Home Cerpen Cinta Selamat Tengahari Cik HIV!
Selamat Tengahari Cik HIV!
Zhar Aruzi Hairi
15/4/2016 08:18:16
3,745
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Selamat Tengahari Cik HIV!

“ Kenapa senyum-senyum, kemudian gelak-gelak. Lepas tu pandang dekat saya” Amirul Hakim terkejut disergah sebegitu. Hafiz yang tadi gelak mengekek tiba-tiba terdiam. Matanya memandang ke bawah. Nampak sangat macam orang salah. Mereka berdua baru sahaja beberapa minit duduk di bangku perhentian bas itu. Pelajar perempuan berwajah pucat itu merenung kearah mereka berdua.

“Maaf, awak salah faham ni. Kami bukan gelakkan awak pun. Kenal pun tidak. Ada la perkara lain yang buat kami gelak” Amirul Hakim cuba menenangkan keadaan, sambil tersenyum kelat. Tangannya menarik-narik hujung baju Hafiz, meminta talian hayat untuk menjawab. ‘Bengap kawan aku ni, kena sound dengan perempuan pun masih senyap lagi!.

“Tadi, awak berdua pandang-pandang saya? Banyak kali pulak tu. Cakap yang bukan-bukan, lepas tu gelak-gelak” budak perempuan berwajah pucat tu mengulangi lagi. Dia masih lagi tak puas hati. Hatinya begitu terasa dengan setiap perkataan dan lagak dua orang “monyet” yang dari tadi memerlinya. Tambahan pula dia pun baru kena marah sebentar tadi di dewan kuliah.

Beberapa orang pelajar lain yang tiba di situ hanya memerhatikan sahaja.

“Kami tak buat apa pun. Gelak pun salah ke?” Hafiz bersuara membela diri. Mungkin malu apabila dilihat oleh pelajar-pelajar yang lain. Tambahan pulak ada pelajar perempuan yang dia suka pun ada di situ.

I warn you!” ugut pelajar perempuan berwajah pucat itu sebelum melangkah meninggalkan hentian bas itu. Dia melangkah ke bangunan Hal Ehwal Pelajar yang ada bersebelahan. Bas yang baru sampai lansung tak dihiraukan. Kelibatnya hilang disebalik gerombolan pelajar-pelajar yang baru keluar dari dewan kuliah.

Jilake, First time aku kena perempuan sound direct macam tu” Keluh Hafiz sebaik pelajar perempuan itu pergi. Amirul Hakim pun masih terpinga-pinga.

“kau tak rasa bersalah ke?” tanya Amirul Hakim kepada Hafiz. “ Memang terang-terang tadi kita mengata dia”

“Mayat hidup la..vampire la..Hantu Mak Limah la….Dia dengar la apa yang kita cakap tadi.”

“Kau ni pun. Jangan nak emosi sangat. Biasa la benda macam ni. Nama pun gurauan” Balas Hafiz. Rambutnya diusap ke belakang apabila perasan pelajar perempuan di bangku belakang memandang ke arah mereka.

“Muka dia memang nampak pucat kan. Dah la tak bertudung, mekap pun tak pakai. Aku rasa bukan kita sahaja yang perasan tau. Semua orang tahu. Mereka pun mengata senyap-senyap”


*************************************************************


Dua hari selepas itu.

“Tumpang tanya. Ada orang nak duduk tak kat tepi awak ni?”,tanya Amirul Hakim. Pelajar perempuan bermuka pucat itu hanya menggelengkan kepala.

”Boleh saya duduk?”,tanya Amirul Hakim lagi.

Pelajar perempuan bermuka pucat itu hanya menganggukkan kepalanya.

‘Ish..awek ni.. dah jadi bisu ke? Dari tadi lagi aku tanya tapi dia langsung tak jawap apa – apa…’, bisik hati kecil Amirul Hakim. Dia terus duduk di sebelah pelajar perempuan itu. Hanya mereka berdua yang berada di hentian bas itu.

Masih marah lagi kat aku agaknya..,getus Amirul Hakim.

“Ingat saya lagi tak” Soal Amirul Hakim memaksa diri berbual.

Pelajar perempuan pucat tu tetap mendiamkan diri.

“Aku hempuk budak ni kang. Hari tu garang sangat. Sekarang ni macam bisu pulak dah” ujar Amirul Hakim di dalam hati. Geram.

Matanya memerhatikan pelajar perempuan itu dari atas ke bawah. Mahu mencari respon. “Biar aku tenung budak ni atas bawah, sampai dia bercakap”. Amirul Hakim cuba memanafaatkan ilmu psikologinya yang tak seberapa.

Pervert” halus perkataan yang keluar dari mulut pucat itu.

Amirul Hakim terpukul dengan perkataan tersebut. Walaupun bukan perkataan carut, cukup untuk membuatkan dia bangun dan berhadapan dengan pelajar perempuan berwajah pucat itu.

“Ulang sekali lagi apa yang awak cakap tadi” keras sedikit suara Amirul Hakim. Dia masih mampu mengawal amarah. Kalau ramai orang yang ada, mungkin dia dah keluarkan sumpah seranah.

Pervert bro.. U are pervet” Pelajar perempuan berwajah pucat itu berpaling sambil tersenyum mengejek kepada Amirul Hakim. Wajah pucatnya jelas kelihatan dengan rongga mata yang sedikit kemerahan.

Now..awak nak marah saya, nak cekik saya..ha.ha..nak bawak geng.” Balas pelajar perempuan berwajah pucat itu membuat provokasi.Marahnya semalam masih belum habis.

“bawak la. Saya tunggu sini” Cabarnya.

Dada Amirul Hakim berombak menahan marah. Degus nafasnya turun naik jelas kedengaran. Kepalanya berfikir pantas cara untuk menghilangkan rasa marah. Sabar pun ada hadnya. Kalau lelaki yang bercakap begitu, sudah pasti penumbuk sulungnya menyinggah ke dagu.

Dia membongkok dan merapatkan muka ke arah muka pelajar perempuan berwajah pucat itu. Lagaknya seperti mahu berbisik.

Terkejut dengan tindakan Amirul Hakim, pelajar perempuan itu berpaling muka. Bibir Amirul Hakim secara tidak sengaja terus hinggap ke pipi gebu yang tidak bermekap itu. Sensasi sentuhan tidak berlapik itu dirasakan seketika, sebelum satu hentakan siku menjengah diperutnya.

Amirul Hakim terduduk di kerusi menahan kesakitan di perut. Namun bibirnya tersenyum.Rasanya seperti dendam telah terbalas.

Pelajar perempuan bermuka pucat itu mengelap pipinya sambil berlalu pergi. Tidak pasti samada dia menangis atau tidak. Mungkin juga tidak jadi ke kuliah pagi ini.

*****************************************************************************

“Kau dah gila beb, mana ada orang pernah buat macam tu” ulas Hafiz sebaik mendengar cerita Amirul Hakim.

“Aku panik masa tu. Marah pun ada. Tapi bukan niat aku pun nak buat macam tu.” Terang amirul Hakim

“Aku takut kau kena buang kolej jer. Ini kes gangguan seksual tau”

Amirul Hakim hanya diam. Bukan dia tak tahu peraturan Universiti. Sememangnya dia telah dilantik sebagai Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar Kolej. Bukan calang-calang orang yang diberikan jawatan itu.

“Sekarang ni, aku pasrah je. Niat asal tadi memang nak buat baik. Tetapi tetiba jer minah tu buat tukar mood aku. Jin dalam badan pun apa lagi, mengganas la”

“Kau ni kan, dah macam sesumpah. Kejap Hijau, kejap biru, kejap warna warni. Mana satu ni perangai kau yang sebenar ni?”

“Perangai aku pun sama jemacam kau. Ada hati dan perasaan. Takkan nak diam jer bila orang hina kita.” Amirul Hakim membela diri. “ Maruah nak letak kat mana?”.

Hafiz senyum sambil mengagguk-nganguk seolah-olah bersetuju.

“Kau tolong siasat sikit, siapa sebenarnya perempuan tu!!”

******************************************************************************

“Miss Dee. Boleh I duduk sebelah” Hafiz menegur pelajar perempuan yang berbaju kurung biru dan bercemin mata di kantin. Dia kusyuk menaip di komputer riba.

Deeba hanya mengalihkan beg sandang yang diletakkan diatas kerusi ke bawah. Suara rakan sekuliahnya itu memang familiar sangat.

Hafiz terus duduk dan merapatkan kerusi ke sisinya.

“Kalau tak kacau orang boleh tak” Deeba yang hanya dia tadi mula bersuara. Cemin matanya dibetulkan sekali. Macam Cik secretary sahaja lagaknya.

“Tepi sikit. Rimas la”

Hafiz mengalihkan sedikit kerusi ke kanan. Tersengih melihatkan reaksi Deeba.“Aku nak tanya sikit boleh tak?”

“Tanya apa” Deeba menjawab sambil menyambung kembali aktiviti menulisnya. Serius, seolah-olah sedang menjawab peperiksaan.

“Bernafsu sungguh kau meniru kerja rumah orang ni” Hafiz mengalih tajuk sebaik melihat Deeba yang acuh tak acuh untuk menjawab pertanyaannya.

“Ni benda urgent. Kejap lagi nak hantar. Pasal tu la aku pulun buat”

Ko nak tanya pasal apa?”

“kau perasan tak seorang budak freehair yang selalu tunggu bas pukul 2.00 tu. Yang muka dia Nampak pucat je selalu”

“Haah..kau dah jumpa rupanya langsuir tu, berkenan ke?” Deeba memandang kearah Hafiz.

“Langsuir kau kata..takkan dia tak ada nama?”

“ Nama dia Milla, kitaorang saja gelarkan dia langsuir. Memang loner minah tu. Roommate pun tak ada”

“Kesiannya. Kenapa korang sisihkan dia ek”

“Dia tu HIV positif. Sebab tu orang takut nak berkawan dengan dia” Jelas Deeba separuh berbisik. Mukanya hampir rapat ke telinga Hafiz. Kerja-kerja menulisnya tertangguh sekejap. Naluri bergossipnya mula mengusai keadaan.

“Dia tu sementara sahaja kat sini. Dalam enam bulan kot. Pelajar peralihan dari kolej lain”

“kolej mana ye”

“Mana la aku tahu. Kami pun tak pernah bercakap dengan dia”

Hafiz mengeluarkan telefon bimbitnya. Nama Amirul Hakim segera didail.

******************************************************************************

Amirul Hakim meletakkan beg sandangnya diatas kerusi. Matanya meliar mencari seseorang. Lagak separuh gelisahnya menarik perhatian Suraya, rakan sekuliah yang ada menyimpan perasaan terhadapnya. Rakannya itu mengorak langkah menghampiri. Tudungnya dibetulkan sebelum melangkah.

“Mana kembar awak?” soalnya sebaik bertentang mata dengan Amirul Hakim, Tersenyum.

Amirul Hakim menujuk tepat ke arah Masjid Kolej yang ada bertentangan.

“Dah bertaubat ke sahabat dunia akhirat awak tu?”Ulas Suraya. Matanya turut mencari kelibat yang dimaksudkan.

“Dia ke sana buang air. Sekarang ni tak masuk waktu lagi. Matahari dah terpacak ni, Dhuha pun dah tak boleh” Amirul Hakim bersuara membela.

“Awak cari sapa?. Dari tadi pandang ke sana-sini, macam polis trafik je ni”

“Ade la. Sibuk je”

“Petang ni free tak. Ikut saya gi library” ajak Suraya. Senyum tak malunya melebar.

“Hmmm…Malas lah. Nak tido. Malam ni ada game Futsal” Amirul Hakim mengelak.

“Awak ni kalau saya ajak je mesti ada alasan. Kalau saya call tu dah confirm ler takkan berjawab. Kenapa tak suka sangat kat saya ni” Luah Suraya. Memang selama ini dia menyimpan rasa tidak puas hati.

Amirul Hakim mula menarik nafas. Dilepaskannya perlahan-lahan. Dia tidak mahu kejadian semalam berulang. Kalau dilayannya budak perempuan ni pasti suhu amarahnya akan naik mendadak nanti. Lebih baik diam.

‘Celaka punya Hapis, berak batu ke! Apa yang dibuatnya, lama sangat kat Masjid tu? sumpahnya di dalam hati bila sahabatnya itu masih belum muncul.

Sengaja dia mengelak dari memandang mata Suraya. Dia pasti mesti air mata awek tu bergenang mendengar jawapannya tadi.

“Saya pergi dululah” Suraya bersuara sebak. Niatnya untuk mengajak Amirul Hakim berdating terbantut. Dia berjalan semula ke tempat dia menunggu tadi.

“Ada rupanya” Bisik Amirul Hakim sebaik melihat kelibat perempuan yang berdiri di sebelah Suraya. Dia bangun dan menyandang beg. Langkahnya laju menuju ke arah Suraya. Perasaan serba salah terhadap Suraya sebentar ditepis segera.

“Awak, Boleh kita sembang sikit” Amirul Hakim menghampiri Suraya dan pelajar perempuan di sebelahnya. Mereka berdua saling memandang.

“Bukan awak Su, Langsuir kat sebelah tu” dia sempat menahan Suraya dari membuka mulut.

Mendung di hati Suraya hampir bertukar hujan. Dia beralih duduk ke bangku tempat Amirul Hakim duduk tadi. Sementara pelajar perempuan berwajah pucat itu hanya membatu dan buat-buat tak tahu.

Amirul Hakim mengorak langkah nekad menghampiri pelajar perempuan tu. Pelajar perempuan berwajah pucat itu pula segera menutup mukanya dengan beg. Hanya matanya mengekor rapat pergerakan Amirul Hakim. Macam mahu mengelak kejadian semalam dari berulang.

Amirul Hakim mencapai tali beg yang menutup muka pelajar perempuan berwajah pucat. Dia menariknya bergerak ke arah pohon Ketapang yang ada bersebelahan. Perempuan berwajah pucat mengekori dari belakang sambil menarik-narik begnya.

Look at me.We need to talk” Amirul memandang tepat kearah mata pelajar perempuan berwajah pucat. Dia tak kisah walau ada banyak mata yang memandang ke arah mereka dari jauh.

We’ve nothing to talk. Awak ni apa hal, tarik saya tiba-tiba ni.Memang baran la mamat ni”

“ Saya cuma nak tanya hal semalam. Ada awak cerita kat sapa-sapa tak?” Amirul Hakim bersuara perlahan. Takut apa yang diperkatakannya didengari orang lain.

“Hal apa ni. Saya tak faham la”

“Hal ni”. Amirul Hakim menunjuk kearah bibirnya.

“Tak ada sapa yang tahu pun. Saya tak pernah cerita”

“Habis kenapa dah heboh satu kolej?”

“Manalah saya tahu”

“Dah agak dah. Memang tak mengaku punya”

“Daripada saya hebohkan hal ni, lebih baik saya repot pada Dekan” Pelajar perempuan berwajah pucat mengugut. Amarahnya turut menyala.

“Sebelum buat tak nak berfikir!” Bebelnya. “Dah kantoi mula menggelabah”

Amirul Hakim merapatkan dirinya ke batang pokok. Amarahnya cuba ditenangkan sedikit demi sedikit dengan menarik nafas yang panjang. Pelajar perempuan berwajah pucat pun hanya berdiam diri. Beberapa orang yang memandang kearah mereka tadi, mula berbisik.

“Woi” Amirul Hakim dikejutkan dari belakang. Hafiz tersengeh-sengeh menghampiri mereka.

“Korang buat apa kat sini. Tak naik bas lagi ke?”

“Naik bas tengkorak kau. Kenapa lama sangat kat sana tu?”

“He..he..aku tersempak dengan Haykal and the geng kat tepi masjid tu. Menge’teh sekejap”

“Buang masa aku je tunggu kau”

Pelajar perempuan berwajah pucat mula berpaling untuk pergi ke perhentian bas semula.

“ Cik Langsuir tunggu kejap. Kita punya meeting belum habis lagi” Amirul Hakim menahan.

“Sekali lagi awak sebut perkataan langsuir tu, berdesup kamus dewan ni melayang. Apa yang tak habis lagi ni?”

“Saya nak minta maaf hal semalam” Amirul Hakim bersuara lembut. Hafiz disebelahnya sempat menyiku. Sahabatnya dah mula layu.

“No hal, saya maafkan. jangan diulang dah la”

“Tapi memang saya tak pernah hebohkan hal ni” Ulang pelajar perempuan berwajah pucat.

“Aku rasa aku tahu sapa yang viralkan cerita ni” Hafiz mencelah.

“Siapa?” Amirul Hakim dan Pelajar perempuan berwajah pucat hampir serentak.

“Deeba. Tak ada orang lain dah”

“macammana dia boleh tahu?”

“aku yang cerita semalam. Masa nak korek rahsia awek ni”

“bertuah punya kawan!!” Amirul Hakim menghayunkan beg sandangnya ke belakang Hafiz. “Pinjam kamu dewan tu kejap”

Pelajar perempuan berwajah pucat tersenyum melihat Hafiz mengeliat menahan kesakitan.

“Dah. Jom balik”

******************************************************************************

“Terima kasih sebab sudi makan dengan saya” Amirul Hakim memulakan bicara. Dia tidak menyangka pelajar perempuan berwajah pucat itu sudi untuk bertemu. Dia hanya meminta seorang kenalan menyampaikan mesej itu petang tadi.

“Sama-sama. Memang saya nak makan pun” Pelajar perempuan berwajah pucat menjawab dengan nada yang lebih ceria. Berbeza dengan perwatakannya sebelum ini.

“Boleh kita selfie sikit” Pinta dia sebaik mereka memesan makananan. Amirul Hakim hanya menurut.

‘Langsuir pun kaki selfie’, ulasnya dalam hati. ‘Ke planet mana dia nak postkan pun aku tak tahu’.Perwatakan perempuan di hadapannya berubah 100 peratus berbanding petang tadi. Mulutnya dicalit sedikit gincu dan rambutnya bertocang kemas. Baju yang digayakannya juga dari fesyen terkini. Siapa sebenarnya perempuan berwajah pucat ni?.

“Tak kenyang kalau tengok sahaja” tegur Pelajar perempuan berwajah pucat itu sebaik makanan dihidangkan. Igauan Amirul Hakim terencat. Dia tersenyum malu.

“Jemput Makan” Amirul Hakim berbahasa.

“Apa yang awak tahu pasal saya?. Hari tu cakap dah hantar kawan awak tu cari maklumat” Perempuan berwajah pucat itu bertanya sebaik menyudahkan minumannya.

“Kalau salah tolong betulkan. Budak perempuan tu cakap nama awak Milla A.K.A langsuir. Budak yang masuk ikut program pertukaran pelajar”

Milla hanya tersenyum mendengar perkataan “langsuir”. Perkataan yang sesekali boleh membuatkan dia naik darah.

“Betullah tu. Cuma perkataan langsuir tu baru sekarang saya dengar depan mata.”

“Awak tak marah ke?”

“Mau tak marah?, rasanya macam nak hirup jer darah orang yang gelar saya macam tu?” Suara Milla sedikit keras tetapi masih tersenyum. Takkan orang bergurau pun nak ambik hati.

“Maaf sekali lagi untuk hari tu. Kes bibir ke pipit tu. Betul… saya memang tak sengaja”

Milla tersenyum lagi melihat riak muka Amirul Hakim yang serba salah.

“Saya pun tak sangka yang budak berjanggut goatie macam awak ni sanggup buat macam tu. Memang sangat terkejut. Mujur tak ada saksi dan tak ada yang ambil gambar.”

“Kalau tidak pasti kes ni jadi viral satu Negara..”

“Sebab tu saya ajak awak jumpa ni. Selagi saya tak dengar sekali lagi yang awak maafkan saya,saya tak senang duduk”

“Saya memang sudah maafkan awak. Tak simpan apa-apa pun. Berapa ramai dah awek yang kena macam ni?”

“Perli nampak. Awak je yang kena. Dan saya janji tak akan jadi lagi perkara macam tu. Taubat dah”

“ Masa tu, sebenarnya saya nak jerit saja dekat awak. Tapi bila awak dah gerak ke depan dan saya lajak sedikit, then itulah yang jadi” Amirul Hafiz membela diri.

“Baik punya alasan”

“Awak yang naikkan darah saya bila cakap saya pervert

“ penampilan awak masa tu memang macam tu. Macam stalker. Ikut orang ke mana saja”

“Saya berniat baik pada awak masa tu. Asalnya, nak minta maaf pasal kes kami mengata awak tempoh hari”

“Tapi kan,… penampilan awak masa tu juga buat saya dan Hafiz sedap sangat mengata”

Amirul menghabiskan air minumannya. Beberapa pelanggan yang ada mula meninggalkan kedai makan tersebut. Mereka berdua masih belum puas berbicara.

“Salahkan saya berpenampilan macam tu?” Soal Milla.

“Sebagai seorang pelajar, tak salah. Tapi sebagai seorang muslimah, mungkin tak kena caranya”

“maksud awak saya perlu berhijab, barulah saya tak dihina”

“Tak juga. Ada yang berhijab juga dihina. Terutama di negara yang majoritinya bukan Islam..Semuanya atas diri sendiri”

“Saya dibesarkan macam ni. Ambil masa sikit untuk berubah” Ulas Milla membela diri.

“Mungkin awak perlu cepat berubah. Dari apa yang saya tahu….. awak ni HIV positif”

“Ha..awak tahu rupanya. Habis kenapa masih keluar dengan saya” Milla menukar tajuk perbualan. Perbincangan hal berkenaan agama membuat dia sedikit goyah.

“Penyakit tu bukannya alasan untuk saya diskriminasikan awak. Itu yang berlaku sekarang bukan. Tak ada roommate. Makan sorang-sorang. Duduk di dewan kuliah jauh dari orang.”

Milla terdiam. Hatinya terusik dengan kata-kata Amirul Hakim. Mungkin ini tujuan dia diajak keluar. Supaya dia dapat disorakkan secara berdepan.

“Saya tak takut pun HIV tu. Dan saya pun tak suka nak diskriminasikan orang.”

“Tak takut berjangkit ke. Penyakit ini pun tak ada ubat lagi”

“Tak perlu takut kalau kita sentiasa berjaga-jaga. Ajal dan maut di tangan tuhan. Orang yang sihat pun boleh mati bila-bila masa”

“Bagus. Positif sangat kalau fikir macam tu” Milla tersenyum ceria. Dia gembira kerana ada orang yang boleh memahami dirinya.

“Then, kalau macam tu, boleh tak awak pergi kelas dengan saya dan jalan-jalan dengan saya lepas ni. Kita jadi best friends nak tak?”

Amirul Hakim menjadi serba salah. Apa yag ucapkannya sebentar tadi mengikat dirinya.

“Boleh jer.” Dia mengiyakan dan melihat senyum Milla melebar.

“Kau dah kapel dengan langsuir tu ke?” Hafiz bersuara sebaik Amirul Hakim duduk di sebelahnya. Semakin jarang dia melihat kawannya itu melepak dibiliknya. Masa yang ada banyak dihabiskan bersama si “Langsuir” yang baru dikenalinya.

“Kami jalan sekali’ balik sekali je per, salah ke?” Amirul Hakim bersuara sambil mengeluarkan telefon bimbitnya.

“Kapel la tu. Makan sesama, jalan sesame. Tak takut Aids ke?” Cemuhan Hafiz membuat Amirul Hakim terhenti dari membaca mesej di telefon dan menoleh kearah sahabatnya itu.

“Inilah masalah kalau tak ada ilmu. Tak faham macammana virus tu membiak. Last-last kita boikot orang tak tentu fasal.” Ceramah lepas Zohor Amirul Hakim baru bermula.

“Sekarang ni aku dah mula faham kenapa susah sangat kita terima orang yang ada HIV ni. Bukan nak bela diaorang pun. Cuma terima diorang macammana kita terima kawan-kawan yang lain”

“HIV tu kan tak ada ubatnya lagi. Takkan aku nak bahayakan nyawa sendiri dengan berkawan dengan orang-orang yang macam tu”

“Setakat bercakap, makan bersama dan berkawan, tak jadi masalah. Kau sendiri tahu kan macam mana virus tu boleh masuk ke dalam badan kita.”

“Macam ni sajalah Bro… Kau ikut cara kau aku ikut cara aku. Aku tak seberani kau”

“Kau nak putus kawan ke ni?” Tanya Amirul Hakim. Serius.

“Hal macam ni takkan nak putus kawan kot. Bagi masa kat aku untuk faham betul-betul tentang HIV ni. Apa pun good luck bro” ucap Hafiz sebelum keluar dari bilik.

Amirul Hakim hanya tersenyum dan tangannya kembali aktif menaip di telefon.

******************************************************************************

Angin petang yang bertiup sepoi-sepoi memang serasi dengan jiwa perempuannya. Sewaktu tidak berteman dulu pun dia sering mencuri masa berehat di taman itu. Kalau bersama dengan Amirul Hakim pun, aktiviti yang sama juga akan dilakukannya.

Hampir lima bulan mereka berkawan, dia sendiri belum pasti status dirinya pada Amirul Hakim. Walaupun sering bersama, namun belum ada tanda-tanda yang dia jatuh hati padanya. Apa yang dibimbangkannya adalah hubungan yang ada hanyalah sekadar simpati seorang kawan.

“Awak, nak tanya sikit”

“Kita ni kapel ker, macam orang lain hebohkan tu?” Soal Milla sambil merenung jauh ke hadapan. Tangannya menggenggam bungkusan kuaci. Amirul Hakim hanya bersandar ke kerusi sambil mengunyah kuaci yang ada ditangannya.

“Kita ni memang kapellah. Orang kan dah declare macam tu” Amirul Hakim hanya tersenyum.

“Boleh serious sikit tak, hati dan perasaan orang bukan mainan tau”

“Saya tengah seriouslah ni” Amirul Hakim terus mengunyah kuaci. Apa hal pulak minah ni tiba-tiba emo.

“Saya kan dah janji nak jadi best friends awak”

“Kenapa awak kawan dengan saya?” Soal Milla tiba-tiba.

“sebab saya suka awak.”

“Lagi?”

“sebab saya rasa serasi dengan awak. Kita kan sekepala dalam banyak hal”

“Lagi?”

“…Nanti saya siapkan assignment ni ek. Berapa page saya nak kena taip ni” Amirul Hakim kembali mengejek. Milla memukul dengan tangan yang menggenggam bungkus kuaci.

“Tak takut ke awak dengan virus dalam badan saya ni”

“Berapa ratus kali awak nak tanya soalan ni?”

“Tak..Saya tak pernah takut”

“Kalau macam tu awak tak takutlah kehilangan saya suatu hari nanti?” Nada suara Milla sedikit bergaung di telinga Amirul Hakim. Hatinya yang girang sebentar tadi bertukar sebak. Senyumnya bertukar riak muka serius.

“Kenapa cakap macam tu. Ajal dan maut tu di tangan tuhan. Saya pun belum tentu selamat” gumam Amirul Hakim. Antara dengar dan tidak di telinga Milla.

“Saya tak pernah terfikir pun macam tu. Sekarang ni..rasa macam nak ambik pulak HIV dalam badan awak tu. Biar saya rasa sama”

“Ceh, Poyo. Kalau saya pergi, awak doakan saya banyak-banyak. Semoga kita boleh dating lagi macam ni kat Jannah” Milla bersuara sambil mengelap titisan halus dihujung alis matanya.

“ Insya Allah…”Amirul Hakim menjawab dengan mata berkaca.

******************************************************************************

Big surprise today, Jemput datang ke dewan Besar” Amirul Hakim membawa mesej yang terpampang di skrin handphonenya. Dia bersiap-siap untuk ke sana.

******************************************************************************

Seorang gadis berbaju kurung mengenakan pin riben berwarna merak ke baju Amirul Hakim. Dia tidak dapat menolak kerana semua yang hadir dipakaikan dengan Riben tersebut.

“ Selamat Datang ke Kempen Kesedaran Hari Aids Sedunia” satu suara kedengaran di belakangnya. Suara yang sangat dikenalinya di hujung mikrofon. Susuk tubuh yang bersuara itu berdiri dengan megah sebagai juruacara majlis. Sebagai salah seorang ahli perwakilan pelajar, dia malu kerana tidak mengambil tahu adanya majlis itu.

Penampilan Milla yang bertudung merah sudah cukup untuk menjadikan Amirul Hakim semakin teruja untuk mengikuti keseluruhan majlis. Baru dia teringat yang Milla pernah memberitahunya yang hari Aids sedunia jatuh pada satu Disember setiap tahun. Dia mencari ruang untuk duduk mengikuti aturcara majlis.

“Awak ni Amirul Hakim kan?” Satu suara menegur dari belakang.

“Ya. Awak pula siapa?”

“Saya Sofea. Kawan Milla. Ramai lagi kawan-kawan saya nak berkenalan dengan awak ni” Jelas Sofea.

“Macammana boleh kenal?”

“ Hari-hari Milla update muka awak selfie dengan dia dalam Insta. Mesti cam punya”

“Awak ni bukan student sini kan?”

“Kami dari kolej lama Milla. Satu bas datang nak support Projek final year Milla ni.” Ujar Sofea bangga. “Mujur saya jumpa awak dulu. Mesti yang lain jeles”

“Dah lama ke dia kena HIV” Tanya Amirul Hakim.

“Milla…HIV..mengarut. Dia tu Ok jer. HIV tu kajian kes yang dia buat untuk final tesis dia. Sungguh-sungguh dia melakonkan watak perempuan HIV tu. Kitaorang pun tak sangka dia boleh bertahan sampai enam bulan macam tu”

“Macam tu ke? Memang ramai yang terkena kalau macam tu.”

Amirul Hakim menarik nafas. Dia mula merungkai kisah-kisah bersama dengan Milla. Jauh di sudut hatinya merasa diri tertipu.

“Milla memang pelakon terbaik. Saya nak minta diri dulu. Ada hal sikit di asrama” Amirul Hakim menaikkan kedua-dua ibu jarinya keatas tanda ‘bagus’. Selepas mengambil sekeping risalah HIV yang diletakkan diatas meja, dia bergerak ke hentian bas.

******************************************************************************

Milla berhenti berlari sebaik melihat kelibat Amirul Hakim di kerusi yang selalu mereka duduk. Tudung merahnya sedikit terburai kerana dibuai angin semasa belari tadi. Dia yakin sangat akan berjumpa Amirul Hakim di kerusi itu.

“Memang betul hari ini ada Big Surprise. Kenapa tipu saya?” Amirul Hakim bertanya sebaik Milla duduk di sebelahnya. Matanya masih berkaca.

“Saya tak nak tipu sesiapa?. Hari ini saya memang nak beritahu awak segalanya”

“Saya ni subjek kajian awak sahaja kan. Tahniah untuk final paper awak ni. Cemerlang sangat.”

“Saya tak terniat pun nak lukakan hati awak”

“Kita pun bukan ada apa-apa hubungan kan. Apa awak nak kisah!!” Amirul Hakim masih belum berpuas hati.

“ Saya sayang awak Amirul Hakim. Lebih dari seorang kawan!.” Luah Milla. Air matanya tidak dapat ditahan. “Dan awak pun dah berjaya buat saya bertudung.”

Amirul Hakim memerhatikan dari dekat. Perempuan perempuan berwajah pucat yang dikenalinya awal dahulu berubah seakan model memakai tudung. Ayu dan sedap dipandang mata.

“Wow.. saya pun dah berjaya buat awak sebut perkataan sayang” Amirul menjawab dengan senyuman yang penuh makna.

“Kenapa menyamar jadi pesakit HIV?”

“Semua ni untuk final paper. Mulanya lecturer yang bagi cadangan, kemudian saya pun setuju. Dan saya yang pilih kolej ni sebagai subjek untuk kajian. Dekan kolej yang saya jumpa bersetuju untuk membenarkan saya membuat kajian sambil belajar di sini”

“ Sebab utama saya..adalah janji kepada abang saya yang meninggal kerana HIV. Dia terkena selepas melakukan pemindahan darah. Dari seorang atlit bolasepak dan pelajar yang cemerlang, dia menjadi murung kerana disisihkan. Dan dua tahun lepas, dia kembali ke rahmatullah.”

“Itu yang buat saya sedih sangat. Kami berdua memang rapat…… Kalau hendak disalahkan semua orang pun tak adil juga. Sebab itu saya buat tesis dan kempen kesedaran ini. Supaya orang ramai lebih tahu pasal HIV..dan pesakit seperti abang saya tidak akan tersisih lagi.”

Amirul Hakim mengangguk faham. Hatinya semakin dekat dengan Milla. Semangat dan pengorbanan Milla itu sedikit sebanyak membangkitkan rasa simpati dalam dirinya.

‘Saya pun sayang awak’ ucapan Amirul Hakim, Hanya di dalam hati.

“Salam Bro” Hafiz yang dari tadi memerhati baru berani menegur. Dia hanya menonton dari jauh dari atas motosikal.

“Kau buat apa kat sini?”

“Dia yang bawa Milla ke sini” Milla bersuara sebelum Hafiz sempat menjawab.

“Aku pun ada kat majlis tadi. Banyak juga yang aku belajar”

“So, Dah fahamlah pasal HIV kan” Tanya Milla.

“Hampir-hampir faham..Cikgu” sahut sahabat berdua itu serentak.

“Awak kat sini Milla, Habis siapa yang jadi MC sekarang ni” Tanya Amirul Hakim.

“Entah..” Balas Milla bersahaja.

“Jom cepat” Amirul Hakim merampas topi keledar ditangan Hafiz. Dia segera menghidupkan motosikal. Entah motosikal siapa yang dipinjamnya pun dia tidak tahu. Milla memanjat naik di bangku belakang.

“Aku nak balik dengan apa ni Bro” Jerit Hafiz.

“Naik Bas!!” serentak jawapan diterima dari atas motosikal yang bergerak pantas.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.