“Kalau
terjumpa, aku langgar je sampai penyek,” Shah berkata, celupar. Dia ketawa
berdekah-dekah.
Hakimie
mencebik. Entah-entah si Shah dulu yang pengsan bila ternampak puaka Karak!
Ketika
berhenti sementara menunggu lampu trafik kembali hijau, alunan bacaan al-Quran kedengaran
di masjid berdekatan. Cuping telinga empat sekawan itu bergerak-gerak. Mereka
sengaja memekakkan telinga dan membutakan hati. Langsung tiada perasaan mahu
menghayati setiap ayat dari Kalam ALLAH itu.
Shah
menguatkan volume radio dan lagu
nyanyian kumpulan Scorpion bergema mengisi ruangan kereta. Sesekali mulut
mereka menyanyi bersama-sama. Bagi mereka melodi kumpulan rock kapak itu lebih
sedap didengar dari alunan ayat-ayat suci al-Quran.
Shah
memecut kereta apabila lampu hijau menyala. Dia mahu segera beredar dari situ.
Di
sepanjang perjalanan, empat sekawan itu tidak habis-habis bergelak ketawa. Apa
yang menjadi topik utama ialah keseronokan yang bakal mereka rasai kelak.
Mereka tidak sabar mahu memeluk gadis-gadis itu. Oh, indahnya dunia…
Jeffrey
sudah tidak selesu tadi. Malah dia yang paling petah berbicara tentang Star
Highlands. Dia sering ke sana kerana urusan kerja dan juga untuk berfoya-foya. Bak
kata pepatah, sambil menyelam sambil minum air.
Shah
akhirnya memandu masuk ke kawasan Karak. Sampai sahaja di lebuhraya itu,
suasana serta-merta berubah. Keceriaan yang mengisi alam semesta tiba-tiba
lenyap entah ke mana. Kesunyian mula terasa.
Hakimie
merenung jalanraya yang lengang. Tiada kenderaan lain di situ kecuali mereka.
Hatinya semakin cuak. Semua cerita yang didengari sebelum ini menyerang benak
fikirannya satu-persatu. Benarkah tempat ini berhantu?
“Sunyinya..”
Fadley berkata. Sebiji dengan apa yang berada di fikiran Hakimie.
Jeffrey
memandang ke luar tingkap yang tertutup. Kesunyian di luar memang jelas terasa.
Dia memandang rakan yang duduk di sebelahnya. Pandangan mata keduanya bertaut.
“Macam
dalam mimpi aku. Sunyi macam nilah,” Jeffrey berbisik ke arah Fadley.
Hakimie
melirik jam di tangannya. Jarum jam berhenti di nombor 5. Tidak ‘bernyawa’
lagi. Jam itu baru digunakan selama seminggu. Ia masih baru, takkanlah sudah mahu
rosak?
“Pukul
berapa sekarang?” Hakimi menyoal rakan-rakannya.
“Pukul
5..” Shah, Jeffrey dan Fadley menjawab serentak.
Ada
sesuatu yang mengganggu perasaan Hakimie. Sesuatu yang aneh sedang berlaku
sejak mereka menjejak lebuhraya Karak. Dia merenung semak-samun yang berada di
bahu-bahu jalan. Ia bergerak-gerak dihembus angin. Pada masa yang sama, ia
seolah digerakkan oleh sesuatu.
“Kau
orang tak rasa apa-apa ke?” Hakimie berbisik. Berwaspada bagaikan ada orang
yang sedang memerhatikan mereka pada ketika itu.
Fadley
dan Jeffrey bertukar pandangan. Ada betulnya soalan Hakimie. Sebenarnya mereka rasa
terganggu sejak tadi namun tidak tahu apa sebabnya.
Rintik-rintik
hujan mengenai kereta Shah. Makin lama makin lebat.
Cermin
kereta mulai kabur. Shah menekan butang wiper
namun ia tidak berfungsi seperti selalu. Dia menekannya berkali-kali namun wiper tetap kaku tidak berfungsi. Butang
aircond juga mempunyai masalah yang
sama.
“Bergeraklah..”
Shah mengomel dengan jari tidak berhenti menekan butang wiper.
“On wiper
Shah, hujan makin lebat ni. On aircond
sekali,” arah Hakimie sambil mengelap cermin kereta dengan tapak tangannya.
Jika dibiarkan lebih lama, pandangan Shah akan terbatas dan kemalangan boleh
berlaku.
Shah
menggeleng, “Tak boleh on. Dah berapa
kali dah aku try on benda alah ni..”
Fadley
dan Jeffrey mulai cemas di belakang. Keduanya serba tidak kena. Peluh dingin
merenik di dahi masing-masing. Pemanduan Shah juga bagaikan terganggu.
“Aku
tak nampak jalan. Kesat cermin untuk aku..” arah Shah, cemas. Dia cuba
bertenang namun gagal. Dalam keadaan begitu, tidak mungkin dia dapat bertenang.
Hakimie
mengelap-ngelap cermin untuk memudahkan pemanduan Shah. Sekejap sahaja cermin
kereta berkabus. Bagaikan duduk di negara musim sejuk pula. Jenuh Hakimie
mengelap cermin yang bertukar kabur tidak sampai sesaat.
Shah
menggerakkan kepalanya ke hadapan
sedikit.
Dia memfokuskan sepenuh perhatian pada jalanraya yang basah ditimpa hujan.
Entah mengapa stereng di tangannya terasa longgar. Kereta itu seolah-olah
bertindak secara berlawanan dari apa yang dia mahukan.
Titisan
hujan semakin menggila membasahi bumi. Penglihatan semakin terbatas, perjalanan
di atas jalanraya terganggu. Ia semakin lama semakin licin dan beberapa kali
tayar kereta yang dipandu hampir tersasar ke tembok pembahagi jalan. Stereng
yang dipegang berpusing ke kiri dan kanan. Pemandunya sudah hilang arah dan
pertimbangan.
“Shah,
control! Control kereta!” jerit Jeffrey yang berada di tempat duduk
belakang. Dia menggigil ketakutan.
Bila-bila masa sahaja nyawa mereka boleh melayang!
Begitu
juga dengan beberapa orang rakannya yang turut berada di dalam kenderaan itu.
Mereka bertempik-tempik dengan wajah yang pucat lesi.
Kereta
sudah hilang kawalan. Ia terhuyung-hayang dan sesekali menghampiri tembok pembahagi
jalan namun sempat dikawal.
Shah
menggenggam stereng dengan lebih erat. Wajahnya berpeluh-peluh. Dia
sedaya-upaya cuba menyelamatkan nyawanya dan rakan-rakannya tetapi pada masa
yang sama tangannya menggigil dan kebas. Dia mesti mengawal kereta supaya ia
tidak terbabas. Tiada siapa yang harus cedera pada hari itu!
Mata
Hakimie terbeliak. Apa yang sedang berlaku di hadapannya kini membuatkan Shah
semakin hilang pertimbangan.
“Jaga-jaga
Shah!” Hakimie menjerit lantang di sebelah Shah.
Fadley
yang duduk bersama Jeffrey di belakang memegang kerusi dengan erat. Peluh
dingin merenik di dahi masing-masing. Tiada kata yang terlafaz dari mulut
mereka pada ketika itu.
Tangan
Shah terlepas dari stereng disebabkan panik. Hakimie pantas mengambilalih
stereng sebelum kereta melanggar pokok yang terlentang di atas jalan. Dia
memusingkan stereng ke kiri dan kereta mewah itu berpusing beberapa kali
sebelum berhenti di bahu jalan.
Kepala
Shah terhantuk ke stereng. Rakan-rakannya juga begitu. Mereka terdorong ke
hadapan dan terhantuk ke objek yang keras. Dunia yang kelabu serta-merta
menjadi gelita.
Empat
sekawan itu pengsan tidak sedarkan diri.