TELEFON hilang. Telefon sudah tentulah
kena beli yang baharu. Esoknya Esha terpaksa pergi ke Celcom Centre untuk
mengambil nombornya semula. Esha mengeluh panjang sebaik diberitahu nombor
telefonnya itu didaftarkan atas nama orang lain. Gadis kaunter meminta Esha
cuba ke tempat dia membeli nombor tersebut. Sayangnya kedai tersebut telah
tutup. Esha memaki hamun di dalam hati. Sednagkan ketika dia membeli nombor
itu, lelaki cina yang menjaga kedai terbabit telah fotostat kad pengenalannya.
Bagaimana nombor itu boleh didaftarkan atas nama orang lain.
Esha
tiada pilihan lain. Dia membeli nombor yang baharu lagi. Selepas seminggu dia
memakai nombor tersebut mula ada panggilan yang tidak dikenali masuk. Esha
tidak menjawab panggilan dari nombor-nombor yang tiada dalam simpanan. Esha
hanya memberikan nombor telefonnya kepada mereka yang tertentu sahaja. Agak
pelik juga bila nombor yang tidak dikenali naik pada skrin telefonnya. Malah
ada yang menghantar pesanan ringkas. Esha padam mesej-mesej romantic terbabit.
Masakan lelaki itu tidak mengetahui teman wanitanya bertukar nombor. Atau
sengaja dengan taktik salah nombor, salah hantar mesej jadi dalam pada masa
mengambil peluang untuk berkenalan.
Mimpi
ngeri mula menghantui Esha. Suatu malam ketika Esha nyenyak telefon bimbit
bergegar di tepi bantal. Terpisat-pisat Esha bangun dari tidur. Tidurnya
terganggu dengan bunyi telefon bimbitnya yang berulang kali. Nombor yang
tertera nombor yang tidak dikenali lagi. Tidak silap Esha, nombor itu
sering-kali naik pada skrin telefonnya kebelakangan ini. Selalunya waktu tengah
malam begini.
Esha
merengus kecil. Kali ini, dia mengangkat panggilan tersebut.
“Helo…”
“Helo…
Rizal ada? Makcik ni mak dia.” Suara seorang perempuan tua.
“Maaf
makcik, makcik salah nombor.” Esha membalas lembut.
“Tapi
ni nombor Rizal kan?”
“Bukan
makcik. Ni bukan nombor anak makcik.”
“Oh,
maafkan makcik.”
Talian
diputuskan. Apa punya anaklah zaman sekarang ini. Tukar nombor tidak
memaklumkan kepada orang tua. Jenis anak derhaka ni. Esha merungut sendirian.
**********
ESHA memicit-micit dari menghadap kerja
yang bertimbun. Nak termuntah dia dibuatnya. Jarang dia membawa balik kerja di
rumah. Klien cerewet sangat. Bagi rekaan macam ini tak mahu. Rekaan macam itu
pun tak mahu. Warna ini tak kena. Warna itu tak kena. Kalau tidak fikirkan
bayaran yang diterima malas dia mahu mengambil projek hiasan dalaman banglo
datin kepoh itu.
Sedar tak sedar Esha
terlelap di ruang tamu atas sofa. Komputer riba masih terpasang di dada meja.
Fail-fail dan kertas rekaan bertaburan di lantai. Telefon bimbit yang berada di
atas meja bergegar tanpa henti. Esha terjaga. Dia menguap kecil seraya
mengaru-garu kepala yang tidak gatal.
“Helo.
Assalamualaikum…” Esha menjawab tanpa melihat nombor di skrin telefon. Sempat dia mengerling jam dinding. Pukul 3.00
pagi.
“Helo…
Rizal ke tu?”
Rizal?
Suara makcik itu lagi. Suara lelaki dengan suara perempuan masakan makcik itu
tidak dapat bezakan.
“Maaf
makcik. Makcik salah nombor.”
Tidak
sampai hati dia mahu menengking bila bercakap. Lagipun makcik itu orang
tua-tua.
“Boleh
makcik tahu, siapa yang cakap di sana tu?”
“Nama
saya Esha, makcik. Saya rasa anak lelaki makcik sudah tukar nombor.”
“Makcik
salah nombor ye? Hehehehe… maafkan makcik ye.”
Seram
pula dia dengar suara makcik itu ketawa. Tapi Esha tidak mahu berfikir yang
bukan-bukan. Barangkali makcik itu ada penyakit lupa. Menghubungi nombornya
lagi. Lupa nombor telefon anak lelaki itu.
“Tak
apa makcik. Makcik cubalah telefon anak-anak makcik yang lain. Mana tahu ada
yang simpan nombor Rizal.” Mulutya ringan untuk bertanya lebih lanjut.
“Anak
makcik ada seorang je. Anak tunggal.”
“Oh,
maaflah saya tak dapat bantu makcik.”
“Tak
apalah, ye. Hehehehe….”
Talian
diputuskan. Makcik itu bila ketawa meremang bulu roma saja. Bila sudah terjaga
begini sukar untuk Esha melelapkan mata semula.
Dia menuju ke bilik air. Membasuh muka dan kemudian menjerang air.
**********
“TAK cukup tidur ke, Sha?” Sapa rakan
sekerjanya.
Esha
tersengih. Nasi lemak daun pisang sudah tinggal separuh dimakan. Dalam keadaan
penat dan lesu begini selera makan masih ada.
“Malam-malam
aku dapat gangguan telefon.” Esha membuka cerita. Makcik itu kerap juga
menelefonnya dua-tiga malam ini.
“Amboi,
kemain kau! Gayut dengan kekasih ke?”
“Aku
mana ada masa nak bermain cinta ni. Bukanlah. Bergayut dengan makcik tua.”
Teman
sekerjanya itu ketawa.
“Makcik
tua mana ni?”
“Entah.
Dia salah nombor. Dia call
tengah-tengah malam. Tanya anak dia.” Kadang-kadang Esha berasa pelik. Anak
lelakinya itu masih tidak memaklumkan pada ibunya yang nombornya sudah
bertukar.
“Maybe nombor kau tu anak dia yang pakai
sebelum ni. Sekarang ni nombor recycleje
lepas tiga bulan dah jual balik di kedai telefon.”
“Agaknya.”
“Dia
selalu call pukul berapa?” Teman
sekerjanya itu bertanya lagi.
“Dalam
pukul 12.00 ke atas.”
Dahi
teman sekerjanya itu berkerut-kerut.
“Pelik.”
“Kenapa
nak pelik pula? Pada aku makcik tu mungkin ada penyakit nyanyuk. Dia lupa kut
anakya salah nombor.” Esha berfikiran positif.
“Aku
tetap rasa peliklah. Dia call kau
tengah-tengah malam tu yang aku pelik. Jangan-jangan makcik tu…”
“Esh,
kau ni. Jangan menakutkan aku!” Esha memintas kata-kata teman sekerjanya itu. Lengan
teman sekerjanya itu dicubit.
Teman
sekerjanya itu terjerit kecil. Wajahnya kian berkerut.
“Aku
rasa baik lepas ni kau jangan lagi angkat bila makcik tu call.” Teman sekerjanya mengingatkan dia.
Esha
angguk. Dia bukan endah sangat kata-kata teman sekerjanya itu. Suapan terakhir nasi
lemak masuk ke mulut. Dia menghirup segera teh O yang sudah suam-suam panas.
**********
TENGAH malam baharu Esha sampai di
rumah. Letih. Lepas jumpa klien dia melepak bersama teman sekerjanya.
Makan-makan sambil berbual kosong. Esha bersandar pada sofa dengan keluhan
kecil.
Kesabaran Esha teruji lagi
pada malam itu. Telefon bimbitnya berbunyi ketika dia hampir memenjam mata. Tidak
berpeluang langsung untuk dia berehat seketika. Haruman badan pun sudah bau
masam.
Nombor makcik itu lagi?
Hati Esha berbisik. Moodnya pula
kurang baik. Siang tadi dia banyak bertekak dengan klien.
“Helo…”
“Makcik
nak bercakap dengan anak makcik. Rizal ada?”
“Maaf,
makcik. Salah nombor! Salah nombor!” Esha membalas keras. Panggilan dari
‘makcik’ itu dimatikan.
Beberapa
saat kemudian, telefon bimbitnya berbunyi lagi.
“Makcik…
dah berulang kali saya cakap, makcik salah nombor?”
“Hehehehe…
yeke makcik salah nombor nak? Maaflah ye. Hehehehehee…” Ketawa makcik itu
semakin panjang dan nyaring.
Tawa
‘makcik’ itu buat bulu tengkuk Esha merinding. Dia terus menutup telefon
bimbitnya itu.
Namun,
telefon bimbitnya berbunyi lagi. Puas dia cuba menutup telefonnya tetapi tidak
berhasil. Esha membiarkan sahaja telefonnya berbunyi hingga telefonnya itu
berhenti. Manik-manik peluh sudah kelihatan pada dahi Esha. Tiba-tiba sahaja
lampu rumahnya malap dan terpadam sendiri. Esha duduk di ruang tamu dalam
keadaan gelap.
Tidak
sampai seminit telefon bimbitnya berbunyi semula. Esha mengetap bibir. Dia
mencapai telefonnya semula. Dia menekapkan telefon pada telinga.
“Kenapa
tak jawab?” Suara makcik itu kasar.
Esha
membisu.
“Makcik
dah sampai depan pintu rumah Esha ni. Hehehehe… bukalah pintu. Hehehehe…”
Hampir terlepas telefon dari pegangan Esha.
Esha
bingkas bangun dari sofa. Terketar-ketar tangannya menyelak kain langsir dari
tingkap yang berdekatan. Matanya jelas melihat seorang wanita tua yang
terbongkok-bongkok berselendang putih di depan pintu rumahnya itu. Wanita tua
itu terbatuk-batuk kecil.
Esha
menutup semula kain langsir. Dia mundar mandir di ruang tamu. Perasaan takut
dan cemas bercampur baur. Kebetulan jiran sebelah-menyebelah tiada orang di
rumah. Pada siapa dia mahu meminta bantuan. Menjerit? Waktu ini suaranya
bagaikan tersekat dikerongkong.
Ketukan
pintu bertalu-talu kedengaran. Makcik itu memanggil-manggil namanya.
“Bukalah
pintu ni, Esha. Bagilah makcik masuk. Makcik tahu Esha intai tadi dekat
tingkap. Makcik nampak!”
Makcik
itu thau dia mengintai. Sah-sah makcik itu bukannya manusia. Telefon bimbit
Esha berbunyi lagi. Esha memeluk tubuhnya. Dia cuba bertenang. Situasi begini
kalau ikutka rasa takut gangguan dari makcik itu akan berterusan. Ya, ALLAH…
lindungilah hambaMU ini. Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran.
“Tak
nak bagi makcik masuk tak apalah. Jangan buat makcik panas macam ni! Tak baik!”
Suara makcik itu merintih-rintih diluar. Pintu rumahnya diketuk dengan kuat.
Macam mahu bergegar rumahnya itu.
Esha
abaikan rintihan dari makcik itu. Makhluk bernama jin ini pandai bermuka-muka. Dia tidak boleh lembut hati. Dia terus-terusan
membaca ayat-ayat suci.
“Panas! Makcik panas!”
Lama-kelamaan suara
rintihan makcik itu tidak lagi kedengaran. Telefonnya juga sudah berhenti dari
berbunyi.
Esha
meraup muka berkali-kali. Suasana rumahnya kembali terang-benderang. Syukur…
**********
ESHA ke Celcom Centre untuk mengetahui
nama pemilik nombor tersebut. Malah dia bertegas mahukan alamat lelaki bernama
Yusrizal itu. Setelah memperolehi apa yang dicari, Esha menuju ke rumah lelaki
tersebut.
Lelaki
bernama Yusrizal menerima kejutan dengan kehadiran Esha. Begitu juga dengan
isterinya. Mereka menjemput Esha masuk. Lantas Esha menceritakan apa yang
berlaku. Yusrizal memaklumkan yang dia memang sudah menggunakan nombor tersebut
5 bulan yang lalu. Dia tidak tahan dengan gangguan telefon wanita tua yang
suaranya sama seperti suara arwah ibunya itu. Esha tersentak mendengar cerita
dari Yusrizal.
Tambah
Yusrizal lagi, ibunya meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke rumahnya. Ibunya
sedang menelefonnya ketika itu dan memaklumkan kedatangannya ke rumah. Tidak tahu apa yang terjadi, ibunya tidak
sampai-sampai ke rumah. Puas dihubungi panggilannya masuk ke peti suara lalu
dia membuat laporan polis.
Keesokkan
hari polis datang ke rumahnya memaklumkan berita sedih. Mayat ibunya ditemui di
dalam longkang besar tepi jalan. Kecederaan di kepala punca kematian ibunya. Ibunya
dipercayai telah diragut. Selepas sebulan ibunya meninggal, dia mula menerima
gangguan telefon dari nombor arwah ibunya itu. Aneh. Tapi itu yang berlaku.
“Terima
kasih,” Ucap Esha. Dia meminta diri.
Orang
yang sudah mati tidak akan hidup semula hingga hari kebangkitan itu tiba. Semua itu
permainan pengikut-pengikut iblis. Esha mengambil keputusan untuk menukar ganti
nombor yang baharu. Langkah yang terbaik bagi Esha. Moga orang yang memilih
nombor tersebut tidak mengalami gangguan dari makcik yang salah nombor itu.
TAMAT