Home Cerpen Seram/Misteri Seludang Tapah
Seludang Tapah
Zhar Aruzi Hairi
20/2/2017 06:37:53
5,668
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Pawang Masnawi berdiri diatas rakit di tengah-tengah sungai. Sebatang buluh dipacak ke dalam sungai bagi mengelak rakit itu dari hanyut. Dari senja tadi dia bertafakur, hingga ke saat ini matanya belum dibuka. Mulut pawang buaya itu masih terkumat-kamit melafaz mentera. Orang-orang kampung Sedeli Hilir beramai-ramai berkerumun di kiri dan kanan tebing sungai untuk melihat apa yang berlaku.

“Huarghhh!!!” Pawang Masnawi menepuk air sungai. Tangan kirinya menabur bertih ke dalam sungai.

Orang ramai menjerit-jerit melihat pusaran air yang muncul secara tiba-tiba berhampiran rakit. Seekor buaya sebesar kerbau dewasa muncul dari pusaran air itu menuju kearah rakit.

Di kiri dan kanan tebing, ada orang yang sudah bertempiaran lari. Cuma dua tiga orang yang berani masih menunggu untuk melihat aksi pawang buaya itu.

Buaya yang tiba itu mengangakan mulut seluas-luasnya sebaik kepalanya mencecah hujung rakit. Pawang Masnawi menepuk-nepuk pangkal hidung buaya gergasi itu.

“Aku tahu, bukan kau atau anak cucu kau yang punya angkara. Ada yang lain yang mahu mencabar aku dan orang kampung. Sekejap lagi pasti dia muncul. Dia pasti tidak tahan bisa keli dan air liur labi-labi yang aku kirimkan tadi" Ujar Pawang Masnawi.

Buaya gergasi itu mengundurkan badannya ke tempat air berpusar tadi. Perlahan-lahan tubuhnya menyelam ke dasar sungai dan terus tidak kelihatan.


“Berani kau mempermainkan anak cucu Adam!! Rasakan bisa keli dan air liur labi-labi itu dulu sebelum ketemu aku" jerkah PawangMasnawi apabila ternampak kelibat berwarna putih meliuk dan berpusing-pusing sekitar rakit. Makhluk bermuka ikan itu semakin jelas kelihatan sebaik ia berenang-renang di permukaan air.

“Siapa kau dan kenapa kau menyerang dan membunuh anak cucu kami" Suara Pawang Masnawi bagaikan halilintar memecah bumi. Herdikan itu boleh didengari hingga ke hujung kampung.

“Siapa tuanmu wahai Puteri Ayer. Ikan jadi-jadian puaka dan pembunuh.” Seru Pawang Masnawi lagi.

Pergerakan makhluk yang dipanggil Puteri Ayer berenang, semakin lama semakin lemah. Akhirnya dia berhenti keletihan di sisi rakit. Pawang Masnawi mencekak rambut makhluk itu sebelum menariknya keatas rakit. Makhluk yang bertubuh seakan jeli itu membuka mulutnya untuk menunjukkan giginya yang runcing seakan ikan pirana. Matanya berwarna hitam dengan mulut dan hidung seakan ikan haruan terkumat kamit meminta nafas.

“Kau tahu membunuh manusia itu haram bagi makhluk seperti kau, tapi kau buat jugak. Di mana kau sorokkan mereka!!!!" Marah Pawang Masnawi. Kepala makhluk itu dihenyak dengan tumit kaki kanannya. Berdecit bunyi makhluk itu dengan darah yang meleleh dari mulut dan insangnya.

“Aku menuntut kau memulangkan nyawa-nyawa dan jasad-jasad yang kau dah ambil!”Marah Pawang Masnawi.Dia tahu tuntutan itu tidak berasas, tapi dia lontarkan jua untuk memuaskan diri sambil menyeksa makhluk itu. Akhir sekali pasti dia akan menikam Puteri Ayer itu dengan keris pusaka di pinggangnya.Dia mahu orang kampung menjadi saksi kehebatan dia sebagai seorang pawang.


Orang ramai di tebing sudah berani bersorak. Ada yang mulai membaling batu dan kayu kearah makhluk itu. Mereka yang kehilangan ahli keluarga di sungai itu pula kembali ke tebing sungai dengan membawa senjata. Mereka turut teruja untuk membalas dendam atas kematian orang tersayang.

Bunuh!..bunuh!..

Jerit suara orang ramai, hampir serentak. Jamung dan pelita yang dibawa dijulang sebaik mereka mengungkap perkataan itu. Suasana seakan pesta di sungai itu.



Seorang lelaki tua bersama cucunya turut memerhati dari tadi. Orang tua itu sekadar menggeleng kepala melihat apa yang berlaku.

“ Bodoh kesemuanya. Makhluk sungai itu tidak layak dilayan sebegitu. Ini semua aksi mahu menunjukkan kehebatan diri semata-mata. Belum tentu yang disiksa itu pembunuh sebenar" Komen lelaki tua itu. Dia kemudiannya menghela nafas panjang.

“Atuk, Wahi nak ke tebing sungai boleh!, nak tengok dekat-dekat sikit" Pinta anak kecil itu.

Orang tua itu menepuk belakang bahu anak kecil itu.

“Wahi tak boleh ke sana. Tak selamat. Apa-apa pun boleh berlaku malam ni"

Wahi menjuih bibir mendengarkan arahan datuknya. Dia terkilan kerana tidak boleh turut serta. Sudah hampir setahun mereka berpindah ke atas bukit itu, sejak datuknya dipulaukan orang kampung kerana menentang perbuatan mereka yang dikatakan bertentangan dengan agama. Budaya jamu-menjamu makhluk halus boleh menyebabkan syirik.



Bunyi deruan air jelas kedengaran dari atas bukit. Wafi berlari ke arah Atuknya.

“Huh! Kepala air dah sampai ke sini. Sekejap lagi semua orang si bawah tu dirempuhnya. Dah tak sempat aku nak beri amaran pada mereka semua!" Jerit orang tua itu.



Pawang Masnawi masih belum puas. Orang kampung di tebing pun masih mahu melihat aksi yang seterusnya. Makhluk yang ditakuti orang kampung kini menjadi mainannya sahaja.

Niat Pawang Masnawi terbantut sebaik mendengar deruan air yang sangat kuat menuju kearahnya. Tubuhnya tergamam melihat gulungan air setinggi pohon kelapa muncul dari arah hulu sungai.

Kepala air pucuk nyiur!!!..kepala air pucuk nyiur!!!!

Jerit mereka yang nampak gelombang air itu. Mana yang nampak berlari ke arah tempat yang lebih tinggi. Gelombang air itu membawa sekali semua benda yang berada di laluannya seperti tsunami.

Pawang Masnawi yang terjun dari rakit untuk menyelamatkan diri, namun dirinya digulung sekali dalam pusaran air itu.

Puteri Air yang disiksanya tadi tiba-tiba kembali segar. Ia membuka mulut seluas-luasnya sebelum membaham kepala Pawang buaya yang tercungap-cungap kelemasan itu. Makhluk air itu kemudiannya berenang melawan arus dan hilang entah ke mana. Jasad Pawang Masnawi tanpa kepala itu pula, bergulung-gulung bersama-sama dengan sampah sarap yang dikutip oleh gelombang tersebut.

Orang-orang kampung di tepi tebing, yang lambat melarikan diri turut diseret masuk oleh gelombang air itu. Teriak tangis kedengaran di merata-rata, terutama suara orang mencari ahli keluarga yang hilang.



“Innalillahiwainnailaihirajiun" Ucap orang tua di atas bukit. Dia menggeleng kepala menyaksikan azab yang baru terjadi. Esok pasti akan jadi hari yang paling memilukan bagi semua.



Penghulu Zaaba memerhatikan barisan mayat tragedi malam semalam yang tersusun panjang. Semua mayat dikutip selepas kejadian semalam di sekitar tebingan sungai. Air yang melimpah tinggi semalam turut menghanyutkan sampan orang-orang kampung. Dua tiga sampan yang terikat kukuh sahaja masih kelihatan.

Lebih lapan orang yang menjadi korban, termasuk Pawang Masnawi. Tiga yang lain masih lagi hilang.

Ramai orang-orang kampung yang berendam air mata. Orang-orang lelaki pula takut untuk kemana-mana menerusi sungai. Sungai yang merupakan tempat mereka mencari rezeki dan berulang alik, kini menjadi ancaman pula. Mereka bimbang akan menjadi mangsa yang seterusnya.

“Apa kita nak buat Tok?” Tanya seorang penduduk kepada ketua kampung.

“Aku pun dah buntu sebenarnya. Pawang Masnawi yang paling aku harap-harapkan pun sudah kecundang" Ujar Penghulu Zaaba. Wajahnya membayangkan kerisauan yang berpanjangan.

“Takkan tak ada ikhtiar lain tok. Mati kering kami nanti kalau tak ke sungai. Apa yang nak kami suap ke mulut anak-anak kami. Sampai bila kami nak menunggu" Luah seorang lagi pula.

Penghulu Zaaba menggaru-garu kepala. Dia tahu untung nasib penduduk kampung ini diatas keputusannya nanti.

“Lutfi, kamu cari dua orang kawan, dan pergi ke bukit. Bawa balik Haji Noh kemari" Perintah Penghulu Zaaba.



Haji Noh bersalaman dengan orang-orang kampung di sepanjang laluan. Dua tiga orang sempat memeluknya.

Penghulu Zaaba menjemputnya ke anjung rumah. Jauh dari orang ramai.

“Kau mungkin sedang ketawakan aku di dalam hati. Padan muka aku dengan apa yang berlaku sekarang ni kan.?” Keras sekali jenaka Penghulu Zaaba. Wajah Haji Noh dipandang sinis.

“Yang sudah tu sudahlah bang. Aku dah tua. Tak elok untukkita bercakaran sekarang. Jenazah-jenazah di masjid tu sudah lama menunggu untuk dikebumikan. Patut sangat kita percepatkan.” Tegas Haji Noh.

“ Tu aku tahu…. Sekarang ni masaalahnya, semua orang takut ke sungai. Macammana kita nak ke kubur di seberang sana?. Mayat pun banyak untuk dibawa.”

“Itu aku pun nampak bang. Macam ni lah. Kita ajak orang kampung ramai-ramai, gotong royong gali kubur besar. Kita kuburkan semua dalam satu lahad" jelas Haji Noh.

“Macammana kalau ada yang bantah. Nak kuburkan asing-asing"

“Tahulah aku uruskan nanti. Sementara semua takut untuk ke sungai dan jenazah pun banyak, aku rasa lebih baik kita kuburkan di kawasan kubur lama belakang surau kita tu sahaja. Dekat pun dekat. Tak susah sangat orang kampung nak bawa jenazah"

“Hurmmm…Aku tak bantah cadangan abang. Kejap lagi aku sampaikan pada mereka….Cuma, macam mana kita nak yakinkan semua orang untuk gunakan sungai macam selalu. ‘Benda’ kita takutkan tu pun masih bebas.”

“Kalau nak yakinkan orang kampung yang sungai tu selamat, kita kena tangkap ‘benda’ tu"

“Yang handal macam Masnawi pun tewas. Siapa yang kita nak harap kali ini?”

“Tuhan kan ada bang. Kita sama-sama fikirkan ikhtiar yang sesuai.” Jawab Haji Noh tenang. Dia bergegas ke masjid untuk menyertai orang kampung menguruskan mayat.



Usai menguruskan mayat, Penghulu Zaaba mengumpulkan orang-orang kampung untuk bermesyuarat.

“ Hari ni kita adakan kenduri arwah untuk semua. Aku akan keluar belanja. Seekor lembu aku juga akan aku tumbangkan. Kita akan buat gotong royong kenduri macam selalu. Oleh sebab ramai yang masih bimbang untuk ke sungai, tak payah kita ke pekan beli barang. Apa barang yang ada sahaja kita masak.” Perintah Penghulu Zaaba.

Semua yang ada akur tanpa sebarang bantahan. Ringan sikit beban mereka dalam urusan tersebut.

“Haji Noh akan tolong selesaikan makhluk yang mengganggu kita sekarang ini" Beritahu Penghulu Zaaba lagi. Haji Noh pula yang mengambil alih sesi mesyuarat yang seterusnya.

“ Benda yang kamu cari tu bukan yang Pawang Masnawi tu tangkap. Puteri Ayer tu tak kacau siapa-siapa, dia terikut siluman buaya tu sampai ke sungai kita. Kalau dah disiksa macam semalam, siapa yang tak mengamuk!. Kalau buaya tu balik ke tempat asal dia, dia akan ikut ke sana" Jelas Haji Noh.

“ Habis, apa benda yang sebenarnya yang serang dan sembunyikan tiga orang kampung kita baru-baru ni? Di mana pulak kita nak cari mayat mereka semua.?” Tanya lelaki berjambang yang paling hadapan, Ghani. Dia adalah orang kanan Pawang Masnawi.

“’benda’ yang kau maksudkan sebenarnya masih bebas. Aku dah kenalpasti tempat sembunyinya. Cuma, untuk menangkap benda tu kita kena bertindak di sebelah malam. Waktu dimana benda itu betul-betul berada di sarangnya…. Dan aku nak, lima orang yang betul-betul berani dan gagah, sama-sama ikut aku malam ni. Kita akan cari mayat-mayat tu malam nanti….Lepas solat isyak, kita sama-sama ke sungai" Ungkap. Haji Noh.

“Haji yakin ke benda tu yang buat. Kami tak mahu hal semalam terjadi lagi" Bentak Ghani. Yang lain seakan bersetuju dengan kenyataan itu.

“Itulah sebabnya, aku nak bawa lima orang dari kamu, tengok sendiri benda tu. Tapi benda ni bukan untuk tontonan semua orang,…lima orang sahaja yang boleh ikut. Dan aku tak nak orang yang penakut, ikut sekali" Jelas Haji Noh. Dia sempat menjeling ke arah penghulu Zaaba.

Penghulu Zaaba pula hanya berdiam diri di belakang. Semua urusan berkaitan sungai diserah bulat-bulat kepada Haji Noh.



Haji Noh memeriksa barang-barang yang mahu dibawa bersama malam ini. Sauh kecil, segulung tali, kemenyan, minyak tanah, pemetik api, pisau, parang, garam dan lampu suluh.

“Wafi nak ikut atuk boleh tak?” Cucu Haji Noh berdiri di pintu, telah siap sedia untuk ikut serta.

“Wafi tak cukup umur lagi nak ikut atuk. Kalau Wafi dah besar nanti, baru atuk boleh bawa Wafi " Pujuk Haji Noh. Dia mengusap ubun-ubun cucunya itu. Kanak-kanak itu berlari masuk ke dalam rumah dan menangis.

Lima orang dewasa yang mahu bersama-sama Haji Noh mencari ‘benda’ di sungai itu akhirnya sampai. Mereka diketuai oleh Ghani.

“Apa yang nak kena kami bawa Haji?” Tanya Ghani bersemangat.

“ Kamu tolong ambil ayam aku di reban belakang, dalam enam ekor. Buluh sebatang yang aku dah tebang kat laman rumah tu pun bawak sekali” Pesan Haji Noh. Ghani dan yang lain pun segera bertindak.

Perjalanan menuruni bukit dan menyusuri sungai itu tidaklah begitu mencabar. Pemuda-pemuda itu sudah betah melaui semua halangan itu. Cuma kali ini mereka ingin tahu ke mana arah yang hendak dituju oleh Haji Noh.

“Alhamdullillah, bulan penuh malam ni. Senang sikit kerja kita” Ujar Haji Noh. Jamung dan obor dinyalakan juga bagi membantu penglihatan sepanjang perjalanan.



“Kita nak kemana Haji?” Tanya pemuda di belakang Ghani. Hasbi namanya.

“Kita ke lubuk cincang!!”

Mendengar nama lubuk itu, masing-masing mulai meriding bulu roma. Mereka sudah tahu apa yang menunggu mereka di situ.

“Malam-malam ni Haji, tempat tukan lain macam sikit” Rungut seorang yang lain.

“Aku dah pesan siang tadi, siapa yang berani sahaja yang ikut, kan” Tingkah Haji Noh membuatkan pemuda itu terdiam. Yang lain pun berdiam diri. Cuma bunyi ayam yang dibawa dan unggas malam yang bersahut-sahutan sahaja kedengaran.

Perjalanan ke situ hanya mengambil masa setengah jam sahaja. Kawasan hutan tebal itu meliputi kawasan sungai yang menghala ke arah hulu.


“Shhhh….” Pemuda yang dibelakang sekali berbunyi dengan mata yang memandang ke atas. Yang lain turut menoleh. Serta merta suasana bertukar menjadi seram. Masing-masing meriding bulu roma dengan nafas laju ketakutan.

Sekujur tubuh wanita berambut panjang dan berkain putih teroleng-oleh di atas pucuk ketapang. Rambut dan kain yang tersarung di tubuh wanita itu terbuai-buai ditiup angin. Cahaya bulan penuh menampakkan jasad makhluk itu sepenuhnya dengan muka yang bertutup dengan rambut yang panjang mengurai.

“Jangan menegur apa-apa yang pelik yang kamu nampak. Jangan nak ganggu tidur ‘tidur’ benda tu” Pesan Haji Noh. Dia tahu apa yang dilihat oleh mereka semua.


Mereka akhirnya sampai di tempat yang dituju.Sebuah batu besar di tepi sungai dijadikan penanda lubuk itu.

“ Baca ayatul Qursi, Ummul Kitab dan tiga Qul. Niatkan sebagai pendinding diri. Banyak benda yang kita tak nampak di sini” Tegas Haji Noh. Semua yang ada menurut.

“Aku nak sembelih tiga ekor ayam dulu, buat umpan untuk benda tu”

Setelah selesai menyembelih, tiga ekor ayam itu diikatkan pada tali dan digantung pada buluh yang dibawa tadi.

“Hulurkan tali itu lebih sedikit. Biar ayam itu terayun-ayun” Pesan Haji Noh sambil mulutnya meneruskan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai benteng mereka.

Buluh yang terikat dengan ayam-ayam tadi dihulurkan hingga ke tengah lubuk. Darah kesan sembelihan tadi menitik-nitik ke permukaan air.

“Kita tunggu dulu!” Haji Noh menyalakan api rokoknya. Dua tiga orang yang lain pun sama-sama merokok.


Dasar lubuk itu tiba-tiba bepusar dan berombak di tengah-tengahnya. Haji Noh dan yang lainnya menuju ke tebing sungai. Semua yang ada ingin melihat ‘benda’ yang selama ini menghantui mereka.

Seekor ikan sebesar anak lembu muncul dari dasar tasik dan menyambar ayam-ayam sembelihan tadi sebelum berdebur jatuh semula ke dalam tasik.

“Itulah ‘benda’ yang menyambar orang-orang kampung dan membunuh mereka!. Itu jugak ‘benda’ yang kita nak tangkap sekejap lagi. Dia masih lapar tu!” Tegas Haji Noh.

“Apa bendanya tu, Haji” Tanya Ghani.

“ Kalau fizikalnya, itulah ikan tapah, tapi makhluk ini digelar Seludang Tapah oleh orang dulu-dulu. Ikan gergasi yang dikatakan datang dari alam lain..”

“Kalau makhluk alam lain, kenapa boleh sampai ke sungai kita?” Tanya Hasbi pula.

“ Ada sesiapa yang kerap men’jamu’ benda-benda macam ni kat sungai?” soalan tadi dijawab dengan pertanyaan oleh Haji Noh. Semua yang ada hanya terdiam.

“Sebenarnya, aku selalu tolong Pawang Masnawi men’jamu’ setiap malam jumaat. Aku mengaku yang kami berdualah yang bagi makan pada benda-benda yang macam ni. Selalunya kami akan bagi ayam-ayam yang dilumurkan darah, bertih dan apa-apa sahaja yang dimimpikan oleh Pawang Masnawi” Akui Ghani.

“Dah bagi makan, kenapa masih nak makan orang!!!” Marah yang lain. Jawapan Ghani belum cukup memuaskan.

“ Mula-mula dulu, mungkin cukup makanan yang diberikan tu. Tapi bila dah banyak yang kemari untuk makan sama, ada la yang kelaparan sebab tak cukup makan. Dansumber makanan paling mudah, adalah manusia yang ada di sekeliling sungai. Jamuan yang dibuat itulah sebenarnya punca banyak makhluk yang pelik-pelik sampai ke sungai kita” Terang Haji Noh.

“Itulah kau..” Salah seorang yang datang bersama tadi menggenggam penumbuk untuk dihalakan ke muka Ghani. Dia antara mereka yang kehilangan ahli keluarga yang diserang Seludang Tapah tadi.


Eeeeeee…..Eeeeeeeeeeeeeee…

Bunyi mengilai yang kedengaran dari atas mematikan niatnya. Bunyi ranting dan daun yang ditiup angin kedengaran dari atas pokok. Aura seram menyelubungi mereka.

“Dia dah bangun..Hati-hati” Pesan Haji Noh melihatkan kelibat putih yang melayang-layang antara pokok. Suasana seram sangat terasa. Mungkin bunyi deburan air yang kuat semasa Seludang Tapah itu muncul mengejutkannya.

“Kita teruskan apa yang nak dibuat tadi. Jangan pedulikan sangat langsuir tu. Kalau dia ganggu nanti, baru kita halau” Ujar Haji Noh lagi. Dia tahu mereka semua mulai merasa takut.

Haji Noh menyembelih pula baki tiga ekor ayam yang masih ada tadi. Bunyi ayam yang disembelih menarik langsuir yang berlegar-legar, tadi untuk bertenggek diatas dahan pohon jejawi berdekatan. Matanya yang merah merenung tepat ke arah ayam-ayam yang sedang menggelepar disembelih.

“Dia macam nak ambik ayam tu je, Haji” Ghani nampak cemas.

“Dia takkan ke sini kalau nampak kamu.”


Kali ini cara umpan dipasang telah diubah. Ayam-ayam tadi dilekatkan pada mata sauh yang dibawa. Kemudiannya diikatkan pada tali yang dihulurkan pada dahan pokok jejawi yang terjulur hingga ke tengah lubuk. Mata sauh dengan ayam yang terikat tadi dihulurkan ke bawah dari dahan pokok. Umpan tersebut hanya menunggu untuk disambar oleh Seludang Tapah tadi.

“ Harap-harap menjadi” Doa Haji Noh di dalam hati. Matanya tidak lepas dari memandang kearah umpan yang baru dipasang tadi.

Ngeeeeeeeeeee…………….

Suara hilaian langsuir tadi semakin menjadi-jadi dan menakutkan. Mereka perlu berhati-hati terhadap makhluk yang masih menumpang pada dahan jejawi itu.

Eeeeeeeeeee…….Blushhh..

Langsuir itu melompat ke arah dahan yang mengandungi umpan tadi. Kukunya yang tajam mencengkam dahan pohon semasa dia merangkak ke arah ayam-ayam yang masih menitiskan darah. Langsuir yang kelaparan itu kelihatan mahu menghabiskan umpan yang disediakan itu.

“Macammana ni haji. Yang tu pun nak makan umpan kita.”


Haji Noh tidak bercakap banyak. Dia berjalan ke tebingan sungai dan mengumpul ketulan batu-batu sederhana besar. Batu-batu yang dikutip itu disusun menjadi dapur kecil. Ketulan-ketulan kemeyan dimasukkan ke situ dan dinyalakan.

Bau kemenyan mulai menguasai persekitaran di situ. Rasa takut dan seram semakin bertambah-tambah. Masing-masing membatukan hati dari melayan perasaan takut memandangkan semua yang ditakuti betul-betul berada di hadapan mata.

Langsuir itu teroleng-oleng di dahan jejawi tadi sambil menjilat-jilat darah pada bulu-bulu ayam. Ia tiba-tiba berkalih ke arah kemenyan yang dibakar tadi. Bau kemenyan telah menarik perhatiannya. Ketika inilah mukanya yang seakan terbakar itu dapat dilihat dengan jelas. Wajah yang penuh dengan kesan terbakar itu menakutkan semua yang ada. Gigi taringnya pula, jelas kelihatan sebaik ianya berdengus untuk menyedut asap kemenyan yang semerbak baunya itu. Tarikan bau itu bagaikan dadah yang menyebabkan langsuir itu melompat dari pohon jejawi, ke atas batu di tebingan sungai itu. Kepalanya direndahkan ke arah kemenyan yang dibakar tadi untuk menyedut sepenuhnya asap dari situ.

Ngeeeee….

Laungan dari langsuir yang sayu dan hiba itu menguasai suasana. Semua mata yang ada terarah untuk melihat reaksi Langsuir itu yang seterusnya. Umpan yang dipasang dilupakan sekejap.


Blushhh…hhhhh

Bagaikan ulang tayang, Seludang Tapah muncul dengan gerakan yang sama semasa membaham ayam-ayam tadi. Cuma kali ini bukan ayam sahaja yang tersedia, tapi cangkuk sauh yang mampu merobek mulutnya.

Krakkk!!!

Dahan jejawi yang diikat tali tadi menjadi sekah, hampir sahaja patah. Seludang Tapah mengelupur dengan mulut yang berdarah tercucuk cangkuk sauh. Makhluk itu menyebabkan pohon jejawi itu bergoyang-goyang bagi ditiup angin.

“Huh..mujur lekat..lekas” Jerit Ghani. Dia dan lainnya bergerak ke arah pohon jejawi. Semua mahu melihat tangkapan yang melekat di tali itu.


Huarghhhh!!!!!

Langsuir yang tadinya asyik menghidu kemenyan mulai berubah arah. Darah dari muncung Seludang Tapah yang berjejeran,, sukar untuk diabaikan. Rasa laparnya menyebabkan dia melompat semula keatas pohon jejawi.

He..hee..he…eee

Kini barulah langsuir itu menunjukkan sifat agresifnya. Kukunya yang panjang dan wajahnya yang menyeramkan dipamerkan untuk menakutkan semua yang ada. Dahan tempat dia bertenggek digoyang-goyangkan.

“Pergiiii, kami tak mahu kacau kau. Nyah sekarang..” Garam di tangan Haji Noh dilempar kerah langsuir itu dan ianya bertempik gamat.

Weeee..ee..e..Eeeee…………….

Jeritan langsuir itu kedengaran bagaikan terkena kesakitan yang amat sangat. Dengan pantas ia meluncur keatas dan terbang entah ke mana…



“Kita tak banyak masa, kejap lagi dia mesti balik ke sini, nak balas dendam. Dia mesti ke tepi sungai sekarang, untuk cuci garam yang aku lemparkan tadi…” Ujar Haji Noh.

“Apa kami nak buat Haji, senjata pun tak bawak nak bunuh benda celaka ini!!!” Marah Hasbi. Dia memandang Seludang Tapah yang tergantung dengan penuh dendam.

“Kamu jangan nak ambik tindakan yang bukan-bukan. Kita tak patut bunuh benda ni, sebab dia ke sini pun atas kesilapan kita. Jangan sesekali kamu ambil tindakan sendiri!!!”

“Benda tu bunuh adik saya..Nyawa… kena balas dengan nyawa..” Hasbi masih mahu bertekak.

“Kalau kamu waras, kamu akan dengar cakap aku. Kalau kamu masih nak ke sungai dengan selamat macam selalu, ikut apa yang aku suruh. Kalau benda ni mati, banyak lagi yang akan ke mari. Mereka pun nak membalas dendam jugak, sama halnya macam kamu!!!!”

“ Apa yang kita nak buat?” tanya Ghani.

“Naikkan dulu dia ke darat. Aku nak cakap sikit dengan benda tu”



Seludang tapah yang sebesar anak lembu itu didaratkan ke tebing sungai. Giginya tang tajam jelas kelihatan apabila dia terkumat-kamit membuka mulut.

Mulut Haji Noh sempat membacakan sesuatu, sebelum dia menghampiri makhluk itu. Tangannya diletakkan ke kepala makhluk itu sebaik dia hampir dengannya.

“Aku tahu asal usul kau..Ikan yang bukan ikan..Seludang yang bukan seludang..separuh hidupmu di air dan separuh lagi di alam yang lagi satu. Tempatmu bukan di sini. Pulanglah ke tempat dari mana kamu datang. Dan…semua manusia yang kau simpan di lubuk itu, kembalikan kepada kami.” Ucap Haji Noh dengan suara yang tegas. Tangannya mengeluarkan pisau di poket. Duri di sirip kanan Seludang Tapah dipotong.

“Aku ambil bisa kau ini sebagai amaran. Jangan sekali-kali memburu manusia lagi. Pesanan ini sampaikan juga kepada kaum dan anak cucu kamu yang lain. Kalau engkar, nyawa kau atau mereka akan menjadi galang ganti” Sambungnya lantang. Seludang Tapah mengalirkan cecair di mata seakan sedang menangis.

“Kalau kau dah faham, bagus. Aku akan minta orang lepaskan kau sekarang” Serentak dengan itu, Haji Noh meminta mereka mencabut sauh yang terlekat tadi. Tubuh Seludang Tapah ditolak ke gigi air. Perlahan-lahan makhluk itu mengepakkan sirip dan berenang ke dasar sungai.


Selang beberapa minit, mayat-mayat mereka yang hilang tempoh hari muncul ke permukaan lubuk. Ghani menggunakan buluh untuk menarik mayat-mayat itu ke tepi tebing. Semua mayat-mayat itu diletakkan di bawah pohon jejawi.

“Kita kena tinggalkan mayat-mayat itu di sini. Tak mampu kita nak usung kesemuanya sekarang. Lagipun, semua mayat-mayat tu dah mula mereput” Rafik, antara yang datang bersama tadi bersuara.

“Takkan nak biar mereka semua ni jadi makanan langsuir tadi!” Bising Hasbi. Dia menangis tadi sebaik melihat mayat adiknya muncul. “Aku tetap nak bawa balik mayat Hadi. Biar aku sendiri usung dia”

“ Ambil tali dan kerat buluh tu. Buat kayu kandar untuk bawak balik semua mayat. Jangan biar mereka kena baham sekali lagi. Tapi buat cepat sikit. Langsuir tadi mungkin sampai ke sini sekejap lagi.” Tegas Haji Noh. Matanya meliar memerhatikan sekeliling. Dia tidak mahu bertembung dengan langsuir tadi sekali lagi. Bukan mudah untuk berlawan dengan makhluk yang tengah marah itu nanti.

“Dah siap Haji” Beritahu Ghani. Empat orang yang ada sudah siap mengusung mayat-mayat itu dengan kayu kandar yang baru dibuat tadi.

Serentak dengan itu, bunyi dahan-dahan dipijak dan hilaian nyaring jelas kedengaran.

“Kamu semua cepat bawa mayat-mayat ini keluar dari sini. Biar aku yang halang langsuir tu” Beritahu Haji Noh. Dia terpaksa membuat keputusan sebegitu.



Angin mula bertiup kencang dengan bunyi unggas hutan bersahut-sahutan jelas kedengaran. Susuk langsuir yang tadinya hanya menumpang di dahan jejawi, kini berdiri betul-betul berhadapan dengan Haji Noh.

“Aku akan bantu Haji” Ghani tidak jadi untuk pulang bersama yang lain. Dia rela untuk membantu Haji Noh walaupun perasaannya ketika ini begitu takut. Tenungan makhluk di hadapannya itu sahaja, sudah cukup untuk membuat tubuhnya seram sejuk.

“Aku tahu ini kawasan kamu. Dan aku tahu kami yang menceroboh. Tapi urusan kami sudah selesai dan kami akan segera beredar dari sini” Ucap Haji Noh.

Makhluk di depannya menderam agak lama sebelum mengilai.

Eeee….eeeee…

“ Apa yang kita nak buat Haji?” Ghani sudah berasa sesak nafas.

“ Kita tengok apa tindakan lawan kita tu. Kalau kasar, kita terpaksa berkasar!”

Huh!..

Langsuir itu melompat ke hadapan menghampiri Ghani dan Haji Noh. Cakaran kukunya dihalakan ke muka Haji Noh namun sempat dielak.

“Dah kasar ni!” Haji Noh mencapai potongan buluh yang berbaki tadi untuk dijadikan senjata.

“ Kamu ke tempat aku bakar kemenyan tadi. Bakar yang ni” Beberapa butir kemenyan diserahkan kepada Ghani. Dia segera berlari ke tebing sungai. Haji Noh mahu mengalihkan perhatian makhluk itu supaya mereka berdua dapat melarikan diri.

Ngeeee…

Langsuir itu sekali lagi meluru ke arah Haji Noh. Nyata sekali lelaki tu itu merupakan sasaran utamanya. Serangan kali ini disambut dengan pukulan buluh ke tubuh makhluk itu. Pukulan yang kuat itu menyebabkan makhluk itu tertunjal ke belakang. Ianya berdegus marah dan bingkas untuk menyerang semula.


Bau kemenyan yang dibakar Ghani mulai dapat dihidu. Langsuir tadi mulai kurang senang dengan perkembangan terbaru itu. Dua tiga kali kepalanya menghala ke tebingan sungai melihat ke arah datangnya bau itu. Namun dia masih bersedia untuk mencakar Haji Noh sekali lagi.

Haji Noh menguatkan pertahanan batinnya dengan bacaan-bacaan ayat pendinding dan rukyah yang pernah dipelajarinya sebelum ini. Dari jauh, Ghani pun turut terkumat-kamit membaca sesuatu.

Ngeee…

Serangan kali ketiga pula berlaku. Kali ini datangnya dari atas. Langsuir itu melayang ke udara sebelum menghala ke arah Haji Noh. Orang tua itu membuka langkah silat untuk mengelak. Cuma kali ini buluh tadi dihalakan dari arah yang tajam. Serentak dengan itu tubuh makhluk yang menyerang itu dirobek buluh runcing. Terkial-kial makhluk itu mengimbang diri dengan buluh yang tertancap di dada.

“Maafkan aku, terpaksa berkasar..”

Haji Noh menuju ke arah Ghani di tebingan sungai. Kali ini langsuir itu terhencot-hencot mengikut dari belakang. Ghani menghalakan parang yang dipegangnya ke arah langsuit itu.

“Dia dah sakit tu..jaga-jaga..kita belum tentu selamat” Pesan Haji Noh.


Langsuir yang luka itu menyedut bau kemenyan dengan penuh bernafsu. Tubuhnya yang lemah tadi kembali gagah. Rupanya bau kemenyan itu mampu memberikan makhluk itu tenaga tambahan. Buluh yang tertancap di dadanya ditarik keluar. Kali ini dia akan menyerang lagi dengan bermati-matian.

Peluh jantan menitis di dahi Haji Noh. Dia tahu langkah seterusnya akan menjadi sukar. Senjata sudah tiada lagi di tangannya. Cuma parang di tangan Ghani sahaja yang mampu diharap. Itu pun kalau dia sempat menikam.

Blushhh…

Air di permukaan lubuk tiba-tiba berkocak. Seludang Tapah yang tadinya menghilang ke dasar sungai muncul semula dengan mulut terbuka. Langsuir yang berdiri di tebingan sungai tadi dibaham di kepala sebelum dia ditarik masuk ke dalam air. Semuanya berlaku dengan pantas. Jasad Seludang Tapah dan langsuir itu perlahan-lahan hilang hingga ke dasar tasik.

Ghani pula mulai faham bagaimana mangsa-mangsa yang sebelum ini diserang.

Haji Noh menarik nafas lega. Sisa-sisa tenaganya mungkin tidak mampu berlawan lebih lama tadi. Mungkin Seludang Tapah itu mahu membalas ehsannya. Lagipun duri makhluk lubuk itu masih tersimpan di poket bajunya.



“Jom balik, dah selesai tugas kita malam ni” Pinta Haji Noh. Dia menepuk belakang Ghani. Pemuda berjambang itu mengangguk setuju.

“Datang balik tak Haji benda tu. Susah kita nanti!”

“Entahlah. Cuma dari gayanya tadi, aku rasa dia tak datang dah ke sini..kalau datang jugak, kita akan sama-sama lawan nanti” Ujar Haji Noh penuh semangat.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.