Home Cerpen Islamik Ramadhan Pertamaku di Perantauan
Ramadhan Pertamaku di Perantauan
Isha Idiaz
17/5/2013 22:32:57
2,403
Kategori: Cerpen
Genre: Islamik

Ramadhan Pertamaku di Perantauan

Oleh : Isha Idiaz

*************

ANGIN malam yang bertiup lembut mengibarkan rambut ikal milik Arisha yang duduk di jendela merenung kosong ke luar tingkap bilik yang menghadap ke jalan raya. Sayup-sayup kedengaran suara orang mengaji daripada masjid berdekatan. Serta-merta rasa sayu mengetuk pintu hatinya, membawa bersama rasa hiba.

Ini malam pertama dia di Indonesia. Petang tadi buat pertama kalinya dia menjejakkan kaki di tanah negara jiran ini membawa bersama cita-cita serta harapan ibu bapanya. Dan hari esok hari pertama dia bakal melaksanakan ibadah puasa yang pertama di perantauan. ‘Moga segalanya dipermudahkan buat dia bersama rakan-rakan yang lain pada hari esok’,bisiknya dalam hati.

Syaza memandang ke arah Arisha. Dilihat riak muka Arisya masih sugul. Syaza datang menghampiri dan duduk di sebelah Arisha. “Kak Sha tak nak tidur lagi?” soal Syaza sambil tangannya memegang lembut jari jemari Sha yang lebih tua dua tahun darinya itu.

Arisha menoleh. Sebuah senyuman diukirkan di bibirnya yang nipis. Matanya menyorot ke arah tangannya. Lalu, tangan Syaza di pegang di dalam genggamannya. “Sekejap lagi akak tidur. Syaza tidur la dulu ya.” Matanya memandang Syaza yang tersenyum memandangnya.

“Akak puasa tak esok? Akak bangun sahur?” soal Syaza kembali. Wajah Arisha di tatapnya lagi menunggu jawapan. Sungguh, Arisha sangat cantik. Dengan sepasang mata yang bulat, hidung yang mancung, serta mulut yang comel melengkapkan kecantikkan pada mukanya yang bujur sirih itu. Syaza tersenyum kembali.

Melihat Syaza tersenyum seorang diri sambil memandangnya, muka Arisya memerah. “Ish, apa sengih-sengih tu. Makruh tau. Akak puasa esok. InsyaAllah akak bangun sahur nanti,” tenang Arisha menjawab. Pandangannya di halakan kembali ke luar jendela.

“Akak ni asyik termenung pandang ke luar je. Ingat boyfriend yang tertinggal dekat Malaysia ke?” soal Syaza.

“Hmm? Boyfriend? Akak mana ada boyfriend la sayang. Dah pergi tidur. Nanti esok tak sedar nak sahur pulak.” Arisha menepuk-nepuk bahu Syaza, rakan sebiliknya itu. Akur dengan kata-kata Arisha, Syaza bangkit dan menuju ke katilnya.

Arisha hanya memerhati. Syaza sudah menarik selimut menutupi badannya. Setelah dilihat Syaza selesa, Arisha bangkit dan menuju ke suis, lalu memadamkan lampu bilik itu. Keadaan bilik gelap serta merta. Kini, biliknya hanya diterangi oleh cahaya lampu neon yang samar-samar masuk menerusi tingkap biliknya yang masih belum di tutupi oleh langsir.

Satu keluhan dilepaskan. Pandangannya masih memandang ke luar. Lututnya diangkat dan tangannya memeluk kakinya. Kepalanya dilentokkan di atas lututnya. Di luar, pokok bunga kertas bergoyang-goyang di tiup angin. Terasa udara dingin masuk ke biliknya di celah-celah pintu. Fikirannya kembali mengingati kenangan menyambut Ramadhan bersama keluarganya sewaktu dia di Malaysia. Dan tanpa dipaksa, manik-manik jernih menitis di pipinya. Ya, dia rindu keluarganya.

Tidak mahu melayan rasa rindu yang bertandang di hati, Arisha bingkas bangun menuju ke bilik air untuk mengambil wudhu’. Setelah itu, telekung disarungkan ke badan. Sajadah di hampar mengarah ke arah qiblat. Setelah selesai menunaikan solat sunat hajat, al-Quran yang diletakkan di atas meja di capai. Suaranya merdu mengalunkan ayat-ayat suci al-quran.

Syaza yang masih belum tidur terkesima mendengar alunan ayat al-quran yang dibaca oleh Arisha. Suaranya sungguh merdu. Sungguhpun ianya diselangi dengan sedu-sedan, namun suara itu masih merdu untuk di dengar. Sayu juga hati Syaza mendengarnya. Tidak disangka pipinya juga dibasahi air mata. Akhirnya Syaza dan Arisha tertidur juga bersama kenangan menyambut Ramadhan bersama keluarga.

**************

SAHUR!! Sahur!!” Suara itu kedengaran jelas ditelinganya. Suara seorang lelaki. Bunyi gendang dipalu juga kedengaran sesudah suara itu melaungkan kata sahur.

“Sahur!! Sahur!!” Suara itu kedengaran lagi. Arisha tersedar dari tidur. Digosok-gosokkan matanya. Dia bukan bermimpi. Jelas suara itu kedengaran daripada bawah kolej kediamannya ini.

Tok Tok. Pintu biliknya diketuk. Arisha melihat jam yang tertera di telefon bimbitnya. Jam empat pagi. ‘Siapa pula yang datang pagi-pagi begini?’ bisik hatinya.

Tok Tok. Sekali lagi pintu biliknya diketuk. “Assalammualaikum.” Akhirnya suatu suara mengucapkan salam daripada luar bilik. Arisha menghampiri jendela yang terletak dihujung kakinya. Di selak langsir yang menutupi jendela. Kelihatan dua gadis bertudung labuh berdiri di hadapan pintu biliknya.

“Waalaikummussalam, kenapa kak?” soal Arisha. Setelah dikenal pasti dua gadis itu merupakan seniornya di situ, pantas Arisha membuka jendelanya dan menjengukkan kepalanya ke luar.

“Bangun sahur dik. Ni akak hantar nasi untuk sahur,” salah seorang daripada gadis bertudung labuh itu menjawab.

“Owh. Sekejap ya kak. Sha buka pintu sekejap.” Arisha bingkas bangun daripada katil dan mencapai kunci yang masih melekat di pintu almarinya. Pantas juga kakinya mengarah ke pintu, lalu memasukkan kunci ke tempatnya dan tombol pintu dipulas.

“Berapa orang ya bilik ni?” Mariam bertanya. Sebelah tangannya menjiijit beg plastik besar yang dipenuhi dengan polistrin.

“Tiga orang kak,” Arisha menjawab. Pantas Mariam mengeluarkan tiga bungkus polistrin lalu diserahkan kepada Arisha. Arisha mengambil polistrin yang diberi seraya mengucapkan terima kasih.

“Cepat sahur ya. Sampai empat setengah. Kejut kawan-kawan tu bangun. Jangan tak makan, esok banyak kerja nak buat,” sempat Mariam berpesan sebelum berlalu meninggalkan Arisha dan menuju ke bilik sebelah untuk mengedarkan makanan untuk bersahur kepada adik-adik kelas yang baru. Arisha mengangguk tanda faham.

Setelah pintu bilik ditutup, Arisha menuju ke kotak suis lalu menghidupkan lampu bilik. Arisha menghampiri Syaza dan Suhaila untuk mengejut mereka berdua yang masih lena diulit mimpi. Mujur kedua-duanya terus bangun apabila dikejut.

Sementara menunggu Syaza dan Suhaila membasuh muka dan menggosok gigi sebelum bersahur, Arisha teringat satu hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar ra. Beliau berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya mengirim rahmat ke atas mereka yang memakan sahur."Bersahur merupakan salah satu fadhilat di bulan Ramadhan. Mungkin ramai yang tidak mengetahui hikmah di sebalik bersahur ini.

Bekas polistrin di buka. Kelihatan nasi, ayam goreng lada tanpa kuah, sup sayur, dan tempe goreng di dalam polistrin itu. Itulah makanan pertama untuk mereka bersahur sebagai perantauan. Alhamdulillah. Meskipun tidak sebanyak dan sesedap lauk yang dihidangkan di rumah, Arisha tetap bersyukur.

***************

PANAS mentari di bumi Makassar ini semakin menggila. Hari ini, destinasi pertama mereka adalah ke fakulti kedokteran di Universitas Hasanuddin ini. Dengan dua buah bas, mereka menuju ke fakulti untuk sesi pendaftaran dan taklimat ringkas mengenai universitas.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki ke fakultas, semua mata bertumpu ke arah mereka. Naik segan mereka dibuatnya. “Kita ni alien ke sampai diorangpandang macam tu?” tanya Dila. “Tudung aku senget ke?” tanya Tasya pula. “Kita normal je. Diorang tu yang tak normal dok pandang kita macam nak telan,” Arisha akhirnya bersuara. Akhirnya tawa mereka terhambur juga. Itulah pengalaman pertama menjejakkan kaki ke kampus ini.

Setelah selesai sesi taklimat di universiti, dengan bantuan senior-senior, kini, mereka di bawa ke Alaska iaitu pusat menjual barang-barang elektrik dan bermacam-macam barang keperluan yang mereka perlu ada untuk survive di sini. Senarai barang-barang yang harus di beli telah disediakan oleh senioryang bertugas. Siapa sangka pelajar seperti kami yang pertama kali menjejakkan kaki ke bumi Indonesia ini harus membeli kipas angin, water dispenser, dapur, dan rice cookerdan bermacam-macam peralatan lagi.

Tasya menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Akhirnya dia bersuara. “Macam mana nak pilih water dispanser ni? Aku tak pernah beli.” Matanya meliar memandang water dispanser yang dipamerkan di rak-rak.

“Aku pun tak pernah beli juga. Kau pilih jelah yang mana yang kau berkenan Tasya. Dah macam mak mak pula kita ni kena beli semua benda-benda ni,” ujar Arisha sambil membelek-belek rice cooker berjenama Cosmo.

Wei la. Kau tengok brand dia ni cap apa. Mana yang bagus pun kita tak tahu,” sampuk Dila. Matanya masih membaca diskripsi rice cookerberjenama Cosmo yang sedang dibelek oleh Arisha.

Tasya kembali dengan satu water dispenser cool and hot.“Cosmo pun Cosmo la Dila. Yang penting, bila kau nak masak nasi, dia masak,” ujar Tasha sambil terkekeh-kekeh ketawa. Dila membulatkan matanya tanda geram dengan kata-kata Tasha.

“Ha, tak puas hati la tu. Kau pergi tanya Kak Maria tu mana yang bagus,” ujar Tasha apabila dilihat Dila sudah memuncungkan bibirnya.

Alisha hanya tersenyum melihat gelagat teman-temannya daripada diploma ini. “Semua pun bagus walaupun cap ayam. Nak selamat amik yang ada guarantee lima tahun. Kita kan lima tahun dekat sini. Kira ok la tu kan,” ujar Alisha sambil mengangkat rice cooker Cosmo tadi dan diletakkan ke dalam trolley.

Semua mengangguk tanda setuju. Sudahnya, mereka membeli barangan elektrik yang mempunyai guarantee selama lima tahun. Nak memilih pun, ini kali pertama mereka berbelanja barang-barang elektrik.

Pinggan, cawan, baldi, dan perkakas rumah yang lain turut dibeli. Gaya mereka sudah seperti ibu-ibu yang sibuk berbelanja di Alaska ini sempena persiapan hari raya walaupun hari ini baru satu Ramadhan.

Dila menyinggung tangan Tasya. Bibirnya diarahkan ke seorang perempuan yang sedikit berumur. “Kau tengok makcik tu Tasya. Kau tengok barang-barang yang dia beli. Lebih kurang macam kau je.” Dila sudah tersengeh-sengeh memandang Tasya dan perempuan tadi silih berganti.

“Cik kak, kau tengok trolleykau tu. Lebih kurang penuh je macam nenek tu punya trolley,” ujar Tasya tidak mahu kalah. Arisha akhirnya tertawa. Memang benar. Barang yang mereka beli ini memang banyak. Entah berapa harganya mereka juga tidak tahu.

Barisan masih panjang untuk membuat pembayaran di kaunter, bahang mulai terasa apabila semuanya bercakap tidak henti. Tekak Arisha mula berasa dahaga. Jika diikutkan badannya, mahu sahaja dia memotong barisan dan membuat pembayaran. Namun niatnya terbantut apabila Alisha teringat Sabda Rasulluh yang diriwayatkan oleh Shahih Ibnu Khuzaimahyang bermaksud: “Dia (bulan Ramadhan itu) ialah bulan kesabaran dan ganjaran kesabaran itu ialah masuk syurga.”

Otaknya menerawang ke zaman dia bersekolah dahulu. Ustazahnya pernah berpesan, kesabaran adalah ganjaran pahala tanpa perhitungan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala di dalam Surah Az-Zumar ayat sepuluh, “Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.”

Akhirnya tiba juga gilirannya untuk membuat pembayaran setelah hampir sejam berdiri menanti. Tertera di mesin kira jumlah yang harus dibayar. Tiga puluh keping not seratus rupiah dihulurkan kepada juruwang. Kemudian, barang-barang dibawa ke tempat pembungkusan. Setelah semua selesai berbelanja, mereka beredar meninggalkan Alaska dan pulang kembali ke RuSuNaWa iaitu kolej kediaman mereka untuk bersiap-siap keluar berbuka puasa.

*****************

JAM sudah menunjukkan pukul lima petang. Sejam lagi sudah masuk waktu berbuka puasa. Hari ini mereka tidak tahu akan berbuka di mana. Semuanya diuruskan oleh senior. Seperti yang dijanjikan, mereka telah berkumpul di Aula RuSuNaWa untuk sama-sama bertolak ke tempat berbuka puasa.

Setelah beberapa minit berada di dalam bas, Alisha mula bertanya, “Kak,kita berbuka dekat mana hari ni?” Seingatnya jalan ini seperti jalan menuju ke Alaska tengah hari tadi.

Mariam menoleh memandang Alisha yang duduk di sebelahnya sambil tersenyum. “Hari ni kita berbuka di Rumah Makan Wang Solo,” jawabnya perlahan. Pandangan dialihkan kembali ke hadapan.

“Owh. Kak, dekat sana ada ais tak?” soal Alisha lagi. Hari ini dia berasa sangat dahaga. Jika di rumah, ibunya pasti menyediakan dua air sewaktu berbuka. Satu air panas dan satu lagi air yang dingin.

Mariam tersenyum mendengar soalan Alisha itu. Dulu, dia juga menanyakan soalan yang sama kepada senior sewaktu mula-mula sampai di sini. “Ada. Kenapa? Haus sangat ke?” soal Mariam pula.

Alisha tersipu-sipu malu. Memang benar dia sangat dahaga. “Sha tak pernah minum air yang tak ada ais kak. Kalau minum air mesti nak yang sejuk. Kalau tidak, mesti Sha muntah,” ujar Alisha berterus-terang.

“Sha pernah dengar tak, kewajipan puasa ini bukan hanya sekadar menahan diri daripada makan dan minum atau perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari, bahkan kita harus mengawal hawa nafsu,” ujar Mariam. Alisha mengangguk-angguk tanda pernah mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Mariam tadi.

Rasullullah pernah bersabda, berapa banyak orang yang berpuasa tidak mendapat sesuatu daripada puasanya selain lapar dan dahaga. Jangan kita jadi macam tu. Rugi je kita berpuasa sehari suntuk,” tambah Mariam lagi.

“Betul tu kak. Ustazah Sha pernah cakap dulu, para ulama’ ada mengatakan,Sekiranya perutmu kenyang, anggota-anggota lain akan lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar kesemua anggotamu akan kenyang,” ujar Alisha. Mariam membenarkan kata-kata yang diucapkan oleh Alisha itu.

Hampir setengah jam perjalanan, akhirnya mereka sampai ke destinasi iaitu di Rumah Makan Wang Solo. Saat melalui kedai-kedai kecil di dalam rumah makan itu, Alisha melihat jus oren yang dingin. Menyeringai tawanya memandang Mariam sambil menudingkan jarinya ke arah jus oren yang dingin itu. Mariam sudah tersenyum melihat gelagat Alisha. Mereka memilih tempat duduk untuk berbuka jam enam nanti.

Sementara menunggu waktu berbuka puasa, mereka mengambil peluang untuk beramah mesra antara satu sama lain. Baru hari ini mereka dapat bertukar-tukar cerita bersama seniorkerana ini baru hari kedua mereka berada di Indonesia.

“Kak, dekat sini tak ada bazaar Ramadhan ke?” soal Tasya tiba-tiba. Seingatnya, sepanjang perjalanan tadi dia tidak melihat gerai-gerai di tepi-tepi jalan menjual kuih-muih dan sebagainya seperti yang ada di Malaysia.

Semua mata bertumpu kepada Mariam menanti persoalan Tasya tadi berjawab. Mariam berdehem sedikit. Satu persatu wajah dihadapannya dipandang. “Ha, ni akak nak beritahu. Harap maaf ya, dekat Makassar ni tak ada bazaar Ramadhan,” akhirnya Mariam menjawab. Semua mulut sudah melopong memandangnya.

“Akak ni main-main lah,” ujar Dila sambil menghadiahkan senyuman kelatnya. Tidak dapat dia terima hakikat di Makassar ini tiada bazaar Ramadhan.

“Adik-adikku sekalian, sila terima hakikat ya di sini tiada bazaar Ramadhan,” ujar Mariam tenang. Jelas terpancar riak kecewa pada setiap wajah yang ada di hadapannya kini.

“Habis tu ada apa je kak dekat sini? Expo ada tak?” soal Alisha pula. ‘Jangan kata expo juga tidak ada,’ bisik hati Alisha. Sehutan-hutan Bandar Jengka tu pun ada bazaar Ramadhan dan expo jika masuk bulan puasa.

“Expo tu Jengka je ada Sha oii. Dah bazaar pun tak ada. Inikan pulak expo,” tutur Tasya dalam nada kecewa. Satu keluhan dilepaskan. Serentak Dila dan Alisha bersama teman seangkatan yang lain melepaskan keluhan.

Melihat kesemua junior-juniornya bermuram durja, akhirnya Mariam bersuara, “Kita bila ada di Malaysia, setiap gerai yang ada di bazaar Ramadhan tu semua kita nak singgah. Kalau boleh, dengan gerai-gerai tu sekali kita nak beli, kan?” Alisha, Tasya dan Dila masing-masing menganggukkan kepala mereka. Begitulah cara mereka jika mereka berkunjung ke gerai-gerai di bazaar Ramadhan.

Memandangkan semua membisu, Mariam meneruskan penerangannya. “Sepatutnya, orang yang berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras hati dan malas untuk taat kepada Allah. Jadi, bersyukurlah bila kita tercampak di bumi Makassar ni. Setidak-tidaknya, kita merasai kesan puasa itu kepada diri kita sendiri. Inilah kelebihan kita sebagai perantauan,” jelas Mariam bersungguh-sungguh.

Semua yang mendengar mengangguk-anggukkan kepala tanda faham dengan penerangan Mariam tadi. ‘Benarlah, dakwah Islam itu boleh disampaikan di mana-mana,’ bisik hati Arisha. Ini satu lagi kelebihan yang mereka perasan sejak pertama kali menjejakkan kaki di bumi Makasar ini.

Akhirnya suara azan berkumandang menandakan sudah masuk waktu berbuka puasa. Setelah membaca doa berbuka puasa, sekotak kurma dihulurkan bagi mengagih-agihkan kurma kepada setiap seorang bagi mempraktikkan amalan sunah Rasullullah sewaktu berbuka.

Sempat Mariam berpesan sewaktu mereka menjamah kurma, “Nabi s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda baginda, “Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan makan sahur.” Jangan lupa tu.”

Mereka semua tersenyum mendengar kata-kata Mariam. Setelah selesai menjamah kurma, mereka menunaikan solat Magrib di tempat yang disediakan di rumah makan itu.

Jika diikutkan nafsu, mahu sahaja disumbat perutnya dengan pelbagai juadah yang pertama kali dijumpainya. Namun teringat pula hadith Rasullullah yang menyebut, “Takungan jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika dia enggan, maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan, sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya.” Segera Arisha berhenti makan sebelum dia merasa kenyang.

****************

MELIHAT jam hampir ke pukul tujuh malam, pantas Alisha mengeluarkan telefon bimbitnya daripada beg sandang yang dibawanya. Sebuah pesanan ringkas dikirimkan kepada mamanya.

Assalammualaikum. Selamat berbuka buat mama, ayah dan adik-adik. Jangan risau, angah dah berbuka.

Butang hantar ditekan. ‘Semoga keluarganya mendapat rahmat di bulan Ramadhan ini,’ doa Alisha dalam hati.

Inilah Ramadhan pertamanya di perantauan. Meskipun serba kekurangan jika dibandingkan dengan keadaan di Malaysia, namun Alisha masih bersyukur kerana dia masih dapat menjamah makanan sewaktu berbuka puasa. ‘Selangkah, demi selangkah, dengan rahmatMu, Tuhanku, ku tempuh jua’ doanya dalam hati. Teringat bait-bait lagu Harapan Ramadhan dendangan Raihan.

Ku mengharapkan Ramadhan, kali ini, penuh makna,

Agar dapat, ku lalui. dengan sempurna,

Selangkah, demi selangkah,

Setahun, sudahpun berlalu,

Masa yang pantas berlalu,

Hingga tak terasa ku, berada di bulan Ramadhan, semula.

Ku mengharapkan Ramadhan, kali ini, penuh makna,

Agar dapat, ku lalui, dengan sempurna,

Puasa, satu amalan,

Sebagaimana yang di perintahkan,

Moga dapat ku lenturkan,

Nafsu yang selalu membelenggu diri tiada henti-henti.

Ku mengharapkan Ramadhan, kali ini, penuh makna

Agar dapat, ku lalui, dengan sempurna,

Ku mengharapkan Ramadhan, kali ini, penuh makna

Tak ingin ku, biarkan Ramadhan, berlalu saja,

Tuhan pimpinlah, daku yang lemah,

Mengharungi, segalanya, dengan sabar,

Ku mengharapkan Ramadhan, kali ini, penuh makna,

Agar dapat, ku lalui, dengan sempurna.

Ku mengharapkan Ramadhan, kali ini, penuh makna,

Agar dapat, ku lalui, dengan sempurna,

Ku memohon, pada Tuhan, diberikan kekuatan,

Ku merayu pada Tuhan, diterima amalan.

Selangkah, demi selangkah,

Dengan rahmatMu, oh Tuhanku, ku tempuh jua.

Air matanya yang jatuh diseka dengan hujung baju. Senyuman tawar dihadiahkan kepada teman seangkatan yang merasai perasaan yang sama sepertinya saat ini. Ramadhan pertama mereka sudah terasa syahdu begini. Bagaimana perasaan mereka nanti sewaktu menyambut Syawal Pertama di Perantauan? Pantas Alisha cuba mengalihkan tumpuannya. Tidak mahu air matanya menitis lagi.

**************

© Hak Cipta Terpelihara : ~Isha Idiaz~

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.