Home Cerpen Seram/Misteri Nasi Lemak Tengah Malam
Nasi Lemak Tengah Malam
Zhar Aruzi Hairi
16/7/2016 19:14:35
4,961
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Tajuk : Nasi Lemak Tengah Malam

Oleh : Zhar Aruzi Hairi



Jam tepat 12.00 tengah Malam. Sebuah motosikal FZ150 hitam meredah kegelapan malam. Enjinnya yang berbunyi bingit dari tadi menjerit seumpama bunyi motosikal berkuasa tinggi. Kelajuan diatas jalan sahaja melebihi 120KM sejam. Pembonceng yang bertopi keledar hijau dengan lambang tengkorak di belakang semakin erat memeluk pinggul penunggang di hadapan.

“Jauh lagi ke?” Hakimi bersuara kuat melawan angin. Kepalanya dirapatkan ke topi keledar Nazrul. Tali topi keledar sudah diikat ketat-ketat.

“Dah nak sampai. Jalan ni la yang diorang cakapkan” sambut Nazrul yang berpaling kepala sekejap ke belakang.


Mereka berdua baru mempunyai hobi tambahan, iaitu memburu tempat-tempat makanan yang dicanangkan sedap. Bukan sedap sahaja, tapi murah. Sebagai penuntut kolej, kemampuan berbelanja mereka memang terhad. Minat baru ini juga dikongsi bersama rakan-rakan media sosial. Banyak sudah tempat yang mereka kunjungi untuk menikmati juadah yang dikatakan enak.

Nazrul berasa lega sebaik melihat sebuah gerai kecil yang diterangi lampu di penghujung jalan. Motosikal yang ditungganginya diperlahankan sedikit demi sedikit. Matanya menyorot tiga buah kereta yang dipakir tidak jauh dari gerai itu. Dua darinya kereta mewah dari jenama BMW dan Merchedes Benz.

“Dashyat Makcik ni meniaga, orang kaya pun datang beli kat kawasan hutan ni” Hakimi mengulas. Tangannya kini dialih dari memeluk belakang Nazrul. Sifat penakutnya masih ada walaupun berteman. Kakinya dibiarkan terbuai menyentuh jalan menyusur ke tempat Hakimi memakir. Mereka berehat sebentar menghilangkan letih. Riak kepuasan tertera di wajah mereka berdua. Matlamat perjalanan mereka seratus peratus tercapai.

“Jom isi perut” belakang Hakimi ditepuk Nazrul. Dia sudah tidak sabar-sabar mencari hidangan bagi menjamah perut. Hakimi mengekor dengan mata tertacap pada skrin handphonenya. Dalam jarak tiga meter dari gerai tersebut, dia mengambil gambar.

#pemburunasilemak.

Angin sejuk secara tiba-tiba menyapa wajah mereka berdua. Serentak dengan itu bulu roma mereka meremang. Pokok ketapang di belakang gerai, yang berlatarkan cahaya lampu jalan itu kelihatan menggerunkan. Dua buah baldi berwarna merah terdapat di tepi pokok itu. Mungkin digunakan oleh peniaga nasi lemak itu untuk menyimpan air bagi membasuh tangan dan perkakasnya. Akar-akar dan dahan pokok lain yang menumpang pada pokok ketapang itu berjuntaian jatuh. Daun-daun yang ada berdesir dihembus angin malam. Ada kalanya daun-daun kering akan berguguran.


Nazrul terus beratur di belakang lelaki yang berbaju melayu. Cuma tiga orang pelanggan sahaja yang masih ada. Kalau dicampur dengan dia dan Hakimi, lima orang semuanya. Pelanggan yang paling hadapan menjinjit paling kurang sepuluh bungkusan nasi lemak untuk dibawa pulang.

Hakimi tidak terus beratur. Sebaliknya dia berdiri di tepi gerai berselfie. Makcik yang berniaga itu memandang dengan riak kurang selesa. Mereka yang ada hanya tersenyum aksi –aksi comel mamat gila selfie itu.

“adik nak lauk apa?” Makcik yang meniaga itu bertanya sambil memegang bungkusan nasi lemak. Kertas dengan daun pisang dilipat dengan nasi emak didalamnya. Menunggu untuk ditambah lauk.

“Ke nak bungkus lauk asing?”

“Bungkus sekali dengan lauk Makcik, bagi lauk ayam masak cabai” Bekas yang berisi lauk ditunjukkan oleh Nazrul.

“Saya punya bagi Ayam dan kerang. Nasi lebih” Hakimi menyampuk dari belakang.

Makcik penjual nasi lemak tersenyum mengangguk.

“Saya pun tambah nasi!!!” Nazrul cepat-cepat menambah pesanan. Makcik Nasi lemak baru mencapai senduk lauk sebelum beralih menambah nasi.

“Makcik meniaga seorang sahaja ke kat sini?” Mulut cabul Hakimi bersuara. “Tak takut ke?”

Makcik nasi lemak tidak menjawab. Sebaliknya hanya tersenyum.

Nazrul sempat menyiku perut Hakimi. Kat tempat orang, mulut kena jaga!!

Ada dua buah lagi kereta tiba sebaik Nazrul dan Hakimi membayar.

“ murah beb, dua nasi ni baru enam ringgit. Siap tambah nasi lagi” Hakimi membuka bungkusan plastik nasi lemaknya dan merapatkan ke muka. Aroma nasi lemak dihidu penuh berselera.

“Kita nak makan kat mana ni? Nak cari air lagi?”

“ Kau ingat tak Petrol pam yang kita lalu tadi. Singgah kat situ jer” cadang Nazrul.

“Ok gak tu”

“Kau perasan tak yang bawah pokok ketapang tu ada telaga” suara Hakimi seakan berbisik.

“Kenapa kau ni? Ada telaga pun apa masaalahnya?” Cepat sahaja Nazrul memintas. Apa yang ada dalam kepala Hakimi dapat dibaca.

“Kau ni Ayol,orang belum habis cakap kau dah pangkah. Masa dekat-dekat pokok tadi aku terbau darah. Kuat jugak la bau dia”

“Aku dah agak dah, cerita-cerita macam tu memang kau nak buka jugak masa ni” Terus sahaja Nazrul membebel. “ Kita datang nak beli nasi jer. Apa bau pun kat pokok tu aku tak nak ambil tahu. Yang penting ini berisi, Faham!!” sengaja dia mengangkat baju menunjukkan perutnya yang sedikit membuncit.

“ Makcik gerai tu something la. Meniaga sorang-sorang. Duduk bawah pokok ketapang. Sampai tengah malam tu” gumam Hakimi lagi.

Nazrul mencapail topi keledar yang disangkut pada cermin sisi motosikal. ‘Kalau dilayan celoteh Si Kimi ni, sampai esok pun tak habis’ bebelnya dalam hati.

Setelah sepuluh minit bergerak dari gerai nasi lemak tadi, Mereka tiba di stesyen Minyak yang Nazrul maksudkan tadi. Memang stesyen minyak itu beroperasi 24 jam. Cuma kedai serbanekanya tidak dibuka antara pukul 10.00 malam sehingga 6.30 pagi, atas faktor keselamatan. Ada tiga unit meja lengkap dengan empat tempat duduk di luar premis, tidak jauh dari kaunter. Nazrul melabuhkan punggung di meja yang paling jauh. Hakimi ke kaunter membeli air.

“Bangla kaunter tu tanya, mana dapat nasi lemak. Bau sangat sedap” Hakimi tersengih meletakkan botol besar minuman coke di tengah meja. Dibukanya tudung minuman itu untuk meneguk terus dari botol. Bibirnya dijauhkan sedikit dari birai minuman itu. Takut Nazrul geli untuk berkongsi minum.

Sebaik mengeluarkan telefon bimbitnya, Hakimi mengetip beberapa keping gambar lagi. Kali ini dengan sudut yang paling dekat. Muka Nazrul yang comot itu pun turut dimuatkan. Dan akhirnya dia berpaling ke belakang dengan mengangkat handphonenya setinggi mungkin untuk berselfie.


Mulut Nazrul pula terkunci dengan suapan nasi lemak. Memang dia tak mahu bercakap sewaktu makan. Sensasi rasa sedap dan aroma daun pandan yang menusuk hidung menyebabkan dia menyuap dengan pantas. Macam orang yang seminggu kebuluran.

“Bismillah ke tidak tu?” gelagat Nazrul itu ditegur. Hakimi bersendawa dengan gas minuman yang menusuk hidungnya . Nasi lemak yang menjadi proptadi terus dijamah. Tak mahu kalah dengan gelagat sahabatnya.

“Boleh ketagih ni?” Nazrul membasuh tangan di paip yang berada di tempat mengepam angin. Hakimi yang mendengar dari jauh mengangguk.

Mulut Nazrul masih berminyak sebelum dia mengelap dengan tisu yang dibawanya bersama. Perutnya berasa lega kekenyangan. Hakimi masih lagi menyuap, kesedapan yang jelas sehingga dia menjilat jari jemarinya yang bersisa nasi.

“Kalau perut aku tak kenyang, memang aku ajak ko pergi beli lagi kat Makcik tu” ujarnya sebaik menghabiskan suapan terakhir. Nazrul meneguk air yang dibelinya tadi. Kedua-duanya duduk sebentar bagi meredakan perut yang kenyang.

“Buruan terbaik bro!” Hakimi melaung.



Sudah dua minggu mereka tidak berjumpa. Walaupun tinggal di kawasan perumahan yang sama, dan belajar di kolej yang sama. Nazrul selesa tinggal di rumah menemani ibu dan adik-adiknya. Hidup mereka banyak ditampung oleh wang pencen bapanya, selain ibunya yang masih bekerja sebagai tukang cuci di kilang berhampiran. Dari enam adik beradiknya, dua masih lagi bersekolah.

Hakimi menyewa bersama lapan orang rakannya di kawasan perumahan yang sama. Keluarganya jauh di bumi kenyalang. Rakan-rakan serumahnya semuanya senegeri dengannya. Namun dia lebih rapat dengan Nazrul memandangkan mereka berkongsi hobi tegar yang serupa, Memancing. Di kolam pancing juga tempat mereka berdua berkenalan. Yang menjadikan mereka lebih rapat adalah sikap sekepala dalam banyak hal.

woit. Ad mna?” muncul satu mesej Whatapps di skrin telefon Hakimi.

Tmpt biasa. Bru nk lyan

Tnggu ak. Otw

Malam masih awal. Kelibat orang yang keluar masuk dari pintu hadapan kolam silih berganti. Banner besar terpampang, yang menawarkan taruhan lumayan untuk mereka yang berjaya mendapatkan ikan terbesar di kolam itu. Satu pertandingan memancing akan diadakan di situ tidak lama lagi.

Nazrul menjinjing dua joran di tangan kanan dan kotak peralatan memancing di tangan kiri. Matanya melilau mencari kelibat Hakimi. Harap-harap dia membawa umpan lebih malam ini. Nazrul tidak sempat untuk ke pasar mencari umpan atau mengadun sendiri dengan bahan-bahan membuat umpan. Selalunya dia yang menyediakan semuanya. Kalau terdesak pun, masih ada umpan yang dijual di kaunter masuk tadi.

“Amacam!” sapa Nazrul sambil mengagguk-nganguk kepala. Barang-barang yang dijinjingnya tadi diletakkan bersebelahan.

Hakimi menyambut dengan muka mencuka. Isyarat paling mudah untuk difahami. Memang seekor pun ikan belum menjamah umpannya sejak petang tadi.

Hakimi mencapai bekas umpan dan mengeluarkan seekor cacing. Mudah sahaja jarinya meneluskan badan cacing itu hingga bergumpalan padang hujung kailnya. Kemudian dilayangkan hingga mencebur ke tengah kolam.

“Cantik pisau baru” tegur Hakimi melihatkan pisau sepuluh inci yang tersisip di pinggang Nazrul. Sengaja rakannya itu menepuk-nepuk pisaunya itu, tanda bangga.

“Kau nampak banner baru kat depan tu?”

“Nampak. Kau nak join ke?”

“Nak, tu memang la nak. Tapi modal nak korek mana?”

“Aku pun sama. Tapi aku ada idea gila” Hakimi bangun dan berbisik ke telinga Nazrul. Dia diam seketika sebelum mengangaguk-ngangguk.

Hakimi menguntum senyum.



“Kau pasti Bro” Hakimi mengajuk. “Dah pukul 2.00 ni”

“Pasti la, bukan kita tak pernah buat pun” sambut Nazrul. Mengimbau seketika pengalaman mereka di gerai burger tidak jauh dari kawasan tersebut.

Hakimi memanjat belakang motosikal Nazrul. Peralatan memancing dan motosikal Hakimi ditinggalkan di kolam pancing. Menderu mereka berdua menuju keluar ke arah Highway.

Nazrul memperlahankan motosikal sebelum betul-betul memijak brek sepenuhnya. Terjongket-jongket Hakimi mengikut retak motor yang diberhentikan secara tiba-tiba itu.

“Kita tengok line dulu?” Dari situ jelas kelihatan gerai Nasi Lemah yang diterangi lampu kalimantang. Sunyi dan sepi tanpa pelanggan. Hanya bunyi cengkerik dan katak dari hutan berhampiran yang jelas kedengaran. Kereta proton saga lama berwarna coklat dipakir tidak jauh dari bahu jalan. Kemungkinan besar kepunyaan Makcik Nasi Lemak itu.

Mata-mata yang memerhati itu tertacap pada kelibat Makcik penjual nasi lemak asyik memandang kearah belakang pokok ketapang. Sesekali dia melemparkan sesuatu ke arah yang sama. Ada masanya seolah-olah menghalau benda-benda yang tidak kelihatan.

“Jom !. cepat buat, cepat balik. Gertak je, jangan apa-apakan Makcik tu. Aku tunggu atas motor” Nazrul memberi arahan. Motosikal kemudiannya ditunggang ke arah betul-betul berhadapan dengan Gerai Nasi Lemak itu.

Terkocoh-kocoh Hakimi turun dari motosikal sebaik Nazrul memberhentikan motosikal. Pisau sepuluh inci kepunyaan Nazrul, yang terselit di pinggang dikeluarkan. Topi keledar terus dipakai dengan bandanadigunakan untuk menutup mulut. Dia tak mahu Makcik nasi lemak mengecam wajahnya.

“Makcik, Serahkan duit. Kalau tidak nyawa melayang nanti” Jerit Hakimi. Makcik Nasi Lemak yang tadinya asyik berpaling kea rah pokok ketapang terkejut dan berpaling. Tangannya diangkat ke atas separas telinga sebelum tangannya merada-raba tabung hasil jualan di bawah meja.

“Cepat!!! Berapa lama kami nak tunggu ni!!” Jerkah Hakimi lagi. kali ini dia betul-betul geram dengan tingkah Makcik Nasi Lemak yang seolah-olah sengaja melambat-lambatkan keadaan. Mungkin dia berharap ada orang yang datang membeli di kedainya akan memberikan pertolongan.

Bibir Makcik Nasi Lemak yang tadinya kelihatan takut mulai menguntum senyum.


Nazrul yang menunggu diatas motosikal mula merasakan hembusan angin sejuk. Mulanya dibahagian kaki sehingga naik ke pangkal lehar dan kepala. Bulu romanya meremang dengan tiba-tiba. Sejurus dengan itu kelihatan satu kelibat bermata merah merendahkan kepala dan mengangkat tangannya yang berbulu mencengkam ke arah leher Hakimi.

Serentak dengan itu, Puluhan mata-mata merah, hitam dan putih terbuka jelas memandang ke arah mereka berdua. Hakimi yang tadinya beriya-iya mengan mula berasa semacam. Bau hamis darah dan bau-bau lain yang amat busuk menusuk ke rongga hidung, terasa hingga ke kerongkong.

“Bunuh cu..bunuh…semua sekali..bunuh” Makcik Nasi Lemak yang tadinya ketakutan mulai bersuara. Semakin lama semakin kuat. Dia kemudiannya menundukkan diri dan berlindung di bawah meja jualannya.

Hakimi merasakan satu hentakan kuat pada kepala sebelum semuanya gelap. Segala-galanya berlaku dengan pantas!


Nazrul cuba untuk menggerakkan motosikal yang dari tadi enjinnya masih dihidupkan. Namun kenderaanya itu langsung tidak bergerak dan hanya rodanya berputar dengan laju. Seolah-olah ada yang menarik motosikalnya dari belakang. Bau tayar terbakar jelas terhidu.

Setelah beberapa minit, motosikal yang ditunggang Nazrul terus bergerak laju melanggar penghadang jalan, menghala ke arah pokok ketapang. Benda yang mencengkam belakang motosikalnya tadi tiba-tiba melepaskan genggaman. Akibat daripada kelajuan yang dijanakan dari tadi, Nazrul terpelanting hingga tersangkut di atas dahan pokok ketapang. Terkontang-kontang dia seketika sebelum berpaut kuat pada dahan-dahan kecil berdaun yang lainnya.

Sekarang dengan jelas dia melihat seekor makhluk berupa kera bermata merah dan bersiong,mengheret tubuh Hakimi kea rah perigi yang ada di tepi pokok ketapang itu. Makhluk-makhluk lain yang tadinya hanya membuat penampakan mata mulai menonjolkan diri. Ada yang kehitaman dan berminyak dengan rupa seakan ular. Ada yang berwarna hijau dengan tompokan kudis di serata kulit. Juga yang kecil dan yang besar dengan pelbagai rupa yang menakutkan. Jumlah mereka jauh untuk dihitung dengan jari. Seolah-olah ada keraian makhluk sebegitu di perdu pohon ketapang itu.

“Huarghhhhh !!!!!!” jerit makhluk berupa kera itu sebelum merentap putus kepala Hakimi. Darah segar membuak-buak turun dari pangkal tenggoroknya. Tubuh tanpa kepala itu diletakkan pada pinggir telaga di situ dan darahnya dibiarkan mencurah jatuh ke dalam telaga.

Berbondong-bondong makhluk yang ada berkerumun sekitar telaga. Yang lebih kecil senang melompat terus ke dalamnya. Pesta darah dan daging segar pun bermula!!!

Nazrul mula merasakan kesakitan di setiap sarafnya. Yang paling terasa di bahagian tulang belakangnya. Namun rasa takutnya melebihi segalanya. Setiap inci pergerakkan makhluk yang sedang meratah rakannya terakam pada kornea matanya.

Yang jelas sekali perbuatan makhluk berwajah kera memecahkan helmet yang tersarung di kepala Hakimi. Dengan sekali hentak, terbelah dua helmet hitam yang tersarung di kepalanya. Kepala mayat dengan mata yang terbeliak itu kemudiannya dimamah di bahagian muka. Berdecit bunyi biji mata yang pecah dikunyah sebelum ditelan. Kuku-kuku tajam pada jari jemari makhluk itu ditusukkan pada bahagian atas ubun-ubun mayat. Darah pekat yang masih panas keluar memancut sebelum makhluk bermuka kera itu melekatkan mulut pada lubang tersebut dan mula menghisap otak.Bandana yang tersarung dimuka Hakimi tadi melayang-layang ditiup angin.


Nazrul menutup mata dan cuba berdoa. Seluarnya dibasahi najis dan air kencing yang keluar akibat ketakutan yang amat sangat. Bibirnya cuba digerakkan untuk berdoa namun hanya cairan darah yang keluar akibat kecederaan dalamannya.

Cahaya lampu dari gerai itu membolehkan segala perakuan yang ada dilihat dengan jelas oleh Nazrul. Dia juga berdoa agar ada orang-orang yang lalu lalang memberhentikan kenderaan dan melihat apa yang berlaku pada dia dan Hakimi. Makcik Nasi lemak masih menundukkan kepala berlindung di bawah meja jualannnya. Sesekali dia akan menoleh sebaik mendengar dengusan dan bunyi tapak kaki makhluk-makluk yang ada. Takut-takut dirinya pula yang menjadi mangsa.

Makhluk-makhluk berwarna hitam dengan mata keputih-putihanan dan gigi-gigi yang berceracak tajam, menarik-narik kasut yang dipakai Nazrul di sebelah kanan. Yang sebelah kiri, awal-awal lagi tercabut dan terhimpit pada brek motosikalnya. Dalam kepayahan Nazrul cuba untuk mengalihkan kakinya dari menjadi bahan makanan makhluk terbabit. Makhluk-makhluk itu menyeringai gigi-gigi kecil yang tajam dan berlumuran darah. Marah kerana habuan yang ada di hadapan mata digerakkan jauh dari jangkauan.

Nafas Nazrul turun naik memikirkan nasibnya pula. Hanya separuh syahadah yang mampu dia ingati dalam keadaan segenting ini. Itu hanya diucapkannya sebanyak dua kali. Selebihnya hanya ungkapan meminta tolong, yang dilaungkan sehingga serak suara. Rasa takutnya memuncak kerana bila-bila masa sahaja dia akan menjadi sebahagian dari hidangan makhluk-makhluk tadi.

Sisa-sisa mayat Hakimi ditarik masuk kesemuanya ke dalam telaga oleh makhluk-makhluk kecil yang ada. Yang lainnya masih mencicip sisa-sisa darah yang ada di keliling rumput-rumput renek dan tanah berhampiran. Hampir tiada apa-apa bahan tubuh yang tersisa.


Air mata turut menitis di tubir mata Nazrul. Perjalanan persahabatannya dengan Hakimi bermain-main di kotak mindanya. Rasa takutnya terubat sedikit dengan kesedihan yang mulai menjelma. Setiap tutur kata dan gelak ketawa rakannya itu, bila diingati, mengundang rasa hiba. Setelah beberapa minit mengeluarkan air mata, Hakimi mengangkat kepala. Bersusah payah dia menarik tubuhnya untuk berada betul-betul pada pangkal dahan tempat dia tersangkut. Barulah dia berasa sedikit selesa walau tetap sakit-sakit seluruh badan.

“Aku bunuh kau Makcik” jerit Nazrul sambil cuba menanggalkan topi keledarnya secara tiba-tiba. Sisa-sisa tenaga yang ada digerakkan untuk membalas dendam yang memuncak.

Makhluk-makhluk yang berkerumun tadi pun mulai menghilang sedikit demi sedikit ke dalam hutan berhampiran. Laungan Nazrul dibiarkan sahaja. Yang masih menunggu adalah makhluk berwajah kera dan kelibat-kelibat kecil yang mahu membaham kaki Nazrul. Mereka berbunyi berdecit-decit seakan tikus dengan menganga-nganakan mulut yang bergigi tajam itu.

“Pergi mampus kau!!!” topi keledar yang dicabut tadi dilemparkan ke arah Makcik Nasi Lemak. Berterabur segala makanan yang berada di atas meja. Sekoyong-koyong Makcik Nasi Lemak keluar dari persembunyiannya.

Perempuan separuh baya itu melutut mengutip perkakasan yang jatuh diatas meja. Laungan dan makian daripada Nazrul langsung tidak dihiraukan. Begitu juga dengan air ludah bercampur darah yang keluar dari mulut pemuda diatas pokok itu.

“ ajal kau dah tak lama. Lebih baik kau mengucap sahaja.” Luah Makcik Nasi lemak sebaik mengemaskan barangnya. Lagaknya seolah-olah sudah biasa dengan keadaan yang berlaku sebentar tadi.

“Kenapa Makcik buat macam ni kat kami?” tanya Nazrul yang mulai keletihan. Sedari kata-kata makinya tadi tidak berbekas langsung pada perempuan separuh baya dihadapannya.

“Laki aku dan anak-anak aku mati disebabkan orang-orang seperti kamu. Walaupun semua wang kami serahkan, tapi masih lagi mahu menikam dan merobek perut anak-anak aku. Termasuk yang masih aku susui” Luah perempuan itu seraya memandang kepada Nazrul yang menyadarkan kepala pada dahan pokok.

“Waktu itu kami berniaga berhampiran kawasan kediaman sahaja. Hasilnya cukup-cukup untuk habuan kami berlima dan modal untuk pusingan berniaga sahaja”

“Tapi orang-orang itu menggila dan mahu membunuh sahaja. Hingga aku sendiri juga hampir-hampir kehilangan nyawa. Dan upaya doktor hanya boleh menyelamatkan aku sahaja. Disebabkan mereka, aku hilang keluarga, hilang segala-galanya.” Luah perempuan itu dengan suara separuh sebak.

“Kenapa kau membunuh?” Perempuan separuh baya itu tersenyum sebaik mendengar soalan itu. Nafasnya ditarik panjang-panjang.

“Kerana janji aku pada siluman kera itu dan makhluk-makhluk penghuni malam yang lain. Semuanya sahabat dan jiran-jiran aku sekarang..Setiap tujuh hari akan ada korban untuk mereka. Mereka juga yang telah menghalang aku dari membunuh diri di sini”

“Dan memang aku sengaja mengumpan sampah-sampah seperti kamu datang. Supaya orang lain tidak menerima nasib yang semacam aku.” Ujar Makcik Nasi Lemak sambil menginjak-menginjak hujung kakinya. Ada amarah dendam yang masih belum terubat.

“kau dah jadi Iblis sekarang..Iblis bertopeng manusia. . Dan kalau aku masih hidup selepas ini, Gerenti kau aku cincang-cincang, sampai hancur lumat..lumat..dan kau mampos..mampos terus..” gertak Nazrul. Suaranya diikuti dengan batuk-batuk berpanjangan.

“Ha.ha..ha….” Ugutan Nazrul disambut dengan ketawa yang terbahak-bahak. Hingga mengalir air mata kerana keasyikan ketawa.

‘semua yang mati dalam perigi tu mahu membunuh aku…semua sekali. Tapi tak seorang pun yang sempat bernyawa untuk tujuan itu. Lambat laun kau akan letih dan tertidur nanti. Sudah banyak kau kehilangan darah. Bajang-bajang kecil itu pun sudah tahu. Sebaik kau pejam mata nanti, tubuh kau itu pasti dirobekkan oleh mereka. Semua yang ada tu nampak sahaja kecil,tapi selera, mengalahkan buaya. Siluman Kera yang kamu nampak itu pun masih belum kenyang..Masih menunggu ajal kamu”

“ Mengapa kau tak balik sahaja?. Biar aku mati dengan aman di sini” Jerkah Nazrul. Marah bercampur geram.

“Perompak seperti kamu tidak seharusnya aman. Selesai mereka menjamu nanti, aku akan kumpulkan sisa-sisa kamu. Aku rebus hingga berjam-jam hingga isi-isi dan tulang temulang kau cair menjadi air rebusan yang paling lazat. Itulah rencah rahsia nasi dan sambal yang pernah kamu jamah dulu” Makcik Si penjual nasi lemak membuka rahsia.

Walaupun dalam kesakitan, Nazrul terasa loya di pangkal leher. Mengenangkan rasa nasi lemak yang dijamahnya dua minggu lepas. Ngeri mengenangkan rebusan jasad manusia yang dihadamnya itu.

“ Buruan terbaik, bro” perkataan dari Hakimi terngiang-ngiang dalam kepalanya sebelum dia merasa mengantuk yang amat-amat sangat.

“Ucapkan selamat tinggal pada dunia, Nak. Makcik janji akan jadikan kamu yang sedap-sedap” suara Makcik Nasi Lemak berbalam-balam dengan bunyi dengusan dan kesakitan gigitan pada kakinya.

Nazrul semakin lemah dan mula melakar mimpi akhirnya. Tubuhnya perlahan-lahan dijamah kesejukan.


“ Makcik, Nasi Lemak ada lagi tak?” Suara seorang pemuda berbaju kotak-kotak menegur dari atas motor. Rasa lapar mematikan inderanya dari mengesan apa yang baru berlaku di sekeliling tadi.

“Satu ni sahaja yang masih tinggal. Nak tak?. Kamu ni lambat sangat.” Makcik Nasi Lemak menjawab sambil memegang satu bungkusan nasi lemak yang masih berbaki. Budak itu hanya mengangguk sambil menghulur duit dari atas motor. Kelibat pemuda itu berlalu pergi disorot Makcik Nasi Lemak sehingga hilang dari pandangan.

“Selamat menjamu selera… Jangan lupa datang lagi ya”..Serunya pada deru angin seraya menghela nafas lega.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Zhar Aruzi Hairi