Home Cerpen Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT : BANGKIT II
KISAH SERAM MALAM JUMAAT : BANGKIT II
Ninie Othman
15/12/2016 22:21:37
5,635
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Van meluncur laju di atas jalanraya. Sesekali keranda yang menempatkan jenazah bergegar di belakang. Jenazah akan dikebumikan sebaik sahaja sampai ke Perlis.

Puan Siti, Encik Ismadi dan Rizal merenung keranda berwarna putih itu dengan rasa sayu. Sudah setahun mereka tidak pernah bertemu dengan arwah dan sekarang dia sudah pulang tetapi sebagai jenazah. Puan Siti tahu suaminya sedang menangis di dalam hati kerana sepanjang perjalanan lelaki itu merenung keranda anak mereka.

Di dalam masa yang sama, fikiran Puan Siti terganggu dengan rantai berloket aneh yang diberi oleh Mak Leha. Rantai itu dikatakan dibuka dari leher arwah ketika dia dimandikan. Dia tiada kekuatan untuk memberitahu suami kerana khuatir suaminya akan berasa kecewa. Suaminya memang menentang habis-habisan perbuatan khurafat seperti ini. Jika dia tahu arwah pernah mengamalkan ilmu salah semasa dia hidup pasti dia akan berasa sangat kecewa dan sedih.

Rizal memandang ibunya yang kelihatan serba tidak kena. Dia seperti sedang memegang sesuatu dalam tas tangannya.

“Apa tu mak?” tanyanya.

Cepat-cepat Puan Siti melepaskan rantai dan menutup tas tangannya. Dia menggeleng-geleng. Rizal berasa curiga.


Pemandu bernama Din memberhentikan van di luar stesen minyak. Puan Siti dan Encik Ismadi beredar keluar untuk ke tandas dan mengambil angin segar di luar. Din juga keluar untuk membeli sesuatu di mart dalam stesen minyak. Tinggal Rizal seorang diri di belakang bersama-sama dengan jenazah.

Dia memandang keranda. Dia ingat lagi bagaimana dia dan arwah bergaduh besar sebelum arwah keluar dari rumah dan tidak pulang-pulang lagi selepas itu. Arwah terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak bermoral sejak di sekolah menengah dan ketika itu dia berubah seratus peratus. Arwah menjadi biadap dan suka menimbulkan kekecohan. Sikapnya yang kurang ajar benar-benar menaikkan kemarahan Rizal.

Kini mereka bertemu semula tetapi semuanya tidak sama seperti dulu.

Rizal bersandar ke dinding van dan terlelap buat seketika namun selepas itu tersedar apabila mendengar sesuatu. Bunyi tersebut datangnya dari dalam keranda yang bertutup rapat. Rizal tergamam. Seperti ada suara yang bercakap dari situ.

“Abang?” Dia memberanikan diri bertanya.

Dia meninggalkan tempat duduk dan mendekatkan telinganya ke keranda.

“Buka pintu…”

Sejurus selepas mendengar kata-kata itu, Rizal terus membuka pintu dan meloncat keluar. Memang benar itu suara arwah! Dia tahu maksud ‘buka pintu’ itu. Pasti arwah mahu dibukakan pintu keranda supaya dia boleh keluar. Ya ALLAH!


Puan Siti meneliti rantai di hadapan cermin dalam tandas. Dia masih tidak dapat menerima kenyataan yang arwah anaknya pernah memakai tangkal ini semasa dia masih hidup. Refleksi sesuatu mengganggu konsentrasinya. Dia mengangkat wajah dan terkejut apabila melihat kain putih sedang berdiri di belakangnya. Hanya dia yang berada dalam tandas ketika itu. Tanpa menoleh ke belakang, Puan Siti berlari keluar dari tandas dan meluru ke van yang diparkir di perkarangan stesen minyak.

Encik Ismadi terkejut melihat isterinya yang pucat lesi.

“Awak ni kenapa?” Dia memandang isteri tidak berkelip-kelip.

Puan Siti tidak menjawab soalan suaminya. Dia meluru masuk ke dalam van. Badannya menggigil. Rizal turut sama hairan melihat perlakuan ibunya. Seperti dikejar hantu sahaja. Seketika kemudian, dia menyusul ibunya walaupun kejadian tadi membuatkannya fobia.

Encik Ismadi duduk di hadapan, bersebelahan Din. Puan Siti dan Rizal sibuk melayan perasaan masing-masing. Dua beranak itu ada kisah menakutkan yang telah berlaku ke atas diri mereka sebentar tadi. Jemari Puan Siti kembali memegang rantai itu dan kali ini ia berjaya dirampas oleh Rizal.

“Apa ni mak?” tanyanya dengan kening berkerut.

Puan Siti sudah tidak boleh mengelak. Rizal sudah melihat sendiri rantai itu. Dia terpaksa berterus-terang.

“Mak cik Leha yang beri ni pada mak. Diambil dari leher arwah abang Riz,” ujarnya separuh berbisik. Khuatir jika didengari oleh Encik Ismadi.

Rizal terdiam. Kalau tidak silap, ini macam tangkal. Dia menyerahnya kembali pada ibunya. Ibunya juga menyuruh dia merahsiakan hal ini daripada pengetahuan ayahnya. Ibunya akan memberitahu ayahnya pada masa yang sesuai.

Perjalanan yang masih jauh membuatkan dua beranak itu terlena.


Kreek…

Puan Siti dan Rizal terjaga serentak. Ada bunyi sesuatu tadi. Mata mereka terpaku pada penutup keranda yang terbuka separuh. Jantung mereka berdetak laju serta-merta. Ada sesiapakah yang telah membukanya? Rizal mendekati keranda dan mahu menutupnya kembali.

Tatkala tangannya memegang penutup keranda, mata arwah terbuka dan terbeliak luas sambil merenung ke arahnya. Rizal menjerit lalu terduduk dengan muka penuh ketakutan. Semua yang ada di situ bertukar panik.

Stop kejap Din,” pinta Encik Ismadi. Setelah van diberhentikan di bahu jalan, Encik Ismadi keluar dan memeriksa keadaan anak bongsunya di belakang.

“Kenapa ni Riz?” Dia bertanya.

Rizal tidak dapat berkata-kata. Lidahnya kelu. Dia hanya memandang ke keranda arwah abangnya. Encik Ismadi mendekati keranda dan sempat menyentuh wajah arwah sebelum keranda ditutup sepenuhnya. Hatinya benar-benar sayu.


Jenazah dikebumikan sejurus sahaja mereka sampai di Perlis. Encik Ismadi sama-sama mengangkat jenazah masuk ke liang lahad. Tetapi ternyata urusan pengebumian tidak semudah yang disangka. Beberapa kali jenazah gagal dimasukkan ke liang lahad kerana beratnya yang melebihi beberapa orang lelaki dewasa. Semua yang terlibat sudah kelelahan.

Encik Ismadi orang yang paling malu sekali. Pasti akan ada suara-suara sumbang yang berkata yang bukan-bukan tentang arwah.

“Tak apa. Kita angkat sampai dapat,” kata Tok Imam sambil menepuk-nepuk bahu Encik Ismadi. Mahu menenangkan perasaan lelaki itu.

Encik Ismadi tersenyum pahit. Sempat dia mendongak memandang ke wajah isteri. Wanita itu memandangnya dengan pandangan berkaca.

Percubaan kali keempat akhirnya berjaya. Jenazah berjaya diletakkan ke liang lahad. Tetapi selepas itu ada dugaan lain pula yang muncul.

“Naik! Naik!” Orang kampung bertempik-tempik. Ada kala jengking bersaiz sangat besar sedang berkeliaran di dalam lubang kubur. Entah dari mana ia datang.

Encik Ismadi semakin bingung. Puan Siti dan Rizal juga. Apakah petanda kepada semua ini? Adakah kerana amal arwah ketika di dunia? Astaghfirullah…

Tok Imam membaca ayat-ayat suci sehingga kala jengking tersebut ghaib secara tiba-tiba. Kerja-kerja pengebumian disambung sebelum binatang berbisa itu muncul buat kali kedua. Encik Ismadi bersyukur kepada ILAHI kerana akhirnya urusan pengebumian selesai. Selepas itu mereka berkumpul secara beramai-ramai di sisi kubur untuk mendengar bacaan talkin Tok Imam.

Malam itu selepas Isyak majlis tahlil bermula. Ramai saudara-mara dan sahabat handai yang datang untuk meringankan beban Puan Siti sekeluarga. Mereka yang banyak membantu di dapur dan sepanjang majlis tahlil berlangsung. Puan Siti yang lebih banyak duduk di dapur banyak diberi kata-kata semangat oleh para tetamu yang hadir.

Selesai bacaan yasin, para tetamu dijamu dengan juadah-juadah yang telah disediakan. Rizal duduk termenung di dalam bilik tidur arwah abangnya. Sudah setahun bilik ini tidak berpenghuni dan sekarang ia akan berpanjangan buat selama-lamanya kerana penghuninya sudah tiada.


Pada waktu yang sama, ada sebatang tubuh berkafan bergerak meninggalkan tanah perkuburan Islam. Dia terhuyung-hayang berjalan ke jalan utama untuk pulang dan bersatu dengan ahli keluarganya yang masih hidup. Sudah setahun dia tidak bersua muka dengan mereka.

Jep dan Mamat yang dalam perjalanan ke gerai minum Pak Ya memperlahankan motosikal. Mamat yang sedang duduk di belakang ternampak sesuatu di hadapan.

“Siapa?” tanya Jep.

“Jom tengok. Macam tengah panggil-panggil kita aje tu?” usul Mamat.

Jep memecut dan memperlahankan enjin di sisi seseorang yang dilihat oleh Mamat namun selepas itu memecutnya kembali sehingga ke gerai Pak Ya. Itu bukan manusia, itu hantu!

Mereka berlari mendapatkan Pak Ya yang ketika itu sedang sibuk melayan pelanggan. Puas mereka menceritakan apa yang mereka nampak tetapi orang tua itu langsung tidak mempercayainya.

“Mana ada hantu.” Pak Ya ketawa dan menggeleng-geleng. Budak berdua ini memang suka mengada-adakan cerita.

“Betullah Pak Ya. Memang kita orang nampak hantu tadi!” Mamat berkata tidak puas hati tetapi seperti tadi Pak Ya tidak percaya pada mereka.

Suasana gerai itu tiba-tiba bertukar riuh-rendah. Separuh daripada pelanggan sudah hilang entah ke mana. Meninggalkan makan minum yang masih banyak berbaki di atas meja.

Hasnita, cucu Pak Ya berlari mendapatkan datuknya. Dia mengajak orang tua itu pulang ke rumah.

“Ada hantu tok!” ujarnya penuh ketakutan. Dia bersembunyi di belakang datuknya.

Pak Ya mengeluh kerana tiada apapun yang dia nampak di gerainya. Usahkan hantu, bayang hantupun tiada! Bunyi sudu besi jatuh di dapur bergema memecah keheningan yang mula tercipta. Pak Ya mengatur langkah untuk ke dapur tetapi ditegah oleh Jep dan Mamat.

“Tu mesti kerja hantu tu tok!” Jep berkata.

Pak Ya tidak peduli. Dia ke dapur dan mengutip sudu yang tersadai di lantai. Ketika dia mengangkat tubuhnya dia melihat dengan jelas bagaimana arwah Razif sedang terpacak di muka pintu belakang. Arwah sedang memandang tepat ke arahnya. Pak Ya bergegas ke luar dan mengajak cucunya pulang.

“Tak mau tutup gerai ni dulu ke tok?” tanya Hasnita.

“Esok kita tutup,” kata Pak Ya lalu menarik tangan cucunya ke motosikal dan memecutnya pulang ke rumah.

Kini hanya Jep dan Mamat yang masih di situ. Yang lain sudah lari tidak cukup tanah tadi. Mereka berdua mengintai ke dapur dan mampu menarik nafas lega kerana hantu itu tiada di situ.

“Takde Mat. Mat?” Jep menoleh dan melihat Mamat sudah tiada di sebelahnya. Motosikalnya masih cantik terparkir di situ. Ke mana Mamat menghilang?

“Bawa aku pulang….”

Suara yang datangnya dari arah belakang serta-merta membuatkan Jep menggigil. Bau busuk seperti bangkai menusuk-nusuk ke lubang hidung. Dia menoleh dan melihat arwah sedang berdiri di belakangnya.

Argh!!


Bayangan yang melintas di luar jendela yang bertutup menarik perhatiannya. Dia membuka jendela dan cuba memeriksa keadaan di luar tetapi pandangannya terbatas kerana suasana yang gelap. Selepas menutup jendela, tangisan anak-anak kecil di ruang tamu mengetuk gegendang telinga. Dia bergegas keluar. Anak-anak kecil sedang menangis sambil ditenangkan ibu dan ayah masing-masing. Rizal mendekati ibunya.

“Apa yang dah jadi mak?”

“Mak pun tak tau. Dia orang cakap dia orang nampak abang putih dekat luar.”

Jawapan ibunya mengejutkan Rizal. Abang putih?

Keadaan yang semakin gamat memaksa mereka membawa anak-anak kecil itu pulang ke rumah. Tangisan mereka semakin menjadi-jadi.


Puan Siti sudah siap menyusun pinggan mangkuk dan cawan yang kotor di atas meja makan. Esok sahaja dia mencuci semuanya. Malam ini dia terlalu letih kerana seharian di atas jalanraya dan juga menguruskan majlis tahlil untuk arwah anaknya.

“Awak pergilah tidur,” kata Encik Ismadi. Isterinya kelihatan lesu dan tidak bermaya.

Puan Siti mengangguk tanpa banyak bicara namun sebelum dia sempat bergerak ke bilik untuk tidur, pintu utama tiba-tiba diketuk oleh seseorang. Siapa pula yang datang bertandang pada tengah malam begini? Bunyi ketukannya pula perlahan sahaja.

“Ayah, mak, Riz… Raz dah balik….”

Pandangan tiga beranak itu bertemu. Persis suara arwah Razif. Tetapi tidak mungkin ia milik arwah kerana dia sudah meninggal dunia.

“Buka pintu. Raz nak masuk…”

Berderau darah mereka. Memang suara arwah cuma ia kedengaran sengau. Encik Ismadi bangkit dari sofa dan berjalan perlahan-lahan ke jendela. Dia ingin mengintai apa yang sedang berada di luar. Ketika dia menyelak langsir, bayang putih jelas kelihatan di luar. Cepat-cepat Encik Ismadi menutup langsir itu semula.

Allahuakbar.

“Siapa tu yah?” soal Rizal. Ayahnya kelihatan bingung.

“Arwah Razif,” balas Encik Ismadi perlahan.

Puan Siti dan Rizal berpandangan. Arwah terus mengetuk-ngetuk pintu dan memanggil-manggil supaya dibukakan pintu. Encik Ismadi, Puan Siti dan Rizal beredar ke bilik tidur utama dan mula membaca yasin di situ.

Ketukan beralih ke luar jendela bilik itu pula. Arwah mengetuk cermin jendela dan menyatakan hasratnya mahu masuk ke rumah. Puan Siti sudah menangis teresak-esak. Pilu hatinya.

“Itu bukan anak kita dah,” bisik Encik Ismadi.

Sebak pula hati Rizal mendengar kata-kata ayahnya. Sebenarnya dia amat merindui arwah abangnya walaupun ketika dia masih hidup, mereka kerap bertengkar. Apa-apapun lelaki itu tetap darah dagingnya.


Keesokkan harinya, pasangan suami isteri itu melihat ada kesan tanah di lantai simen di luar. Kesan tanah itu juga terdapat di luar bilik mereka. Turut mengotori cermin jendelanya. Jadi kejadian malam tadi bukanlah halusinasi mereka tetapi ia benar-benar terjadi. Kesan tanah dibersihkan menggunakan berbaldi-baldi air.

Rizal yang terlena selepas solat Subuh terjaga dari tidur. Bunyi air di luar memaksanya bangun. Dia melihat ibu bapanya sibuk mencuci lantai di luar.

“Riz nak ikut kami pergi ke kubur tak?” Puan Siti bertanya.

“Mak dengan ayah pergilah dulu. Insya-ALLAH Riz pergi petang nanti.” Rizal membalas. Tubuhnya masih penat.

Semasa ibu bapanya ke kubur, Rizal berlalu ke dapur untuk menolong mencuci apa yang patut. Semuanya sudah bercuci bersih dan disusun di atas meja untuk dikeringkan. Rizal mengambil kesempatan ini untuk menyusunnya ke rak dan ke dalam kabinet dapur.

“Krekkk…” bunyi pintu dibuka seseorang menarik perhatian Rizal. Awalnya mereka pulang? Ada sesuatu yang tertinggalkah? Dia bergegas ke ruang tamu.

Sangkaannya meleset. Ibu dan bapanya masih belum pulang dan bunyi pintu itu datangnya dari pintu bilik arwah abangnya. Ia terkuak luas. Dia malas mahu berfikir yang bukan-bukan. Dia menutupnya kemas dan kembali ke dapur.

“Krekkk…”

Berderau darahnya apabila ia terbuka buat kali kedua. Siapa yang membukanya? Dia menutup dan menguncinya. Kali ini ia tidak akan terbuka lagi.


Malam itu, mereka berkumpul di ruang tamu seperti biasa. Malam pula semakin larut. Ketukan di pintu sekali lagi mengejutkan mereka. Siapa pula kali ini? Encik Ismadi bingkas bangun dan berjalan menuju ke pintu utama untuk membuka pintu. Dia memulas tombol dan pintu terkuak.

Arwah anaknya sekali lagi pulang ke rumah. Wajahnya pucat biru dan semakin mereput di dalam kain kafan yang dikotori tanah kubur. Encik Ismadi menghempas pintu. Tindakannya mengejutkan isteri dan anaknya.

“Kenapa bang?” Puan Siti bertanya cemas.

“Dia balik sekali lagi,” ujar Encik Ismadi dengan dahi yang berpeluh-peluh.

Puan Siti dan Rizal terkedu. Ya ALLAH! Mereka berdebar-debar. Mengapa arwah pulang sedangkan dia sudah meninggal?

Suara sengau yang memanggil-manggil di luar menakutkan Puan Siti dan Rizal. Encik Ismadi mendekati anak isteri dan menyuruh mereka bertenang. Jangan panik. Itu bukan Razif tetapi syaitan yang menyerupai arwah. Mana mungkin orang yang sudah mati hidup kembali? Mereka cuba memekakkan telinga dan membaca ayat-ayat suci al-Quran untuk mengusir syaitan itu.

Arwah yang bangkit dari kubur telah menggemparkan penduduk kawasan itu. Mereka sudah tidak berani untuk keluar selepas waktu Maghrib. Sudah ramai yang terserempak dengan arwah yang berjalan pulang untuk bersatu dengan ahli keluarganya. Arwah juga akan pergi ke rumah orang-orang yang dia kenali semasa dia hidup. Fakta itu telah menakutkan penduduk di situ.

Encik Ismadi dan Rizal semakin kuat membaca ayat-ayat suci apabila arwah mengelilingi rumah. Dia mahu masuk! Hampir sejam barulah dia berlalu dari situ tetapi bukan ke kuburnya. Dia bergerak ke rumah-rumah yang dia kenal dan mahu mereka membuka pintu untuknya.

Ini termasuk rumah Tok Imam. Anak dan isteri diarah masuk ke bilik dan duduk di situ sementara dia mengusir arwah pulang ke tempat asalnya. Arwah berkeras mahu masuk ke rumah. Dia menggoncang-goncangkan pintu rumah Tok Imam dengan penuh kemarahan.

“Kau tak boleh masuk. Kau bukan manusia!” marah Tok Imam. Dia berdiri di tingkap yang dibuka sedikit.

“Bagi aku masuk!” Arwah bertempik. Dia mengintai-ngintai Tok Imam dari celahan cermin tingkap itu.

Tok Imam menutup tingkap rapat-rapat dan mencapai surah yasin lalu duduk bersila di atas lantai. Dia membaca surah yasin dengan suara yang lantang. Biar syaitan yang sedang menggoncang-goncangkan pintu rumahnya kepanasan. Setelah beberapa minit, arwah Razif mula menjauhi rumah tersebut. Dia berasa panas yang amat sangat.

Semakin kuat Tok Imam melantunkan ayat suci semakin panas yang dirasakan. Arwah akhirnya berlalu untuk pulang ke kuburnya. Kelibatnya kelihatan jelas dari kejauhan. Namun dia bersumpah akan kembali lagi!



TAMAT

----------------------------------------------------------------------------------------------

Nota Penulis : Cerita ini sedikit tergantung kerana ia akan muncul di dalam versi cetak. Semuanya akan terjawab di sana nanti. Terima kasih.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.