Nazura merenung jauh
dari birai tingkap. Dia melangut keatas memandang dahan-dahan kelapa yang
berayun-ayun dibuai angin. Pohon-pohon
menghijau di belakang rumah memang menenangkan mata. Jasa arwah ayahnya
berbakti kepada tanah terbukti di hadapan mata.
Kelibat budak-budak
berlari di sekeliling pokok menarik minatnya. Budak-budak lelaki dan perempuan
itu berambut kerinting dan berkulit gelap, tertawa sesama mereka sambil
berkejar-kejaran.
“Anak siapa tu mak,
yang main kat belakang tu?” Laung Nazura kepada Ibunya yang menyapu sampah di
halaman rumah.
“Anak orang asli. Kalau
musim jambu berbuah, selalu diaorang datang makan. Musim mempelam dengan duku
pun sama. Ada je kelibat diaorang kat belakang rumah tu”
“Mak bagi ke?”
“Bagi ke tidak,
diaorang datang ambik jugak. Mak anggap sedekah je. Kamu dengan abang-abang
kamu pun bukan makan sangat!” Tambah Makcik Amnah.
Nazura segera ke hadapan
rumah untuk menyambung perbualan dengan emaknya.
“ Diaorang tak sekolah
ke Mak?”
“Mana la mak tau. Yang
mak tau, memang selalu budak-budak tu main kat sini kalau musim buah macam
sekarang. Dulu tiga orang je, sekarang dah bertujuh”
“Mak pernak cakap
dengan diaorang tak?”
“Selalu. Kalau Mak nak
ambik buah-buah tu, budak-budak la yang tolong ambilkan. Mak mana boleh panjat
pokok tu. Yang bagusnya mereka tu, makan sekadar untuk perut mereka je. Tak
pernah dioarang ambik banyak-banyak bawak balik. Tau pulak diaorang simpan
untuk tuan pokok tu.”
“ooo.. Kalau Zura nak,
boleh suruh diaorang panjat tak?”
“Boleh..Cuma jangan
kamu pulak yang memanjat. Apa pulak orang kata nanti!”
Bunyi budak-budak
ketawa kedengaran dari atas pokok. Nazura memandang keatas melihat tiga orang
budak sedang duduk diatas dahan pohon jambu, sambil melempar biji dan serpihan
jambu yang dimakan antara satu sama lain.
“Ehemmm!!!!” Nazura
buat-buat berdehem supaya mereka sedar kehadirannya di situ. Sebaik terdengar
suara Nazura tadi, cepat-cepat mereka semua memanjat turun. Pantas juga mereka
membuka langkah untuk pergi dari situ.
“Nanti !!!” Jerit Nazura
setelah kelibat mereka hampir hilang memasuki hutan. Budak yang paling belakang
sekali terkaku seketika.
“ Kamu nak ke mana?”
Tanya Nazura sebaik sampai ke tempat budak itu berdiri.
“Ke sungai Kak?” Jawab
budak itu fasih.
“Kenapa nak ke sana?”
soal Nazura lagi.Macam Kakak yang sedang menyoal adik.
“Semua ada di sana”
“Siapa?”
“Abang, Kakak dan adik”
akui budak itu jujur.
“Akak ikut boleh?”
tanya Nazura. Soal keselamatan dilupakan seketika. Ada sesuatu yang menarik
dengan anak-anak orang asli ini.Budak itu mengangguk.
Suasana di dalam hutan
begitu menenangkan. Nazura merasa dirinya seakan kanak-kanak lagi. Semasa kecil
dahulu, dia sering merayau di dalam hutan bersama kawan-kawan dan adik-beradiknya.
“Jauh lagi ke?” Tanya Nazura,
walaupun baru sepuluh minit berjalan. Tekaknya merasa kering dan dahaga.
“Tu” Budak itu menunjuk
ke arah sekumpulan kanak-kanak sedang bermandi manda di dalam sungai.
“ Atoiii” Jerit budak
tadi sambil berlari. Kanak-kanak yang lain mulanya menyambut dengan tawa. Tawa
mereka terhenti setelah Nazura muncul dari belakang. Kanak-kanak lelaki yang
langsung tidak berpakaian lari terjun ke sungai. Kemudiannya berdiri dengan
hanya menampakkan kepala.
“ Tak sekolah ke ?”
Tanya Nazura yang melabuhkan punggung pada sebatang dahan besar rebah di situ.
“ Tak…” Sahut seorang
budak perempuan.
“ Kenapa tak suka
sekolah?”
“ Kalau ke sekolah kena
pakai baju sekolah, tak boleh main-main, kena baca ABC, kena nyanyi, kena
tulis..susah” sambung budak itu lagi.
“Bapa kamu tak marah?”
“Apai pun ada
marah-marah. tapi kami buat tak tahu jaa.. Apai pun selalu ke hutan, kami buat
la ikut suka kami” Jelas budak itu sambil tertawa. Tawanya bersambut dengan
adik beradiknya yang lain.
“Siapa tahu baca ABC?
A…B…C…. Siapa?” Tanya Nazura.
“A, B, C,..F, Q…” Budak
perempuan tadi cuba menyahut pertanyaan dari Nazura. Kanak-kanak yang lain
menyambut jawapannya dengan tawa.
“ABC tak tahu pun masih
tak nak sekolah!” Perli Nazura.
“Akak, kami tak tahu
ABC pun tak apa..janji pandai cari makan. Apa pun boleh kalau kami nak hidup”.
Budak lelaki yang di dalam sungai menjawab petah. Yang lainnya seakan
mengangguk bersetuju.
“Kalau hutan dah tak
ada kamu nak ke mana?” Soal Nazura lebih dalam.
“Hutan mesti ada Kak.
Mana boleh hutan hilang?” Tingkah seorang budak lagi.
“ Dulu kamu di hutan
mana?” Soal Nazura tegas.
“Hutan di estet sana….”
“Sekarang ni mana hutan
kamu dulu?” Kata Nazura lagi. Ilmu yang dipelajarinya di Institut Latihan Perguruan
itu cuba dimanafaatkannya.
Budak-budak yang ada
itu hanya saling berpandangan. Baru kali ini ada yang membuatkan mereka
berfikir begitu.
“ Kamu pernah tengok
ni?” Nazura mengangkat tabnya dan menunjukkan kearah budak-budak tu.
“ Itu telefon. Apai pun
ada satu. Tapi Apai punya kecik saja” Jawab budak perempuan tadi petah.
Nazura bersyukur sangat
talian telefon dan internet masih kuat di situ. Dia mahu menunjukkan sesuatu
pada budak-budak itu. Dia menekan kekunci di aplikasi youtube mencari bahan untuk dikongsi dengan budak-budak itu.
Mula-mula dia membuka
cerita kartun. Cepat-cepat budak yang ada berdekatan menghampirinya untuk
menonton. Dua budak lelaki yang tidak berpakaian langsung tadi berenang ke
tebing sungai. Tangan mereka mencapai daun-daun pokok ketapang yang jatuh ke
sungai untuk dijadikan pakaian sementara. Perlahan-lahan mereka berjalan ke
bawah pohon ketapang dimana baju mereka dilonggokkan. Setelah berpakaian penuh
mereka segera menyertai adik-beradiknya yang lain menonton tayangan pada tab Nazura.
Sebaik habis tontonan
cerita kartun itu, Nazura mematikan tabnya.
“Nak tengok kartun lagi
Kak" rayu mereka semua.
“Bateri nak habis ni.
Lain kali kita sambung, ok. Akak pun dah nak balik rumah dah" Jelas Nazura.
Budak-budak yang ada memuncungkan mulut tanda tidak puas hati.
“Semua nak jadi pandai
tak?” Tanya Nazura lagi. Sekurang-kurangnya apa yang ditunjukkan tadi dapat
menarik minat mereka.
“Kat sekolah tak ada
cerita kartun" Kanak-kanak yang terkecil diantara mereka bersuara.
“ Memang kat sekolah
tak ada, dik. Tapi bila adik habis belajar nanti, dah kerja. Boleh la adik beli
tab macam ni dan tengok kartun hari-hari.” Kanak-kanak di hadapannya tersenyum.
“Berani kamu ikut
budak-budak tu ke dalam hutan.” Bebel Makcik Amnah.
“Ala Mak..bukan ke
hutan tebal pun. Belakang kebun tu jer. Masa kecik-kecik dulu pun Zura pernah
ke situ"
“Tak payahlah kamu
bergaul dengan budak-budak tu. Tak ke mana mereka tu. Biar Mak Bapak diaorang
yang uruskan"
“Hmmm… Mak. Nazura
nampak budak-budak tu macam kami semua waktu kecik-kecik. Cuma kami bertuah
sebab Mak dan ayah didik kami dan bagi kami belajar. Tapi budak-budak tu, tak
ada siapa yang nak peduli. Zura Cuma kasihankan dioarang jer..” Jelas Nazura.
“Ikut suka kamu la.
Jangan sampai diaorang susahkan kamu dah la.” Pesan Makcik Amnah.
“ Kakak ABC” Satu suara
di bawah pohon rambutan menegur Nazura. Hampir sahaja dia terjatuh dari tangga
kerana terkejut.
“ Kami nak belajar. Nak
tengok kartun” Sambung budak itu yang cuba berlindung dari dibasahi gerimis.
“Mana yang lain?”
“ Ada kat pondok
belakang. Hujan Kak” Budak itu tersenyum.
“Lupa nak tanya, nama
kamu siapa?”
“Amri.”
“Amri panggil yang lain
tunggu Akak bawah rumah. Kejap lagi Akak turun" Nazura tetap risaukan
kanak-kanak orang asli yang masih merayau walaupun hari hujan.
Nazura turun ke bawah rumah
membawa sepinggan ubi kayu dan seteko kopi. Satu mangkuk berisi gula diletakkan
di tepi piring ubi kayu.
“ Hujan-hujan ni sedap makan
ubi kayu" Kata Nazura yang meletakkan makanan itu diatas pankin.
“Hujan-hujan pun ayah kamu keluar kerja"
“Tak, kami yang mahu
jumpa Kakak. Nak belajar A,B,C dan tengok kartun" beritahu budak perempuan
yang paling dewasa.
“Nama kamu semua siapa?,
Tadi baru Akak kenal Amri"
“ Haa..kami pun lupa
nak beritahu nama. Saya Fikah, adik perempuan saya tu Lina. Adik lelaki saya Bakri
dan Mahat. Yang baju hijau tu Saipul dan sorang lagi tu Damar. Amri tu kakak
dah kenal tadi.” Terang Fikah, selaku kakak yang paling sulung antara mereka.
“ Nak belajar apa hari
ni?”Nazura bertanya.
“ Nak belajar ABC dan kartun"
Saipul menyampuk sambil mengunyah ubi kayu di mulut.
“Bila nak sekolah ni?”
Tanya Nazura lagi.
“Kami akan pergi
sekolah bila Apai belikan baju sekolah dengan beg sekolah nanti” jawab Fikah
jelas.
“ Dan beli pensil,
kalau tak ada pensil macam mana mahu tulis.” Sambung Amri. Yang lain menyambut
dengan tawa.
“ Ok, kejap lagi Akak
ajar ABC, lepas tu boleh tengok kartun"
Kanak-kanak itu
bersorak riang.
Sesi mengajar Nazura
secara percuma pun bermula. Kanak-kanak itu semuanya kelihatan
bersungguh-sungguh untuk belajar.
Hujan masih turun lagi.
Sudah dua hari berturut-turut. Nazura agak gelisah di muka pintu. Dua tiga kali
dia mengalih pandangan ke luar tingkap. Sudah dua hari kelibat tujuh beradik
itu masih tidak kelihatan.
“ Kamu ni, budak-budak
punya hal pun boleh sedih” Tegur Makcik Amnah.
“Zura terasa sangat
Mak. Masa belajar hari tu, semuanya bersungguh-sungguh. Nazura nak tengok
mereka masuk sekolah semula. Kalau boleh sebelum Zura balik ke Universiti
Semula”
“Jangan bebankan diri
kamu pulak. Mereka ada mak bapak. Biarlah mak bapak diaorang tu tentukan”
“Tapi diaorang dah
janji..!!!”
“Janji apa?”
“Janji nak jumpa Nazura
lagi..”
Nazura mengalih
pandangan keluar tingkap. Bayangan seorang budak lelaki pantas bergerak di
celah-celah semak samun.
“ Amri!!” Sapa Nazura
dari atas rumah. Dia tak menyangka mereka masih mahu berjumpa dia walaupun
musim hujan. Dia mencapai payung dan turun ke tanah.
“Mana yang lain?” Soal Nazura
sebaik turun ke tanah. Budak lelaki bermuka pucat itu masih berdiri di dalam
hujan. Tangannya menunjukkan ke arah sungai!
“Kakak tak boleh ke
sana, hujan ni. Ajak semua kemari” Pesan Nazura. “Nanti Akak sediakan cucur
ikan bilis”
Budak lelaki itu
bergerak di celah-celah belukar dan menghilang.
“ Lamanya..” Nazura
melihat jam sebelum mengalih pandangan ke pankin bawah rumah. Tiada seorang pun
dari tujuh beradik itu yang sampai. Cucur ikan bilis yang baru digorengnya tadi
sudah mulai sejuk.
“Assalamualaikum…”
Suara orang memberi salam kedengaran dari luar. Makcik amnah menjawab dari
dalam dan membuka pintu hadapan. Ketua kampung bersama beberapa orang kampung
dan anggota polis berada di hadapan rumah.
“ Apa apa ni Pak Berahim”
Tanya Makcik Amnah.
“Kak Nah, aku ni wakil
dari pihak pasukan mencari dan menyelamat. Kami tengah cari budak-budak orang
asli yang hilang dari kampung mereka. Dah dua hari tak balik. Kalau-kalau Kak
ada nampak.” Jelas Ketua Kampung itu. Makcik Amnah menggaru kepala.
“Budak yang bertujuh
beradik tu ke?”
“Haah! Mana Kak tahu?”
Tanya anggota polis di sebelah Pak Berahim.
“Budak-budak tu selalu
datang ke sini, main-main dan makan buah kat belakang tu. Anak akak, Nazura
lagi rapat dengan diaorang” Katanya yang masuk ke rumah memanggil Nazura.
“ Tadi saya ada nampak
si Amri. Tapi dia senyap je. Bila saya tanya mana yang lain. Dia tunjuk ke arah
sungai” Terang Nazura. Lelaki tu yang berada di belakang tadi berjalan ke
belakang.
“Anak Pakcik dah dua
hari tak balik” Apai bersuara dengan nada sebak. “ Tak pernah mereka semua tak balik”
“Mungkin ke diaorang ke
sungai?”
“Hmm.. baik kita ke
sana?” Pegawai yang mewakili pasukan penyelamat bersuara.
Jalan yang mereka lalui
untuk ke sungai berselut dan dipenuhi takungan air. Sebahagian dari hutan turut
di ditenggelami air. Namun pencarian pasukan penyelamat tetap diteruskan.
“Tu!” Jerit Apai sebaik
melihat sehelai baju terselit pada ranting pokok di tepi sungai. Baju itu
segera dicapai salah seorang dari mereka.
“ Ni baju Bakri! Anak saya
mesti ada di kawasan sini Tuan!” Tegas Apit dengan suara yang bercampur hiba.
Semua yang ada di situ
termasuk Pak Berahim mula berkeliaran di kawasan sekitar. Yang mana tahu nama
budak-budak tersebut, melaung kuat nama mereka.
Apai cuma mampu duduk
di tepi tunggul kayu menantikan berita yang dibawa pasukan penyelamat. Dia
sudah tidak mampu untuk bergerak mencari anak-anaknya. Jelas di kepalanya
peristiwa buruk yang mungkin berlaku kepada mereka.
“Ada Mayat!!” Jerit
salah seorang petugas yang mencari di tebing sungai. Dua tiga orang lagi segera
ke situ untuk membantu menaikkan mayat. Apai pun turut berlari untuk melihat
mayat kanak-kanak yang dibawa naik dari tebing.
“Ahh..Lina” Itu sahaja
ayat yang keluar dari mulut Apai sebelum dia terhinggut-hinggut menahan tangis.
“ Dah jumpa semua?”
Tanya Pak Berahim kepada Ketua Pegawai Operasi.
“Enam dah jumpa. Satu lagi
kami masih cari”
Nazura yang mendengar
berita itu terus berhamburan air mata. Dari tadi dia menangis hingga bengkak
matanya. Hatinya yakin yang budak-budak itu cuba menyeberang sungai untuk
datang ke rumahnya. Dirinya merasa bersalah sangat kepada Apai. Niatnya untuk
membantu budak-budak itu bertukar menjadi teragedi.
“Bukan salah kamu. Apai
pun dah maafkan. Kata dia, kalau
budak-budak tu ke sekolah, mungkin mereka tahu yang air sungai itu deras dan
bahaya sewaktu hujan” Makcik Amnah cuba untuk mententeramkan anaknya itu.
“ Tapi Zura yang suruh
mereka datang lagi!!” Jawab Nazura dengan nada sebak.
“Dah..Kamu tak salah.
Budak-budak tu yang ambil risiko lalu ikut jalan sungai tu. Ayah diaorang pun
tak salahkan kamu. Memang mereka semua suka merayau-rayau di dalam hutan” Pak
Berahim pula menokok.
“Ada seorang yang
selamat. Dia panjat pokok di tepi tebing tu.”
“Saipul” Jerit Nazura
yang masih mengecam kanak-kanak itu. Apai segera datang memeluk kanak-kanak
itu. Diciumnya berkali-kali dengan tangisan yang masih belum putus.
Saipul memeluk bapanya
sekuat hati sebelum berjalan ke arah Nazura. Tangannya menghulur sekotak pensel
yang masih belum dibuka.
“Kami nak belajar Akak!”
itu sahaja ayat yang dituturkan kepada Nazura.
Bunyi tangisan tadi
terus bersambung.