DETIK 2 : SEKOLAH MENENGAH ST. PIERRE
SENYUMAN terukir di bibir masing-masing.
Penyiasatan mereka di banglo Sir Howard Clifftons pada minggu lepas telah
mendapat lebih seratus ribu views di YouTube. Ini merupakan satu pencapaian
yang besar buat mereka!
“Semua dah tak sabar nak tengok episod
dua.” Aaron berkata seronok. Matanya tidak lepas dari memandang jumlah views di
YouTube.
“Good job guys! Minggu ni kita nak ke
mana pulak?” tanya Azri lalu memandang wajah rakan-rakannya. Dia akan
bertanyakan pendapat rakan-rakannya terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa
keputusan walaupun dia seorang ketua.
“Aku ada satu lokasi,” ujar Shah.
“Sekolah terbiar dan berpuaka. Dah 20
tahun sekolah ni tutup.” Shah menyambung.
Kata-kata Shah memang menarik minat
rakan-rakannya. Mereka semua memandang Shah tidak berkelip-kelip. Mahu mendengar
penjelasan dengan lebih lanjut.
“Perlu ke kita mintak izin sapa-sapa
kalau kita nak lock down kat situ?” Azri bertanya. Dia tidak mahu nanti
kehadiran mereka di situ mengganggu mana-mana pihak yang berwajib.
Shah menggeleng, “Tak perlu sebab
sekolah ni dah takde penjaga. Takde sapa yang berani lepas ramai yang jumpa
hantu jembalang kat situ.”
“Kalau macam tu senanglah. Bila kita nak
ke sana Ri?” Rayyan sudah tidak sabar-sabar mahu melakukan penyiasatan kali
kedua. Respons dari para penonton amat-amat menggalakkan.
“Petang ni. Sekarang aku nak cari
maklumat pasal sekolah tu dulu. Apa nama sekolah tu?” Keyboard laptop sudah
disentuh Azri.
“Sekolah menengah St. Pierre,” balas
Shah. Azri mengangguk.
Jemarinya mula bergerak di atas papan
kekunci laptop. Maklumat tentang sekolah itu segera terpampang di skrin
komputer ribanya.
**Sekolah Menengah St. Pierre telah
dibina pada tahun 1976 oleh seorang lelaki berbangsa Perancis yang bernama Pierre
Armand. Sekolah ini dikatakan telah mencatatkan beberapa siri kematian yang
mengejutkan sehingga memaksa ia ditutup sehingga ke hari ini. Ia ditutup pada
tahun 1996 selepas kematian secara beramai-ramai telah berlaku di situ. Punca
kematian kekal misteri sehingga ke hari ini tetapi ada yang mengatakan ia
angkara kuasa ghaib kerana kedudukan geografinya. Ia dikatakan telah dibina di
atas tanah perkuburan satu kaum pada suatu masa dulu.
Pierre Armand telah kembali ke Perancis
selepas sekolah ini ditutup dan dikatakan telah mengalami depresi yang kuat dan
telah membunuh diri setahun kemudian. Sehingga kini, ramai saksi yang pernah
terlihat entiti-entiti menakutkan yang didakwa berlegar-legar di kawasan
sekolah ini. Kini kawasan sekelilingnya dipenuhi hutan rimba dan terbiar tidak
terjaga selama 20 tahun.**
“Mass murder?” Kening Aaron terangkat.
“Kematian beramai-ramai,” ujar Rayyan
pula.
Azri mengangguk-angguk. Maklumat ini
sudah mencukupi untuk mereka meneruskan penyiasatan di sekolah itu.
“Siapkan apa yang patut dan kita akan
bertolak sejam dari sekarang.”
MATA mereka tertancap pada pemandangan
di luar kereta pacuan empat roda mereka. Azri memperlahankan pemanduan. Di kiri
kanan mereka kelihatan suram. Sunyi-sepi. Memang tempat jin bertendang.
“Itu ke sekolahnya?” tanya Aaron sambil
menunjuk ke luar.
Shah mengangguk.
“Fuh, memang menyeramkan gila.” Aaron
tersenyum pahit. Tiba-tiba pula dia merinding satu badan apabila teringatkan
‘kematian beramai-ramai’ yang pernah berlaku di sekolah tersebut.
Enjin dimatikan. Mereka sudah sampai di
perkarangan sekolah. Belum apa-apa, bulu roma mereka sudah tegak berdiri.
Aaron menyenggol lengan Rayyan. Pemuda
berdarah kacukan itu sedang ternganga.
“Nanti masuk lalat,” usik Aaron.
“Jom masuk.” Azri memberikan arahan
sambil mengayun langkah bersama beg berisi peralatan penyiasatan paranormal.
Beg-beg disusun di atas meja yang
terletak dalam nerve centre. Bekas bilik guru digunakan sebagai nerve centre
yang akan memantau segala aktiviti dari night static camera yang akan
diletakkan di penjuru-penjuru terpilih.
Seperti biasa, night static camera mula
dipasang dan diletakkan di kawasan asrama pelajar perempuan dan lelaki, di
kawasan perhimpunan sekolah, di blok C yang dikatakan paling berpuaka di situ
dan di kantin sekolah.
Rayyan dan Azri mengunci semua pintu
yang ada dan mematikan lampu-lampu yang dipasang menggunakan bateri setelah
malam melabuhkan tirainya.
“Aku akan ke asrama lelaki dan Ray akan
ke asrama perempuan,” ujar Azri melalui walkie-talkie.
“Alright. Hati-hati bro,” pesan Shah.
AZRI sudah berpisah dari Rayyan. Kini
dia sedang memasuki kawasan asrama pelajar lelaki. Dengan pandangan yang
terbatas, dia berjalan perlahan-lahan.
“Tap tap tap…” Bunyi tapak kaki pantas
menarik perhatian Azri.
Lensa kamera segera dihalakan ke
belakang dan ke sisi. Tiada apa-apa yang dapat dilihat di situ. Dia menelan
liur. Tekak serta-merta terasa kering. Dia meneruskan gerak kakinya untuk ke
hadapan.
“@#$%^&*!@”
Suara-suara bisikan begitu jelas sekali
mengetuk gegendang Azri. Dia mengeluarkan alat EVP (Electronic Voice
Phenomenon) untuk merakam suara roh-roh yang bergentayangan di situ.
“Ada sapa-sapa di sini dengan saya?”
tanyanya.
Suasana menjadi dingin. Azri menggigil
perlahan. Dia tahu pasti ada sesuatu di situ bersama-samanya. Dia mematungkan
diri. EVP ditutup lalu ia direplay.
“Ada sapa-sapa di sini dengan saya?”
“Aku….”
Mata Azri membulat.
“Bekas pelajar yang mati di sini?”
tanyanya lagi.
“Ya!”
EVP hampir-hampir terlepas dari
pegangannya. Ada suara seorang remaja lelaki yang bertempik dalam alat
komunikasi ini.
PUNGGUNG melabuh duduk di birai katil
dalam salah satu dorm asrama perempuan. Rayyan kemudian bertukar posisi ke atas
katil pula. Dia duduk berlunjur dan bersandar ke kepala katil. Di tangannya ada
Spirit Box. Bentuknya bulat dan berbunyi bising kerana ia menggunakan gelombang
radio untuk berkomunikasi dengan roh.
“Hello girls. Boleh cakap hello?” Dia
memulakan perbualan.
“Hello.”
Kedengaran suara remaja perempuan.
Rayyan mengatur duduk.
“Boleh tunjukkan kewujudan kau orang kat
sini? Buatlah apa-apa.”
Permintaan berani mati Rayyan pantas
direalisasikan oleh ‘mereka’. Pintu almari besi yang sudah berkarat terkuak
sendiri. Dada Rayyan berdebar-debar tetapi dia harus meneruskan perbualan.
“Boleh nampakkan diri?” Rayyan terus
memberanikan diri.
Bayang hitam yang melintas membuatkan
jantung Rayyan bagaikan mahu gugur. Dia bingkas bangun dan berdiri berhampiran
dinding. Bayang itu bergerak sepantas kilat namun dia pasti semuanya terakam di
dalam kamera.
KAMERA yang dipasang di kawasan blok C
tiba-tiba terpadam sendiri. Shah dan Aaron berbalas pandangan.
“Aku pergi check.” Shah menawarkan diri.
Aaron mengangguk.
Shah menapak ke blok C yang terletak
tidak jauh dari nerve centre. Sampai sahaja ke situ, ekor matanya menangkap
kelibat seseorang. Dia mendongak dan merenung ke tingkat 2 dan tiga. Kosong.
Dia malas mahu berfikir panjang, dia cepat-cepat mencari kamera yang terpadam
dan akan mengaturnya.
Aaron yang duduk di nerve centre
mengerut kening. Kamera yang terpadam kini sudah pulih dan dia dapat melihat
Shah yang berdiri tidak jauh dari situ. Dia mencapai walkie-talkienya.
“Shah.”
“Ye Aaron. Kenapa?”
“Kamera dah okey. Kau cepat-cepat balik
ke sini.”
Shah tidak sedap hati. Kata-kata Aaron
terkandung seribu maksud tersirat. Pasti ada sesuatu yang dilihat Aaron sehingga
menyuruhnya cepat-cepat kembali ke nerve centre.
“Okey, aku balik sekarang,” ujarnya.
Hilai tawa di tingkat atas blok itu
mematikan langkah Shah. Dia membaca ayat-ayat suci di dalam hati. Dia tidak
berani mahu menoleh ke belakang.
Hilai tawa semakin kuat. Shah berlari ke
nerve centre bagaikan orang tidak cukup tanah. Sampai sahaja di sana dia
termengah-mengah cuba mengambil nafas. Aaron memandangnya dengan cemas.
“Kamera! Mana kamera? Kau ikut aku. Aku
ada benda yang nak disnap,” ujar Shah dengan nafas yang masih tercungap-cungap.
Aaron mencapai Full Spectrum Still Photo
Camera yang terletak di atas meja dan mengekori Shah hingga ke blok C.
KETUKAN di tingkap kaca mengejutkan
Rayyan. Sekali lagi dia menadahkan Spirit Box dan akan cuba berkomunikasi dengan
roh-roh di situ.
“Sapa yang bunuh kau orang?” Dia menyoal
lantang. Untuk melawan rasa takutnya yang kian memuncak.
Bunyi tempikan yang datangnya dari dalam
almari yang terbuka tadi membuatkan Rayyan berlari lintang-pukang. Dia sudah
tidak sanggup menunggu di situ lagi. Dia akan pergi mencari Azri!
Dia berlari ke asrama lelaki dan bertemu
dengan Azri di situ. Ketika itu, Azri sedang berdiri di luar kawasan asrama
lelaki dengan muka cuak. Dia telah ternampak sesuatu yang menakutkan sebentar
tadi. Ada sekujur tubuh kurus kering sedang tergantung di siling hostel. Rayyan
mengambil kesempatan ini untuk membawa Azri pulang ke nerve centre.
BUTANG snap ditekan berkali-kali. Shah
dan Aaron berjalan hingga ke tingkat 4 untuk mengambil gambar. Walaupun kepala terasa
sebesar baldi namun demi rancangan mereka, mereka gagahi juga.
“Jom balik!” Shah mengajak Aaron pulang
selepas mengambil kira-kira 30 gambar. Mereka akan meneliti gambar-gambar yang
diambil di nerve centre sahaja.
Ketika mereka sampai, Rayyan dan Azri
sudah berada di situ. Keduanya nampak pucat dan keletihan. Shah dan Aaron
menghenyakkan punggung ke kerusi plastik dan mula meneliti gambar-gambar yang
disnap.
“Tengok ni guys!” Shah dan Aaron berkata
serentak memanggil Azri dan Rayyan.
Mata Rayyan dan Azri membesar. Ada 5
gambar yang menampakkan entiti-entiti mengerikan. Di antaranya kelibat remaja
perempuan yang kakinya tidak menjejak lantai dan kabur seperti asap. Ada juga
yang hanya menampakkan kelibat hitam.
Penyiasatan mereka berakhir pada pukul 5
pagi. Ketika mereka beriringan keluar dari kawasan itu, ada banyak mata putih
yang mengiringi kepulangan mereka dan ketawa mengilai selepas kereta pacuan
empat roda itu dipandu pergi dari situ.