Home Cerpen Cinta Calon Suami Mak Datin
Calon Suami Mak Datin
Zhar Aruzi Hairi
26/4/2016 14:09:52
8,872
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Bahang panas terasa memijar, memanggang setiap tubuh yang melintas dibawah sinaran matahari. Mereka yang terlindung pun masih boleh merasa sisa-sisa kepanasan.

"Panas betullah hari ni. Dahaga betul. Dah dua gelas fresh oren aku order" Lily Farhana mengomel sambil memegang gelas minuman di tangan sebelum menghirupnya dengan penuh kelegaan.

"Memang sekarang ni musim panas, sampai bulan Jun katanya " Sampuk rakan di sebelahnya, Shila. Dia bersyukur sangat kerana mereka duduk di tempat yang berhampiran kipas siling.

You all ni, panas pun komplen, sejuk pun komplen. Semua ni kuasa tuhankan . Redha jer la” Damian bersuara . Bahasa Melayunya sudah sebaik pelajar tempatan. Pelajar dari Algeria ini tidak begitu terasa memandangkan cuaca di negaranya kadangkala lebih panas. Saat-saat sebegini kadangkala mengundang rindunya kepada kampung halaman.

You dah biasa cuaca macam ni. That’s why you say like that”Lily Farhana meningkah. Teman lelakinya itu itu kadangkala membuat dia terasa perbezaan budaya. Shila hanya tersenyum melihat tingkah mereka berdua.

“Mama I tu semakin hari semakin teruk la dia. Dia tak macam dulu. Latest, dia dah tak bagi I dari berkawan dengan Damien, Lepas dia jumpa gambar selfie kami berdua dalam my phone. Belum masanya lagi nak bercouple katanya.” Luah Lily Farhana sambil meneguk minumannya lagi. Antara tujuan dia mengajak kawan-kawannya ke kafe tersebut adalah untuk membincangkan hal Mamanya.

Why not you tak bawa I jumpa Mama you. Mungkin dia boleh chill sikit bila dah kenal I” Damian memberikan idea.Dia memang berhajat untuk berkenalan dengan bakal mertuanya.

You tak kenal Mama I. So, jangan kita nak cari pasal. Silap-silap nanti you kena free lecture and I pulak kena pindah kolej”

“Tak baik you cakap Mama you macam tu, Lily. I kenal sangat Datin Norma tu. Tak kan dia berani buat sampai macam tu. Selalu dia layan I baik je” Shila membalas.

“Dengan perempuan dia memang nice, lovey dovey. Tapi kalau hal I dengan lelaki, memang 100 percent No,No,No…”

“How about you brother?” Damian bertanya lagi.

“Abang I memang tak ada apa-apa masalah dengan Mama. Anak kesayanganlah katakan. Anything dia buat semua mama approved. Siapa-siapa yang kawan dengan dia pun tak apa”

Not fairlah kalau your Mama buat macam tu”

That true. Kalau macam tu takde chancelah Damian ni nak jadi menantu Mama kau” Celah Shila.

Lily Farhana memandang ke arah Damian. “ We have to think of something.

“I rasa Mama you tu kurang kasih sayang la. Dah berapa tahun dah Papa you meninggal... Dari you darjah tiga sampai sekarang. Still single lagi. Yang dia tahu, kerja-kerja and kerja..Kan”

“Itu aku setuju Shila..Tak pernah ada lelaki yang berjaya pikat hati dia setakat ini. Mama I ni jenis perempuan yang setia sampai hujung nyawa tau. Bertuah Papa I kahwin dengan dia”

“Kan bagus kalau semua perempuan macam tu” Damian menyampuk. Dia terus diam sebaik ditenung oleh Lily Farhana dan Shila.

“Takkan you nak biar dia macam tu. Sampai masa nanti, you dan Hezrul akan ada keluarga masing-masing. Then masa tu siapa pula nak jaga Mama you. Maybe that time dia akan berperangai lagi teruk”

“Itu pun I setuju. Perempuan ni kalau semakin tua semakin teruk perangai dia” Damian yang diam dari tadi menyampuk lagi. Kali ini kedua-dua perempuan dihadapannya berpaling serentak ke arahnya.

“Why?. Betulkan apa yang I cakap tadi kan? I ulas balik apa yang Shila kata”

“My dear, Bukan semua perempuan macam tu”Bentak Lily Farhana.

“Ok sorry. I tarik balik statement I” Jawab Damian sambil tersenyum. Dia terpaksa mengalah apabila melihat kedua-dua orang perempuan dihadapannya mula menyinga.



“Bukankah itu Hairul Ehsan, senior kita” Lily Farhana menunding jari kearah kelibat lelaki yang lalu di kaunter pembayaran.

“Rasanya betullah” Shila mengangguk. Damian hanya memandang dengan riak yang kurang senang. Seboleh-bolehnya, dia tidak mahu ada lelaki lain di meja itu.

Shila melambai kearah Hairul Ehsan sebaik melihat dia membawa dulang minuman ke meja. Dia mengambil begnya di kerusi bersebelahan bagi memberi ruang kepada pemuda itu.

“Tunggu orang ke?” Tanya Shila sebaik pemuda tersebut duduk. Tergoda juga dia melihat Hairul Ehsan yang berimej sederhana tetapi kemas. Sesuai dengan imejnya dulu sebagai seorang fasilitator.

“Tak tunggu sesiapa pun. Just nak minum jer. Ok ke kalau saya join ni”

“No problem bro. Bukan senang nak dapat bersembang dengan senior ni” Damian menyampuk. Rasa tidak selesanya masih kelihatan. ‘Kenapa pulak girlfren aku macam suka pula kat mamat ni?’.

“Sekarang ni buat apa? Dah habis grad kan?” Soal Lily Farhana.

“Memang dah grad. Sekarang ni tengah running business sendiri” Hairul Ehsan mengeluarkan business kadnya dan menyerahkan kepada Lily Farhana.

“Aik!! Buat printing pulak. Bukan ke Abang ambik kos undang-undang?”

“kalau ikut, memang kerja tersasar sikit, tapi matlamat hidup tetap sama. Abang memang minat business”

“Kalau nak buat kad kawin ker, banner ker, boleh call abang” Iklan Hairul Ehsan sambil menghirup minuman.

“Awal lagi kalau nak buat kad kahwin ni. Hmmmm….. Abang ada jual calon suami tak. Si Shila ni dah lama mencari” Seloroh Lily Farhana, sebelum menjerit kerana kakinya sakit ditendang di bawah meja. Damian hanya tersenyum.

“Kenapa tak beli abang jer. Abang pun tengah solo sekarang ni” Jenaka Lily Farhana disambut oleh Hairul Ehsan. Dia memang suka menyakat kalau ada peluang.

“Jangan nak mengarut. Selagi belum kerja, kita tak akan ada boyfriend.” potong Shila, sebelum jenaka mereka berterusan.

“Abang suka tak perempuan yang berumur” Lily Farhana mengeluarkan pertanyaan yang membuat Hairul Ehsan hampir tersedak. Shila dan Damian masing-masing menggelengkan kepala meminta Lily Farhana tidak meneruskan pertanyaan tersebut.

“Suka sangat. Mak Abang, nenek Abang, Makcik-makcik…semuanya berumur” Hairul Ehsan tersenyum menjawab, Dia menyangka itu hanya sebahagian dari jenaka Lily Farhana.

“Bukan yang macam tu, maksud saya untuk dijadikan teman wanita”

Shila dan Damian hanya tersenyum kelat. Mereka sudah membaca apa yang mahu dicadangkan oleh Lily Farhana.

It dependla…kalau macam Cik Ta ke…Erra Fazira ke…Abang Ok jer”

“Kalau orang tu Mama saya.. Ok tak” sekali lagi Hairul Ehsan hampir tersedak. Dia sempat menelan gumpalan air didalam kerongkongnya. Tidak menyangka cadangan Lily Farhana sejauh itu.

“Awak serius ke ni Lily?. Nak suruh saya jadi AYAH awak”

Pecah ketawa antara Damian dan Shila mendengar jawapan Hairul Ehsan. Ketawa mereka yang berpanjangan membuat Lily Farhana memuncungkan bibirnya.

“Macam ni la Lily..Kalau setakat nak berkenalan tu Abang tak ada masaalah. Setahu Abang, Mama Lily pun bukan calang-calang business woman. Mana tahu, mungkin boleh dapat job dari dia” Hairul Ehsan menenangkan keadaan. Dia masih lagi tersenyum.



Datin Norma menyemak sebutharga yang diletakkan diatas meja oleh setiausahanya. Dokumen-dokumen yang penting selalu disemaknya lebih awak sebelum beralih ke kerja-kerja yang lain. Fokus otaknya dirasakan lebih tajam di sebelah pagi. Kalau mesyuarat pula biasanya dibuat selepas pukul 10.00 pagi. Tidak boleh lewat seminit dua. Kalau ada yang terlewat maka terpaksalah menunggu sehingga mensyuarat selesai kerana dia akan mengunci bilik mesyuarat. Displin Kerjanya itu sudah difahami oleh semua kakitangan Teratak Holding.

“Datin, pagi ni bunga lagilah?” Asyikin yang merupakan setiusaha Datin Norma mengetuk pintu sambil tersenyum. Dia sempat menghidu jambangan bunga yang berhias indah itu. “Hmmm…wanginya”

“Dari siapa pulak kali ni?” Datin Norma membuka kad yang disertakan bersama jambangan bunga itu.

“Secret Admirer lagi ke Datin?” Asyikin memang faham sangat akan perangai bossnya itu. Sudah beratus surat dan jambangan bunga yang diterimanya untuk memikat hatinya. Tidak ada satu pun yang menarik perhatiannya.

“Dari siapa Datin” Asyikin masih lagi cuba mengorek rahsia.

“Kamu tak payah tahu lah. Pergi sambung kerja tu” Datin Norma memasukkan kad yang diterimanya itu di dalam laci meja.

“Bunga ni macam mana?”

“Kalau kamu suka, ambil sajalah”

Asyikin girang membawa keluar jambangan bunga tersebut dan meletakkannya diatas mejanya. Dia pasti akan ada rakan sekerjanya yang cemburu kerana menyangka dia yang menerima bunga tersebut.



Datin Norma memang menjadi perhatian kerana penampilan dan kecantikannya. Walaupun umurnya hampir mencecah 40an,tetapi penampilannya masih kelihatan seperti wanita 20an. Seringkali dia menerima pelawaan untuk berkahwin sekali lagi,terutama dari kalangan dato-dato yang dahulunya adalah sahabat arwah suaminya. Semuanya ditolak dengan baik.

Kesetiaanya pada keluarga tidak berbelah bagi. Tidak ada seorang pun yang dapat memikat hatinya sebagaimana arwah suaminya, Datuk Suhaimi dahulu.

Cuma sekarang dia banyak menghabiskan masa bersendirian. Kedua-dua anaknya sudah dewasa dan mampu berdikari. Anak sulungnya, Hezrul Ariff berada di United Kingdom menyambung pelajaran disamping menguruskan cawangan perniagaan mereka di sana. Anak keduanya Lily Farhana pula masih di kolej dan tinggal bersamanya. Kalau diikutkan, memang dia sering merasa kesunyian. Terutama apabila anak-anaknya sibuk dengan hal masing-masing. Sebab itu dia sering menyibukkan diri dengan kerja dan persatuan-persatuan kebajikan. Masanya banyak dihabiskan di pejabat dan berjumpa kawan-kawan.

“Lunch nanti Datin nak ke kafe atau nak saya tapau jer” Asyikin bertanya sebaik menyerahkan proposal yang diminta. Dia memang mengambil berat tentang makan minum bosnya itu. Kalau dibiarkan, Kemungkinan Datin Norma atas terlepas waktu makan tengah hari kerana sibuk dengan tugasan pejabatnya.

“Kejap lagi saya lunch dengan client.” Beritahu Datin Norma “Ingatkan yang lain untuk ke bilik mesyuarat pukul tiga nanti. Sebab saya plan untuk buat presentation untuk client ni selepas lunch nanti”

“Baik datin “ Balas Asyikin tanpa banyak soal sebelum keluar dari bilik itu.

“Nanti dulu, Saya nak tanya sikit. Siapa yang hantar bunga dahlia putih tu?” soal Datin Norma sebelum sempat Asyikin melepasi pintu keluar.

“Yang tu baru sampai tadi. Tak sempat nak beritahu Datin. Saya tak pasti pulak siapa yang bagi.”

Datin Norma segera membaca kad berwarna ungu yang disertakan bersama. Tiba-tiba dia tersenyum.

“Kenapa Datin ?”

First time saya terima kad lunch invitation with a business card printed together. Good marketing strategy. Pandai budak ni”

“So, Datin nak join tak?”

Please check my schedule for tomorrow. Kalau free masukkan sekali lunch ni dalam agenda.” Arah Datin Norma.

“Yes, Datin” Asyikin patuh menjawab sambil jarinya pantas menaip di telefon bimbitnya .



Hairul Ehsan masih berdebar sekalipun orang yang ditunggunya belum hadir. Bukan pertama kali dia makan tengahari di restoran hotel sebegini, Cuma kedatangan orang yang diundangnya itu sedikit sebanyak mengundang rasa bimbang. Takut kalau-kalau dia tersalah cakap atau penampilannya sekarang ini tidak begitu memuaskan. Sudah dua kali dia ke bilik air bagi membetulkan gaya sikatan rambutnya.

Datin Norma tiba di restoran dengan memandu sendiri. Dia tidak suka menggunakan khidmat pemandunya sekiranya ke tempat-tempat yang berdekatan dengan kawasan pejabatnya. Walaupun terpaksa menempuh jalan yang sesak, dia lebih suka untuk merasai sendiri keseronokan memandu.

“Ini En Hairul kan” tanya Datin Norma sebaik sampai di meja. Hairul Ehsan mengiyakan sebelum bangun untuk menarik kerusi untuk Datin Norma duduk.

“It’s Ok. I can do it myself” Datin Norma menolak lagak gentleman Hairul Ehsan.

“So, Lama dah tunggu” Sambung Datin Norma sambil menanti pelayan restoran datang membawa menu.

“Saya pun baru sahaja sampai. Terima kasih sebab Datin sudi makan bersama”

“Sama-sama. Saya pun dah lama tak makan bersama dengan orang muda ni” Ujarnya sambil tersenyum. Dia dan Hairul Ehsan memesan menu yang berlainan. Seleranta lebih kepada masakan Melayu manakala Hairul Ehsan lebih sukakan makanan barat.

“ Hairul ni buka business apa?. Sampai nak approach saya join lunch ni.”

“Saya business biasa-biasa sahaja. Buka business printing sahaja”

“That why saya terima very nice invitation card and nice flower too”

Hairul Ehsan menggunakan kesempatan yang ada menerangkan tentang perniagaan yang dijalankannya sekarang. Apa sahaja yang berkaitan dengan perniagannya diterangkan dari A sampai Z. Dia begitu berharap agar dapat berurusan dengan syarikat besar seperti Teratak Holdings.

“Macammana kenal dengan Lily Farhana” Soal Datin Norma sebaik makanan yang diminta sampai ke meja. Hairul Ehsan berhenti dari mencapai garfu.

“Atau awak kawan sekolej dia?”

“Saya rakan sekolej dia. Senior dari dia dua tahun. Macammana Datin tahu?”

“I know my daughter’s game. Bunga dahlia dan kad warna purple tu adalah dua benda faveret saya. Tak ada siapa-siapa pun yang tahu melainkan anak-anak saya”

“Datin jumpa saya ni sebab Lily ker?”

“Ya. Sebab saya nak tahu apa permainan dia seterusnya. But I’m quite sure you’re not her boyfriend

“Memang saya bukan boyfreind dia. Saya cuma nak dapatkan business dengan company Datin sahaja”

“Apa rancangan anak perempuan saya tu agaknya” Soal Datin Norma sambil menyuap makanan. Hairul Ehsan pun turut sama makan.

“Saya kena jujur sekarang. Actually, selain business tu, dia juga suruh saya pikat datin untuk jadi girlfriend saya”

“What? And…why” Datin Norma terhenti sebentar dari menjamah makanan. Tiba-tiba dia tersenyum sendirian.

“This is too much Lily Farhana” ucapnya separuh berbisik.



Rumah Agam yang mengadap matahari naik itu kelihatan keemasan disinari cahaya matahari senja. Itu antara saat-saat yang sering diingati oleh Datin Norma ketika bersama-sama dengan arwah suaminya. Mereka akan sama-sama duduk melihat matahari terbenam sebelum menunaikan solat Maghrib.

Sebaik selepas melipat sejadahnya dia segera mendail nombor telefon anak sulungnya.

“Assalamualaikum Mama, kenapa tiba-tiba sahaja telefon ni?” Suara Hezruf Ariff terdengar di hujung talian.

“Waalaikum salam. Tak ada yang urgent, Cuma ada perkara sikit Mama nak beritahu pada kamu”

“Apa cerita pulak kali ni. Ni mesti melibatkan adik ni. Apa yang dia dah buat kali ni?”

“Dia nak kenenkan Mama dengan kawan kolej dia”

“Laa… ingatkan apa? Hensem tak budak tu? “Hezrul Ariff mengejek.

“Kamu ni..serious la sikit. Mama tak sukalah dia buat macam tu”

“Ada la sebab adik buat macam tu. Lagipun Mama ni pun dah lama sangat solo”

“Ingatkan kamu nak support Mama. Rupanya nak kenakan Mama pulak”

“Gurau je Mama. Actually apa salahnya Mama pula play by her game. Tengok macammana reaksi Lily nanti”

“Mama dah tua la untuk benda-benda macam tu.”

“Jangan cakap macam tu. Semua orang cakap Mama Hezrul ni still maintain macam anak dara. Just do it for fun Ma. Ada sikit aktiviti masa lapang Mama”

“Kalau kamu kata macam tu. Mama pun rasa nak ajar si Lily tu. Biar dia tahu langit tinggi ke rendah”

“Macam tu la Mama. Berani sahut cabaran. Anything, Mama cerita kat Along tau” Hezrul Ariff membakar lagi semangat ibunya. Dia terus menyambung cerita tentang aktivinya di sana.



“ Salam. Can We chat” Hairul Ehsan terkejut menerima satu mesej misteri dari aplikasi Whatappsnya.

“Salam. Siapa ni?”

“ Datin Norma ni. Sorry sebab tak kenalkan diri terlebih dahulu”

“Ok. Saya tak sangka Datin sudi chat dengan saya” Hairul Ehsan merendah diri. Namun dia masih curiga dengan individu yang mahu bersembang dengannya itu. Ada kalanya ada rakan-rakan yang suka menggunakan aplikasi itu untuk mengenakan orang lain. Kesudahannya orang itu akan menjadi bahan ketawa seluruh kolej.

“Kenapa Datin tak telefon sahaja?” soalnya lagi mencari kepastian.

“OK. Saya call sekarang” Jawapan balas Datin Norma membuatkan Hairul Ehsan segera menekan butang remote televisyen bagi memperlahankan bunyi. Dia beralih duduk berhampiran balkoni untuk jelas mendengar suara.

“Assalamualaikum” suara lembut Datin Norma menjengah telinga Hairul Ehsan. Yakin sekali dia yang usahawan wanita itu yang menelefonnya.

“Waalaikum salam Datin”

“Tak menggangu ke saya telefon malam-malam ni”

“Saya Ok jer. Apa halnya Datin telefon ni”

“Saya baru bercakap dengan anak lelaki saya tadi. Pasal Lily dan rancangan kamu tu. So, dia suruh saya keep on playing my part. Maknanya dia mahu saya berlakon sukakan Hairul”

“Wow..ni dah lain ni. Datin nak kenakan Lily ke?”

“Macam tu lah cadangnya. Nak bagi dia insaf sikit” Datin Norma terbatuk sedikit. Suaranya diperlahankan agar tidak didengari oleh anak perempuannya.

“Apa yang patut saya buat Datin?”

“Kita akan buat macam orang tengah bercinta. Apa-apa yang boleh buat Lily assume kita bercinta, Kita akan cuba buat”

“Ok, saya cuba. Datin tak takut ke kalau orang mengata nanti”

“Itu biar I yang handle. Taulah nanti macam mana I nak cover”

“kalau macam tu, saya on sahaja. So what is our first step?

“Start Calling I darling” ujar Datin Norma sambil tertawa kecil. Panggilan yang sudah lama tidak didengarinya. Itulah panggilan manja dia oleh arwah suaminya dahulu.

“Yes, darling” Balas Hairul Ehsan yang turut tertawa. Pertama kali dalam hidupnya dia memanggil seorang perempuan sebagai darling. Lucu sekali.

and start calling Me by 8.00 tommorow. Waktu kami berdua having breakfast” Sambung Datin Norma yang masih ketawa.

“Ha..ha..I’ll do that. Idea datin memang lucu”

Setelah memberikan beberapa arahan lagi, Datin Norma menamatkan perbualannya. Sudah lama dia tidak ketawa selama itu. Begitu juga perbualan telefon dengan lelaki pun tidak pernah selama itu.



“Mama berbual dengan siapa tadi. Seronok sangat nampaknya?’ Tanya Lily Farhana sebaik mereka memasuki kereta. Semasa di meja makan tadi mereka tidak berkesempatan berbual. Telefon Puan Norma sentiasa melekat di telingannya. Ibunya makan sambil berbual di telefon. Memang nampak kurang sopan. Kalau dia buat begitu, sudah tentu memanjang syarahan yang akan diterimanya sepanjang perjalanan ke kolej.

“Kawan yang telefon”

“Kawan mama yang mana?, Tak pernah pun Mama sembang lama-lama macam tu.” Lily Farhana masih belum berpuas hati. Kereta yang dibawa oleh pemandu bergerak keluar dari perkarangan rumah.

“Adalah” Balas Datin Norma pendek, menyebabkan Lily Farhana terus berteka teki.



Datin Norma disapa oleh semua staff sepanjang jalan ke pejabatnya. Yang mana sempat dijawab, maka dijawab. Yang lainnya hanya sempat menerima senyuman. Sebelum sempat membuka pintu pejabatnya, Asyikin sempat menahan.

“Datin, nanti sekejap. Ada orang nak jumpa. Dia baru sampai tadi” Jelas Asyikin.

“Ok, Sekejap lagi saya ke sana” Datin Norma masuk ke pejabatnya untuk membuka lampu dan menyimpan beg sebelum keluar semula.

“Hai Norma, How are you?” satu suara yang pernah dikenalinya suatu ketika dulu menyapa.

“Hai Dato’ Mokhtar. I’m Fine. Dato’ macam mana pula?” Datin Norma berbahasa.Dato’ Mokhtar merupakan salah seorang rakan arwah suaminya.

I’m fine too. Actually I sebenarnya nak ajak you breakfast sekali pagi ni” Jelas Dato’ Mokhtar.

“Kenapa tak beritahu awal-awal. Saya dah breakfast di rumah dengan Lily tadi”

“I call tadi pun asyik engaged sahaja. That why I terus datang office”

“ada hal penting ke sampai Dato’ nak jak saya breakfast ni?”

“Ada la sikit. Jom temankan saya, Kalau tak nak makan pun tak apa.” Ajak Dato’ Mokhtar. Datin Norma hanya menurut.

Dato’ Mokhtar membawa Datin Norma ke Delima Cafe, sebuah coffee house hotel yang terletak berhampiran. Dia telah memilih tempat yang ekslusif untuk berbual-bual dengan rakan lamanya itu. Mereka memilih tempat yang terletak berhampiran dengan dinding cermin. Sesekali mereka boleh memandang kearah kesibukan trafik dan orang yang lalu lalang.

“Datin Emma bagaimana? Lama dah tak dengar berita dari dia?” Datin Norma memulakan perbualan sementara menanti hidangan dan minuman.

“Hmmm..you tak tahu lagi rupanya. Kami berdua dah empat bulan divorce. Dia dah bawa anak-anak I balik kampung” Umum Dato’ Mokhtar. Nada suaranya agak sedih.

“Kenapa jadi sampai macam tu. I tengok you berdua memang very nice couple. I susah nak percaya la”

“Dia yang minta. So, I pun bagi la. Tak mahu panjangkan cerita”

That why I dah lama tak jumpa dia”

“sebenarnya, I ajak you ke sini sebab I ada hajat besar” Dato’ Mokhtar bercakap sambil memandang tepat kearah Datin Norma. Sempat juga dia menghela nafas.

“Dah lama sebenarnya I pendamkan perkara ini. Kalau I tak luahkan memang I menyesal” Dato’ Mokhtar menyusun ayat. “I berhajat sangat nak mendirikan masjid dengan you, Norma.”

Datin Norma kehilangan kata-kata sebentar. Nalurinya dapat menghidu niat rakan suaminya itu dari awal lagi. ‘Ini lagi satu masaalah besar. Pantang hidup aku untuk ambil suami kawan-kawan’.

Dalam kepalanya berfikir jalan terbaik untuk mengelak dari lamaran ini.

“I ada bawakan cincin untuk You. Buat cincin tanda” ujar Dato’ Mokhtar sambil mengeluarkan kotak cincin berwarna hitam dan menyerahkan kepada datin Norma. “ I tempah khas untuk you tau ”

Untuk menjaga hati lelaki di hadapanya itu, datin Norma membuka kotak cincin yang dibawa. Cincin emas yang bertatahkan berlian itu memang cantik ukirannya. Mungkin mencecah puluhan ribu ringgit jika dilihat dari Jenamanya.

“Cantik sangat Dato’ cincin ni. Tapi I minta maaf. Hajat Dato’ tu I tak dapat nak tunaikan. I dah ada someone”

“Ye ker ni. I dah siasat dengan semua staff dan kawan kawan you. Semua kata you still single. Kalau pun you sayang sangat kat arwah, buka sikit hati you tu dekat orang lain. You pun dah kenal I kan. Tau jauh beza pun dengan arwah kalau dia masih hidup”

‘Hmmm…tak jauh beza..macam langit dengan bumi sebenarnya. Dari dulu lagi ramai kawan perempuan, suka ke kelab, main judi, rasuah dan macam-macam lagi. Mungkin itu antara sebab bini dia mintak cerai’ gumam Datin Norma di dalam hati.

“Memang betul I dah jumpa dengan orang yang I suka. Dia memang serasi dengan jiwa I. Tapi kami masih dalam proses kenal mengenal antara satu sama lain sekarang ni” Terang Datin Norma. Kotak cincin dihulurkan semula kepada Dato’ Mokhtar.

“Hmmmm…Dato’ mana yang bertuah tu?. Dah berpuluh orang yang nakkan you, tapi you pilih dia. Hebat orang tu” Puji Dato’ Mokhtar.

“Bukan Dato’ pun, orang biasa jer. Tak payah I nak kenalkan. Cuma, kalau jadi nanti I jemput you datang kenduri”

Dato’ Mokhtar berhenti dari menghabiskan makanannya. Air Kopi dihirupnya sedikit sebelum ditinggalkan. Seleranya tertutup dengan penolakan oleh Datin Norma.

“Jom I hantar you balik. Nanti marah pulak pakwe you” Dato’ Mokhtar sempat berseloroh sebelum mereka meninggalkan coffee house tersebut.



Cashier yang memberikan tiket tersenyum melihat gelagat dua kanak-kanak yang membeli tiket untuk menonton cerita kartun. Pakaian mereka seakan karekter di dalam wang yang ingin ditonton. Orang masih lagi ramai beratur bagi menunggu giliran bagi membeli tiket.

Hairul Ehsan menarik tangan Datin Norma untuk turut sama beratur.

“ I segan la. Macam mak dengan anak” Datin Norma cuba mengelak. Namun dia terpaksa mengalah apabila Hairul Ehsan menarik muka masam. “Tadi kan dah janji” ungkitnya.

Semenjak hampir tiga bulan berkawan, itulah kali pertama mereka keluar menonton wayang. Itu pun sebab cerita hindustan yang diminati oleh Datin Norma ada mula ditayangkan. Segaja Hairul Ehsan mengambil keputusan untuk beratur dari membeli tiket secara online. Dia mahu Datin Norma itu merasai pengalaman itu.

Secara zahirnya penampilan Datin Norma tidak jauh bezanya dengan semua perempuan yang ada di situ. Walaupun bertudung, fesyen yang digayakannya selari dengan peredaran semasa. Hairul Ehsan sendiri mengakui perkara tersebut. Tidak ada seorang pun dari rakannya yang pernah bertanyakan umur ‘girlfriend’nya itu. Semua menyangka yang mereka hampir sebaya.

Bukan senang juga untuk Datin Norma melangkah keluar dari rumah. Dia pula yang perlu melaporkan diri kepada Lily Farhana. Dan apa syarat-syarat yang dinyatakan olehnya dahulu kepada Lily Farhana jika keluar bersama kawan-kawan, itulah juga nasihat dan pesanan yang diterimanya. Sebelum pukul 12.00 tengah malam, dia harus pulang ke rumah.

Datin Norma masih berasa segan untuk berhadapan dengan orang ramai yang berada di situ. Kalau tidak kerana janjinya kepada Hairul Ehsan, sudah pasti dia tidak mahu datang.

“Kenapa suka Hindustan?” Hairul menyoal sebaik duduk di bangku. Datin Norma membetulkan dahulu kedudukan kerusinya. Dia terpaksa berasak-asak juga tadi untuk sampai ke kerusi tersebut.

“Jiwa orang lama katakana. Filem lakonan Shah Rukh Khan ni memang meruntun emosi kalau tengok. Sebab tu saya suka layan” Jelas Datin Norma. Slanga inggerisnya akan diketepikan jika bersama dengan Hairul Ehsan. Pemuda itu sedikit sebanyak telah membuka matanya tentang adab berbahasa. Begitu juga dengan perkara-perkara lain dalam kehidupan sehariannya. Dia sudah mula dapat memahami dunia baru remaja seperti Lily Farhana dan perubahan-perubahan dunia terkini. Kalau dahulu dia hanya mendengar, kali ini dia pula yang terlibat sekali.

Datin Norma turut hairan dengan gerak laku dan penampilan Hairul Ehsan. Sedikit sebanyak mempunyai ciri-ciri tingkah laku arwah suaminya dahulu. Dari segi berpakaian, corak yang digunakan lebih kepada yang berpetak-petak. Jenama minyak wangi yang digunakan. Tidak merokok dan suka kepada kanak-kanak. Selain itu, semangat untuk berniaga yang ada dalam dirinya juga tidak boelh dipandang remeh. Beberapa kontrak kerja dengan kerajaan dan swasta berjaya direbutnya dalam masa terdekat ini sahaja.

Hairul Ehsan pula menjadi lebih matang apabila berpasangan dengan Datin Norma. Dia menjadi lebih hormat kepada wanita yang mempunyai displin yang tinggi, bijak dalam perniagaan dan pandai menjaga tatasusila sebagai seorang wanita. Jauh sekali jika dibandingkan dengan rakan-rakan perempuan sekuliahnya dahulu. Jurang umur antara mereka juga tidak begitu dirasakan. Datin Norma dapat berubah selari dengan perkembangan semasa. Dari hanya berperasaan sebagai kawan, kini ada bibit-bibit kasih yang mula berputik dihatinya. Walaupun terikat dengan janjinya untuk mengenakan LiLy Farhana, jauh disudut hatinya mahu mengenali datin Norma dengan lebih dekat.

“Popcorn” Bunyi suara Harul Ehsan berbisik. Datin Norma menyambut bungkusan popcorn dan meletakkannya diatas riba. Debaran untuk menonton lakonan Shah Rukh Khan semakin terasa sebaik mendengar musik filem itu berkumandang.



“Ini syarikat H.E printing kan?” tanya seorang lelaki separuh baya berada berhadapan dengan kerani penyambut tetamu. Seorang lelaki berbadan tegap mengekor di sebelahnya.

“Ya tuan. Apa tujuan tuan kemari” kerani tersebut pula menyoal.

“Aku nak jumpa dengan Hairul Ehsan” Lelaki tersebut menjawab dengan lagak sombong.

“Minta tuan tunggu sebentar. Biar saya tanyakan boss dahulu. Siapa Nama Tuan?”

“Cakap pada dia, Dato’ Mokhtar dari RGH Holdings nak jumpa”

Hairul Ehsan bangun dan membuka pintu bagi menjemput tetamunya masuk. Kedatangan individu seperti Dato’ Mokhtar ini memang tidak dijangka.

“Selamat datang ke H.E printing Dato’. Apa yang kami boleh bantu?” Hairul Ehsan memulakan perbualan.

“Dah lama buka bisnis ni?” Dato’ Mokhtar pula mengemukakan soalan. Dia mahu mengenali pemilik perniagaan ini terlebih dahulu.

“ Hampir setahun Dato’. Setakat ni Alhamdullillah. Semuanya berjalan ikut perancangan” Ujar Hairul Ehsan. Dia merasa kurang senang dengan gaya percakapan dan renungan Dato’ Mokhtar. Lelaki itu seolah-olah ada perasaan marah terhadapnya. Dia tidak dapat meneka apakah punca kemarahan tersebut kerana inilah pertama kali mereka bersua.

Dato’ Mokhtar menghulurkan satu kertas cadangan kepada Hairul Ehsan.

“I nak offer you projek ni. At least you boleh dapat RM 100K” Ulasnya ringkas.

“Banyak tu Dato’. Saya kena teliti dulu apa yang patut dibuat” Hairul Ehsan menyemak satu persatu kertas cadangan dari RGH Holdings.

“Kalau You boleh buat, banyak lagi projek yang akan menyusul” Sambung Dato’ Mokhtar lagi. Kali ini dia tersenyum melihat keterujaan Hairul Ehsan terhadap kertas cadangannya.

“Dato’ pun tahu kan. Company saya pun masih baru. Mungkin ambil masa sikit untuk selesaikan semua ni”

“Just take you time. Kalau diikutkan pun bukannya sekarang RGH nak launch promotion to. Lagi empat bulan.”

“So, bagaimana?. Nak join RGH supplier team tak?” Dato’ Mokhtar terus mengumpan.

“Saya berminat sangat Dato’. Tapi saya perlukan masa untuk meneliti semua ni dulu”

“That’s good. I suka cara you bekerja. Teliti”

“Saya akan buat yang terbaik Dato’. InsyaAllah”Janji Hairul Ehsan.

“Bagus…But I need a favor...Minta you tolong sikit”

“Ya. Apa dato’ nak saya tolong?”

“Tolong tinggalkan CEO Teratak holding”Dato’ meluahkan niat sebenarnya.

Hairul Ehsan terdiam sebentar. Suasana menjadi hening seketika. Dato’ Mokhtar pula membaca mesej yang baru diterimanya.

“Saya tak boleh buat macam tu Dato’. Itu bukan cara saya berbisnis.”

“Dari apa yang I nampak. That the only way you nak naikkan business you ni. That why I gave you the offer”

“Maaf Dato’. Antara saya dan CEO teratak adalah hal personal kami tak ada kaitan dengan perniagaan” sambung Hairul Ehsan lagi. Kali ini jawapannya berbaur perasaan marah. Dia mula menangkap niat sebenar Dato’ Mokhtar berjumpa dengannya.

“Banyak lagi perempuan cantik yang I boleh kenalkan dengan you. You pun apa kurangnya, muka hendsome, ada business. Banyak perempuan muda kat company yang I boleh kenalkan dengan you”

“Saya tak minat semua tu Dato’. Kalau itu yang Dato’ mahukan, saya terpaksa menolak proposal ini”

“Then, You still nak kikis harta Datin Norma tu lah” Dato’ Mokhtar mula bersuara keras. Suaranya boleh didengari oleh pengawal peribadinya di luar dan staff H.E printing yang ada di situ.

Hairul Ehsan segera bangun. Niatnya untuk mencampak proposal ke muka Dato’ Mokhtar terhenti apabila melihat banyak mata yang memandang dari luar cermin kaca.

“Saya terpaksa minta Dato’ keluar dari pejabat saya sekarang!” ucap Hairul Ehsan. Nadanya keras tetapi tidak terlalu kuat.

“Ok. Kalau dah macam tu. I tak nak cari gaduh. But remember, I’ll be watching you. Apa-apa yang jadi pada Norma nanti, I akan cari you” Ugut Dato’ Mokhtar. Pengawal peribadi yang dibawanya turut masuk ke dalam pejabat setelah mendengar arahan dari Hairul Ehsan tadi. Dato’ Mokhtar menahannya dari mengambil apa-apa tindakan. Dia tidak mahu perkara buruk terjadi.

Mereka berdua meninggalkan pejabat H.E printing dengan seribu pertanyaan di kalangan staffnya.



Datin Norma memberhentikan keretanya di petak parking yang paling hujung. Dia mengeluh juga kerana restoran yang dipilih oleh Hairul Ehsan terletak di kawasan yang sibuk. Mujur ada petak yang dikosongkan sebaik dia sampai.

“Lama dah tunggu?” Tegur Datin Norma, melihatkan setengah gelas jus oren telah dihabiskan oleh Hairul Ehsan.

“Baru setengah jam jer. Jem teruk ke tadi” Balas Hairul Ehsan bersahaja. Dia dapat mengagak alasan yang akan diberikan oleh Datin Norma. Yang diterima hanyalah anggukan setuju.

“Apa yang penting sangat ni, Yang. Sampai tak sempat saya nak balik tukar baju dulu”Datin Norma sudah berani menggunakan perkataan “Yang” kepada Hairul Ehsan. Itupun jika berduaan dengan buah hatinya itu. Kalau tidak dia hanya berbahasakan nama atau “I” dan “you” sahaja.

“Dato’ Mokhtar datang pejabat saya pagi tadi. Buat kacau sikit” Cerita Hairul Ehsan.

“Tak sangka pulak sampai ke pejabat dia sanggup cari Yang. Sebelum ni memang dia ada cakap nak kenal-kenal macam tu je. Inilah perkara yang I paling tak suka” gumam Datin Norma. Nada suaranya bergabung dengan kemarahan. “ I dengan dia tak ada apa-apa pun. Cuma kawan arwah dulu je”

“Saya harap bab kacau mengacau ni habis pagi tadi sahaja. Tak ada sambung-sambung dah. Penat kalau nak layan perkara macam ni”

“ Perkara macam ni pun dah stress nampak. Dah tu macammana nak jaga rumahtangga nanti” Datin Norma sempat menguji.

“ Itu lain. Ini hal lain. Saya tak suka bermusuhan dengan orang”

“Yang penting, bukan kita yang mulakan permusuhan. Apa yang orang nak buat, kita tak mampu nak halang” Ulas Datin Norma.

“Satu sahaja yang saya yakin dapat selesaikan perkara ini dari berulang. Kita nikah sahaja Norma” Hairul Ehsan sendiri telah menghilangkan perkataan “Datin” dari ungkapan lamarannya ini.

Datin Norma menghabiskan minuman yang ada dihadapannya. Mulutnya belum mampu untuk memberi apa-apa keputusan.

“Dengar tak apa yang saya cakapkan tadi?”

Datin Norma hanya mengangguk.

“Dah fikir masak-masak?” Soalnya kembali.

Hanya keluhan terdengar dari Hairul Ehsan. Dia sendiri belum pasti apa yang diutarakannya itu baik atau tidak. Tangannya mula menggaru kepala yang tidak gatal.

“Mula-mula kita nak mainkan perasaan orang, akhirnya perasaan kita pula yang kena main. I pun tak sangka hubungan ni boleh sampai ke tahap ni.” Keluh Datin Norma.

Hairul Ehsan menelan air liur sebelum meneruskan percakapan.

“Saya ikhlas suka dan sayangkan Norma. ”

Ayat-ayat poyo Hairul Ehsan menguntum senyum di bibir Datin Norma. Dia yakin bahawa apa yang sebenarnya terbuku dihati Hairul Ehsan lebih besar lagi. Dia sendiri merasa serba salah dengan keputusan yang bakal dibuat. Sebelum apa-apa janji dibuat, dia akan merujuk kepada dua individu yang paling penting dalam hidupnya, Hezrul Ariff dan Lily Farhana.

“Oklah Yang, Saya kena pergi sekarang. Kita akan cakap hal ni bila You dah benar-benar yakin dan I benar-benar sedia. Take care”

Datin Norma menghabiskan minumannya sebelum meninggalkan Hairul Ehsan yang dalam kebingungan.



Hairul Ehsan merayau di sekitar kafe mencari kelibat Lily Farhana. Dia tahu yang rakannya itu tidak akan menjawab jika dia yang menelefon. Apa yang berlaku diantara dia dan Ibu Lily Farhana telah menjadi jurang dalam persahabatan mereka.

Kelibat gadis manis itu dikesan berada di kedai buku berhampiran. Hairul Ehsan bergegas ke sana sebelum bertembung dengan Damian.

“Nak kemana Bro, kelam kabut nampaknya?”

“Nampak Lily tak, ada hal sikit aku nak sembang dengan dia” Ujar Hairul Ehsan.

“Dia dekat kedai Fotostat sana” Damian menunjukkan arah.”Selesai hal sini nanti,aku ke sana”

“So, my future father, apa yang ayahanda mahu” Lily Farhana mengejek. Semenjak ibunya mengaku yang hubungannya semakin akrab dengan pemuda ini. Dia mulai rasa menyampah. Walaupun semua perkara yang berlaku berpunca dari dirinya.

“Jangan cakap macam tu, Please. Saya cari Lily pun sebab mahukan kepastian. Boleh atau tidak saya nak meminang Mama Lily?”

Lily Farhana cuba mengelak dari memberikan jawapan. Dia sendiri masih buntu untuk memikirkan hal yang berlaku di dalam keluarganya. Asal sahaja perkara melibatkan mamanya, dia akan mendiamkan diri. Biarlah ibunya sahaja yang memberikan kata putus.

“Kenapa ni?” Tanya Damian sebaik melihat riak wajah Lily Farhana. Hairul Ehsan masih berdiri menunggu jawapan.

“Jom balik”



Suasana di dapur agak sibuk. Ada beberapa juadah telah disiapkan dan sedia untuk dihidangkan. Datin Norma telah mengupah seorang chef professional untuk membantu menyiapkan hidangan makan malam. Set makan malam yang dipilihnya terdiri daripada hidangan masakan melayu. Dua orang pembantu rumahnya pula ditugaskan untuk membersihkan rumah dan membantu apa yang perlu.

Malam ini adalah malam yang penting bagi Puan Norma. Pertamanya kerana anak sulungnya Hezrul Ariff, pulang bercuti ke Malaysia. Dan yang keduanya, dia telah menjemput Hairul Ehsan pertama kali berkunjung ke rumahnya. Dia teruja untuk menyediakan hidangan malam yang menjadi pilihan anak lelakinya. Hezrul Ariff telah beberapa kali menceritakan tentang rindunya kepada masakan kampung. Selain itu, selera Hairul Ehsan pula memang tertumpu kepada jenis masakan tersebut. Oleh kerana dia sudah lama tidak memasak, Chef Ramli yang merupakan pakar masakan kampung di sebuah hotel telah diupah untuk menjadi tukang masak mereka seketika.

Kawan-kawan rapat Datin Norma turut diundang selain jiran-jiran yang berdekatan.

“Hai, anak dara baru nampak muka?” tegur Puan Norma sebaik melihat Lily Farhana di pintu dapur. “Tak bolehkan tolong-tolong sikit di dapur ni?”

“Dah penuh dapur ni Mama. Ramai dah assistant Chef Ramli tu. Lily tak nak ganggu kerja-kerja kat dapur ni. Mama pun tahu kan, skill Lily ni takat mana jer” Jawab Lily Farhana sambil meneguk jus oren dari bekasnya.

“Kalau ye pun macam tu. Jenguk-jenguklah kat dapur ni. Takkan nak buat hal sendiri jer” sambung Datin Norma lagi.

“Mama ni, memang suka sindir Lily kan. Kalau Abang tu, buat apa pun tak salah”

“Ai..abang kamu tu baru jer sampai. Bagi dia rehat. Nanti kita makanlah sama-sama”

“Yang mama masak banyak-banyak ni, nak buat kenduri ke nak makan malam untuk kita jer?”

“Untuk kita jer. Cuma Mama masak banyak untuk abang kamu. Dia rindu sangat kat masakan kampung ni.”

“Kalau tengok ni, dah boleh panggil orang masjid join sekali ni. Lagipun abang bukannya nak balik esok. Seminggu lagi dia kat sini kan”

“Mama jemput Hairul Ehsan makan sekali dengan kita”

“Patutlah, Ada tetamu istimewa lain rupanya.” Lily Farhana seakan mengejek. Dia ke sinki untuk membasuh gelas minumannya.

“Kamu pun boleh ajak Damian kalau mahu”

Lily Farhana berhenti sebentar dari membasuh gelasnya. Telinganya dapat menagkap dengan jelas percakapan Mamanya. Cuma dia kurang yakin.

“Betul ke Mama nak ajak Damian sekali?” soal Lily Farhana mahukan kepastian.

“Iya. Mama pun nak kenal dengan kawan kamu tu” Balas Puan Norma.”Ajak Shila sekali”

“Kalau begitu, Lily nak beritahu diaorang sekarang..” Lily Farhana bergegas ke biliknya untuk menelefon.



Hairul Ehsan sampai awal untuk makan malam di rumah Datin Norma. Dia sempat menjinjit sebungkus buah limau sebagai buah tangan. Itu sahaja yang sempat dibeli sepanjang perjalanannya tadi. Walaupun bertandang ke rumah orang berada, dia masih berpegang kepada adab berkunjung ke rumah orang seperti yang diajarkan oleh ibu dan bapanya. Itu juga antara daya tarikan yang menyebabkan Datin Norma memilih dirinya.

Kelibat Hezrul Ariff yang berbual mesra dan ketawa berpanjang semasa berbual dengan Hairul Ehsan menimbulkan pertanyaan pada Lily Farhana. Seolah-olah mereka berdua memang berkawan rapat. Dia menyangka yang abangnya juga akan turut menentang perhubungan antara Mamanya dan Hairul Ehsan. Nampaknya dia terpaksa bersendirian kali ini. Kedatangan Damian dengan sejambak bunga sedikit sebanyak menghakis rasa tidak puas hati yang berbuku dihatinya.

Datin Norma segaja memilih pakaian dari rona merah hati, warna kegemaran Hairul Ehsan. Dan dari tadi juga mata si jejaka itu sentiasa mengekori geraknya yang sibuk mengatur persediaan makan.

Semua yang hadir dijemput oleh D atin Norma untuk ke meja makan. Hidangan selera kampung yang disediakan membuat semua orang tidak sabar-sabar untuk menjamah.

“Sedap masakan malam ni” Puji Shila sambil menjamah pengat pisang yang disediakan. Puas dia mengatur susunan menunya sendiri memandangkan semua makanan tersedia di depan mata. Hezrul Ariff pula sememangnya begitu berselera. Dia masih lagi makan walaupun semua orang sudah mula berhenti. Seolah-olah melepaskan rindu dendam pada masakan kampung.



“Assalamualaiakum semua” Datin Norma memulakan ucapannya sebaik melihat semua orang sudah habis makan. Cuma ada diantara mereka yang masih menikmati pencuci mulut.

“terima kasih kerana sudi datang ke majlis makan malam yang tak seberapa ini. Majlis ini pun dirancang secara tergesa-gesa bagi menyambut kepulangan anak sulung saya, Hezrul.”

“Yang ada di sini pun hanyalah teman-teman rapat saya dan kawan-kawan anak saya.” Dia berhenti sebentar sebelum menyambung.

“Saya berharap semua berpuas hati dengan hidangan malam ni. Terima kasih banyak-banyak kepada Chef Ramli yang sudi menyediakan hidangan. Malam ni pun dia tak sempat nak hadir. Ada catering lagi yang di kena handle”. Cakap-cakap dari jauh banyak yang memuji hidangan yang disediakan.

“Ada lagi satu perkara penting yang saya nak kongsikan”

Lily Farhana bersedia untuk menahan telinga dari mendengar pengumuman dari ibunya. Dia memang menjangkakan yang ibunya akan memperkenalkan Hairul Ehsan kepada semua yang hadir.

“ Untuk pengetahuan semua, Ramadhan dan hari Raya tahun ini saya tidak akan berada di rumah. Saya ingin menyambutnya di Tanah Suci Mekah. “ Umum Datin Norma, disambut dengan perasaan yang berbaur di kalangan mereka yang berada di disitu. Hezrul dan Lily memang terkejut dengan pengumuman tersebut.

“ Oleh itu di kesempatan yang ada ini saya ingin memohon ampun dan maaf sekiranya ada kesilapan yang telah saya lakukan. Sekian terima kasih.” Datin Norma mengakhiri ucapannya.

Hairul Ehsan hanya tersenyum. Dia juga menjangkakan ada pengumuman tentang dirinya tetapi telahannya tidak menjadi. Ada bayangan kekecewaan dalam hatinya.



Damian pula memberanikan diri berbual dengan Datin Norma. Tenyata dia berjaya membuatkan ibu teman wanitanya itu tersenyum. Tujuannya adalah untuk mendapatkan keizinan untuk terus berkawan dengan Lily Farhana.

“Mama boleh benarkan kamu berkawan dengan Lily. Bukan Mama tak tahu pun yang kamu memang rapat selama ini. Cuma Mama mahu kamu tahu batas-batas pergaulan. Dan jangan sesekali malukan Mama” Nasihat Datin Norma yang membahasakan dirinya mama. Lily Farhana dan Shila hanya memerhatikan dari jauh.

“InsyaAllah Mama” Janji Damian.

“Dan kalau kamu berminat, boleh ikut Mama ke Mekah sekali. Memang Lily dan Hezrul Mama akan bawa.”

“Nanti saya fikirkan” Ucap Damian seraya meminta diri untuk berbual dengan Lily Farhana dan Shila.



“Saya orang terakhir yang Datin nak ajak berbual” perli Hairul Ehsan sebaik Datin Norma menghampirinya. Sengaja dia berada di satu sudut yang agak jauh dari orang ramai.

“Kenapa? Cemburu ke?” Balas Datin Norma sambil menghulurkan minuman.

“Tak takut ke dengan kawan-kawan dan anak-anak Nampak?” tembak Hairul Ehsan lagi sambil menyambut minuman.

“Tak kisah ke kalau Lily dan Hezrul panggil papa dan kawan-kawan I panggil pakcik” Datin Norma masih belum mengalah.

“Takkan sampai ke situ punya. Orang dah tak sudi dengan kita”

Datin Norma tersenyum. Apa yang dipakai oleh Hairul Ehsan pada malam ni sememangnya pakaian kegemaran arwah suaminya.

“Boleh tak you berhenti dari menjadi saka suami I dulu” soalan serius mula menjengah Hairul Ehsan.

“Sepanjang kita berkawan, I nampak you memang nak jadi macam Dato’ Suhaimi”

“Saya tak mungkin rapat dengan datin kalau saya tak jadi macam ni” Jelas Hairul Ehsan.

“Yes. Mula-mula dulu memang I teruja melihat balik personality suami itu tu datang semula dalam hidup I. Tapi bila difikirkan balik, semua ni macam lakonan sahaja. Better you jadi Hairul Ehsan yang sebenar”

Hairul Ehsan terdiam sebentar.

“Macammana you boleh kenal sangat dengan late husband I tu?”

“Hezrul yang bagi Diari arwah kepada saya. Dia sendiri yang minta saya tolong jagakan datin”

“Dua beradik ni memang sekepala.” Ulas Datin Norma. Dia masih lagi tersenyum.

“Soalan saya hari tu masih lagi belum berjawab. Apa status kita sekarang ini?”

“Macam I umumkan tadi. Kita semua akan bercuti di Mekah. Di sana nanti, I cadang nak buat isthikarah di Jabal Rahmah, masjid Nabawai dan tempat-tempat mustajab yang lain. You pun sama-sama buat. Then baru I bagi keputusan.”

“Saya nak kena juga ikut ke?”

“Kalau dah sayang. Kemana pun sanggup kan…YANG?” Datin Norma pula memerli.

Hairul Ehsan hanya menggaru kepala!

“In Sha Allah” Ulasnya penuh berharap.



”Semoga aku beroleh kasih sepertinya Siti Khadijah”doanya didalam hati.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.