Home Cerpen Thriller/Aksi Happy Annivassary Papa!!
Happy Annivassary Papa!!
Zhar Aruzi Hairi
5/8/2016 19:17:43
7,560
Kategori: Cerpen
Genre: Thriller/Aksi

Happy Annivassary Papa!

Oleh : Zhar Aruzi Hairi

Bunyi tapak kaki menaiki tangga kedengaran semakin dekat. Rezmy sengaja merenggangkan sedikit daun pintu untuk mendengar. Semakin-lama semakin dekat bunyi itu dengan biliknya, jelas sekali bunyi tapak kaki yang berjalan terhoyong hayang, sebelum menghilang dengan dentuman pintu di bilik sebelah.

"Pulang juga Papa malam ni" ulasnya di dalam hati. Kiri dan kanan bibirnya tergerak sedikit ke atas seakan tersenyum.

Cecair berwarna kuning cair dari botol silinder lutsinar perang dituang ke dalam bekas kecil sehingga penuh. Ditutup dengan penuh berhati-hati. Kemudiannya disimpan di dalam poket hadapan seluarnya.

"Mana betina ni?" Suara Tuan Shahadan bergema dari dalam bilik. Kuat dan garau. Sesuai sangat dengan sifat panas barannya. Gema suara jelas kedengaran sebab Tuan Shadan melaung dekat dengan pintu. Diikuti dengan sumpah seranah dan makian berbaur lucah. Sesekali berdecit bunyi sendawa orang yang kemabukan.

Laungan kemudiannya disusuli dengan bunyi kaca dijatuhkan. Berderap bunyi botol dan pinggan menghentam lantai. Bingit seketika sebelum terus sunyi.

Bunyi bising tadi digantikan pula dengan alunan piano Moonlight Sonata olahan Beethoven. Nada muzik yang perlahan dan menenangkan. Juga membosankan. Tabiat Papanya sebelum tidur ini sudah serasi dalam rutin kehidupan Rezmy.

Rezmy menuang air kosong dari botol ke dalam gelas di tepi katil. Separuh penuh. Dia meneguk perlahan-lahan sambil merenung potret mamanya di dinding. Potret separuh badan seorang wanita yang anggun mengenakan kebaya berwarna keemasan, dengan corak seakan batik dengan warna kehijauan. Kesan solekan dan perhiasan diri pada lukisan wanita itu pun digambarkan dengan begitu jelas dan hidup.

"Amy rindukan mama.... rindu sangat-sangat"

Cairan hangat dari kelopak mata Rezmy dibiarkan menitis lepas hingga ke dada. Kedua-dua tangannya dirapatkan diatas paha. Kepalanya dilangutkan betul-betul di bawah kipas. Seakan dia bertafakur seketika.

"Mama..maafkan Amy, Abang Li...Maafkan jugak Papa...kami tak tahu macammana nak doakan Mama..tak tahu cara nak hadiahkan pahala untuk Mama....Kami jahil, sejahil-jahil manusia.."

"Nama sahaja kami ni muslim, Ma, tapi hidup kami macam orang tak ada agama. Kami alpa dalam mencari panduan hidup….Itu sahaja perkara yang Mama tak sempat nak ajarkan Amy.. Kan" Rezmy meluahkan kesal.

"Tapi Amy janji...malam ni Amy nak betulkan Papa..sempena hari Annivasary Mama dan Papa ke 30 ini..sekejap jer lagi."

Tergesa-gesa Rezmy mengelap air mata sebaik mendengar jam di dinding berdetik 12 kali.



Berkerincing bunyi longgokan kunci dikeluarkan dari laci meja solek. Sempat juga Rezmy menata wajahnya di cermin. Jari telunjuknya mengalihkan sedikit rambutnya yang jatuh menutupi dahi.

"Hmmm...nampak ayu Amy malam ni..iras-iras Mama.." pujinya sendirian.

"Kena sarung songket faveret Mama ni..baru kena dengan majlis."

Rezmy membuka pintu almari pakaian. Betul-betul berhadapan dengan katilnya. Almari itu terletak lebih kurang dua hasta dari hujung katil. Jarak yang selesa untuk dia menukar baju dan menggayakan pakaian.

Diangkatnya satu persatu-persatu baju yang disangkut pada bidai tengah. Dibeleknya satu persatu dengan teliti. Rezmy memang teliti kalau memilih. Sebiji labuci yang hilang pun dia akan tahu.

Cahaya yang suram di dalam bilik mengganggu konsentrasi Rezmy. Apa tidaknya, banyak pakaian yang warnanya nampak seakan-sama. Terutama yang berwarna kuning dan putih. Tangannya menekan suis lampu tidur di tepi katil supaya lebih terang.

"Yang ni Mama paling sayang. Baju yang Mama pakai masa menang ratu kebaya dulu. Muat ke tidak lagi dengan Amy ni..." sungut Rezmy sambil tersenyum.


Sempat dia mengenang sewaktu Mamanya bercerita tentangnya pada masa-masa yang lalu. Cerita yang selalu diulang-ulang sehingga dia dapat menghafal setiap patah ayat yang akan dituturkan Mama. Tapi Rezmy tak pernah jemu.

Bila bercerita kisah kebaya itu, Mamanya akan tersenyum lebar. Sebab itu adalah satu-satunya saat paling romantis dalam hidup Mama. Saat yang dikenang Mama sehingga akhir hayatnya.

Sebaik diumumkan sebagai juara, Seorang pemuda berkumis nipis melutut dihadapan pentas dengan sebentuk cincin dan sejambak bunga. Juru acara majlis dan Tuan Pengerusi Kolej yang diminta menyampaikan hadiah sendiri terkejut dengan reaksi tersebut. Namun mereka tetap menunggu reaksi dari juara Ratu kebaya itu.

" Cik Noreya Suleiman..Sudikah awak jadi peneman hidup saya..sampai bila-bila." Ayat keramat Papa yang meruntun hati Mama. Dan Mama terus berlari ke bawah pentas dan memeluk Papa. Apabila cerita Mama sampai ke babak ini, air matanya akan mengalir. Sambil tersenyum. Lepas itu Mama akan peluk Rezmy kuat-kuat.

Rezmy meloloskan seluar yang dipakainya ke bawah. Diseretnya dengan kaki hingga ke bawah katil seluar yang mempunyai kesan darah itu. Sebelum itu dia mengeluarkan bekas bertutup tadi yang disimpan di dalam poket. Diletakkan dengan berhati-hati diatas meja.

T-shirt kelabu dengan tulisan “ARMY” berwarna hitam pula dilurutkan keatas. Kesan percikan darah pada pakaian itu masih kelihatan walaupun terkalih di bahagian dalam. Baju itu pun dicampak ke bawah katil.

Baju kebaya dan kain batik yang dihamparkan diatas katil direnung seketika.

“Amy rasa dekattt.. sangat dengan Mama”

Kain batik berwarna hitam keemasan dengan corak paku-pakis kehijauana itu disarungkan terlebih dahulu. Kemas sekali Rezmy membuat gulungan, seolah-olah sudah biasa membuatnya. Kemudiannya kebaya yang berbau sedikit hapak itu pula disarungkan. Butang-butang berwarna keemasan itu dikenakan satu persatu dan berhati-hati. Dia risau kalau-kalau baju itu koyak disebabkan usianya yang sudah menjangkau setengah abad.

Alunan muzik piano masih lagi berlarutan di bilik sebelah. Kali ini irama Rhapsody in blue pula dapat dikesan oleh telinga Rezmy. Namun dia masih belum habis berhias.

Sebuah kotak dikeluarkan dari bawah meja solek. Rambut bersanggul yang berketak-ketak itu dikeluarkan dengan berhati-hati. Disikatnya dahulu rambut-rambut yang terjulur keluar sebelum mengemasnya semula dengan penyepit hitam. Dengan berhati-hati juga dia menyarungkan rambut itu di kepala.

Amy mesti nampak anggun malam ni!!

Selepas berpusing-pusing sekali dua di hadapan cermin, Rezmy duduk menghadap cermin di meja solek. Kotak solek pusaka Mamanya diusap-usap dahulu sebelum dibuka.Dia mengimbas saat-saat dia dan Mamanya berkongsi alat solek. Ya !, Mamalah orang yang mula-mula memperkenalkannya dengan dunia solekan. Orang yang menata tangannya menghalusi seni mencantikkan wajah. Dan itulah titik permulaan hidupnya sebelum menjadi seorang yang digelar “Pak Andam”.

“Bersolek jangan lokek, Jangan pulak berlebih-lebih. Berhenti bila kita dah rasa cantik.” Pesan Mamanya yang masih dipegang hingga ke hari ini. Dia menghembus nafas panjang tanda setuju sangat dengan kenyataan Mamanya itu.

Mamanya tidak pernah sesekali menghalang dia berperawakan perempuan. Malahan, beberapa helai gaun dibelikan senyap-senyap oleh Mamanya semasa dia menginjak usia belasan tahun. Bila Papanya keluar outstation beberapa hari, dia akan memakai pakaian tersebut dan bersolek. Kemudian dia dan Mama akan sama-sama keluar bershopping. Mama Amy memang owesome!!!.

Kotak solek dibuka dengan tertib. Kesan-kesan berus dengan bahagian kosmetik yang semakin menghakis betul-betul mengimbau kenangannya dengan Mama tersayang. Diambilnya span untuk menyapu bedak yang paling sesuai dengan warna kulitnya. Sebelum dilapiskan dengan warna kemerah-merahan. Jari telunjukknya mengais-ngais pipi bagi meratakan bedak. Dia tersenyum melihat cermin dengan solekan yang separuh siap.

Kemudian dia menata solekan di mata pula. Keningnya dilukis sempurna mengikut garisan kening. Sedikit pun tidak lari. Gerakan tangan Rezmy sangat halus dan berseni.

Atas kelopak matanya pula dikenakan warna biru yang sedikit suram. Biar orang yang bertentangan mata dengannya nanti gugup sedikit dengan cara solekannya. Gothik!

Sebaik menyentuh batang gincu, Rezmy tersengih sedikit. Menampakkan giginya yang rata memutih. Masih ada kesan giginya pada gincu itu. Masih diingatnya dengan jelas saat Mamanya mula memperkenalkan dia dengan alat kosmetik itu. Digigitnya hujung gincu itu kerana menyangka ianya gula-gula. Saat itu juga dia mendengar tawa Mama yang sungguh-sungguh, hingga mengalirkan air mata dibuatnya.

Calitan gincu di bibirnya dilakukan lebih cepat. Dikemamnya bibir sebelum kesan coretan di luar garis bibir dihilangkan dengan tisu. Warna merah darah memang menjadi pilihan dia dan Mama.

Rezmy menegakkan sedikit badan di hadapan cermin. Dikeraskan tubuhnya seketika sebelum dia menoleh ke kiri dan kanan. Matanya tidak lari dari memandang cermin. Inilah masanya dia mengamati kesan solekan yang dibuatnya tadi. Apa apa kecacatan yang dapat dikesan akan dibetulkan dengan segera.

Setelah selesai bersolek, Rezmy berdiri penuh kepuasan. Terasa sangat yang dirinya cantik. Kalau tidak masakan ramai jantan-jantan di kelab yang tergila-gilakan dia. Sampai ada yang sanggup bertikam bunuh kerana mahu berebutkan kasihnya.

Amy Suleiman,nama yang dipakainya semasa bersosial di kelab. Digabungkan namanya dan nama Nendanya. Kalau memakai nama Papanya, dia takut ketara sangat yang dia anak kepada Datuk Seri Kolonel (B) Shahadan Bustaman !!!

Tangan Rezmy mencapai gugusan kunci dan bekas kecil tadi. Bersopan betul dia melangkah dengan lengok seolah-olah seorang peragawati yang sedang beraksi di atas pentas. Alunan piano Fantaisi inpromptu, Choplin yang didengarinya semakin lama semakin kuat.

Langkah Rezmy terhenti di hadapan bilik Tuan Shahadan. Dia menggenggam tombol pintu dan cuba memusingkannya ke kiri dan kanan. Walau sekuat mana dia memulas, tombol itu tetap tidak bergerak. Bilik Papa berkunci. Jiwa military Papa tidak pernah alpa, walaupun dalam keadaan mabuk!!!!

Kali ini Rezmy menyuakan salah satu anak kunci di lubang pada tombol pintu. Awal-awal lagi dia sudah membaca langkah Papanya itu. Berkalih beberapa anak kunci sebelum dia bertemu dengan kunci yang sepadan. Dipusingnya tombol sebelum membuka pintu dengan perlahan-lahan. Alunan piano yang kedengaran tadi menyambutnya dengan nada yang lebih keras.

Kaca-kaca pinggan dan botol berselerakan di dalam bilik. Rezmy melangkah dengan penuh berhati-hati. Cahaya lampu yang terpasang kesemuanya membolehkan dia melihat persekitaran bilik dengan jelas. Hampir kesemua cenderamata yang diletakkan diatas meja hiasan berhampiran pintu dijatuhkan oleh Papa. Majoritinya adalah cederamata yang diterima Papa semasa bertugas di dalam tentera. Habis bertaburan kesemuanya, sebagaimana hancurnya kasih Papa terhadap Mama sebelum ini.

Tuan Shahadan terbaring dengan mendepakan tangan ke atas dan berdengkur. Perutnya yang membuncit dengan dada berbulu jelas kelihatan apabila baju lengan pendek yang dipakainya tidak lagi berbutang. Turun naik dadanya dengan nafas dengkuran, dan alunan irama piano melahirkan satu komposisi muzik yang unik.

Kunci di tangannya diletakkan diatas meja. Bekas kecil yang dibawanya diletakkan bersebelahan. Mata Rezmy melilau mencari tuala milik penghuni bilik itu.

Tuala yang disidai di tepi dinding dicapai. Bekas kecil yang diletakkan tadi turut diambil. Pergerakkannya kali ini penuh berhati-hati. Mujurlah alunan bunyi piano yang kuat itu menutup ruang untuk bunyi-bunyi lain kedengaran. Dengan hati-hati juga Rezmy melabuhkan punggung di tepi Papanya yang sedang nyenyak. Bau busuk nafas Papa menyingga kerana bergumpal dengan air kencing syaitan yang diteguknya . Sesekali dia menahan nafas sebelum berpaling ke belakang untuk bernafas semula.

Bekas yang dibawanya tadi dibuka. Bau klorofom menyengat masuk ke pangkal hidungnya. Ditambah dengan bau busuk mulut Papa. Rezmy cuba menahan nafas lebih lama.

Bekas dengan cairan klorofom itu ditekapkan dengan tuala sebelum ditungging keatas. Semua cairan yang ada kini membasahi tuala. Bekas itu diletakkan semula diatas katil. Perlahan-lahan tuala itu dibawa ke muka Tuan Shahadan!

Pap!

Muka tuan Shahadan ditekup dengan tuala tadi serapat mungkin. Dia yang nyenyak tadi menggelepar seketika dan terjaga. Sepantas itu juga aroma klorofom menerobos ke pangkal hidung dan mulutnya, sebelum dia terkulai nyenyak semula. Rezmy tersenyum kerana langkah pertamanya membuahkan hasil.

Sebelum ke langkah seterusnya, Remy sempat meraba di bawah bantal Papanya. Pistol Glock 32 semi-automatik buatan tahun 1998 dikeluarkan dan diletak di atas meja. Papa tidak pernah alpa akan keselamatan diri. Kalau dia lambat bertindak semasa Papanya sedar tadi, pasti sebutir peluru hidup akan menembusi kepalanya.

“Rasanya inilah pertama kali kita serapat ini Papa. Amy nak buat father and son bonding yang paling istimewa.” Bisik Rezmy ke telinga Tuan Shahadan.

Mula-mula dibetulkan kedudukan kepala Papanya diatas katil. Diletakkanya bantal dibawah kepala supaya lebih tinggi dan selesa. Baju dan singlet yang tersarung di badan Papanya turut ditanggalkan. Tuan Shahadan kini separuh bogel dengan badannya yang berbulu dada lebat terlentang diatas katil.

“Snap!” sekeping gambar tubuh papanya itu diambil dan disimpan di dalam telefon milik Papanya sendiri. Dia merapatkan pipinya ke pipi Papanya yang bermisai dan berjambang itu sebelum berselfie.

#saatindahdgnPapa

Leka seketika Rezmy sebaik dirinya bersentuhan dengan tubuh Papanya. Tidak pernah dia sedekat itu dengan orang yang memelihara dan membesarkan dirinya itu. Diusapnya tangan sasa itu sebelum dicium. Lagaknya seolah seorang anak yang sedang bersalam dengan Papanya.

Sebelum ini memang Tuan Shahadan mengharamkan anaknya itu menyentuh tangannya. Anaknya yang kedua itu diketegorikannya sebagai bapuk, lembik dan memalukan. Tambahan pula dia pernah terserempak dengan Rezmy yang berpakaian perempuan di kelab. Terus diistiharkan yang Rezmy itu bukan darah dagingnya.

Kalau diikutkan hati Tuan Shahadan, sudah lama dia menghalau Rezmy dari rumah agamnya. Kalau tidak ada arwah isterinya yang menghalang, anaknya sudah tentu menjadi gelandangan sekarang. Atas belas ehsan dan janji pada arwah isterinya itu, dia masih menerima Rezmy seadanya. Namun,dia tidak sesekali bersetuju untuk duduk bersama-sama berbual mesra seperti anak dan bapa yang lain.

Roman muka papanya memang menarik. Mamanya sendiri mengakui yang Papa sememangnya sangat kacak semasa muda. Cuma sekarang,setelah dimamah usia,dia mula menyimpan misai dan jambang. Dan kini dia kelihatan garang dan bengis denga wajah itu.

Rezmy ke bilik air sebentar sebelum kembali dengan seberkas air dan sebilah pisau cukur. Kepala Papanya diangkat seketika dan diletakkan tuala di bahagian belakang. Dilurutkan dengan air rambut papanya hingga kelihatan seperti disikat ke belakang.

Bunyi muzik piano yang dimainkan dari set radio di bilik Papa diperlahankan. Rezmy mulai merapatkan pisau cukur di pipi Papanya. Ditariknya sehingga rambut-rambut pada misai Papanya jatuh keatas kain tuala. Terserlahlah rona kulit yang lebih cerah di sebalik rimbunan misai itu.

Seterusnya, gerak pisau cukurnya terarah ke jambang Papanya pula. Ditarahnya jambang yang tidak berjaga itu sehingga licin. Ada kesan-kesan luka kecil di atas bibir dan dagu yang mengeluarkan darah. Rezmy hanya membiarkannya berhenti sendiri.

Wajah Tuan Sahadan kelihatan jauh lebih muda dari usianya.

Snap! Sekeping lagi gambar diambil untuk tatapan di telefon bimbit Papanya.

Setelah selesai mengelap dan membersihkan wajah Papanya, Rezmy keluar sebentar dari bilik. Kemudian dia kembali dengan sepasang pakaian wanita, rambut palsu dan kotak mekap milik mamanya.

“Hari ni Amy nak buat kita sama-sama cantik Papa. Amy nak Papa rasa apa yang Amy rasa selama ini” Bisik Rezmy lagi. walaupun dia tahu Papanya tidak mungkin mendengar.

Seluar yang masih terpakai pada Tuan Shahadan dilondehkan. Hanya seluar dalamnya sahaja yang tidak diusik. Rezmy mula menyarungkan kain batik yang dibawanya ke tubuh Papanya. Kain batik yang dahulunya kepunyaan Mamanya dipakaikan sekadar yang muat. Tubuh Tuan Shahadan yang sedikit gempal itu kelihatan lucu dengan dipakaikan kain batik itu. Ia kelihatan sekadar untuk menutup bahagian bawah badannya sahaja. Kalau berjalan sekalipun,pasti akan terlondeh kerana ikatan kain itu tidak dapat dibuat dengan sempurna.

Selepas itu, Rezmy bersusah payah pula memakaikan Papanya baju kurung peninggalan Mamanya. Baju yang khusus dipakai oleh Mamanya saat mengandungkan dia dan abangnya. Hanya baju itulah sahaja yang difikirkan sesuai dengan tubuh Papanya yang mempunyai perut yang semakin membuncit.

Setelah beberapa ketika bertungkus lumus mengangkat dan memakaikan baju, akhirnya Tuan Shahadan lengkap berpakaian wanita. Rezmy sendiri termengah-mengah menarik nafas.

Bahagian yang paling disukainya baru bermula. Menyolek wajah Papanya sehingga jelita!

Asas solekan untuk Papanya pun dimulakan dengan bedak asas, ditambah pemerah pipi dan diratakan kesemuanya hingga serasi. Kepala Tuan Shahadan yang terkulai seolah-olah merelakan sahaja diperakukan sedemikian rupa. Sesekali tergerak juga kepala itu mengereng ke kanan dan kiri akibat ditonyoh-tonyoh dengan span bedak.

Selepas itu di memperelokan alis mata papanya dengan maskara. Memang tampak janggal sangat bila dikenakan dengan lelaki yang berbulu mata dan berkening tebal. Lucu dan kelihatan sedikit menakukan. Kemudian dikenakan pula gincu merah pekat ke bibir Papanya yang kehitaman. Bekas bibir yang sering dibakar rokok itu diwarnakan semula supaya naik semula serinya.

Rezmy bangun membetulkan kedutan pada baju kebayanya. Dia kembali menggayakan diri di hadapan cermin. Cuma kali ini dia tidak keseorangan. Papanya pun sudah siap disolek dan bersedia untuk bergaya. Hanya perlu dikenakan rambut palsu untuk melengkapkan penampilan baru Papanya itu.

Tangan Rezmy memeluk belakang Papanya sebelum dipapah ke sofa yang terletak di tengah bilik. Tuan Shahadan didudukan di situ dengan kepalanya melentuk diatas pelapik kepala sofa. Rezmy mengambil rambut palsu yang dibawanya tadi dan dikenakan di kepala Papanya. Tidak perlu disikat lagi kerana Rezmy sudah mendandan dengan kemas sebentar tadi.

Kini Tuan Shahadan kelihatan seperti seorang perempuan tua gemuk yang sedang tidur di sofa.

Snap! Satu lagi gambar diambil.

“Cantik juga bapuk tua ni!” puji Rezmy untuk menenangkan hati sendiri. Pelan yang dirancangnya sudah separuh dilaksanakan. Kini dia mencari tali untuk mengikat Papanya dari bergerak bila tersedar nanti.

“Mmmmmph…” tiada butir kata yang keluar dari mulut Tuan Shahadan sebaik sedarkan diri. Cahaya matahari menyinar dari luar menembusi hingga ke lantai bilik. Dia menjegilkan mata melihat anaknya sedang terbaring di katil berbaju kebaya.

Bila menoleh kepada dirinya, dia juga disarungkan dengan baju perempuan. Tuan Shahadan cuba untuk meloloskan badan dari ikatan sebelum anaknya sedar. Dia sendiri tidak dapat mengagak apa tindakan Rezmy yang seterusnya.

“Papa dah sedar rupanya” suara Rezmy yang menyapa secara tiba-tiba menyebabkan dia meremang bulu roma. Segala aksi-aksi yang cuba dilakukannya tadi untuk melepaskan diri segera dihentikan. Hatinya tiba-tiba dirundung rasa takut. Perasaan yang selama ini hanya dicetuskan oleh dirinya terhadap orang lain.

“Mmmpphhhh” Tuan Shahadan masih berusaha juga untuk bercakap.

“Sudahlah Papa, Tak guna bersusah payah. Masa untuk Papa bercakap sudah Amy tamatkan. Sekarang masa untuk Papa mendengar dan melihat sahaja” ujar Rezmy sambil menekan punat alat kawalan jauh TV.

Suara Mama menyanyikan lagu selamat ulang tahun mulai kedengan. Imej Mama yang berbaju sendat dan berskirt pendek jelas kelihatan di kaca televisyen. Sebaik habis menyanyi, Mama membawakan kek di hadapan kamera dengan aksi-aksi yang lebih daring. “Nor tunggu Abang atas katil……..”. Ayat yang tidak sempat dihabiskan kerana memori yang digunakan untuk merakam telah penuh. Serta merta Rezmy menekan butang Pause.

“Papa ada tengok tak rakaman dua tahun lepas ni. Mulanya Mama nak e-mailkan pada Papa yang masa tu ada di U.S. Tapi dia cancelkan tiba-tiba sebab tak sempat nak rakamkan kesemuanya. Niat Mama memang nak goda Papa semula supaya balik segera ke sini tau” Cerita Rezmy.

Tuan Shahadan terdiam seketika melihat rakaman tadi. Mindanya berputar bila terkenangkan detik tersebut. Dia bukannya berkursus di sana pun. Sebaliknya menghabiskan masa menemani Maria yang sedang menjalani penggambaran modeling di sana.

Setelah diam seketika, bergetap kembali bibir Tuan Shahadan menahan kemarahan kerana diperakukan sebegitu. Perutnya juga sudah mulai lapar. Bila disajikan pula dengan footage arwah isterinya tadi, dia sendiri menjadi tidak keruan. Rasa bersalah mulai menghantui dirinya.

Movie kita belum habis Papa. Ada yang lebih menarik lagi” Bisik Rezmy ke telinga Papanya. Butang Resume ditekan.

Bunyi orang berdengus seolah disembelih kedengaran di kaca televisyen. Imej lelaki yang terhoyong hayang berjalan keluar rumah sambil menekup kesan luka di leher kelihatan. Setelah beberapa ketika, lelaki itu rebah dan menggelupur. Kamera yang digunakan untuk merakam kemudiannya diletakkan di suatu sudut lain. Setentang dengan tubuh yang jatuh tadi.

Imej Rezmy yang memegang kapak keluar dari lensa kamera. Dia menunjukkan tanda Peace dengan jari telunjuk dan tengah yang dibasahi darah. Seterusnya dia mengangkat kapak dan menghayunkan ke tubuh lelaki itu berkali-kali. Suara ketawa Rezmy serentak dengan gerakan tubuh lelaki itu yang mengelitik kerana menahan kesakitan yang amat sangat. Seperti orang gila, Rezmy menghayun kapak ke serata tubuh lelaki malang itu.

Jari-jarinya putus berselerakan, kepalanya terbelah menampakkan otak, tulang-temulang dadanya terkeluar dari belahan kulit.. Jeritan lelaki itu bertukar menjadi lolongan panjang sebelum terdiam. Rezmy masih tidak puas dan terus menghentam hingga daging-daging mangsanya menjadi cebisan-cebisan kecil dan lunyai. Semuanya terakam di video dengan sempurna.

“Papa tahu siapa yang Rezmy kapakkan tu. Tu lah madu Papa. Yang baru nak balik selepas bersedap-sedap dengan Maria di bilik ini.”

“Amy tahu benda ni dari awal lagi. Kalau Amy sampaikan pada Papa belum tentu Papa percaya. Papa lebih percayakan lentuk tubuh Maria tu lagi kan.”

Tuan Shahadan menundukkan kepala. Dia tidak menyangkan yang anaknya boleh bertindak sekejam itu. Rezmy menekan butang Pause sekali lagi.

“Papa patut berterima kasih pada Amy. Amy dah bunuh jantan yang selalu datang menggongong Maria setiap kali Papa out station!!!!”

“MMmmphhhhhh” Tuan Shahadan masih berusaha untuk berkata sesuatu.

“Papa tahu, bila Amy start marah….. Amy mulai marahkan Papa bila Papa bawak balik Betina itu untuk dijadikan Bini, menggantikan Mama. Tidur di bilik Mama, pakai pakaian Mama dan berseronok dengan laki Mama..DEPAN MATA AMY!!!!!!!”

“Amy tak boleh terima benda tu. Apa-apa yang Papa buat di luar rumah, memang Amy tak ambil port. Tapi kalau dalam rumah ni, LANGKAH MAYAT AMY dulu” Rezmy menjegilkan mata kepada papanya.

Reaksi Tuan Shahdan mulai berubah. Tiada lagi reaksi meronta-ronta dan cubaan untuk melonggarkan tali yang mengikat tubuhnya. Dia hanya mengendurkan badan dan menarik nafas sedalam mungkin. Pasrah dengan apa yang mungkin berlaku.

“Papa mungkin tertanya-tanya di mana agaknya Bini kesayangan Papa tu?” Rezmy menyoal sambil menggayakan baju kebayanya. Dia berpusing ke kiri dan kanan sambil tersenyum mengejek. Dibiarkannya bapanya menunggu beberapa ketika sebelum dia menekan semula butang Resume.

Bunyi air di bilik mandi kedengaran disertakan dengan nyanyian-nyanyian pendek. Kamera itu dibawa menyusuri laluan ke bilik Maria hingga ke bilik air. Semakin lama semakin dekat dengan suara Maria menyanyi dan bunyi air yang mencurah.

“ Hey Hezry, you belum puas lagi ke?. I tahu you mesti datang balik. Jom mandi sama-sama dulu” suara Maria kedengaran dari tab mandian. Dia menyedari ada seseorang yang masuk ke dalam biliknya.

Kali ini kamera hanya diletakkan diatas sinki. Lensanya menghala ke arah siling. Tiada imej yang dirakam melainkan audio sahaja yang kedengaran. Suara Maria menjerit dan bunyi deburan air menjadi kemuncak kepada rakaman itu. Kemudiannya bunyi jasad diseret dan kamera itu menjadi gelap apabila dimasukkan ke dalam poket.

Butang pause ditekan lagi.”Masa ni Maria belum mati. Amy tekup hidung dan mulut dia dengan klorofom jer, macam yang papa kena.”

“Visual yang anda lihat ini bukan rekaan, tapi kenyataan semata-mata” Rezmy meniru suara juruhebah televisyen membaca berita sebelum terkekeh-kekeh. Dia menekan butang resume.

“Jom kita lihat pemandangan yang indah di sekitar pantai ini.” Imej Rezmy yang berlagak sebagai pengantara kelihatan di skrin TV. Kali ini dia merakamkan keindahan pantai yang entah dimana lokasinya.

“Tolong!..Tolonggggg…” suara orang melaung meminta tolong mulai kedengaran dari audio kamera.

“Suara siapakah itu…jeng..je….jeng” Rezmy menggayakan lagak suspen sebelum kamera dihalakan ke satu sudut menghadap ke pantai.

Maria yang tidak memakai seurat benangpun diikat dengan memeluk sebatang kayu. Lagaknya kelihatan seperti seekor kambing yang akan dimasak secara barbeku. Kayu itu diletakkan melintang diantara dua biji batu. Kayu-kayu siap terhimpun dan dilonggokkan ditengah-tengahnya. Maria mengalirkan air mata sambil menjerit-jerit meminta tolong. Rezmy hanya duduk menunggu.

Apabila matahari mulai tenggelam, panorama matahari jatuh memang tidak menjemukan mata. Maria sudah mulai longlai dari meminta tolong. Rezmy pula asyik merakam cahaya merah dan kuning di langit tatkala matahari sudah terbenam.

Show akan bermula sekarang” Jerit Rezmy sebelum meletakkan kamera diatas batu. Lensa betul-betul dihalakan ke arah Maria dan kawasan sekelilingnya.

Dia mulai menuangkan minyak ketas longgokan kayu tadi. Maria yang keletihan tadi tersedar semula dan menyambung jeritan. Mungkin dia terhidu kerosene yang dicurahkan Rezmy sebentar tadi. Maria mengharap sangat-sangat ada orang yang mendengar dan datang membantu.

Rezmy mulai menarikan tarian yang lemah gemalai mengelilingi longgokan kayu itu. Sesekali matanya menjeling ke arah kamera bagi memastikan setiap geraknya terakam. Semuanya berlangsung dengan pantas.

Tuan Shahadan yang melihat rakaman tersebut mulai tidak ketahuan. Dia dapat mengagak apa tindakan Rezmy yang seterusnya.

“Kerana dosa-dosa kau, di neraka nanti kau akan dibakar. Sekarang ini aku akan melatih kau sebelum ke sana” terkekeh-kekeh Rezmy ketawa.

Maria sempat lagi merayu-rayu dan bersumpah dunia dan akhirat tidak akan berlaku curang lagi. Dia sendiri tahu azabnya tubuh bila dibakar.

“Sudah..sudah, kalau kau ingat dengan kencing dan air mata kau itu dapat memadamkan api yang aku nyalakan nanti, kau buatlah. Kalau aku jadi kau..cepat-cepat aku mengucap” Ejek Rezmy sebelum menyalakan lighternya.

Sebaik menangkap api, longgokan kayu itu merimbun menjdi unggun api yang besar. Menggelitik tubuh Maria dijamah api sehingga menggelupas. Membakar setiap rerambut ditubuhnya terlebih dahulu. Maria menjerit-jerit dan terpekik terlolong menerima kepanasan api yang membahang.. Sehingga tidak kedengaran lagi suaranya. Najisnya turut meleleh keluar dari kedua-dua kemaluannya. Akhirnya dia tidak lagi bergerak.

Rezmy bersorak riang seperti orang gila. Berpusing-pusing sekeliling unggun api yang membakar Maria sehingga rentung. Tengkorak dan tulang-temulangnya mulai kelihatan sebaik daging-dagingnya yang rentung luluh satu persatu.

Ketika itu juga kelihatan imej Rezmy mengeluarkan organ-organ dan anggota tubuh Hezry yang dicincangnya siang tadi untuk dibakar di dalam api. Sambil itu dia bernyanyi-nyanyi riang.

Mata Tuan Shahadan dipejamkam sebaik melihat visual Maria menjerit kesakitan. Rasa sayangnya kepada isterinya itu masih berbekas. Jaluran air mata membasahi solekan mukanya. Dia menangis dalam ketakutan.

Video yang dipasang Rezmy akhirnya terhenti sendiri. Imej terakhir yang kelihatan adalah Rezmy yang sedang memijak-mijak kesan-kesan abu dan arang yang masih ada.

Happy annivassary Papa, Lupa Amy nak ucap awal-awal tadi” Rezmy bersuara, sedikit serak.

“Amy dah letih Papa, tidur pun tak cukup”

Papanya hanya mampu mengangguk. Itu pun sekadar melayan karenah Rezmy sebelum dia pula yang menjadi mangsa.

“Kesempatan yang ada ni, Amy ada lagi perkara yang nak dikongsikan dengan Papa” Kali ini Rezmy duduk di sofa bersebelahan bapanya.

“Ini hal Abang Li, anak kesayangan Papa yang menuruti jejak langkah Papa…... Mejar Azli bin Shahadan….Dia tu sebenarnya sama jijik dengan Amy sahaja Papa…sama…. Abang bukan seperti apa yang Papa sangkakan sebenarnya”

“MMMMphghhh” Papanya masih cuba menyoal dengan mulut tersumbat.

“Papa sebenarnya telah menanamkan semangat songsang dalam jiwa abang Li sejak awal-awal lagi... Sekolah semua lelaki, masuk askar, Tinggal dengan lelaki di tempat orang berbulan-bulan, Akhirnya jatuh cinta dengan lelaki juga” Rezmy tertawa selepas menghabiskan ayatnya.

“Kawan abang Li, Mazlan…Yang abah layan macam anak sendiri. Makan bersama abang Li, tidur bersama abang Li. Cuma yang Ayah tak sedar, dialah sebenarnya kekasih abang Li” mengekek lagi Rezmy.

“Mana ada pun perempuan yang bernama Linda dalam hidup abang Li. Gambar-gambar yang abah tengok di handphone abang Li tu semuanya gambar Amy. Cuma mata Papa sahaja yang buta. Mesej-mesej cinta yang abah baca dalam telefon dia tu pun bukannya dari Linda pun, Tapi dari Mazlan.. si jantan macho tu.…Baru Papa tahu geli kan…Ha..ha..”

Tuan Shahadan terdiam lagi. kali ini dia benar-benar terpukul. Satu-satunya anak lelaki yang diharapkan dapat menjaga maruah dirinya dan keluarga turut tidak berguna. Hatinya luluh kerana apa yang diusahakannya selama ini langsung tidak berhasil. Dia berasa bodoh. Sebodoh-bodohnya.

“Sekarang Papa dapat rasa apa yang Mama rasakan sebelum ini. Mama meninggal pun kerana memendam perasaan kerana kita semua. Kami berdua hancur pun di sebabkan Papa. Papa yang gagal mendidik kami menjadi lelaki sejati. Gagal mendidik kami menjadi seorang muslim. Papa gagal sebagai seorang ketua keluarga…” Luah Rezmy dalam tangisan.

“dan kerana itu Papa yang sepatutnya mati,… Bukannya Mama”

Sebaik bangun dari sofa, Rezmy pergi ke tepi katil mengambil pistol yang tersimpan di atas meja. Dia kemudiannya kembali semula menghadap Papanya.

Sofa yang bersebelahan tadi dialihkan supaya bertentangan dengan sofa Papanya.

Dia duduk bertentangan dengan Papanya dengan mata yang berlinangan air mata. Dirapatkan kaki sehingga kedua-dua lutut mereka bertemu.

“Ampunkan Amy Papa, sebab buat semua ni. Kalau Amy tengok sahaja, Papa takkan dapat berubah. Lebih elok sebenarnya kalau Papa sahaja yang mati” Rezmy bersuara dengan rasa syahdu. Dia yang tadinya garang, terus bertukar watak. Kesedihan yang tidak dapat ditahan-tahan kerana mengenangkan kasih sayang yang terbina di antara mereka sebelum mereka berpecah belah.

Tiba-tiba sahaja Pistol Glock ditangannya dihalakan tepat ke dahi Papanya.

“Papa memang patut mati, tapi Amy sangat-sangat rindukan Mama”

Bang!!!!

Letusan peluru itu menerjah lelangit Rezmy sebelum menyemburkan otaknya dari belakang. Dia terkulai diatas sofa dengan berlumuran darah.

Tuan Shahadan hanya dapat memerhati dengan jejeran air mata.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.