Home Cerpen Seram/Misteri SERAM : BESTFRIEND FOREVER
SERAM : BESTFRIEND FOREVER
Ninie Othman
10/9/2016 22:07:40
5,558
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Aku mempunyai seorang sahabat yang sanggup berkorban apa saja untuk aku. Kami bersahabat sejak tadika sehingga tahun kedua kami di universiti. Ya, kami belajar di tempat yang sama sejak di tadika. Menakjubkan bukan? Cuma di universiti kami tidak sebilik tetapi tetap di hostel yang sama. Dia di tingkat dua dan aku di tingkat empat. Tidak menjadi masalah bagi kami kerana kami berkongsi hostel yang sama. Tiap waktu aku habiskan masa dengannya, sama ada untuk berhibur atau belajar.

Subjek major dan minor kami juga sama. Sudah menjadi rezeki kami untuk terus bersahabat dari kecil hingga dewasa. Kami seboleh-bolehnya mahu belajar di kelas tutorial yang sama. Aku dengan dia ibarat kembar yang tidak dapat dipisahkan lagi.

Semester ketiga kami di kampus, aku masih ingat dengan jelas lagi bagaimana gembiranya dia berlari ke arahku. Aku sedang mengulangkaji pelajaranku di bilik pada ketika itu.

“Ira, dia suka kat aku jugak!” ujarnya dengan senyuman yang mekar di bibirnya.

“Azlan?” aku bertanya.

“Ye! Dia nak aku terima dia. Dia nak aku jadi teman wanita dia, perlu ke aku terima?”

Soalannya membuatku terdiam buat seketika. Aku amat mengenali perangai Azlan. Dia seorang yang perengus dan terkenal dengan sifat kasanovanya. Zana entah gadis yang ke berapa dia lamar untuk menjadi kekasihnya.

“Ira?”

Zana memandangku dengan mata redupnya. Aku serbasalah.

“Dia tu player Zana. Kau sanggup ke kalau dia permainkan kau?” aku memberi peringatan.

Dia hanya tersenyum manis ke arahku. Sambil memeluk bahuku, dia berjanji yang dia tidak akan membiarkan dirinya dikecewakan Azlan. Ini kerana dia pasti yang lelaki itu telah berubah baik. Berkali-kali dia meyakinkan aku yang Azlan bukan seorang player lagi.

Aku tidak tahu mengapa aku tidak dapat mempercayainya.

Akhirnya dia bersetuju untuk menjalinkan hubungan dengan Azlan. Senyuman indah sentiasa terlakar di wajahnya selepas itu. Dia betul-betul bahagia dengan Azlan.

Namun selepas tiga bulan, dia mula kerap menangis dan pelajarannya terganggu. Azlan curang dan seringkali berseronok dengan perempuan-perempuan lain. Lelaki itu tetap seorang playboy dan tidak pernah cukup dengan seorang gadis.

Aku selalu berada di sisi Zana dan menenangkannya. Hampir setiap waktu dia menangis dan memintaku supaya menemaninya. Aku memujuknya supaya memutuskan hubungan dengan Azlan tetapi dia degil, kepala batu!

“Aku sayang dia…”

Perkataan ini yang dia ulang-ulang sehingga aku naik muak. Mengapa harus dia menyintai lelaki yang hanya tahu membuatnya sedih dan terseksa? Aku betul-betul tidak faham.

“Kau jangan tinggalkan aku Ira. Aku ada kau je sekarang ni…” dan perkataan ini juga yang dia selalu ucapkan padaku. Airmatanya mengalir laju setiapkali dia berkata begini.

Hati aku sakit, pedih! Azlan memang tak guna!

“Aku takkan tinggalkan kau Zana. Kita sahabat dunia akhirat…” kataku penuh ikhlas. Ya, dia memang sahabatku di dunia dan juga di akhirat. Aku takkan meninggalkannya dan akan sentiasa berada di sisinya semasa senang dan susah.

Namun,

Aku tidak pernah menyangka yang kata-kataku dia pegang sampai kiamat. Dia benar-benar mahu aku menjadi sahabatnya dunia dan akhirat.

Seminggu selepas itu, Zana dijumpai mati di dalam biliknya. Doktor mengesahkan kepalanya dihentam dengan senjata tumpul berkali-kali. Ketika mayatnya dijumpai rakan sebiliknya, dia sedang tertiarap dengan darah menutupi lantai. Ketika itu, rakan sebiliknya baru pulang dari kelas malam. Tiada siapapun tahu siapa yang telah membunuh Zana.

Aku?

Semasa melihat Zana, aku pengsan tidak sedarkan diri. Selepas aku sedar, aku meraung bagaikan orang gila. Aku tidak dapat mengawal perasaanku. Hanya beberapa minit selepas itu, aku mulai tenang selepas ditenangkan dengan bacaan ayat-ayat suci oleh rakan sehostel.

Kini sudah seminggu Zana pergi meninggalkan aku tetapi aku tidak pernah berasa sunyi. Dia selalu mengunjungiku selepas malam melabuhkan tirai. Aku merinduinya namun aku mahu dia berhenti berada di sisiku. Aku tidak mahu dia muncul di depan mataku lagi.

Malam semalam, dia datang lagi dan berdiri di hujung katilku. Dengan mata merahnya, dia merenung tepat ke arahku. Aku tidak tahu apa yang dia mahu dariku. Dia tidak bercakap atau bergerak. Dia hanya terpacak di hujung katil dan merenungku dari tengah malam sehingga subuh. Aku tidak dapat tidur. Aku takut!

Malam ini, dia pasti akan datang lagi. Perlukah aku tidur di bilik rakanku yang lain? Oh ya, rakan sebilikku tidak dapat melihat Zana. Hanya aku yang dapat melihatnya.

Aku berasa bersalah dan malu kerana selalu mengganggu rakan sebilikku untuk ke tandas pada setiap malam. Aku tahu dia rimas tetapi dia tidak pernah merungut. Aku bersyukur kerana bertemu dengan rakan sebaik dia.

“Aku nak balik rumah hujung minggu ni. Kau okey ke nanti sorang-sorang?” rakan sebilikku bertanya.

Badanku mula menggigil. Aku tidak mampu berseorangan di sini namun akhirnya aku menipu dengan menganggukkan kepalaku. Aku tidak mahu terus menyusahkannya. Biarlah dia balik kerana ada majlis penting yang dia mesti hadiri.

“Tulat aku balik..” ujarnya cuba menyedapkan hati aku.

Aku hanya mampu tersenyum pahit.


Aku bersendirian di bilik ini. Hujung minggu seperti ini memang ramai yang akan pulang ke rumah masing-masing. Aku juga yang tidak dapat pulang kerana kampung halamanku yang jauh. Aku gagahkan diriku. Aku pasang bacaan Yasin pada setiap malam. Aku tidak mahu dia datang menggangguku lagi.

Ya, dia tidak berada dalam bilikku selepas aku memasang bacaan ayat suci tetapi dia terpacak di luar jendela bilik. Melayang-layang di luar jendela tingkat empat. Langsir aku tutup rapat. Aku tidak ingin melihatnya. Wajahnya semakin lama semakin jelik. Baunya semakin lama semakin busuk.

“Sahabat dunia akhirat…”

Aku menekup telinga dengan bantal. Zana mengulang-ulang perkataan ini.

“Kau dah mati Zana! Jangan ganggu aku lagi!” marahku yang masih berada di bawah bantal.

“Beri aku masuk Ira. Kau tak kesiankan aku ke?”

Aku menggigil teruk. Ya ALLAH, apa yang harus aku buat sekarang? Sesungguhnya aku benar-benar tidak kuat.

Lampu tiba-tiba terpadam. Elektrik terputus.

Aku kaget. Bacaan yasin sudah tiada! Aku cuba baca sendiri tetapi kerapkali tersasul. Bacaanku entah ke mana. Fikiranku jadi kosong secara tiba-tiba. Ketika itulah dia menyapaku dari hujung katil. Aku intai dari balik bantal. Dia sedang tersenyum manis ke arahku. Di tubuhnya dibaluti kain kapan yang dipenuhi tanah dan debu. Ya itulah pakaiannya sejak seminggu yang lepas. Sejak dia mati dibunuh.

Aku menarik selimut dan berkelubung di dalamnya. Mulutku terkumat-kamit membaca ayat-ayat kursi walaupun bacaannya tetap lintang-pukang.

“Dah lama aku tak berbual dengan kau Ira. Setiapkali aku datang, kau akan berkelubung macam sekarang. Apa yang kau takutkan sangat?”

Dia menyoalku. Aku tidak menjawab soalannya.

“Bukak la selimut tu dan pandang aku. Macam yang kita selalu buat sebelum ni….”

Dia memujukku dengan suara yang berlapis-lapis. Suaranya dan suara garau. Bau busuk usah dikata lagi. Memang aku mahu termuntah.

“Azlan dah mati. Dia terkejut tengok aku. Jatuh dari tingkat 10…”

Mataku membulat. Azlan?

“Dia la yang bunuh aku malam tu. Sampai hati dia bunuh aku. Aku sunyi Ira. Sebab tu aku datang ke bilik kau tiap-tiap malam. Kau tak rindu kat aku?”

Dadaku turun naik. Rupa-rupanya Azlan yang telah membunuh Zana. Secara tidak sedar, airmataku menitis. Aku mula merindui Zana.

“Kita dah janji akan bersahabat dunia akhirat. Sekarang aku dah arwah, kau bila lagi? Aku tunggu kau temankan aku kat barzakh…”

Aku mula menangis teresak-esak. Itu bukan Zana. Zana sudah meninggal dunia dan tidak akan kembali lagi. Ini iblis! Tetapi aku tidak cukup kuat. Aku tidak mampu membuka selimut dan bertentang muka dengannya.

Beberapa saat selepas itu, kedengaran bunyi esakan Zana. Dia sedih kerana aku tidak mahu menemaninya di alam sana.

“Kalau kau ada, boleh kita sama-sama. Macam selalu. Kau tak teringin pakai kain ni?”

Aku benar-benar tidak dapat mengawal ketakutanku lagi. Aku memejamkan mataku. Sejurus kemudian, bau busuk lebih kuat menerpa ke rongga pernafasanku. Aku membuka mataku dan ternampak mukanya melekap ke selimut yang menutup mukaku. Jarak muka kami hanya beberapa inci sahaja!

“Aku rindu kau…..”

Aku sudah tidak tahan lagi. Aku buang selimut ke tepi dan berlari keluar dari bilikku. Di luar, suasana terang-benderang. Aku ketuk pintu bilik sebelah dan bertamu di sana sehingga pagi. Aku tidak berkata apa-apa sepanjang menumpang di situ. Mereka faham dan hanya menenangkanku yang kelihatan serba tidak kena.

Akhirnya aku menceritakan hal ini kepada kedua ibu bapaku. Mereka terus bertindak dengan meminta bantuan seorang ustaz yang mereka kenali untuk mengubatiku. Aku pulang ke rumah selepas malam itu. Pelajaranku terganggu selama beberapa minggu tetapi keluargaku sudah menguruskan semuanya dengan pihak universiti. Aku hanya akan kembali setelah pulih. Aku berubat dengan ustaz Iman selama tiga minggu. Ustaz Iman menceritakan bagaimana aku terkena badi mayat dan semangatku semakin hilang selepas kematian Zana. Yang mengganggu bukanlah Zana tetapi syaitan iblis.

Masakan yang sudah mati boleh kembali mengganggu yang masih hidup.


Aku sudah kembali ke kampus. Selepas berubat, aku sudah tidak diganggu lagi. Aku bersyukur pada yang Maha Esa kerana telah menyelamatkanku.

Petang tadi aku pergi ke bilik yang pernah dihuni oleh arwah semasa dia masih hidup. Bilik itu sudah tidak berpenghuni lagi selepas kejadian bunuh itu. Tiada siapa yang berani untuk menginap di sini. Aku labuhkan punggung ke birai katil. Bilik ini kosong. Sudah hampir dua bulan Zana meninggal dunia.

Semoga ALLAH menempatkan rohnya di kalangan roh-roh orang yang beriman, aamiin.

Aku tutup pintu bilik dan bersedia untuk menunaikan solat maghrib. Segala kenangan manis aku bersama Zana tidak akan pernah aku lupakan. Dia sahabat aku di dunia dan akhirat. Biliknya aku tinggalkan dengan wajah sayu.

Takah-takah anak tangga aku daki. Mahu cepat kembali ke bilik untuk solat. Semasa di tingkat tiga, bulu romaku tiba-tiba meremang. Suasana menjadi teramat dingin.

“Aku rindu kau Ira…….”



*TAMAT*


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.