Home Cerpen Cinta Aduhai Tom!
Aduhai Tom!
Zhar Aruzi Hairi
21/5/2016 06:32:04
3,951
Kategori: Cerpen
Genre: Cinta

Aduhai Tom!

Oleh : Zhar Aruzi Hairi

Suasana selepas rehat masih lagi hingar-bingar. Ada yang masih berjalan ke sana-sini dan ada yang masih berbual-bual kosong. Ramzan dari tadi hanya memerhatikan ke luar jendela. Habis makan di Kantin tadi, dia meronda di kelas sebelah bawah, belakang tandas dan tempat-tempat yang menjadi ‘port’ rakan-rakan yang berpangkat “kacang hantu” merokok. Setakat ini semua ‘area’ ‘clear’ sebelum dia sempat sampai. Tapi bunyi tapak kasut berselerakan berlari jelas kedengaran awal-awal lagi.

Sebagai seorang Ketua Pelajar, dia terpaksa memegang amanah dari rakan-rakan, guru-guru dan ibu bapa. Terutama sekali dalam menjaga disiplin dan tingkahlaku rakan-rakan dan pelajar yang lainnya. Bukan dia teringin sangat pun memegang jawatan yang tertinggi di kalangan pelajar tu, tapi namanya tercalon di kalangan guru-guru. Nak dikatakan sebab pandai pun tidak, sebab aktif sukan pun tidak, rapat dengan guru-guru pun tidak. Dia hanya sederhana dalam serba serbi. Apa yang cikgu-cikgu nampak dalam dirinya pun dia tak tahu.

“Ustaz, Kat sini hang rupanya” Kuchai berhenti mengambil nafas. Dia seolah-olah lepas berlari seratus meter. Ditangannya ada sebuah kotak berbalut kemas dengan kertas berwarna merah. Sekeping kad berwarna warni dilekatkan diatasnya.

“Nah..Ada awek bagi kat hang” Kuchai menghulurkan kotak tersebut sambil tersenyum. Dia menunggu reaksi Ramzan.

“Khusairi..Balik kelas awak !!!!” Suara Cikgu Tina yang menjerit dari belakang memang mengejutkan. Sah sah guna high pitch. Berselerak semua yang masih bersantai-santai mencari tempat duduk masing-masing. Kuchai terkulat-kulat senyum dan perlahan-lahan beredar. Kalau dia masih menunggu mau tercabut telinga dipiat oleh Guru disiplin itu.

Ramzam sempat membelek kotak yang diterima, sebelum diletakkan di bawah meja semula. Dalam kepalanya masih meneka-neka siapa pulak yang memberikan hadiah kali ini. Bukan pertama kali pun, dia menerima hadiah. Setiap perayaan yang melibatkan hadiah, dialah antara yang banyak menerimanya. Terutama sekali sewaktu Valentine day. Sedikit sebanyak tergugat juga gelaran ‘Ustaz Jambu’ yang diberikan rakan-rakan sebaik membaca madah-madah yang tertulis untuknya. Cuma kali ini siapa pulak?

“Terima Kasih kerana menolong saya hari tu. Ikhlas dari Tom”. Ramzan membaca ayat yang tertulis di kad kecil yang disertakan bersama. Mindanya mula menjana imej-imej yang bersakutan dengan ‘Tom’ untuk mengingatkan dirinya siapakah Tom. Tulisan-tulisan Cikgu Tina dipapan hitam dengan suaranya yang lantang langsung tidak mengganggu kepalanya berfikir. Fokusnya bukan lagi untuk mengenal siapakah J.W.W Birch, Tapi Si Tom. Dia juga perasan yang Cikgu Tina dari tadi kerap menjeling ke arahnya.

“Jangan dia tanya aku sudahlah..” doanya didalam hati.

“ Kenapa tolak basikal ni?” Ramzan menyoal sebaik memberhentikan motosikalnya. Gadis hitam manis dihadapannya berpeluh-peluh menolak basikal dengan berbaju sekolah.

“Rantai jatuh. Saya tak ada spana nak pasang balik” Jawab gadis hitam manis itu sambil tersenyum malu-malu. Dia tak menyangka Ketua Murid sekolahnya itu begitu prihatin.

“Bagi saya tengok” Ramzan menongkat motosikal C70nya. Dikeluarkannya bungkusan spana yang tersimpan disebalik tempat duduk. Lengan baju sekolahnya disinsing hingga melepasi siku sebelum duduk bertinggung merapati rantai basikal.

Gadis hitam manis menjauhkan sedikit dirinya dari basikalnya. Beg sekolah dan kotak berisi sayur ditempat duduk belakang dijinjing bersama. Dia memerhatikan sahaja Ketua Murid sekolah itu memasang semula rantai basikal yang jatuh.

“Mana kawan-kawan yang lain?” tanya Ramzan sambil memegang sepana. Lagaknya selaku seorang mekanik.

“Semua dah balik awal-awal lagi. Saya memang selalu balik lambat”Jelas gadis hitam manis itu. Dia sempat mengalihkan rambutnya yang terjurai ke belakang.

“Awak ni tingkat berapa? Nama siapa?” Ramzan menyoal lagi, seakan pegawai polis polis pulak. Dahinya mula berpeluh dan jari-jemari kehitaman kerana memulas skru dan memasang semula rantai.

“Saya Tom, budak tingkat tiga Hijrah”

“Anak murid cikgu Sufian la ni?” Balas Ramzan dan Tom hanya mengangguk.

“Kenapa orang panggil Tom?”

“Tu nama arwah nenek saya, Nek Tom. Sebab muka saya iras nenek, jadi sedara mara start panggil nama tu.”

“Gitu ceritanya”

“Dan sebab saya suka makan Tomato. Tom pun singkatan untuk tomato” sambung Tom sambil tersenyum.

“Oklah. Janji kita happy dengan nama tu. Sayur tu buat apa?” Soal Ramzan sebaik melihat beberapa ikatan sawi di dalam kotak yang dipegang Tom.

“Jual kat cikgu dan kawan-kawan. Ayah saya ada kebun sayur” Terang Tom, sedikit gusar.

“Cikgu kamu bagi berniaga ke kat sekolah?” soalan yang ditakuti Tom diluahkan oleh Ramzan.

“Cikgu tak bagi pun. Saya letak dekat makcik Leha Kantin yang tolong jual. Dia pun beli sayur kat saya” Tom membela dirinya dari terus disoal.

“Dah siap pun. Awak dah boleh kayuh macam biasa”

“Terima kasih” ucap Tom bersungguh-sungguh. Ada riak kelegaan diwajahnya. Tangannya sempat menghulurkan sebungkus sawi.

“Maaf la. Saya tak makan sayur” Ramzan menolak dengan baik sambil tersenyum. “saya tolong dengan ikhlas”

Tom terdiam seketika. Jarang sekali orang menolak pemberiannya.

“Nanti saya bagi hadiah lain” Janjinya.


Matahari petang semakin meredup. Cahaya jingga pekat yang masih ada dilangit memberikan satu panorama yang indah. Ramzan sememangnya kagum dengan keindahan sewaktu matahari jatuh. Terbit rasa kesyukuran yang tidak terhingga kepada Maha Pencipta.

Figura orang yang dicarinya belum lagi kelihatan. Namun dia pasti akan berjumpa kalau dia terus menunggu. Basikal biru tua dengan handledibalut dengan juraian tali-tali berwarna merah jambu masih ada. Tempat duduk belakang pula senget sedikit ke kanan. Disebalik kecacatan yang ada, rim basikal itu masih berkilat dan tiada kesan karat.

Ramzan masih duduk diatas motosikalnya. Dia hanya mengangkat tangan sebaik menerima lambaian dari kawan-kawan yang mengajak pulang bersama. Kuchai yang tadinya mahu menumpang motosikalnya pun disuruh pulang bersama rakan yang lain.

Suara nyanyian kecil lagu “Sha Na Na” oleh Amy Mastura kedengaran disebalik tembok. Nada yang seiring dengan rasa gembira seorang gadis yang mengusung sebuah kotak kosong.

“Tom..sini kejap” Suara Ramzan membuat Tom segera berpaling. “ Ada lagi orang yang belum balik” gumamnya. Dia melipat kotak dan mengikatnya pada seat belakang basikal, sebelum berjumpa dengan Ramzan.

“Ada apa Ustaz?” dia sudah berani menggunakan gelaran yang diberikan oleh rakan-rakannya kepada ketua Pelajar itu.

“Terima kasih untuk hadiah yang awak bagi hari tu. Seronok juga dapat main game macam tu” Ramzan memulakan perbualan. Hadiah konsul permainan Game Tetris yang diterimanya itu tidaklah begitu membosankan.

“Mahal game tu. Tentu mak ayah awak tanya” sambungnya lagi.

“Taklah mahal sangat. Lagipun saya ada mintak diskaun. Mak dan ayah saya tak akan tanya sebab saya guna duit sendiri”

“Awak ni memang kaki bisnes. Pandai buat duit”Puji Ramzan.

“Memang hobi saya berniaga. Lagipun memang sunnah Nabi kita.” Jelas Tom bangga.

Ada beberapa pelajar lain yang turut berada di tempat meletak motosikal itu. Mata mereka tidak lepas dari memandang kelibat Ramzan dan Tom yang masih berbual. Ada juga yang berbisik-bisik sambil ketawa.

“Tom. Awak boleh tolong saya tak” Ramzan mulai bersuara serius.

“apa yang boleh saya tolong?”

“Tolong berlakon jadi awek saya”

“Ha..” Tom terkedu. Tak pernah terlintas dalam hatinya ke arah itu.

“sampai habis Form Five jer. Please” Rayu Ramzan lagi.

“ramai lagi budak pompuan yang minatkan Ustaz. Kenapa nak cari saya pulak. Rimaslah”

“Sebab tu la saya minta awak menyamar jadi awek saya. Saya pun tak suka awak. Tapi kita boleh tolong antara satu sama lain..Saya dah tak sanggup terima macam-macam surat dan hadiah lagi dah” jelas Ramzan. “selagi saya solo. Sampai habis sekolah nanti pun ada orang nak try”

Tom hanya tersenyum menerima luahan hati daripada “Ustaz Jambu”. Gelaran yang melekat pada Ramzan kerana mempunyai wajah dan tubuh seakan pelakon filem barat dulu-dulu, James Dean. Cuma di berlidah melayu. Entah mengapa yang dia rasa bertuah pula petang ni. Bibirnya mula melirik senyuman yang seakan mengejek.

“Nak berlakon pun saya tak pandai. Inikan pula nak jadi awek Ustaz”

Slow sikit suara awak tu. Ramai lagi orang kat sini….” Balas Ramzan sambil berpaling kiri dan kanan. Jari telunjukknya dihalakan ke bibir.

“Awak buatlah macam kawan-kawan awak yang ada pakwe tu. Bagi surat ke..bagi hadiah ke?”

“Keluar Datekew..ha.ha..” sambung Tom sambil mengekek ketawa. Dia sudah tidak boleh tahan melihat wajah cuak ketua muridnya. Apalah malangnya ustaz ni sampai terpaksa pilih aku jadi awek dia. Kalau boleh memang dia nak ketawa sampai guling-guling.

Ramzan mulai geram melihat reaksi Tom. Topi keledar yang tersangkut di cermin sisi segera dicapai. Dia mahu segera pulang sebelum ‘plan’nya terbongkar.

“Nanti dulu. Saya boleh ikut. Tapi ada syarat” Tom sempat menghalang. Terkocoh-kocoh Ramzan memberhentikan motosikalnya yang mula bergerak.

“Awak mesti beli dan makan sayur saya”

“Ha..Saya memang tak makan sayur langsung.. Sumpah .. boleh muntah”

“kalau begitu, saya pun tak boleh tolong la..” Tom mengugut.

“Saya janji yang saya akan beli..tapi bab makan tu saya tak janji”

“Makan sekali…tak ada makan … tak ada deal..understand” Tom masih berkeras.

Ramzan terdiam seketika sebelum menjawab. Berfikir seketika tenang masa hadapan. Hmmm…

“Baiklah..the deal is on.Tapi saya pun ada syarat”

“Syarat apa pulak?” Tom pula yang menggaru kepala.

“Awak kena start pakai tudung”

“Laaa…”

“Boleh tak?”

“Insya Allah”

“Janji?” Ramzan pula yang tersenyum.

“Insya Allah”

“Saya akan pastikan tu. Kalau tak saya akan buat report kat cikgu yang awak berniaga di sekolah tanpa permit. Biar kena buang sekolah” Ramzan pula yang mengugut.

“saya janji. Insya Allah”

“Jangan mungkir janji, Tom. Allah tahu” Balas Ramzan pula sambil tersenyum mengejek.


Hari-hari terakhir persekolahan berasa panjang. Ada beberapa orang pelajar perempuan yang menangis. Mana-mana pelajar lelaki yang agak sensitif, akan kerap ke tandas. Mungkin turut menangis.

“Hang sambung belajaq kat mana Ustaz” soal Kuchai. Segaja dibiarkan bajunya keluar mengelebeh. Hari terakhir persekolahan dah tak ada denda, fikirnya. Namun dia segera memasukkan bajunya apabila Ramzan mula merenung tajam. Dia tahu yang Ketua Pelajar itu takkan melepaskan dia walau satu saat pun kalau melanggar undang-undang sekolah. Itu falsafah Ramzan. Memang tepat dia dicalonkan jawatan itu!!

“Aku kena stay dengan Abang aku kat Mesir. Lepas Ayah aku dah tak ada ni. Dia yang tanggung kami semua, termasuk Mak dan adik-adik aku” jawab Ramzan.

“Mesir, Jauh tu..” Kuchai cuba membayangkan peta geografi dunia dalam mindanya.

“Hang dengan Tom macam mana? Dah hijau mulut hang aku tengok, makan sayur dia selalu”Soal Kuchai lagi.

“Hal aku dengan Tom …tak jadi masaalah.. pandai-pandailah kami settlekan sendiri. Lagipun kita semua ni masih muda lagi. Jauh lagi perjalanan hidup”

“Hang ni, sejak makan sayur dah banyak berubah. Dah pandai berfalsafah” Kuchai membalas.

Sohen yang baru datang, melabuhkan punggung di sebelah Ramzan.

“Tom cari hang” katanya sambil menepuk bahu Ramzan.


“Mata merah? Awak menangis?” tegur Ramzan sebaik bertentang mata dengan Tom. Gadis hitam manis itu cantik bergincu merah. Ada solekan nipis di muka walaupun tidak ketara. Hari-hari terakhir persekolahan buat dia lebih berani menonjolkan diri.

“Hmm…” akuinya jujur.

“Takkan dah rindukan saya” ejek Ramzan lagi. Mereka jarang bertemu, kecuali sewaktu membeli sayur. Sesekali dia suka untuk bergurau dengan ‘Girlfriends’nya itu.

“Malaslah nak cakap” Rajuk Tom. Kepalanya ditundukkan dari terus memandang Ramzan. Ada sekeping sampul surat yang dipegangnya dari tadi.

“Sawi awak bagi semalam tu pahit sikit. Tapi saya makan banyak jugak. Kangkung, Karot dan tomato ok. Sedap” Ramzan mengubah topik.

“Sawi tu pahit sebab mama terlebih letak racun serangga la tu” Lancar sahaja Tom menjawab, sebelum tersedar yang Ramzan sudah mengubah topik. Dan sepatutnya terus merajuk.

“Kenapa pergi jauh sangat. Sampai ke Mesir sana” Soal Tom pula. Ada nada sedih dan sebak.

“Itu permintaan arwah ayah saya. Dia nak saya betul-betul jadi Ustaz. Lagipun Abang saya kan bekerja di sana”

“Balik sini lagi tak?”

“Ntah lah. Saya belum rancang apa-apa pun. Mungkin balik juga sebab kubur arwah ayah di sini”

“Nak jumpa saya lagi tak. Kontrak kita pun nak habis hari ini. Lepas ni kta dah tak ada apa-apa kan.” Ulas Tom dengan nada sedih.

“Ye lah. Saya pun hampir lupa janji kita hari tu. Saya takkan lupakan awak. Kita tetap kawan sampai bila-bila. Apa pun terima kasih banyak pada awak kerana tolong saya dalam hal ni”Bijak Ramzan menyusun ayat. Dan Tom pun tahu ayat stereotype tu memang akan keluar pada bila-bila masa

“Nak tanya sikit, selama kita kawan ni awak ada hati dekat saya ke tidak?” soalan cepu mas yang tiba-tiba muncul dari mulut Tom. Yang bertanya pun sedikit sengal.Namun itulah persoalan yang sering bermain dibenaknya.

“Saya tak berani nak jawab, Tom. Tapi saya mengaku yang awak betul-betul dah jadi ‘girlfriends’ saya yang terbaik.”ujarnya. Kalau Tom tu mahramnya, sudah lama dia peluk. Disebalik ‘Machonya’ dia, ada juga terselit rasa hiba dan sedih.

Tom mengeluarkan tisu dari poketnya untuk mengelap air mata. Dia dah tak kisah dengan mata-mata yang memandang. Emosinya tidak boleh disimpan-simpan lagi. Orang yang nak clash dengan boyfriend ni…Kena emo betul-betul. Barulah mantap lakonan!!!

“Ah..lega sikit” ulas Tom di dalam hati. Selama ini dia selalu berperang dengan emosi. Antara sayang dan janji. Kerapkali terdetik dihatinya untuk bertemankan Ramzan sepanjang hayat. Itu antara inti harapan yang disimpan selama ini. Namun dia tahu itu sekadar dongengan. Mana mungkin lelaki yang sehebat Ramzan itu mahu bertemankan gadis kampung sepertinya.Nama pun dah macam lelaki. Dan jawapan Ramzan sebentar tadi mengesahkannya!!.

“Dah. Saya tak nak tanya lagi dah. Cuma nak bagi dekat awak envelope ni” . Tom menyerahkan envelope yang dipegangnya dari tadi.

“Apa ni?” Tanya Ramzan.

“Itu hadiah terakhir saya sebagai girlfriends awak” Ujar Tom sebelum mengesat air mata dan berlalu pergi. Meninggalkan Ramzan yang terdiam di situ.


Envelope dibuka dan lima keping wang kertas RM 100 berada didalamnya beserta sekeping nota.

“ saya pulangkan kembali duit yang awak guna untuk beli sayur dari saya selama ini. Gunakan untuk apa sahaja yang awak suka….. IKHLAS DARI : Tom”


    ******************************************************************************************


Lela segera mengedarkan pamplet yang diberikan Bosnya sebentar tadi. Semua yang menghulur tangan akan mendapat Pamplet beserta satu sachet tester untuk wangian terbaru keluaran syarikat mereka. Lenguh juga tangannya melayan karenah pelanggan dan stokis yang datang. Matanya sempat beralih kearah Siti yang turut mengedar pamplet dari arah belakang.

Syarifah Nurseha hanya memerhati dari atas pentas. Dia sentiasa tersenyum dari tadi. Manakan tidak, jangkaanya cuma dalam lima ratus orang sahaja yang akan hadir, tapi yang ada dihadapannya melebihi angka dua ribu. Mujurlah dia ada masih menyimpan semua stok-stok sample yang mahu diedarkan kepada stokis dikedainya. Itulah yang dijadikan ole-ole kepada mereka yang berkunjung. Dia sudah mengarahkan keraninya untuk segera membuat tempahan sample test yang baru.

“Tahniah Seha” itu sahaja ucapan yang sering didengarinya dari awal lagi. Datin Halimah, selaku YB kawasan tersebut sendiri yang mula-mula mengucapkan tahniah kepadanya. Dia menjemput Y.B tersebut merasmikan prodak terbarunya selain memecah tanah untuk tapak baru kedai kosmetik dan butiknya yang akan datang.

Rasa bangga dirinya apabila dipuji sebagai usahawanita muda yang berjaya. Tokoh-tokoh industri lain dan kawan-kawannya pun ada yang turut mengucapkan tahniah di twitternya. Buat pertama kalinya dia berasa begitu dihargai, setelah penat lelah yang diharunginya sebelum bergelar Jutawan sewaktu usia muda.

Pemuda yang berjambang dan berkaca mata hitam itu dari tadi lagi tidak terlepas dari memandang telefonnya. Cuma sesekali dia mengerling kearah pentas hadapan melihat siapakah yang sedang berucap. Apa yang keluar dari mulut orang yang berucap, langsung tidak dihadamnya. Cuma sederet perkataan yang memang dia akan ingat. “Usahawan wanita akan dianggap betul-betul cemerlang, kalau dia berjaya dalam menyeimbangkan antara Agama, keluarga dan bisnisnya”.Itu dia setuju sangat-sangat.


Kini hanya tinggal kerusi, khemah dan sampah-sampah yang bertaburan. Lela menyandarkan diri di kerusi berhampiran dengan bekas minuman. Sudah dua kali dia meneguk sirap bandung tadi. Lagak dia keletihan masih terkawal. Aksi-aksi luar kawalan boleh menjatuhkan maruahnya sebagai model sambilan kosmetik bosnya itu. Lagipun mamat berjambang handsome yang dari tadi bermain handphone masih belum pulang!

“Jom..Kita kemas sekarang” Siti menarik kasar tangan Lela. Dia sebenarnya malas lagi untuk berkemas, memandangkan bosnya, Cik Seha masih lagi berbual-bual dengan beberapa VIP di tapak pakir kereta. Biar bosnya yang garang tu nampak mereka bekerja.Barulah dia tak membebel.

“Aku nak balik awal la hari ni. Dah janji dengan Saiful. Kalau setel cepat, kita boleh balik cepat” Siti merayu. Dia merancang untuk terus menonton wayang dengan teman lelakinya selepas majlis berakhir. Itu sahaja peluang yang dia ada untuk ‘berdating’.

Lela akur dan melangkah malas kearah meja VIP. Pekerja-pekerja tambahan lain sudah mula sibuk mengemas dan menyusun apa yang perlu. Lela lebih suka untuk menyimpan lebihan business kad,sample stok dan pamplet ke dalam kotak.

“Boleh saya simpan satu business kad Cik Seha tu?” Lela gugup apabila ditegur mamat berjambang yang tadinya hanya sibuk bermain telefon. Acuh tak acuh dia menghulurkan kad, sebelum melihat mamat berjambang itu menghampiri Cik Seha yang kini berseorangan di tempat pakir kereta.


“Assalamulaikum..boleh kita berbual sebentar” Mamat berjambang menegur. Syarifah Nurseha hanya menjawab salam dan tersenyum mengangguk. Digagahkan juga untuk melayan seorang lagi pelanggan walaupun penatnya hanya tuhan yang tahu. Tambahan pula bertudung dan berjubah bagai. Panasnya memang sangat terasa.

“Jom kita ke bawah khemah sana. Lebih selesa” Syarifah Nurseha ‘membaca’ pemuda berjambang tersebut sebagai pelanggan sebaik melihat kad businessnya terselit di jari pemuda itu. Dia cuma sedikit hairan kerana jarang sekali lelaki berminat dengan prodak keluaran syarikatnya.

“Encik dari mana?” soalnya sebaik duduk di kerusi.

“Saya dari Haykal Oil Industry. Panggil saya Ilyas” Pemuda berjambang tersebut memperkenalkan diri.

“Apa yang saya boleh bantu En. Ilyas?”

“Saya dengar yang prodak Cik Seha ini berasaskan sayur-sayuran. Terutama sayuran tempatan bukan”

“Bukan sayuran sahaja, buah-buahan dan bunga-bungaan juga kami gunakan. 100 peratus bahan semulajadi. Ini semua hasil kerjasama saya dengan pihak kerajaan dan university tempatan” jelas Syarifah Nurseha lagi.

“Ada prodak yang eksport ready tak?”

“Setakat ni kami hanya cater untuk local sahaja. Pasaran eksport masih belum cuba. Mungkin akan datang kami akan buat”

“Hmmm…Actually saya datang sebab ada customer dari luar negara yang berminat dengan prodak dan pengasasnya sekali!”

“Iye..tak sangka pulak” Syarifah Nurseha kaget. Ayat-ayat sebegini pernah didengarinya sebelum ini. Ini adalah antara taktik lelaki-lelaki yang mahu menggoda usahawan-usahawan wanita untuk menjadi ‘sponsor’ mereka. Dia tidak mahu menjadi mangsa.

“Apa kaitan antara syarikat minyak dengan prodak kosmetik ni?” Syarifah Nurseha mula merasa kurang selesa. Dia sempat melambai kepada Siti untuk membawakan mereka minuman. Cuaca yang panas menyebabkan dia lekas dahaga.

“ Tak ada kaitan pun. Ini hanya peringkat awal rundingan. Kalau saya rasa Ok, prodak Cik Seha akan kami bawa ke Mesir” Jelas Ilyas. Syarifah Nurseha masih belum berpuas hati. Dia merasakan ada udang disebalik batu. Dia juga tidak mahu membuang masa melayan pelanggan yang mahu memerangkap usahawan sepertinya.

“Saya rasa perbincangan kita setakat ini sahaja. Kami pun belum ada rancangan sejauh tu. Kalau saya berminat, saya akan hubungi Ilyas” Syarifah Nurseha bangun seraya tersenyum. Dia memang mengelak untuk bersalaman dengan lelaki yang bukan mahramnya. Ilyas pun turut bangun, tapi kali ini dia membuka kaca mata hitam yang dipakainya.


“Saya datang ke sini sebab awak Tom!!” kenyataan Ilyas itu mengejutkan Syarifah Nurseha. Jarang sekali orang mengingati gelaran dirinya semasa persekolah. Tak mungkin dia ni orang yang aku tunggu-tunggu selama ini!!

“Awak ni sebenarnya siapa?” Soalan Syarifah Nurseha mula bernada tegang.

“Saya Ramzan Ilyas Muhammad, kawan sekolah awak dahulu” Ilyas Ramzan menjawab sambil merenung tepat anak mata Syarifah Nurseha. Renungan terhadap sepasang mata yang kini mulai berkaca. Sengaja dia memakai cermin mata hitam dari tadi. Matanya sendiri sudah berkaca dari awal-awal lagi. Rindu sangat-sangat..

Syarifah Nurseha melabuhkan semula punggungnya di kerusi. Ada rintik-rintik jernih yang menitis di pipinya sebelum disapu dengan segera. Dia terdiam sebentar kerana memori-memori lama bermain semula di fikirannya.

“Kenapa balik ke sini semula?” Soal Syarifah Nurseha tanpa memandang.

“Saya datang untuk ziarah kubur arwah ayah dan ….”

“Dan apa”

“Dan meminang awak!!!”

Syarifah Nurseha terdiam. Hatinya terusik.

“Sebab rindukan awak sangat-sangat” sambung Ilyas Ramzan berterus terang.

“Selepas bertahun-tahun tinggalkan saya tanpa sebarang berita, awak buat kejutan macam ni hari ini” Dia meluahkan apa yang terbuku dihatinya. “Dan dulu awak pernah cakap yang saya tiada dihati awak”

“Masa tu saya masih keliru. Banyak yang nak saya buat untuk masa depan. Dan awak pun perlukan masa untuk tentukan masa depan awak juga. Tengoklah kejayaan awak sekarang” Balas Ilyas Ramzan.

“Dan awak hanya datang setelah saya berjaya macam sekarang. Kalau saya masih macam dulu, tak mungkin awak akan muncul kan” Air mata Syarifah Nurseha tidak lagi boleh ditahan-tahan. Dibiarkannya membasahi pipi.

“Saya balik bukan sebab awak dah berjaya. Apa yang saya ada sekarang lebih dari cukup untuk menyara awak. Saya tak perlukan semua ni. Saya datang sebab saya tak pernah lupakan awak” Ujar Ilyas Ramzan.

“Tak pernah lupakan saya???..Kita kan dah janji apa yang berlaku dahulu tu hanyalah lakonan semata-mata. Tak ada yang istimewa pun.”gumam Syarifah Nurseha mengingatkan Ilyas Ramzan tentang apa yang berlaku semasa zaman persekolahan mereka.

“ Kalau awak ingatkan saya, kenapa tak pernah cari saya?” Bentak Syarifah Nurseha lagi.

“Keadaan saya masa tu tidak mengizinkan. Saya perlu belajar dan fokus pada bisnes saya dahulu. Bila kedua-duanya berjaya seperti sekarang, baru saya balik” jelas Ilyas Ramzan.

“Macammana kalau saya dah kahwin?”Sinis pertanyaan.

“Dari mula lagi saya dah jangka awak akan berjaya dalam apa pun yang awak buat. Dan awak tak akan kahwin sebelum berjaya!!” Kenyataan Ilyas Ramzan itu memang menepati apa yang dibuat oleh Syarifah Nurseha sekarang.

Dia mulai mengalah. Hatinya kini mulai berbunga-bunga.

“Macamana awak boleh rindukan saya”

“Sebab tomato..Orang di mesir suka makan tomato” Ilyas Ramzan menggayakan seolah-oleh sebiji tomato sedang dipegangnya.

“Dan semua sayuran yang ada sentiasa mnengingatkan saya pada awak. Dan saya perlukan sayur setiap hari..”

Syarifah Nurseha menguntum senyum. Ilyas Ramzan yang dahulunya hanya sebahagian dari illusi kini menjadi kenyataan.

“Dan sekarang macammana..”

“Dan sekarang saya lebih sukakan tomato manis yang memakai tudung”

“Hah..Poyo” Syarifah Nurseha menyeringai dan ketawa kecil.

“Dan sekarang juga masa untuk kita tinggalkan bisnes sekejap dan fokus pada masa depan. Ada kontrak sampai Jannah yang perlu kita tandatangan nanti !!!” Ilyas Ramzan mengingatkan.


Siti dan Lela berhimpit-himpit untuk mencari sudut yang sesuai untuk mengambil gambar Boss mereka. Syarifah Nurseha kelihatan anggun dengan persalinan hijau muda. Seri pengantinnya terselah disebalik solekan yang sederhana. Dia hanya menunggu saat Ilyas Ramzan menyambut salaman Tok Kadi dan berkata “Aku terima Nikahnya…….”. Hatinya semakin berdebar.

“Pengantin dah sedia” Tok kadi yang tadinya rancak menyoal bertanya. Semua soalannya dapat dijawab dengan betul.

“Minta saksi periksa dulu wang hantaran. Cukup atau tidak” pesannya lagi sambil memandang kearah kelompok lelaki di kiri dan kanannya.

Kedua-dua saksi kemudiannya diberikan sebuah album yang berukir cantik dengan corak keemasan. Lelaki yang berbaju dan bersongkok hitam mula memeriksa sebelum terhenti di beberapa muka surat.

“Kenapa Haji, ada yang tak kena ke?”Tanya Tok Kadi apabila melihat riak wajah “Haji”.

“Cuba tuan kadi tengok dulu. Saya tak berani nak kata apa-apa” balas lelaki yang disebut “Haji” tadi. Dia menyerahkan album tersebut ke tangan Tok Kadi.

“Laa…kenapa guna duit seratus lama ni?. Buat koleksi duit lama boleh la” Tanya Tok Kadi sambil memandang pengantin lelaki.

“Duit tu saya terima Lima tahun lepas dari orang yang sangat sayangkan saya. Duit itu juga membuatkan saya mahu berusaha untuk berjaya. Dan hari ni, duit itulah juga yang akan saya kembalikan kepada dia” Ulas Ilyas Ramzan. Dia sempat mengerling kepada pengantin perempuan yang mula menitiskan air mata.Memang ratu airmata dia ni.

“Boleh guna ke tok Kadi?” Haji tadi kembali menyoal.

“Jutawan kahwin dengan jutawan. Ada kita nak kisah dengan wang hantaran” Balas Tok Kadi sambil menggenggam tangan Ilyas Ramzan. Hadirin yang lain hanya tersenyum.


Pengantin Perempuan Vs Pengantin Lelaki.

“Sebanyak mana awak sukakan saya?”

“Sebanyak bintang di langit”

“Sedalam mana cinta awak kepada saya?”

“Sedalam teras bumi ini”

“Dan seiklas mana awak kepada saya?”

“Seikhlas ciuman ini”

“Ish..Poyo”

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.