Cerpen
: Hati Dhia
Oleh
: Isha Idiaz
*****
“MAAFKAN abang
Dhia,” ujar Diaz sambil melihat ke arah Dhia yang lena di atas ribanya. Rambut
Dhia dibelai lembut. Isterinya itu bagai sedang asyik diulit mimpi.
Bunyi air mendidih di dapur
mematikan lamunan Diaz. Kepala Dhia diletakkan di atas sofa dengan
berhati-hati. Takut isterinya itu terjaga dari tidurnya yang lena. Langkahnya
juga diatur baik-baik agar tidak mengganggu Dhia.
Setibanya di dapur, api gas
dipadamkan. Sebuah cawan diletakkan di atas meja. Dua senduk kopi dimasukkan ke
dalam cawan. Satu sudu gula di tambah kemudiannya. Secawan kopi sudah siap
dibancuh. Bau kopi semerbak di dapur itu.
Diaz menghirup kopi itu. Diletakkan
kembali cawan di atas meja. Sesuatu kurang di dalam kopi itu. Mata Azman meliar
memandang sekeliling dapur. Akhirnya matanya tertancap pada mesin pengisar.
Cepat dia mengambil pengisar itu dan menuangkan sesudu bancuhan di dalam
pengisar itu ke dalam cawan kopinya.
Kali ini, Diaz menghirup sekali lagi
kopi itu. Senyumannya lebar hingga ke telinga. Ini baru rasa kopi sebenar. Kopi
dengan cinta.
SEPULUH
minit Diaz melihat isterinya menonton rancangan yang sangat digemarinya di kaca
televisyen sehingga kepulangannya tidak disambut seperti biasa di muka pintu. Diaz
berjalan menghampiri ruang tamu rumahnya sambil melonggarkan ikatan tali
lehernya. Beg kerjanya diletakkan di atas meja.
Langkah
kakinya membawa Diaz menghampiri Dhia. Perlahan jari-jemari Diaz menyentuh bahu
Dhia. Dhia yang sedari tadi leka menonton rancangan master chef terperanjat apabila dirasakan ada sesuatu menjalar di
lehernya. Cepat-cepat dia menepis tangan itu. Hatinya sudah berdebar kencang.
Dhia menoleh ke belakang.
“Abang!”
jeritnya sekuat hati. Diaz hanya tersenyum memandang ke arahnya. Dhia pula
sudah rasa jantungnya bagai mahu melompat keluar daripada tulang rusuk.
“Kenapa?”
Diaz berpura-pura bertanya. Padahal dia sudah tahu, Dhia paling tidak suka jika
ada yang menakut-nakutkan dirinya.
Dhia
menjeling tajam. Berpura-pura merajuk. Nafas ditarik dalam-dalam. Cuba mengatur
detak jantung agar kembali normal. Masih tidak berjaya. Sehingga Diaz mengambil
tempat di sebelahnya dan memeluk erat dirinya dalam dakapan.
“Kan
sayang dah cakap saya tak suka abang buat macam tu,” ujar Dhia manja. Detak
jantung mula berdenyut seperti biasa. Bahagia. Diaz masih menyayanginya hingga
kini.
“Baiklah,
abang tak buat lagi. Abang janji,” ujar Diaz sambil mengangkat kelima-lima
jarinya ke atas seperti berikrar. Dhia tersenyum lega.
Mata
masih melekat di televisyen. Dhia masih dalam dakapan Diaz. Namun lama-kelamaan
pelukan Diaz semakin kuat hingga membuatkan Dhia sukar untuk bernafas. Dhia
yang bertubuh kecil berusaha melawan kekuatan Diaz yang memeluknya namun tidak
berjaya. Akhirnya, dengan kudrat yang ada, Dhia berjaya menolak tubuh Diaz yang
sasa ke belakang. Dhia mula merasakan hatinya tidak enak dengan perubahan sifat
Diaz yang drastik itu.
Berjaya
meloloskan diri, Dhia cepat bangkit dari sofa dan berdiri di sudut dinding.
Dipandangnya wajah Diaz. Dilihat wajah suaminya itu kemerah-merahan. Dada
suaminya berombak kencang. Tidak lama kemudian, Diaz ketawa besar. Satu rumah
hingar-bingar dengan gelak tawanya itu. Dhia menekup telinganya.
Bingit!
“Abang
ni dah kenapa?” soal Dhia memberanikan dirinya untuk bertanya.
Diaz
yang sedang gelak ketawa langsung diam. Matanya mencerun memandang Dhia. Butang
di lengan kemejanya di buka lalu di sensing lengan baju itu hingga ke siku.
Melihat keadaan Diaz saat itu, Dhia sudah mula takut.
Diaz
bangun dari sofa dan menghampiri Dhia. Dhia pula menapak satu langkah ke
belakang setiap kali Diaz menghampirinya. Sehingga pada akhirnya, Dhia sudah
terjebak di sudut dinding yang menempatkan pasu bunga besar di situ. Diaz mula
ketawa. Dia seolah-olah dirasuk hantu. Dhia ketakutan.
Satu
tapak lagi dan akhirnya kedengaran dentingan pasu bunga yang jatuh pecah di
atas lantai. Serpihan kaca tadi tertusuk di telapak kaki Dhia. Diaz yang
melihat keadaan itu hanya ketawa terbahak-bahak. Dhia mula menitiskan air mata
kerana sakit yang dialami. Darah mula keluar dan membasahi jubin lantai yang
putih bersih itu apabila Dhia mencabut serpihan kaca yang tertusuk di kakinya.
Tidak
cukup itu, Diaz mengambil serpihan pasu runcing yang pecah tadi lalu dia menikam-nikam
ke arah sofa yang mereka duduki tadi. Koyak rabak sampul sofa tersebut. Diaz
melepaskan kemarahannya kepada sofa itu. Menjerit-jerit Diaz di ruang tamu itu
bagai hilang akal lagaknya.
“Aku
sayang kau Dhia!”
“Aku
cinta kau!”
Dhia
ketakutan. Apabila namanya disebut, dirasakan jantungnya bagai mahu tercabut. Badannya
menggigil. Darah yang tadinya sedikit kini bertambah banyak mengalir keluar.
Melihat kelakuan Diaz yang berubah mendadak itu hanya membuatkan Dhia semakin
bingung.
Akhirnya,
apabila mendapat peluang melarikan diri, Dhia meloloskan diri ke dalam bilik
tidur. Cepat-cepat Dhia mengunci pintu bilik dari dalam lalu menyendalnya
dengan katil dengan harapan Diaz tidak dapat membuka pintu itu. Dhia bersandar
di dinding pada sudut bilik. Badannya menggigil. Kaki tangannya dirasakan
dingin.
Kesakitan
yang dirasakan mula menjalar ke seluruh kaki memaksa Dhia mencari kotak
kecemasan di dalam almari. Dhia membuang serpihan pasu yang masih bersisa dan
membalut kakinya semampu mungkin. Untung kotak kecemasan ini ada di biliknya.
Tidak
betah untuk tidur, Dhia hanya bersandar di dinding dan menguping setiap bunyi
yang datang dari luar bilik. Terkadang, Dhia mengintai dari bawah pintu melihat
jika Diaz berada di hadapan pintu bilik itu. Nafas lega dilepaskan apabila Dhia
mendengar suara televisyen yang sedari petang tadi menyala sudah senyap. Itu
petanda Diaz sudah tidur.
Perlahan
Dhia merebahkan dirinya di atas katil. Matanya cuba dipejamkan namun Dhia tidak
berjaya untuk tidur. Difikirannya bermain berpuluh soalan. Apa salahnya? Apa
masalah Diaz? Mungkinkah suaminya itu punya masalah di tempat kerja sehingga
suaminya bertindak kejam kepadanya.
Setitis
air mata jatuh juga di pipi. Air mata yang tadi ditahan daripada mengalir kini
membanjiri kolam matanya hingga jam lima pagi sewaktu matanya terpejam dek
kerana mengantuk dan letih yang teramat sangat.