JALAN
HATI
Oleh
: Isha Idiaz
*****
PUAN
Faridah bingkas bangun dari sofa. Wajahnya sudah merona merah. Berita yang baru
disampaikan oleh anak sulungnya Fahmi tadi betul-betul menghancurkan hatinya.
“Ibu tak
setuju Mie,” tegas Puan Faridah menuturkan sebaris ayat itu.
Fahmi
tahu pasti ibunya akan naik angin jika diberitahu akan hal ini. Namun, dia
harus menyampaikan hal ini kepada keluarganya dahulu sebelum dia menyampaikan
hal ini kepada orang lain. Fahmi memandang ke arah Encik Farid.
Encik
Farid menggeleng. “Abah pun tak setuju. Benda nikah kahwin ni bukan boleh
dibuat main. Kamu fikir menikah ni senang macam ABC ke?”
“Tapi ni
keputusan Mie, abah, ibu,” ujar Fahmi seakan-akan meminta simpati dari Puan
Faridah dan Encik Farid.
“Kamu
bayangkan Mie, ini kamu baru beritahu ibu dan abah dan reaksi kami sudah
sebegini. Kamu boleh bayangkan tak kalau keputusan kamu ni diketahui oleh orang
lain, apa orang lain kata? Tak takut dengar cakap-cakap orang dekat luar sana
tu?” Puan Faridah cuba menyedarkan anak bujangnya itu.
“Jangan
fikirkan diri kamu sahaja Fahmi. Fikir juga impak keputusan yang bakal kamu
ambil dengan orang disekeliling kamu,” tambah Encik Farid.
“KAU
fikir apa?” tegur Karl apabila melihat Fahmi termenung jauh. Wajah Fahmi yang
kusut itu memancing dia untuk melabuhkan punggung di sebelah lelaki itu.
Fahmi menggeleng perlahan. “Tak ada
apa,” ujar Fahmi tenang seraya menebarkan pandangan ke arah sawah yang
terbentang di hadapan pondok kecil itu.
Tenang. Sudah lama dia tidak
menjejakkan kaki ke sini. Namun, kali ini, dia gagahkan juga diri untuk kembali
ke kampung halamannya ini. Dia harus membuat satu keputusan yang besar. Malah
keputusan itu akan mengubah hidup dia dan juga orang yang dia sayang.
“Aku tengok kau termenung jesejak balik kampung ni. Kau dah tak
biasa duduk dekat kampung atau kau rindu orang dekat bandar sana?” Kata-kata
Karl itu disambut dengan tawa kecil Fahmi. Cermin mata yang melorot ke pangkal
hidung di tolak ke atas.
“Kau rasa?” Kali ini Fahmi pula
cuba membaca fikiran Karl. Karl merupakan teman baiknya sejak zaman mereka
berdua masih budak-budak hingusan dahulu.
Karl jungkit bahu. “Aku rasa kau
rindu dekat orang bandar,” jujur Karl menjawab. Wajah Fahmi ditatap. Karl lihat
Fahmi melepaskan sebuah keluhan berat. Perlahan dia menepuk bahu teman baiknya
itu.
“Hidup maknanya pilihan Karl,” ujar
Fahmi rendah. Pandangannya kini dicuri oleh burung pipit yang sedang berebut
mendapatkan padi yang sedang masak. Nampaknya, orang-orang yang dipacak di
sawah itu tidak mampu menghalau burung pipit yang kelaparan.
“Buatlah pilihan yang betul Mie
kalau kau adalah orang yang memilih,” ujar Karl penuh makna. Fahmi tahu maksud
Karl. Kepalanya diangguk perlahan.
“Susah bila kita dipilih dan kita
harus memilih,” ujar Fahmi seolah-olah mengeluh.
“Nak buat macam mana. Siapa suruh
kau jadi Mr. Nice Guy,” perli Karl.
Fahmi tersengih menunjukkan baris
giginya yang putih dan tersusun.
“Kalau aku ni jadi kau, memang tang tu juga
aku pilih. Tak ada fikir-fikir. Kau pun tahu tasteaku macam mana kan. Seksi, gebu, dahi licin,” ujar Karl
seraya bangun melarikan diri sebelum dia dihambat oleh Fahmi.
“Tu pilihan kau, bukan aku!” laung
Fahmi kepada Karl yang sudah berlari ke batas sawah.
MEREKA
bertiga sudah sepakat untuk bertemu di Café Amour jam sembilan pagi. Belum jam
sembilan, ketiga-tiganya sudah ada di situ. Hari yang mendung seolah-olah
memahami kekusutan hati Fahmi.
“Fariza
dan Farisha nak pesan apa?” soal Fahmi seraya memandang kedua-dua insan yang
dicintai olehnya.
“Macam
biasa,” jawab kedua-duanya serentak. Fariza dan Farisha berpandangan sesama
sendiri. Ada riak marah di wajah Fariza. Ada riak tenang di wajah Farisha.
Sempat Farisha mengukir sebuah senyuman untuk Fahmi sekaligus membuang rasa
bersalah yang bersarang di hatinya saat itu.
Setelah
pelayan berlalu pergi, Fahmi berdehem beberapa kali. Fariza dan Farisha yang
dari tadi melayan hati masing-masing, kini menumpukan perhatian kepada Fahmi.
“Hidup
maknanya pilihan. Kiri dan kanan menunggu kata putus,” ujar Fahmi memulakan
bicara. Terasa gugup juga nak meneruskan kata-kata apabila Fariza dan Farisha
masing-masing memandangnya dengan penuh harapan.
“Dan hari
ini saya dah memutuskan dengan siapa akan saya habiskan masa saya seumur
hidup,” tambah Fahmi menghabiskan kata-katanya tadi yang seolah-olah
tergantung.
Sebaik
sahaja dia selesai menuturkan semua yang berada di benak dan hatinya, Fahmi
lihat Fariza dan Farisha masing-masing keliru. Sejujurnya, dia sendiri
ragu-ragu dengan keputusannya. Namun, untuk kebaikan bersama, dia tetap harus
membuat keputusan. Fariza cinta pertamanya, tidak tega dia melukakan hati
perempuan yang sentiasa ada di kala senang dan susah dirinya. Farisha cinta
yang dia sering nafikan, cinta yang dia kenal melalui erti pengorbanan.
ANGIN
yang bertiup di pantai itu menampar lembut pipi Farisha. Dingin. Sedingin hati
dan cintanya buat Fahmi.
“Awak
cakap akan tunggu saya,” ujar Farisha rendah. Suaranya tenggelam timbul dibawa angin.
Fahmi
berdiri tepat di belakang Farisha. Dia tahu gadis itu kecewa. Dia tahu gadis
itu sengsara. Namun, itulah pilihannya. Jika Farisha setuju dengan pilihannya,
maka Farisha akan menemaninya hingga hujung usia.
“Saya
memang tunggu dan masih menunggu awak sampai saat ini Farisha,” ujar Fahmi
rendah. Burung layang-layang yang terbang pulang ke sarang memberi petunjuk
matahari akan melabuhkan sinarnya dalam masa terdekat.
“Jika awak hanya punya satu
pilihan, masihkan awak pilih saya atau awak akan pilih Fariza?” soal Farisha
tenang. Kini, mata mereka berlaga. Farisha ingin mencari sebuah kejujuran dari
Fahmi. Fahmi mencari sebuah keikhlasan dari Farisha.
“Awak tahu jawapan saya Farisha,”
ujar Fahmi tegas.
Farisha tersenyum. Dia tahu benar
perangai Fahmi. Jika A katanya, maka sampai ke hujung, A jugalah pilihannya.
“Awak memang keras kepala,” komen
Farisha dan membalikkan kembali pandangannya memandang ombak yang menghempas
pantai.
“Dan awak sangat memahami. Terima
kasih kerana sudi berkorban untuk saya,” ujar Fahmi seolah-olah memujuk Farisha
yang sedang berperang hatinya.
“Saya tak cakap saya setuju,”
Farisha seolah-olah bermain kata.
“Saya juga tak suruh awak setuju,”
ujar Fahmi. Serentak itu, Farisha memandang ke arahnya. Setitis air mata
dilihat jatuh membasahi pipi gadis itu. Fahmi hanya membiarkan gadis itu
berlalu membawa hatinya yang remuk dihancurkan oleh dirinya.
Farisha perlu masa.
“AWAK tahu saya tak suka dia,” bentak
Fariza sebaik sahaja wajah Fahmi muncul di hadapannya.
Fahmi
angguk. “Dan saya juga tahu awak juga tak akan tinggalkan saya,” ujarnya
memujuk Fariza.
“Kenapa
awak buat macam ni pada saya Mie?” lirih kedengaran suara Fariza. Dia lihat
wajah Fariza pucat tanpa sebarang solekan. Perempuan itu terlihat seperti
sakit.
“Kerana
saya harus memilih dan saya tak boleh memilih. Saya perlu awak dan Farisha
untuk bantu saya membuat pilihan,” tenang Fahmi menerangkan.
“Awak
pengecut Mie,” ujar Fariza sinis.
“Hidup
maknanya pilihan Fariza. Ya, saya pengecut kerana saya tak berani untuk memilih
antara awak dan juga Farisha bila kalian menunggu kata putus dari saya. Saya
pengecut kerana saya tak sanggup korbankan awak mahupun Farisha. Saya pengecut
kerana saya tidak ambil jalan terus, jalan yang paling selamat untuk diri saya
sendiri dan mengecewakan kalian.” Fahmi seolah-olah menyalahkan sekaligus
membela dirinya sendiri. Dia mahu Fariza berfikir dengan waras.
“Dan
awak takut untuk kecewakan kami berdua?” duga Fariza. Fahmi mengangguk. Fariza
ketawa kuat. Menutup kegusaran hatinya.
“Awak
memang Mr. Nice Guy Fahmi. Kalau ada
anugrah pelakon lelaki terbaik, saya rasa awak boleh rangkul anugrah tu,” perli
Fariza seraya melangkah keluar dari Restoran Cinta Sayang itu.
UNTUK kesekian kalinya, Farisha duduk
termangu di sudut bilik sambil bersandar pada katilnya. Satu-persatu fotonya
bersama Fahmi dilihat kembali. Peristiwa yang membuat hatinya terpaut pada
Fahmi kembali menerjah ingatan.
“Maaf,” ujar Farisha sewaktu terlanggar
seseorang sewaktu dia terburu-buru menuruni tangga. Wajah insan yang baru dia
langgar tadi tidak dilihat. Farisha hanya tunduk memandang lantai. Yang dia
lihat hanya kasut Converse hitam yang dipakai oleh insan itu.
“Tak apa,” jawab pemilik kasut Converse
hitam itu tanpa berganjak sedikit pun dari tempatnya. Farisha juga seolah-olah
kaku di situ.
Kerana masing-masing tidak berganjak,
perlahan-lahan Farisha mengangkat mukanya memandang insan itu. Sah insan itu
seorang lelaki melalui suara yang didengarnya sebentar tadi.
“Saya Fahmi. Awak?” soal Fahmi selamba
tanpa sedikitpun berganjak dari tempat dia berdiri.
“Err. Err.” Tergagap-gagap Farisha ingin
memperkenalkan dirinya pada Fahmi yang tidak pernah dia kenal sebelumnya.
“Okey. Tiada paksaan untuk memperkenalkan
diri. Ladies first,” ujar Fahmi
seraya membungkukkan badannya dan mendepangkan tangan kirinya ke samping untuk
memberikan laluan kepada Farisha untuk menuruni anak tangga tersebut.
Farisha hanya menurut tanpa banyak bicara.
Dan mulai detik itu dia rasa cintanya hanya untuk lelaki itu. Hubungan mereka
semakin lama semakin akrab sehingga hari dia mendapat tahu Fariza pernah hadir
dalam hidup Fahmi. Namun, sesuatu yang Farisha ingat tentang Fahmi hingga kini,
lelaki itu berjanji untuk menunggunya hingga dia bersedia. Bersedia untuk
berkongsi segalanya dengan Fariza.
Setitis
air mata jatuh di pipi Farisha. Kini, baru dia sedar cintanya pada Fahmi
menjerat dirinya sendiri.
Dosakah
aku bila dicintaimu?
Bila
jalinan hati kini menjeratku
Tapi
haruskah diriku pasrah
Diriku
mengalah
Erat Farisha memeluk kakinya.
Hatinya sebak. Hatinya terluka. Namun, dia harus membuat keputusan berdasarkan
jalan yang ditentukan oleh hatinya.
“SAYA cintakan awak Fariza,” ujar Fahmi
perlahan di telinga Fariza sewaktu kelas Matematik sudah selesai.
Fariza menoleh ke belakang.
Jantungnya berdegup laju umpama memainkan irama tango. Fahmi menupang dagunya
dengan tangan sambil menunggu reaksi Fariza. Sebuah senyuman dihadiahkan buat
gadis idamannya itu. Dia suka lihat wajah Fariza yang memerah setiap kali dia
menuturkan sebaris ayat itu.
“Awak tak pernah
nak give-up eh?” soal Fariza seperti
selalu. Muak juga apabila sering diganggu oleh Fahmi dengan ayat yang membuat
hatinya goyah itu.
Fahmi geleng
perlahan. Bibirnya masih mengukir senyum. “Sebab saya memang cintakan awak
sejak kita tingkatan satu lagi. Awak pun tak pernah nak give-up reject cinta saya
sepanjang tiga tahun ni eh?”
Fariza tunduk. Diam-diam
sudah tiga tahun dia menolak cinta daripada lelaki bernama Fahmi. Dia juga
tidak tahu kenapa dia menolak cinta lelaki itu. Walhal Fahmi merupakan lelaki
yang digilai oleh teman sekolahnya.
Siapa tidak kenal Fahmi? Apabila dia
lalu sahaja di koridor kelas, pelajar perempuan bagai terkena histeria. Lelaki
dengan tubuh yang agak sasa dan tinggi lampai macam Arjun Rampal. Kulit kuning
langsat. Kaca mata yang menampakkan kesegakannya. Sejemput janggut di bawah
dagu.
Bagi Fariza, Fahmi lelaki biasa.
Namun punya daya tarikan yang luar biasa. Macam hukum gerakan Newton yang
kedua. Daya sama dengan jisim dikalikan dengan pecutan. Kira daya tarikan Fahmi
yang luar biasa tu adalah disebabkan oleh jisim puluhan hati yang sukakan dia
dan pecutan perempuan yang terkejar-kejarkan dia bila dia pergi ke mana-mana.
Fahmi punya pakej lengkap lelaki
idaman wanita. Selain mempunyai wajah yang masuk kategori kacak, Fahmi
merupakan pelajar cemerlang di sekolahnya. Semua perempuan tergila-gilakan
Fahmi tapi bukan dirinya. Dan Fahmi pula bagai sebuah antidot menggilai
dirinya.
Memang cinta tiada bermata
Bisa
ciptakan sedih juga bahagia
Aku
kini terjerat kerananya
Susah
lepaskan dia
Fariza senyum sendiri. Fariza tahu, dia susah
untuk melepaskan cintanya pada Fahmi saat ini. Kerana itu dia juga harus
membuat keputusan.
“SAYA cintakan awak juga,” ujar Fariza
sewaktu mereka jalan beriringan ke perhentian bas setelah selesai waktu sekolah.
Fahmi
memandang wajah Fariza dengan riak tidak percaya. “Betul?” soal Fahmi teruja.
Matanya yang biasanya sepet kini terbuka besar.
Fariza
angguk. Fahmi ukir senyuman bahagia. Namun lama-kelamaan senyuman itu mati di
bibirnya. Dia teringat pertemuannya dengan Farisha minggu lalu.
“Sudi
awak menangis dan ketawa bersama saya walaupun awak tahu saya masih menunggu
kata putus dari Fariza?” soal Fahmi tenang.
Farisha
mengangguk. Dan Fahmi fikir saat itu bahagia milik mereka berdua. Nama Fariza seolah-olah
terpadam dalam kamus hidupnya sementara waktu.
FAHMI menoleh ke belakang sebelum upacara
pernikahan dimulai. Hari ini adalah hari yang paling dia tunggu dan paling dia
takuti. Wajah ibu dan abah dipandang silih berganti. Fahmi bersyukur kerana
akhirnya Allah melembutkan hati ibu dan ayah untuk menerima keputusannya.
“Mohamad
Fahmi bin Mohamad Farid,” ujar Tok Kadi di hadapannya.
“Ya
saya,” ujar Fahmi yakin.
“Aku
nikahkan dikau dengan Nur Farisha binti Arif dengan mas kahwinnya dua puluh dua
ringgit setengah tunai,” ujar Tok Kadi sambil menggoncang tangan Fahmi.
“Aku
terima nikahnya Nur Farisha binti Arif dengan mas kahwinnya dua puluh dua
ringgit setengah tunai,” ujar Fahmi sekali nafas.
“Sah?”
soal Tok Kadi sambil memandang saksi pernikahan. Semua mengangguk mengesahkan
pernikahan itu. Tangan ditadah mengaminkan doa yang dibaca tanda syukur ke
hadrat Ilahi.
Terasa
dadanya sedikit lapang setelah selesai akad nikah yang pertama. Fahmi melihat
Farisha yang ayu dalam pakaian serba putih menitiskan air mata.
‘Terima kasih Allah kerana telah melembutkan
hati Farisha untuk menerima keputusanku ini. Berikanlah dia sedikit kekuatan
atas pengorbanan yang dia lakukan untuk diriku yang tidak boleh memilih ini,’
bisik hati Fahmi.
Dia tidak tahu air mata itu akan tumpah lebih
banyak atau tidak sebentar lagi. Fahmi menarik nafas panjang. Dia kembali
memandang wajah Tok Kadi.
Fahmi teringat perbincangan mereka
bertiga dengan Puan Faridah dan Encik Farid minggu lalu sewaktu dia
menyampaikan keputusan yang dia buat bersama Farisha dan Fariza.
“Kamu bertiga dah fikir masak-masak?
Dah bincang dengan keluarga masing-masing?” soal Puan Faridah sambil memandang
kedua-dua bakal menantunya.
Farisha dan Fariza mengangguk
perlahan. Di bibir mereka terukir sebuah senyuman.
“Kamu tak takut poligami?” soal
Encik Farid pula.
Farisha senyum. Duduknya diperbetul.
“Poligami tu lebih kurang macam origami je
pakcik. Buat origami ni kadang-kadang kita dah lipat-lipat tapi tak jadi
bentuk yang kita nak. Perkahwinan pun macam tu juga. Kadang-kadang kita kahwin
sebab kita rasa orang tu boleh sempurnakan hidup kita. Tapi lepas kahwin baru
kita tahu kekurangan yang ada pada diri dia,” ujar Farisha tenang dan
bersungguh-sungguh.
“Poligami ni sama macam kita ambil
kertas lain dan buat balik origami yang kita salah buat tu. Dari situ kita
belajar, bentuk yang baru kita buat tu juga tidak akan sempurna. Origami yang
lama tu, walaupun tak jadi, tapi setidaknya adalah juga bentuknya,” tambah
Fariza pula.
Puan Faridah dan Encik Farid
bertukar pandangan. Dia tidak tahu Farisha dan Fariza sepositif ini untuk
dimadukan oleh anak sulung mereka, Fahmi. Fahmi hanya tersenyum mendengar
kata-kata yang disampaikan oleh Farisha dan Fariza.
Poligami macam origami.
“Mohamad
Fahmi bin Mohamad Farid,” ujar Tok Kadi sekali lagi di hadapan Fahmi sekaligus
mematikan lamunannya.
Terdengar
suara sumbang di kalangan tetamu yang hadir di upacara pernikahannya itu.
Masing-masing berbisik sesama sendiri. Dia tahu inilah risiko atas keputusan
yang dia buat hari ini. Namun, dia juga tidak tega mengecewakan Fariza.
“Ya
saya,” ujar Fahmi.
“Aku
nikahkan dikau dengan Nur Fariza binti Alias dengan mas kahwinnya dua puluh dua
ringgit setengah tunai,” ujar Tok Kadi sambil menggoncang tangan Fahmi.
“Aku
terima nikahnya Nur Fariza binti Alias dengan mas kahwinnya dua puluh dua
ringgit setengah tunai,” ujar Fahmi sekali nafas. Sekali lagi doa dibaca mengucapkan syukur
kerana majlis pernikahan Fahmi yang kedua juga berjalan lancar. Wajah Fariza
yang kelihatan tenang daripada selalu itu ditatap lama oleh Fahmi.
‘Terima kasih Allah kerana telah melembutkan
hati Fariza untuk menerima keputusanku ini. Lembutkanlah hatinya Ya Allah untuk
menerima Farisha seperti mana aku menerima dirinya,’ bisik hati kecil Fahmi
lagi.
Dahi Farisha dan Fariza dikucup
perlahan. Perlahan juga tangan Fahmi mengusap lembut ubun-ubun kedua-dua
isterinya.
Jalannya
cinta nodai hati
Aku
dicinta jalinan tiada pasti
Dan
aku tak harus terkalahkan
Dan
diriku terabaikan
Kuikuti
cahaya hati
Ya, ini adalah pilihan yang Fahmi
buat mengikut jalan hatinya. Apabila Farisha dan Fariza masing-masing menunggu
kata putus daripada dirinya, dia memberikan mereka berdua pilihan. Untuk
berkorban atau ambil jalan terus. Di akhir sebuah penantian, mereka memilih
untuk berkorban dan dia juga memilih jalan tengah dengan menikahi kedua-duanya.
©Hak
Cipta Terpelihara : Isha Idiaz