Home Cerpen Umum Perjalanan
Perjalanan
Zhar Aruzi Hairi
19/8/2017 06:00:10
3,463
Kategori: Cerpen
Genre: Umum

Mansor terkial-kial bangun apabila terdengar namanya dilaungkan berulang kali dari bawah rumah.Terhoyong hayang dia bangun dan membuka tingkap. Matanya mengecil memandang ke arah dua lelaki yang berdiri di halaman rumah.


Sambil menguap dia melaung “ Meon, yang kau terjerit-jerit nama aku kenapa! Aku ni kerja shift malam la. Baru je aku nak nyenyak tidur”


“Minta maaf la banyak-banya, So. Kami pun terpaksa ni. Orang yang minta kami datang tanya ni... Kami bagi salam tadi dekat sepuluh kali, tak ada siapa pun yang jawab. Semalam,aku call pun, kau dah tutup telefon. Sebab tu kami datang pagi ni.” Jawab Sameon. Alang di sebelahnya hanya mengangguk.


“Hmmm..aku dah terpacak kat sini… Apa hajat korang yang penting sangat sampai tak boleh tunggu petang nanti?”


Mansor berdiri di tepi tingkap sambil menggaru punggung. Hatinya masih panas kerana tidurnya terganggu.


“Merdeka nanti kau cuti tak?”


“Kau ingat aku apa,Indon, Bangla!. Dah tentu la aku cuti. Siapa pulak nak buat kenduri kali ni?. Bincang la masa mesyuarat kenduri nanti. Aku ni ikut je apa kata orang kampung….”


Tajam benar ayat-ayat yang terbit dari mulut Mansor. Setiap perkataan yang terbit dari bibirnya boleh menggores perasaan orang lain. Orang-orang yang rapat dengannya sahaja yang boleh tahan dengan sikap buruknya itu.


“Bukan macam tu, kaukan ada lesen PSV, bolehlah tolong pandu bas. Kami nak mintak kau bawa rombongan orang kampung ke KL. Ramai yang nak tengok perarakan merdeka tahun ni”


Mansor terdiam seketika sebelum duduk di atas jenang tingkap. Kain pelikat yang disarungnya diangkat sampai ke dada. Macam orang berkemban sahaja lagaknya. Bahagian bawah terangkat hingga ke lutut hingga menampakkan bulu kakinya. 


Kemudiannya, dia berdehem sambil membetulkan duduk punggung di atas kayu jenang tingkap.


“Korang berdua ni umur berapa? Sepuluh tahun!. Kau ingat aku layan sangat rombongan-rombongan macam ni. Nak sambut merdeka konon. Nak pergi tengok perarakan kat dataran. Tak pernah dibuat orang sini. Poyo!, buang masa!...Banyak lagi aktiviti lain yang berfaedah. Dah dah la...Aku nak sambung tidur balik”


“Laa..bagi kami cerita sampai habis dulu So.... Ini projek kali pertama kampung kita. Lagipun, Lebai Hadi, Tok Lang Hashim, Ngah Lah, dan semua otai kampung bersemangat nak pergi pergi. Jom la ikut kami sekali”


“Huh!..Yang otai-otai tu, tak ada kerja ke, tiba-tiba  nak ke KL. Semata-mata nak berdiri tengah panas. Lepas tu mula la datang sakit. Pitam la, kurang gula la, tak tahan kencing la. Aku malas nak layan la benda-benda remeh macam tu. Kalau tak pergi pun, bukannya British nak tarik balik title merdeka ni….Yang kau tu Alang, kalau kau ikut rombongan tu, boleh dapat kerja ke?. Dah dekat setahun setengah dah kau menganggur. Ijazah kau tu dah framekan ker” Perli Mansor.


Alang hanya mendiamkan diri. Hatinya terguris dari dalam. Dalam banyak-banyak budak kampung yang hampir sebaya, dialah yang paling menonjol dalam akedemik. Tapi sampai sekarang masih belum mendapat pekerjaan tetap. Dia hanya sekadar mengajar kelas tuisyen di rumah.


“So, kalau kau tak ada rasa patriotik pun, tak apa. Kau join la kami sebagai sokongan kepada orang kampung. Dari kecik apa kita sekampung. Takkan nak bawa bas pun kau nak berkira. Inilah sebenarnya antara plan JKKK kampung kita tahun ni. Kena buat juga sebab peruntukan dah dapat. Yang nak pergi ni cuma bayar sepuluh ringgit seorang jer. Yang lain JKKK tanggung.”


“Loh…Jangan cakap macam tu dengan aku. Dengan orang kampung aku tak pernah berkira la..tak pernah. Ingat tak masa, masa Mak Senah nak usung satu kampung naik bas pergi menyambut menantu di Grik nun,aku sanggup bawak. Bila Ngah Lah mintak bawak rombongan haji, pun aku sanggup pergi…tapi, rombongan Merdeka ni. Aku tak ada feel la nak pergi. Korang tolong-tolong la faham. Takkan dengan benda macam ni kita nak bergaduh bagai. Ada lagi la orang yang boleh jadi driver…Cari jer”


Sameon menggaru-garu kepala. Apa yang diucapkan Mansor tu ada benarnya. Dia cuma terkilan dengan jawapan Mansor kerana rombongan untuk ke sana tu adalah hajat orang-orang lama.Bukan orang lain pun. Semuanya sahabat arwah ayahnya. Sudah lama mereka teringin melihat perarakan kemerdekaan di depan mata. Sikap berdalih Mansor itu turut membuatkan mereka berdua berasa meluat. Tiada sebab untuk orang bujang seperti dia menolak tanpa alasan yang kukuh.


“Kau ni tak sensetif langsung la Mansor…ramai yang mengharap, senang-senang je kau tolak!!”


Alang mengeraskan sikit nada suaranya. Kata-kata Mansor sebentar tadi masih berbekas di hatinya.


Kali ini Mansor bangun dari lagak santai tadi. Kata-kata Alang menyengat di cuping telinganya.Bernanah kalau dibiarkan tanpa jawapan. Pantang dia kalau diperli!.


“ Hoi korang!, Bukan ke setiap tahun apa negara kita sambut merdeka. Tapi, tak pernah seorang pun budak-budak kita nak gantungkan bendera. Di kampung ni, cuma rumah penghulu Kasa sahaja yang ada bendera, kan!. Itu pun sebab bendera sponsor yang dapat, dia pulak  tak bagi kat orang lain. Lain pada tu tak ada langsung pun...Setiap kali cuti Merdeka, paling kuat pun, ada kenduri. Kenduri kahwin atau kenduri arwah. Itu pun tak pernah ada yang pasang lagu-lagu patriotik bila tempah DJ orang kahwin. Dia hanya mainkan semua lagu cintan-cintun….Lagi satu, siapa pun tak pernah mengajak nak ke bandar tengok budak-budak sekolah buat perbarisan merdeka, tiap-tiap tahun sekolah rendah kampung ni hantar wakil ke perbarisan Merdeka. Semua tahu, tapi buat-buat tak tahu..kan!...Habis, tahun ni kenapa pulak,beria-ia sangat nak sambut. Ke otai-otai kampung kita dah insaf. Tak pun makin nyanyuk sampai baru terfikir nak sambut Merdeka” Bebel Mansor. Berbuih mulutnya bercakap. Pedas.


“ Ikut suka hati kau la So. Kalau orang-orang lama tanya nanti, kau jawab la sendiri”


Sameon dan Alang mulai mengalah.


“Hmmm… Taulah aku nanti”


 

“Betul apa yang kau dengar?” Tok Lang Hashim mengulang soalan. Sameon hanya mengangguk.


“ Kau pasti benar ke yang dia tak nak?” Lebai Hadi masih inginkan kepastian.


“Betul lebai. Saya pun ada sama” Sampuk Alang. Semua yang ada diam seketika.


“ Hmmm…Bas dah ada.Cuma driver je yang tak ada. Sebelumni, bas yang jadi masalah sebab ramai yang dah tempah. Kali ni kita sempat tempah awal-awal. Driver pulak jadi masaalah. Selain pada Mansor, ada tak lagi yang boleh bawa bas tu?”


“Rafi boleh bawak, tapi tak ada lesen. Rosman pulak nak balik kampung. Kalau nak cari driver luar, mungkin ambik masa. Berapa diaorang nak caj pun tak tahu la lagi?. Lagi parah kalau jalan di KL pun driver tu tak biasa, mau sesat nanti bila kita ke sana. Hanya Mansor je yang aku paling harap nak bawak kita ke sana” Lebai Hadi menokok.


“Apa kata kita pergi rumah dia?” Cadang Tok Lang Hashim.


“ Baik jangan. Dari dia berbalah dengan budak-budak ni sahaja, nanti sampai membabitkan kita orang tua pulak. Kalau dah tak ada sangat tu, kita tangguhkan saja. Beritahu awal-awal kat syarikat bastu. Kalau diaorang boleh sediakan driver kita bayar jer. Kalau tak kita cancelkan sahaja trip ni. Hangus deposit pun tak apa.InshaAllah, tahun depan kita try la buat lagi.” Ngah Lah yang diam dari tadi mula bersuara.


“Tapi Lah…kawan-kawan kita yang ada ni, tahun depan belum tentu semua ada. Masa masih sihat sikit-sikit ni la aku nak merasa berjalan. Bukan ke mana pun. Ke Kuala Lumpur je pun. Ada yang seumur hidup belum pernah tengok orang berbaris Merdeka…” Tok Lang Hashim menambah.


“Bagi kami cuba pujuk lagi Mansor petang ni. Masa lepak petang-petang selalunya hati dia lembut sikit” Sameon cuba memujuk. Tak sampai hati dia mendengar luahan orang tua itu.


“Huh! Aku tak suka sungguh la kalau sampai nak merayu-rayu ni. Dah mati agaknya semangat merdeka anak-anak muda kampung kita ni” Tok Lang Hashim masih belum berpuas hati bersuara.


“ Hmmm…petang nanti kita jumpa kat kedai Sanusi”


Lebai Hadi memberi kata putus.

 


Semua mata tertumpu kepada Mansor sebaik kakinya melangkah masuk ke kedai Sanusi. Lebih-lebih lagi mata orang-orang lama yang masih di situ dari lepas asar tadi. Budak-budak yang tengah rancak bermain karom pun turut berhenti.


“Apa apa ni? Semua tengok aku macam baru bangkit dari kubur”


Mansor mengambil tempat duduk di sebelah Alang. Dia tersengih macam kerang busuk bila teringatkan hal yang berlaku pagi tadi.


“Betul ke kau tak dapat boleh nak bawak bas rombongan Merdeka nanti, Mansor?” Tanya Tok Lang Hashim.


“Minta maaf Tok Lang.Tak boleh. Saya ada kerja sikit” Tipu Mansor. Dia malas untuk bertekak seperti pagi tadi.


“Kerja apa hari Merdeka? Kalau setakat kerja jaga tu, takkan tak boleh cuti kot”

Sampuk Lebai Hadi.


“Jaga la susah cuti,Lebai. Orang cuti, kami kena la jaga” Balas Mansor. Dia tidak berapa suka dengan nada suara Lebai Hadi.


“Bukan ke kalau kau cuti,ada budak Nepal yang cover. Ke Jaga Nepal tu pulak yang sambut merdeka”


Ayat dari Alang mengundang tawa. Mansor bengkak di telinga mendengarnya. Dia dapat agak Alang masih belum berpuashati dengan apa yang berlaku pagi tadi.


“ Kerja saya, mana orang lain tahu. Kalau setakat nak tengok perbarisan tu, Pak Sanusi pun boleh bukak layar besar pagi-pagi. Ramai-ramai boleh datang ngeteh sambil tengok perbarisan kat sini. Kalau Game Bola boleh layan, takkan perbarisan setahun sekali pun tak nak tengok. Sambil-sambil tu boleh juga pekena teh tarik dengan roti canai. Lagi selesa dari berhimpit-himpit di Dataran Merdeka nanti” Cadang Mansor. Dia memang juara kalau diajak bertegang leher.


“Dah bertahun kami tengok perbarisan kat TV. Sesekali, nak jugak tengok siaran langsung. Kalau tak, sampai mati la kami tak merasa nak tengok.” Ulas Lebai Hadi.


“ Dah tahu nak mati tu,pergi ajelah umrah!”


Pang!!!


Lebai Hadi menepuk meja dan cuba untuk bangun. Tok Ngah Hashim mengangkat tangan menghalang. Dia tahu sangat akibat kalau orang tua tu dibiarkan mengamuk.


Tok Ngah Hashim sempat memberi isyarat mata kepada Sanusi, tuan kedai. Matanya dikenyit dua kali. Sanusi mengambil bungkusan yang diserahkan kepadanya semasa Tok Ngah Hashim sampai selepas Asar tadi.


“Akar pinang je?. Yang ni bagi pening boleh la” Ujarnya sebaik membuka bungkusan plastik itu.Dia tahu sangat tujuan pemberian akar kayu itu. Cuma apa perancangan Tok Ngah Hashim seterusnya , dia belum pasti.


Sanusi masuk seketika ke rumah di belakang kedai itu dan kembali dengan pek kecil berisi pil berwarna putih. Pil tidur yang disimpan isterinya. Ubat yang digunakan kalau dia susah untuk tidur.


Diketuknya tiga biji pil itu dengan anak lesung sehingga hancur. Kemudiannya dimasukkan ke dalam kopi yang sedang dibancuh. Akar pinang tadi pula diketuk dua kali sebelum dikacau bersama di dalam kopi itu.

 

“ Kopi special ni!” ujar Sanusi sambil meletakkan cawan kopi di hadapan Mansor.


“Aii, tak order lagi dah sampai. Ada apa-apa ke ni?” Mansor yang curiga dengan kopi di hadapannya. Semua yang ada buat-buat tak tahu. Malas mereka untuk melayan kerenah dia petang ni.


Menyedari yang dia cuba dipinggirkan, Mansor menghirup juga kopi yang dihidangkan. Belum sampai tiga teguk, kepala dia sudah terlungkup di meja. Mujur tidak terkena cawan kopinya!.


Semua yang ada terkejut besar apabila Mansor tiba-tiba rebah. Budak muda yang mahu menelefon ambulan cepat-cepat ditahan oleh Sanusi. Lebih cepat kalau dibawa dengan kereta ke hospital, helahnya.


“Cepat sungguh balasan tuhan pada budak ni!” Luah Lebai Hadi yang sempat bangun untuk memapah kepala Mansor. Dia menggeleng-geleng kepala.


“Dia tak apa-apa,cuma tertidur jer tu” Sanusi yang datang ke meja memberitahu. Dia jugak panik melihatkan kesan gabungan ubat tidur dan akar pinang itu begiru pantas.


“Siapa punya kerja ni?”tanya Lebai Hadi lagi. Garang sekali bunyinya. Dia dapat mengagak ada permainan di sebalik insiden ini.


“Semua ni kerja aku!” Suara garau Tok Ngah Hashim kedengaran dari belakang. Semua yang ada hanya diam bila orang lama yang terlibat sama.


“Bawak budak ni masuk dalam kereta aku!” Arah Tok Ngah Hashim kepada budak-budak muda yang ada. Mansor diusung masuk ke kereta Tok Ngah Hashim oleh Sameon dan Alang. Mereka turut sama menemani Mansor yang sudah lembik.


“Tak sangka penangan akar pinang sampai macam ni” ujar Tok Ngah Hashim di dalam hati.



 

“ Kita nak ke mana ni Tok Ngah?” Tanya Sameon yang turut sama di dalam kereta. Mansor dibiarkan tidur di tengah-tengah. Dia di sisi kiri dan Alang di sebelah kanan. Kerusi disebelah pemandu pula dibiarkan kosong.


“Ikut sahaja. Aku nak ajar sikit kawan kamu ni!”


Kereta Tok Ngah Hashim dipandu hingga tiba di sebuah kawasan perkuburan lama. Dia mencari kawasan pakir berhampiran pintu masuk.


“Ni kawasan kubur Jepun”Alang sudah tak sedap hati memandang ke arah tempat yang mereka tujui. Dia dapat meneka apa yang dirancang oleh Tok Ngah Hashim.


“Takkan kita nak tinggalkan Mansor kat sini Tok Ngah!”


Tok Ngah Hashim hanya tersenyum. Dia memilih satu kawasan lapang di tengah-tengah perkuburan itu untuk membaringkan Mansor. Kawasan itu juga cerah kerana terdapat tiang berlampu.


“Tak bahaya ke Tok Ngah. Tinggalkan Mansor kat tempat macam ni. Kalau jadi apa-apa nanti, siapa yang nak jawab” Sameon bertanya dengan panik.


"Kenapa? kamu berdua dah takut. Setahu aku, belia-belia kampung kita berani belaka. Yang paling berani, yang tertidur ni ha. Setakat mana beraninya kita tengok la nanti"


"Kita nak tunggu dalam kawasan kubur ni ke?"


“Tak payah. Kita bertiga tunggu dalam kereta sampai dia sedar nanti. Kamu berdua yang kena ulang tengok dia. takut kalau-kalau ada binatang buas.”


Arahan yang diberikanTok Ngah Hashim dituruti walaupun masih sangsi dengan tindakan membiarkan Mansor tidur di kawasan perkuburan itu.


 


Sayup-sayup kedengaran bunyi batuk yang menyedarkan Mansor dari tidur. Dia cukup tidak selesa dengan kain berair yang diletakkan diatas ubun-ubunnya. Tempat tidurnya pula hanya beralaskan sehelai tikar mengkuang. Bahagian atas tubuhnya ditutupi kain pelikat dan bahagian paha ke bawah pula ditutupi dengan guni. Aura sejuk terasa hingga ke tulang apabila dipupuk bayu pagi.


“Kat mana aku ni?”


Mata Mansor meliar memerhatikan tempat yang begitu asing pada dia. Bahagian atas bilik ditutupi dengan atap nipah dan di kawasan sekelilingnya pula berdindingkan papan.Semuanya kosong tanpa sebarang hiasan. Ternyata dia berada di sebuah pondok usang yang diperbuat dari papan. 


Kepala Mansor terasa sangat berat bila dia cuba bangun untuk duduk. Seakan ada ketul batu yang terikat diatas kepala. Namun dia gagahi jugak untuk duduk dan menyandarkan diri ke tepi dinding.Pandangannya pun masih berpinar-pinar.


“Syukur, kau sedar juga Amran!”


Suara seorang wanita kedengaran tidak jauh dari situ. Suara yang langsung tidak dikenali Mansor.


"Amran!. Siapa pulak Amran."


Seorang wanita separuh baya muncul di pintu. Di tangannya ada sebiji pinggan retak dengan dua ulas ubi kayu. Diletakkan di tepi Mansor.


“Makan dulu. Lama dah kau tak sedarkan diri, tentu lapar”


Mansor memang terasa sangat lapar. Petang tadi pun dia tidak sempat menjamah apa-apa di kedai Sanusi. Ubi kayu yang menerjah tenggoroknya berasa tawar sahaja. Namun dihabiskan juga kerana lapar. Air masak di dalam tempurung ada di situ dihabiskan dengan sekali teguk. Kepalanya turut terfikir akan hidangan yang terlampau ringkas itu.


Seorang lelaki yang bermisai dan berjambang pula masuk ke bilik itu.


“ Amran, Ayah nak kau batalkan niat nak ikut serta angkat senjata melawan Jepun. Jepun dah kepung seluruh kampung. Kalau kau masih berdegil, buruk padahnya nanti. Mujur kau tu pengsan sahaja, tak mati. Saod dan Lokman pula dah jadi arwah” ujar orang tua itu. Matanya serius memandang ke arah Mansor.


Mansor masih keliru dengan panggilan Amran tadi. Perkataan “Jepun” pula membuatkan dia semakin tertanya-tanya. Dia di mana ?, Di zaman apa?. Soalan-soalan itu membuatkan dia tidak mampu untuk berkata-kata.


“Lepas sihat ni, Kau buatlah kerja bendang tu macam biasa. Kalau tak ada kerja apa-apa, kau pergi cari ikan dengan ubi kat hutan. Makanan yang ada tu dah tak berbaki. Adik-adik kau tu bukannya tahu nak berjimat sangat. Beras yang orang kampun kita sorokan pun sudah habis dirampas Jepun. Memang ada pengkhianat di kalangan orang kampung kita”


“ Err.. Saya kat mana?”


Soal Mansor yang tak mengambil berat langsung kata-kata orang tua tadi. Soalan itu tidak berjawab kerana orang tua itu segera berlalu dari situ.


 

Mansor cuba bangun untuk membasuh muka. Dia tidak berapa selesa dengan rasa melekit di muka dan seluruh tubuhnya. Bau badannya sudah cukup mengatakan yang dia belum mandi untuk beberapa hari.


Keanehan suasana di rumah itu masih berterusan. Air yang ada hanya di dalam tempayan di tepi rumah. Itu pun setelah puas dia meninjau serata rumah.Itu juga satu-satunya benda yang boleh dianggap berharga di situ. Rumah itu sunyi kerana penghuni lain entah hilang ke mana.


“Celaka, Mimpi apa pulak ni? Nak bagi aku maki la ni" Fikir Mansor sendirian. Dia dapat merasa kedinginan air yang mencecah seluruh raut mukanya. Sekilas bayangan di air, dia nampak wajah seorang pemuda yang berjambang penuh di muka.


“Aku ni dah jadi siapa?Amran ? Celaka!!! Siapa la punya kerja ni!!!”


Mansor berdengus marah. Mukanya diraut kasar untuk memastikan perubahan yang dialaminya. Dia kini dengan wajah berbeza dan tidak terurus.


“Aku tak mahu jadi macam ni..” Teriak Mansor di dalam hati. Hatinya juga berdoanya supaya segera terjaga sekiranya semua ini hanyalah mimpi.


“ Kau jangan kemana-mana lagi. Baru sihat dari demam tu, tak baik berjemur panas"


Tegur lelaki yang menasihati dia sebentar  tadi. Rupa-rupanya lelaki itu mengekorinya. Mungkin masih bimbang dengan tahap kesihatannya.


“ Ni siapa yang pandai nak nasihat orang ni?”


Pertanyaan yang keluar dari bibir Mansor membuatkan lelaki tua dihadapannya terdiam seketika. Mulut celupar Mansor sudah kembali. Dia sudah tidak tahan untuk mengunci mulut seperti tadi. Banyak perkara yang membuatkan dia berasa sangsi.


“Kau betul-betul tak ingat ke? Ayah sendiri pun tak kenal ke?”


“Ayah apanya?. Dah lama Ayah aku tak ada. Ni aku kat mana? Semua ni siapa punya kerja? Handset aku mana???”


Pertanyaan yang bertubi-tubi itu menyebabkan lelaki tua itu berlalu dari situ. Sama seperti tadi.


“Woi! Tunggu. Aku belum habis tanya lagi!”


 

Langkah Mansor laju menyusuri arah lelaki tua itu pergi. Kepalanya ligat berfikir. Bukan sekadar hilang ingatan sahaja, dia sebenarnya hilang dari masa hadapan. Cepat-cepat dia ingin mencari orang tua tadi bagi mencari jawapan.


“Belum habis cakap dah lari!” Luahnya sebaik terserempak dengan lelaki tua tadi. Dia sedang membelek pukat yang digantung di tepi rumah.


“Aku tak pernah ajar anak-anak kurang adab. Kalau ikutkan hati, aku nak tajakkan sahaja kepala kau.Hormat sikit orang tua. Kalau tak pandai nak hormat orang, baik aku panggil Jepun dan suruh dipenggalnya kepala kamu!”


“Hah!, kejam benar hukuman Jepun tu. Jepun tu tak takut undang-undang negara ni ke?”


“Kamu gila ke. Sejak bila kita ada undang-undang. Jepun tu la undang-undang. Nampak tak bendera yang berkibar sama tinggi dengan pokok kelapa tu. Itulah kerajaan kita sekarang. Kau ni dah betul-betul pelupa la sejak kena belasah dengan Jepun tempoh hari"

 

Bendera Jepun kelihatan berkibar megah tidak jauh dari rumah itu.


“Err.. Bukan ke, Malaysia sudah Merdeka?”


Lelaki tua dihadapannya tertawa.


“Malaysia tu apa? Merdeka tu apa? Pertama kali aku dengar perkataan ni. Itu bahasa Nippon juga ke?. Demam kamu kali ini memang pelik la. Hairan aku dan mak kamu dibuatnya…”


Mansor mula berasa panas.Semua yang ada sekarang nampaknya sudah berpuluh tahun ke belakang. Zaman yang dia berdiri sekarang adalah zaman Jepun. Kesusahan dan kepayahan orang ramai untuk hidup kini terpampang di depan mata.


Rumah-rumah papan di kampung itu yang letaknya agak berjauhan antara satu sama lain. Langsung tiada kenderaan yang kelihatan lalu lalang. Hanya binatang ternakan yang kelihatan merayau di sekitar kampung. Untuk melihat orang menunggang basikal pun payah.


“Tak boleh jadi ni. Ini semua rancangan nak kenakan aku!!!” Jerkah Mansor secara tiba-tiba. Dia, dengan berkaki ayam berlari ke arah denai kampung. Tujuannya adalah untuk menuju ke arah tempat tegaknya bendera Jepun. Dia mahukan kepastian untuk apa yang sedang berlaku.


“Biar aku jumpa terus dengan orang Jepun. Susah kalau aku terperangkap terus kat sini. Harap-harap ada yang boleh bawa aku keluar dari zaman ini.”

 


“Pang!!!”


Satu das tamparan singgah di muka Mansor. Belum sempat dia bersuara pun, sudah dihukum begitu. Pengawal di pintu hadapan bertindak sebelum Mansor melangkah masuk ke pejabat sementara Tentera Jepun. Pejabat itu sebenarnya adalah rumah Ketua Kampung. Diambil secara paksa oleh tentera Jepun dan dijadikan markas sementara.


“Begini rasanya penampar jepun!” Ujar Mansor di dalam hati. 


Dia mengusap-ngusap pipi yang dirasakan membengkak. Tugasnya masih belum selesai lagi. Untuk melawan jauh sekali. Senapang di tangan lelaki Jepun itu mengingatkan dia akibat yang mungkin terjadi menanti.


“ Kenapa kau datang sampai ke sini Amran? Aku ingat kau dah mati!” Seorang lelaki berkemeja putih dan bersongkok tergesa-gesa berlari datang ke situ. Wajah Mansor seolah sangat dikenalinya.


“Aku nak jumpa Jepun!. Ada perkara penting aku nak tanya”


“Bukan sembarangan orang boleh jumpa Jepun. Akulah yang jadi wakil orang kampung dengan Jepun. Benda apa yang kau nak sampaikan, biar aku sahaja yang jelaskan pada Jepun. Kau jangan cuba-cuba nak cantas tugas aku!”


Nyata di hadapannya seorang peribumi yang menjadi tali barut Jepun!. Mungkin dia menyangka yang "Amran" mahu membocorkan maklumat tentang perjuangan menentang Jepun.


Darah Mansor mendidih mendengar kata-kata dari pengkhianat orang kampung di hadapannya. Pertama kali juga perasaan sayangkan tanahair menjalar dalam tubuhnya. Penderitaan yang dilihatnya di sekitar kampung tadi bertambah parah dengan pengkhianatan bangsa sendiri di hadapan mata.


“Untuk pengetahuan kau,Jepun kat sini pun tak lama. British ambil balik pun tak lama. Kita sendiri yang akan perintah negara ini..” Ucap Mansor penuh yakin. Dia sudah tidak mahu berselindung. Biarlah kalau semua orang tahu yang dia dari masa hadapan. Dengan bangga dia akan bercerita tentang kemerdekaan negara ini kelak.


Lelaki yang dihadapannya merenung dengan penuh tandatanya. Belum ada orang kampung yang berani mengeluarkan kenyataan sebegini. Dia yakin benar yang Jepunlah yang bakal memerintah negara ini.


“Huh! Berani kau cakap macam tu. Tangkap dia!” Arah lelaki itu dengan nada marah. Askar-askar Jepun yang berdiri mengepung Mansor pun segera bertindak.

 


Mansor berjalan lemah diheret oleh beberapa askar Jepun ke sebuah kawasan lapang. Sudah tiga jam dia diseksa dengan beberapa seksaan. Dipaksa minum air sabun sebelum perutnyadipijak hingga air itu keluar semua. Kuku di jari kirinya dicabut satu persatu.Dan belakang badannya pula ditekap besi panas. 


Sakit dan sengsara yang dirasakannya tidak lagi terucap dengan kata-kata. Semuanya kerana Jepun mahumengorek segala rahsia yang dia ada. Namun apabila dia bercerita perihal siapa dirinya yang sebenar, tiada pula yang percaya.Dan dia menjadi bahan tawa.


Cahaya matahari petang menyucuk tubuhnya yang kesakitan dan kelaparan. Kesengsaraan itu tidak pernah sekalipun terbayang di dalam hidupnya. Dia benar-benar mahu lari dari semua seksaan itu!


“Ya Allah, aku benar-benar insaf” getusnya. Air sabun yang dipaksa minum tadi masih membuak di dalam perutnya.


Kesan lebam di badan dan luka pada jari-jemarinya memberikan kesakitan yang sukar digambarkan. Titisan dari dari tangannya itu masih menitis sebaik dia dipaksa bergerak. Tangan kanannya masih terketar-ketar menahan sakit. Sepak dan terajang dari askar-askar Jepun pula diterimanya setiap kali dia melangkah perlahan. Tentera Jepun masih mahu dia bergerak pantas walau apa keadaan sekalipun.


Beberapa kali juga dia mengucapkan kalimah syahadah. Bimbang kalau-kalau hayatnya berakhir di situ.Sambil itu, dia turut berdoa untuk bebas semula seperti dulu. Dia juga berjanji pada diri sendiri untuk merubah perangai buruknya.


“Orang macam kau ni layak dipancung sahaja” Lelaki yang menangkapnya tadi kini berada di depan mata. Seorang askar Jepun sudah siap berdiri dengan pedang yang terhunus tidak jauh dari situ. Yang lainnya berdiri di bawah pokok berhampiran untuk melihat hukuman yang akan dilaksanakan.


Mansor menarik nafas panjang. Inilah keadaan paling genting dalam hidupnya. Bergetar bibirnya mengucapkan syahadah beberapa kali. Dia benar-benar berasa takut!.


“Lepas kau mampus! Mereka pula akan menyusul”


Lelaki itu menunjukkanke arah seorang lelaki dan sorang wanita dengan yang turut terikat tidak jauh dari tempat dia berteleku. Rupanya yang turut ditahan adalah lelaki dan wanita dari rumah tempat dia tersedar tadi. Mereka menggelarkan diri Emak dan ayah kepadanya.


“Ya Allah. Keluarga yang tak bersalah ni pun hendak dipancung sama!”


Kali ini, perasaannya pula teruji. Disebabkan dia, sebuah keluarga akan kehilangan nyawa. Titis-titis jernih mengalir di tubir matanya. Dia menundukkan kepala apabila suara perempuan menangis dan jeritan orang dipukul kedengaran hingga ke telinganya. Juga caci maki dari lelaki yang menghukumnya tadi masih belum berkesudahan.


Ayat yang paling menusuk perasaannya adalah jeritan dari sang suami yang langsung tidak menyalahkan dirinya.


“Amran! Kami tak pernah salahkan kamu. Ajal dan maut di tangan tuhan!”


Ayat itu juga membuatkan dia ingin bangkit melawan. Itu sahaja yang mampu dilakukannya andai takdir tidak menyebelahinya.


“Allahhuakbar! Merdeka”Jerit Mansor perlahan.


“Allahuakbar! Merdeka!” Sambungnya lagi dengan nada yang lebih kuat.


“Allahuakbar! Merdeka!” Dia mengangkat kepala dan melaung dua perkataan itu sekuat hati.


Laungannya itu menarik perhatian semua yang ada di situ. Tambah-tambah lelaki yang masih galak menyeksa keluarga tadi. Askar-askar Jepun mulai mengalih perhatian kepada Mansor.


Serentak dengan itu, tubuh Mansor pula dihujani dengan sepakan dan hentakan. Sebelum itu, dia dibaringkan ke tanah. Bibirnya masih mengucapkan kata-kata tadi walaupun sudah berdarah dan giginya patah. Sehinggalah lehernya dibetulkan dan …


Zapp!!!!


Mansor merasa sejuk dileher sebelum dia terbangun. Di sekelilingnya kini adalah kubur-kubur lama.Suasana gelap dan dia bertemankan lampu yang terpasang di tiang. Apa yang jadi sebelum ini ligat bermain di dalam fikirannya.


“ Aku di kubur Jepun rupanya!”


Ucapnya setelah dapat mengenalpasti kawasan tersebut. Kubur itu dinamakan kebur Jepun kerana menempatkan mangsa-mangsa yang meninggal dunia akibat kekejaman Jepun di kampung itu. Tempat yang sama dia menerima hukuman tadi.


Rasa sayu menyelubungi hati Mansor setelah dia menyelami peristiwa yang dilaluinya itu. Satu persatu wajah-wajah yang menemani pemergiannya tadi bermain di ruang fikiran.Dia bangun dan duduk bersimpuh. matanya memandang ke arah sekeliling kawasan itu. Sunyi dengan rimbunan semak samun yang makin meninggi. Lidah Mansor melafazkan surah Al Fatihah dan tiga Qul untuk disedekahkan kepada semua penghuni perkuburan itu. Langsung tidak terlintas di hatinya perasaan takut atau seram.


“Laa…dia dah sedar tu” Suara Sameon kedengaran tidak jauh dari situ. Alang mengikutnya berjalan ke arah Mansor. Keberanian mereka berdua teruji di kawasan perkuburan itu  pada malam ni.


“Jom balik!” Ajak Mansor sebaik mereka berdiri di sisinya. Mansor hanya bangun dan menepuk pakaianya yang dipenuhi debu dan tanah. Dia mengekori dua sahabat itu dari belakang.


Namun sepatah perkataan pun tidak keluar dari mulut Mansor sehingga mereka bertemu Tok Ngah Hashim di kereta. Sikap itu menimbulkan pertanyaan kepada Sameon dan Alang. Sebelum ini, kalau berlaku perkara seperti itu, pasti pergaduhan besar akan berlaku.


“Tok Ngah, Saya janji akan bawa bas tu ke KL. InshaAllah” Itu sahaja ayat Mansor sebaik masuk ke kereta.


"Baguslah"


“ Apa yang dah jadi ni Tok Ngah?” Alang berbisik ke telinga Tok Ngah Hashim.


“Hanya orang yang pernah tertidur di sini sahaja yang tahu” Jawab Tok Ngah Hashim penuh makna.



“Alhamdulillah, Merdeka!”


Lafaz Mansor perlahan.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.