Home Cerpen Seram/Misteri DETIK PARANORMAL : SEKOLAH MENENGAH ST. PIERRE
DETIK PARANORMAL : SEKOLAH MENENGAH ST. PIERRE
Ninie Othman
24/12/2016 21:41:48
4,358
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

DETIK 2 : SEKOLAH MENENGAH ST. PIERRE


SENYUMAN terukir di bibir masing-masing. Penyiasatan mereka di banglo Sir Howard Clifftons pada minggu lepas telah mendapat lebih seratus ribu views di YouTube. Ini merupakan satu pencapaian yang besar buat mereka!

“Semua dah tak sabar nak tengok episod dua.” Aaron berkata seronok. Matanya tidak lepas dari memandang jumlah views di YouTube.

“Good job guys! Minggu ni kita nak ke mana pulak?” tanya Azri lalu memandang wajah rakan-rakannya. Dia akan bertanyakan pendapat rakan-rakannya terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa keputusan walaupun dia seorang ketua.

“Aku ada satu lokasi,” ujar Shah.

“Sekolah terbiar dan berpuaka. Dah 20 tahun sekolah ni tutup.” Shah menyambung.

Kata-kata Shah memang menarik minat rakan-rakannya. Mereka semua memandang Shah tidak berkelip-kelip. Mahu mendengar penjelasan dengan lebih lanjut.

“Perlu ke kita mintak izin sapa-sapa kalau kita nak lock down kat situ?” Azri bertanya. Dia tidak mahu nanti kehadiran mereka di situ mengganggu mana-mana pihak yang berwajib.

Shah menggeleng, “Tak perlu sebab sekolah ni dah takde penjaga. Takde sapa yang berani lepas ramai yang jumpa hantu jembalang kat situ.”

“Kalau macam tu senanglah. Bila kita nak ke sana Ri?” Rayyan sudah tidak sabar-sabar mahu melakukan penyiasatan kali kedua. Respons dari para penonton amat-amat menggalakkan.

“Petang ni. Sekarang aku nak cari maklumat pasal sekolah tu dulu. Apa nama sekolah tu?” Keyboard laptop sudah disentuh Azri.

“Sekolah menengah St. Pierre,” balas Shah. Azri mengangguk.

Jemarinya mula bergerak di atas papan kekunci laptop. Maklumat tentang sekolah itu segera terpampang di skrin komputer ribanya.

**Sekolah Menengah St. Pierre telah dibina pada tahun 1976 oleh seorang lelaki berbangsa Perancis yang bernama Pierre Armand. Sekolah ini dikatakan telah mencatatkan beberapa siri kematian yang mengejutkan sehingga memaksa ia ditutup sehingga ke hari ini. Ia ditutup pada tahun 1996 selepas kematian secara beramai-ramai telah berlaku di situ. Punca kematian kekal misteri sehingga ke hari ini tetapi ada yang mengatakan ia angkara kuasa ghaib kerana kedudukan geografinya. Ia dikatakan telah dibina di atas tanah perkuburan satu kaum pada suatu masa dulu.

Pierre Armand telah kembali ke Perancis selepas sekolah ini ditutup dan dikatakan telah mengalami depresi yang kuat dan telah membunuh diri setahun kemudian. Sehingga kini, ramai saksi yang pernah terlihat entiti-entiti menakutkan yang didakwa berlegar-legar di kawasan sekolah ini. Kini kawasan sekelilingnya dipenuhi hutan rimba dan terbiar tidak terjaga selama 20 tahun.**

“Mass murder?” Kening Aaron terangkat.

“Kematian beramai-ramai,” ujar Rayyan pula.

Azri mengangguk-angguk. Maklumat ini sudah mencukupi untuk mereka meneruskan penyiasatan di sekolah itu.

“Siapkan apa yang patut dan kita akan bertolak sejam dari sekarang.”


MATA mereka tertancap pada pemandangan di luar kereta pacuan empat roda mereka. Azri memperlahankan pemanduan. Di kiri kanan mereka kelihatan suram. Sunyi-sepi. Memang tempat jin bertendang.

“Itu ke sekolahnya?” tanya Aaron sambil menunjuk ke luar.

Shah mengangguk.

“Fuh, memang menyeramkan gila.” Aaron tersenyum pahit. Tiba-tiba pula dia merinding satu badan apabila teringatkan ‘kematian beramai-ramai’ yang pernah berlaku di sekolah tersebut.

Enjin dimatikan. Mereka sudah sampai di perkarangan sekolah. Belum apa-apa, bulu roma mereka sudah tegak berdiri.

Aaron menyenggol lengan Rayyan. Pemuda berdarah kacukan itu sedang ternganga.

“Nanti masuk lalat,” usik Aaron.

“Jom masuk.” Azri memberikan arahan sambil mengayun langkah bersama beg berisi peralatan penyiasatan paranormal.

Beg-beg disusun di atas meja yang terletak dalam nerve centre. Bekas bilik guru digunakan sebagai nerve centre yang akan memantau segala aktiviti dari night static camera yang akan diletakkan di penjuru-penjuru terpilih.

Seperti biasa, night static camera mula dipasang dan diletakkan di kawasan asrama pelajar perempuan dan lelaki, di kawasan perhimpunan sekolah, di blok C yang dikatakan paling berpuaka di situ dan di kantin sekolah.

Rayyan dan Azri mengunci semua pintu yang ada dan mematikan lampu-lampu yang dipasang menggunakan bateri setelah malam melabuhkan tirainya.

“Aku akan ke asrama lelaki dan Ray akan ke asrama perempuan,” ujar Azri melalui walkie-talkie.

“Alright. Hati-hati bro,” pesan Shah.


AZRI sudah berpisah dari Rayyan. Kini dia sedang memasuki kawasan asrama pelajar lelaki. Dengan pandangan yang terbatas, dia berjalan perlahan-lahan.

“Tap tap tap…” Bunyi tapak kaki pantas menarik perhatian Azri.

Lensa kamera segera dihalakan ke belakang dan ke sisi. Tiada apa-apa yang dapat dilihat di situ. Dia menelan liur. Tekak serta-merta terasa kering. Dia meneruskan gerak kakinya untuk ke hadapan.

“@#$%^&*!@”

Suara-suara bisikan begitu jelas sekali mengetuk gegendang Azri. Dia mengeluarkan alat EVP (Electronic Voice Phenomenon) untuk merakam suara roh-roh yang bergentayangan di situ.

“Ada sapa-sapa di sini dengan saya?” tanyanya.

Suasana menjadi dingin. Azri menggigil perlahan. Dia tahu pasti ada sesuatu di situ bersama-samanya. Dia mematungkan diri. EVP ditutup lalu ia direplay.

“Ada sapa-sapa di sini dengan saya?”

“Aku….”

Mata Azri membulat.

“Bekas pelajar yang mati di sini?” tanyanya lagi.

“Ya!”

EVP hampir-hampir terlepas dari pegangannya. Ada suara seorang remaja lelaki yang bertempik dalam alat komunikasi ini.


PUNGGUNG melabuh duduk di birai katil dalam salah satu dorm asrama perempuan. Rayyan kemudian bertukar posisi ke atas katil pula. Dia duduk berlunjur dan bersandar ke kepala katil. Di tangannya ada Spirit Box. Bentuknya bulat dan berbunyi bising kerana ia menggunakan gelombang radio untuk berkomunikasi dengan roh.

“Hello girls. Boleh cakap hello?” Dia memulakan perbualan.

“Hello.”

Kedengaran suara remaja perempuan. Rayyan mengatur duduk.

“Boleh tunjukkan kewujudan kau orang kat sini? Buatlah apa-apa.”

Permintaan berani mati Rayyan pantas direalisasikan oleh ‘mereka’. Pintu almari besi yang sudah berkarat terkuak sendiri. Dada Rayyan berdebar-debar tetapi dia harus meneruskan perbualan.

“Boleh nampakkan diri?” Rayyan terus memberanikan diri.

Bayang hitam yang melintas membuatkan jantung Rayyan bagaikan mahu gugur. Dia bingkas bangun dan berdiri berhampiran dinding. Bayang itu bergerak sepantas kilat namun dia pasti semuanya terakam di dalam kamera.


KAMERA yang dipasang di kawasan blok C tiba-tiba terpadam sendiri. Shah dan Aaron berbalas pandangan.

“Aku pergi check.” Shah menawarkan diri. Aaron mengangguk.

Shah menapak ke blok C yang terletak tidak jauh dari nerve centre. Sampai sahaja ke situ, ekor matanya menangkap kelibat seseorang. Dia mendongak dan merenung ke tingkat 2 dan tiga. Kosong. Dia malas mahu berfikir panjang, dia cepat-cepat mencari kamera yang terpadam dan akan mengaturnya.

Aaron yang duduk di nerve centre mengerut kening. Kamera yang terpadam kini sudah pulih dan dia dapat melihat Shah yang berdiri tidak jauh dari situ. Dia mencapai walkie-talkienya.

“Shah.”

“Ye Aaron. Kenapa?”

“Kamera dah okey. Kau cepat-cepat balik ke sini.”

Shah tidak sedap hati. Kata-kata Aaron terkandung seribu maksud tersirat. Pasti ada sesuatu yang dilihat Aaron sehingga menyuruhnya cepat-cepat kembali ke nerve centre.

“Okey, aku balik sekarang,” ujarnya.

Hilai tawa di tingkat atas blok itu mematikan langkah Shah. Dia membaca ayat-ayat suci di dalam hati. Dia tidak berani mahu menoleh ke belakang.

Hilai tawa semakin kuat. Shah berlari ke nerve centre bagaikan orang tidak cukup tanah. Sampai sahaja di sana dia termengah-mengah cuba mengambil nafas. Aaron memandangnya dengan cemas.

“Kamera! Mana kamera? Kau ikut aku. Aku ada benda yang nak disnap,” ujar Shah dengan nafas yang masih tercungap-cungap.

Aaron mencapai Full Spectrum Still Photo Camera yang terletak di atas meja dan mengekori Shah hingga ke blok C.


KETUKAN di tingkap kaca mengejutkan Rayyan. Sekali lagi dia menadahkan Spirit Box dan akan cuba berkomunikasi dengan roh-roh di situ.

“Sapa yang bunuh kau orang?” Dia menyoal lantang. Untuk melawan rasa takutnya yang kian memuncak.

Bunyi tempikan yang datangnya dari dalam almari yang terbuka tadi membuatkan Rayyan berlari lintang-pukang. Dia sudah tidak sanggup menunggu di situ lagi. Dia akan pergi mencari Azri!

Dia berlari ke asrama lelaki dan bertemu dengan Azri di situ. Ketika itu, Azri sedang berdiri di luar kawasan asrama lelaki dengan muka cuak. Dia telah ternampak sesuatu yang menakutkan sebentar tadi. Ada sekujur tubuh kurus kering sedang tergantung di siling hostel. Rayyan mengambil kesempatan ini untuk membawa Azri pulang ke nerve centre.


BUTANG snap ditekan berkali-kali. Shah dan Aaron berjalan hingga ke tingkat 4 untuk mengambil gambar. Walaupun kepala terasa sebesar baldi namun demi rancangan mereka, mereka gagahi juga.

“Jom balik!” Shah mengajak Aaron pulang selepas mengambil kira-kira 30 gambar. Mereka akan meneliti gambar-gambar yang diambil di nerve centre sahaja.

Ketika mereka sampai, Rayyan dan Azri sudah berada di situ. Keduanya nampak pucat dan keletihan. Shah dan Aaron menghenyakkan punggung ke kerusi plastik dan mula meneliti gambar-gambar yang disnap.

“Tengok ni guys!” Shah dan Aaron berkata serentak memanggil Azri dan Rayyan.

Mata Rayyan dan Azri membesar. Ada 5 gambar yang menampakkan entiti-entiti mengerikan. Di antaranya kelibat remaja perempuan yang kakinya tidak menjejak lantai dan kabur seperti asap. Ada juga yang hanya menampakkan kelibat hitam.

Penyiasatan mereka berakhir pada pukul 5 pagi. Ketika mereka beriringan keluar dari kawasan itu, ada banyak mata putih yang mengiringi kepulangan mereka dan ketawa mengilai selepas kereta pacuan empat roda itu dipandu pergi dari situ.



Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.