Home Novel Cinta Dear First Love
Dear First Love
Suhailah Selamat
7/2/2020 23:36:57
30,446
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Senarai Bab
Bab 4

“Hai, lambat balik?”

Belum sempat Nas menolak pintu pagar rumahnya. Dia telah disapa oleh anak jiran depan rumah. Siapa lagi kalau bukan Myria Ayunina.

“Emmm… Macam biasalah. Pagi ada kelas. Tengah hari ada meeting pengawas. Petang pula ada latihan bola jaring. Waktu malam baru dapat rehat.” Nas buat-buat muka seposen. Baju tshirt sekolah yang dipakainya dikibas-kibas ke muka walaupun baju itu sudah lencun dengan peluhnya sendiri.

Myria terus buat aksi ingin termuntah. 

Euwww! Pengotornya dia! 

Myria bercekak pinggang di hadapan Nas sambil tarik muka masam.

“Dah kenapa kau buat muka macam tu? Ingat lawa sangat ke?” 

“Abang tu. Sejak akhir-akhir ni sibuk sangat dengan aktiviti sekolah. Nak keluar dengan Myria pun tak sempat. Selalunya waktu petang abang teman Myria jalan-jalan dekat taman.”

“Alolo, comelnya bila budak manja sorang ni merajuk.” Nas turut membuat muncung itik persis sama macam mulut Myria. Tangannya ingin menarik muncung gadis itu namun segera ditepis oleh Myria.

“Jangan sentuh!” marah Myria sambil berundur dua langkah ke belakang.

“Hei, janganlah marah-marah. Abang teman Myria ke taman, ya. Tapi sekejap aje tau.” Nas mengangkat kedua-dua tangannya ke atas tanda meminta maaf.

“Sekejap? Lebih baik abang tak payah teman Myria langsung!” protes Myria masih tidak puas hati.

Nas mengeluh perlahan. Rambutnya yang sedikit kusut dibetulkan dengan jari.  

“Okay. Satu jam 30 minit. Amacam?” Malas nak bertekak lagi. Akhirnya Nas mengalah. Tak pasal-pasal nanti merajuk pula si Myria ni. Dah bertambah kerja dia nanti. Nas bukannya boleh tengok Myria merajuk. 

Sekeras-keras Nas. Bila melibatkan Myria. Hatinya akan menjadi lembut jua.

“Okay.”

“Tunggu sekejap.” Baru sahaja dia ingin menolak pintu pagar besi itu. Sekali lagi Myria menjerit memanggil namanya.

“Abang nak pergi mana tu?”

Nas menoleh ke belakang dengan kening yang terangkat ke atas. 

“Nak tukar baju. Mandi dulu. Makan…” Nada suaranya sengaja dileretkan.

“Tak payah mandi! Abang mandi pun dah ambil masa setengah jam. Kalah orang perempuan. Lagipun, bukannya ada orang tahu abang tak mandi. Myria bagi abang kebenaran untuk tukar baju dulu.”

“Makan?” Nas buat-buat muka kasihan.

“Alah, makan roti inti Nutella cukuplah. Sekadar alas perut. Balik nanti abang makanlah puas-puas. Dah, cepatlah, bang!” gesa Myria.

“Amboi, kalau bab memaksa orang. Dialah juaranya!” perli Nas sebelum berdesup lari ke dalam rumah.

Tasik buatan manusia yang terletak tidak jauh dari taman perumahan elit menjadi pilihan Myria. 

Nas memilih untuk berehat di bawah pokok kemboja dengan berbantalkan beg gitar kesayangannya. Tidak sampai satu minit, dia sudah pun terlelap tanpa disedari Myria. 

Celoteh Myria di sebelahnya langsung tidak diendahkan. Tidur lagi bagus!

Myria yang duduk dalam keadaan berlunjur kaki di sebelah lelaki itu terus mencebik. Patutlah dia rasa macam tengah cakap sorang-sorang. Nas tengah sedap tidur rupanya. 

“Abang Nas tak payah ikut pun tak apa tadi. Dia yang beria-ria nak mainkan lagu Celine Dion untuk aku dengan Nun’s kesayangan abang Nas tu. Aku rasa macam tengah duduk dekat sebelah tunggul kayu,” ngomel Myria sebelum dia bangun dari duduknya.

“Baru nak tanya kenapa abang Nas namakan gitar kesayangan dia tu Nun’s. Emmm… Mungkin ke N tu untuk Nas. UN tu pula singkatan untuk Ayunina?” Muka Myria mula merona merah.

“Eh, apa yang aku merepek ni. Makan ais krim lagi bagus!” Seluarnya yang melekat dengan rumput hijau dan debu hitam di bahagian punggung ditepuk-tepuk sehingga jatuh mengenai wajah Nas. 

Myria sudah tergelak jahat dalam hati. Padan muka! Satu jam tiga puluh minit konon. Tak sampai 1 minit Nas baring. Lelaki itu dah selamat terbang ke alam mimpi!


Dalam banyak-banyak jenis ais krim. Ais krim perisa coklat menjadi pilihan Myria. Selalunya pak cik penjual ais krim yang selalu datang ke taman perumahannya akan datang ke tasik ini pada hujung minggu sahaja. Tetapi tidak hari ini.

“Bertuahnya saya, pak cik.” Myria tersenyum gembira.

“Eh, kenapa pula? Sebab hari ni dapat makan ais krim pak cik?” Lelaki berkumis tebal itu tersenyum tipis. Matanya tidak berkedip merenung wajah polis gadis di depannya ini. Suka betul dapat makan ais krim. 

“Yalah. Walaupun hari ni cuaca nampak redup aje. Tapi hati saya pula yang rasa panas membahang. Ni kalau terkena Nas ni. Habis rentung kulit dia kena bakar!”

“Nas? Dia teman lelaki adik ke?” Pak cik itu tersenyum penuh makna.

Mata Myria mula membuntang.

“Eh, taklah, pak cik. Dia… Dia bukan teman lelaki saya! Apalah pak cik ni.” Separuh menjerit Myria membalas. Myria menyeluk duit dalam poket seluarnya lalu dihulur ke arah pak cik tersebut.

“Nah, ini duitnya pak cik.” 

“Hari ni hari wanita sedunia. Jadi, kamu tak payah bayar. Pak cik belanja.”

“Wah, betul ke, pak cik. Terima kasih, ya. Eh, tapi tak apa ke?”

Pak cik itu mengangguk sekali. Mukanya nampak bersungguh betul.

“Tak apa, Myria. Pak cik ikhlas nak sedekah ais krim sebatang ni dekat kamu.”

Wajah ceria Myria mula bertukar curiga. Dia berundur ke belakang seraya menjauhkan diri dari motor pak cik penjual ais krim itu.

“Macam mana pak cik tahu nama saya? Tadi saya tak ada bagi tahu nama saya pun.”

Pak cik berkumis tebal itu tersenyum sinis. Dia membongkok sedikit ke hadapan untuk mencapai ais krim pelangi jenama Paddle Pop di dalam tong ais krim.

“Nah, ini untuk kawan kamu yang seorang lagi. Dia mesti tengah panik bila kamu tiba-tiba hilang macam tu aje.” Dihulur ais krim di tangannya ke arah Myria. Senyuman pak cik itu sudah bertukar sinis.

“Errr…. Tak apalah, pak cik. Terima kasih sebab belanja saya ais krim ni. Saya pergi dulu.”

Tanpa menunggu lama, Myria terus berpaling dan berlari sekuat hati menuju ke kawasan tengah tasik. 

Setelah kelibat Myria semakin menjauh darinya. Pak cik penjual ais krim atau identitinya sebenarnya Chief mula berpaling ke arah sisi. Memandang ke arah satu susuk tubuh yang sedang terbaring di celah semak dalam keadaan tidak sedarkan diri. 

Sambil menanggalkan rambut palsu dan jambang palsunya. Chief melangkah mendekati pak cik tua itu. Dia duduk mencangkung di sebelah lelaki itu seraya tertawa kecil.

“Sorry, pak cik.” Sampul surat panjang diletakkan di atas perut pak cik itu.

“Ini bayaran untuk ais krim Myria. Saya bayar double. Termasuk saya punya. Tambah lagi RM 1.00.” Duit kertas bernilai RM 1.00 kemudian diletakkan di atas sampul surat itu.

“Saya minta diri dulu.” Plastik ais krim perisa oren ditanggalkan lalu dicampak ke tepi. Sambil menjamah ais krim tersebut, matanya tidak henti-henti memandang ke satu arah. Mungkin sekarang ni Laura tengah ‘berseronok’ dengan pesaing cinta dia?

“Aku harap kau selamat, Myria,” ujar lelaki itu sambil tertawa perlahan.

Naughty smile.

“Aduh!” Myria terjerit kecil apabila tanpa sengaja bahunya berlanggar dengan seseorang di depan. Siapa suruh lari sambil pejam mata. Kan dah kena!

“Maafkan saya,” tutur Myria tanpa memandang ke arah gerangan yang dilanggarnya.

Perempuan yang memakai topeng muka itu membalas dengan jelingan yang tajam.

“Kau…” 

“Apa dia?” Myria mengangkat wajah dan membalas renungan perempuan itu bersama raut wajah yang gelisah.

“Myria!” Myria pantas menoleh sebaik saja terdengar suara Nas memanggil namanya.

“Apa yang kau ada sampaikan semua orang terlalu ambil berat pasal diri kau? Sayangkan kau… Sentiasa risau kalau ada terjadi perkara buruk pada kau… Kenapa bukan aku yang dapat semua tu! Kenapa bukan aku?!” tengking perempuan itu dengan kuat. Tangannya diangkat dan dia cuba menyentuh kepala Myria.

Myria terkedu.

“Saya… Saya minta maaf.” Ais krim coklat di tangannya terus terlepas dari pegangan lalu jatuh ke atas rumput hijau.

Dia berundur ke belakang sambil matanya tidak lepas-lepas dari memandang perempuan berambut panjang itu.

“Alex aku punya!”

“Abang Alex?” Berkerut-kerut dahi gadis itu mendengar nama yang meniti keluar dari bibir perempuan itu.

“Tak ada sesiapa yang boleh memiliki dia… Kecuali aku!” Dengan hanya menggunakan sebelah tangan. Perempuan itu menolak dahi Myria sehingga memaksa gadis itu mengundurkan langkahnya jauh ke belakang.

“Argh!”

Kedebus!

Myria tergelincir jatuh ke dalam tasik. Mujurlah dia jatuh di kawasan yang tidak terlalu dalam. Tempat itu paling cetek dan sangat sesuai untuk seseorang yang tidak pandai berenang seperti dirinya.

“Myria!” teriak Nas sehingga mengundang perhatian pengunjung lain yang duduk berdekatan di situ. Tanpa berfikir panjang. Nas terus terjun ke dalam tasik. 

“Eh?” Lelaki itu kelihatan terpinga-pinga sambil kepalanya sibuk memandang ke bawah.

Tawa yang ditahan-tahan akhirnya pecah jua. 

“Abang Nas ni kelakarlah,” ujar Myria bersama sisa tawanya. Dia ketawa berdekah-dekah sampai berair matanya.

Merah padam muka Nas menahan malu. Macam manalah dia boleh terlupa yang bahagian tepi tasik ini dibuat dengan kedalaman yang budak kecik pun tak akan lemas! Betullah seperti yang diperkatakan oleh Puan Rona. Setiap kali ia melibatkan Myria. Cepat sahaja dia masuk ke mood protektifnya.

“Diam!” Dia memercikkan air sungai ke arah Myria. Geram bercampur malu punya pasal.

“Ha, amek kau!”

“Abang Nas!” 

Jeritan Myria tidak diendahkan. Malah, Nas semakin galak memercikkan air tasik tersebut ke arah Myria.

“Abang, sekejap!” Myria memberi isyarat tangan seraya membuang pandangan ke tepi tasik.

“Kau tengah cari siapa?”

“Tadi saya ada terlanggar seorang perempuan. Tapi entah mana dia dah pergi.”

Nas terjeda seketika.

“Tak payah sibuk cari perempuan tu. Biarkan dia pergi,” tegas Nas sebelum naik ke atas tebing tasik.

“Jom.” Tangannya kemudian dihulur ke arah Myria.

“Terima kasih.” Myria terus menyambut huluran lelaki itu. Ketika kaki sebelahnya mencecah ke tepi tasik. Dengan sekuat tenaga, dia menarik Nas sehingga terjatuh ke dalam tasik semula. Dengan dia sekali tersungkur ke dalam air.

Nas berdiri tegak sambil meraup wajahnya dengan kasar.

“Myria!”

“Uwerk!” Lidahnya dijelir ke arah Nas. Padan muka dia!

Perempuan yang memakai topeng putih itu mengetap bibirnya dengan kuat sebelum berlalu meninggalkan tempat persembunyiannya di balik pokok kemboja.

“Jangan ganggu dia!” 

Langkah perempuan itu mati serta-merta. Kepalanya yang menunduk ke bawah segera diangkat ke atas.

“Kau!” Pandangan matanya memancarkan cahaya kemarahan sebaik sahaja bertentang mata dengan gadis itu.

Namun Mikaya sedikitpun tidak gentar dengan pandangan itu.

“Jangan ganggu Myria,” ulang Mikaya sekali lagi.

“Or else?” Kata-kata balasan perempuan itu seakan-akan mencabar Mikaya.

“Aku tahu siapa kau yang sebenarnya… Laura Isabel….” Mikaya tersenyum sinis. Dia kemudian lalu di sebelah Laura yang kelihatan tergamam memandangnya. Mikaya sengaja melanggar bahu Laura sebelum menghilangkan diri di celah pengunjung lain.

Tidak lama kemudian, bahu Laura kelihatan terhinjut-hinjut melepaskan tawa sinisnya. Topeng mukanya ditarik dengan kasar sebelum dicampak ke tepi.

“Kau belum kenal lagi siapa aku, Mikaya….,” ujarnya perlahan sebelum berlalu meninggalkan tempat itu. Hatinya sebal mendengar sayup-sayup gelak tawa Myria dan Nas dari arah tasik di sebelah sana.


P/s : novel ini diterbitkan di bawah Fajar Pakeer. Boleh beli di shopee Fajar Pakeer atau wasap saje Fajar Pakeer 0128006944. Juga terdapat di kedai2 buku.😁


Previous: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.