Pawang Masnawi berdiri
diatas rakit di tengah-tengah sungai. Sebatang buluh dipacak ke dalam sungai
bagi mengelak rakit itu dari hanyut. Dari senja tadi dia bertafakur, hingga ke
saat ini matanya belum dibuka. Mulut pawang buaya itu masih terkumat-kamit melafaz
mentera. Orang-orang kampung Sedeli Hilir beramai-ramai berkerumun di kiri dan
kanan tebing sungai untuk melihat apa yang berlaku.
“Huarghhh!!!” Pawang
Masnawi menepuk air sungai. Tangan kirinya menabur bertih ke dalam sungai.
Orang ramai menjerit-jerit
melihat pusaran air yang muncul secara tiba-tiba berhampiran rakit. Seekor
buaya sebesar kerbau dewasa muncul dari pusaran air itu menuju kearah rakit.
Di kiri dan kanan
tebing, ada orang yang sudah bertempiaran lari. Cuma dua tiga orang yang berani
masih menunggu untuk melihat aksi pawang buaya itu.
Buaya yang tiba itu
mengangakan mulut seluas-luasnya sebaik kepalanya mencecah hujung rakit. Pawang
Masnawi menepuk-nepuk pangkal hidung buaya gergasi itu.
“Aku tahu, bukan kau
atau anak cucu kau yang punya angkara. Ada yang lain yang mahu mencabar aku dan
orang kampung. Sekejap lagi pasti dia muncul. Dia pasti tidak tahan bisa keli
dan air liur labi-labi yang aku kirimkan tadi" Ujar Pawang Masnawi.
Buaya gergasi itu
mengundurkan badannya ke tempat air berpusar tadi. Perlahan-lahan tubuhnya
menyelam ke dasar sungai dan terus tidak kelihatan.
“Berani kau mempermainkan
anak cucu Adam!! Rasakan bisa keli dan air liur labi-labi itu dulu sebelum
ketemu aku" jerkah PawangMasnawi apabila ternampak kelibat berwarna putih
meliuk dan berpusing-pusing sekitar rakit. Makhluk bermuka ikan itu semakin
jelas kelihatan sebaik ia berenang-renang di permukaan air.
“Siapa kau dan kenapa
kau menyerang dan membunuh anak cucu kami" Suara Pawang Masnawi bagaikan
halilintar memecah bumi. Herdikan itu boleh didengari hingga ke hujung kampung.
“Siapa tuanmu wahai Puteri
Ayer. Ikan jadi-jadian puaka dan pembunuh.” Seru Pawang Masnawi lagi.
Pergerakan makhluk yang
dipanggil Puteri Ayer berenang, semakin lama semakin lemah. Akhirnya dia
berhenti keletihan di sisi rakit. Pawang Masnawi mencekak rambut makhluk itu
sebelum menariknya keatas rakit. Makhluk yang bertubuh seakan jeli itu membuka mulutnya
untuk menunjukkan giginya yang runcing seakan ikan pirana. Matanya berwarna hitam
dengan mulut dan hidung seakan ikan haruan terkumat kamit meminta nafas.
“Kau tahu membunuh
manusia itu haram bagi makhluk seperti kau, tapi kau buat jugak. Di mana kau
sorokkan mereka!!!!" Marah Pawang Masnawi. Kepala makhluk itu dihenyak
dengan tumit kaki kanannya. Berdecit bunyi makhluk itu dengan darah yang
meleleh dari mulut dan insangnya.
“Aku menuntut kau
memulangkan nyawa-nyawa dan jasad-jasad yang kau dah ambil!”Marah Pawang
Masnawi.Dia tahu tuntutan itu tidak berasas, tapi dia lontarkan jua untuk
memuaskan diri sambil menyeksa makhluk itu. Akhir sekali pasti dia akan menikam
Puteri Ayer itu dengan keris pusaka di pinggangnya.Dia mahu orang kampung
menjadi saksi kehebatan dia sebagai seorang pawang.
Orang ramai di tebing
sudah berani bersorak. Ada yang mulai membaling batu dan kayu kearah makhluk
itu. Mereka yang kehilangan ahli keluarga di sungai itu pula kembali ke tebing
sungai dengan membawa senjata. Mereka turut teruja untuk membalas dendam atas
kematian orang tersayang.
Bunuh!..bunuh!..
Jerit suara orang
ramai, hampir serentak. Jamung dan pelita yang dibawa dijulang sebaik mereka
mengungkap perkataan itu. Suasana seakan pesta di sungai itu.
Seorang lelaki tua bersama
cucunya turut memerhati dari tadi. Orang tua itu sekadar menggeleng kepala
melihat apa yang berlaku.
“ Bodoh kesemuanya. Makhluk
sungai itu tidak layak dilayan sebegitu. Ini semua aksi mahu menunjukkan
kehebatan diri semata-mata. Belum tentu yang disiksa itu pembunuh sebenar"
Komen lelaki tua itu. Dia kemudiannya menghela nafas panjang.
“Atuk, Wahi nak ke
tebing sungai boleh!, nak tengok dekat-dekat sikit" Pinta anak kecil itu.
Orang tua itu menepuk
belakang bahu anak kecil itu.
“Wahi tak boleh ke
sana. Tak selamat. Apa-apa pun boleh berlaku malam ni"
Wahi menjuih bibir
mendengarkan arahan datuknya. Dia terkilan kerana tidak boleh turut serta.
Sudah hampir setahun mereka berpindah ke atas bukit itu, sejak datuknya
dipulaukan orang kampung kerana menentang perbuatan mereka yang dikatakan bertentangan
dengan agama. Budaya jamu-menjamu makhluk halus boleh menyebabkan syirik.
Bunyi deruan air jelas
kedengaran dari atas bukit. Wafi berlari ke arah Atuknya.
“Huh! Kepala air dah
sampai ke sini. Sekejap lagi semua orang si bawah tu dirempuhnya. Dah tak
sempat aku nak beri amaran pada mereka semua!" Jerit orang tua itu.
Pawang Masnawi masih
belum puas. Orang kampung di tebing pun masih mahu melihat aksi yang
seterusnya. Makhluk yang ditakuti orang kampung kini menjadi mainannya sahaja.
Niat Pawang Masnawi
terbantut sebaik mendengar deruan air yang sangat kuat menuju kearahnya. Tubuhnya
tergamam melihat gulungan air setinggi pohon kelapa muncul dari arah hulu
sungai.
Kepala air pucuk nyiur!!!..kepala
air pucuk nyiur!!!!
Jerit mereka yang nampak
gelombang air itu. Mana yang nampak berlari ke arah tempat yang lebih tinggi. Gelombang
air itu membawa sekali semua benda yang berada di laluannya seperti tsunami.
Pawang Masnawi yang
terjun dari rakit untuk menyelamatkan diri, namun dirinya digulung sekali dalam
pusaran air itu.
Puteri Air yang
disiksanya tadi tiba-tiba kembali segar. Ia membuka mulut seluas-luasnya sebelum
membaham kepala Pawang buaya yang tercungap-cungap kelemasan itu. Makhluk air
itu kemudiannya berenang melawan arus dan hilang entah ke mana. Jasad Pawang
Masnawi tanpa kepala itu pula, bergulung-gulung bersama-sama dengan sampah
sarap yang dikutip oleh gelombang tersebut.
Orang-orang kampung di
tepi tebing, yang lambat melarikan diri turut diseret masuk oleh gelombang air
itu. Teriak tangis kedengaran di merata-rata, terutama suara orang mencari ahli
keluarga yang hilang.
“Innalillahiwainnailaihirajiun"
Ucap orang tua di atas bukit. Dia menggeleng kepala menyaksikan azab yang baru
terjadi. Esok pasti akan jadi hari yang paling memilukan bagi semua.
Penghulu Zaaba
memerhatikan barisan mayat tragedi malam semalam yang tersusun panjang. Semua
mayat dikutip selepas kejadian semalam di sekitar tebingan sungai. Air yang
melimpah tinggi semalam turut menghanyutkan sampan orang-orang kampung. Dua
tiga sampan yang terikat kukuh sahaja masih kelihatan.
Lebih lapan orang yang menjadi korban,
termasuk Pawang Masnawi. Tiga yang lain masih lagi hilang.
Ramai orang-orang
kampung yang berendam air mata. Orang-orang lelaki pula takut untuk kemana-mana
menerusi sungai. Sungai yang merupakan tempat mereka mencari rezeki dan
berulang alik, kini menjadi ancaman pula. Mereka bimbang akan menjadi mangsa
yang seterusnya.
“Apa kita nak buat
Tok?” Tanya seorang penduduk kepada ketua kampung.
“Aku pun dah buntu
sebenarnya. Pawang Masnawi yang paling aku harap-harapkan pun sudah
kecundang" Ujar Penghulu Zaaba. Wajahnya membayangkan kerisauan yang
berpanjangan.
“Takkan tak ada ikhtiar
lain tok. Mati kering kami nanti kalau tak ke sungai. Apa yang nak kami suap ke
mulut anak-anak kami. Sampai bila kami nak menunggu" Luah seorang lagi
pula.
Penghulu Zaaba
menggaru-garu kepala. Dia tahu untung nasib penduduk kampung ini diatas keputusannya
nanti.
“Lutfi, kamu cari dua
orang kawan, dan pergi ke bukit. Bawa balik Haji Noh kemari" Perintah Penghulu
Zaaba.
Haji Noh bersalaman
dengan orang-orang kampung di sepanjang laluan. Dua tiga orang sempat
memeluknya.
Penghulu Zaaba
menjemputnya ke anjung rumah. Jauh dari orang ramai.
“Kau mungkin sedang
ketawakan aku di dalam hati. Padan muka aku dengan apa yang berlaku sekarang ni
kan.?” Keras sekali jenaka Penghulu Zaaba. Wajah Haji Noh dipandang sinis.
“Yang sudah tu sudahlah
bang. Aku dah tua. Tak elok untukkita bercakaran sekarang. Jenazah-jenazah di
masjid tu sudah lama menunggu untuk dikebumikan. Patut sangat kita
percepatkan.” Tegas Haji Noh.
“ Tu aku tahu….
Sekarang ni masaalahnya, semua orang takut ke sungai. Macammana kita nak ke
kubur di seberang sana?. Mayat pun banyak untuk dibawa.”
“Itu aku pun nampak
bang. Macam ni lah. Kita ajak orang kampung ramai-ramai, gotong royong gali
kubur besar. Kita kuburkan semua dalam satu lahad" jelas Haji Noh.
“Macammana kalau ada
yang bantah. Nak kuburkan asing-asing"
“Tahulah aku uruskan
nanti. Sementara semua takut untuk ke sungai dan jenazah pun banyak, aku rasa
lebih baik kita kuburkan di kawasan kubur lama belakang surau kita tu sahaja.
Dekat pun dekat. Tak susah sangat orang kampung nak bawa jenazah"
“Hurmmm…Aku tak bantah
cadangan abang. Kejap lagi aku sampaikan pada mereka….Cuma, macam mana kita nak
yakinkan semua orang untuk gunakan sungai macam selalu. ‘Benda’ kita takutkan tu
pun masih bebas.”
“Kalau nak yakinkan
orang kampung yang sungai tu selamat, kita kena tangkap ‘benda’ tu"
“Yang handal macam
Masnawi pun tewas. Siapa yang kita nak harap kali ini?”
“Tuhan kan ada bang.
Kita sama-sama fikirkan ikhtiar yang sesuai.” Jawab Haji Noh tenang. Dia
bergegas ke masjid untuk menyertai orang kampung menguruskan mayat.
Usai menguruskan mayat,
Penghulu Zaaba mengumpulkan orang-orang kampung untuk bermesyuarat.
“ Hari ni kita adakan kenduri
arwah untuk semua. Aku akan keluar belanja. Seekor lembu aku juga akan aku
tumbangkan. Kita akan buat gotong royong kenduri macam selalu. Oleh sebab ramai
yang masih bimbang untuk ke sungai, tak payah kita ke pekan beli barang. Apa
barang yang ada sahaja kita masak.” Perintah Penghulu Zaaba.
Semua yang ada akur
tanpa sebarang bantahan. Ringan sikit beban mereka dalam urusan tersebut.
“Haji Noh akan tolong
selesaikan makhluk yang mengganggu kita sekarang ini" Beritahu Penghulu
Zaaba lagi. Haji Noh pula yang mengambil alih sesi mesyuarat yang seterusnya.
“ Benda yang kamu cari
tu bukan yang Pawang Masnawi tu tangkap. Puteri Ayer tu tak kacau siapa-siapa, dia
terikut siluman buaya tu sampai ke sungai kita. Kalau dah disiksa macam semalam,
siapa yang tak mengamuk!. Kalau buaya tu balik ke tempat asal dia, dia akan
ikut ke sana" Jelas Haji Noh.
“ Habis, apa benda yang
sebenarnya yang serang dan sembunyikan tiga orang kampung kita baru-baru ni? Di
mana pulak kita nak cari mayat mereka semua.?” Tanya lelaki berjambang yang
paling hadapan, Ghani. Dia adalah orang kanan Pawang Masnawi.
“’benda’ yang kau
maksudkan sebenarnya masih bebas. Aku dah kenalpasti tempat sembunyinya. Cuma,
untuk menangkap benda tu kita kena bertindak di sebelah malam. Waktu dimana
benda itu betul-betul berada di sarangnya…. Dan aku nak, lima orang yang betul-betul berani dan gagah, sama-sama
ikut aku malam ni. Kita akan cari mayat-mayat tu malam nanti….Lepas solat
isyak, kita sama-sama ke sungai" Ungkap. Haji Noh.
“Haji yakin ke benda tu
yang buat. Kami tak mahu hal semalam terjadi lagi" Bentak Ghani. Yang lain
seakan bersetuju dengan kenyataan itu.
“Itulah sebabnya, aku
nak bawa lima orang dari kamu, tengok sendiri benda tu. Tapi benda ni bukan
untuk tontonan semua orang,…lima orang sahaja yang boleh ikut. Dan aku tak nak orang
yang penakut, ikut sekali" Jelas Haji Noh. Dia sempat menjeling ke arah
penghulu Zaaba.
Penghulu Zaaba pula hanya
berdiam diri di belakang. Semua urusan berkaitan sungai diserah bulat-bulat
kepada Haji Noh.
Haji Noh memeriksa
barang-barang yang mahu dibawa bersama malam ini. Sauh kecil, segulung tali,
kemenyan, minyak tanah, pemetik api, pisau, parang, garam dan lampu suluh.
“Wafi nak ikut atuk
boleh tak?” Cucu Haji Noh berdiri di pintu, telah siap sedia untuk ikut serta.
“Wafi tak cukup umur
lagi nak ikut atuk. Kalau Wafi dah besar nanti, baru atuk boleh bawa Wafi "
Pujuk Haji Noh. Dia mengusap ubun-ubun cucunya itu. Kanak-kanak itu berlari
masuk ke dalam rumah dan menangis.
Lima orang dewasa yang
mahu bersama-sama Haji Noh mencari ‘benda’ di sungai itu akhirnya sampai.
Mereka diketuai oleh Ghani.
“Apa yang nak kena kami
bawa Haji?” Tanya Ghani bersemangat.
“ Kamu tolong ambil
ayam aku di reban belakang, dalam enam ekor. Buluh sebatang yang aku dah tebang
kat laman rumah tu pun bawak sekali” Pesan Haji Noh. Ghani dan yang lain pun
segera bertindak.
Perjalanan menuruni
bukit dan menyusuri sungai itu tidaklah begitu mencabar. Pemuda-pemuda itu
sudah betah melaui semua halangan itu. Cuma kali ini mereka ingin tahu ke mana
arah yang hendak dituju oleh Haji Noh.
“Alhamdullillah, bulan
penuh malam ni. Senang sikit kerja kita” Ujar Haji Noh. Jamung dan obor
dinyalakan juga bagi membantu penglihatan sepanjang perjalanan.
“Kita nak kemana Haji?”
Tanya pemuda di belakang Ghani. Hasbi namanya.
“Kita ke lubuk
cincang!!”
Mendengar nama lubuk
itu, masing-masing mulai meriding bulu roma. Mereka sudah tahu apa yang
menunggu mereka di situ.
“Malam-malam ni Haji,
tempat tukan lain macam sikit” Rungut
seorang yang lain.
“Aku dah pesan siang
tadi, siapa yang berani sahaja yang ikut, kan” Tingkah Haji Noh membuatkan
pemuda itu terdiam. Yang lain pun berdiam diri. Cuma bunyi ayam yang dibawa dan
unggas malam yang bersahut-sahutan sahaja kedengaran.
Perjalanan ke situ
hanya mengambil masa setengah jam sahaja. Kawasan hutan tebal itu meliputi
kawasan sungai yang menghala ke arah hulu.
“Shhhh….” Pemuda yang
dibelakang sekali berbunyi dengan mata yang memandang ke atas. Yang lain turut
menoleh. Serta merta suasana bertukar menjadi seram. Masing-masing meriding
bulu roma dengan nafas laju ketakutan.
Sekujur tubuh wanita
berambut panjang dan berkain putih teroleng-oleh di atas pucuk ketapang. Rambut
dan kain yang tersarung di tubuh wanita itu terbuai-buai ditiup angin. Cahaya
bulan penuh menampakkan jasad makhluk itu sepenuhnya dengan muka yang bertutup
dengan rambut yang panjang mengurai.
“Jangan menegur apa-apa
yang pelik yang kamu nampak. Jangan nak ganggu tidur ‘tidur’ benda tu” Pesan
Haji Noh. Dia tahu apa yang dilihat oleh mereka semua.
Mereka akhirnya sampai
di tempat yang dituju.Sebuah batu besar di tepi sungai dijadikan penanda lubuk
itu.
“ Baca ayatul Qursi,
Ummul Kitab dan tiga Qul. Niatkan sebagai pendinding diri. Banyak benda yang
kita tak nampak di sini” Tegas Haji Noh. Semua yang ada menurut.
“Aku nak sembelih tiga
ekor ayam dulu, buat umpan untuk benda tu”
Setelah selesai
menyembelih, tiga ekor ayam itu diikatkan pada tali dan digantung pada buluh
yang dibawa tadi.
“Hulurkan tali itu
lebih sedikit. Biar ayam itu terayun-ayun” Pesan Haji Noh sambil mulutnya
meneruskan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai benteng mereka.
Buluh yang terikat
dengan ayam-ayam tadi dihulurkan hingga ke tengah lubuk. Darah kesan sembelihan
tadi menitik-nitik ke permukaan air.
“Kita tunggu dulu!”
Haji Noh menyalakan api rokoknya. Dua tiga orang yang lain pun sama-sama
merokok.
Dasar
lubuk itu tiba-tiba bepusar dan berombak di tengah-tengahnya. Haji Noh dan yang
lainnya menuju ke tebing sungai. Semua yang ada ingin melihat ‘benda’ yang
selama ini menghantui mereka.
Seekor ikan sebesar
anak lembu muncul dari dasar tasik dan menyambar ayam-ayam sembelihan tadi
sebelum berdebur jatuh semula ke dalam tasik.
“Itulah ‘benda’ yang
menyambar orang-orang kampung dan membunuh mereka!. Itu jugak ‘benda’ yang kita
nak tangkap sekejap lagi. Dia masih lapar tu!” Tegas Haji Noh.
“Apa bendanya tu, Haji”
Tanya Ghani.
“ Kalau fizikalnya,
itulah ikan tapah, tapi makhluk ini digelar Seludang Tapah oleh orang
dulu-dulu. Ikan gergasi yang dikatakan datang dari alam lain..”
“Kalau makhluk alam
lain, kenapa boleh sampai ke sungai kita?” Tanya Hasbi pula.
“ Ada sesiapa yang
kerap men’jamu’ benda-benda macam ni kat sungai?” soalan tadi dijawab dengan
pertanyaan oleh Haji Noh. Semua yang ada hanya terdiam.
“Sebenarnya, aku selalu
tolong Pawang Masnawi men’jamu’ setiap malam jumaat. Aku mengaku yang kami
berdualah yang bagi makan pada benda-benda yang macam ni. Selalunya kami akan
bagi ayam-ayam yang dilumurkan darah, bertih dan apa-apa sahaja yang dimimpikan
oleh Pawang Masnawi” Akui Ghani.
“Dah bagi makan, kenapa
masih nak makan orang!!!” Marah yang lain. Jawapan Ghani belum cukup memuaskan.
“ Mula-mula dulu,
mungkin cukup makanan yang diberikan tu. Tapi bila dah banyak yang kemari untuk
makan sama, ada la yang kelaparan sebab tak cukup makan. Dansumber makanan
paling mudah, adalah manusia yang ada di sekeliling sungai. Jamuan yang dibuat
itulah sebenarnya punca banyak makhluk yang pelik-pelik sampai ke sungai kita”
Terang Haji Noh.
“Itulah kau..” Salah
seorang yang datang bersama tadi menggenggam penumbuk untuk dihalakan ke muka
Ghani. Dia antara mereka yang kehilangan ahli keluarga yang diserang Seludang
Tapah tadi.
Eeeeeee…..Eeeeeeeeeeeeeee…
Bunyi mengilai yang
kedengaran dari atas mematikan niatnya. Bunyi ranting dan daun yang ditiup
angin kedengaran dari atas pokok. Aura seram menyelubungi mereka.
“Dia dah
bangun..Hati-hati” Pesan Haji Noh melihatkan kelibat putih yang melayang-layang
antara pokok. Suasana seram sangat terasa. Mungkin bunyi deburan air yang kuat
semasa Seludang Tapah itu muncul mengejutkannya.
“Kita teruskan apa yang
nak dibuat tadi. Jangan pedulikan sangat langsuir tu. Kalau dia ganggu nanti,
baru kita halau” Ujar Haji Noh lagi. Dia tahu mereka semua mulai merasa takut.
Haji Noh menyembelih
pula baki tiga ekor ayam yang masih ada tadi. Bunyi ayam yang disembelih
menarik langsuir yang berlegar-legar, tadi untuk bertenggek diatas dahan pohon jejawi
berdekatan. Matanya yang merah merenung tepat ke arah ayam-ayam yang sedang
menggelepar disembelih.
“Dia macam nak ambik ayam tu je, Haji” Ghani nampak
cemas.
“Dia takkan ke sini
kalau nampak kamu.”
Kali ini cara umpan
dipasang telah diubah. Ayam-ayam tadi dilekatkan pada mata sauh yang dibawa. Kemudiannya
diikatkan pada tali yang dihulurkan pada dahan pokok jejawi yang terjulur
hingga ke tengah lubuk. Mata sauh dengan ayam yang terikat tadi dihulurkan ke
bawah dari dahan pokok. Umpan tersebut hanya menunggu untuk disambar oleh
Seludang Tapah tadi.
“ Harap-harap menjadi”
Doa Haji Noh di dalam hati. Matanya tidak lepas dari memandang kearah umpan
yang baru dipasang tadi.
Ngeeeeeeeeeee…………….
Suara hilaian langsuir
tadi semakin menjadi-jadi dan menakutkan. Mereka perlu berhati-hati terhadap
makhluk yang masih menumpang pada dahan jejawi itu.
Eeeeeeeeeee…….Blushhh..
Langsuir itu melompat
ke arah dahan yang mengandungi umpan tadi. Kukunya yang tajam mencengkam dahan
pohon semasa dia merangkak ke arah ayam-ayam yang masih menitiskan darah.
Langsuir yang kelaparan itu kelihatan mahu menghabiskan umpan yang disediakan
itu.
“Macammana ni haji.
Yang tu pun nak makan umpan kita.”
Haji Noh tidak bercakap
banyak. Dia berjalan ke tebingan sungai dan mengumpul ketulan batu-batu
sederhana besar. Batu-batu yang dikutip itu disusun menjadi dapur kecil. Ketulan-ketulan
kemeyan dimasukkan ke situ dan dinyalakan.
Bau kemenyan mulai
menguasai persekitaran di situ. Rasa takut dan seram semakin bertambah-tambah.
Masing-masing membatukan hati dari melayan perasaan takut memandangkan semua
yang ditakuti betul-betul berada di hadapan mata.
Langsuir itu teroleng-oleng
di dahan jejawi tadi sambil menjilat-jilat darah pada bulu-bulu ayam. Ia
tiba-tiba berkalih ke arah kemenyan yang dibakar tadi. Bau kemenyan telah
menarik perhatiannya. Ketika inilah mukanya yang seakan terbakar itu dapat
dilihat dengan jelas. Wajah yang penuh dengan kesan terbakar itu menakutkan
semua yang ada. Gigi taringnya pula, jelas kelihatan sebaik ianya berdengus
untuk menyedut asap kemenyan yang semerbak baunya itu. Tarikan bau itu bagaikan
dadah yang menyebabkan langsuir itu melompat dari pohon jejawi, ke atas batu di
tebingan sungai itu. Kepalanya direndahkan ke arah kemenyan yang dibakar tadi
untuk menyedut sepenuhnya asap dari situ.
Ngeeeee….
Laungan dari langsuir
yang sayu dan hiba itu menguasai suasana. Semua mata yang ada terarah untuk
melihat reaksi Langsuir itu yang seterusnya. Umpan yang dipasang dilupakan
sekejap.
Blushhh…hhhhh
Bagaikan ulang tayang,
Seludang Tapah muncul dengan gerakan yang sama semasa membaham ayam-ayam tadi.
Cuma kali ini bukan ayam sahaja yang tersedia, tapi cangkuk sauh yang mampu
merobek mulutnya.
Krakkk!!!
Dahan jejawi yang
diikat tali tadi menjadi sekah, hampir sahaja patah. Seludang Tapah mengelupur
dengan mulut yang berdarah tercucuk cangkuk sauh. Makhluk itu menyebabkan pohon
jejawi itu bergoyang-goyang bagi ditiup angin.
“Huh..mujur lekat..lekas”
Jerit Ghani. Dia dan lainnya bergerak ke arah pohon jejawi. Semua mahu melihat
tangkapan yang melekat di tali itu.
Huarghhhh!!!!!
Langsuir yang tadinya
asyik menghidu kemenyan mulai berubah arah. Darah dari muncung Seludang Tapah
yang berjejeran,, sukar untuk diabaikan. Rasa laparnya menyebabkan dia melompat
semula keatas pohon jejawi.
He..hee..he…eee
Kini barulah langsuir
itu menunjukkan sifat agresifnya. Kukunya yang panjang dan wajahnya yang
menyeramkan dipamerkan untuk menakutkan semua yang ada. Dahan tempat dia
bertenggek digoyang-goyangkan.
“Pergiiii, kami tak
mahu kacau kau. Nyah sekarang..” Garam di tangan Haji Noh dilempar kerah
langsuir itu dan ianya bertempik gamat.
Weeee..ee..e..Eeeee…………….
Jeritan langsuir itu
kedengaran bagaikan terkena kesakitan yang amat sangat. Dengan pantas ia
meluncur keatas dan terbang entah ke mana…
“Kita tak banyak masa,
kejap lagi dia mesti balik ke sini, nak balas dendam. Dia mesti ke tepi sungai sekarang,
untuk cuci garam yang aku lemparkan tadi…” Ujar Haji Noh.
“Apa kami nak buat
Haji, senjata pun tak bawak nak bunuh benda celaka ini!!!” Marah Hasbi. Dia
memandang Seludang Tapah yang tergantung dengan penuh dendam.
“Kamu jangan nak ambik tindakan
yang bukan-bukan. Kita tak patut bunuh benda ni, sebab dia ke sini pun atas
kesilapan kita. Jangan sesekali kamu ambil tindakan sendiri!!!”
“Benda tu bunuh adik
saya..Nyawa… kena balas dengan nyawa..” Hasbi masih mahu bertekak.
“Kalau kamu waras, kamu
akan dengar cakap aku. Kalau kamu masih nak ke sungai dengan selamat macam
selalu, ikut apa yang aku suruh. Kalau benda ni mati, banyak lagi yang akan ke
mari. Mereka pun nak membalas dendam jugak, sama halnya macam kamu!!!!”
“ Apa yang kita nak
buat?” tanya Ghani.
“Naikkan dulu dia ke
darat. Aku nak cakap sikit dengan benda tu”
Seludang tapah yang
sebesar anak lembu itu didaratkan ke tebing sungai. Giginya tang tajam jelas
kelihatan apabila dia terkumat-kamit membuka mulut.
Mulut Haji Noh sempat
membacakan sesuatu, sebelum dia menghampiri makhluk itu. Tangannya diletakkan
ke kepala makhluk itu sebaik dia hampir dengannya.
“Aku tahu asal usul
kau..Ikan yang bukan ikan..Seludang yang bukan seludang..separuh hidupmu di air
dan separuh lagi di alam yang lagi satu. Tempatmu bukan di sini. Pulanglah ke
tempat dari mana kamu datang. Dan…semua manusia yang kau simpan di lubuk itu,
kembalikan kepada kami.” Ucap Haji Noh dengan suara yang tegas. Tangannya
mengeluarkan pisau di poket. Duri di sirip kanan Seludang Tapah dipotong.
“Aku ambil bisa kau ini
sebagai amaran. Jangan sekali-kali memburu manusia lagi. Pesanan ini sampaikan
juga kepada kaum dan anak cucu kamu yang lain. Kalau engkar, nyawa kau atau
mereka akan menjadi galang ganti” Sambungnya lantang. Seludang Tapah
mengalirkan cecair di mata seakan sedang menangis.
“Kalau kau dah faham,
bagus. Aku akan minta orang lepaskan kau sekarang” Serentak dengan itu, Haji
Noh meminta mereka mencabut sauh yang terlekat tadi. Tubuh Seludang Tapah
ditolak ke gigi air. Perlahan-lahan makhluk itu mengepakkan sirip dan berenang
ke dasar sungai.
Selang beberapa minit,
mayat-mayat mereka yang hilang tempoh hari muncul ke permukaan lubuk. Ghani
menggunakan buluh untuk menarik mayat-mayat itu ke tepi tebing. Semua
mayat-mayat itu diletakkan di bawah pohon jejawi.
“Kita kena tinggalkan
mayat-mayat itu di sini. Tak mampu kita nak usung kesemuanya sekarang. Lagipun,
semua mayat-mayat tu dah mula mereput” Rafik, antara yang datang bersama tadi
bersuara.
“Takkan nak biar mereka
semua ni jadi makanan langsuir tadi!” Bising Hasbi. Dia menangis tadi sebaik
melihat mayat adiknya muncul. “Aku tetap nak bawa balik mayat Hadi. Biar aku sendiri
usung dia”
“ Ambil tali dan kerat
buluh tu. Buat kayu kandar untuk bawak balik semua mayat. Jangan biar mereka
kena baham sekali lagi. Tapi buat cepat sikit. Langsuir tadi mungkin sampai ke
sini sekejap lagi.” Tegas Haji Noh. Matanya meliar memerhatikan sekeliling. Dia
tidak mahu bertembung dengan langsuir tadi sekali lagi. Bukan mudah untuk
berlawan dengan makhluk yang tengah marah itu nanti.
“Dah siap Haji”
Beritahu Ghani. Empat orang yang ada sudah siap mengusung mayat-mayat itu
dengan kayu kandar yang baru dibuat tadi.
Serentak dengan itu,
bunyi dahan-dahan dipijak dan hilaian nyaring jelas kedengaran.
“Kamu semua cepat bawa
mayat-mayat ini keluar dari sini. Biar aku yang halang langsuir tu” Beritahu
Haji Noh. Dia terpaksa membuat keputusan sebegitu.
Angin mula bertiup
kencang dengan bunyi unggas hutan bersahut-sahutan jelas kedengaran. Susuk
langsuir yang tadinya hanya menumpang di dahan jejawi, kini berdiri betul-betul
berhadapan dengan Haji Noh.
“Aku akan bantu Haji”
Ghani tidak jadi untuk pulang bersama yang lain. Dia rela untuk membantu Haji
Noh walaupun perasaannya ketika ini begitu takut. Tenungan makhluk di
hadapannya itu sahaja, sudah cukup untuk membuat tubuhnya seram sejuk.
“Aku tahu ini kawasan
kamu. Dan aku tahu kami yang menceroboh. Tapi urusan kami sudah selesai dan
kami akan segera beredar dari sini” Ucap Haji Noh.
Makhluk di depannya
menderam agak lama sebelum mengilai.
Eeee….eeeee…
“ Apa yang kita nak
buat Haji?” Ghani sudah berasa sesak nafas.
“ Kita tengok apa
tindakan lawan kita tu. Kalau kasar, kita terpaksa berkasar!”
Huh!..
Langsuir itu melompat
ke hadapan menghampiri Ghani dan Haji Noh. Cakaran kukunya dihalakan ke muka
Haji Noh namun sempat dielak.
“Dah kasar ni!” Haji
Noh mencapai potongan buluh yang berbaki tadi untuk dijadikan senjata.
“ Kamu ke tempat aku
bakar kemenyan tadi. Bakar yang ni” Beberapa butir kemenyan diserahkan kepada
Ghani. Dia segera berlari ke tebing sungai. Haji Noh mahu mengalihkan perhatian
makhluk itu supaya mereka berdua dapat melarikan diri.
Ngeeee…
Langsuir itu sekali
lagi meluru ke arah Haji Noh. Nyata sekali lelaki tu itu merupakan sasaran
utamanya. Serangan kali ini disambut dengan pukulan buluh ke tubuh makhluk itu.
Pukulan yang kuat itu menyebabkan makhluk itu tertunjal ke belakang. Ianya
berdegus marah dan bingkas untuk menyerang semula.
Bau kemenyan yang
dibakar Ghani mulai dapat dihidu. Langsuir tadi mulai kurang senang dengan
perkembangan terbaru itu. Dua tiga kali kepalanya menghala ke tebingan sungai
melihat ke arah datangnya bau itu. Namun dia masih bersedia untuk mencakar Haji
Noh sekali lagi.
Haji Noh menguatkan
pertahanan batinnya dengan bacaan-bacaan ayat pendinding dan rukyah yang pernah
dipelajarinya sebelum ini. Dari jauh, Ghani pun turut terkumat-kamit membaca
sesuatu.
Ngeee…
Serangan kali ketiga
pula berlaku. Kali ini datangnya dari atas. Langsuir itu melayang ke udara
sebelum menghala ke arah Haji Noh. Orang tua itu membuka langkah silat untuk
mengelak. Cuma kali ini buluh tadi dihalakan dari arah yang tajam. Serentak
dengan itu tubuh makhluk yang menyerang itu dirobek buluh runcing. Terkial-kial
makhluk itu mengimbang diri dengan buluh yang tertancap di dada.
“Maafkan aku, terpaksa
berkasar..”
Haji Noh menuju ke arah
Ghani di tebingan sungai. Kali ini langsuir itu terhencot-hencot mengikut dari
belakang. Ghani menghalakan parang yang dipegangnya ke arah langsuit itu.
“Dia dah sakit
tu..jaga-jaga..kita belum tentu selamat” Pesan Haji Noh.
Langsuir yang luka itu
menyedut bau kemenyan dengan penuh bernafsu. Tubuhnya yang lemah tadi kembali
gagah. Rupanya bau kemenyan itu mampu memberikan makhluk itu tenaga tambahan.
Buluh yang tertancap di dadanya ditarik keluar. Kali ini dia akan menyerang lagi
dengan bermati-matian.
Peluh jantan menitis di
dahi Haji Noh. Dia tahu langkah seterusnya akan menjadi sukar. Senjata sudah
tiada lagi di tangannya. Cuma parang di tangan Ghani sahaja yang mampu diharap.
Itu pun kalau dia sempat menikam.
Blushhh…
Air di permukaan lubuk
tiba-tiba berkocak. Seludang Tapah yang tadinya menghilang ke dasar sungai
muncul semula dengan mulut terbuka. Langsuir yang berdiri di tebingan sungai
tadi dibaham di kepala sebelum dia ditarik masuk ke dalam air. Semuanya berlaku
dengan pantas. Jasad Seludang Tapah dan langsuir itu perlahan-lahan hilang
hingga ke dasar tasik.
Ghani pula mulai faham
bagaimana mangsa-mangsa yang sebelum ini diserang.
Haji Noh menarik nafas
lega. Sisa-sisa tenaganya mungkin tidak mampu berlawan lebih lama tadi. Mungkin
Seludang Tapah itu mahu membalas ehsannya. Lagipun duri makhluk lubuk itu masih
tersimpan di poket bajunya.
“Jom balik, dah selesai
tugas kita malam ni” Pinta Haji Noh. Dia menepuk belakang Ghani. Pemuda
berjambang itu mengangguk setuju.
“Datang balik tak Haji
benda tu. Susah kita nanti!”
“Entahlah. Cuma dari
gayanya tadi, aku rasa dia tak datang dah ke sini..kalau datang jugak, kita
akan sama-sama lawan nanti” Ujar Haji Noh penuh semangat.