Home Cerpen Seram/Misteri SERAM : BABYSITTER
SERAM : BABYSITTER
Ninie Othman
26/6/2016 22:45:35
4,404
Kategori: Cerpen
Genre: Seram/Misteri

Dinding bilik ditenung kosong. Kesunyian menyelubungi bilik itu. Hanya kipas di siling yang berpusing ligat. Sesekali idea yang terlintas di kepala membuatnya bergerak tetapi selepas itu Erin akan kembali termenung. Idea-idea yang bermain difikiran berubah-ubah cuma satu sahaja yang menjadi poin utamanya, kerja sambilan.

Ya, dia memerlukan kerja sementara menunggu semester baru bermula. Sekurang-kurangnya dia tidak bosan sepanjang cuti semester ini. Cuti baru bermula dan dia sudah tidak betah duduk bergoyang kaki di rumah. Ibu dan ayahnya tidak menggalakkan dia bekerja pada waktu cuti begini kerana setiapkali semester bermula, dia jarang pulang ke rumah kerana sibuk dengan study.

Pucuk dicita ulam mendatang. Dia mendapat panggilan daripada rakan baiknya, Liz.

“Kau perlukan part time job kan?”

“Yup. Kenapa?”

“Kebetulan kak long aku perlukan orang untuk jaga anak-anak dia. Babysitter lah kiranya,” terang Liz panjang lebar.

“Ye ke? Kau dah bagitau kakak kau belum yang kau nak aku jadi babysitter anak-anak dia?” Erin sudah teruja.

“Dah. Kalau kau nak, datanglah ke rumah kakak aku. Kau pernah datang kan dulu?”

“Aku ingat lagi jalan ke rumah dia. Ok, thanks Liz! Aku sayang kau!”

Perbualan telefon tamat di situ. Pagi esok dia akan ke rumah kakak Liz yang dimaksudkan.

*****

Beberapa jam selepas waktu subuh, Erin bersiap-siap untuk ke rumah kakak Liz dengan semangat yang berkobar-kobar. Senyuman memang tidak lekang dari bibirnya. Ada juga kerja yang dilakukan sepanjang cuti semester itu. Dia memandu kereta Proton Waja milik ibunya untuk ke sana.

Loceng rumah dibunyikan sebaik saja dia sampai. Beberapa kali loceng dibunyikan tetapi tiada respons dari penghuninya. Kening mula berkerut. Takde orang ke?

Baru sahaja dia ingin menelefon Liz, daun pintu akhirnya dikuak seseorang. Erin mengintai ke dalam kerana tiada sesiapapun yang menyambutnya di ambang pintu utama. Bukankah ada seseorang yang telah membuka pintu ini sebentar tadi? Pelik betul.

“Assalamualaikum, kak?” panggilnya.

Imej seseorang yang merangkak di lantai pantas menarik perhatiannya. Dia menjengulkan wajah ke dalam untuk mendapat view yang lebih jelas. Okey, dia sudah terpacak di situ bagaikan orang bodoh. Kakak Liz, Lina pula tidak nampak-nampak batang hidung!

“Erin, sorry akak baru balik dari gerai kuih depan sana.. Dah lama sampai?” sapa Lina dari belakang. di tangannya ada beberapa beg plastik berwarna hijau muda yang terisi dengan kuih-muih.

“Baru je kak..” Erin berbohong. Dia mula berasa tidak sedap hati. Siapa pula yang membuka pintu jika bukan kak Lina?

“Aik? Akak terlupa kunci pintu ke tadi?” Lina meluru ke pintu dan memeriksa kunci dengan memusing-musingkan tombol pintu. Seketika kemudian, dia mempelawa Erin masuk.

“Anak-anak akak mana?” soal Erin selepas melabuhkan punggung ke sofa. Matanya terpaku pada frame-frame gambar yang tersusun cantik di atas kabinet tv.

“Ada kat atas, masih tidur dengan tok wan dia orang. Petang ni tok wan dia orang balik kampung, nasib baik Erin ada..” ujar Lina sambil tersenyum manis. Dia menghidangkan segelas air milo panas dan sepinggan karipap berinti kentang ke atas meja.

“Liz call saya semalam kak. Kebetulan sangat saya tengah cari part time job. Alhamdulillah memang dah rezeki saya,” Erin berkata penuh syukur.

“Erin start esok boleh? Daripada pukul 8 pagi sampai pukul 6 petang..”

“Boleh..” balas Erin dengan muka ceria.

*****

Seperti yang telah dirancang, keesokan harinya, Erin memulakan pekerjaannya sebagai babysitter sementara anak-anak Lina. Selepas Lina bertolak ke pejabat bersama suaminya, Erin terus masuk ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi buat mereka.

“Makan kenyang-kenyang ye..” dia berkata lembut sambil memerhatikan Iman dan Amar makan. Berselera sekali dua beradik itu makan sarapan dari air tangannya.

Dia memerhati wajah Iman yang berumur 4 tahun dan Amar yang berumur 3 tahun. Memang comel. Hidung mancung bermata bulat. Seiras wajah ibu mereka. Bunyi rengekan si kecil membuatkannya cepat-cepat berlari ke tingkat atas. Nampaknya si kecil itu sudah bangun dari tidur.

Ketika kakinya menjejak lantai di hadapan bilik bayi, jantungnya tidak semena-mena berdegup kencang. Macam serbasalah pula dia mahu masuk ke situ. Tambahan pula bilik itu suram kerana langsir yang belum disingkap. Namun apabila rengekan si kecil semakin kuat, dia menggagahkan diri pergi mengambil si kecil itu.

“Arina nangis ye?” dia memujuk Arina dan mendukungnya. Langsir yang disingkap ke tepi sehingga cahaya pagi itu menerobos masuk ke ruangan tersebut.

Tangisan Arina semakin menjadi-jadi. Dia asyik memerhatikan satu sudut. Sudut di mana rocking chair comel berwarna merah jambu terletak. Erin merenung kerusi itu selama beberapa minit namun tiada apa-apa yang aneh sedang berlaku di situ.

“Kenapa sayang?” bisiknya.

Tangan kecil Arina menunjuk-nunjuk ke arah kerusi dengan airmata yang berjujuran jatuh ke pipi. Sesekali dia menjerit-jerit ketakutan. Erin cepat-cepat membawa Arina keluar dan mendukungnya ke dapur untuk menyusukannya. Pasti tekak si kecil ini sakit kerana menangis sejak tadi.

Iman dan Amar sudah tiada di dapur. Kedengaran suara mereka rancak bermain di ruang tamu. Sempat dia mengintai dan melihat mereka berdua sibuk menyusun permainan lego di atas permaidani. Dia hanya mampu tersenyum dan kembali ke dapur untuk membuat susu pula.

“Dupp!”

Erin terkaku. Bunyi dari tingkat atas memeranjatkannya. Bunyi sesuatu yang berat jatuh bedebuk di atas lantai. Dia meletakkan botol susu ke tangan Arina yang sudah pandai menyusu sendiri. Setelah memastikan kedudukan Arina selamat di atas kerusi bayi, dia mengayun kaki ke tingkat atas.

“Dupp!”

Bunyi itu berlaku lagi. Dengan penuh hati-hati, dia mendaki takah-takah anak tangga untuk ke atas. Dia perlu memeriksa apa yang sedang berlaku di sana.

“Dupp!”

Bunyi itu datangnya daripada bilik Arina. Dia mengintai dari balik pintu dan nampak dengan jelas bagaimana rocking chair bergerak-gerak. Ke depan dan ke belakang walaupun tiada sesiapa yang menggerakkannya. Kelibat sesuatu yang berdiri di balik langsir mengejutkannya. Dia terus berlari ke tingkat bawah untuk mendapatkan Iman, Amar dan Arina. Mujurlah ketiga-tiganya ada di ruang tamu.

Petang itu dia menceritakan apa yang dia lihat kepada Lina. Wanita itu hanya tersenyum dan meyakinkannya bahawa apa yang dilihat mungkin sekadar halusinasinya saja. Dalam diam, Erin yakin ia bukan halusinasinya. Pasti rumah ini berpenunggu. Bagaimana dia mahu meneruskan tugasnya sebagai babysitter esok dan hari-hari yang seterusnya?

*****

Dia cuba melupakan apa yang terjadi dan kembali bekerja pada keesokkan harinya. Ya, mungkin ia hanya mainan perasaannya saja. Dia seorang yang berani dan tidak mudah mengaku kalah. Dengan semangat baru, dia menguruskan anak-anak kecil itu dengan penuh dedikasi. Akan tetapi, bunyi yang sama bergema lagi.

“Dupp!”

Ya ALLAH, apa yang harus dia buat? Arina juga tiba-tiba menangis. Dia tersedu-sedan sambil menekup matanya dengan tangan. Bayi berusia sembilan bulan itu di dalam ketakutan. Erin mendukung dan cuba menenangkannya. Adakah benar rumah ini berpenunggu? Bulu romanya meremang-remang.

Iman menarik hujung bajunya dan mahu memberitahunya sesuatu. Erin duduk mencangkung dan mendekatkan telinganya ke mulut Iman.

“Ada kakak takde mata dengan mulut, tengah merangkak atas tangga…”

Berderau darah Erin. Dia memandang Iman tidak berkelip dan kanak-kanak lelaki itu hanya tersenyum memandangnya. Tangga kemudiannya direnung lama. Tiada apa-apa di situ. Adakah Iman sedang bergurau dengannya?

“Iman jangan bergurau macam ni tau. Aunty tak suka..” ujar Erin dengan senyuman pahit. Okey, sebenarnya dia sudah menggigil ketakutan. Awal-awal lagi rumah itu sudah memberi aura yang menakutkan.

“Iman tak guraulah.. Memang ada kakak tu dekat tangga..”

“Sekarang dia tengah buat apa?”

“Sekarang dia tengah merangkak kat lantai…”

Kening Erin berkerut. Lantai mana yang dimaksudkan Iman?

“Lantai depan ni aunty. Kakak dah dekat dengan kita…” Iman berkata seolah dapat membaca kata hati Erin.

Jawapan Iman membuat Erin seriau. Dia beristighfar panjang dan segera membaca ayat kursi walaupun ada kalanya dia tersasul. Walaupun dia tidak dapat melihat apa yang dilihat Iman tetapi dia tahu kanak-kanak tidak pandai menipu dan mata mereka tidak berhijab. Dia bergegas mendukung Arina dan memimpin Iman ke ruang tamu. Sarapan pagi itu tidak sempat dihabiskan.

Amar.. Mana Amar??

Dia menoleh namun Amar tiada di dapur. Gelak tawa Amar dari tingkat atas memberi petunjuk bahawa dia sedang berada di atas. Arina dibaringkan ke atas tilam bayi dan dia meminta Iman menjaga adiknya buat beberapa minit. Amar harus dibawa ke bawah dengan segera.

“Amar? Amar kat mana?” dia memanggil-manggil. Bilik tidur Iman dan Amar dikuak dan kanak-kanak itu tiada di situ.

“Amar?”

“Aunty…”

Erin menoleh dan melihat Amar sedang berdiri sambil merenung sesuatu di belakangnya. Dahi Erin berpeluh-peluh, tekaknya terasa kering…

“Aunty, jangan gerak..” arah Amar dengan lidah telonya. Dia menggeleng-geleng dengan muka yang penuh ketakutan.

“Kenapa sayang?” tanya Erin dengan suara terputus-putus. Dia berdiri macam patung. Tiada daya untuk berpaling ke belakang. Tidak ingin tahu tentang apa yang sedang berada di belakangnya.

“Ada kakak takde muka…”

ALLAH! Erin bagaikan mahu pengsan. Dia masih mematungkan diri.

“Amar takut!!” Amar menjerit ketakutan. Kemudian dia menangis teresak-esak. Erin berlari mendapatkan Amar dan tanpa menoleh ke belakang dia mendukung kanak-kanak itu ke tingkat bawah. Di situ mereka berkumpul. Erin membuka semua tingkap di ruang tamu untuk mengurangkan rasa takut mereka. Mulutnya juga tidak lekang dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran.

*****

“Boleh Erin tolong akak?”

Erin terdiam. Belum sempat dia mahu menceritakan apa yang terjadi, Lina sudah menyuarakan yang dia suami isteri perlu ke majlis penting esok dan akan pulang lusa. Maknanya dia harus bermalam di rumah berpenunggu itu selama satu malam.

“Erin je harapan akak sekarang.”

Dengan hati yang berat, akhirnya Erin bersetuju. Dia akan membawa mereka pulang ke rumahnya jika berlaku yang bukan-bukan. Dia juga sudah meminta izin dengan Lina dan wanita itu sudah memberi keizinannya. Perjalanan dari rumahnya ke rumah Lina memang agak jauh tetapi dia tidak peduli jika nyawa sudah di hujung tanduk.

*****

Pagi itu berjalan dengan lancar. Tiada gangguan yang menghantui. Petang juga begitu. Erin berasa lega dan mulai merancang untuk bermalam di rumah itu sahaja kelak. Mungkin ‘kakak-kakak’ menakutkan itu sudah tiada. Segala aktiviti berjalan dengan lancar sehingga malam melabuhkan tirainya.

Iman yang tergelak terkekek-kekek di depan tv membuahkan senyuman di bibir Erin. Seronok betul Iman menonton rancangan tv. Dia yang baru selesai menidurkan Arina dan Amar berjalan mendekati Iman di ruang tamu. Pada malam itu, tiga beradik itu akan tidur bersamanya di bilik tetamu. Sejujurnya dia masih tidak berani untuk ke tingkat atas.

“Tengok apa tu?” sapa Erin dari belakang. Dilihatnya Iman masih terkekek-kekek ketawa seorang diri di hadapan tv.

Namun apa yang membuatnya tergamam ialah tv itu. Tv itu tidak dipasang. Jadi Iman ketawa penuh gelihati bukan kerana rancangan tv tetapi kerana benda lain.

“Iman buat apa tu?” tanya Erin dengan hairan.

“Kakak ajak main dengan dia…”

“Kakak mana?”

“Kakak semalam.”

Gulp…Angin dingin tiba-tiba menampar-nampar kulitnya.

“Iman, jom masuk tidur..” ajaknya lembut. Iman menggeleng-geleng.

“Tak mau. Iman nak main dengan kakak ni..”

“Takde kakak kat sini sayang. Jom kita tidur.. Nanti aunty bacakan buku kegemaran Iman ye?” pujuknya lagi. Dia menghulurkan tangan dan mengharap supaya kanak-kanak itu menyambutnya.

“Kakak ada kat belakang aunty..Dia nak main dengan aunty sekali…” Iman mengarahkan telunjuknya ke belakang Erin.

Erin sudah menggigil satu badan. Dia melirik jam yang tergantung di dinding, sudah pukul 10 malam. Iman jangan bergurau please

“Haaaaaaaaa…..”

Bunyi bisikan di belakang tengkuk Erin membuatkan Erin segera menoleh ke belakang. Ya memang benar, ada ‘kakak’ tiada muka sedang melayang menuju ke arahnya dan Iman.

Erin mendukung Iman sepantas kilat dan membawanya masuk ke bilik. Dia menggerak Amar bangun dan mendukung Arina yang sedang lena. Iblis itu sedang mengilai-ngilai di luar. Erin mencapai kunci kereta yang tergantung di paku bilik dan meluru keluar bersama anak-anak itu. Dia akan membawa mereka pulang ke rumahnya!

Ketika dia menutup pintu utama, wajah tidak bermuka itu melekap di jendela kaca sebagai mengiringi pemergian Erin, Iman, Amar dan Arina. Di sepanjang perjalanan, Iman hanya mendiamkan diri sambil memandang ke luar dengan mulut tersengih. Seolah-olah ‘kakak’ itu sedang membuntuti langkah mereka. Manakala Amar dan Arina pula sedang lena sehingga mereka sampai ke destinasi yang dituju.

Erin memarkir kereta di halaman rumah. Ibu dan ayahnya berdiri di muka pintu dengan riak hairan. Mengapa Erin pulang? Bukankah dia sedang bermalam di rumah Lina dan hanya akan pulang esok?

“Nanti Erin cerita kat mak dan ayah,” potong Erin sebelum orang tua berdua itu sempat bertanya.

“Mak boleh tolong bawak budak-budak tu ke dalam? Erin nak ke tandas sekejap,” pintanya lalu bergegas ke tandas.

Selesai ke tandas, dia keluar rumah dan melihat ibu dan ayahnya sedang berdiri di kereta. Dia mendekati mereka.

“Mana budak-budaknya Erin?” soal ibunya.

“Kau pasti ke kau bawak budak-budak tu tadi?” tanya ayahnya pula.

Erin terdiam. Dia hilang kata-kata. Ke mana Iman, Amar dan Arina pergi? Dia panik. Akhirnya dia membawa ibu dan ayahnya kembali ke rumah Lina untuk memeriksa jika mereka ada di situ. Hatinya tidak tenang memikirkan keselamatan anak-anak kecil itu.

*****

Mulut Erin ternganga apabila melihat rumah terbiar di hadapannya. Ia gelap tidak berpenghuni dan kawasan di sekelilingnya tidak terurus. Apa yang sudah terjadi?

“Kau pasti ke rumah kak long Liz kat sini Erin?”

“Erin pasti ayah!”

“Sudah, mari kita balik. Nampaknya kau dah kena usik ni..” ayahnya berkata. Erin tidak berkata apa-apa di sepanjang perjalanan. Dia bingung.

*****

Esoknya dia menelefon Liz dan bertanya hal yang sebenar.

“Ha? Bila masa aku call kau untuk part time job tu?”

“Kau ada call akulah Liz. Empat lima hari yang lepas. Kau cakap kakak kau perlukan babysitter baru..”

“Ya ALLAH, Erin… Aku memang tak pernah call kau pasal ni. Kakak aku dah pindah ke Sabah enam bulan lepaslah..”

Erin terdiam. Sudah berpindah enam bulan lepas? Dia menamatkan perbualan di situ dan berkeputusan untuk memeriksa senarai pemanggil. Ada bukti yang Liz pernah menghubunginya berkenaan hal ini.

Jemarinya ligat menyentuh skrin telefon dan scroll downsenarai pemanggil. Dia berhenti di tarikh Liz menghubunginya.

YA, LIZ MEMANG TIDAK PERNAH MENGHUBUNGINYA…



                                                        *TAMAT *

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.