rona sebelum melabuhkan duduk di atas kerusi.

“Okay…,” jawab Puan Rona sedikit meleret.


Setelah puas membelek beberapa buah buku baru di rak buku. Myria terus berlalu ke kaunter pinjaman. Hari ini hatinya benar-benar puas kerana dua buah buku yang ditunggu-tunggu dari penulis terkenal luar negara akhirnya berjaya dipinjam.

“Emmm… Pengawas perpustakaan belum sampai lagi ke? Mungkin masih awal lagi kut. Maklumlah, baru pukul 7.15… Untung pintu perpustakaan pak guard bangla tu dah tolong bukakan awal pagi lagi. Tak adalah aku kena tercongok dekat depan pintu macam patung cendana,” gumam Myria sambil melangkah ke papan kenyataan. Dia ingin melihat senarai nama pengawas yang bertugas pada hari ini selain daripada Cikgu Gayatri selaku guru ketua pengawas perpustakaan sekolah.

“Laura? Siapa Laura? Aku tak pernah tengok pun pelajar perempuan yang bernama Laura sebelum ni dekat mana-mana kelas?” 

Langkahnya kemudian dituju ke tepi tingkap perpustakaan sambil fikirannya sibuk memikirkan sesuatu. Langsir tingkap diselak separuh lalu pandangannya dibuang ke luar tingkap. 

Mata kuyu Myria mula terjegil besar apabila menyedari ada gelanggang bola jaring telah dibina di belakang sekolah. 

“Eh, itu abang Alex lah. Dia tengah main dengan siapa tu?” Matanya bulatnya disepetkan semula untuk melihat wajah figura yang berdiri di hadapan Alex Kim.

Spontan, Myria menarik muncung sedepa.

“Abang Nas pun sibuk nak main dengan abang Alex juga. Emmm… Patutlah pagi-pagi lagi abang Nas dah keluar rumah. Baru nak pergi ke sekolah sama-sama.”

“Oh, ya.” Myria tersenyum nakal. Wajahnya perlahan-lahan didekatkan ke arah cermin tingkap lalu nafasnya dihembus sehingga membentuk wap nipis pada permukaan cermin tersebut. Diukir bentuk hati di mana di tengah imej tersebut kelihatan Alex Kim tengah sibuk melakukan dribble di tengah gelanggang.

Tawa halus mula terlepas keluar dari mulutnya. Kata orang cinta monyet sekadar angan-angan budak sekolah! Tapi cinta dia pada Alex Kim bukan sekadar angan-angan. Tapi satu realiti yang suatu hari nanti dia akan buktikan melalui perbuatan.

 Eh, perbuatan….? Muka Myria mula merona kemerahan. Apa benda yang dia tengah merepek ni?

“Ehemmm… Awak tengah tengok apa tu?” tegur suara itu sambil bercekak pinggang di belakangnya.

Pantas kepalanya menoleh ke belakang. Mukanya tak payah cakaplah. Terkejut habis!

Myria sempat menilik pelajar perempuan itu dari atas ke bawah. Okay, dialah Laura si baju biru cair yang dinanti-nantikan dirinya sejak dari 3 minit lepas.

“Saya nak pinjam beberapa buah buku yang baru sampai petang semalam. Tapi tak ada pengawas yang jaga dekat kaunter depan tadi,” adu Myria sambil tersenyum malu.

Pengawas perpustakaan yang memakai tanda nama Laura itu sekadar menganggukkan kepalanya sebelum berlalu ke meja kaunter.

Myria terus menyerahkan kad pelajar kepada Laura setelah diminta gadis itu. Kalau pengawas perpustakaan lain yang jaga. Mereka tak perlu minta. Memang serba-serbi tentang dirinya mereka dah tahu.

“Love is blind.” Laura menyebut salah satu dari tajuk buku yang dipinjam Myria dengan nada yang sinis. Kemudian wajahnya diangkat lalu memandang tepat ke anak mata Myria.

“Excuse me?”

“Kau tahu kenapa cinta itu buta?” soal gadis itu penuh sarkastik. Tangannya lincah memasukkan judul buku dan nombor ISBN yang dipinjam Myria ke dalam komputer setelah menulis nama gadis itu di dalam kad pinjaman.

Myria tidak membalas. Mengangguk tidak apatah lagi menggeleng.

Smirk.

“Nah. Dia siap. Jangan lupa pulangkan buku ni pada tarikh sekian.” Buku bertajuk ‘He’s The One’ kemudian diletakkan bertindan di atas buku satu lagi.

“Ini jawapannya.”

“Apa maksud awak? Saya kurang fahamlah.” Tangan Myria laju mencapai buku-buku di hadapannya lalu dimasukkan ke dalam beg sandangnya.

“Dia satu-satunya untuk aku. Dan aku nak kau jauhkan diri dari dia,” tegas Laura sedikit kasar.

Myria yang masih tidak mampu menangkap lelaki mana yang dimaksudkan oleh Laura terus berlari keluar dari bilik perpustakaan. Pelajar perempuan itu… Aura yang dimilikinya terlalu menakutkan!

‘Pap! Pap!’ Bunyi seseorang bertepuk tangan jelas kedengaran menyapa gegendang telinga gadis itu. Tidak lama kemudian, muncul seorang pelajar lelaki yang berpakaian lengkap baju sukan sekolah muncul di sebalik barisan rak.

“Kau dah kenapa?” marah Laura dengan nada suara yang ditahan-tahan.

Pelajar lelaki itu tergelak kecil. Punggungnya disandarkan pada tepi meja yang berhadapan dengan kaunter perpustakaan.

“Tak ada apa. Saja nak tepuk tangan. Takkan tak boleh? Tapi, seriuslah. Perempuan memang menakutkan lebih-lebih lagi kalau melibatkan crush masing-masing. Tersuka pula dengan orang yang sama.” Lelaki itu tergelak sinis sebelum terdiam apabila hujung mata pisau yang dibaling Laura hampir mengenai wajahnya.

Pipi yang berdarah kerana terkena goresan pada tepi pisau diseka dengan ibu jari.

“Jangan nak jadi penyibuk, Ri…”

“Dekat sekolah jangan panggil nama sebenar aku, Laura Isabel!” tegas pelajar lelaki itu sebelum berlalu ke pintu keluar. 

Bibir Laura terjungkit sedikit ke atas. Tahu marah rupanya…

Laura bangun dari kerusinya lalu berlalu ke arah dinding di sebelah kanannya. Pisau yang terpacak pada tepi rak dicabut dengan kasar. Darah pelajar lelaki itu yang melekat di tepi pisau dijilat dengan penuh rakus. 

Siapa dia yang sebenarnya? Dia hanyalah seorang gadis psycho yang begitu dahagakan cinta seorang lelaki…






Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Suhailah Selamat