Home Cerpen Seram/Misteri MAKCIK MANGKUK TINGKAT
MAKCIK MANGKUK TINGKAT
Illya Abdullah
26/8/2016 20:52:32
11,516
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

REMY, seorang samseng yang bekerja dengan lintah drat. Kegiatannya dilakukan dengan penuh berhati-hati. Adakalanya Remy berkeras dengan pengnutang hingga menyebabkan kecederaan.

Remy tidak sesekali memberi muka kepada pemiutang. Dia tidak pernah gagal mengutip hutang dari penghutang yang dicari. Remy sentiasa mendapat pujian dari ketuanya. Remy akan tersenyum bangga.

“Mr. Amar Asyraf…” Bahu seorang lelaki dicengkam kuat dari belakang.

Lelaki yang dipanggil namanya itu menoleh. Wajahnya berubah menjadi pucat.

“Enci Remy, berilah saya satu minggu lagi.”

Remy mengoyang-goyangkan jadi telunjuknya sebagai isyarat ‘tidak’ kepada lelaki tersebut. Tempoh sudah diberikan. Harp muka kacak dan bergaya tetapi hutang dibayar tidak mengikut tempoh. Mahu tangguh-tangguh pula.

Remy bersiul-siul mengira wang yang berjaya dikutip. Lelaki berpakaian pejabat itu hanya mampu melihat langkah Remy beredar dengan wang miliknya. Jika dia melawan maka habuannya adalah buku lima. Dia tidak sanggup mukanya pecah ditumbuk oleh Remy. Salahnya juga kerana meminjam wang dengan lintah darat.

Seorang makcik kelihatan sedang memangku mangkuk tingkat dengan kepala yang menunduk. Kain yang direntangkan tiada dilihat apa-apa barang jualan di atasnya. Kosong? Remy kerut dahi. Barangkali makcik itu peminta sedekah tetapi tidak ada seorang pun manusia yang lalu-lalang di hadapannya menghulurkan duit kepada makcik berkenaan.

Simpati pula Remy melihatnya. Lantas dia merapati makcik itu. Remy menghulurkan wang lima puluh ringgit. Makcik itu hanya menundukkan kepalanya. Remy hairan.

“Sedekah untuk makcik,” ujarnya lembut.

Makcik itu menggeleng.

“Kenapa makcik tak nak?” soal Remy.

“Makcik lapar. Makcik tak nak duit.”

Dahi Remy berlpis-lapis. Dia memandang pada mangkuk tingkat pada riba makcik itu. Masakan tiada nasi dan lauk-pauk dalam mangkuk berkenaan.

Remy beredar meninggalkan makcik yang bersama mangkuk tingkatnya itu. Dia menuju ke sebuah kedai makan berdekatan. Remy membelikan nasi bungkus untuk makcik itu. Apabila

dia kembali di tempat berkenaan, makcik itu sudah tiada. Hanya mangkuk tingkat yang ditinggalkan. Remy menghela nafas kecil.


******

REMY meletakkan mangkuk tingkat pada dada meja. Entah mengapa dia ringan tangan membawa mangkuk tingkat itu pulang ke rumahnya. Remy menongkat dagu di meja smbil memusing-musingkan mangkuk tingkat yang tidak dibuka itu. Apa agaknya isi di dalamnya? Kosong? Atau ada isi yang lain?

“Mana kau dapat mangkuk tingkat tu, bro. Girlfreind kau buatkan bekal untuk kau ke?” Sapa sahabat memernagkap rakan serumahnya, Rudy yang kebetulan ke dapur untuk mencari minuman di dalam peti ais.

Remy mengangkat mukanya.

“Kau fikir si Emma tu rajin sangat nak masakkan untuk aku. Perempuan tu pemalaslah.” Desis Remy. Sempat dia mengata kekasihnya itu di belakang.

“Pemalas tapi girlfriendkau tu cun.” Komen Rudy.

Remy hanya tersengih.

“Aku nak masuk tidurlah. Berehat. Esok ada job lagi.” Remy bingkas bangun. Mata Rudy tertumpu pada mangkuk tingkat di dada meja makan.

“Mangkuk tingkat kau tu?”

“Aku tak tahu apa isinya. Kau bukalah sendiri. Kalau ada makanan dalam tu kau lahaplah sorang-sorang. Aku dah kenyang.” Remy terus memijak anak tangga satu-persatu.

Rudy membelek mangkuk tingkat terbabit lalu dia membukanya. Terbeliak mata Rudy apabila dia menarik satu demi satu mangkuk tingkat tersebut.

“Apa benda ni?” Bau yang hanyir menular ke rongga hidung. Tekaknya mula mual.

Rudy memeriksa isi di dalamnya dengan sudu. Lantas tanpa berlengah dia bergegas ke sinki dapur.

“Uwekkkk!”

Siapalah yang berikan mangkuk tingkat berisi hati, limpa dan tali perut manusia itu kepada Remy? Rudy bergegas nak ke atas menerpa ke pintu bilik tidur Remy. Pintu bilik itu diketuk bertalu-talu.

Remy malas-malas bangkit dari tilam empuknya. Lesu badan. Apa hal pula Rudy mengetuk pintu biliknya sampai bergegar begitu?

“Kau kenapa?” Rengus Remy sebaik membuka pintu biliknya.

“Mana kau jumpa mangkuk tingkat tu, bro?”

“Kenapa dengan mangkuk tingkat tu?” Remy mengaru-garu rambutnya yang sudah serabai.

“Kau tengok sendiri.”

Tiada pilihan. Remy mengekori langkah sahabatnya itu. Mangkuk tingkat yang dibuka oleh Rudy masih terletak atas meja. Remy merapati meja. Riak muka tidak seperti terkejut. Dia sampai salah satu dari bekas itu lalu ditunjuk pada Rudy.

“Daging salai je pun.”

“Hah!” Rudy tersentak. Dia merampas bekas mangkuk tingkat itu dari tangan Remy. Matanya tidak menipu. Bekas-bekas itu berisi hati, limpa, dan tali perut manusia. Bagaimana boleh bertukar menjadi daging salai pula? Pelik.

“Kau nampak apa dalamnya tadi?”

“A… aku… aku…” Rudy tergagap-gagap.

“Kau ada masak nasi tak? Aku rasa lapar pulak.” Remy menarik kerusi. Bau daging salai itu menyelerakan. Rudy sekadar mengangguk.

Rudy memeriksa dua lagi bekas mangkuk tingkat itu. Isi di dalam sudah bertukar. Hati masak kicap dan gulai lemak perut lembu. Rudy menelan liur. Remy mengambil periuk nasi dan pinggan letak atas meja. Nasi putih dicedukkan masuk ke dalam pinggan.

“Kau tak nak join aku makan sekali?” pelawa Remy.

Laju Rudy menggeleng. Dia hanya duduk memerhatikan Remy makan dengan berselera sekali. Dua tiga suap masuk ke dalam mulut Remy. Suapan seterusnya buat Rudy terkedu. Tekaknya berasa mual lagi melihat darah yang meleleh-leleh dari bibir Remy. Lebih memualkan bila dia melihat Remy meratah tali perut yang masih mentah itu. Rudy tidak mampu menahan lagi. Dia meninggalkan meja tersebut. Selera makannya terus mati.

Licin lauk-pauk dalam mangkuk tingkat itu. Remy mengusap-usap perut. Sedap!


*****

SERBA salah pula kerana dia menghabiskan lauk-pauk di dalam mangkuk tingkat itu. Remy tidak dapat menahannya. Masakkan lauk-pauk di dalam mangkuk tingkat itu sedapnya luar biasa sekali. Remy mencari-cari makcik itu di lorong tersebut. Dia mahu memulangkan mangkuk tingkat yang diambil dan memohon maaf.

Tiada kelibat makcik itu kelihatan. Remy cuba bertanya pada seorang lelaki tua bercermin mata hitam yang duduk menjual tisu di situ.

“Pakcik ada nampak tak makcik yang duduk di sini semalam?”

“Pakcik tak tahu sebab pakcik tak nampak. Pakcik buta.” Lelaki tua itu membalas.

Buta pula. Ingatkan buat-buat buta. Remy melepaskan keluhan kecil. Kemudian saja dia mencri makcik itu. Dia perlu segera membereskan kerjanya yang tertangguh. Mangkuk tingkat itu ditinggalkan saja di tempat makcik semalam itu duduk.


LEWAT malam Remy sengaja melalui lorong-lorong sunyi berdekatan Pasar Seni itu semula. Dia bersiul-siul sambil menyeluk kocek seluar jean. Malam-malam begini barulah syok jalan-jalan. Sunyi sepi tidak ramai orang. Remy tak menjangka makcik mangkuk tingkat berada di situ tengah malam begini. Duduk di tempat yang sama sambil memangku mangkuk tingkatnya.

Remy segera merapati. Bibirnya mengulum senyuman. Makcik itu hanya menundukkan kepala. Rambutnya yang keputihan mengerbang hingga menutup hampir sebahagian wajahnya. Bau pada tubuh makcik itu menggangu pernafasan Remy. Hanyir bercampur busuk. Makcik itu tidak pernah mandi agaknya.

“Makcik… saya nak minta maaf sebab habiskan lauk-pauk dalam mangkuk tingkat makcik. Saya ambil mangkuk tingkat makcik tanpa izin pula.”

Makcik itu diam.

“Saya minta maaf ye makcik.” Remy seluk kocek mengeluarkan dompet duitnya lalu dihulurkan dua keping wang not lima puluh kepada makcik itu.

Makcik itu hanya diam tidak berkutik. Remy gigit bibir. Dia tarik tangan makcik itu yang pucat kebiruan dan mengelupas kulitnya. Dia letakkan wang tersebut ke telapak tangan makcik itu. Remy segera beredar.


*****

MANGKUK tingkat makcik itu berada di atas meja makan rumah Remy. Remy mengusap dagu. Sampai saja di rumah, dia lihat ada mangkuk tingkat di meja makan. Bila pula makcik itu menghantar mangkuk tingkat ke rumahnya? Rudy yang baharu pulang dari melaram turut memberikan reaksi yang sama dengan Remy. Terkejut.

“Kau tak pulangkan lagi ke?” Rudy bertanya.

“Aku dah berikan semula mangkuk tingkat ni pada makcik tu.”

“Kau biar betul?”

Remy bercekak pinggang. Tidak mungkin makcik itu boleh menyelinap masuk ke rumahnya. Rumahnya berkunci. Remy membelek-belek mangkuk tingkat tersebut. Ringan. Tidak seperti sebelum ini. Dia membukanya. Wang not lima puluh ringgit terdapat dalam mangkuk tigkat terbabit.

Duit yang aku bagi dekat makcik tu? Hati kecil Remy berbisik.

“Duit siapa tu?”

“Aku nak pulangkan semula mangkuk tingkat ni kat makcik tu. Aku rasa dia ada lagi kat tempat tu.” Mangkuk tingkat itu digapai.

“Dah lewat malam, bro. Kau buang saja mangkuk tingkat tu.” Rudy menegah. Seriau pula bila melihat mangkuk tingkat itu.

“Kau ingat aku takut keluar tengah malam macam ni. Tak guna aku jadi orang bawahan Mr. Ong yang digeruni jika keluar malam nak pulangkan mangkuk tingkat ni aku kecut. Makcik tu orang tua je.”

“Ini bukan masalah kau digeruni atau tidak. Dengar nasihat aku, bro. Buang saja mangkuk tingkat tu.

“Apa hal kau ni? Muka pun pucat semacam?”

“Aku rasa makcik yang kau jumpa ni, puaka. Hari tu lauk-pauk dalam mangkuk tingkat tu bukannya hati masak kicap, daging salai dan gulai lemak perut lembu. Aku nampak hati, limpa dan tali perut manusia. Mual tekak aku tengok kau makan, bro.” Serius Rudy bercerita.

Remy ketawa. Kata-kata Rudy itu berbaur kelakar. Dia makan hari itu tidak terasa pun makan daging mentah. Bau hanyir pun tak melekat di hidung.

“Aku tak main-main, bro.”

“Hari tu aku ambik mangkuk tingkat ni tanpa keizinan makcik tu. Aku bagi duit sebagai tnda minta maaf. Aku jumpa dia sebelum aku nak balik rumah.”

“Kau jumpa kat mana makcik tu?”

“Kau tak perlu tahulah kat mana aku jumpa makcik tu. Aku nak keluar sekejap pulangkan balik mangkuk tingkat ni.”

“Ikut suka kaulah!”

Remy menyarung semula jaket kulitnya.


*****

MAKCIK itu seperti menunggu kehadirannya. Tidak berganjak dari tempat duduknya. Remy mengukir senyuman. Diserahkan mangkuk tingkat kepada makcik itu.

“Saya tak tahu macam mana mangkuk tingkat ni berada di rumah saya semula? Sedangkan saya sudah memulangkan pada makcik.”

“Kamu habiskan makanan makcik,”

Tiba-tiba makcik itu bersuara. Dia mengambil mangkuk tingkat dari tangan Remy denngan kasar.

“Saya minta maaf. Saya bagi makcik duit, makcik tak mahu.”

“Hehehehe… duit kau tak boleh berikan aku makan!”

“Makcik… duitlah boleh berikan manusia tu makan, minum dan harta benda.” Kalau tiada duit hidup akan merempat macam makcik itu.

“Makcik tak nak duit.”

“Makcik nak apa? Saya akan gantikan dengan lauk-pauk yang saya makan tu.”

“Hehehehe…” Makcik itu ketawa mengekek-ngekek.

Kepalanya diangkat. Tengadah Remy melihat wajah makcik mangkuk tingkat itu. Hilang bicaranya. Remy mengorak langkah jarak jauh.

“Makcik nak daging segar, hati segar, limpa segar, semuanya segar!” Makcik menjilat bibirnya dengan lidah yang terjelir keluar. Air liurnya yang berwarna seperti kehitaman itu meleleh keluar apabila melihat Remy. Remy seperti makanannya yang cukup lazat.

“Argh!”

Remy membuka langkah tetapi kakinya bagaikan dipasung. Makcik bersama mangkuk tingkatnya sudah berada di depan mata Remy. Sengihan makcik itu kian melebar menunjukkan gigi-gigi runcingkan yang warna kekuningan.


*****

SEBUAH bangunan tinggal terletak di pinggir bandar.

Kepala Remy terletak di atas meja kayu berlumuran darah tanpa tubuh badan. Kedua belah matanya terbuka luas. Bunyi parang seperti menetak-netak jelas kedengaran. Mangkuk tingkat terletak di meja makan.

Tubuh Remy dikerat-kerat dengan parang seperti memotong ayam. Makcik mangkuk tingkat tidak sabar untuk mengambil hati, limpa dan tali perut kesukaannya untuk dijadikan hidangan. Makcik mangkuk tingkat menyanyi-nyanyi di dapur. Lidah yang terjelir menjilat darah yang melekat pada bilah pisau.

“Sedapnya… sedapnya…” Makcik mangkuk tingkat mengekek ketawa. Selepas Remy, tidak diketahui siapa akan menjadi mangsanya.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.