“Usu, bila nak balik kampung? Ubat mak dah habis.”
Aku
dengar suara emak dengan teliti. Walaupun suara emak tenggelam timbul namun
sudah cukup untuk mematikan kerinduan yang ada di hatiku. Suara emak bagaikan
ubat penawar segala penyakit. Suara emak bagaikan ada keajaiban.
“Ubat
mak dah habis? Dah habis langsung?”
“Entahlah.
Mak pun tak tahu tapi dah dua hari mak rasa along tak beri mak makan ubat.”
Sesaat
dua telah berlalu. Aku terdiam sambil memikirkan pertanyaan emak. Sungguhpun
emak tidak meminta aku balik ke kampung tetapi pertanyaan itu tetap mengandungi
dua maksud. Emak mahu aku balik dan mak mahu aku belikan ubatnya yang telah
habis. Sungguh jelas.
“Along
ada di rumah tak, mak? Kalau ada, mak berikan telefon ini pada along. Usu nak
cakap dengan along.”
Aku
beri arahan kepada emak dengan berhati-hati dan jelas sekali. Aku tahu, emak
sudah tidak faham bahasa yang rumit-rumit lagi. Emak sudah mula nyanyuk,
kadang-kadang emak tidak ingat apa yang dilakukan. Malah emak pernah lupa nama
aku. Tidak lama selepas itu, aku terdengar suara along.
“Usu,
along ni,” kata along.
“Betul
ke ubat mak dah habis? Usu rasa macam belum saja.” Dahiku berkerut kerana aku
pasti kiraanku tidak salah. Aku yang membeli, aku yang mengira keperluan emak
dalam soal itu. Along cuma tolong jaga emak dan beri emak ubat.
“Belum…,”
jawab along. “Tapi tahu sajalah emak tu… along dah beri pun, dia kata belum
beri. Sekarang along terpaksa simpan ubat-ubat dia di tempat tinggi. Along
takut, emak curi makan.”
Betullah
apa yang aku fikirkan. Ubat emak sepatutnya ada separuh lagi, bukannya sudah
habis.
“Tapi
sejak malam tadi, dia asyik suruh along telefon Usu. Puas along pujuk kata usu
kerja, tak boleh diganggu.”
“Tak
apalah, along. Ikutkan sajalah perangai mak tu.”
“Tapi
kan… along rasa mak sebenarnya rindu kat usu. Tu sebab dalam kepalanya kata
ubat dia dah habis. Kalau kata macam tu nanti, usu kenalah balik hantar ubat
dia.”
Aku
tersenyum geli hati.
“Hujung
minggu ni usu balik. Cakap pada mak.”
“Usu
tak kerja ke hujung minggu ni?”
“Usu
cuma boleh balik sekejap pada hari Ahad. Malam tu juga usu kena balik semula ke
KL,” jawabku. Sudah terbayang di kepalaku satu perjalanan yang memenatkan badan
untuk memandu balik dari KL ke Melaka kemudian berpatah balik pada hari yang
sama.
“Kalau
larat, baliklah. Ubat emak tu masih ada lagi.” Suara along sudah mengendur.
Mungkin sudah terbayang juga di kepalanya kesusahan yang akan aku alami untuk
balik ke kampung bersendirian.
“Tak
apalah, along. Alang-alang dah balik nanti, usu belikan sekali ubat mak untuk
tiga bulan lagi.”
“Eloklah
tu,” jawab along.
Lantas
aku mematikan panggilan. Penat atau tidak, aku akan balik juga. Aku hendak
jumpa emak. Rindu.
******
Empat
hari telah berlalu sejak aku menerima panggilan telefon daripada emak tempoh
hari. Hari ini, aku balik ke kampung bersendirian dan sampai ke jalan masuk ke
kampung kira-kira pada pukul 1.15 petang. Di pertengahan jalan, aku bertemu
dengan seseorang yang aku rasa seperti pernah mengenalinya.
“Miza!
Nak ke mana?”
Aku
berhentikan kereta di tepi jalan masuk. Aku tegur gadis yang baru kuingat
namanya itu. Ya, dia Miza! Kawan sekelasku semasa di sekolah rendah dahulu.
Kami tidak bersekolah sama lagi apabila aku dapat memasuki asrama penuh selepas
itu. Dengarnya Miza terus bersekolah di kampung itu sebelum bekerja entah di
mana. Masa yang telah berlalu begitu pantas, seolah-olah memadam ingatanku
terhadap Miza sehingga bertemu semula pada hari ini.
“Nak
balik rumah,” jawab Miza. Riak wajahnya tidaklah seperti teruja melihat aku.
Mungkin kerana aku bukanlah kawan baiknya. Sama ada aku ada ataupun tidak,
bukanlah ada makna kepada Miza. Mungkin.
“Nak
tumpang?” tanyaku walau sejujurnya aku sendiri sudah tidak berapa ingat rumah
Miza di mana. Jika tidak silap aku, rumahnya di belakang sekolah rendah. Itu
sahaja.
Miza
angguk.
“Masuklah,”
pelawaku. Aku bukakan pintu kereta dan Miza terus masuk.
“Awak
kerja di mana sekarang?” Miza bertanya tanpa menoleh ke arahku.
“Di
KL. Awak?” Aku teruskan pemanduan sambil berfikir sama ada aku harus bertanya
ataupun tidak di mana rumahnya. Aku bimbang Miza akan tersinggung.
Miza
menggeleng. “Sedang cari kerja,” katanya perlahan.
Aku
terus memerhatikan jalan. Debaran di hati tidak memungkinkan aku untuk
menumpukan perhatian kepada jawapan Miza. Aku lebih bimbang jika aku terlepas
simpang sedangkan aku belum tergamak untuk bertanya arah. Miza pula hanya buat
tidak tahu.
“Ada
jumpa kawan-kawan kita yang lain?” Aku cuba mengurangkan kerisauan di dada.
Selagi Miza tidak menegur, aku anggap jalan sajalah jalan itu betul. Itu yang
paling senang.
“Ada.
Tapi ramai dah tak tinggal di sini lagi,” jawab Miza.
Memanglah,
aku jawab dalam hati. Siapa hendak tinggal di kampung itu selama-lamanya?
Lambat-laun anak kampung itu terpaksa juga berhijrah ke tempat lain untuk
bekerja dan berkeluarga. Hanya yang betul-betul ada sebab sahaja yang
masih tinggal di situ, seperti alongku yang kebetulan mengajar di sekolah
kampung itu sahaja. Bolehlah dia menetap di situ bersama emak.
“Awak
tak nak berhijrah ke? Cari kerja jauh sikit.”
Aku
pandang Miza yang sedang duduk tegak. Ingatanku terhadap gadis itu seperti
tidak banyak berubah. Miza tetap berbaju kurung berbunga halus dari kain kapas
seperti yang pernah aku lihat belasan tahun yang lalu. Ternyata selera Miza
tidak berubah, sedikit ketinggalan zaman jika dibandingkan dengan arus fesyen
pada zaman ini.
“Tak
ada orang nak bawa.” Miza tunduk memandang jarinya.
Hatiku
mula tersentuh melihat gelagat Miza. Aku faham apa yang sedang dihadapinya. Aku
juga dulu begitu. Tanpa pertolongan rakan baikku yang sudi menumpangkan aku
beberapa minggu di sana, mungkin agak sukar untuk aku mencari pekerjaan. Aku
yakin, Miza amat memerlukan pertolongan.
“Miza
belajar setakat mana?”
“Diploma.
Diploma perakaunan.”
Aku
angguk. Boleh tahan.
“Kalau
macam tu… apa kata kalau Miza ikut saya balik KL? Kita cuba cari kerja di sana
untuk Miza. Sementara tu, Miza tumpanglah di rumah saya dulu sampai dapat kerja
dan tempat tinggal lain. Nak menyewa di rumah saya tu, susah sikit sebab
penyewa dah penuh tapi kalau nak menumpang dalam sebulan dua tu, bolehlah.”
Aku
tersenyum. Aku rasa gembira, lega dan bangga kerana dapat membantu Miza pula.
“Bila
awak balik ke KL?”
“Malam
ni, selepas Maghrib. Esok pagi saya kerja. Jadi… sebelum balik tu, saya jemput
Miza dulu ya? Miza beritahulah keluarga Miza.”
Miza
angguk. Tidak lama kemudian Miza mengangkat tangan lalu menunjukkan sebuah
tempat yang agak lapang tidak jauh daripada masjid.
“Nak
berhenti di sini?”
“Ya,
turunkan saya di sini.”
“Tapi
rumah Miza jauh lagi, kan?”
Miza
geleng. “Dah terlepas di belakang…”
Ha?
Dah terlepas? Aku toleh ke belakang, baru aku perasan bumbung sekolah rendah
dari situ. Aku malu sendiri.
“Maaflah,
saya tak perasan simpang tadi.”
“Tak
apalah,” kata Miza sebelum turun daripada keretaku.
“Ingat
ya, selepas Maghrib saya jemput,” pesanku sekali lagi.
“Saya
tunggu di simpang,” balas Miza.
Aku
terus memandu balik ke rumah, aku yakin emak sudah ternanti-nanti kepulanganku.
*****
“Siapa
ni?” Emak bertanya sebaik sahaja melihat muka aku di hadapannya. Pada waktu itu
dia sedang duduk menonton televisyen.
Aku
mengeluh perlahan. Rasa sedih yang mula datang bak hembusan angin, aku tepis.
Aku faham, emak sudah nyanyuk. Emak kadangkala lupa tentang dirinya sendiri,
ini kan pula hal orang lain. Lalu, aku tidak ambil hati dengan pertanyaan emak.
“Ni,
usu lah, mak. Usu anak mak,” jawabku sambil tersenyum. Moga-moga emak masih
ingat wajahku jika aku tersenyum.
“Usu?
usu mana pula ni?” tanya emak pula. Emak tercengang-cengang dengan riak marah.
“Tak
apalah, mak,” balasku hampa.
Biarlah
emak tidak kenal aku lagi, biarlah jika emak sudah lupa nama aku siapa tetapi
yang aku tahu, aku masih ingat dan kenal emak. Itu cukup untuk membuatkan aku
rasa bahagia.
“Emak
buat apa ni?”
“Tengok
TV” balas emak.
Betul
juga, kata hatiku. Memang emak sedang memandang ke arah skrin televisyen di
hadapannya tetapi aku tidak pasti sama ada emak faham ataupun tidak rancangan
yang dipertontonkan kerana emak sedang menonton rangkaian drama Korea yang
tidak ada alih bahasa atau sarikata. Aneh juga.
“Kenapa
dibiarkan emak tonton drama Korea ni?” Along masuk menegur aku di ruang tamu.
Along bawa air dan sepiring kuih pisang goreng yang aku bawa balik tadi.
Diletakkan di atas lantai berdekatan dengan kami berdua.
“Bukan
Usu yang alih siaran. Usu datang tadi, memang dah terpasang,” Aku membela diri.
Along
segera menekan butang kawalan TV, kini siaran telah bertukar ke rancangan lain.
Rancangan Tanyalah Ustazah.
“Along…,”
panggilku. “Mak tak kenal usu.”
“Biasalah
tu… kadang-kadang along ni pun mak tak ingat.”
“Makin
teruk?”
“Tak
juga. Kadang-kadang mak boleh ingat macam biasa, kadang-kadang saja mak lupa
semua benda. Pernah mak lupa pakai baju selepas mandi,” terang along.
Isy!
Teruk tu, kata hatiku. Namun aku tidak sampai hati meluahkannya kepada along.
Sudahlah along yang menjaga emak, kalau along susah hati, macam mana aku nak
tolong? Aku duduk jauh.
“Usu
ada bawa ubat mak?”
“Ada.
Cukup untuk tiga bulan lagi.”
Aku
keluarkan beberapa botol vitamin yang kubeli di farmasi untuk emak. Sebenarnya
yang disebut sebagai ‘ubat’ oleh emak selama ini hanyalah vitamin. Kami sengaja
malas menegur emak untuk perkara yang seremeh itu. Biarlah emak nak panggil apa
pun, asal hati emak senang. Tidak berbaloi untuk bertengkar dengan perkara yang
tidak sepenting itu.
“Ubat.”
Emak bersuara apabila ternampak botol-botol vitamin yang aku keluarkan. “Ngah,
kau pergi ambil air, mak nak makan ubat yang along bawa ni.”
Aku
dan along cuma berpandangan. Cakap emak sudah merapu. Along dipanggil angah,
aku dipanggil along.
Along
menggeleng. “Tak payah, tadi along dah beri dia.”
Aku
pandang emak. Ternyata ingataan emak sudah merosot sekali.
“Ni
ubat, mak. Jangan telan tau. Hisap perlahan-lahan sampai habis.”
Akhirnya
aku berikan emak sebiji coklat kerana emak masih menadah tangan mengharapkan
kami memberinya sebiji ubat. Oh! Emak…
******
Pada
petang itu, aku berbaring di sebelah emak di ruang tamu kerana aku rindu hendak
peluk emak seperti dahulu. Aku rindu bau badan emak, aku rindu dengkuran emak.
Aku rindu semuanya pasal emak. Mujurlah emak membiarkan sahaja aku begitu.
“Berapa
hari usu cuti?” Emak dengan tiba-tiba sahaja bertanya.
Kepalaku
segera meninggalkan bantal. Bersorak-sorai jiwaku apabila emak menyebut namaku.
Emak sudah ingat?
“Sekejap
saja, mak. Selepas Maghrib nanti usu kena balik,” jawabku. Terasa lama benar
tidak berbual dengan emak. Dulu emak selalu berbual dengan aku sehingga larut
malam. Macam-macam yang emak ceritakan. Cuma selepas emak jatuh sakit dan
berubah menjadi pelupa sahaja… hari-hariku di rumah itu bertukar sepi. Tidak
ada lagi cerita emak.
“Kalau
banyak kerja, buat apa balik? Menyusahkan usu saja. Baliklah cuti raya nanti.”
Aku
tersenyum.
“Cuti
raya dah lepaslah, mak,” balasku. Emak terlupa lagi.
“Dah
lepas ke?”
“Dah
dua bulan.”
Emak
diam. Entah apa yang emak sedang fikirkan.
“Usu
balik nanti hati-hati….”
“Usu
sentiasa hati-hati, mak. Tapi rasanya jalan ke KL mesti sesak,” balasku sambil
berfikir mahu ikut balik menggunakan jalan bawah sahaja hingga ke Seremban kemudian
baru naik lebuh raya. Ada Miza menemaniku, jalan yang jauh pun mungkin tidaklah
terlalu menjemukan.
“Jangan
ajak sesiapa balik,” pesan emak lagi.
Aku
terdiam seketika. Jangan ajak sesiapa balik? Kenapa pula?
“Tapi
usu… usu dah ajak Miza ikut usu balik KL, mak. Usu cadang nak tolong dia cari
kerja kat sana.”
Aku
berbicara seolah-olah ingatan emak tidak pernah merosot. Seperti emak tidak ada
apa-apa masalah langsung. Entah kenapa, aku rasa gembira, aku rasa lega
teramat-amat. Mungkin penyakit emak membuat aku sedih. Aku rasa kehilangan emak
walaupun emak ada di hadapan mata.
“Miza
anak Bidin? Anak Piah?”
“Mana
pula Miza anak Bidin? Nama ayah Miza kan Sulaiman? Amiza Sulaiman.” Aku ingat
nama penuh Miza kerana nama ayahnya sama dengan nama ayahku, Sulaiman.
“Dia
dah mati.”
Isy!
Emak… orang tu sihat walafiat dikatakannya mati? Aku tergamam tetapi aku tidak
mahu membantah, aku tidak sampai hati.
“Dia
jatuh sungai. Sampai sekarang orang tak jumpa mayat dia,” sambung emak lagi.
“Angah pun ikut cari masa tu.”
Aku
renung siling rumah yang samar-samar sahaja. Cerita emak aku dengar sahaja
tanpa mahu mengulas. Seingat aku bukan Miza yang mati lemas tetapi Seman, anak
jiran sebelah. Seman jatuh ke sungai yang terletak tidak jauh dari sekolah aku
sewaktu aku dalam darjah enam dahulu. Sudah berapa tahun perirtiwa itu berlalu?
Fikiran emak sah-sah kacau-bilau.
“Abah
pun tolong juga.”
Kata-kata
terakhir emak itu terus membuatkan aku menggelengkan kepala. Kasihan emak… sah
ceritanya bercampur aduk. Mana pula abah boleh tolong? Abah kan sudah meninggal
sewaktu aku baru berusia setahun? Hai… aku garu kepala yang mula pening.
“Mak
tidur ya? Jangan banyak fikir,” pujukku pula. Aku kembali merebahkan kepala di
atas bantal. Aku peluk emak erat-erat.
“Jangan
peluk. Kau siapa?” Emak beranjak jauh dari aku.
Aku
hanya mampu memandang. Petang itu aku tidur berpeluk tubuh sahaja sambil
mencium baju emak dari belakang.
*****
Pukul
7. 40 malam, aku mula sibuk. Aku kemaskan beg pakaian, aku masukkan buah-buahan
yang akan aku bawa balik ke rumah sewa kerana kebetulan pokok rambutan dan
manggis di sekeliling rumah berbuah, aku mula membersihkan sedikit kereta
sebelum menjemput Miza pula selepas ini. Aku tak mahu terlalu lewat balik ke
KL, nanti sampai juga lewat.
“Apa
yang usu cakap dengan emak tadi?” tanya along sewaktu sama-sama memasukkan beg
plastik yang mengandungi buah manggis ke dalam kereta.
“Kenapa?”
Aku pandang along. Aku sendiri sudah ingat-ingat lupa pasal perbualanku tadi.
“Sejak
bangun tidur… emak asyik menyebut nama Miza. Kenapa ya?” Muka along kelihatan
keliru dan risau.
“Miza?
Usu ingat tadi apahalnya… memanglah usu ada cakap dengan emak tadi yang usu nak
bawa Miza balik ke KL malam ni. Usu nak tolong dia cari kerja, kesian dia….”
Aku tutup pintu kereta. Semuanya sudah ada, aku rasa.
Tetapi
apabila along tidak membalas kata-kata aku tadi, baru aku memberikan perhatian
kepada along yang kelu di sisi kereta. Wajah along sepertinya amat terkejut.
“Kenapa
along?” tanyaku.
“Apa
usu cakap ni?”
“Usu
cakap benda yang betullah.”
“Kenapa
sebut pasal Miza pula?”
“Yalah,
tengah hari tadi semasa usu balik ke sini, usu jumpa Miza kat tepi simpang
masuk tu. Usu tumpangkanlah dia sampai dekat masjid. Dialah cerita, dia sedang
cari kerja… jadi usu naklah tolong dia. Itu saja,” terangku. Dalam hati, aku
dapat rasa along sedang memarahiku. Aku rasa tidak patut along bersikap begitu,
kasihan Miza.
Along
geleng kepala. Dia tunduk memandang tanah.
“Kenapa
along geleng-geleng pula?” Aku pegang lengan along. Aku ada buat salah ke? Aku
tak boleh tolong Miza?
“Usu
ni ada bakat nak jadi nyanyuk macam emak,” balas along.
Aku
terlopong seketika.
“Sampai
hati along cakap macam tu ya…” Mukaku sudah masam. Memanglah penyakit nyanyuk
emak merisaukan aku. Aku tidak mahu menjadi nyanyuk apabila tua nanti. Aku mohon
pada Tuhan agar dijauhkan penyakit itu tetapi sekiranya tersurat aku akan
nyanyuk juga, aku akan reda tetapi bukanlah sekarang.
“Dah
tu… apa mak cakap pada usu?”
“Mak
cakap… Miza dah mati. Mengarut sungguhlah mak tu. Orang yang masih hidup pun
mak kata dah mati. Orang yang dah mati pula, mak kata masih hidup. Jangan mak
kata usu pula yang dah mati sudahlah.” Rasa rajukku pada along masih ada.
Along
geleng kepala lagi.
“Usu
tak percaya cakap mak?”
“Along…
mak tu dah nyanyuk tau. Apa yang mak cakap semuanya dah tak betul.”
“Sampai
hati usu hukum mak macam tu sekali. Zalim.”
Aku
terdiam. Lama aku memandang muka along yang seolah-olah mahu bermandi air mata.
Aku tahu along penat menjaga emak, malah fikiran along juga mungkin sudah letih
dengan kerenah emak tetapi kenapa along sanggup tuduh aku zalim?
“Usu
hanya bercakap benar. Along pun tahu semua yang keluar dari bibir mak dah tak
boleh dipakai. Mak dah tak boleh bezakan antara realiti dan imaginasi.”
Along
geleng lagi. Along bagaikan tidak boleh menerima pendapatku itu. “Tapi apa yang
mak cakapkan itu benar. Miza… dah lama jadi arwah.”
Aku
pandang along tidak berkelip.
****
UNTUK
beberapa saat aku terdiam kerana spontan bulu romaku menegak. Terasa sekujur
tubuhku sejuk dan panas berulang-ulang. Terasa-rasa juga seperti ada seseorang berdekatan
dengan aku walaupun hanya kami berdua sahaja di situ.
“Along
jangan main-main dengan usu, long. Baru tengah hari tadi usu jumpa dia dekat
simpang jalan. Dia tumpang kereta usu lagi.…” Tubuhku sudah menggeletar.
Mujur
along segera memegang lenganku pula.
“Istighfar.
Mengucap. Baca Al-Fatihah.” Macam-macam cadangan along kepada aku apabila
melihat aku tersandar ke pintu kereta.
Sekujur
tubuhku makin kedinginan. Sedar-sedar sahaja tapak tangan along sudah menyentuh
kulit mukaku. Dia meraut mukaku sambil membaca beberapa potong ayat yang tidak
tentu bunyinya. Mungkin Ayatul Kursi. Along peluk bahu aku, along bawa aku
masuk ke dalam rumah semula.
“Jadi…
cerita mak tadi tu betul?” tanyaku setelah rasa terkejutku beransur hilang.
Along
angguk. “Itu yang along cuba cakapkan pada usu. Mak tu cuma nyanyuk bukan gila.
Bukan semua cakap mak tu tak boleh dipakai. Lagipun mak tu mak kita, kalau kita
hilang kepercayaan pada mak… siapa lagi yang mak ada dalam dunia ni?”
Aku
terdiam jadinya.
*****
Waktu
Maghrib sudah berganti Isyak. Aku masih belum berganjak dari rumah emak.
Fikiran aku tidak tenang, hatiku berat untuk pulang.
“Emak
cerita yang Miza… jatuh sungai. Mayatnya tak dijumpai sampai sekarang. Emak
juga cakap… angah ada tolong cari. Betul ke?” Aku ceritakan semula kepada along
apa yang emak sampaikan pada aku tadi. Aku cuba mencari di mana benar dan di
mana silapnya cerita emak itu. Mungkin dari situ, dapat aku tanamkan semula
rasa percaya aku pada emak.
Along
angguk.
“Kebetulan
masa tu angah ada balik sini. Mereka mencari tiga hari tiga malam tapi… mayat
Miza tetap tak dijumpai sampai sekarang.”
“Tapi
kenapa usu tak pernah dengar cerita ni?”
“Usu
tak pernah tanya. Along taklah cerita….” balas along.
Aku
diam sahaja. Mungkin betullah apa yang along cerita kerana tidak mungkin along
sengaja mengada-ngadakan cerita mengenai kematian seseorang pula. Dan aku tidak
menyalahkan orang lain dalam soal itu, memang aku tidak ada masa mahu bertanya
khabar dengan kawan-kawan lama di sekolah rendah dahulu. Masa telah menjarakkan
aku dengan mereka. Mungkin bukan Miza sahaja yang telah tiada. Mungkin ramai
lagi dan aku sahaja yang tidak pernah tahu.
Apa-apa
pun kesimpulannya… cerita emak betul.
“Tapi
kan, long. Emak cerita… abah pun ada tolong.” Aku pandang along lama-lama.
Along mesti faham kenapa aku tidak mempercayai cerita emak tadi. “Itu sebab usu
tak percaya pada cerita mak.”
Along
angguk faham. Along diam sahaja.
Mataku
mula berair. Tanpa dapat kutahan rasa kesal datang menghunjam sehinggakan
hatiku berasa sakit dengan sendirinya. Tergamak aku sebagai anak tidak
mempercayai kata-katanya. Sekurang-kurangnya aku tidak patut terus menghukum
emak atau memandang emak bagaikan seorang yang telah hilang kewarasan. Dia emak
aku.
“Maafkan
usu, long. Usu….”
“Tak
apalah, usu baliklah dulu. Nanti kalau dah sampai sana telefon along.”
“Along…”
Along
menoleh ke arahku.
“Usu
tak jadi baliklah,” kataku.
Aku
teringatkan janji aku pada Miza tadi. Rasanya tak sanggup aku melintas simpang
itu semula malam-malam begini dan pesanan emak yang menyuruhku berhati-hati
bagaikan memberi isyarat sesuatu yang buruk akan berlaku.
Ya,
aku percayakan emak kali ini. Aku percaya.