Home Cerpen Keluarga Kasut Baru Adam
Kasut Baru Adam
Zhar Aruzi Hairi
22/7/2016 15:18:07
3,234
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Kasut Baru Adam


Oleh : Zhar Aruzi Hairi



Angin petang membuai lembut pepohon dan bunga-bungaan sekitar taman di sekitar taman. Aku berdiam diri sebentar sambil mengadap ke tasik, menghirup udara segar petang sambil mengosongkan fikiran. Langkah seterusnya adalah untuk membuat gerakan-gerakan memanaskan badan. Bermula dari kepala hinggalah ke kaki. Aku tidak mahu kekejangan otot selepas berjogging nanti. Prosedur biasa sebenarnya sebelum apa-apa aktiviti sukan.

Hari ini aku bersukan seorang diri. Tekad untuk berjogging ini pun dibuat selepas beberapa kali berjanji dengan Rahman dan Sofian. Kedua-dua memang komited untuk berjanji. Ya berjanji, tapi setakat berjanji sahaja. Janji-janji itu akhirnya disulam dengan pelbagai alasan, bila aku hubungi mereka semula untuk mengingatkan aktiviti petang ini. Rahman terpaksa mengambil orang rumahnya di pejabat kerana kereta dia rosak. Sofian pula tiba-tiba diserang sakit perut. Alasan Rahman aku boleh terima sebab dia sememangnya jujur. Dan dia juga takutkan bini. Sofian, atau Pyan pulak. Celaru sikit orangnya.Dia jenis manusia akan menukarkan apa-apa program yang kami rancang, kalau aweknya dah plan aktiviti yang lain. Dan alasan yang diberikan pula akan buat aku sakit hati!

Akhirnya, aku yang tak ada bini dan tak ada awek ni, terpaksa berjogging seorang diri kat Taman Tasik ni. Mujur ada juga dua tiga awek yang turut sama memanaskan badan tidak jauh dari tempat aku bersenam. Adalah juga jemaah jogging tak rasmi untuk aku turut sama. Kalau-kalau ada yang tersangkut untuk jadi awek aku pun, bagus jugak!!!

Lewat aku membuat sit-up dan kemudiannya push up, sebuah kereta Proton Wira berwarna merah diberhentikan tidak jauh dari tempat aku bersenam. Keluar seorang lelaki dan wanita separuh umur bersama seorang budak lelaki. Lelaki tua itu mulanya bercakap-cakap dengan budak lelaki yang bermuka monyok itu. Wanita tua itu pula menyambung sambil mereka berjalan-jalan melewati denai pejalan kaki, menuju ke bangku yang menghadap ke arah tasik.

Mata aku beralih kepada awek-awek yang bersenam tadi. Penglihatan aku meliar sedikit melihat gerakan-gerakan senaman yang sedang dibuat, sebelum mereka tiba-tiba beredar. Mungkin tersedar yang mereka sedang diperhatikan.

Aku meneruskan senaman regangan terakhir pada kepala semula, dengan memusingkannya ke arah kiri dan kanan. Ini merupakan peringkat akhir rutin senaman aku. Jangan tanya kenapa, sebab itu memang rutin senaman aku!. Dahi dan Ketiak aku sudah pun berpeluh kerana gerakan push up dan sit up tadi.

Tiba-tiba belakang aku dicuit. Aku terdiam sebentar sebelum berpaling perlahan-lahan. Minta-minta awek-awek di depan tadi yang datang menegur!!

“Assalamualaikum, maaf mengganggu nak, baru nak jogging ke?” Lelaki tua yang aku lihat tadi rupanya yang datang. Roman mukanya kelihatan dalam keadaan serba salah.

“Waalaikumsalam. Memang baru nak mula Pakcik. Tadi saya cuma panaskan badan sahaja.” Aku cuba berbahasa.

“Panggil Pak Teh sahaja. Pak Teh nak mintak tolong anak sikit” Dia memperkenalkan diri. Penampilannya kemas, dengan berbaju kemeja kelabu dan berseluar slack coklat. Kami bersalaman.

“Saya Amirul. Tolong yang macammana tu Pak Teh?”

“Tolong benarkan Adam, cucu Pak Teh, berjogging sekali dengan kamu” Aku mengangguk sambil tersenyum. Berteman juga aku jogging hari ni!.

“Pak Teh dan Mak Teh dah tak larat nak berlari. Lagipun Pak Teh ada semput” sambungnya.

Pak Teh menggamit tangan memanggil cucunya.

Budak lelaki itu dalam lingkungan sepuluh tahun menapak dengan berhati-hati. Dia sudah lengkap berpakaian sukan. Baju berwarna merah, berseluar hitam dengan tiga jalur putih serta bertopi. Mata aku menangkap kasut merah yang dipakainya. Jelas sekali kasut sukan itu baru dibeli kerana langsung tidak berdebu dan warnanya masih cantik.

“Salam dulu” arah Pak Teh kepada budak yang bermuka muram itu. Aku menyambut salaman budak itu.

“Abang dah panaskan badan. Adam nak excersise dulu tak?” Tanya aku. Dia sekadar menggeleng.

“Adam jogging baik-baik tau”Pesan Pak Teh. “nanti datang balik dekat Wan dengan Tok di bangku tadi”

Adam hanya mengangguk. Pak Teh membiarkan aku dan Adam berjalan ke trek jogging berdekatan.

“Cantik kasut” Aku cuba memuji. Mengharapkan sekurang-kurangnya satu senyuman dari wajah yang mencuka dari tadi.”Beli kat mana?”

Budak lelaki itu masih tidak bersuara. Langkah jalannya tadi kini bertukar menjadi lari-lari anak.

“Sombongnya budak ni!” aku menghukum di dalam hati.

Aku pun mempercepatkan langkah dan kemudiannya berlari. Segera aku memintas Adam dengan gerakan kaki yang sederhana. Cukup untuk Adam mengekori dengan larian yang sama. Earphone pada telefon yang tersimpan di dalam poket tadi, aku lekatkan pada telinga sebelah kanan. Lagu “White bear” nyanyian The Temperence Movement menggegarkan gegendang telinga.

Trak jogging yang ada di sini berjarak lebih kurang 2.5 kilometer sahaja, dan aku boleh habiskan satu pusingan dalam masa lima belas minit. Itu kalau larian sederhana cara aku. Dan kalau beriringan dengan budak-budak, masa yang diambil mungkin lebih lama.

Laungan muzik di telinga menyebabkan aku terlupa seketika budak lelaki yang mengejar dari belakang.

“Jangan laju sangat Abah!!” Satu sergahan aku dengar dari belakang. Perkataan “Abah” ke, “Abang” ke, tak berapa jelas kerana melayan vokal keras Phil Cambell. Aku terus memberhentikan langkah.

Adam pula terpana seketika. Mungkin dia berkata-kata tanpa sedar tadi.

“Sori Adam. Abang terlaju sikit tadi” aku berlari ke belakang dan menepuk bahu Adam. Masih tiada reaksi.

“Kamu lari dahulu. Abang ikut dari belakang” Cadang aku. Sebaik aku habis bercakap, Adam kembali berlari.

Aku kini mengekori Adam dengan larian dan pandangan mata. Baru aku perasan yang larian budak ini tidak senormal orang lain. Kaki kanannya digerakkan dengan sedikit hincutan. Seolah-olah ada sesuatu yang menyakitkan kakinya, atau dia sememangnya cacat.

Larian aku berselang seli dengan berjalan, seiring dengan langkah Adam. Seiring dengan itu juga dia tidak menjawab sebarang pertanyaan.

Sampai di lengkung trek jogging yang terakhir, aku sudah dapat melihat Pak Teh dan Mak Teh di bangku. Pak Teh langsung berdiri apabila terlihat kelibat kami.

Adam kelihatan terhincut-hincut sebaik kami sampai kepada atuknya. Mak Teh menyambut kejayaan Adam menghabiskan lariannya dengan senyuman. Tangannya mencapai lengan kanan Adam dan membawanya duduk bersebelahan.


"Bagaimana perasaan Adam sekarang, puas hati tak dapat jogging." Mak Teh bertanya.

" Hmmm… Lari-lari macam ni buat Adam sakit kaki jer"

“Adam kan yang nak jogging sangat, macam dulu-dulu” Ujar Mak The memujuk.

“Dulu dengan Abah, lain. Sekarang ni dengan abang yang lari macam bapok!”

Berdesing telinga aku mendengar cemuhan budak itu. Kalau anak aku sudah lama kena piat telinga!

Muka kedua-dua orang tua yang menemani Adam kemerahan menahan malu.

“Tak baik Adam cakap macam tu. Abang Amirul dah tolong temankan Adam berjogging” Pak Teh pula berkata.

“Adam memang tak pernah baik pun, Kan Tok !!” Balas Adam selamba.

Budak ini bermulut celupar rupanya!.



Aku berpaling kepada Pak Teh. Hujung perkataan Adam tadi menarik perhatian aku. Pak Teh tersenyum kelat memandang kearahku. Dia sudah dapat membaca apa yang bermain difikiran.

"Adam dahaga tak. Kalau dahaga, ikut Tok beli air dekat gerai depan sana." Pak Teh sempat memberi isyarat mata kepada isterinya supaya beredar bersama-sama Adam. Kedua-duanya bangun meninggalkan aku dan Pak Teh.

"Duduk dulu Amirul." Pak Teh menunjukkan bangku yang dikosongkan Mak Teh tadi. Aku terus menghenyak punggung.

“Pak Teh minta maaf sangat-sangat atas perlakuan Adam tadi”

“Biasa la Pak Teh, budak-budak”

“Kadang-kadang dia ni memang melampau. Keras kepala. Susah sungguh kami didik” Luah Pak Teh.

”Kamu pun mungkin tertanya-tanya kemana agaknya ibu dan bapa Adam ni kan." Aku mengiyakan sahaja.

"Masa berlari tadi dia ada sebut perkataan “Abah”" ujarku.

"Adam memang rapat sangat dengan abahnya. Kalau ada masa mereka akan jogging sama-sama. Sebab tu jugak la kami kemari."

"Dulu dia tak macam tu. Sebenarnya dia seorang periang dan suka berceloteh. Bagus sangat budaknya. Hormat orang…... Tapi kemalangan yang berlaku tahun lepas mengubah segalanya."

"Kemalangan!"

"Kalau kamu ingat, pertengahan tahun lepas, ada satu kes kemalangan yang melibatkan tujuh sekeluarga. Viral sekejap di internet waktu tu. Semuanya meninggal kecuali anak tengah pasangan keluarga tersebut, Muhammad Adam Fikri. Dia putus kaki sebelah kanan. Abah Adam tu adalah anak kedua Pak The dan Mak Teh" Cerita Pak Teh bersulam dengan nada sebak.Aku membiarkan sahaja dia meneruskan cerita.

"Kami sahaja ahli keluarga yang Adam ada sekarang untuk menumpang kasih. Dia hilang segalanya dalam sekelip mata. Kaki kanan pun berganti kaki palsu."

“Simpati saya pada Adam, Pak Teh. Malang sekali apa yang dah berlaku tu”

"Adam terselamat sebab dia tidur mengiring di tempat duduk belakang. Tapi kaki kanan dia hancur sebab berjuntai di lantai kereta.Yang lain, semuanya arwah"

"Lama sudah Adam berkaki palsu?" Aku menyoal. Namun pandanganku menghala ke arah tasik. Sedikit sebanyak cerita penderitaan Adam mengusik jiwa aku.

"Doktor start pasangkan kaki tu bulan lepas. Adam gembira sangat sebab dapat berjalan macam biasa" Pak Teh bercerita." Ini kali pertama dia cuba berjogging."

"Patutlah cari larian dia lain sikit. Mulanya saya agak sebab dia tak selesa dengan kasut baru yang dia pakai" Aku menyambung.

Mak Teh dan Adam menuju ke arah kami dengan menjinjing makanan dan minuman.

"Adam belikan Abang air tebu." Adam cuba berbahasa. Riak mukanya masih muram.

"Wan punya mana?" Pak Teh menyoal.

"Tok suruh belikan Wan air soya sahaja. Wan tak boleh makan gula banyak-banyak sebab ada kencing manis." Adam menyerahkan bungkusan minuman soya kepada Pak Teh. Aku dan Mak Teh tersenyum melihat gelagatnya.

"Kaki sakit lagi tak Adam" aku pula menambah soalan.

"Kaki kanan dah melecet. Tak mahulah jogging lagi. Cari sakit jer " Adam duduk sambil menghirup air tebu. Aku bangun untuk memberikan tempat duduk kepada Mak Teh. Walaupun Mak Teh beralah untuk duduk, aku berlembut menyuruh dia duduk. Sekurang-kurangnya dia tidak terbeban berdiri.

Adam mulai melipat kaki seluarnya hingga menampakkan struktur besi di kaki palsunya.

"Macam kaki Iron Man" aku berseloroh. Dan Adam hanya memandang. Mungkin terasa seperti aku memerlinya

"Bila-bila kalau Adam rasa nak jogging lagi di sini, boleh mintakkan Wan telefon Abang. Kalau Abang free, kita datang jogging sama-sama" cadang Aku.

"Boleh juga macam tu" Mak Teh dan Pak Teh mengangguk serentak.

“Adam dah tak suka berjogging la!!!” tiba-tiba sahaja Adam membentak. Dia bangun dan berlari ke arah tasik.

Mak Teh dan Pak Teh bangun untuk mengejar sebelum aku menahan.

“Bagi saya je yang tengok Adam”

Adam berhenti di gigi air. Dia merenung ke arah tasik dengan juraian air mata.

“Kenapa Adam nangis?” Dia menggelengkan kepala.

“Adam rindu Mama dan Abah” Dia mengangguk.

Aku memegang bahunya dan mengajak dia duduk di bangku yang berhampiran.

“Abang nak tunjuk kat Adam satu benda”

“Benda apa?” Dia nampak berminat.

Aku menggulungkan kaki seluar sebelah kiri hingga ke paras lutut.

“Abang pun pakai kaki palsu!!” riak wajah Adam berubah. “sejak bila abang pakai?”

“Abang pakai kaki palsu sejak abang pandai berjalan, sampailah sekarang”

“Macammana abang boleh putus kaki?” soal budak lelaki itu. Matanya masih tertumpu pada kaki kiriku. Aku menahan nafas dalam-dalam sebelum bercerita.

“Kaki abang putus masa lahir. Entah dimakan apa pun abang tak tahu. Orang sempat selamatkan Abang…” Cerita aku terhenti sebab aku terpaksa menahan nafas.Sebak.

“Sebab mak abang buang abang dalam semak lepas lahir. Sampai sekarang pun abang tak tahu siapa yang lahirkan abang. Abang membesar pun di rumah anak-anak yatim, sebab tak ada orang yang nakkan baby yang kakinya cacat” Aku menghela nafas.

Adam pula terdiam mendengar kisah hidupku.

“Abang tak macam Adam. Sempat jugak rasa kasih sayang Abah dan Mama. Ada adik beradik. Ada Wan dan Tok…Abang ni sorang-sorang dari kecik. Menumpang kasih orang sejak lahir” Aku meneruskan nasihat.

Memang sedih juga kalau aku bercerita perihal sejarah sendiri.

“tapi Abang tak pernah marah sapa-sapa. Tak pernah salahkan tuhan. Dan abang bersyukur sangat sebab Allah pilih abang untuk hidup sampai sekarang ni. Bila kita hidup, kita belajar. Banyak benda yang kita tahu, dan banyak nikmat Allah yang kita boleh rasa. Kita boleh beribadah kepada Allah sehingga akhir hayat. Orang mati tak boleh buat semua tu. Adam faham kan?” Dia mengangguk.

“Kalau Adam sayangkan semua yang dah pergi, hadiahkan dioarang ayat-ayat quran. Kalau boleh setiap kali lepas solat. Jaga akhlak tu. Kalau perangai kita baik, insya Allah pahala akan sampai pada Mak dan Ayah kita.”

“Tak ada keluarga, tak ada kaki, tak bermakna kita tak boleh berjaya. Abang sekarang dah jadi seorang arkitek. Dah ada rumah dan kereta sendiri. Duit pun tak payah nak minta dekat orang. Yang penting, kita kena sentiasa berusaha”

Adam hanya menundukkan kepala. Air matanya berjurai lagi. Aku menurunkan semula kaki seluar yang digulung tadi.

“Dah, Dah , kesat air mata tu. Jom kita jumpa Tok dan Wan. Risau diaorang nanti”

Hari mula menginjak ke malam. Pak Teh dan Mak Teh masih memerhatikan kami dari jauh.

“Bila-bila nak jogging, Adam telefon abang tau.” Ujar Adam.

Aku hanya tersenyum sambil menepuk bahunya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.