Home Cerpen Seram/Misteri Kereta Ah Leong
Kereta Ah Leong
Zhar Aruzi Hairi
27/1/2017 07:44:22
4,338
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Semua kereta yang disusun di situ dalam keadaan bersih dan berkilat. Sambil menunggu pelanggan yang masuk, Ahmad Mukhlis sempat mengintai gelagat pekerja yang ditugaskan membersihkan kereta. Ada sahaja aksi-aksi mereka yang membuatkan dia mahu menegur. Pantang dia melihat orang memanjat bonet untuk mencuci bumbung kereta.Boleh calar dan kemek bonet tu kalau dibiarkan.

“Husin, pakai tangga la. You suka buat kerja dua kali. Lepas cuci, you panjat naik cuci bumbung. Lepas tu you cuci lagi sekali. Buang masa ooo.Cepat ambik tangga!” Tekocoh-kocoh pekerja Bangladesh itu berlari mendapatkan tangga.


“Amat, mari" Tauke Lim menggamit dari luar office. Puntung rokok yang dihisapnya dicampak ke lantai. Kemudian dipijak sehingga penyek.

“Ada apa Boss?” Tanya Ahmad Mukhlis.

“You cuti sabtu ahad ni buat apa?”

“Rehat kat rumah je boss. Nak balik kampung pun tak ada modal"

“Komisyen you banyak apa. Apa?. You simpan luit mau kahwin ka" Bossnya berseloroh.

“Kahwin apa Boss, calon pun tak ada?”

“Aiyaaaa..apa susah-susah, you angkat saja Maimun tu buat mini. Dia pun lengloi apa?”

“Boss, kalau Maimun tu suka saya, no hal. Tapi saya bukan taste dia la. Cuba boss tengok macammana dia layan client yang kaya-kaya tu. Diaorang jer taste dia.”

“Lu kalau rajin pun boleh kaya maa..lu pun masih muda. Banyak masa mau cari luit"

“Boss panggil saya ni, takkan nak cakap hal Maimon kot. Mesti ada hal lain ni"

“Lu punya kepala memang magus. Boleh baca Wa punya pikiran. Sebab tu juga Wa percaya sama lu. Wa nak mintak tolong sikit je.” p

“Boss cerita dulu, kalau boleh tolong, saya tolong"

“ Wa mau lu bikin satu kerja. Tapi senyap-senyap saja tau. Lain orang tak boleh tau. Gua mau lu bakar satu kereta"

“ Huh…..Boss gila apa. Tak pasal-pasal saya masuk jail nanti.”

“Haiya.. bukan itu macam oo. Nanti Wa kasi luit, lu beli itu kereta dulu. Then baru lu bakar.”

“ Rugi la macam tu boss. Dah beli nak bakar pulak"

“ You buat saja oo. Wa mau cerita pun bikin malu saja. Tapi lu kasi bakar betui-betui tau. Angkat gambar masa lu bakar, kasi bukti. Then Wa baru kasi lu upah.” Jawab Tauke Lim bersungguh-sungguh.

“ Berapa bos mau kasi?”

“Lua Libu. Satu Libu deposit, Satu libu lepas kelija settle"

“ Wah..boleh tahan banyak tu. Boleh ajak kawan ke Boss"

“No..no..sebab tu Wa offer kelija ni sama lu, sebab Wa pecaya lu. Lain orang Wa tak mau tau ini hal ma"

“Kalau Wa sorang, kasi up sikit itu harga. RM 2500.00 ka. Baru Wa berani lebih sikit.”

“Haiya..lu meniaga jugak ka. Ini macam pun mau lebeh ka….tak pa la..Wa kasi can..lu settle..lu angkat lagi selibu setengah" Taukeh Lim menggaru kepala. Ahmad Mukhlis tersenyum lebar.

“ Ini lima ratus lu bagi kat itu used car. Minta kereta Ah Leong Dia tau punya" Duit dari tangan Tauke Lim bertukar tangan.



Ahmad Mukhlis berdiri di tengah panas. Sengaja dia menunggu di situ sehingga pengurus used car itu datang kepadanya.Jurujual yang ditanya tadi pun tidak tahu menahu hal kereta Ah Liau.

“Lu cari kereta apa Boss" Tanya pengurus used car yang baru sampai.

“Kereta Ah Leong"

“Huh…mali masuk office dulu. Kita cerita kat sana. Sini banyak panas.” Kata Pengurus Used car itu. Ahmad Mukhlis hanya menurut. Melihat tag nama diatas meja, baru dia tahu yang nama pengurus Used Car itu Patrick Law.

Mata Ahmad Mukhlis tertarik pada patung dewa kekayaan yang ada di dalam office itu. Tanggan patung itu berayun -ayun dengan duit emas yang besar.

“Lu duduk…”Perintah Patrick Law. Ahmad Mukhlis menurut. Pintu pejabatnya ditutup rapat.

“Apasal lu mau angkat itu kereta?”

“Boss, you kasi saja la. Apa wa mau bikin, wa punya hal lah" Tegas Ahmad Mukhlis. Marah dia ditanya sebegitu. Hal antara dia dan Tokey Lim terkunci rapat.

“Wa sudah tau la apa lu mau buat sama itu kereta. You punya towkey pun tak mau simpan itu kereta tau. Dia cakap suwey. Wa saja yang berani simpan sebab Wa tak percaya itu macam. Lagipun Ah Leong tu best friend Wa dari kecik" Cerita Patrick Law used car itu. Ahmad Mukhlis hanya melayan. Malas untuk dia lebih lama di situ. Kalau cepat hal kereta itu diselesaikan, lebih lama dia boleh bercuti.


“ Tokey Lim kasi ini wang" Sampul surat berisi wang diletakkan diatas meja.

“Ini wang lu angkat. Tapi lu makesure apa yang towkey Lim suruh buat, lu buat.” Pengurus used car itu menolak sampul surat tadi kepada Ahmad Mukhlis.

“Boss, kalau Towkey Lim tanya, youcakap saya sudah kasi tau. Jangan main-main pulak" ujar Ahmad Mukhlis sambil memasukkan sampul surat ke dalam poket seluarnya. Patrick Law hanya tersenyum.

“Jom..” Ajak dia ke belakang kedai.



Sebuah kereta yang berbalut dengan kanvas plastik dipakir belakang pejabat itu. Debu-debu dan daun-daun kering memenuhi sebahagian dari atas kereta. Menunjukkan sudah lama kenderaan itu tersadai di situ.

Sebaik menyentuh sahaja badan kereta, bulu roma Ahmad Mukhlis terus meremang. Belakang tengkuknya turut merasa berat.

“ lu pun boleh rasa kan" Patrick Law itu tersenyum. “Banyak puaka ini kereta…. Lu punya towkey pun banyak takut ini kereta ooo. Langsung dia tak pernah mari tengok"

Terkebil-kebil juga Ahmad Mukhlis berlegar di sekeliling kereta itu. Semacam ada yang memerhati setiap pergerakan mereka berdua.

“Lu start saja ini kereta nanti, itu orang mesti marah punya"

“Siapa yang nak marah pulak?”

“Hantu oooo.. ini kereta hantu" jawab pengurus Used Car itu sambil tertawa. Ahmad Mukhlis pun musykil, dia ni serius ke, atau sekadar berseloroh.

“Tak payah tunggu lama ooo..lu bukak ini kanvas..bukak cepattt.” Arah Patrick Law.Plastik kanvas dibuka Ahmad Mukhlis dari belakang. Kereta Subaru Impreza yang diminatinya terpampang di hadapan mata. Tak berkelip mata Ahmad Mukhlis memandang kereta yang masih berkilat, seolah-olah baru keluar dari showroom. Tangannya menjalar mengurut badan kereta itu penuh minat.

“Wah, lu pun minat ini kereta" tegur Pengurus Used Car melihatkan lensa mata Ahmad Mukhlis yang masih tertancap pada kereta itu.

“ Macam baru oo. Banyak cantik" Puji Ahmad Mukhlis yang memerhati tata hias dalaman kereta yang dibuat khas. Rona biru dan hitam memang kena dengan jiwa mudanya.

“ Whooo..” Pantas sahaja dia mengalih pandangan sebaik nampak kelibat manusia di dalam kereta menerusi cermin sisi. Tangannya segera mengurut dada kerana terkejut.

“Lu sudah nampak kan. Itu hantu memang ada lalam ini kereta" Terang lelaki cina itu sungguh-sungguh. “ Lu berani ka bawak ini kereta sorang-sorang"

Ahmad Mukhlis memerhatikan cermin sisi sekali lagi. Kali ini hanya biasan cermin dengan imej dia dan Patrick Law yang kelihatan berbalam-balam.

“Perasaan aku aje kot. Siang-siang macam ni, mana hantu nak keluar" Fikirnya sambil tersenyum. Akal nakalnya sudah membayangkan dirinya memandu kenderaan di hadapannya ke sana-sini. Pasti ada anak dara yang akan tertarik dengan dia nanti.

“Boss, mana kunci?” Tanya dia.



Kereta yang dipandu Ahmad Mukhlis meluncur lancar diatas lebuhraya. Selesa sekali dia memandu kereta mewah dengan penuh bergaya. Dari tadi dia berkira-kira untuk memiliki kereta itu. Sudahlah percuma, geran kereta pun sudah tersimpan di dalam dashboard kereta. Dia seakan sudah menang loteri. Janjinya pada Tokey Lim, hanya tinggal janji. Siapa tak tertarik untuk memiliki kereta sport macam tu.

Di sebalik rasa gembiranya, terselit juga rasa hairan. Mana mungkin kereta baru sebegitu mahu dibakar begitu sahaja. Mesti ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Towkey Lim. Masuk kerja nanti, dia akan mengorek rahsia itu dari bossnya.

Cuma dari tadi Ahmad Mukhlis tidak berasa dia keseorangan. Ada yang lain di dalam kereta. Selain bau peluh dan rokok, sesekali dia akan ternampak kelibat dua lelaki bermuka pucat di belakang. Sebaik dia beristigfar, semuanya hilang serta merta. Awal-awal lagi dia merancang untuk membawa kereta itu ke rumah Ustaz Yamani, kalau Bossnya sudah berpuas hati yang dia sudah melupuskan kereta itu. Dia juga merancang untuk mengubah nombor plat dan warna kereta itu.


“ Ada mana bro?” Tanya Ahmad Mukhlis di talian. Dia menghubungi Hafizul, sahabat sekolejnya dahulu.

“ Kat office. Tiba-tiba aje call, mesti ada apa-apa ni.”

“Bro, kau boleh buat video dengan special effect tak?”

“ Aku bukak kedai gambar bro. Kalau nak adjust gambar tu insyaAllah boleh. Kalau video tu, kena tengok juga scene yang macammana"

“Aku Cuma nak scene kereta terbakar. Tapi kereta tu tak terbakar betul-betul tau. Luar dalam aku nak nampak api"

“Huh..challenging tu..aku tak sampai tahap tu, tapi aku kenal budak yang boleh buat.”

“ Kalau boleh, aku nak jumpa budak tu hari ni jugak. Urgent Bro !!!!”

“ Ok, Bro. Nanti aku hantar no. dia. Ko cerita la baik-baik apa yang ko nak" Hafizul menghantar nombor budak tersebut, yang dipanggil Epit.

“ Tq. Bro” Balas Ahmad Mukhlis ringkas pada ruangan mesej.



Ahmad Mukhlis memandu kereta ke alamat yang dinyatakan Epit. Dia sampai ke sebuah kawasan rumah kedai baru. Budak yang dimaksudkan itu datang menjemputnya dengan menaiki motosikal Honda C70. Dia mengekori dari belakang hingga sampai ke sebuah lot kedai yang baru dibuka.

“selamat datang ke studio kami” Ucap Epit sambil bersalaman. Dua orang rakannya yang menunggu di situ turut menhgulur salam.

“Ini Rahman dan Ghani” Epit memperkenalkan rakannya. “ Apa yang Bro nak kami buat?”

“Aku nak korang buat video yang kereta aku ni sedang terbakar hingga hangus”

“Berapa minit Bro?”

“Dalam 45 minit jer, tapi aku nak yang real punya” Sambung Ahmad Mukhlis. Epit dan rakannya berjalan mengelilingi kereta yang dibawa sebelum mengangguk-ngangguk.

“Boleh Bro, tapi kami charge lebih sikit kalau nak cepat” Jelas Epit.

“Berapa?”

“Lima ratus Bro”

“ Macam ni, kalau settle malam ni. Aku bayar korang dua ratus seorang. Total semuanya enam ratus” Tawaran dari Ahmad Mukhlis disambut dengan persetujuan mereka bertiga.

“ Sekarang jugak kami start Bro..”



Ahmad Mukhlis berjalan keluar dari kedai makan. Dia meninggalkan kereta di studio Epit bagi menyelesaikan video membakar keretanya. Dia sendiri menjadi pelakon utama dengan lagak dan dialong orang yang sedang membakar kereta. Hasil footage pertama yang ditunjukkan oleh Epit sudah memuaskan hatinya. Manakan tidak, gambar yang terhasil jelas sekali menunjukkan kereta itu sedang dibakar dan api sedang marak.

“Macammana ?” Tanya dia sebaik sampai di studio. Epit dan dua rakannya yang tadinya petah berbual tiba-tiba sahaja senyap. Mereka memandang Ahmad Mukhlis dengan pandangan tajam.

“Dah nak siap Bro. Mana dapat kereta ni Bro” Tanya Epit. Suaranya seakan tersekat. Tangannya pulak menggeletak sedikit menekan papan kekunci komputer.

“ Kawan aku yang jual. Eh..Boleh aku tengok tak video tu?” Epit memusingkan skrin komputer ke arahnya. Gambar kereta itu terbakar dengan dia yang sedang menuang minyak memang kelihatan realistik. Dan video itu seolah-olah dia sendiri yang sedang merakam dengan selfie stick.

“Bagus..Korang memang pro. Tapi kenapa korang semacam je ni?”

“Bro nak tengok footage asal tak. Ada something yang bro boleh tengok” Ujar Epit. Tangannya menekan mengalih tetikus dan menekan kekunci untuk membuka video yang satu lagi. Sebaik dibuka, Epit bangun meninggalkan Ahmad Mukhlis melihat video itu berseorangan.

Gambaran awal menampakkan dirinya sedang menjirus sesuatu ke atas kereta. Apabila kamera beralih ke dalam kereta, biasan tiga lelaki berkulit pucat memandang tepat ke arah kamera. Lelaki di tempat duduk pemandu berbadan gempal dan bermata sepet. Dia memandang kamera dengan riak wajah marah hingga menampakkan urat matanya yang kehitaman dengan kesan lebam di mata. Sesekali dia menyeringai memandang dua lelaki di belakang. Kedua-duanya lelaki di belakang pula polos dengan pandangan kosong ke merata tempat.

“Allah!” Ayat yang keluar dari mulut perakam menyebabkan video kabur seketika sebelum gambar pulih seperti sediakala. Ahmad Mukhlis menelan air liur dalam-dalam dan merasa bulu romanya mulai meremang. Kepalanya terasa panas dan tubuhnya pula berasa seram sejuk. Matanya terarah ke arah kereta sebelum pandangan dihalakan ke arah Epit dan rakan-rakannya.

“Dah nak malam sangat ni Bro. Kami rasa video tu dah ok kot” Epit bersuara. Yang lainnya hanya berdiam.

“ Aku pun rasa dah Ok tu. Cuma aku nak mintak tolong sikit. Kalau aku simpan kereta kat sini malam ni boleh tak?” Tanya Ahmad Mukhlis.

“ Maaf Bro. Ni studio bukan kami punya. Boss kitaorang pun tak tahu yang kitaorang pakai malam ni. Curi-curi je buat kerja. Kalau ada kereta ni, esok kami kantoi punya” Jelas Epit.

“ Kalau macam tu tak apa la. Aku settle sendiri” Ahmad Mukhlis menyeluk poket mengeluarkan wang untuk diserahkan pada Epit. Epit pula menghantar video yang dibuat tadi ke telefon bimbitnya.

“ Bro, sorry sebab kami tak boleh tolong. Kami pun tak pernah jumpa hal yang macam ni. Tadi saya dah wasap ayat kursi dan surah yasin ke telefon Bro. Bro boleh pasang masa dalam kereta nanti. Insha Allah gangguan tu tak ada” Ahmad Mukhlis mengangguk. Walaupun masih terasa seram sejuk, dia sempat tersenyum. Ayat-ayat tadi terus dimainkan di telefon bimbitnya dan diletakkan di dalam kereta.



“Rumah Ustaz Yamani” itu sahaja yang terfikir olehnya buat masa ini. Kereta itu kini dipandu agak perlahan. Niatnya untuk menunjuk-nunjuk disimpan jauh-jauh. Bayangan yang dilihatnya di video tadi masih lagi bermain-main di ruang matanya. Walaupun ayat-ayat al-quran sentiasa dimainkan di dalam kereta, hatinya masih tidak merasa tenang.

“ Tak boleh jadi ni" Rasa gementar yang belum habis menyebabkan Ahmad Mukhlis mencapai telefon bimbitnya. Bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang berkumandang tadi terus terhenti. Ahmad Mukhlis meneliti senarai nombor telefon kenalannya dan mencari nama Ustaz Yamani.

“ Assalamualaikum, Ustaz.” Ucapnya sebaik mendengar suara di talian.

“ Waalaikumsalam. Ada apa Mat?”SuaraUstaz Yamani sayup-satup di talian.

“saya nak mintak tolong Ustaz. Sekarang ni tengah bawak kereta berhantu ustaz"

“Astagfirullahaladzimm..kamu keluar dari kereta tu cepat. Malam-malam ni"

“Saya on the way ke rumah ustaz ni. Sekarang ni kat highway lagi"

“Jauh lagi tu..esok sahaja kamu datang"

“Tak boleh Ustaz…saya..” Jawapan Ahmad Mukhlis tersekat di situ. Dia teragak-agak untuk menceritakan hal sebenar yang berlaku.

Wo..ai..neee….

Nyanyian berbahasa mandarin itu dapat didengari dengan jelas oleh ustaz Yamani.

“Kamu dengan siapa Mat?”

“ Sorang je Ustaz"

“ Yang nyanyi kat sebelah kamu tu..”

Ahmad Mukhlis mengalih pandangan ke tempat duduk di sebelahnya. Kosong. Dari cermin atas yang menghadap belakang, pun tak nampak apa-apa.

“Ustaz jangan takutkan saya. Radio pun saya tak pasang..”

Ustaz Yamani mula mengalunkan ayatul kursi di hujung talian.Sebelum sampai ke ayat ketiga, talian telefon terus terputus.

“Ah, masa ni lah nak habis bateri" rungut Ahmad Mukhlis. Dia tercari-cari di dalam dashboard kalau-kalau ada wayar penyambung ke telefon. Namun tiada yang boleh digunakan untuk telefonnya. Pagi nanti baru dia bercadang untuk singgah dimana-mana untuk mengecas telefonnya.



Jam menunjukkan pukul 12.00 tengah malam. Ahmad Mukhlis memandu perlahan di lorong paling kiri. Dia mengekor sahaja lori balak yang berada di hadapan.

Matanya pula semakin lama, semakin berat. Bau peluh dan hapaks emakin lama semakin kuat. Seakan ada lelaki yang kuat berpeluh berdekatan dengannya.Bau tengik dan masam menusuk ke dalam rongga hidung. Ahmad Muklis turut bersin beberapa kali. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk menutup penghawa dingin dan membuka tingkap kereta. Angin pagi yang menerobos masuk sedikit sebanyak menghilangkan rasa gementarnya.

Secara tiba-tiba sahaja, tubuh Ahmad Mukhlis seakan dihempap sesuatu.Berat dan busuk. Nafasnya tercungap-cungap dan semakin perlahan.Dadanya terasa sangat berat.Pegangan tangan pada stearing juga terlepas perlahan namun keretanya masih lancar bergerak. Ada sesuatu yang menggantikannya memandu!.

Angin sejuk mula menyusup dari hujung kakinya ke atas. Angin di dalam badan itu bergerak dengan membawa kesakitan yang amat sangat. Seakan kulit tubuhnya bagai disiat-siat. Ahmad Mukhlis menggelitik badan kerana terlalu sakit. Suaranya pula tersekat di kerongkong. Matanya membulat dengan anak mata yang hampir tertonjol keluar. Urat mata biru melingkari soket matanya. Lidahnya dijelir keluar dengan muntah yang meleleh membasahi baju. Ahmad Mukhlis dihenyak sesuatu di kerusi pemandu hingga dia kini berada di penghujung nafasnya. Dia sudah lupa segala-galanya. Lupa untuk mengucapkan syahadah sebagai kata akhirnya.



Kesakitan yang amat sangat membawa roh Ahmad Mukhlis seakan di awangan. Dia kini antara di alam nyata dan mimpi. Perit sekali azab yang dirasakan di penghujung hidupnya. Antara sedar dengan tidak, dia sudah berada di kerusi belakang dengan dua lelaki lain.

“He..he..” Lelaki pucat di sebelahnya tertawa. Tawanya disambung lelaki seorang lagi. Lelaki gemuk di bahagian pemandu berdehem kasar dan mereka berdua terus terdiam.

“You pun mau curi kereta Ah Leong….ha..haa.." kata lelaki tadi sambil ketawa semula. Tawanya bersambung lagi dengan rakan di sebelahnya. Kali ini tawa mereka disambut lelaki di kerusi pemandu. Mereka bertiga ketawa berdekah-dekah. Macam ada cerita yang sangat-sangat lucu.

“Ah Leong boleh kasi tumpang, tapi tak boley ambik oooo. Tak baik culi olang punya…” sampuk lelaki yang seorang lagi. “Dia pun tak suka orang driver kereta dia”

“Lu berdua sapa?” Ahmad Mukhlis sudah hangat hati. Kalau tadi dia berasa takut dan gelisah, kini dia sudah sedikit selesa. Dikepal-kepal penumbuknya dengan lagak samseng.

“ Kami pun penumpang ini kereta. Sama macam lu. Dulu nak curi jugak ini kereta..macam lu… tapi.. ha..ha..ha.. Ah Leong duduk atas kami sampai mati…”Lelaki pertama bercerita sambil ketawa lagi.

“Badan patah-patah macam kayu..Dia pulak, mati penyek macam belon pecah..” Lagi kuat mereka berdua ketawa. Semua yang berlaku sekarang ini seolah-olah sangat lucu.

“Tapi Ah Leong baik. Kasi Wa dan Jack tumpang sampai sekarang..lu pun sama..kita bertiga tumpang kereta Ah Leong . Tumpang kereta ni kena duduk baik-baik, diam-diam, Jangan tanya-tanya sama Ah Leong. Nanti dia marah…ooo..nama Wa Fook Wah" Lelaki yang bermuka pucat itu bercerita. Mukanya nampak menakutkan sebaik disimbah lampu dari kereta yang berselisih dari hadapan.

“Aku Ahmad Mukhlis…panggil Amat"

“Amat.. Lu ni muka baik..tapi hati sikit jahat" Ah Leong menyampuk dengan suara garau. Sempat juga dia berpaling.

Lelaki cina itu bermuka putih pucat dengan mata sedikit kemerahan.Nafas yang keluar dari mulut dan hidungnya sangat busuk.Ahmad Mukhlis terasa mahu termuntah tapi tiada apa-apa berjisim lagi di dalam perutnya.

“Kita nak ke mana?” Tanya Ahmad Mukhlis.

“Ke mana lagi..Rumah Ah Leong la" Sambut Fook Wah. Jack dan Ah Leong ketawa lagi.


“Boss, Amat dah hilang tiga hari" Manan melapor kepadaTauke Lim.

“Sudah ada report polis ka..” Tauke Lim bertanya. Dia juga bimbang video Ahmad Mukhlis membakar kereta sampai ke tangan pihak berkuasa.

“Siapa yang nak lapor boss, bukannya dia ada anak bini. Saya tanya ni pun sebab lama dia tak masuk kerja. Telefon pun off.”

“Lu pergi sambung kerja. Amat punya hal, kasi Wa settle"



Towkey Lim mendail Patrick Law. Dia bercakap dalam bahasa mandrin berselang seli dengan bahasa inggeris. Selepas dua tiga kali menyumpah dalam bahasa inggeris, dia meletakkan telefon.

Setelah beberapa minit, dia mengangkat telefon sekali lagi.

“Manan, you telefon polis. Minta datang sini. Wa sudah tau Amat ada kat mana. Nanti you ikut sekali tau"

Manan hanya mengiyakan.



Kereta polis mengekori kereta Towkey Lim hingga ke sebuah jirat cina. Kereta dipandu hingga sampai ke kereta yang dipandu Ahmad Mukhlis tempoh hari dijumpai. Kereta itu dipakir betul-betul di hadapan sebuah kubur.

Towkey Lim menunduk hormat kepada beberapa buah kubur di hadapannya sebelum menghampiri kereta itu. Apa yang dijangkanya betul-betul terjadi. Ahmad Mukhlis terbaring kaku di kerusi pemandu dengan tubuh yang mulai mengembung. Bau mayat boleh dihidu dari jauh sebaik pintu kereta dibuka. Anggota polis yang tiba bersama segera menghampiri mayat danmembuat pemeriksaan.

“Panggil ambulan" arah seorang anggota polis kepada rakannya. Dia sendiri menutup hidung dengan sapu tangan.


“apa yang jadi Boss" Tanya Manan dengan nada sengau. Hidung dan mulutnya ditutup untuk mengelak bau busuk yang mencengkam deria hidu.

“Inilah yang jadi kalau kita tak amanah dan pentingkan diri. Tak pernah nak fikir buruk baik.” Ayat yang keluar dari mulut Towkey Lim makin membuat Manan keliru. Pangkal cerita dari mana pun dia tak tahu.

“Kubur siapa ni Boss?” Manan menukar soalan kepada yang lebih mudah untuk dia hadam.

“ Ni kubur Ah Leong, adik Wa. Bagus punya budak, tapi hati tak kuat. Tak tahan pressure"

“ Kenapa tak tahan pressure?”

“Bisnes workshop dia jatuh, hutang sama along, bank, saudara mara..Dia jadi takut...jadi dia bunuh diri dalam itu kereta, hidu asap. Muda-muda lagi sudah putus asa" Nada kesal dari Towkey Lim.

“ Sudah tiga kali jadi ini macam. Satu orang pun tak boleh harap. Semua mau ambik itu kereta. Wa pun tak tau mau bikin apa. Sekarang...si Amat pun sudah join sama Ah Leong….Jom balik. Kasi polis settle kat sini"

Manan cepat-cepat mengikut. Berdiri di situ pun sudah cukup untuk meremangkan bulu roma.


Towkey Lim mengangkat telefon dan bercakap dalam bahasa inggeris dan mandarin bercampur-campur. Hanya perkataan Patrick dan So sorry berkali-kali, itu yang mampu ditangkap oleh pendengaran Manan. Yang lainnya hanya nada tegang dan carutanTowkey Lim dalam bahasa inggeris. Berbuih mulutnya, seakan memujuk seseorang.


Patrick, please help me ... one more time.."



Bagi yang menyambut Tahun Baru Cina, Saya mengucapkan Gong Xi Fa Cai

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.