Home Cerpen Komedi/Romantik Komedi WNT 143
WNT 143
Isha Idiaz
2/11/2013 09:49:29
7,581
Kategori: Cerpen
Genre: Komedi/Romantik Komedi

Cerpen : WNT 143

Oleh : Isha Idiaz

*****

MUKA ni yang paling aku malas nak hadap sepanjang aku hidup dua puluh lapan tahun. Tak ada ke muka mamat lain yang lagi handsomedaripada muka dia ni? Aku ukir senyum segaris bila nampak dia melambai-lambai tangannya dari jauh. Lambaian tu memang bukan untuk orang lain melainkan untuk aku yang dah lama duduk tersadai dekat kedai mamak ni dekat sepuluh minit tunggu mamat seorang ni.

Dia berlari-lari kecil datang ke arah aku. Aku rasa macam nak jerit dari jauh, janganlah datang dekat aku. Sebab kaulah, tak ada lelaki nak dekat aku ni. Tapi mulut aku macam kena gam. Aku tetap senyum sampai dia tarik kerusi depan aku dan duduk.

“Hah, awal kau sampai.” Ayat ni pun aku dah biasa dengar dan aku dah hafal. Hati aku menjerit nak cakap, pleasebagi aku ayat lain.

“Aku datang macam biasa. Kau tu yang lambat,” tulah ayat yang keluar daripada mulut aku. Dia sengih mintak simpati. Gelas aku yang berisi air teh tarik, dia tarik bawa depan dia dan dia sedut sampai separuh. Aku besarkan mata pandang dia.

“Sikit je pun. Tu pun nak berkira,” tu kata dia.

Aku tarik balik gelas, miringkan sedikit, tengok berapa banyak lagi air aku yang tinggal dalam gelas besar tu. Dia pulak senyum macam biasa.

“Kau tahu tak, perangai kau ni memang tak pernah berubah dari dulu Wan,” aku berkata seolah-olah aku memang kesal dengan perangai dia yang suka minum air aku sesuka hati. Dia bukan tak tahu aku ni jenis yang tak boleh nak share gelas dengan orang.

“Mamak, teh tarik dua,” dia jerit sekuat hati. Saja nak bagi aku dengar perkataan dua tu bagi jelas. Konon macam dia ganti baliklah air aku yang dia dah sedut separuh gelas tadi. Mamak tu pula pandang aku pelik semacam, macam aku ni alien yang baru turun dari angkasa lepas. Bukan aku yang ordersampai dua teh tarik tu. Mamat tamak depan aku ni yang order.

Apasal kau ajak aku jumpa?” soal Wan terus kepada pokok perbincangan. Aku main tolak straw dalam gelas ke kanan dan kiri. Nak cakap ke tak nak cakap? Tak nak cakap nanti, takut bila dia tahu daripada orang lain dia mengamuk pulak.

Aku tarik nafas dalam. Aku kena beritahu dia juga. “Aku dah jatuh cinta Wan.” Dan waktu tu, aku tengok mulut dia terlopong pandang aku dengan pandangan kau-biar-betul?


AKU dengan Wan bercinta? Tak mungkin. Aku kenal dia daripada aku kecil. Aku masih ingat masa aku jatuh waktu senaman, dia yang tolong lap darah dekat lutut aku. Bila aku menangis, dia yang kesat hingus aku yang meleleh keluar waktu tu. Tu belum masuk bila aku lupa bawak buku teks, dia bagi pinjam buku teks dia dekat aku sampai dia pulak kena rotan dengan cikgu. Aku dengan Wan dah macam adik-beradik. Antara kami tak ada rahsia.

“Kau suka lelaki macam mana Tia?” soal Wan satu hari pada aku.

Aku pandang Wan dengan wajah serius. Tiba-tiba keluar soalan macam ni. Waktu tu, kami tengah jalan-jalan di gigi air. Konon nak tengok sunsetsama-sama.

“Yang penting bukan lelaki macam kau,” ujar aku selamba sambil sepak cangkerang macam nak jaringkan gol bola sepak.

Waktu tu dia pandang aku, diam tiga saat dan dia ketawa. Aku pun ketawa sama. Sebab pada aku, jawapan tu jujur. Kalau aku nak pilih kekasih, aku tak nak yang macam Wan ni.

“Sebab apa kau tak nak yang macam aku?” Giliran dia pula sepak cangkerang tadi. Dia sepak sekuat hati. Sampai dua tiga cangkerang lain ikut sama terpelanting jauh dari kami.

Giliran aku pula yang diam. Aku tak tahu nak jawab apa. Wan ni bukan tak kacak. Malah, kalau letak sepuluh lelaki kacak dekat Malaysia ni, aku rasa dia lelaki yang paling kacak yang pernah aku tengok.

“Sebab kau ni over sensitive. Tengok cerita Hindustan pun nak menangis bagai nak rak.” Aku dah bersedia nak lari sebelum aku kena tibai dengan pelepah kelapa yang Wan usung dari tadi. Aku tahu Wan paling tak suka kalau aku sebut dia menangis bila tengok cerita Hindustan. Tapi betul. Aku ingat lagi waktu kami lepak tengok cerita Kuch Kuch Hota Hai, Wan menangis lagi teruk daripada aku. Sampai hujung-hujungnya, aku yang terpaksa belikan aiskrim untuk dia sebab nak pujuk dia punya pasal.

Nasib baik juga aku ni pelari pecut sekolah. Sempat jugalah aku lari dan menjarakkan diri 50 meter dari Wan yang masih lagi standby nak belasah aku pakai pelepah kelapa. Aku cuma ketawakan dia.

Macam itulah kami. Sebelum balik tu, sempat Wan tarik aku pakai pelepah kelapa tu bawak betul-betul depan gigi air dan kami sama-sama duduk pandang matahari yang mahu meninggalkan siang.

“Betul kau tak suka aku Tia?” soal Wan sekali lagi. Kali ini aku dengar intonasi suaranya macam lain sedikit dari tadi.

Aku tak terus menjawab. Aku ambil ranting pokok yang patah dan aku tulis nama Wan atas pasir. Aku tulis nama aku bawah nama Wan. Dan tak lama lepas tu, ombak datang. Nama Wan yang aku ukir tadi hilang. Tinggal nama aku seorang atas pasir tu.

Aku pandang Wan sambil tersenyum. “Kau tengok Wan, ombak pun tak suka dekat kau. Selamba je dia padam nama kau. Padahal tadi aku nak cakap, aku suka jugalah dekat kau. Ombak pun tak setuju kalau kita bersama.”

Aku tengok wajah Wan terus berubah. Dia senyap tak cakap apa lepas tu. Aku pun diam. Tak berani nak cakap apa. Takut nanti Wan bagi aku soalan lagi serius daripada dekat pantai tadi.


WAN tutup mulutnya yang ternganga bila dengar aku cakap aku cinta dekat seseorang. Dia luruskan badan dan sandar pada kerusi. Matanya yang dah sedia sepet, dia kecilkan lagi. Pandang mata aku dalam-dalam.

“Siapa?” soal Wan tiba-tiba.

Aku sedut air teh tarik tadi dua kali. Bagi tekak ni basah sikit. Rasanya menghadap ayah aku beritahu aku dah ada calon menantu untuk ayah lagi baik daripada aku menghadap Wan beritahu benda ni. Menyesal pun tak guna dah sekarang ni. Gaya Wan dah macam Detective Conan dah aku tengok.

Aku telan liur. Tiba-tiba aku jadi nervous yang amat. Aku kumpulkan balik tenaga yang aku dapat dari minum dua sedut teh tarik tadi. Gula sekarang mahal. Untung mamak ni buat teh tarik masih manis.

“Budak tempat kerja aku,” akhirnya aku bersuara. Malas nak tahan cerita lama-lama.

“Doktor?” Wan tanya lagi. Hah. Ni aku tak suka. Aku beritahu sikit dia nak suruh aku cerita banyak-banyak. Malas nak cakap, aku angguk jedua kali.

Wan masih dengan wajah serius pandang aku. Macam aku pesalah besar pula bercinta dengan mamat lain.

“Berapa lama dah kau kenal dia?” soal Wan lagi.

Aku rasa tahap kesabaran aku macam dah hilang melayan satu-persatu soalan Wan ni. Maka, aku pun sandarkan badan dekat kerusi, pandang muka Wan, tenung mata dia dalam-dalam.

Look Wan. Aku kenal dia sejak aku jadi HO dekat hospital tu sampailah sekarang ni. Dah lama aku berkawan dengan dia dan dia pun berkawan dengan aku. Sampailah semalam dia cakap dekat aku, dia cintakan aku,” ujar aku sepatah sepatah supaya Wan dengar penjelasan aku.

“Lelaki kau tak boleh percaya sangat Tia,” Wan mengingatkan aku.

Aku angguk. Ya, memang betul cakap Wan tu. “Tapi sampai bila aku kena duduk bawah ketiak kau je Wan? Sampai bila aku kena hidu bau Polo Black kau tu? Aku nak juga bau Dark Obsession.”

Wan kuak anak rambut depan dia yang jatuh ke dahi ke belakang. Keningnya bertaut rapat pandang aku. Aku harap Wan dapat terima apa yang aku beritahu dia tadi. Kalau dia tak dapat terima pun aku nak buat macam mana. Aku dah memang cintakan si Syed Fariq tu.

“Jadi sekarang kau nak cakap kau dah bosan bau Polo Black aku ni? Atau kau nak suruh aku tukar pakai Dark Obsession?” Kali ini Wan pula yang sedut air teh tarik mamak tu laju-laju. Habis lagi separuh gelas.

“Kalau kau tukar sekalipun Polo Black pada Dark Obsession aku tetap akan suka si Syed Fariq tu. Aku tahu aku yang suruh kau pakai Polo Black tu dulu sebab aku suka bau dia. Tapi tu sembilan tahun dulu Wan. Sekarang ni, kau boleh je nak tukar pakai Armani Code ke, Boss ke.”

Wan bangun tanpa cakap sepatah ayat pun dengan aku. Dia berjalan ke arah kaunter sambil hulur not dua puluh ringgit pada mamak untuk bayar air teh tarik yang dia dan aku pesan.

Keep the change!” laung Wan dari jauh bila mamak tu kejar nak pulangkan duit baki dia. Aku pula jadi macam orang bodoh pandang Wan pergi dan masuk dalam kereta Toyota Vios dia dengan nombor pendaftaran WNT 123 tu. Lepas tu, kereta tu pun laju je jalan tinggalkan aku dekat kedai mamak ni seorang diri.

Sungguh, tiba-tiba aku rasa Wan dah tak faham aku lagi. Tak macam dulu. Dia bukan macam Wan yang aku kenal dulu.


“KAU beli kereta baru ke Wan?” aku cakap dah separuh menjerit. Gembira macam apa bila tengok Toyota Vios tu parking depan rumah aku tiba-tiba. Aku ingat siapa datang. Mak ayah pun sibuk keluar ingat siapa datang. Rupanya si Wan dengan kereta baru dia. Saja datang rumah aku sebab nak berlagak katanya.

Well. Aku angkat satu yang barulah. Jemu pulak naik kereta lama tu,” ujar Wan sambil buka pintu sebelah driver bagi aku masuk. Aku pun dengan muka tak malu, masuk dalam kereta tu, duduk dah macam kereta tu aku yang punya.

“Cantik,” komen aku sepatah. Aku tengok Wan angkat kening double jerk. Banggalah tu aku puji kereta dia cantik.

“Nak aku bawak jalan-jalan tak?” Wan bagi cadangan tak bernas pada aku petang tu.

Aku geleng tanda tak setuju. Tapi Wan cepat-cepat tutup pintu kereta dan dia dah duduk dekat tempat driver,dah siap-siap masuk gear reverse.

“Wan, kau ni kan. Selamba badak je kan nak usung aku ke sana ke mari dengan kereta baru kau ni. Kau tengok tak aku pakai baju apa sekarang ni?” Aku sendiri rasa malu berjalan pakai baju macam ni.

Wan toleh pandang aku dekat sebelah. Dia ketawa kecil. Muka aku rasa macam dah kebas. Tak lama lepas tu, Wan cakap, “Comellah tu pakai baju gambar beruang dengan seluar polka dot.”

Sebab aku pakai baju beruang dengan seluar polka dot tulah, Wan tak boleh bawak aku merayau jauh-jauh. Wan kata dia tak kisah je nak bawak aku pergi shopping malldengan baju macam tu. Tapi aku yang menolak sebab malu. Tak ke haru bila aku jalan ke mall dengan baju macam tu dan lelaki dekat sebelah segak bergaya dengan seluar slackdan kemeja hitam dan tali leher merah.

Dan kami masih melepak dekat pantai yang sama zaman kami budak-budak dulu. Tengok matahari terbenam lagi. Dah jadi semacam tradisi aku dengan Wan pula bila datang ke pantai ni mesti nak tengok matahari terbenam. Selagi tak tengok tak boleh balik.

“Kau cuba baca nombor plat kereta aku tu,” ujar Wan sambil menuding jarinya pada plat hitam pada depan kereta.

Aku pandang dan ikut je permintaan Wan tadi. Aku sebut satu-satu nombor plat kereta baru dia. “WNT 143,” ujar aku pelan-pelan. Wan angguk.

“Kau tahu apa maksud dia?” soal Wan pula. Gaya Wan bertanya dah macam pengacara rancangan Who Wants To Be A Millionair. Agak-agak kalau aku dapat jawab soalan dia tu, dapat tak kereta Toyata Vios baru dia tu?

Aku geleng kepala. Angkat bahu. Ada pulak nombor plat main maksud maksud pulak. Yang aku tahu, kalau kereta tak ada nombor plat tu, maknanya kereta curi. Kalau tengah jalan kena tahan dengan JPA, alamatnya, masuk lokaplah kau.

“WNT tu maksudnya Wan N Tia. 143 tu maksudnya I Love You,” ujar Wan dengan senyuman meleret pada bibir.

Waktu pertama kali aku dengar Wan cakap ayat tu, aku rasa macam nak tersedak pun ya jugak. Aku tahu Wan ni memang romantik. Tapi bab bab macam ni aku tak suka kalau dia buat main. Mata aku dah bulat pandang Wan. Dia masih senyum tayang gigi dia yang putih.

“Kau mesti tak percaya kan?” soalnya lagi dan membawa aku kembali ke alam nyata. Sebab tadi aku rasa aku baru je dengar alien macam cakap ayat yang aku tak dapat nak digestdengan otak normal aku ni.

Aku angguk dua kali. Kami tengok matahari tenggelam dan Wan hantar aku balik. Sepanjang perjalanan kami masing-masing diam. Yang aku dengar cuma lagu I Want To Spend My Lifetime Loving Younyanyian Mark Anthonyyang berkumandang dalam Toyota Vios tu. End of the story untuk hari itu.


PEDAL minyak aku tekan sebaik sahaja aku dapat pesanan ringkas daripada Wan. Aku cuma berharap aku dapat jumpa dengan dia sebelum dia pergi. Earbud aku sumbat dalam liang telinga. Aku tekan nombor Wan dan talian bersambung. Cuma tunggu Wan terima sahaja.

Lampu isyarat menunjukkan warna merah sebaik sahaja aku dengar suara Wan memberi salam ditalian. Rasa macam nak menangis pun ada sekarang ni. Aku tengok jam pada dashboard. Dah pukul lima petang. Wan kata flight dia berlepas jam lima setengah nanti.

“Kau memang tak nak bagi aku jumpa kau ke apa?” hanya ayat itu yang keluar daripada mulut aku. Tangan aku dah mula ketuk stering kereta. Geram lampu isyarat ni tak bertukar-tukar warna. Cepatlah hijau!

Wan diam. Aku dengar dia mengeluh. “Mana ada Tia,” ujar Wan lemah.

“Dah tu, kau beritahu aku last minute ni apa hal? Nak bagi aku mati tengah jalan sebab nak bekejar ke airport jumpa kau?” Aku tak tahu kenapa waktu tu aku dah tak boleh cakap manja-manja macam selalu bila aku dengan Wan. Mungkin sebab aku tak pernah rasa Wan jauh dari aku selama aku hidup dua puluh lapan tahun dekat muka bumi ni.

“Aku tak mintak kau datang Tia,” ujar Wan dalam nada kesal.

Lampu isyarat akhirnya hijau. Aku tekan pedal minyak. Kereta aku yang kecil ni berdesup laju atas jalan raya mengalahkan kereta gah yang lain.

“Kau beranilah pergi tak jumpa aku Wan. Aku sumpah tujuh keturunan kau akan rindu aku bila kau sampai dekat Paris tu,” aku ugut Wan dengan ugutan yang entah apa-apa.

Wan diam dan memutuskan talian.


AKU nampak Wan lambai tangan pada aku sewaktu melepasi pintu pemeriksaan imigresyen. Waktu itu aku baru sahaja sampai di situ dengan nafas yang masih tecungap-cungap. Aku nampak Wan cuba senyum pada aku.

Waktu itu aku rasa aku hilang Wan buat selama-lamanya. Wan tinggalkan aku tanpa cakap apa-apa. Wan tak beritahu aku kenapa dia nak pergi Paris. Wan tak beritahu aku kenapa dia beritahu aku saat-saat akhir masa dia dah nak berlepas.

Aku tidak tahu sejak bila aku menangis dan Wan jalan terus tanpa berpaling sekalipun untuk pandang ke arah aku. Kejam sungguh Wan pada aku. Tiba-tiba aku rasa patella aku macam tak masuk pada soket dia. Cepat-cepat aku cari bangku untuk duduk dan beristighfar di situ.

Satu pesanan ringkas aku terima daripada Wan yang buat aku rasa macam nak sambung marah pada dia macam masa aku tengah memandu tadi.

Kau tak sumpah aku tujuh keturunan pun aku tetap akan rindu kau bila aku sampai dekat sana Tia. Jaga diri kau. Aku akan cari perfume paling mahal dekat sana supaya kau suka balik pada aku bila aku balik dan jumpa kau nanti.

Aku balas pesanan tu tapi sayang nombor Wan telah ditutup.


KALAU dulu setiap kali tiba waktu petang, aku dengan Wan selalu habiskan masa sama-sama duduk tepi pantai tengok matahari terbenam. Tapi sekarang, bila balik kerja, aku cepat-cepat mandi dan naik atas katil siap sedia tutup tingkap supaya aku tak tengok matahari terbenam lagi. Matahari terbenam buat aku rindu pada Wan.

Aku selak balik album waktu aku kecil. Punyalah banyak gambar aku dengan Wan. Gambar yang satu ni buat aku rasa Wan memang sayang betul dekat aku. Gambar Wan gendong aku dekat belakang badan dia.

Aku ingat masa tu hari jadi aku yang ke sebelas tahun. Masa tu ayah dengan mak buat majlis besar-besaran dekat rumah. Wan datang. Biasalah, kalau namanya birthday party adalah mak ayah buat gamesegala bagai.

Maka, aku dengan Wan pun joinlah main kerusi beracun dengan kawan-kawan yang lain. Nak dijadikan cerita, waktu aku nak duduk tu, kawan aku tarik kerusi tu dan aku terduduk atas tanah. Soal kalah tu aku tak kisah sangat sebab aku tahu kalau menang pun cuma dapat gula-gula. Tapi masa tu aku menangis sebab aku malu aku jatuh atas tanah. Baju gaun aku warna pink cair yang beropol-ropol tu kotor. Tak nak kawan-kawan ketawakan aku, aku menangis dekat situ tak bangun-bangun. Aku cakap aku sakit. Tak boleh nak bangun. Dan masa tulah Wan jadi hero, datang dekat aku, lap air mata aku dan terus gendong aku belakang badan dia.

Aku tersenyum bila ingat balik kenangan kami masa kecil. Entah bila pula aku rasa sarung bantal aku dah basah. Rupanya aku menangis juga. Album tadi aku tolak ke tepi. Tangan capai kalender di meja sudut. Aku masih menghitung hari bila Wan nak balik dari Paris. Sungguh Wan jadi manusia paling kejam sekarang. Sudah satu tahun dua bulan aku tunggu dia. Tapi tak pernah dia e-mail aku beritahu macam mana khabar dia dekat sana. Dah dapat perfumeyang boleh ganti Polo Black ke belum.


MASUK kali ini dah berapa kali Syed Fariq tu beritahu aku dia nak datang rumah jumpa mak ayah aku. Aku pula dah berapa kali cakap aku tak bersedia lagi nak bawak dia jumpa mak ayah aku. Hidup aku sekarang dah cukup serabut. Si Fariq tu pula nak menambah-nambah keserabutan aku.

“Awak tak faham ke saya kata nanti dulu,” ujar aku perlahan menahan sabar.

Syed Fariq sudah buat muka tak puas hati. Aku dah agak dia akan meroyan sekejap lagi. Sejak aku dah lama kenal dia ni, banyak perangai dia dah terserlah depan mata aku. Terutama sekali perangai dia yang panas baran ni.

“Tunggu sampai bila Tia? Sampai ovum awak dah tak boleh nak keluarkan telur lagi?” ujar Fariq yang kedengaran agak kurang ajar bagi seorang perempuan yang belajar Biologi macam aku.

Aku rasa, memang setakat ni jelah hubungan aku dengan mamat muka arab ni. Walaupun muka macam arab, tapi mulut tak ada lesen. Ada ke patut dia cakap macam tu dekat aku? Dia tak tahu ke rezeki, jodoh, zuriat tu semua pemberian Allah? Tak kira umur berapa pun, kalau Allah cakap Kun Fa Ya Kun, boleh jeaku ni nak mengandung walaupun umur aku waktu tu dah empat puluh tahun.

Aku cepat-cepat bangun dan pandang muka Syed Fariq. Air suam yang ada dalam gelas tu selamat aku simbah ke muka Syed Fariq. Puas hati aku. Kalau boleh, nak je aku suruh dia sedut air yang ada dalam kolam sebelah meja kami waktu itu sampai kering.

Aku tinggalkan Syed Fariq tercengang dan basah lencun bajunya di situ. Biar dia rasa. Selama ni aku sahaja yang rasa bila dia tengking-tengking aku depan orang ramai kalau datang waktu marah dia tu. Aku tersenyum puas. Tapi tak lama lepas tu, aku teringat balik pada Wan. Wan tak pernah buat macam tu pada aku.

“Dah tak suka Dark Obsession?” tegur suatu suara sewaktu aku melintas di hadapan salah sebuah kedai menjual pewangi badan.

Suara tu macam aku kenal. Tapi bau tadi tu bukan bau Polo Black. Aku mencari-cari tuan punya suara. Dan sekali aku terpandang seseorang yang wajahnya tak pernah aku lupa.

“Tak nak cuba bau Armani Code?” soalnya lagi dan melemparkan sebuah senyuman pada aku. Senyuman yang sama seperti waktu aku masih kecil dulu.

Aku tak tahu nak cakap apa waktu itu. Yang aku tahu, macam ada kuasa magnet yang sangat kuat yang membuatkan kaki aku melangkah menghampiri lelaki itu. Sehingga aku berdiri betul-betul di hadapannya.

“Bi-bila kau sampai?” soal aku tergagap-gagap. Air mata yang aku cuba tahan sejak tadi tumpah lagi.

Dia hulur tisu. Belum sempat aku ambil, dia dah lapkan air mata aku. Dia ajak aku duduk di kerusi panjang berhadapan kedai itu. Aku pula tak menolak. Ikut sahaja ke mana dia nak bawa aku.

“Dah cukup kan satu tahun, empat bulan, tiga hari? Aku baliklah,” ujar Wan selamba.

Aku angkat kening. Tak faham ayat Wan tadi. Ayat tu memang susah nak faham atau aku yang dah tak boleh berfikir dengan rasional saat itu pun aku tidak tahu.

“WNT 143,” ujar Wan rendah. Mengingatkan aku kembali pada nombor plat Toyota Viosnya.

“Apa kena mengena dengan nombor plat tu?” soal aku pula. Seingat aku, dulu dia cakap 143 tu maksudnya I Love You.

“143 tu bukan maksudnya I Love You sahaja. Aku ingat nak tinggalkan kau lama-lama supaya aku dapat berfoya-foya dengan minah saleh yang cun melecun dekat sana. Tapi, bila aku fikir-fikir balik, kesian pula tinggalkan kau lama-lama. Mana tahu kau rindukan aku. Jadi aku ambil keputusan, cukuplah aku tinggalkan kau setahun, empat bulan, tiga hari ikut nombor plat kereta aku tu,” ujar Wan panjang lebar.

Sungguh, aku tak percaya, ada lelaki dalam dunia ni yang fikiran dia ke laut sampai macam tu sekali. Tapi memang ada. Dan lelaki tu sekarang tengah duduk sebelah aku, tayang botol minyak wangi Armani Code tu dekat aku.

“Wangi ke?” soal aku dua patah.

“Nak aku pakai ke?” soal Wan balik pada aku.

“Tapi aku lagi suka kau pakai Polo Black Encik Azwan. Serious bau kau sekarang busuk gila. Minyak wangi apa kau pakai?” soal aku dan bangun meninggalkan Wan di kerusi panjang itu.

“Hei Cik Atia. Tunggulah. Aku pakai Armani Code kotsekarang. Ada ke kau kata busuk? Membazir je aku beli sebotol lagi Armani Code ni tau,” jerit Wan agak kuat sambil mencium bajunya. Aku hanya tersenyum melihat gelagatnya.

©Hak Cipta Terpelihara : Isha Idiaz

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.