Home Cerpen Keluarga Si Tua Itu Suamiku
Si Tua Itu Suamiku
Zhar Aruzi Hairi
26/6/2016 11:20:36
42,588
Kategori: Cerpen
Genre: Keluarga

Si Tua Itu Suamiku

Oleh : Zhar Aruzi Hairi

Naemah memintal-mintal hujung tudungnya berkali-kali. Dia menghenyakkan badan ke bantal yang diletakkan d iribanya.Air matanya yang mengalir dari tadi belum tentu ada penghujungnya.Kalaulah air mata itu boleh ditakung, sudah tentu boleh penuh botol air pepsi 1.5 liter. Gundah hatinya tidak mungkin surut.

“Mak, Akak masih tak mau bukak pintu bilik. Dari tadi Angah ketuk. Kita pecahkan ajelah pintu tu. Mana tau kalau-kalau Akak tu ambik keputusan yang bukan-bukan.Bunuh diri ke?” Maisara mengadu pada ibunya Cik Som.

“Ish kamu ni! Fikir sampai ke situ. Ni semua pengaruh dari TV la. Banyak sangat tengok drama-drama pukul 7.00 tu.”Balas Cik Som.

“Bukan macam tu Mak. Angah tak nak kita hilang sorang lagi ahli keluarga.Dah la Ayah dah lama pergi” Suara Maisara sedikit sebak.

“Kamu ni. Arwah tu pergi dah ketentuan Allah. Dah lama pun. Kakak kamu tu Mak nampak dia ambik air sembahyang tadi. Tengah solat la tu.Dia tak apa-apa. Habis rajuk tu nanti keluarlah dia” Ujar Cik Som. Sengaja suaranya ditinggikan. Supaya anaknya itu faham.

“Salah Mak jugak semua ni. Kenapa Mak terima pinangan Haji Jailani tu. Dah tua Bangka masih nak berbini” Templak Maisara.

“Mak tak boleh nak tolak. Hutang-hutang kita pada dia selama ini pun tak pernah berbayar. Nak harap anak-anak tolong bayarkan pun, belum tentu mampu” Ulas Cik Som. Tangannya yang sibuk mengelap tadi terhenti sebentar. Dia bercekak pinggang.

“Kesian Akak” Balas Maisara sebelum berlalu pergi.

Cik Som terduduk di kerusi. Apa yang diucapkan oleh anaknya itu ada benarnya. Dia faham sangat bebanan perasaan Naemah. Namun dia tak mampu menolak. Setakat menyara hidup dengan menjual nasi lemak dan kerepek sahaja, berapa sangatlah yang mampu dia perolehi. Ada tujuh mulut yang dia terpaksa sara. Dia redha kalau seorang dari mereka terpaksa berkorban. Bukan buat benda yang tak baik pun. Haji Jailani pun tidak memaksa-maksa. Dia sendiri yang akur.


Azan Asar baru sahaja selesai. Haji Jailani bergegas menaiki motosikal ke masjid. Baju Melayu pengantin yang dipakainya pun masih tersarung. Dia tahu rakan-rakan semasjid tentu akan mengambil kesempatan memerlinya nanti. Apa pun, panggilan dari Illahi tadi perlu diutamakan. Sempat juga dia-berpesan-pesan pada Cik Som untuk memaklumkannya jika ada apa-apa nanti.

Jiran-jiran yang datang menolong tadi beransur-ansur pulang hanya beberapa orang yang masih lagi membasuh periuk belanga. Cik Som sendiri masih sibuk membungkus lauk-pauk yang masih berbaki. Semuanya akan diserahkan kepada jiran-jiran berdekatan. Sedikit sahaja yang disimpan untuk jamuan malam anak-anaknya dan pengantin malam nanti.


Naemah langsung tidak keluar bilik sebaik akad nikah selesai. Dua tiga orang rakannya sempat datang mengucapkan tahniah. Sambil memberikan hadiah mereka tersenyum-senyum. Mungkin memerli dirinya yang terpaksa berkahwin dengan lelaki berumur 65 tahun itu. Ada juga yang berpendapat dia hanya mahu mengikis harta orang tua itu. Hakikatnya hanya tuhan yang tahu.Seboleh-bolehnya dia tidak mahu keluar rumah lagi selepas ini. Malu sangat-sangat dengan kawan-kawan dan orang kampung. Kalau Haji Jailani setuju, dia mahu lekas-lekas berpindah dari situ. Kalau berjalan nanti, sah-sah macam anak dengan bapak!

Dia juga tidak faham kenapa Maknya dan Haji Jailani beriya-iya nak mengadakan kenduri. Sekadar akad nikah dan bagi orang makan di masjid sudah memadai. Buat apa memalukan diri. Maknya pun, apalah yang hendak dibanggakan dengan menantu yang lapan tahun lebih tua darinya itu. Apabila memikirkan semua itu, dia mahu menangis. Kalau Islam membenarkan membunuh diri, awal-awal lagi dia menggantung diri pada kipas siling.

Kelibat anak-anak dan menantu-menantu Haji Jailani langsung tidak kelihatan semasa kenduri. Semuanya sudah dimaklumkan oleh Haji Jailani sendir. Tentu ada perkara yang membuatkan mereka memboikot majlis tadi.


Kini, hatinya berdebar-debar menanti suaminya masuk ke dalam bilik.

“Dah makan?” soal Haji Jailani sebaik meletakkan songkoknya diatas meja solek. Baru sekarang dia berpeluang untuk berehat. Dari tadi sibuk melayan gurauan kawan-kawan dan orang kampung. Maklumlah, dia dapat merasa daun muda. Ada sahaja kata-kata yang kadangkala menyakitkan hati. Namun Haji Jailani diamkan sahaja.

“Dah” jawab Naemah pendek. Muka suaminya langsung tidak dipandang.

“Ayah Haji nak mandi dulu” ujar Haji Jailani. Dia masih menggunakan gelaran “Ayah Haji” meskipun sudah bergelar suami kepada Naemah. Gelaran yang digunapakai semejak Naemah kanak-kanak lagi. Siapa menjangka lelaki yang berumur 40 tahun lebih tua darinya itu akan menjadi suaminya. Memang berserabut kepala memikirkan semua hal. Belum masuk bab munakahat dan anak pinak lagi. Naemah terasa ingin menangis sekali lagi.

Naemah masih menunggu dari tadi. Lama benar Pak Hajinya di bilik air. Entah apa pil yang ditelannya atau ubat apa yang dibubuhnya nanti. Hati Naemah menanti penuh debaran.

Pintu biliknya dibuka sedikit supaya tidak berkeriut apabila suaminya membukanya nanti. Dia hanya berkain batik dan memakai t-shirt. Mukanya dibiarkan tanpa sebarang solekan. Selepas solat Isyak dan solat sunat nikah tadi, dia berasa sedikit tenang. Kepalanya hanya cuba memikirkan perkara-perkara yang positif sahaja. Sekurang-kurangnya dia bersuamikan seorang lelaki yang baik ilmu agamanya, ada harta untuk menyara dia dan diterima oleh seluruh ahli keluarganya. Kalau dibandingkan usia pun, banyak juga yang berkahwin muda tetapi bercerai berai juga akhirnya. Dia mahu mendoakan yang baik-baik sahaja. Pasrah dengan apa yang telah berlaku. Mungkin inilah yang dikatakan jodoh.

Tiba-tiba telefon bimbit dengan Nada dering lagu hindustannya berbunyi. Belum sempat satu rangkap lagu janam, janam tu dihabiskan, dia terus mencapai telefonnya.

“Assalamulaikum Naemah, Ayah Haji ni.” Suara suaminya kedengaran di hujung talian. Seumur hidupnya belum pernah lelaki itu menelefonnya, walaupun sebelum bernikah.

“Waalaikum salam. Naemah dengar ni”

“Malam ni Ayah Haji tidur di rumah Ayah Haji je. Dah lewat malam sangat ni. Tadi ada mesyuarat tergempar di masjid”

“Hmmm.. Naemah faham” Ujar Naemah dengan nada mendatar.

“Lepas subuh esok Ayah Haji ke sana” Pesan Haji Jailani sebelum menamatkan perbualan.

Naemah menarik nafas panjang. Marah pun ada. Lega pun ada. Malam pertamanya diraikan tanpa kelibat suami di sini. Awal-awal tadi dia membayangkan Haji Jailani yang hanya berkain pelekat dan menghisap rokok akan tersandar menunggunya diatas katil. Fikirannya sebegitu dibuangnya jauh-jauh. Kini sedikit sebanyak dia merasakan yang lelaki tua itu cuba untuk berjauhan dengannya.


“Kejap lagi saya nak bawa Naemah ke Alor Setaq. Mungkin kami tidur di sana” Haji Jailani bersuara kepada Cik Som.

“Ikut suka kamulah Haji, Naemah pun dah jadi bini kamu. Aku dah tak berhak nak menghalang” Cik Som menyenduk nasi goreng dan meletakkannya ke pinggan anaknya. Naemah hanya membisu sambil menyuap nasi. Rancangan Haji Jailani itu pun baru sahaja diketahuinya.

“adik nak ikut” Helmi yang berumur sepuluh tahun pula menyampuk.

“Hish!! Kamu ni. Pandai-pandai jer nak ikut orang. Duduk rumah, baca buku. Periksa pun dah tak lama dah” bebel Cik Som. Helmi kemudiannya menundukkan kepala sambil menyuap nasi.

“Kejap lagi, kamu siapkan apa yang patut” pesan Cik Som pada Naemah. Kali ni pun Naemah hanya mengangguk.


Sepanjang perjalanan, mereka berdua hanya berdiam diri. Hanya celoteh DJ di radio menemani Haji Jailani dan Naemah. Masing-masing sudah kelu untuk berkata-kata. Kalau sebelum ini ada-ada sahaja cerita yang dibawa Naemah kalau ke rumah Haji Jailani.Kali ini dia mati untuk berkata-kata. Biarlah apa yang berlaku di Alor Setar nanti mampu mengubah suasana yang ada sekarang.

“Nak makan dulu?” tanya Haji Jailani sebaik memberhentikan kereta. Jam tepat menunjukkan pukul 12.00 tengahari, waktu untuk makan tengahhari.

“Kenyang lagi” Naemah menggeleng dan keluar dengan menggalas beg tangannya. Tudungnya sempat dibetulkan semula. Biar kemas.

Haji Jailani mendongak mencari papan tanda tempat yang mahu ditujuinya. Naemah mengekor dari belakang. Akhirnya mereka sampai di sebuah firma guaman.


“Sampai juga Haji ke pejabat saya” Zamri duduk mengadap Haji Jailani dan Naemah. Satu fail tebal berwarna hitam diletakkan diatas meja.

“Kita teruskan dengan permintaan Haji semasa menelefon saya semalam. Semua dokumen saya dah sediakan” Zamri menghulurkan beberapa keping kertas.”Haji baca dulu. Kalau ada apa yang tak faham boleh tanya saya. Naemah masih tercongok-congok dari tadi.

“Lepas tu saya mintak Puan Naemah dan Haji Jailani sama-sama sain” arahan seterusnya diberikan oleh Zamri.


Selesai urusan di pejabat peguam, mereka berdua bergegas ke hotel. Haji Jailani memilih Grand Alora Hotel sebagai tempat mereka bermalam. Melangut juga Naemah memandang keatas melihat ketinggian bangunan. Beg-beg yang dibawanya turut diusung sekali.

Penyambut tetamu tersenyum menyambut ketibaan mereka.

“Bagi kami deluxe suite untuk satu malam” Reseptionist yang menerima tempahan menaip sesuatu pada papan kekunci computer. Sesekali matanya beralih dari Haji Jailani ke Naemah. Mungkin cuba untuk memahami situasi yang ada. Biasanya bilik yang dipilih itu adalah untuk pasangan yang baru berkahwin.

Naemah sangat berpuas hati dengan suasana dan hiasan di bilik hotel. Kalau boleh dia nak lebih lama menginap di situ. Corak hiasan dalaman dan perabot yang ada memukau perhatiannya. Sedikit sebanyak dia merasa gembira setelah apa yang berlaku.

“Mana beg Ayah Haji?”soal Naemah agak malu-malu.

“Dalam kereta. Sekejap lagi kita keluar balik ya. Kita pergi makan” Balas Haji Jailani yang berdiri merentang tangan pada birai tingkap. Dia cuba menikmati pemandangan Bandar Alor Setar dari situ.


“Alhamdullillah, dah selesai pun semuanya” ucap Haji Jailani sebaik menghirup the tarik yang dipesannya. Naemah masih menunggu sirap limau yang dipesannya.

“Surat apa tadi yang Naemah sign?” Tanya Naemah yang masih keliru.

“Surat hak milik. Sekarang ni, tanah rumah dan tanah kebun di kampung tu, Ayah Haji serahkan pada Naemah” Tenang sahaja Haji Jailani menjawab. Dia sekali lagi mencicip air tehnya dengan penuh nikmat.

“Hah..Kenapa Haji buat macam ni?. Naemah tak mintak apa-apa pun. Jangan-jangan mak yang suruh Haji buat macam tu.Naemah tak suka la!!”

“Sabar. Sabar..jangan nak tuduh Mak kamu sembarangan. Dia pun tak tahu hal ni. Kamu yang kena beritahu pada dia nanti. Hujung bulan ni, kamu sekeluarga pindah masuk ke rumah aku” ujar Haji Jailani.

“Pindah, kenapa pulak?” Hampir sahaja bersembur air sirap yang dihirup Naemah.

“Sebab tuan tanah yang kamu duduk tu nak ambil semula tanahnya”

“Takkan Chu Esah nak ambik semula tanahnya. Dia dah janji yang kami boleh duduk di tanah tu selama mana yang kami mahu.”

“Bukan Chu Esah yang nak ambil. Anaknya Anwar yang nak buat macam tu. Dia nak buat rumah dan buka kandang kambing kat belakang tu. Chu Esah pulak dah nyanyuk, dah tak ingat apa-apa.”

“laa..tak tahu pulak nak jadi macam ni.”

“Salah kamu sekeluarga juga. Tak beli tanah tu awal-awal dulu, masa Chu Esah sihat. Walaupun dia tu saudara mara kamu, hal tanah ni tak akan selesai setakat cakap mulut sahaja. Manusia boleh berubah” Jelas Haji Jailani.

“Sebab tu Haji Kahwin dengan saya kan!!” Naemah mulai menangkap apa yang sedang dilakukan oleh Haji Jailani. Orang tua itu sekadar mengangguk.


“Kenapa tak kahwin sahaja dengan Mak” Naemah pula menyoal. Kali ini dia mahu mengorek cerita dengan lebih dalam.

“Mak kamu menolak sebab dia tidak boleh lupakan ayah kamu. Dia yang cadangkan Ayah Haji ambil kamu. Ayah Haji cuma tak mahu kamu sekeluarga merempat. Anwar tu mati-mati tak mahu jualkan tapak rumah tu. Dia kata kawasan tu strategik untuk bukak ladang kambingnya”

Naemah menghirup teh aisnya sambil mengimbau susun atur majlis perkahwinannya semalam. Tujuan Haji Jailani mengahwininya semakin jelas.

“Haji dah buat saya dan keluarga terhutang budi sangat-sangat. Macam mana kami nak balas” luah Naemah. Terharu dengan pengorbanan yang dilakukan oleh orang tua itu.

“Arwah ayah kamu pun dah banyak berbudi kepada Haji sekeluarga dahulu. Sampai kami semua senang macam sekarang. Mungkin sekarang masanya untuk Ayah Haji membalas. Cuma Haji minta maaf sebab kamu terpaksa ambik kamu jadi bini” jelas Haji Jailani tersenyum. Kali ini Naemah turut tersenyum. Terasa lucu pula.

“Sekarang ni Naemah dah jelas semuanya. Sepatutnya kami yang berterima kasih dengan Ayah Haji."

"Sekurang-kurangnya Haji dah jadi keluarga Naemah. Kalau masuk rumah nanti taklah kekok sangat. Ayah Haji dengan Mak pun dah jadi macam mak dengan menantu. Dah ada ikatan keluarga”

“Itulah yang Ayah Haji harapkan”

“Anak-anak Ayah Haji macam mana. Seorang pun tak nampak masa majlis semalam. Marah sangatkah diorang yang Ayah Haji buat keputusan macam ni?” Sambung Naemah.

“Keempat-empat mereka ada telefon Ayah Haji pagi semalam. Malu nak balik kata mereka, sebab Ayah Haji kawin bini muda. Tapi semuanya faham apa yang ayah buat sebenarnya. Sebelum kenduri lagi kami sekeluarga dah berbincang panjang”

“Hal tanah tu pun, Ayah Haji dah bincang baik-baik dengan diaorang. Seorang pun tak nak untuk tinggal di kampung kita. Masing-masing dah berjaya dan ada rumah besar. Dah tak betah jadi orang kampung.”

“Lagipun,bahagian untuk mereka pun Ayah Haji dah pun agih-agihkan. Semuanya dapat bahagian masing-masing. Lawyer tadi juga yang uruskan .Cuma Haji nak minta, kalau mereka balik kampung tu, layan mereka baik-baik macam ahli keluarga. Tanah-tanah mereka di kampung kita, tolong-tolonglah tengok-tengokkan”

“Insya Allah. Semua anak Ayah Haji tu dah lama kami anggap macam keluarga.” Janji Naemah.


Naemah mulai merasa selesa semula berhubungan dengan Haji Jailani. Cuma yang dirasakan bukanlah hubungan antara suami dan isteri, tetapi lebih kepada hubungan antara ayah dan anak.

“Ayah Haji nak minta satu perkara lagi. Naemah jaga Ayah Haji macam dulu-dulu. Tengok-tengokkan kesihatan Ayah Haji.Tak macam laki bini pun takpa. Sebab tu awal-awal lagi Ayah Haji kena minta maaf. Mungkin Ayah Haji tak mampu nak layan Naemah sesempurna suami-suami yang lain.”

Naemah hanya mengangguk. Ada cairan jernih dimatanya namun cepat-cepat dikesat dengan hujung tudung.

“Naemah redha sahaja Ayah Haji. Inilah jalan terbaik untuk kami sekeluarga” Ulas Naemah. Kali ini dia memandang tepat ke wajah tua di hadapannya.

“Ayah Haji benarkan Naemah sambung belajar. Nak masuk kolej pun takpa, nak belajar mengandam ka,menjahit ka, pun takpa”

“Dan kalau Naemah terjumpa dengan jodoh lain. Ayah Haji boleh lepaskan bila-bila masa” Haji Jailani menghabiskan sisa-sisa the tariknya. “Itu janji Ayah Haji.”

Naemah tersenyum tawar memandang wajah suaminya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.